SLIDER

Bersyukur Lepas Bercerai. Anak 19 orang, Tapi Anak Isteri Ke-3 Di Abaikan

2 Jun 2017


''Apakah dosa dan kesalahan anak-anak sehingga ayah mereka sanggup memperlakukan mereka sedemikian rupa? Apakah cukup sekiranya dia berdoa semoga Allah murahkan rezeki untuk anak-anak sahaja. Bagaimana pula tentang kasih sayang dia sebagai ayah terhadap anak-anak?

''Kadang kala mereka bertanya ke mana dan mengapa ayah tidak balik. Apa yang harus saya katakan selain menyebut ayahnya telah mati. Jawapannya mudah, tak sakit hati dan harap-harap anak kita tak tanya lagi. Bagaimanapun saya tetap mencuba membawa tuntutan nafkah anak-anak ke mahkamah tetapi sampai sahaja surat peguam tentang tuntutan nafkah dan saman malu daripada saya, dia terus menghilangkan diri sehingga kini tidak dapat dijejaki.

''Sebagai ayah dia mesti ingat, dia mungkin boleh elak dari tuntutan nafkah di dunia, tapi tidak di akhirat. Saya ingin mengingatkan dia, di malam pertama perkahwinan kami, dia memberitahu saya bahawa dia adalah seorang lelaki dan ayah yang penyayang. ''Tetapi setelah berkahwin baru saya kenal siapa dia sampai sekarang dia tidak berjaya membuktikannya. Kalau benar dia seorang ayah yang penyayang mengapa anak-anak ini dipersia-siakan? Tidakkah dia merasai bahawa anak-anak ini sangat memerlukan dia.

''Dia boleh benci saya; tuduh saya apa sahaja tuduhan yang boleh dilahirkannya dari mulut, lidah dan hatinya, tetapi bolehkah kemarahan dan kebenciannya kepada saya dibalas kepada anak-anak. Apakah anak-anak harus menerima hukuman tersebut. ''Kalau dia kata tak mampu nak sara hidup anak-anak cakap terus terang kepada saya. Saya boleh terima dan mungkin boleh halalkan perbuatan jahatnya kepada saya selama ini, tetapi mengapa dia tak mahu langsung tengok muka anak-anaknya itu. Seolah-olah dia bencikan anak-anaknya kerana saya.

''Tetapi kalaulah dia ingin persoalkan dia tak mampu sekarang tetapi mengapa dia boleh tanggung anak-anaknya yang lain. ''Sebab itu tuan kadi telah tetapkan kalau tak mampu jangan kahwin, tetapi dia kahwin juga dengan saya dengan seribu alasan; sekarang macam mana dia nak tanggung makan minum anaknya seramai 19 orang termasuk 3 orang anak saya. ''Percayakah anda kalau saya katakan dengan isteri pertama dia ada 10 anak, isteri kedua 6 orang? Tetapi itulah kenyataan. 

Bagi saya kalau dia boleh bagi makan 16 anak yang lain macam mana dengan anak-anak saya yang masih kecil ini sebagai anak isteri ketiga yang masih memerlukan makan untuk hidup dan buku ke sekolah. ''Selepas seminggu saya menghantarkan surat saman; saya hantar pula surat melalui peguam yang menyatakan saya ingin bersemuka dengan dia. Tujuan saya biar kami berbincang dari hati ke hati. Kalau dia tidak mampu membayar saman saya, cukuplah buat masa akan datang dia memberi nafkah anak mengikut jumlah yang dia mampu tetapi datanglah dan ziarahlah mereka. 

''Saya berusaha supaya kami tidak ke mahkamah. Nak cari jalan baik, untuk dunia dan akhirat. Tetapi dia rupanya seorang pengecut. Dia cuma berani menipu perempuan, berbohong dan mereka-reka pelbagai cerita memburukkan orang lain. Tetapi bila terima surat peguam dia lari balik kampung isteri keduanya. ''Apa yang menyakitkan hati saya sebelum kami berpisah, dia tuduh saya dengan pelbagai fitnah termasuk membocorkan rahsia rumah tangga kepada keluarga dan adik-beradik saya. Tetapi sebenarnya sampai sekarang mereka tak tahu cerita sebenar dari mulut saya apa yang terjadi dalam rumah tangga kami.

''Mereka tahu banyak hal kami daripada dia sendiri yang sering mengadu hal konon saya jahat. Saya tak pernah bercerita. Dari tahun ke tahun saya memendam rasa dan saya berdoa semoga Allah menyelesaikan masalah saya dengan segera. ''Akhirnya setelah mengutuk dan mengumpat akhirnya dia ceraikan saya, saya rasa cukup lega dan tidak sedih sedikitpun bukan kerana saya selalu diketepikan, tetapi kerana saya sudah lama hidup menderita dan cukup terseksa dengan perbuatannya.

''Sebelum saya menghantarkan surat peguam, banyak kali cuba menghubunginya kerana ingin berbincang. Tapi setiap kali saya menelefon, dia tutup telefon bimbitnya. Tak bolehkah kita berbincang soal anak-anak walaupun kita bukan suami isteri lagi? ''Dia pernah datang dan tidur di rumah sahabatnya yang bersebelahan dengan rumah saya. Esoknya pagi-pagi dia keluar tanpa bertanya dan menjenguk anaknya. Itu manusiakah atau binatang?

''Sewaktu saya menghantar surat saman untuk dia, ramai kawan-kawannya memprotes. Kononnya ada jalan lain yang boleh saya selesaikan tanpa peguam; tanpa mahkamah iaitu berbincang. ''Pada saya kawannya hanya pandai cakap. Kalau mereka ikhlas nak tolong mengapa tak pernah tolong selesaikan masalah nafkah anak-anak saya, yang ketika ditinggalkan baru berusia satu setengah tahun.

''Sebenarnya mereka cuma kesian pada Smail sahaja tetapi mereka tak kesiankan nasib anak-anak yang ditinggalkan dan isteri yang terpaksa hidup menderita membesarkan anak-anak sendirian. Lebih saya kesalkan mereka tidak pernah menegur sikap Smail yang kejam tinggalkan anak-anak. Saya bukan tuntut hak saya, tapi hak dan masa depan anak-anak saya. ''Sebelum saya mengakhiri surat saya ini, ingin saya mengajukan satu soalan buat dia, apa perasaan dia terhadap anak-anak ini. Ingat! Anak-anak saya ini kesemuanya bijak-bijak belaka. Sekiranya dia enggan memberikan mereka nafkah jangan akui mereka anak setelah mereka berjaya kelak.

Kalau mereka terlibat dalam keruntuhan akhlak, tolong jangan persalahkan saya. Fikir di manakah salah anda. ''Jangan jadi seperti kisah seorang ibu tunggal yang pernah dipaparkan di ruangan DCCK ini dahulu. Setelah anak-anaknya berjaya ke universiti, suami yang tak malu datang menuntut anak-anaknya. "Ibu tunggal itu jugalah yang dipersalahkan kononnya tidak menghubungi dan memberitahu bekas suaminya di mana anak-anaknya tinggal. Walhal, ibu tunggal itu sudah putus asa berikhtiar menuntut duit nafkah anak-anak daripada bekas suaminya.

''Saya faham cuma kebanyakan lelaki tidak mahu faham sifat semula jadi mereka. Mereka akan hanya kenal anak-anak setelah mereka besar, bekerja dan berjaya dalam hidup. Kalau anak-anak jahat dan tak pandai bersekolah, maka si ibulah menjadi mangsa. ''Si ayah sering menyalahkan si ibu dengan pelbagai alasan kalau anak-anaknya gagal dalam hidup, mereka tuduh si ibu yang bodohlah menyebabkan anak-anak bodoh dan tidak berjaya dalam hidup.

''Sebaliknya kalau si anak berjaya, mereka akan mendakwa konon merekalah orang yang berjaya, yang pandai dan berkebolehan dalam mendidik anak-anak langsung melupakan tugas, jasa dan kebijaksanaan si isteri tadi dalam membesarkan anak-anak. ''Dulu semasa dia buat hal dia buat pelbagai fitnah kepada saya, dia tuduh saya ada kekasihlah dan macam-macam lagi. Tetapi yang sebenarnya dia yang buat hal sengaja mencari jalan menghancurkan hidup saya dan memalukan saya pada jiran-jiran.

''Sekarang setelah lima tahun lebih bercerai, saya masih tak berkahwin lagi, saya tak mahu hidup anak-anak terancam kerana saya dapat suami baru.''Saya sedar anak-anak tidak akan mesra dengan saya kalau saya kahwin dan mereka ada bapa tiri. Mereka masih kecil; mereka mahukan kasih sayang saya, belaian dan tunjuk ajar saya. Kalau saya kahwin lagi, tentu saya terpaksa layan suami baru, habis masa bila saya nak layan anak-anak.

''Sebab itulah kebanyakan wanita apabila mereka bercerai, mereka lebih rela jadi ibu tunggal daripada cari laki dan kahwin lagi, sebab belum tentu suami baru boleh jaga anak-anak tiri. Mereka juga ada anak-anak sendiri yang terpaksa dipelihara, lainlah kalau kahwin dengan orang bujang. ''Tetapi sekali fikir, mana nak cari lelaki bujang yang nak kahwin dengan janda beranak tiga atau empat, kecuali mereka ada masalah sendiri atau tak ada duit nak buat hantaran belanja jika kahwin. 

''Jadi untuk cari jalan mudah kahwin janda, senang dapat isteri dan tak banyak keluar duit. Di samping mengharapkan si isteri yang sudah beranak-pinak itu akan memberikan sepenuh kasih sayang dan layanan kepadanya, sebab dapat kahwin orang bujang. ''Namun mereka juga terpaksa berdepan dengan masalah kalau ibu mentua tak suka menantu janda. Pendeknya setelah memikirkan banyak hal dan masalah, ramai wanita yang sudah bergelar janda mereka tak berminat nak kahwin lagi. Sebab pertama mereka amat sayangkan anak-anak. Bukan seperti lelaki mereka sering ambil mudah dalam banyak hal.

''Sebenarnya saya juga menghadapi masalah yang sama, saya sayangkan anak-anak sebab itu sehingga lebih lima tahun menjanda saya tidak pernah terfikir hendak kahwin lagi. Bukan tak ada orang melamar, baik yang masih bujang atau suami orang. Saya fikir kedua-dua golongan ini bermasalah. ''Saya juga tidak pernah beranggapan ingin rujuk atau kembali kepadanya. Sebelum berpisah lagi hati saya sudah terlalu hancur terhadap dia. Kerana itu saya amat bersyukur akhirnya saya diceraikan. Saya rasa hidup saya bahagia, hati saya lapang; jiwa saya tenteram setelah jadi janda, walaupun terpaksa kerja keras mencari wang untuk membesarkan anak-anak.

''Saya tak mahu kahwin kerana memikirkan adakah suami baru saya nanti akan memberikan kasih sayang terhadap anak-anak saya sedangkan ayah sejati tidak sukakan anaknya. Dan setahu saya, bapa tiri lebih kejam daripada ibu tiri. ''Kini saya berazam biarlah saya didik dan besarkan anak-anak ini di samping saya sendiri mengejar kejayaan diri saya yang suatu masa dulu terhalang disebabkan perkahwinan ini.

''Dia boleh campak saya, tetapi jangan buang anak-anak sendiri. Ziarah mereka bila-bila ada waktu. Betul anak-anaknya sudah lebih sedozen, tetapi itu tidak bermakna dia bencikan anak-anak daripada isteri ketiga?'' demikian cerita Atika tentang hidupnya. Benar juga kata Atika kasih sayang seorang suami terhadap isterinya boleh diputuskan, tetapi bolehkah dia memutuskan kasihnya terhadap anak-anak?

Anak-anak adalah amanah Allah kepada ayah untuk membesar dan mendidik mereka dengan baik, begitu juga kepada ibunya dengan tugas tertentu, kegagalan anda akan dipertanggungjawabkan satu hari nanti. Balasannya bukan sahaja akan diterima semasa anda mati atau di akhirat, tetapi terpaksa dipikul sewaktu anda masih hidup lagi.

Kredit : UtusanMalaysia


  

Hitam Putih, Pahit Manis Sebagai Guru Kepada Anak-Anak Syurga


Menjadi guru pendidikan khas bermula  pada tahun 1996 apabila bertukar mengikut suami ke Kuantan. Ditempatkan di sebuah sekolah yang tidak kurang gahnya di Kuantan yang pada masa itu sangat kekurangan tenaga pengajar dalam bidang berkenaan. Setelah dinasihatkan oleh guru besar yang bersungguh-sungguh meminta saya mencuba dulu sebelum menolak  daripada mengajar murid-murid Pendidikan Khas.  Saya terima cabaran itu kerana saya tidak pernah mengenali murid-murid seumpama itu. Juga saya tidak pernah membayangkan bagaimana keadaan murid-murid yang bakal saya hadapi. Apabila berbual dengan guru-guru Pendidikan Khas yang sedia ada ketika itu, mereka memberikan kata-kata semangat supaya berkenalan dulu dengan murid-murid. 

Saya mengambil masa hampir tiga bulan untuk menyesuaikan diri. Adakalanya menitis juga air mata dan merintih dalam hati kenapalah murid-murid begini yang perlu saya hadapi. Jauh di sudut hati tidak berbaloi menjadi seorang guru kalau beginilah murid-muridnya. Begitulah kata hati. Saya memerhati rakan sekerja yang lain mengajar dan cuba berdampingan dengan mereka, jauh disudut hati saya tidak mampu hendak berbuat demikian. Hari demi hari rasa kecintaan datang berputik sedikit demi sedikit. Murid-murid itu tidak ada rasa malu, murid-murid itu mahu belajar rupanya, murid-murid itu punya perasaan rupanya dan murid-murid itu sangat peramah orangnya jika kita bersedia menerima mereka dengan baik. Dalam kesuraman rasa dan kegundahan lara saya mula mengorak langkah, belajar, bertanya dan membaiki diri dari semasa ke semasa. Pada masa itu hubungan dengan rakan guru sangat baik, seperti adik beradik. 

Apabila seorang terluka semuanya akan terasa pedih. Apabila kata-kata tak sama dengan apa yang dibuat semua orang akan kena tempiasnya. Pada zaman 90an itu belum banyak program yang di buka dan muridnya tidak ramai. Pada masa itu juga kadangkala hubungan baik itu akan goyah kalau tidak kena sepakatnya. Dalam kalangan guru Pendidikan Khas ada yang berbeza perwatakannya, ada yang bersungguh-sungguh mengajar dan tidak kurang juga yang sibuk dengan urusan sekolah sehingga mengabaikan anak-anak khas. Pada masa itu tekanan dari pihak pentadbir dan guru lain sangat hebat. Masih menjadi igauan lagi….” apa yang saya nak nilai awak?...murid-murid awak tidak menyumbang apa-apa kepada sekolah….apa yang awak ajar itu tidak bermakna apa-apa…”. Namun kata-kata itulah pembakar semangat walau pedih terhiris namun digagahi juga demi maruah anak-anak khas. 

Betul murid-murid khas kami tidak memberi apa-apa kepada sekolah, tidak menaikkan prestasi sekolah, tidak menjulang nama sekolah dalam kegiatan luar namun mereka ada harga diri dan maruah sama seperti insan lain. Mereka tidak minta dijadikan begitu. Malah ketika itu jauh di sudut hati masih mampu berkata-kata kalau tidak ada mereka sudah tentu manusia ini akan alpa. Begitu besar ciptaan illahi sebenarnya menjadikan mereka untuk menguji hati insan lain supaya insaf dan sedar Allah mengkehendaki ianya berlaku dengan izinnya. Berbuat baik kepada mereka akan mampu menghapuskan dosa-dosa masa lalu kita dan memandang rendah kepada mereka bermakna kita memandang rendah juga apa yang Allah jadikan. Kehadiran mereka bukan sekadar untuk menguji hati manusia malah satu peringatan kepada yang lain. 

“ Awak bukan mengajar macam cikgu di arus perdana, awak tak ubah macam pengasuh je……”. Benar…pengasuh inilah yang memberi erti kehidupan kepada murid-murid khas. Pengasuh inilah yang membimbing tingkah laku dan adap sopan yang mana ibu bapa tidak mampu pun mendidik mereka sedemikian kerana kasih sayang yang melimpah ruah. Pengasuh inilah yang menyuapkan makanan tatkala cikgu lain berseronok menikmati makanan. Pengasuh inilah yang mendukung, mengangkat pergi ke tandas kerana tidak mahu mereka dianggap tidak berguna oleh guru lain. Pengasuh inilah yang melenting bila ada guru lain yang memperlekehkan anak muridnya. Pengasuh inilah yang memimpin tangan mereka masuk ke kelas dengan harapan segunung tinggi. 

Walaupun murid hanya mampu menyebut sepatah perkataan …” egu…”( cikgu )  maka berderailah airmata pengasuh ini kerana rupanya muridnya ada suara dan memahami apa yang diajarnya. Murid ini akan bertepuk  tangan bila nampak guru menuju ke kelas dan murid ini akan lari lintang pukang kerana pengasuh ini sangat tegas kerana menjadikan mereka manusia-manusia yang kenal erti disiplin. Pengasuh inilah yang menjadikan mereka ramah dan boleh bertegur sapa. Pengasuh inilah yang selalu menjadi sebutan di rumah dan menjadi bualan dengan ibu bapa serta adik beradik. Pengasuh ini jugalah yang menyambut dan menghantar mereka di pintu pagar sekolah setiap hari, Pengasuh inilah yang berlari keliling sekolah kerana takut keselamatan murid-murid mereka sedangkan guru lain hanya ketawa. Pengasuh ini yang setiap hari pakaiannya disalut dengan air liur dan hingusan murid-murid khas. 

Sedangkan guru lain angkat kaki bila  nampak kelibat murid-murid khas ini. Mereka tidak faham apa-apa tetapi yang berkecil hati adalah pengasuh ini, yang menitiskan air mata. Memandang hina kepada muridnya bermakna hina jugalah dirinya. Pada waktu itu kudrat dan semangat masih kuat. Biarpun cabaran yang mendatang di terima dengan positif dan berusaha membuktikan saya mampu melakukan semua tugas dengan baik. Beban tugas bukan penghalang lagi sekiranya kita mampu berusaha secara positif. ….”Guru Pendidikan Khas perlu menjawat semua jawatan penting dalam sekolah barulah boleh nilai prestasi kerjanya….”. Saya kesal ramai guru sealiran mengambil kesempatan dari kesibukan itu sehingga mengabaikan proses pengajaran dan pembelajaran murid –murid khas. 

Kesibukan dengan aktiviti luar sekolah pastinya menyebabkan rakan sekerja menerima tekanan dalam mengurus murid-murid khas, pengajaran pun tidak dapat berjalan dengan sempurna. Kekecewaan inilah yang mendorong ramai guru Pendidikan Khas menyambung pengajian kerana tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi dan kehadiran mereka selama ini seolah tidak disedari. Pada masa itu belum ada peruntukan perbelanjaan bagi murid-murid Pendidikan Khas, elaun RM 60.00 itulah yang saya gunakan untuk meyediakan bahan pengajaran dan peralatan untuk kegunaan murid-murid Pendidikan Khas. “ Awak tak layak dapat elaun ni…..apa kerja yang awak buat elaun sama banyak dengan pentadbir….awak sepatut balik lewat sama macam pentadbir…” . 

Sesekali semangat itu akan luntur juga , kekuatan itu akan lebur dan langkah kaki menjadi lemah berjalan menuju ke sekolah dengan hampa. Bukan mudah untuk bangunkan kelas Pendidikan Khas supaya gahnya sama dengan kelas arus perdana. Banyak masa dan perkara perlu dikorbankan demi membuktikan bahawa kami juga ada cita-cita dan keinginan untuk cemerlang. Saya bina rasa kekecewaan itu  bersama tekad dan hasrat sekolah saya pada ketika itu akan menjulang namanya demi anak-anak khas. Gahnya nama sekolah ketika itu, ramai pelawat datang menjengah kononnya antara program yang terbaik  di negeri Pahang. “…..Apa yang ada kat sini , sampai semua orang datang melawat…..saya tengok biasa je….murid-murid tak cemerlang pun…harapkan kelas je yang cantik…..”. 

Saya tahu sebagai manusia biasa jauh di sudut hati pastinya ada rasa bangga bila nama sekolah jadi sebutan walaupun masyarakat sekolah itu sendiri tidak sedar kewujudan kelas Pendidikan Khas. Belum  pun sembuh luka yang ditinggalkan , bertambah parutnya dengan sikap rakan-rakan seangkatan. Tidak ada kesungguhan , yang penting dapat gaji …..” buat apa nak susah-susah buat program….murid bukan tau apa pun….” . Itulah yang ada dalam minda mereka , setiap hari perbincangan  hanya tertumpu pada  baju, kasut, beg tangan , alat solek dan sebagainya. Niat ke sekolah bukan kerana murid-murid Pendidikan Khas tapi sekadar petunjukan fesyen dan gaya terkini. Malang sekali saya rasa terkesan bila ada segelintirnya mempunyai sikap sambil lewa dan tidak ambil kisah pada murid-murid Pendidikan Khas. Ada yang murid boleh belajar terabai kerana tidak ada kesungguhan.

Sebahagian guru-guru baru yang ada hanya sekadar tempelan sahaja. Bukan sahaja bangga dengan kelulusan yang mereka ada bahkan sikap dan intrapersonal tidak sesuai dengan kelulusan yang ada. Hebat berkata-kata dan semangat serta hebatnya  mengajar hanya dalam tempoh praktikum sahaja. Kesungguhan hanya kerana ingin mendapatkan nama sebagai seorang guru dan mendapat pekerjaan. Guru-guru lama tersinggung kerana sikap dan lakunya yang kadangkala tidak profesional. Apabila dah bergelar guru semuanya hampa belaka, yang penting bagi mereka, dapat gaji setiap bulan. Murid masih berada di tahap yang lama , kadangkala murid sendiri boleh menilai bagaimana guru itu mengjara mereka. Memang patut pun sekiranya ada penjaga selalu komplen yang mana anak mereka tidak apa-apa di sekolah kerana p@p kurang ditekankan. 

Guru asyik dengan aktiviti lain sehingga masa mengajar terabai hingga tamat persekolahan. Harapan ibu bapa supaya anak-anak dapat menguasai sedikit kemahiran 3M kerana bagi mereka tujuan hantar ke sekolah untuk pandai membaca. “….Cikgu anak saya ni takut nak pergi sekolah sebab cikgu paksa dia menulis……tak payah la mengajar beria sangat….takkan pandainya…..asalkan ada orang jaga kat sekolah sudah le…..”. Guru mana yang tidak kecewa bila ada ibu bapa begini. Ini belum lagi soal makan minum dan pakaian sekolahnya.  Simpati dengan murid-murid Pendidikan Khas memuncak bila sesetengah ibu bapa tidak pernah mengambil berat bahkan bertanya kepada guru mengenai masalah anak mereka. ….” Cikgu boleh tak saya nak keluarkan elaun anak saya sebab nak beli telefon……anak saya mesti ganti balik  telefon saya ….dia yang rosakkan….”, sedangkan pakaian sekolah anak pun tidak terurus dengan baik. 

Saya sedih  dengan sikap ibu bapa yang selalu ambil mudah hal anak-anak khas ini. Guru akan rasa cemas bila murid-muridnya lari dari kawasan sekolah tetapi ibu bapanya selamba je kerana mereka tahu guru akan cari sampai jumpa dan hantar ke semula ke rumah. Kadangkala sebagai guru saya kecewa dengan sikap ibu bapa yang tidak perihatin dan mengambil kesempatan dengan bantuan kewangan yang diperolehi. Anak tetap seperti itu juga dengan pakaian yang tidak terurus. Tergamaknya pinjam duit anak nak buat berniaga , nak bayar sewa rumah, nak bayar yuran adik beradik lain sedangkan yang punya hak tidak terbela nasibnya. Guru-guru bersungguh-sungguh supaya murid dapat belajar dengan sempurna sedangkan ibu bapa tidak ada rasa bersalah pun hanya kerana anak itu tidak dalam golongan yang cerdik pandai. 

Saat yang paling menyedihkan apabila saya kehilangan seorang sahabat yang sama-sama berjuang menaikan nama sekolah , sama-sama menahan kesabaran menjulang nama baik Pendidikan Khas , sama-sama membuktikan bahawa akhirnya berbaloi menjadi guru Pendidikan Khas.  Seiring bersama menimba ilmu , sepakat membuat program, sama-sama memberi  tunjuk ajar dan saling memperingati antara satu sama lain. Saya rasa kehilangannya amat dirasai kerana sudah pastinya tidak akan pengganti seumpamanya. Beliau pernah melahirkan kekesalan dengan sikap guru-guru yang tidak komited dan menghormati beliau sebagai pemimpin di sekolah tersebut. Ilmu yang ada pada beliau sempat saya pelajari dan praktikan di sekolah baru saya. Kerugian yang amat sangat bila sudah tiada barulah masing-masing sedar bahawa selama ini memandang tidak tepat , teguran tidak dihirau. 

Kehilangan yang sangat terkesan pada semua hati rakan dan kehilangan beliau belum tentu dapat menutup segala kesedihan dan rasa terkilan beliau pada rakan seangkatan.  Bahkan ada yang mengambil kesempatan cuba menafikan apa yang beliau lakukan dalam Pendidikan Khas. Sehingga hari ini masih tidak dapat mencari pengganti beliau Cuma yang ada hanya kawan-kawan yang meneruskan usaha beliau supaya ilmu yang ditinggalkan dapat dimanfaatkan selamanya. Kadangkala bila seseorang sudah tiada barulah kita sedar bahawa  ada banyak perkara yang kita tidak sempat hendak tunaikan. Tidak bermakna  biarpun  menggunung penghargaan  yang  telah tiada pergi dengan rasa kecewa dan terkilan. Terkilan dengan kawan-kawan yang tidak memberi komitmen yang baik, kawan-kawan yang selalu alpa dengan kesenangan yang ada sehingga lupa ada banyak tanggungjawab yang perlu ditunaikan. 

Kealpaan itu tersentak dengan kepergian arwah, hilang dari pandangan sekelip mata. Namun jauh dari sudut hati seakan kami merasa arwah tetap ada selagi kami bersama dengan murid-murid khas. Guru lain mula memandang opsyen Pendidikan Khas bila elaun dinaikkan  dan beban tugas diarus perdana semakin berat. Guru yang pernah mencemuh dan memandang sinis Pendidikan Khas cuba menanam minat mengajar murid-murid ini tetapi sebenarnya mereka tidak memandang dengan kasih sayang , tidak  rela  mencemarkan diri dengan murid-murid ini. Sebenarnya mereka tidak tahu betapa penatnya , betapa peritnya menjadikan insan yang kurang upaya ini sebagai insan yang dipandang normal oleh orang lain.”……….kalau saya mengajar Pendidikan Khas …saya tak nak ajar murid-murid yang berhingus tu….”. 

Jadi jelas dan nyatalah bahawa niat mereka bukan kerana kasih sayang terhadap murid-murid khas, hanya sekadar elaun dan mengelak dari beban tugas lain di sekolah. Guru itu tidak sedar bahawa semua jawatan penting dalam sekolah semua di sandang oleh guru Pendidikan Khas. Begitulah tanggapannya. Kehadiran  Pembantu Pengursan Murid (ppm) sangat bermakna bagi kami. Terima kasih  kepada yang sudi menjadi ppm kerana tidak akan ada pekerja yang sebaik  mereka. Sebelum kehadiran mereka semuanya perlu dilakukan oleh guru tetapi pada masa itu semuanya mampu dilakukan. Guru menjadi ibu, pengasuh dan pendidik. Dulu program pendidikan khas belum ada peruntukan kewangan yang dibekalkan oleh kementerian. Berbekalkan elaun mengajar RM 60 itu digunakan untuk menyediakan sebarang kelengkapan dalam kelas dan bbm murid. 

Hari ini sangat susah hendak mentadbir sesebuah kelas sekiranya tidak ada ppm kerana kebanyakan murid mempunyai masalah yang pelbagai.  Walaupun demikian ada segelintir ppm yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dari guru tidak mampu memberi komitmen yang baik sejajar dengan bidang tugas mereka.  Mereka seolah hendak menjadi  seorang guru juga.  Kadangkala mereka juga tertekan kerana selalu menerima sindiran daripada pembantu tadbir sekolah. Itulah cabaran menjadi ppm yang sentiasa menjadi rebutan antara guru dan pihak pentadbir. Bagi saya masalah tidak akan timbul sekiranya mereka faham bidang tugas masing-masing. 

Bukan senang hendak membentuk satu komuniti kecil yang boleh bekerjasama, seiring sependapat kerana setiap orang ada kepentingan masing-masing. Pentadbir lain selalu berkata guru-guru pendidikan khas terlalu berkira dengan kerja. Tanggapan itu ada kalanya salah kerana kebanyakan tugas utama semua terletak di atas bahu kami. Akhirnya ada  juga guru besar mengakui kalau tidak ada guru pendidikan khas mungkin banyak aktiviti tidak dapat dijalankan. Itulah kelebihan sekolah integrasi walaupun ada guru terpaksa menjalankan tugas dengan rasa terpaksa. Tanggapan itu juga ada kalanya benar kerana kebanyakan guru baru , generasi baru dalam pendidikan khas sukar dibentuk dan tidak sependapat dengan generasi lama. 

Melaui jalan singkat untuk menjadi seorang guru menyebabkan tidak ada rasa empati dan kesungguhan yang mendalam. Lebih-lebih lagi bila datang dengan kelulusan yang tinggi banyak pekerjaan lain yang dibuat dalam masa yang sama. Pekerjaan sebagai guru hanya tempat untuk bertapak dengan selesa. Dalam minda golongan ini sudah pasti tidak tercatat wajah-wajah murid khas tetapi  bagaimana nak tambah pendapatan yang lebih banyak. Waktu dalam kelas pun sibuk dengan merancang dan melaksanakan tugasan luar. 

Saya pernah berkata kalau rasa dengan pendapatan guru tidak cukup untuk menampung hidup dan tidak boleh menggunakan ilmu yang ada untuk kemajuan murid khas baiklah letak jawatan daripada terus menanggung hutang dengan murid.  Bagi saya individu yang macam inilah yang akan memusnahkan kerjaya guru-guru pendidikan khas dan prasangka yang kita cuba tepis selama ini tidak ada menjadi kenyataan. Bagaimana perasaan ibu bapa jika mereka melihat guru-guru ini sibuk dengan pakaian, kasutnya , beg tangannya, andamannya, dalam kelas sedangkan murid terbiar dengan pembantu yang tugasnya untuk menjaga murid. Berapa banyak dosa lagi yang harus ditanggung dan dipikul jika waktu pengajaran dan pembelajaran pun  kita tidak beratkan. 

Sangat susah nak ubah tanggapan ke atas guru-guru muda mengenai  tanggungjawab yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak khas. Sikap dan rasa lebih hebat dari guru lama kerana dengan kelulusan yang mereka.
Walaubagaimanapun disebalik kesedihan dan keperitan itu  tercatat seribu kenangan manis bersama ibu bapa dan penjaga. Guru mana yang tidak rasa seronok bila  kepercayaan yang menggunung daripada pihak ibu bapa. Kami guru sebagai tempat mengadu hal dan segala masalah, kadangkala sehingga kepada masalah rumahtangga. Kami sentiasa memberi  motivasi dan perangsang kepada mereka  kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Sekurang-kurangnya perasaan yang lama terpendam dapat dirungkaikan sedikit bersama keyakinan meneruskan kehidupan. 

Jika guru berasa susah dengan murid-muridnya, lebih lagi ibu bapa yang memikulnya kerana bukan semua penjaga dapat menerima hakikat bahawa anak mereka adalah istimewa. Saat manisnya sangat indah sekali dan kemana saya pergi pun ada ibu bapa yang menegur dan menceritakan hal anaknya. Berhadapan dengan murid-murid sedemikian memerlukan kesabaran yang tinggi. Seronok melihat murid saya berjalan dengan yakin ,boleh bertegur sapa menghulur salam, boleh menikmati makanan yang lazat walau tidak dibekalkan belanja oleh ibu bapa. Tidak ada saat yang paling indah dalam hidup saya apabila murid-murid khas ini sering mengingati nama kita dalam hidup mereka. Kalau terserempak dimana-mana pun mereka tahu dan kenal cikgu mereka.  

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bangganya menjadi guru pendidikan khas jika melihat anak murid yang naik ke sekolah menengah dapat memberikan kejayaan yang baik. Terasa pulak dalam hati selama di sekolah rendah seolah saya tidak pernah berbuat apa-apa. Namun saya tahu pengalaman dan pengetahuan di sekolah rendah yang membawa keyakinan kepada kepada mereka. Sedikit pengetahuan yang ada membolehkan mereka rasa diterima di alam remaja dan boleh bekerja dengan baik. Apabila kita ikhlas membangunkan sesuatu program itu sudah pastinya orang lain akan membuat perbandingan. Apa yang boleh dibanggakan ilmu yang dimanfaatkan dapat diteruskan oleh rakan sejawat dan memjadikan program itu lebih gah lagi. 

Meskipun kita tahu murid-murid khas ini agak  jauh ketinggalan dalam akademik namun saya yakin ilmu pengetahuan itu bukan diukur dengan angka tetapi bagaiman ilmu yang ada itu dapat menjadikan seorang insan yang tidak berupaya boleh hidup dengan masyarakat sekeliling. Saya rasa seronok melihat mereka boleh bergaul dengan murid lain di arus perdana, boleh memberikan persaingan dalam aspek-aspek tertentu. Bagi saya murid-murid pendidikan khas menjadi pendorong untuk terus belajar menambah ilmu pengetahuan. Ketabahan dan kekuatan yang ada kerana kesusahan yang alami bersama dengan murid-murid khas. Saya ingin membuktikan bahawa guru pendidikan khas juga mempunyai wawasan dan cita-cita demi memajukan bidang pendidikan khas. 

Saya ada kekuatan untuk menghadapi apa sahaja, menepis apa sahaja, dan membina satu program yang pada masa akan datang menjadi gah  atas nama pendidikan khas. Saya sangat percaya suatu hari nanti Program Integrasi akan menaikkan nama sekolah sekaligus menjadi pendidikan khas sebagai satu ikon kepada guru lain bahawa mereka juga mampu meninggalkan sesuatau yang bermakna kepada sekolah.  Saya tidak kisah apa tanggapan orang lain kerana mereka juga bukanlah orang yang layak dan tahu tentang urusan kita dalam pendidikan khas.  Kami guru-guru pendidikan khas akan merasa sangat teruja bila ada murid-murid yang mampu mengatasi keupayaan murid di arus perdana. 

Ini akan memberi semangat  agar kami terus berusaha sebaik mungkin. Suatu hari nanti tidak akan ada dah orang berkata “…macam mana murid khas, macam itulah juga guru-gurunya……”. .Betapa bangganya menjadi guru pendidikan khas bila akhirnya ada juga pentadbir mengakui kalau tidak ada pendidikan khas nama sekolah ini tidak akan dikenali. Walaubagaimanapun  saya sangat memahami apa yang tersirat dalam hati sanubari guru-guru pendidikan khas selama ini. Mereka mengharapkan dapat bernaung dibawah satu pentadbiran yang mantap , yang memahami kesusahan itu, yang tahu menghargai bila perlu kerana yang berada di sekolah itu cabarannya sangat hebat. 

Kami semua mahu rakan sekerja bersatu hati dan berpegang pada satu prinsip yang sama. Pemimpin yang mempunyai jiwa dan mampu menyelami ke dasar  hati sanubari warga pendidikan khas. Setinggi mana sekalipun kita berada jika hati dan perasaan tidak sehaluan dengan situasi sekarang tidak perlu memaksa diri meneruskannya kerana ianya akan lebih menyakitkan. Jika suatu masa dulu kita tidak berkesempatan melakukan yang terbaik maka sekarang la masanya dengan jawatan yang kita sandang supaya dapat menebus semula segala dosa masa lalu.  Buatlah yang terbaik supaya pohon keluarga pendidikan khas yang kita bina sejak bertahun dulu akan terus mekar dan mampu mengukir senyuman kejayaan dalam pelbagai peringkat mengikut kemampuan yang ada.  

Guru-guru tidak akan dapat bangun dengan tegap sekiranya akar umbinya tidak kukuh dan kuat. Kesepakatan dan kesepaduan sangat penting hanya  kerana kita tidak berfungsi maka tercampaklah ke tempat yang kita ada sekarang. Semua mata sedang memandang dan menilai, sudah sampai masanya kita sentap hati-hati mereka yang alpa atau kita buang terus supaya tidak menjadi duri dalam daging. Duri itu wajar kita gantikan dengan dengan kasih sayang sejagat sehingga timbullah ungkapan rasa dari anak-anak khas  iaitu:

            Kedatangan guru  yang dimuliakan
            Kedatangan ditunggu dengan lapang dada
            Kedatangan ditunggu dengan kasih sayang
            Kedatangan disambut dengan rasa syukur
            Kehilangan yang pasti akan amat dirasai.


 Cikgusue pkhas.

Kredit : cikgusuepkhas



 

Di Tipu Sekumpulan Individu Memberi Barang Percuma, Hati-hati Apabila Membawa Warga Emas



Pernah tak korang jalan-jalan di shopping mall atau mana-mana karnival jualan, dan  tiba-tiba korang di approach oleh sekumpulan individu yang ingin mempromosikan barang jualan mereka. Situasi macam ni dah selalu nampak kan? Tapi pernah tak korang terkena, korang diberitahu yang korang dapat barang PERCUMA. Kalau nak ambil barang percuma tu, diorang suruh datang duduk di booth dan akan bermulalah kisah drama mereka kat situ.
Perghhh...admin pernah kena kali pertama, masa tu tak ada pengalaman, memang jenuh nak kata 'TAK NAK'. Nak keluar dari tempat duduk diorang pun seolah-olah terhalang. Diorang punya team ramai , sama-sama bersepakat nak bagi kita terpedaya dengan tawaran diorang. Lepas tu kali kedua pun pernah kena , tapi masa ni admin dah dapat baca agenda diorang, jadi memang tak ada masalah untuk admin reject tawaran diorang, sebab dah ada pengalaman pertama kan. Sekali je admin bagi ayat padu kat diorang, terus diorang taknak approach dah hahaha.
Jadi nak pesan kat korang supaya berhati-hati apabila berhadapan dengan situasi macam ni. Paling-paling utama kena berpesan kepada warga-warga emas , macam ibu dan ayah kita. Diorang orang tua, memang senang kena pengaruh , kecuali yang betul-betul educated lah. Kalau orang kampung, memang senanglah kena tipu dan diperdaya. Sebab kumpulan individu ni memang dah terlatih untuk bercakap dan memperdaya orang ramai, sampaikan kita tak akan di beri peluang untuk bercakap dan menolak tawaran tersebut.
Kita ikuti kisah pengalaman orang tua kepada Puan Norhaliza Mohd Nor, yang mana ayah beliau telah ditipu bulat-bulat oleh sekumpulan manusia yang menawarkan barang percuma tetapi ada motif disebaliknya menyebabkan orang tuanya kerugian wang sejumlah RM3,988 melalui kad kredit. Semoga perkongsian kisah ini boleh di ambil sebagai iktibar kepada semua pembaca untuk lebih peka dan berwaspada apabila menghadapi situasi begini. Fikir dan bertindak dengan BIJAK !!
-Admin Laman Qaseh-

Kedua ibubapa saya telah ditipu oleh sekumpulan manusia di Tesco Mutiara Damansara pada petang semalam. Mulanya, dihulurkan beg grocery yang kononnya diberikan percuma. Selepas itu, mereka memanggil kedua-dua ibubapa saya untuk duduk sebab kononnya penerima beg percuma itu kena tulis nama. 
Haaa... masa inilah dengan cepatnya ibubapa saya ditipu oleh sekumpulan manusia ini. Mereka menunjukkan satu set pembersih hampagas cleaner yang dijual. Kedua ibubapa saya kata mereka tidak mahu membeli sebab sudah ada sebuah di rumah. 
Kemudian salah seorang jurujual yang dikenali dengan nama "Bella", telah memberikan sebuah gajet kepada ibu saya dan meminta ibu saya untuk menekan skrin di gajet tersebut. Gajet yang sama diberi kepada ayah saya dan diminta untuk melakukan yang sama. Lo and behold!

Ayah saya telah memenangi dua barang percuma, satu set pembersih hampagas yang dikatakan bernilai RM3,680 dan sebuah ketuhar gelombang yang dikatakan bernilai RM3,988.

Seterusnya, ayah saya diberikan gajet tersebut untuk menekan sekali lagi. Kali ini ayah saya mendapat bonus sebanyak RM100 yang sekaligus melayakkan ayah saya mendapat sebuah set penapis air yang boleh digunakan secara percuma selama 3 bulan. Sekiranya berminat, Julai nanti baru mula bayar sebanyak RM80 sebulan selama 48 bulan.

Kemudian ayah saya ditanya samada beliau ada memiliki apa-apa kad kredit. Terus terang kat sini saya pun tak faham macamana ayah saya boleh keluarkan beg duitnya. Si Bella tadi ternampak kad kredit HSBC dan terus mengambil dari tangan ayah saya.

Seorang lagi jurujual bertanya kepada ayah saya, sudah berapa lama kad kredit HSBC itu digunakan kerana menurut mereka, kalau lebih daripada 2 tahun, ayah saya layak mendapat satu multi-cooker secara percuma. Wah! Percuma lagi!

Entah bila masa kad tu dileretkan pun tidak tahulah. Tiba-tiba ayah saya diberikan beberapa dokumen untuk ditandatangani. Jujur cakap, untuk seorang yang sudah berusia 74 tahun yang memang tidak pernah menggunakan kad kredit untuk beli barang-barang, bila diserahkan dokumen-dokumen itu, tidak terlintas difikirannya bahawa bayaran melalui kad kredit telah pun dibuat.

Saya mengambil gambar dokumen2 yang telah diberi kepada ayah saya sementara menunggu tuan supervisor tiba. Di sebelah saya adalah salah seorang daripada dua salesgirls di situ.

Bila pulang ke rumah dan meneliti terma-terma dalam dokumen tersebut barulah ayah saya sedari bahawa dirinya telah ditipu dan wang sejumlah RM3,988 telah dicaj ke kad kreditnya.

Berang dengan perkara itu, saya dan suami bergegas pulang dari sekolah anak bongsu dan terus ke Tesco Mutiara Damansara untuk fight untuk ayah saya yang juga telah pulang semula ke Tesco untuk minta duitnya dikembalikan.

Setibanya di sana, kami segera meminta supaya keseluruhan transaksi dibatalkan dan wang ayah saya dipulangkan. Kami bertegas bahawa mereka telah mengelirukan ayah saya dan telah menipunya. Si Bella ni tadi menelefon supaya penyelianya untuk turun untuk berjumpa kami.

"Bella” menelefon supervisornya untuk turun berjumpa kami
Wah, sudah macam samseng rupa si penyelia ini. Kami terus bertegas dengan penyelia ini untuk batalkan transaksi dan pulangkan kembali duit ayah saya. Penyelia enggan kerana katanya ayah saya telah faham semua terma dan telah tandatangani dokumen-dokumen yang diberikan.

Kami tetap bertegas bahawa ayah saya telah ditipu dan diperdaya dan mereka telah menipu ayah saya. Tiada disebut ayah saya perlu membayar atau membeli apa-apa tetapi wang telah diambil.

Maka, berlakulah insiden jerit-menjerit selepas itu sehingga saya sendiri menggigil kerana terlalu marah. Tak heran dah dengan orang keliling. Ayah saya telah ditipu dan saya takkan sesekali membiarkan manusia-manusia ni terlepas begitu sahaja.

Encik suami membuat beberapa panggilan dan memaklumkan kepada saya. Sebelum kami beredar, saya sebut kepada si Bella “wait for the authorities to come“. Dia hanya senyum kepada saya, seolah-olah mereka telah menang, dan kami telah kalah.

"Bella” yang bertegas bahawa mereka telah menerangkan segalanya kepada ayah saya. Walhalnya mereka telah menipu dengan bercerita tentang yang percuma sahaja. Tidak disebut langsung tentang sebarang pembelian.Eiii… masih boleh ingat waktu ni.

Saya menggigil kemarahan. Bila keluar perkataan “bullshit” daripada mulut saya, supervisor tu bukan main marah seolah2 perkataan tu a four-letter word. Grrrr!!!! Si supervisor sedang memarahi “Bella” dan menyuruhnya supaya diam. Saya cuba dapatkan nama penuh “Bella” tapi dilarang oleh encik supervisor.

Pulang ke rumah dan setelah berbincang dengan semua adik beradik saya, kami bersetuju bahawa satu laporan polis perlu dibuat kerana kami mungkin telah dan akan menyebabkan kesusahan kepada kumpulan manusia ini.

Kami khuatir kedua ibubapa saya akan menghadapi apa-apa komplikasi kerana alamat rumah sbgnya ada pada kumpulan manusia ini. Selepas maghrib, saya dan suami pun ke balai polis Taman Tun Dr Ismail bersama ayah untuk membuat laporan polis.

Pagi tadi, kami dimaklumkan bahawa pihak KPDNKK telah pergi petang semalam juga dengan membuat penyamaran. Dipendekkan lagi cerita, mereka telah ditahan dan akan didakwa.

Alhamdulillah! Baru rasa puas hati saya. Mengambil kesempatan kepada warga emas untuk kesenangan hidup sendiri. Memang pantang tok neneklah kan?

Lupa mahu cerita. Selepas ayah saya menandatangani dokumen2 yang diberi, mereka seolah-olah begitu gembira. Siap suruh ayah saya belanja mereka makan lagi dan lagi sekali saya tak faham di sini bagaimana dengan mudah ibubapa saya bersetuju untuk belanja pulut durian, pulut mangga, siap dengan air minum lagi. Adalah dalam RM50 jugak untuk semua mereka tu. Adakah kedua ibubapa saya telah dipukau? Wallahu a’lam.

Moral of the story

Elakkan mengambil apa-apa yang dihulurkan secara percuma. Sorry to all guys who are honest. Tapi disebabkan oleh manusia2 macam ni, saya semakin tidak percaya kepada sesiapa yang cuba nak beri apa2 secara percuma.

There is no such thing as free gifts. Mesti ada “catch”nya. Tambah2 masa zaman ekonomi meleset seperti sekarang.

Sekian, terima kasih.




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.