SLIDER

Wang Hantaran Kahwin Tinggi Hampir Pisahkan Kami

31 Mar 2024



Bukan mudah untuk mendirikan rumah tangga di zaman serba canggih ini. Wang ringgit, persiapan dan gaya hidup turut memainkan peranan dalam mencari kebahagiaan yang diingini terutama dengan orang yang disayangi. Malah sungguh besar dugaan yang harus ditempuh oleh pasangan suami isteri baik sebelum bernikah atau setelah bergelar suami isteri sehinggakan kadang kala salah seorang terpaksa memendam rasa kerana tidak mahu masalah timbul di hari bahagia mereka. 

Sesungguhnya cinta yang terjalin tidak cukup untuk menguji kejujuran pasangan, lebih-lebih lagi apabila pasangan yang dipilih menjadi teman hidup serba sederhana. Yang penting niat untuk melamar gadis pilihan dimakbulkan Allah SWT. Begitulah yang terjadi dalam kehidupan Lili (bukan nama sebenar) dan pasangannya, Adi (bukan nama sebenar) yang melalui  saat genting sebelum menyambut hari perkahwinan mereka.
Ingin tahu apa cerita mereka, kita ikuti pengakuan Lili di dalam emelnya kepada saya.

Ini kisahnya.

“Saya berumur 32 tahun, seorang kerani di sebuah syarikat insurans sementara suami, Adi,  seorang  peniaga kecil-kecilan. “Kami berkawan sejak di bangku sekolah menengah. Hampir lima tahun kami berkawan. Di sekolah kami bukanlah pelajar pintar, kata orang cukup-cukup makan. “Tetapi syukur kerana keputusan itu membolehkan kami mendapat  pekerjaan yang boleh menyara kami. Setelah setahun bekerja, saya dilamar oleh Adi. “Sebagai perempuan, saya sangat gembira dengan keikhlasan Adi melamar saya. Tidak sia-sia saya menunggunya selama lima tahun. Sayangnya, ibu bapa saya meletakkan hantaran yang agak tinggi dan tidak mampu ditunaikan oleh Adi.

“Demi saya, Adi tidak menolak hantaran yang diletakkan itu dan meminta wakil keluarganya menerima keputusan keluarga saya tanpa bantahan. Saya memang risau kerana yakin Adi tidak mampu memberi hantaran yang tinggi. “Memang saya tidak menduga langsung yang bapa saya akan  meletakkan hantaran yang tinggi tetapi perkara sudah berlaku, saya kena reda jika tidak hajat untuk hidup bersama Adi tidak akan tercapai. “Keluarga memberi tempoh setahun untuk kami bertunang. Ertinya dalam tempoh itu, Adi perlu mencari sekurang-kurangnya RM20,000  untuk urusan perkahwinan kami.

“Selepas bertunang, saya berjimat cermat, begitu juga dengan Adi. Kami berusaha mengumpul wang untuk meraikan hari perkahwinan kami. Seperti pasangan lain, saya dan dia tentu inginkan yang terbaik dalam hidup kami kerana perkahwinan ini sekali seumur hidup.  “Dengan gaji saya sebagai kerani dan perniagaan kecil-kecilan Adi, agak mustahil kami dapat mencari wang sebanyak itu dalam tempoh setahun. Tetapi kami berusaha. “Keluarga saya terutama ayah dan mak selalu berpesan kepada saya supaya ingatkan Adi tentang duit hantaran itu. Saya hanya berkata ya..., dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

“Sebulan sebelum kami diijabkabulkan, saya mula tidak tidur malam. Duit hantaran hanya separuh sahaja yang ada, tidak termasuk perbelanjaan lain untuk hari bahagia kami itu. Siang malam saya menangis mengenangkan masalah yang kami hadapi. “Akhirnya, saya ajak Adi bersemuka dengan ayah dan mak dan menceritakan masalah kami yang sebenarnya. Saya dan Adi nekad akan menanggung segala risiko tentang pengakuan kami ini, yang penting kami ikhlas dan berterus terang. “Pada mulanya ayah agak marah. Suaranya meninggi dan dia langsung tidak mahu pandang muka Adi. Tetapi Adi seorang yang sabar dan sangat ikhlas. Dia ceritakan tentang masalahnya. Katanya untuk menunaikan hajat ayah dengan hantaran tinggi agak mustahil memandangkan dia hanya bekerja sendiri.

“Tetapi kata Adi, dia sangat ikhlas dengan cinta kami dan tidak akan mensia-siakan hidup saya nanti. Sebak saya dibuatnya kerana Adi sanggup buat apa sahaja untuk hidup bersama saya. Dia sanggup tebal mula menemui ayah saya kerana perkara ini. “Berlaku juga pertengkaran antara ayah dan Adi tetapi saya berdoa agar hati ayah akan lembut dan menerima penjelasan kami berdua. Syukur kepada Allah, akhirnya ayah setuju mengurangkan hantaran kahwin saya mengikut kemampuan Adi. “Saya menangis di hadapan ayah dan Adi. Mak tidak berkata apa-apa dan turut menangis. Saat itu, saya merasakan seluruh alam maya ini menjadi cerah, hati saya tenang dan gembira sangat.

“Saya bersyukur sangat kerana ayah faham dengan masalah Adi dan tidak memaksa kami untuk memenuhi impiannya. Akhirnya, saya dan Adi sempurna diijabkabulkan dalam suasana sederhana tetapi meriah pada tarikh dan tempoh setahun yang ditetapkan. “Menitis air mata saya mengenangkan hal ini. Kini telah lima  tahun berlalu, saya dan Adi hidup bahagia. Kami telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia empat  tahun. “Benarlah kata orang..., soal jodoh, pertemuan dan maut adalah ketentuan Allah, tidak boleh ditolak.Begitu juga dengan saya dan Adi. Jodoh kami sangat kuat dan akhirnya hajat kami untuk hidup bersama Allah makbul.

“Bayangkan, jika saya tidak bertindak tegas mengajak Adi bersemuka dengan ayah saya dahulu, kemungkinan saya tidak jadi kahwin dengan Adi atau pun kami kahwin tetapi menghadapi masalah kerana berhutang. “Alhamdulillah, Allah bagi kami ketenangan selepas kejadian itu. Walaupun saudara mara mengata dan bercerita tentang kami dahulu, hari ini perkara itu sudah tidak kedengaran lagi. “Sebaliknya, Adi menjadi pujian kaum keluarga kerana telah mampu membuka sebuah pasar raya mini, hasil usaha dan doa kami yang tidak pernah putus minta dimurahkan rezeki dan hidup bahagia. “Ayah? Dia paling gembira dengan kehidupan kami sekarang. Adi menjadi menantu kesayangan. Apa  sahaja ayah akan rujuk kepadanya untuk meminta pandangan dan pendapat.

“Sebagai anak dan isteri, saya sangat bersyukur dengan keadaan ini. Inilah yang saya harapkan dalam perkahwinan kami. Memang pahit di permulaan tetapi lama kelamaan Allah bagi jalan dan kita hanya perlu  berusaha menanganinya dan mencapai apa yang kita ingini. “Saya berdoa semoga Allah terus melimpahkan rahmat-Nya kepada kami sekeluarga dan murahkan rezeki kami. Kepada suami tersayang, Adi jika terbaca catatan ini terima kasih abang kerana sanggup berkorban apa sahaja untuk saya. “Pengorbanan dan kasih sayang abang akan saya hargai dan semoga Allah lindungi rumah tangga kita hingga ke jannah,’’ begitu Lili menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, syukur dengan kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada Lili dan Adi sekarang. Saya kagum dengan keberanian  mereka untuk membina kebahagiaan  dengan cara mereka sendiri. Ibu bapa juga harus melihat kehidupan anak menantu selepas mereka bernikah. Jangan bebankan mereka dengan hantaran tinggi dan majlis perkahwinan mewah jika tidak mampu. Yang penting ijab kabul. Masih adakah pasangan yang ingin berkahwin memiliki keberanian seperti Lili dan Adi? Saya mendoakan generasi muda hari ini yang ingin berkahwin merancang perkahwinan mereka dengan teliti, sementara ibu bapa pula perlu bertimbang rasa dalam meletakkan hantaran buat bakal menantu anda.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka tetapi biarlah jangan sampai membebankan. Bertolak ansur adalah cara paling baik memenuhi impian anak-anak dalam perkahwinan. Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, setiap pengorbanan walaupun kecil,   Allah telah sediakan ganjarannya, hanya masa jadi penentu.

Salam




Realiti Perkahwinan Tak Seindah Drama TV, Bersedialah Untuk Susah Senang Bersama Selepas Kahwin

8 Mar 2024


Semua orang nak kahwin, kan? Nak ada pasangan yang sentiasa ada dengan kita di masa susah dan senang, di masa sedih dan gembira. Ini fitrah kita sebagai manusia – nak berkongsi hidup dengan teman yang berlainan jantina. Mungkin atas sebab ini, ramai di antara kita yang memilih untuk kahwin muda sampaikan ia menjadi seakan satu trend baru. 

Ada yang kahwin betul-betul selepas habis belajar, sekitar umur 21-22 tahun, dan ada juga yang kahwin semasa masih belajar lagi. Barulah extra sweet bila ada orang teman belajar, hantar ke kelas, atau boleh tolong ajar, kan? Sayangnya, realiti hidup kita tak sama dengan apa yang ditayangkan dalam drama TV. Tak semua orang dapat kahwin dengan anak orang kaya yang sanggup sediakan segala-galanya. Lepas kahwin, tinggal ‘cuci kaki’ saja. Hari-hari cuma bercinta.

Sedangkan sebenarnya, ramai pasangan yang terpaksa ikat perut untuk mulakan hidup bersama. Mungkin tinggal dengan ibu bapa dulu untuk jimat kos sewa rumah. Selepas beberapa bulan, cukup duit untuk deposit, kemudian sewa rumah. Beli barangan asas dulu contohnya tilam dan dapur gas. Bila ada rezeki lagi, beli peti ais pula. Kemudian kumpul duit lagi untuk beli mesin basuh pula. 

Semuanya dibeli perlahan-lahan, ikut keperluan. Barangan lain seperti TV, meja makan, sofa dan sebagainya dikira seakan tak penting pun. Lagipun, kan masih duduk di rumah sewa? Tak perlu semuanya sempurna. Asalkan cukup untuk kehidupan seharian. Kos sara hidup pun bukannya murah. Ibu bapa, adik-adik pun masih kena dihulur juga. Kalau ada duit lebih, baiklah disimpan untuk siapkan rumah sendiri nanti.

Firman Allah SWT;
Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (QS An-Nuur 24:32)
Memang perkahwinan membukan pintu rezeki. Tapi rezeki bukan datang dalam bentuk wang ringgit sahaja. Pasangan yang baik pun rezeki. Hati yang tenang pun rezeki. Dan kalau duit kita berkat, duit yang ada pun akan sentiasa rasa cukup. Perkahwinan perlukan pengorbanan. Dan mungkin nanti, salah satu pengorbanan kecil yang anda akan perlu buat adalah dari segi small luxuries contohnya makan di restoran dengan kawan-kawan sekali sekala, beli baju baru untuk reward diri sendiri dan sebagainya. 

Paling penting, betulkan niat dalam hati. Kahwin itu ibadah. Jalan untuk kita dapatkan pahala. Mungkin di awal perkahwinan anda nanti, anda terpaksa masak dan makan di rumah setiap hari. Ataupun beli bungkus, dan kemudian share berdua. Normal. Bukan senang nak mulakan hidup baru dari kosong. Hidup kita tak sama dengan drama kisah cinta dalam TV yang biasanya cuma ada satu halangan dan kemudian terus dihabiskan dengan happy ending sampai bila-bila.

Banyak lagi cabaran yang anda akan lalui selepas kahwin. Bila ada masalah, jangan terus putus asa. Anda kena kuat dan tabah. Usaha sehabis baik untuk cari jalan penyelesaian. Ada sebab Allah SWT hantar dugaan kepada anda berdua. Supaya anda tak perlu hadapi cabaran itu seorang diri. Susah senang bersama, kan? Lama-lama nanti, bila rezeki pun dah bertambah, masa susah bersama inilah yang akan dikenang-kenang. 

Sebab detik-detik inilah yang akan mengeratkan hubungan dan menambah perasaan sayang dalam hati anda berdua. Sementara itu. teruskan usaha dan percaya yang Allah SWT akan bantu dan permudahkan urusan hambaNya. Jangan putus harapan. Yakin dengan rezeki Tuhan. Dengan izinNya, rezeki anda akan bertambah. Mungkin dengan harta benda, ataupun mungkin juga dengan zuriat yang juga pembawa rezeki.



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.