Kecewa Isteri(Guru) Tak Dapat Bertukar Ikut Suami
Kredit : UtusanMalaysia
SAYA adalah seorang anggota Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) yang telah ditukarkan dari Mersing ke Lumut pada bulan
Mei 2011. Isteri saya seorang guru. Permohonan pertukaran isteri saya sebagai Guru
Pendidikan Islam tidak diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ).
Permohonan pertukaran isteri saya telah dibuat
sebanyak dua kali dan rayuan sebanyak tiga kali bagi Sesi Jun 2011 dan sesi Jan
2012.
Apa yang saya kesali ialah jawapan yang
diberikan ialah tiada guru pengganti. Sampai bila KPM dan JPNJ hendak menunggu
guru pengganti? Siapa guru yang sanggup menawarkan diri untuk mengajar di
Daerah Mersing? Penduduk Mersing sendiri ada berkata, "Tiada orang yang
nak datang ke Mersing ni kecuali Pak Malau, anaknya Sri Mersing dan
Damak". Walaupun sinis bunyinya tetapi ada kebenarannya.
Adakah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
ingin meminta saya menunggu selama enam bulan lagi atau 12 bulan lagi sekiranya
permohonan pada sesi Jun 2012 tidak diluluskan?Isteri saya tidak pernah dikenakan tindakan
tatatertib sepanjang beliau berkhidmat dalam profesion perguruan. Beliau
memohon pertukaran kerana ingin mengikut suami dan saya telah memberikan
alasan-alasan yang munasabah melalui surat Permohonan Pertukaran Guru Antara
Bahagian/Negeri dan surat rayuan permohonan pertukaran bagi sesi Jun 2011 dan
sesi Januari 2012. Pada masa yang sama ada kekosongan mata pelajaran yang
diajar di Daerah Manjung.
Saya telah memberikan justifikasi dan
alasan-alasan yang munasabah seperti berikut:
>Dari aspek hubungan kekeluargaan, saya kini
sudah tujuh bulan berjauhan dengan isteri dan anak-anak yang kini menetap di
Mersing, Johor. Saya akan berulang-alik setiap minggu dari Lumut ke
Mersing/Mersing ke Lumut yang memakan masa 12 jam perjalanan dan RM 800 sebulan
kos perbelanjaan pergi dan balik demi tanggungjawab sebagai seorang suami dan
bapa kepada empat orang anak.
>Dari aspek kualiti kerja, sejak pertukaran
saya ke Lumut, isteri terpaksa mengambil anak yang bersekolah tadika pada pukul
12 tengah hari sedangkan pada masa tersebut beliau mempunyai kelas. Kesannya,
telah mengganggu masa pengajaran dan pembelajaran beliau. Bukan itu sahaja,
anak terpaksa dibawa ke kelas sedangkan sebelum ini saya yang menguruskan anak
yang bersekolah tadika.
>Dari aspek pengurusan masa, isteri saya
kadang-kala lewat hadir ke sekolah kerana menguruskan anak-anak untuk hadir ke
sekolah. Ini akan menjejaskan kualiti kerja beliau sebagai seorang guru.
Perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum saya bertukar tempat bertugas.
>Dari aspek keselamatan, isteri saya sekarang
sedang sarat mengandung anak kelima. Pada 13 hingga 18 November 2011 yang
lepas, beliau telah dimasukan ke wad Hospital Daerah Mersing.
Saya terpaksa mengambil cuti tahun bagi
pengurusan keluarga dan anak-anak sekolah. Persoalannya sekarang bagaimana
isteri saya terpaksa berhadapan situasi yang sama dengan ketiadaan saya untuk
memandu kereta ke tempat kerja, pengurusan kerja dan anak-anak sehingga bulan
Jun 2012?
Masalah juga timbul, apabila isteri saya
dihantar berkursus selama tiga hingga empat hari di luar Daerah Mersing. Saya
terpaksa mengambil cuti tahun walaupun pada ketika itu ketua jabatan tidak
menyokong cuti tahun saya atas sebab-sebab tugas yang perlu dilaksanakan. Adakah KPM dan JPNJ hendak menunggu berlakunya
tragedi yang tidak diingini ke atas isteri saya? Walaupun KPM dan JPNJ ada 1001
alasan yang diberikan, sepatutnya KPM dan JPNJ memberikan keutamaan kepada kami
warga tentera yang kerap bertukar ke pasukan baru.
Adakah KPM dan JPNJ hanya memikirkan pelajar
yang ketiadaan guru sedangkan KPM dan JPNJ tidak memikirkan guru yang ketiadaan
suami dan anak yang ketiadaan bapa? Janganlah KPM dan JPN bersikap pilih bulu. Ada
guru yang posting cukup mudah dengan alasan ingin pulang ke kampung
dengan sebab 'ada yang dikenali'.Saya mengharapkan isteri saya mempunyai azam
dan semangat juang yang tinggi dan dapat memberi komitmen dalam pelaksanaan
tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai seorang pendidik demi
agama, bangsa dan negara sempena tahun baru 1433H dan 2012.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments
Post a Comment