Wang boleh membuat orang menjadi ‘gelap mata’, tamak, hilang perasaan kasihan dan boleh bersikap kejam. Itulah bila jiwa dikuasai kebendaan dan kemewahan, maka hilang rasa insani walaupun terhadap orang tua dan orang yang terlantar sakit. Semuanya mahu ditipu. 

Di negara ini, kes penipuan makin menjadi-jadi. Ba­nyak jenis penipuan dari yang kecil-kecil sehingga yang besar-besar. Ia membabitkan wang jutaan ringgit. Penipu atau scammer ini hanya perlu meyakinkan mangsa de­ngan skil memujuk rayu yang tinggi, bijak berkata-kata, ber­lagak baik adakalanya menunjuk warak dan menyediakan dokumen-dokumen palsu untuk menyokong. 

Kes jenayah siber tertinggi dilaporkan di Malaysia pada tahun lalu adalah penipuan e-dagang dengan sejumlah 6,151 kes melibatkan kerugian RM29,967,149. Kes-kes ini membabitkan jualan, pembelian dan pelaburan dalam talian atau skim cepat kaya. 

Yang kedua terbesar pula, kes penipuan Love Scam ­melalui media sosial dengan 2,498 kes melibatkan kerugian RM98.98 juta. Sebahagian besar dalangnya adalah warga Afrika dan yang ditipunya pula ialah wanita golo­ngan profesional. Biasanya kita selalu dengar wanita ditipu oleh lelaki tempatan yang meminjam duit beratus, beribu ringgit atau paling tidak masuk akal RM20 pun mahu pinjam dan kemudiannya hilang, melarikan diri. Tetapi sindiket warga asing, mereka menipu hingga beratus ribu ringgit seorang. Itu bezanya. Yang samanya, menipu tetap menipu dan kaum wanita diharapkan lebih berhati-hati dengan ‘permainan’ seperti ini. 

Sementara itu, penipuan telekomunikasi melalui sistem pesanan ringkas (SMS), telefon, e-mel mengenai pemberitahuan kononnya menang hadiah adalah jenayah siber ketiga tertinggi dengan 1,898 kes dengan kerugian berjumlah RM52.98 juta. 

Dalam kes telekomunikasi, ada mangsa yang menerima panggilan individu yang menyamar menjadi pegawai bank, polis, pegawai kastam dan pegawai mahkamah. Senang cakap, lengkaplah semuanya. Dengan satu panggilan sahaja mereka boleh sambungkan dengan semua department ini. Mangsa, dikatakan telah berhutang de­ngan bank walhal tidak pernah pun membuat pinjaman de­ngan bank berkenaan. Ini pun orang kita boleh tertipu. Di­sebabkan panik, dia mengikut sajalah apa yang dikatakan oleh kaki penipu ini. 

Ada juga dikatakan telah disaman dan perlu hadir ke mahkamah. Mangsa yang terpinga-pinga ini pun melayan jugalah apa arahan seterusnya. Tanpa memikirkan apa kesalahan yang telah dilakukan. Mungkin sudah terlalu ba­nyak kena saman trafik atau saman pihak berkuasa tempatan yang dia sendiri tidak ambil tahu, maka mangsa pun jadi keliru. Bayar sajalah wang diminta. 

Sekarang ini pula heboh cerita penjualan rumah dan hartanah tipu yang tular dalam kalangan pengguna media sosial. Sebelum ini pun ramai yang sudah kena tipu dalam hal penjualan tanah dan ada kes yang telah dihadapkan ke mahkamah dan pihak yang menipu diisytiharkan muflis. 

Dalam bab agama juga begitu. Sekarang ini kita pun sudah biasa dengar pakej umrah palsu. Bayangkan dalam hal yang membabitkan urusan ibadah pun mereka boleh menipu. Perkara lain-lain apatah lagi. Jangan ceritalah. 

Maknanya, semua perkara pun kalau diberikan peluang dan ruang, kaki tipu ini boleh cari makan. Kuncinya, selagi ada orang percaya, penipuan cara ini akan terus berkembang. Mereka boleh ada pejabat sendiri dan menggaji pekerja melalui urusniaga menipu orang ramai. 

Penipuan tidak boleh disekat hanya dengan memikirkan kenapalah orang itu menipu, tidak takut dosakah?, memaki hamun mereka atau mahu undang-undang ­menghukum merek­a. Kita tidak boleh mengharapkan atau menyeru orang berhenti menipu. Penipuan hanya boleh disekat jika kita tidak mudah percaya, berfikir me­ngikut logik dan tidak cepat dipengaruhi. Itu saja.