Pendek ? Keturunan Atau Masalah Kesihatan ?
ADALAH satu perkara biasa melihat di dalam sebuah kelas di sekolah rendah ada beberapa pelajar menyerlah dengan ketinggian lebih daripada majoriti rakan sekelas dan ada juga sebilangan dilihat ‘ketinggalan’ dari segi ketinggian.
Di Malaysia, kanak-kanak yang rendah
tidak terlalu menjadi kebimbangan ibu bapa. Fikir mereka, ia adalah
sesuatu yang normal kerana saiz dan ketinggian orang Asia yang
sememangnya dilihat agak rendah tambahan melihat ibu bapa mereka juga
tidak terlalu tinggi.
Ada sesetengah kanak-kanak mengalami gangguan
pertumbuhan. Gangguan ini merupakan masalah yang menghalang kanak-kanak
dari mencapai ketinggian dan berat normal serta kematangan seksual
menjejak usia remaja.
Pertumbuhan
kanak-kanak merupakan petunjuk penting bagi kesihatan keseluruhan dan
perkembangan mereka. Jika anak anda lebih pendek daripada keseluruhan
rakan sekelasnya, meninggi dengan perlahan berbanding rakan sebaya atau
adik-beradik lebih tua atau pendek daripada ibu bapa semasa mereka di
usia sama, ia mungkin petanda kepada keadaan gangguan kesihatan lain dan
ia mungkin memberi kesan lebih daripada sekadar ketinggian.
Terdapat
beberapa gangguan pertumbuhan yang sebenarnya dapat dirawat supaya
kanak-kanak mencapai ketinggian normal, namun ia perlu disedari dan
dirawat pada peringkat awal.
Bagaimanapun, kesedaran akan gangguan pertumbuhan adalah agak rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Pakar
Runding Kanan Pediatrik, Pakar Endokrinologi dan Diabetologi Pediatrik
di Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Prof. Wu Loo Ling, kesedaran mengenai masalah tumbesaran di Malaysia adalah rendah dan membimbangkan.
“Masalah
ini biasanya tidak diberi perhatian kerana ramai menyangka orang Asia
secara semulajadinya mempunyai struktur tulang yang lebih kecil. Namun,
adalah penting untuk ibu bapa di Malaysia mengetahui simptom-simptom ini
dan berjumpa dengan doktor mereka sekiranya bimbang akan sesuatu isu.
Pengesanan awal sangat penting untuk mencapai hasil rawatan yang
positif,” ujarnya ketika persidangan saintifik mengenai tumbesaran, SEA
Growth Summit anjuran Novo Nordisk bagi membincang dan berkongsi
pengetahuan mengenai sebab, diagnosis, pengurusan, dan pilihan rawatan,
baru-baru ini.
Rawatan
Tumbesaran
adalah satu proses fisiologi yang kompleks di mana kanak-kanak mula
membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka. Proses
ini berterusan pada kadar tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter
setiap tahun sehingga berusia kira-kira 10 tahun.
Apabila
kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13
tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama
kira-kira dua tahun sebelum ia berakhir perlahan-lahan pada usia 16
hingga 18 tahun.
Di dalam tubuh, hormon
pertumbuhan (growth hormone) yang dihasilkan oleh kelenjar pituitari di
dalam otak merangsang tumbesaran. Selain daripada menggalakkan
tumbesaran fizikal (ketinggian), ia juga mempengaruhi perkembangan
tulang, otot dan lemak tubuh. Oleh itu, hormon pertumbuhan ini sangat
penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat.
Sekiranya
seseorang kanak-kanak kelihatan lebih rendah berbanding rakan-rakan
sebaya, ada kemungkinan ia mengalami masalah tumbesaran yang
menghalangnya daripada mencapai ketinggian dan berat yang normal, serta
kematangan seksual dalam sesetengah kes. Jika tidak dirawat, ia boleh
membawa kesan yang negatif kepada kesihatan fizikal dan mental
kanak-kanak.
Tegas Profesor
Endokrinologi Pediatrik di Universiti London dan Pakar Runding
Endokrinologi Pediatrik, London Clinic Centre for Endocrinology, Dr.
Martin Savage, semakin awal masalah tumbesaran dikesan, semakin
tinggi peluang kanak-kanak tersebut untuk mengekalkan ketinggian normal
dan mencapai potensi pertumbuhannya sebenar.
“Rawatan
masalah tumbesaran mempunyai banyak manfaat selain daripada merangsang
ketinggian. Ia bukan sahaja membantu kanak-kanak mencapai ketinggian
normal, namun turut terbukti membawa impak positif kepada komposisi
tubuh, pembinaan tulang, faktor risiko kardiovaskular, dan kualiti
hidup,” terangnya.
Selain daripada
risiko-risiko fizikal, membesar dengan masalah tumbesaran juga boleh
membawa kesan sosial yang serius terhadap kanak-kanak seperti diejek
atau dibuli di sekolah, keyakinan diri yang rendah, cabaran fizikal
serta kesukaran dalam perhubungan sosial.
Untuk
mengesan masalah tumbesaran seawal yang mungkin, pertumbuhan
kanak-kanak perlu diukur dengan kerap dan dibandingkan dengan
adik-beradik atau rakan-rakannya di sekolah. Sekiranya terdapat
simptom-simptom, ibu bapa dinasihatkan untuk berjumpa pakar pediatrik
khusus dalam merawat kanak-kanak dengan masalah tumbesaran dan hormon.
Walau
bagaimanapun, ibu bapa perlu sedar yang merawat masalah tumbesaran
adalah satu komitmen jangka panjang. Proses rawatan mengambil masa
beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasanya.
Sekiranya
masalah tumbesaran berlanjutan apabila pertumbuhan telah selesai,
rawatan perlu diteruskan untuk mencapai perkembangan tubuh dewasa yang
normal, termasuklah jisim otot dan penambahan mineral tulang.
Namun,
tidak wujud rawatan penambah ketinggian segera dengan hanya memakan
vitamin sahaja seperti yang sering dimomokkan dalam media sosial seperti
Instagram.
No comments
Post a Comment