SLIDER

riba
Showing posts with label riba. Show all posts

Hukum Disebalik Pembelian Emas Secara ‘Trade In’. Ada Riba Disitu. Hati-Hati

8 Mar 2022



Ramai antara kita yang tidak tahu hukum dalam urusan menjual emas lama dan membeli emas baru. Mesti antara kita juga tidak perasan terhadap konsep ‘trade-in’ jual emas lama dan tukar emas baru dengan bersyarat dimana perlu ada penambahan duit. Lebihan duit yang ditambah itu sudah dianggap sebagai riba dan haram disisi undang-undang Islam?

Menerusi posting di Facebook, Puan Tengku Mila menjelaskan hukum hakam ‘trade-in’ emas adalah sebahagian dari syubhah. 




Kena Jual Dulu

Sedikit ilmu tentang emas. Sebenarnya ramai lagi yang masih cetek tentang hukum hakam dalam jual beli emas. Tau tak apa hukum Trade in Emas dengan Emas?? Perasan tak bila kita nak trade in kat kedai, kita akan bagi emas kita, staff timbang dan bagi harga sekian sekian.

Then staff minta kita pilih emas baru yang kita nak. Then kena tambah duit. Tahu tak, lebihan duit yang kita tambah tu adalah riba? Ya RIBA kawan-kawan. Cara trade in yang tidak mengikut syariat adalah haram di sisi Islam ye. Macam mana cara trade in yang sah di sisi Islam? Caranya, kita kena jual dulu barang kemas kita, then lepas dapat duit, lepas akad bagai, baru kita beli baru.

Transaksi tersebut mestilah taqabud fil hal yakni berlaku dalam satu masa. SYARATNYA MESTI KITA PEGANG DULU DUIT HASIL KITA JUAL/TOLAK BARANG KEMAS TERSEBUT. TIDAK BOLEH TIDAK, MESTI PEGANG DULU DUIT TU. Melainkan kalau berat dan nilai harga emas dengan emas tadi adalah sama. Tanpa perlu berlaku penambahan duit dan sebagainya. Maka hukumnya adalah sah.

Tapi mana mungkin kan?? harga emas pun berbeza hari ke hari.  So cara paling selamat nak elakkan riba adalah dengan menjual terlebih dahulu, pegang duit dan kemudian beli emas yang baru. Dalam seronok kita menjual dan membeli emas, ada syariat yang perlu dijaga.

Kena berhati hati dalam jual beli emas. Agar syariat terjaga, simpanan terpelihara. Sama situasi kita trade in emas online pun kena transfer byr dulu. Kemudian bru deal balik utk beli emas lain.



Jawapan Kepada TradeIn Emas Lama

Lagi Jawapan Bagi ‘Trade in’ Emas Lama Dengan Emas Baru.

Jelas menurut perbahasan hukum bahawa ‘trade in’ emas lama dengan yang baru atau barang kemas emas lama dengan yang baru mestilah mengikut hukum yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap barang kemas tetap dianggap emas dan bukan sil’ah, maka bila seseorang ingin menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain. Ia mesti punyai dua syarat tanpa khilaf (Boleh rujuk pelbagai kitab antaranya al-muamalat al-Maliah al-Mu’asiroh oleh Prof Dr Ali Salus, hlm 180 ; Al-Buyu’ al-Sya’iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu:

i) Mutamathilan – mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar khaibar (yang kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti. Hadith ini riawayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu’, no 4553. Jika tidak Riba Al-Fadl akan berlaku.

ii) Mesti ‘Taqabud fil hal aw fil majlis’ ( diserah dan terima dalam satu masa) – kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba Nasiah akan berlaku.

Mungkin ada yang akan bertanya, jadi kalau kita ingin melakukan ‘trade in’ dengan emas baru yang lebih mahal harganya?? Bagaimana kita nak bayar tambahan harga itu?



Ini Cara Selamat Dari Riba

Jawabnya : Ia sama dengan kes dalam hadith Tamar Khaibar dan Janib tadi. Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah: “Juallah dengan sempurna, ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi”

JELAS, CARANYA: MESTILAH SESEORANG YANG INGIN MELAKUKAN ‘TRADE IN’. MENJUAL TERLEBIH DULU KEPADA PEKEDAI EMAS ITU, LALU IA MESTILAH MENGAMBIL DUIT HARGA RANTAI LAMA ITU, CTH HARGA SEUTAS RANTAI EMAS LAMA KITA RM 2000 DAN BERATNYA 200 GRAM, APABILA KITA INGIN TRADE IN DENGAN RANTAI BERHARGA RM2500, MAKA KITA MESTI JUAL DULU, LEPAS KITA PEGANG DUIT RM2000, BARULAH KITA PILIH RANTAI BARU DAN KEMUDIAN TAMBAH DGN RM 500, KEMUDIAN PEMBELI MEMBAYAR KEPADA PEKEDAI LALU MENGAMBIL RANTAI BARU ITU.

Kemungkinan jika transaksi seumpama ini di buat di Malaysia, ia akan kelihatan pelik. Bagaimanapun itulah cara yang selamat dari Riba.


Kredit : Puan Tengku Mila

Kredit : Ohbulan

Kredit : PejabatMuftiKL


Hukum Membeli Emas Secara Ansuran

2 Jan 2022

 



Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk membeli emas dengan cara hutang? Maksudnya emas tersebut saya ambil dan pakai dahulu, kemudian baru buat pembayaran.

 

Ringkasan Jawapan

Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

 

Huraian Jawapan  

Asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.

Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.

Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.

Hadis Muslim (1587)

Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.

Huraiannya, jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.

(Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, m/s 81)

Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/110-111)

Oleh itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai.

Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.

Ini bersandarkan kepada hadis Baginda,

أنَّ النبيَّ ﷺ نَهى عن بَيعتينِ في بيعةٍ وعن بَيعٍ وسَلَفٍ

Maksudnya“Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang”.

Musnad Ahmad (10/120)

Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim Rhm. mengulas hadis di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli. Hal ini walaupun tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang berlaku bahawa terdapar dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual dan pembeli, iaitu:

1) Penjual emas meminjamkan duit mereka bertujuan agar emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.

2) Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut.

(Lihat: Tahzib Sunan Abi Daud, 2/190)

Akhir kata, kami menasihatkan agar para pembeli tidak menambahkan hutang melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak sahaja. Adapun sekiranya mempunyai lebihan wang selepas ditolak perbelanjaan utama, maka diharuskan untuk membeli aset dan hart lain seperti emas dengan syarat pembayaran mestilah dilakukan secara tunai.

Wallahu a’lam.


Kredit : PejabatMuftiKL


Hukum Jual Beli Emas Secara Online Dan Penyerahan Ke Dalam Akaun Pembeli

1 Jan 2022

 


Soalan:

Assalamualaikum. Dato Mufti, boleh saya bertanya sedikit tentang hukam jual beli emas. Hari ni adanya syarikat yg membuat jualan secara online atau akaun. Kita beli dan bayar emas, emas itu dimasukkan dalam akaun. Dan bila kita ingin keluarkn emas itu, boleh dikeluarkan di cawangan-cawangan mereka. Adakah dibolehkan? Sebab setahu saya urusan jual beli emas mesti yadan biyadin.

 

Jawapan:

Kami kemukakan jawapan daripada kitab Fiqh al-Manhaji (6/72):

Apabila jual beli tersebut membabitkan dua jenis barangan berunsur riba yang berlainan jenis tetapi mempunyai illah riba yang sama (contohnya kedua-duanya dalam bentuk mata wang atau makanan), jual beli ini perlu memenuhi dua syarat bagi menjadikan jual beli tersebut sah dan bersih daripada unsur riba:

  • Akad berlaku secara lani. Akad tersebut mestilah tunai atau serta-merta, yakni akad tersebut tidak menyebut tempoh tertentu bagi penyerahan mana-mana barangan walaupun untuk tempoh yang singkat.
  • Penyerahan barangan berlaku di tempat memeterai akad.

Dalam keadaan ini, kedua-dua barangan tidak perlu mempunyai kadar yang sama. Bahkan dibenarkan jual beli secupak gandum dengan dua cupak barli, atau satu gram emas dengan lima gram perak.

Akad ini dan segala proses berikutnya adalah sah. Namun dengan syarat, tidak dinyatakan sebarang tempoh tertentu bagi penyerahan barangan dan penerimaan berlaku pada ketika itu.

Dalil bagi kes ini ialah hadith daripada Ubadah RA yang dinyatakan sebelum ini:

فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “Jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagimana ia dilakukan dengan tangan dengan tangan.”

Riwayat Muslim (4147)

Apa yang dimaksudkan dengan barang-barang dalam hadith ini ialah barangan berunsur riba yang dinyatakan oleh hadith-hadith dan yang seumpama dengannya. Apa yang dimaksudkan dengan berbeza dalam hadith ini ialah barangan yang digunakan sebagai bayaran dalam jual beli ini tidak sama dengan barangan yang dijual.

Apa yang dimaksudkan dengan “juallah mengikut kehendak kamu” ialah kamu dibenarkan berurusniaga dengan barangan ini jika ia bukan barangan yang sama dan tidak disyaratkan barangan tersebut mestilah sama.

Timbul persoalan, apakah penyerahan barang itu mesti dibuat secara fizikal atau boleh dengan cara maya seperti melalui akaun?

Jawapannya, kami berpendapat hukum penyerahan melalui akaun boleh dianggap sebagai satu bentuk penyerahan yang diterima. Ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas, dan membuat keputusan, antara lain seperti berikut:

“Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

  • Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
  • Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.”

Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (ms. 81)

Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami bagi Rabitah al-Alam al-Islami kali ke-11 yang bersidang di Makkah pada tahun 19-26 Februari 1989H membincangkan isu taqabudh hakiki dan hukmi memutuskan bahawa dokumentasi transaksi dalam bentuk resit dan rekod akaun boleh diterima sebagai salah satu bentuk taqabudh yang sah dan diterima dalam Islam.

Justeru, apabila emas tersebut sudah didepositkan ke dalam akaun pembeli dan direkodkan di dalam sistem dan resit, yang mana pembeli boleh bila-bila masa, mengeluarkan emas tersebut dengan kuantiti berdasarkan dalam majlis akad atau kontrak, maka penyerahan sudah dianggap sempurna. Maka sah akad jual beli emas secara atas talian jika meraikan syarat ini.

Wallahua’lam.


Kredit : PejabatMuftiKL

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.