Masa Susah Cari Isteri, Masa Senang Abai Tanggungjawab Sebagai Ketua Keluarga
Kredit : UtusanMalaysia
"SUDAH banyak kali
saya dengar cerita suami kalau masa susah dia sayang isteri dan anak-anak,
tetapi apabila hidupnya berubah jadi senang dia lupa diri, Itu cerita
Zurina dalam e-melnya. "Saya berkahwin kira-kira 15 tahun lalu. Saya sedar
memang kami tak sepadan, tetapi saya tak kira mungkin dia jodoh kami.
Adik-beradik nasihatkan takut saya kesal kemudian hari, kerana mereka tahu
perangai saya yang pemurah. Tetapi emak doakan semoga saya bahagia dan hidup
aman damai. Berkat doa emak saya teruskan berkahwin. "Saya ada ijazah
sementara Fikri ada SPM, tapi dia rajin buat bisnes, kecil-kecilan katanya.
Saya tak kisah asalkan dapat rezeki halal. Masa meminang, dia bagi hantaran
RM8,000 ketika itu agak tinggi jugak, keluarga kami tak mintak, keluarga dia
yang beri. Lepas kahwin kami pindah cari rumah sewa, takkan nak duduk rumah
emak. Kenalah berdikari. "Setelah pindah malangnya Fikri kata dia tak ada
duit nak beli mesin basuh, dapur dan kerusi meja, apa lagi peti sejuk yang saya
cadangkan. Dia suruh saya beli dulu, dan bayar ansur-ansur. Ok boleh, tapi saya
minta dia bayar separuh. Katanya dia tak ada duit, malah nak buat modal
pusingan pun tak cukup sebab habis buat belanja hantaran kahwin dulu. Terkejut
saya. Takkan dia tak ada simpanan langsung. "Katanya orang bisnes mana ada
simpanan, semua guna buat pusingan modal berniaga.
Duit yang masuk singgah
sekejap aja, habis tolak kiri kanan untuk bayar hutang. Malah dia minta kembali
duit hantaran dulu untuk buat modal. Bila saya kata dah beri pada emak buat
belanja kenduri kahwin, dia naik angin. Katanya takkan emak saya tak berduit
langsung nak buat kenduri kena tunggu duit hantaran? "Tiga hari kemudian
dia jual kereta, buat modal, dia beli motor. Tapi bila hendak jumpa orang
tertentu dia pinjam kereta saya, mangsanya saya kena balik naik bas. Nak
tumpang kawan malu, takkan nak cerita suami pakai kereta saya sebab dia dah
jual kereta Hondanya. Bila tak ada kereta perjalanan dan kerja saya banyak
terganggu, terutama setelah hamil. Memang sakit! Tambahan kawasan rumah saya
tak ada bas masuk. Waktu pinjam kereta katanya dia ambil saya bila balik kerja.
Tetapi memanjang ada hal dia suruh saya balik sendiri. Sabar lagi! Kerana tak
tahan saya terpaksa beli kereta lain.
"Begitulah masa berlalu begitu cepat
hingga saya melahirkan anak kedua lima tahun kemudian. Banyak masalah berlaku
kerana duit, tapi saya sabar. Nak jadi cerita rezeki dia bertambah baik, Fikri
jadi sibuk tak ketahuan. Memanjang balik lewat malam. Sedihnya bila ada duit
dia langsung tak jalankan tanggungjawab beri makan minum anak-anak. Dia suruh
saya uruskan macam biasa beli susu, beras dan sebagainya. Sebaliknya Fikri beli
kereta baru, dia suruh jual kereta lama saya. Duitnya boleh buat belanja.
Sedangkan itu kereta saya bukan kereta dia. Tapi saya sabar kerana dia kata hendak
beli rumah.
Masuk anak ketiga kami pindah ke rumah baru. Saya fikir hidup saya
aman selepas ini. Saya tak berkira terpaksa tanggung makan minum keluarga dan
susu anak, asalkan kami ada rumah. Bila ada rumah ada masalah pula, emaknya
tanya kenapa beli rumah atas nama saya bukan nama Fikri. Mereka tak tahu dia
dah blacklist. "Mereka tahu kami beli rumah kerana Fikri canang. Tujuannya
beritahu keluarga nak cerita dia ahli perniagaan berjaya. Tapi tak beritahu dia
banyak hutang keliling pinggang. Mangsanya saya, keluarga Fikri tuduh saya
pengikis harta suami. Mereka tak pernah tahu penderitaan saya selama ini.
Adiknya desak Fikri buat rumah baru untuk emak kerana syurga di bawah tapak
kaki ibu. Dalam Islam anak lelaki mesti dulukan emak, adik-beradik dalam apa-apa
hal, bukannya isteri. Betul! Tetapi mereka tahu tak masalah Fikri. Masa dia
susah emak dan adik-beradiknya tak ambil tahu, bila senang banyak pulak kata
nista dilemparkan kepada saya. "Masuk tahun ke-12 perkahwinan kami, sekali
lagi masalah melanda. Bisnes Fikri merudum. Dia terpaksa serahkan bisnes kepada
kawan sebab tak ada modal agaknya. Sebelum itu dia berhempas pulas meminjam
sana sini untuk teruskan bisnes. Inilah masalahnya jika orang tak tahu beringat
dan berjimat ketika berjaya. "Masa duit banyak dia berbelanja besar.
Tak
fikirkan bisnes ada kala naik ada masa turun. Sekali lagi saya dilanda masalah.
Saya minta dia berbincang masalahnya, tapi dia mengelak. Kerana marah sebab
saya selalu tanya masalahnya, dia tinggalkan kami dan berpindah ke rumah sewa
setinggan. Ceritanya terbongkar apabila budak pejabat saya ternampak dia. "Apa
yang menyakitkan hati, Fikri tinggalkan hutang rumah berbulan-bulan tak bayar,
surat saman dari bank, hutang cukai pintu, cukai tanah dan hutang beberapa buah
kedai yang tak berbayar. Saya betul-betul panik. Bila saya telefon dia, katanya
kalau nak duduk rumah tu bayarlah, kalau tidak biar bank lelong. Senangnya!
"Atas nasihat kawan, saya terpaksa buat pengeluaran akaun dua KWSP
sebanyak RM50,000 untuk selesaikan separuh bayaran ansuran rumah.
Bakinya saya
bayar ansur. Saya juga buat pinjaman bank untuk bayar hutang yang
ditinggalkannya. Kerana simpanan saya sendiri bukannya banyak, sebab selalu
sangat bantu Fikri bila dia sesak. "Bertitik tolak daripada masalah ini
saya rasa lega hidup tanpa Fikri. Malangnya bila hutang selesai dia balik ke
rumah. 15 tahun berkahwin banyak mengajar saya erti hidup bersuami. Kini hati
saya sudah kering dan tidak akan bantu dia lagi, walaupun dia mengacukan parang
ke leher saya seperti dulu. Saya sudah buat laporan polis jika sesuatu buruk
terjadi kepada saya, polis tahu siapa yang bertanggungjawab, itu cerita
Zurina tentang penderitaannya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments
Post a Comment