SLIDER

Miskin Tapi Jiwa Mulia

16 Jun 2017


Ketika saya singgah untuk membeli makanan sahur, saya melihat kakak yang berniaga sendirian di hadapan Bank Islam Kangar tadi. Dia berniaga kerepek dan buah mempelam sala. Saya terharu melihatnya kerana jam sudah hampir 11 malam.

Saya singgah bertanya hal keadaan beliau. Beliau memberitahu beliau dari Simpang Empat Sanglang. Telah lama berniaga. Beliau ada suami dan anak istimewa. Zakat MAIPs memang ada membantu beliau namun dalam masa yang sama beliau juga ingin berusaha sendiri. Jiwa saya tersentuh mendengar cerita beliau. Saya membeli sedikit jualannya sebagai penghormatan kepada usaha beliau, kemudian menghulurkan sedikit bantuan. 

Beliau tidak meminta pun dari saya. Saya suruh isteri saya mengajak beliau makan di restoran berdekatan. Beliau menolak kerana katanya sudah makan masa bukan puasa tadi. Semasa saya hendak ke kereta beliau memberikan kepada saya buah mempelam. Saya menolak. Namun beliau tetap ingin berikan. Saya rasa serba salah. Barangkali beliau ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan kecil tadi. Jiwanya mulia. Saya tersentuh.

Sebenarnya saya sampai ke Perlis dari Mekah jam 1 pagi tadi. Pukul 8 pagi saya kena mempengerusikan mesyuarat KUIPs selama 2 jam lebih. Kemudian pukul 11 pagi mesyuarat kedua saya iaitu JK Mesyuarat Kewangan MAIPs. Walaupun amat letih pagi tadi, namun saya agak bersemangat apabila membincangkan masalah terdapat asnaf fakir miskin yang suka terus miskin agar mereka terus menerima bantuan. Mereka enggan berusaha sekalipun sihat kerana selesa mendapat bantuan setiap bulan tanpa usaha. Kami bincang langkah-langkah mengatasi masalah itu. Saya amat dukacita apabila memikirkan zakat tidak membangunkan sekelompok masyarakat bahkan menjadikan mereka malas berusaha.

Malam ini, rezeki Allah saya berjumpa dengan kakak ini. Sekalipun masih letih, melihat sikap beliau memberikan saya semangat. Semoga ramai orang sepertinya. Kita semua mesti membantu orang yang mempunyai sikap yang baik ini. Mari kita doakan agar Allah memudahkan rezeki orang yang seperti ini.

Nabi s.a.w bersabda :
لأن يَحتطبَ أحدُكم حُزمَةً على ظهرِه ، خيرٌ من أن يَسألَ أَحَدًا ، فيُعطيَه أو يمنعَه

"Jika seseorang kamu mencari satu ikatan kayu api di atas belakangnya (untuk dijual) lebih baik dari dia meminta daripada orang lain, samada orang itu memberi atau tidak" (Riwayat al-Bukhari).

Semasa dalam kereta saya ambil gambar kakak ini. Gambar samar sahaja. Harap status ini tidak menyusahkan beliau. Terfikir dalam jiwa saya betapa orang sepertinya lebih mulia di sisi Allah dibandingkan saya ini. Dengan ujian Allah terhadapnya, dia berusaha sedayanya. Sementara saya dengan sedikit ujian nikmat ini, mampukah saya bersyukur kepadaNYA dalam erti yang mendalam sebagai seorang hamba Allah?!! 

Ya Allah! Ampunilah.

Kredit :  Fb DrMaza



Tangani Masalah Mat Rempit Dari Kaca Mata Mat Motor


SAYA merupakan ‘mat motor’ dan pernah terlibat dengan aktiviti ekstrem sehingga dikenakan tindakan Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 Seksyen 49(1) pada 1990-an.
Jika apa yang saya lakukan seperti berlumba, melakukan aksi bahaya dan pelbagai gelagat di luar norma penunggang motosikal yang normal itu dikatakan lagak ‘mat rempit’, maka wajar saya digelar ‘mat rempit’. Dan saya tidak bangga pun akan gelaran tersebut.
Pengalaman lampau membuatkan saya lebih kenal dunia ‘mat rempit’ yang heboh diperkatakan sekarang. Jika dibaca, dilihat dan didengar, ‘mat rempit’ adalah remaja yang jahat, memberontak, seks bebas, mempertaruhkan perempuan sebagai hadiah perlumbaan haram, curi motor, bergaduh, peminum arak, salah guna dadah dan pelbagai lagi perangai liar.
Simptom mat rempit sebenarnya telah wujud sejak tahun 1970-an hingga sekarang. Perbezaannya adalah cara merempit mengikut perkembangan zaman. Malah kepesatan ekonomi dan pemodenan juga menyumbang kepada perubahan gejala rempit.
Dengan sebuah motosikal boleh dibeli dengan membayar deposit semurah RM200 dan penurunan taraf penggunaan motosikal sebagai alat pengangkutan pilihan kedua kerana lambakan kereta yang murah di pasaran juga menjadi faktor penyumbang.
Jika dulu anak-anak muda bergerak dengan berjalan kaki dan menaiki bas, sekarang mereka bebas ke mana-mana sama ada menunggang motosikal sendiri atau motosikal kepunyaan ayah dan abang.
Jika dahulu aktiviti mereka hanya dalam lingkungan satu kilometer dari rumah, kini mereka boleh bergerak melebihi 20 kilometer.
Atas pelbagai alasan termasuk kebosanan dan pengaruh rakan sebaya, pada malam minggu sahaja dianggarkan lebih 500 hingga 1,000 mat rempit berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur. Ternyata gejala rempit sekarang menjadi cara hidup remaja masa kini.
Lihat sahaja laman web Myspace. Rata-rata remaja bersekolah atau pun berusia awal 20-an menjadikan rempit sebagai cara hidup dan ikutan untuk menjadi lebih cool tanpa mengetahui implikasi buruk di sebaliknya.
Kumpulan-kumpulan mat rempit baru tumbuh bagaikan cendawan. Majoriti berumur 13 tahun hingga hujung 20-an.
Jika semuanya ditangkap, disabitkan kesalahan dan dihukum, mereka bakal menjadi banduan. Adakah kita mahu bekas-bekas banduan menggantikan tempat kita?
Dalam kita sibuk menuding jari dan menuntut hukuman yang lebih tegas, fikirkanlah adakah pernah kita mendidik anak-anak kita tentang gejala buruk rempit ini?
Di sekolah ada kempen keselamatan jalan raya, tapi berapa ramaikah pelajar yang benar-benar dilibatkan di seluruh negara?
Saya sebagai Presiden Kelab Motosikal RD CLUB, telah 10 tahun berkempen membanteras lumba haram dan kegiatan rempit, namun tidak terdapat satu pun risalah Majlis Keselamatan Jalan Raya mengenai gejala tersebut.
Saya terpaksa menggunakan risalah Agensi Dadah Kebangsaan bagi menasihatkan mat rempit supaya jangan menggunakan dadah berbahaya ketika menunggang.
Walau pun RD CLUB tidak mendapat bantuan daripada kerajaan, kami tetap bergerak walau dengan dana kewangan yang amat terhad.
Sesekali apabila melihat mat rempit mengangkat tayar hadapan atau berdiri di atas motosikal ketika motosikal sedang bergerak di jalan awam, pasti gelagat mereka dipandang dengan penuh rasa benci.
Tetapi tahukah kita bahawa di luar negara, aksi yang memerlukan skil yang tinggi itu juga menjadi kegilaan ‘mat motor’ di sana.
Namun aksi tersebut yang dipanggil stunt dialihkan dari jalan awam ke lokasi khas sama ada kawasan parkir atau kawasan lapang jauh dari jalan awam untuk dijadikan tontonan penonton.
Aktiviti tersebut yang dipantau dan dikawal dapat dikomersialkan sebagai pertunjukan motosikal sama ada bertaraf tempatan mahupun dunia.
Kenapa kita di Malaysia tidak boleh menyediakan lokasi dan kemudahan lain bagi aktiviti seumpama itu. Mat rempit suka aksi mereka ditonton orang lain, maka jalan raya awam menjadi tumpuan mereka kerana terdapat penonton.
Wajar kita menyediakan prasarana khas untuk mereka beraksi tanpa gangguan pihak berkuasa dan tanpa mengganggu orang lain.
Tentulah tidak semua mat rempit akan menggunakan prasarana khas yang disediakan untuk mereka, tapi majoriti akan ke sana.
Hanya ‘mat rempit tegar’ sahaja akan terus beraksi di jalan raya awam.
Disebabkan bilangan mereka tidak ramai, pasti lebih mudah bagi pihak berkuasa untuk membanteras mat rempit tegar ini.
Secara tidak langsung, prasarana yang disediakan dapat mengasingkan ‘mat rempit tegar’ dan ‘mat rempit tidak tegar’.
Saya amat bersetuju jika ‘mat rempit tegar’ itu digelar ‘mat bodoh’ kerana setelah diberi pendidikan dan peluang untuk beraksi secara sihat dan selamat, mereka masih tidak menggunakan akal untuk berubah.
Apa pun, mereka hanyalah sekadar anak-anak muda yang melakukan kesalahan trafik. Jika disabitkan kesalahan dan selesai menjalani hukuman, mereka mestilah diberikan bimbingan melalui motivasi dan kaunseling.
Jika tidak, mereka akan terus terawang-awang dalam mencari hala tuju dan akhirnya kembali ke kegiatan lama.
Malah dikhuatiri mereka yang telah menjalani hukuman tapi tidak berubah, akhirnya akan menjadi lebih ekstrem dan ganas.
Kesimpulannya, kita tidak boleh hanya menghukum, tapi mestilah mendidik di sekolah dan melalui kempen serta ceramah.
Kita mestilah menyediakan prasarana dan mengatur program untuk mereka. Kita juga hendaklah menyediakan program pemulihan selepas hukuman dalam bentuk motivasi dan kaunseling.
Saya telah menyaksikan aplikasi rangkuman beberapa aspek tersebut berjaya membentuk seorang mat rempit yang telah menjalani hukuman penjara untuk menjadi seorang guru sekolah yang amat berdedikasi.
– AZHANYZAM ZAKARIA,
Presiden RD CLUB.

Kredit : UtusanMalaysia


Peminat Fanatik, Kuala Pilah Syurga Emas Murah


PADA sekitar 80-an, saya pernah teman nenek ke sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah. Kalau tak silap, beli barang kemas untuk nenek sendiri.

Mulanya memang saya mengelak bila nenek mengajak. Dalam hati lebih baik duduk berbaring di katil, membaca novel sambil berkhayal bersama watak dan perjalanan plotnya.

Tapi saya tidak dapat mengelak 'ajakan paksa' nenek.

Melangkah masuk ke Kedai Emas Poh Soon, tiada yang menarik minat saya. Walau kedai itu kelihatan baharu, walau barangan kemas yang tersusun mengeluarkan cahaya berkilau, entah kenapa...hati tidak terpikat.

Lagipun ketika itu bagi saya, barang kemas (emas) adalah aksesori orang tua. Malah melihat perempuan bagai kedai emas bergerak, pemandangan saya jadi semak.

Waktu nenek berbual dengan uncle bertubuh kurus sambil menunjuk-nunjuk barang kemas tersimpan dalam cermin kaca, mata saya melilau memandang arah luar kedai. Tiada yang menarik dalam kedai itu untuk perhatian.

Tapi bila nenek mula tawar menawar, saya mula beralih mengadap.

Nenek bijak berbalah harga. Saya tidak ingat berapa segram emas 916 ditawarkan pada masa itu. Yang saya ingat, nenek akan minta kurang sehingga lebih daripada 10 ringgit selepas uncle kurus buka mulut.

Bila nenek menjeling, saya sudah faham. Saya perlu mendarab jumlah sebenar barang kemas yang mahu nenek beli. Itulah tugas khas saya setiap kali nenek bawa ke kedai emas.

Itu cerita waktu usia saya masih belasan tahun.

Kini nenek sudah lama tiada. Tapi yang paling saya ingat, nenek pernah pesan "kalau beli emas di sini (Kuala Pilah) mesti tawar sehingga serendah RM30 daripada harga pasaran."



Hari ini, Kedai Emas Poh Soon masih wujud di pekan Kuala Pilah.

Saya tidak tahu uncle kurus masih ada di kedai itu atau pun tidak. Tapi yang pasti Kedai Emas Poh Soon dan enam lagi kedai emas lain di pekan Kuala Pilah, semakin terkenal di seluruh Malaysia. Malah ada warga Singapura yang datang ke Kuala Pilah semata-mata untuk beli emas.

Kenapa Kuala Pilah? Benarkah harga emas di bandar kecil ini jauh lebih murah berbanding tempat lain?

Sebenarnya, harga emas murah di Kuala Pilah bukan satu cerita baru. Peminat dan pengumpul emas sudah mengetahuinya sejak lama dulu.
Dan untuk memastikan kebenarannya, Kedai Emas Poh Soon dijadikan premis terjahan pertama.


Daftar persatuan

“Ramai dari negeri luar datang sini beli emas. Mereka cakap harga sini murah berbanding tempat lain,” kata peniaga Kedai Emas Poh Soon, lebih dikenali Poh, 60-an.

Beliau berkata, harga emas di sini murah disebabkan kedai tersebut telah berdaftar dengan Persatuan Pekedai Emas Malaysia.

“Saya tidak tahu harga emas kedai lain kerana ia berbeza. Ada kedai berdaftar dengan persatuan, ada tidak.

“Kalau dulu, harga emas 916 di sini boleh mencecah RM120 segram dan harganya akan berubah setiap hari.

“Hari ini, harga emas RM133 segram manakala harga pasaran luar, RM170. Memang ia jauh lebih murah,” katanya.

Poh yang sudah berniaga selama lebih 30 tahun, sering didatangi pelanggan dari luar Negeri Sembilan.

“Ada pelanggan datang dari Perak, Singapura, Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang, dan semua yang datang ke sini, tahu emas di Kuala Pilah murah melalui internet.
“Walaupun harga murah, kualiti juga bagus setanding di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, pelanggan setia, R Santhi, 46, berkata, kedai ini jauh lebih murah dan kualiti emas juga sangat bagus.

“Saya selalu datang kedai ini untuk beli emas, kerana harganya berbeza dengan tempat lain, lagi pun  pekerja di sini sangat peramah dan membuatkan kita rasa selesa.

“Saya memang tahu emas di Kuala Pilah murah. Malah saya turut mempromosikan kepada adik-beradik, rakan-rakan untuk beli emas di sini. Pastinya amat berbaloi,” katanya.

Rani, 53, pula memberitahu, harga emas di Kuala Pilah pernah mencecah serendah RM120 segram, baru-baru ini.

“Waktu itu, memang ramai orang di kedai emas. Hari ini harga naik sedikit tetapi ia masih lagi antara termurah.

“Tidak semua kedai emas di sini jual harga sama walaupun jarak antara satu kedai dengan yang lain hanya beberapa langkah. Ada yang lebih RM2 hingga RM3.

Orang ramai perlu bijak memilih kedai mana paling murah dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Zawiyah Hamzah, 65, dari Felda Bukit Rokan sanggup berkunjung ke Kuala Pilah semata-mata mahu membeli emas.

“Makcik sudah tahu, emas di sini murah. Makcik sanggup datang walau jauh. Walaupun murah, tetapi kualiti baik dan sama di tempat lain.

"Di Kedai Chan Kwong, harga emas RM135 segram. Ini pun dah kira murah berbanding di Bahau dan negeri lain,” katanya.

Menurut pekerja kedai runcit, Maisuri A Rashid, 50, fenomena emas murah di Kuala Pilah sudah lama diperkatakan.

“Saya yang kerja di kedai runcit ini pun sering ditanya pelanggan tentang harga emas. Bukan setakat orang Negeri Sembilan, malah dari negeri lain pun ramai.

“Saya akui emas di Kuala Pilah memang murah. Saya suka pergi ke kedai emas Cheah Poh Hing, kerana  banyak design yang cantik dan terbaru,” katanya.

Selain itu, katanya, pembeli boleh memeriksa ketulenan emas yang dijual di mana-mana kedai, bagi mendapatkan kesahihan emas itu, dan terbukti emas yang dijual di Kuala Pilah adalah asli.

“Jangan dengar bila orang cakap, harga emas murah tidak berkualiti. Bohong. Ia berkualiti dan tulen sama sahaja di kedai-kedai lain,” katanya.

Kredit : SinarHarian 

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

###########################################################################

Adakah anda peminat barangan kemas?
Saya bukanlah peminat barangan emas ni tetapi hendak tak hendak, macam mana pun akan ada masanya dalam hidup seorang lelaki perlu ke kedai emas untuk membeli barangan emas bagi dijadikan hantaran pada bakal isteri.
Kita boleh nampak ada pelbagai jenis butik emas yang menjual emas di serata tempat, dengan nama-nama terkenal yang kerap keudara iklan mempromosikan produk emas mereka.
Tetapi saya nak memberitahu anda tentang kedai emas paling berbaloi di Semenanjung Malaysia dengan harga emas murah sekitar RM15 ke RM30 satu gram. Kalau beli gelang 8 gram, kita dah mampu jimat RM120.
Kedai emas yang saya maksudkan adalah pekan Kuala Pilah.
Jika anda berkunjung ke pekan Kuala Pilah atau lebih senang di panggil Pilah sahaja, anda akan perasan kedai emas pasti wujud di setiap deretan kedai di sana. Ini kerana di Kuala Pilah, tidak tahulah apa kisahnya, kebanyakan kedai yang menjual emas di situ tidak berdaftar dengan Persatuan Pekedai Emas Malaysia.
Apabila tidak didaftarkan, penjual emas berhak menentukan sendiri harga jualan mereka yang pastinya berbeza dengan jualan peniaga berdaftar yang perlu mengikut harga persatuan.

Untuk ke pekan Kuala Pilah tidak susah, jika anda dari Kuala Lumpur hanya ikut lebuhraya LEKAS dan ikut saja papan tanda ke Pilah. Dari Melaka boleh ikut jalan melalui Inas sementara yang datang dari Pantai Timur, boleh ikut jalan Muadzam Shah atau jalan Bentong melalui Simpang Pelangai.
Jika anda tanya saya berbaloi atau tidak datang ke Kuala Pilah membeli emas, saya minta anda sendiri datang ke Kuala Pilah dan tengok ragam pembeli di sini. Tanya pada mereka dari mana mereka datang. Jangan terkejut pula kalau rata-rata yang ada di kedai itu bukan orang Pilah.

Kedainya mungkin tidaklah serupa butik serta penjualnya tidak memakai uniform, tapi produknya tetap sama. Saya sangat-sangat mengesyorkan sesiapa yang ingin mencari barangan kemas untuk dihadiahkan sempena perkahwinan supaya datang berkunjung dahulu.
Ada banyak kedai jadi tinjau-tinjau lah dulu. Apa yang saya tahu, pada ketika artikrl ini ditulis jika harga emas di butik mewah berharga RM185 1 gram, di Pilah harganya hanya sekitar RM168-RM170.
Harga pula boleh tawar menawar sampai puas hati. Nak beraya ni, kan lagi cantik kalau isteri kita gelangnya sampai ke siku.
Kredit : Iluminasi 




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.