SLIDER

ansuran
Showing posts with label ansuran. Show all posts

Hukum Membeli Emas Secara Ansuran

2 Jan 2022

 



Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk membeli emas dengan cara hutang? Maksudnya emas tersebut saya ambil dan pakai dahulu, kemudian baru buat pembayaran.

 

Ringkasan Jawapan

Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

 

Huraian Jawapan  

Asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.

Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.

Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.

Hadis Muslim (1587)

Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.

Huraiannya, jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.

(Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, m/s 81)

Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/110-111)

Oleh itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai.

Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.

Ini bersandarkan kepada hadis Baginda,

أنَّ النبيَّ ﷺ نَهى عن بَيعتينِ في بيعةٍ وعن بَيعٍ وسَلَفٍ

Maksudnya“Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang”.

Musnad Ahmad (10/120)

Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim Rhm. mengulas hadis di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli. Hal ini walaupun tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang berlaku bahawa terdapar dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual dan pembeli, iaitu:

1) Penjual emas meminjamkan duit mereka bertujuan agar emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.

2) Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut.

(Lihat: Tahzib Sunan Abi Daud, 2/190)

Akhir kata, kami menasihatkan agar para pembeli tidak menambahkan hutang melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak sahaja. Adapun sekiranya mempunyai lebihan wang selepas ditolak perbelanjaan utama, maka diharuskan untuk membeli aset dan hart lain seperti emas dengan syarat pembayaran mestilah dilakukan secara tunai.

Wallahu a’lam.


Kredit : PejabatMuftiKL


Hukum Jual Beli Emas Secara Online Dan Penyerahan Ke Dalam Akaun Pembeli

1 Jan 2022

 


Soalan:

Assalamualaikum. Dato Mufti, boleh saya bertanya sedikit tentang hukam jual beli emas. Hari ni adanya syarikat yg membuat jualan secara online atau akaun. Kita beli dan bayar emas, emas itu dimasukkan dalam akaun. Dan bila kita ingin keluarkn emas itu, boleh dikeluarkan di cawangan-cawangan mereka. Adakah dibolehkan? Sebab setahu saya urusan jual beli emas mesti yadan biyadin.

 

Jawapan:

Kami kemukakan jawapan daripada kitab Fiqh al-Manhaji (6/72):

Apabila jual beli tersebut membabitkan dua jenis barangan berunsur riba yang berlainan jenis tetapi mempunyai illah riba yang sama (contohnya kedua-duanya dalam bentuk mata wang atau makanan), jual beli ini perlu memenuhi dua syarat bagi menjadikan jual beli tersebut sah dan bersih daripada unsur riba:

  • Akad berlaku secara lani. Akad tersebut mestilah tunai atau serta-merta, yakni akad tersebut tidak menyebut tempoh tertentu bagi penyerahan mana-mana barangan walaupun untuk tempoh yang singkat.
  • Penyerahan barangan berlaku di tempat memeterai akad.

Dalam keadaan ini, kedua-dua barangan tidak perlu mempunyai kadar yang sama. Bahkan dibenarkan jual beli secupak gandum dengan dua cupak barli, atau satu gram emas dengan lima gram perak.

Akad ini dan segala proses berikutnya adalah sah. Namun dengan syarat, tidak dinyatakan sebarang tempoh tertentu bagi penyerahan barangan dan penerimaan berlaku pada ketika itu.

Dalil bagi kes ini ialah hadith daripada Ubadah RA yang dinyatakan sebelum ini:

فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “Jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagimana ia dilakukan dengan tangan dengan tangan.”

Riwayat Muslim (4147)

Apa yang dimaksudkan dengan barang-barang dalam hadith ini ialah barangan berunsur riba yang dinyatakan oleh hadith-hadith dan yang seumpama dengannya. Apa yang dimaksudkan dengan berbeza dalam hadith ini ialah barangan yang digunakan sebagai bayaran dalam jual beli ini tidak sama dengan barangan yang dijual.

Apa yang dimaksudkan dengan “juallah mengikut kehendak kamu” ialah kamu dibenarkan berurusniaga dengan barangan ini jika ia bukan barangan yang sama dan tidak disyaratkan barangan tersebut mestilah sama.

Timbul persoalan, apakah penyerahan barang itu mesti dibuat secara fizikal atau boleh dengan cara maya seperti melalui akaun?

Jawapannya, kami berpendapat hukum penyerahan melalui akaun boleh dianggap sebagai satu bentuk penyerahan yang diterima. Ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas, dan membuat keputusan, antara lain seperti berikut:

“Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

  • Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
  • Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.”

Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (ms. 81)

Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami bagi Rabitah al-Alam al-Islami kali ke-11 yang bersidang di Makkah pada tahun 19-26 Februari 1989H membincangkan isu taqabudh hakiki dan hukmi memutuskan bahawa dokumentasi transaksi dalam bentuk resit dan rekod akaun boleh diterima sebagai salah satu bentuk taqabudh yang sah dan diterima dalam Islam.

Justeru, apabila emas tersebut sudah didepositkan ke dalam akaun pembeli dan direkodkan di dalam sistem dan resit, yang mana pembeli boleh bila-bila masa, mengeluarkan emas tersebut dengan kuantiti berdasarkan dalam majlis akad atau kontrak, maka penyerahan sudah dianggap sempurna. Maka sah akad jual beli emas secara atas talian jika meraikan syarat ini.

Wallahua’lam.


Kredit : PejabatMuftiKL

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Shopee SPay Later - Apa Status Kesyariahan Dan Kesannya Kepada Pengguna Islam

1 Dec 2021


Sekarang kita berada pada zaman teknologi dan zaman digital yang sedang berkembang pesat dan semakin canggih. Banyak perkara yang dahulunya kita praktikkan secara manual, sekarang telah di 'automation' menjadi satu sistem teknologi yang beroperasi di atas talian sepenuhnya. Contohnya adalah seperti membeli-belah secara atas talian tanpa melibatkan proses manual. Dulu, era pembelian barang memerlukan kita untuk ke lokasi barang tersebut untuk urusan pembelian dan pembayaran tunai. 

Tetapi, dengan berkembangnya teknologi ini, telah menghasilkan satu sistem membeli-belah secara atas talian dan pengguna dapat terus membuat pembayaran menggunakan sistem tersebut. Ini adalah salah satu manfaat yang kita dapat , yang mana prosesnya sangat mudah dan cepat hanya dengan beberapa klik sahaja, sudah selesai. Pengguna hanya perlu memilih barangan dan kemudian membuat pembayaran serta menunggu barangan tersebut dihantar melalui sistem penghantaran kurier ke rumah anda. 

Antara contoh sistem membeli-belah yang popular masa kini adalah Shopee, Lazada, Zalora, Amazon, dan banyak lagi yang tumbuh bagai cendawan. Terdapat pelbagai kaedah pembayaran yang disediakan oleh paltform tersebut bagi memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran . Antaranya ialah :

1. Cash On Delivery

2. Online Banking/Fpx

3. E-Wallet

4. Credit Card

5. Buy and Pay Later

Baru-baru ini platform Shopee telah memperkenalkan kaedah pembayaran 'Buy and Pay Later' yang dinamakan SPayLater.

Apa itu SPayLater(Shopee Pay Later)?

Kaedah ini diperkenalkan kepada pengguna bagi membolehkan pengguna membeli dan mendapatkan barangan tersebut terlebih dahulu dan membayarnya pada masa akan datang. Pengguna mempunyai option samaada membayar keseluruhan harga barang tersebut pada bulan hadapan atau boleh juga memilih pelan ansuran secara bulanan yang telah ditetapkan iaitu terdapat 3 pilihan samaada 2 bulan, 3 bulan atau 6 bulan. Sekiranya memilih untuk membayar secara ansuran, terdapat fees/caj yang perlu dibayar bersama ansuran tersebut.  Pengguna yang lewat membuat pembayaran akan dikenakan pula caj denda.  Konsep ini dianggap pembeli akan berhutang terlebih dahulu untuk mendapatkan barangan tersebut.

Status Syariah

Konsep ini sedikit banyak telah mengelirukan dan menimbulkan persoalan dikalangan pengguna beragama Islam dari segi hukum halal dan haram. Isu ini dibangkitkan ramai kerana konsep pembayaran seperti ini melibatkan pembelian barang secara berhutang dan caj-caj yang telah dikenakan melebihi kadar yang sepatutnya.

Kekeliruan ini telah dijawab oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan yang mana menurut beliau terdapat beberapa perkara syariah yang telah dibangkitkan sekiranya menggunakan sistem pembayaran Shopee Pay Later .Faktanya adalah seperti berikut:

1. Bagi cara pembayaran secara one-off atau pembayaran sekaligus dalam tempoh sebulan, tiada masalah berkaitan isu syariah sekiranya pengguna menyelesaikan  semua pembayaran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Tetapi, sekiranya pengguna gagal dan lewat menyelesaikan pembayaran ttersebut. Pengguna akan dikenakan caj lewat pembayaran. Maka di sini berlakunya riba yang diharamkan hukum Syarak.

2. Bagi pembayaran secara ansuran, terdapat dua isu syariah yang dibangkitkan iaitu caj pemprosesan dan caj lewat pembayaran. Hal ini disebabkan setiap caj pemprosesan dan caj lewat pembayaran yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar. Dan ia dikatakan sebahagian daripada riba.

Akhir kata, penekanan ini biasanya diberikan kepada pengguna beragama Islam, yang mana pengguna perlu peka dan menitikberatkan hukum sebelum terlibat dengan sebarang transaksi yang melibatkan riba. Perkara ini telah dinyatakan melalui Firman Allah swt iaitu riba adalah haram dari sisi Agama Islam. 

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275) 


Admin 



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.