SLIDER

cesarean
Showing posts with label cesarean. Show all posts

11 Tip Menjaga Luka Bersalin Pembedahan (Cesarean) Agar Cepat Sembuh

29 Jun 2022


“Puan kena menjalani pembedahan. Puan tak boleh bersalin normal kerana kandungan puan ada masalah” Kata-kata keramat dari seorang doktor ini memang menggerunkan terutamanya kepada ibu hamil yang pertama kali bersalin secara cesarean.

Tapi jangan risau. Zaman sekarang ni dunia perubatan sudah canggih. Apa yang penting anak dan ibu selamat. Cuma ibu hamil perlu kuatkan mental untuk menghadapi pembedahan ini. Apabila bersalin pembedahan ini cara berpantangnya berbeza sedikit. Malah perlu dijaga dengan lebih rapi lagi.

Mungkin ibu-ibu yang akan bersalin secara cesarean boleh mengguna pakai tips di bwah ini. Jom kita baca 11 tips menjaga luka bersalin (Cesarian) agar cepat sembuh.

1. Bergerak lebih awal
Menurut kajian, sebarang pergerakan yang dilakukan selepas menjalani pembedahan besar boleh membantu percepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan risiko darah beku. Anda tidak seharusnya berfikir bahawa benang jahitan akan terbuka sekiranya anda bergerak kerana ia sangat jarang berlaku. Pastikan anda mendapatkan bantuan ahli keluarga atau jururawat ketika anda ingin melakukan sebarang pergerakan yang besar terutama pada beberapa hari awal selepas pembedahan.

2. Makan makanan berzat dan seimbang
Anda kehilangan bendalir tubuh, mineral dan protin dengan banyak selepas bersalin dan anda perlu menggantikannya dengan kadar segera sekiranya anda ingin cepat pulih. Makan makanan yang mengandungi banyak protin seperti daging, ayam, ikan dan buah- buahan kerana ia kaya dengan mineral. Manakala sayur- sayuran pula kaya dengan vitamin. Jangan terpedaya dengan cakap orang tentang makanan sejuk dan panas, kerana ia tidak ada dalam istilah sains. Sebagai contoh, bayam dan lobak merah mengandungi antioxidant berupaya membuang toksin dalam tubuh. Brokoli dan kangkung mengandungi zat besi yang berupaya meningkatkan tahap hemoglobin anda.

3. Minum air secukupnya
Air adalah agen pembuang toksin dalam badan dan jangan percaya kepada mitos yang mengatakan minum terlebih air boleh menyebabkan faraj berair dan rahim kembang. Kekurangan air boleh menyebabkan sembelit dan menyukarkan proses kumuhan. Ini memberikan tekanan pada perut dan tempat luka serta menyebabkan anda menjadi sakit. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

4. Elak daripada mengambil ubat tradisional
Tidak semua ubat tradisional selamat dan ada yang boleh memberikan kesan sampingan seperti mengurangkan kecutan rahim dan menyebabkan pendarahan faraj yang banyak. Ada pula yang mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan tekanan kepada buah pinggang anda. Pastikan anda mendapatkan nasihat doktor dahulu sekiranya ingin mengambil sebarang ubat tradisional yang disarankan oleh kawan atau keluarga anda.

5. Mengambil suplemen zat besi dan multivitamin
Semasa pembedahan, anda kehilangan darah yang banyak iaitu 2-3 kali lebih tinggi daripada bersalin normal. Kehilangan darah menyebabkan perjalanan oksigen ke sel tubuh menjadi kurang dan ini menyebabkan luka lambat sembuh. Amalan memakan suplemen zat besi dan multivitamin dapat meninggikan tahap hemoglobin dengan lebih cepat seterusnya mempercepatkan tempuh pemulihan anda.

6. Makan pil penahan sakit
Sakit keterlaluan menyebabkan anda tidak selesa dan mengurangkan keinginan untuk menyusukan bayi dan bergerak. Dapatkan ubat penahan sakit yang secukupnya untuk memastikan anda berasa selesa dan lebih senang untuk bergerak.

7. Menyusu badan secara eksklusif
Menyusu badan sudah terbukti dapat menyembuhkan luka dengan cepat. Setiap kali menyusu, badan akan mengeluarkan hormon oxytocin yang menolong mengecutkan rahim dan mengurangkan risiko tumpah darah. Terdapat teknik-teknik menyusu yang sesuai yang boleh anda pelajari dari jururawat dan bidan hospital. Anda juga boleh mendapatkan tip menyusu dari kawan yang pernah melahirkan secara pembedahan.

8. Pastikan luka kering dan bersih
Biarkan luka terdedah kepada udara atau gunakan alat pengering rambut sekiranya perlu. Jangan menggaru pada luka atau menyapu sebarang ubat tanpa saranan doktor. Ini kerana ia boleh meninggikan risiko jangkitan kuman.

9. Pakai bengkung
Anda boleh menggunakan ‘binder’ atau bengkung sekiranya mahu. Ia selamat dan digalakkan untuk mengurangkan sakit terutamanya semasa batuk dan bersin. Perut anda juga mudah kempis kerana ia bertindak mengurangkan angin di dalam usus. Ia juga menolong mengurangkan sakit belakang dengan memberikan sokongan pada tulang belakang anda. Pakai bengkung yang lembut dan berasaskan dari kain. Elok dipakai satu minggu selepas pembedahan.

10. Elak aktiviti yang boleh mendatangkan kesakitan
Aktiviti seperti menaiki tangga atau membongkok boleh membuatkan anda berasa lebih sakit. Oleh itu, elakkan daripada melakukan aktiviti tersebut sekurang-kurangnya satu minggu selepas pembedahan.

11. Dapatkan bantuan ahli keluarga
Sokongan daripada suami dan ahli keluarga lain sangat penting semasa anda menjalani tempoh berpantang. Mintalah bantuan daripada mereka sama ada dari segi fizikal dan emosi sekiranya perlu kerana anda baru sahaja menjalani pembedahan yang besar. Anda tidak boleh melakukannya sendirian.

Tanda-tanda amaran atau serius selepas cesarean
  • Demam berterusan.
  • Sakit pada tempat luka
  • Pendarahan yang banyak, berterusan dan berketul dari faraj
  • Keluar nanah dari tempat luka
  • Tanda kemerahan pada sekitar luka
  • Keluar air jernih dari tempat luka
  • Tempat luka nampak berlubang atau bengkak
  • Benang jahitan keluar dari luka atau terbuka

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda sebegini, eloklah berjumpa doktor dengan segera.


Ibu Berpantang Jangan Pandang Enteng Pembunuh Senyap Wanita – Dr. Mardiana Kipli

11 Jul 2017


Penyakit pulmonary embolism (darah beku dalam saluran darah ke paru-paru) merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian ibu mengandung dan ketika tempoh berpantang iaitu 6 minggu selepas bersalin. Kejadian ini jarang berlaku namun, ianya boleh menyebabkan kematian mangsa secara mengejut. Kebanyakkan kes, hanya dapat disahkan oleh pihak forensik ketika autopsi post-mortem. 

Ia merupakan salah satu punca utama yang menyumbang kepada statistik maternal mortality (kematian ibu mengandung dan semasa berpantang) selain daripada kejadian tumpah darah selepas bersalin dan penyakit darah tinggi. Oleh yang demikian, mengenali tanda-tanda awal gejala ini sangat penting sebagai langkah pencegahan sebelum keadaan menjadi lebih parah dan berakhir dengan kematian.

Darah wanita sewaktu mengandung adalah lebih pekat daripada biasa. Selain itu, bayi yang membesar dalam kandungan akan menghimpit saluran darah utama di dalam badan ibu mengandung menyebabkan aliran darah kurang lancar. Kebiasaannya, fenomena darah beku akan terbentuk di saluran darah kaki dahulu. Apabila darah beku berkumpul dengan lebih banyak dan besar di bahagian kaki, ianya akan menyebabkan penyakit deep vein thrombosis. 

Mangsa akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan mengadu sakit pada betis ketika berjalan. Sekiranya masalah ini tidak diberi rawatan awal, darah beku pada saluran darah kaki ini akan pecah pada bila-bila masa dan menyebabkan saluran darah ke paru-paru tersumbat akibat darah beku ini yang dipanggil pulmonary embolism. Selain itu, terdapat juga beberapa kes di mana darah beku itu berasal daripada injap jantung yang dihidapi oleh pesakit-pesakit jantung.

“Dulu saya bersalin, ok jer. Tak ada pun apa-apa masalah. Kenapa kali ini doktor kata saya berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini?’

Semua wanita yang mengandung dan juga dalam tempoh berpantang adalah terdedah untuk mendapat penyakit pulmonary embolism kerana darah anda lebih pekat daripada biasa. Namun begitu, risiko anda untuk mendapat pulmonary embolism semasa mengandung menjadi lebih tinggi sekiranya anda:
  • Berumur lebih daripada 35 tahun
  • Mempunyai anak lebih daripada 2 orang
  • Lumpuh dan tidak boleh bergerak terus melebihi 3 hari
  • Berat melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2
  • Menjalani pembedahan caesarean
  • Menaiki penerbangan jarak jauh melebihi 4 jam
  • Dehidrasi
  • Pernah mendapat penyakit darah beku sebelum mengandung atau pada kandungan dahulu
  • Tumpah darah semasa bersalin (melebihi 1 liter)
  • Mendapat transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin
  • Penyakit yang menyebabkan kelikatan darah seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome
  • Apa-apa pembedahan yang dilakukan sepanjang tempoh mengandung atau semasa berpantang. Contohnya pembedahan appendicitis, pembedahan untuk patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
  • Kandungan kembar
  • Penyakit pre-eklampsia (darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein)

Setakat ini, sukar untuk meramalkan penyakit ini bila ianya akan berlaku. Selalunya tanda-tanda awal akan diambil ringan oleh mangsa. Sekiranya keadaan ini tidak dirujuk kepada doktor terdekat, majoriti mangsa sudahpun pengsan di rumah. Terdapat juga kes wanita datang ke hospital dalam keadaan koma atau tidak bernyawa lagi. 

Ini disebabkan darah beku yang pecah ini boleh menyumbat saluran darah paru-paru dengan cepat dan secara tiba-tiba. Akibatnya, mangsa akan berhenti bernafas dan jantung akan berhenti secara tiba-tiba.
Tanda-tanda awal adalah:
  • Kembang kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya sebelah kaki sahaja)
  • Sukar untuk bernafas
  • Sakit dada
  • Batuk berdarah
  • Nadi sangat laju

Sekiranya anda mempunyai simptom sebegini, sila dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan. Doktor akan menjalani pemeriksaan kepada anda untuk melihat sama-ada anda berisiko tinggi atau tidak untuk mendapat pulmonary embolism. Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin perlu dilakukan segera. 

Sekiranya, semua keputusannya negative, barulah pihak doktor akan menarik masalah lega dan yakin bahawa anda mungkin mendapat simtom sebegini disebabkan penyakit lain.

‘Sekiranya saya tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, apakah yang patut saya lakukan untuk mengelakkan pulmonary embolism?’
Ada beberapa langkah yang boleh anda amalkan untuk mengelakkan penyakit darah beku pada saluran darah atau pulmonary embolism sekiranya anda tergolong dlm kumpulan berisiko tinggi:
  • Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi
  • Aktif bergerak dan berjalan
  • Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stokin (stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki) pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh
  • Ubat suntikan pencair darah. Sesetengah hospital akan memberi anda suntikan ini semasa mengandung atau selepas bersalin untuk tempoh masa tertentu dan perlu disuntik setiap hari. Suntikan ini terbukti berkesan untuk mencegah pembentukan darah beku dalam saluran darah. Sila rujuk kepada doktor sakit puan anda sekiranya ada berisiko tinggi dan memerlukan suntikan ini .

Kebanyak orang awam kurang mendapat pengetahuan mengenai masalah pulmonary embolism kerana kes ini jarang diumumkan di dalam surat khabar, berita atau media sosial. Ini merupakan faktor mengapa isu ini selalu dipandang ringan oleh orang ramai. Tetapi anda perlu ingat, kebanyakan mangsa menemui maut sebelum sempat sampai ke hospital. 

Dengan itu, sekiranya ada berisiko tinggi untuk mendapat penyakit darah beku atau pulmonary embolism, sila rujuk kepada doktor anda dengan segera terutamanya jika ada mengalami simtom awal seperti dinyatakan di atas. Pencegahan awal lebih baik daripada penyesalan. Jangan biarkan ibu kepada anak anda pergi dan tak akan kembali lagi.

Dr. Mardiana Kipli M.D (UNIMAS) merupakan seorang pakar Obsterik dan Ginekologi yang bertugas di Kuching.
Rujukan:
  • Reducing The Risk of Venous Thromboembolism In Pregnancy and Puerperium. RCOG Green-top Guideline. 37a; 2015
  • Oportus SL. Rodrigues LP et al. Lymph Drainage in Pregnant Women. NCBI;2013
  • Nelson Piercy C. handbook of obstetric medicine. Informa healthcare 2010; 4:19-39
  • Arulkumaran S. Training in Obstetrics and gynaecology, the essential curriculum. OST 2009;1:224-226

Kredit : mmgazette

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.