SLIDER

Memerangi Pedofilia Tanggungjawab Semua

30 Sept 2024

 


Pedofilia dan pornografi kanak-kanak bukan isu enteng sebaliknya memerlukan perhatian kritikal. Dalam dunia serba moden ini, teknologi Internet dan gajet pintar menjadikan manusia semakin tenggelam dalam arus maklumat tanpa sempadan. Ledakan ini secara sedar memberi ruang cukup luas kepada industri pornografi untuk berkembang pesat.

Realitinya, tidak kira di mana anak muda kita berada ketika ini, akses pornografi melalui Internet dan telefon pintar menjadi sumber yang teramat sukar dikawal. Membandingkan pulangan industri ini dengan syarikat terkemuka dunia tiga tahun lalu, pornografi dilaporkan membawa keuntungan lebih besar daripada Google, Microsoft, Apple mahupun Amazon.

Tidak hairan jika dikhabarkan 12 peratus daripada seluruh laman web di dunia ini menjadi jaringan pornografi. Namun yang lebih menakutkan apabila statistik Google Trends melaporkan Malaysia menduduki tangga kelapan sebagai negara paling banyak pencari maklumat berkaitan pornografi!

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, pedofilia dan pornografi kanak-kanak adalah bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Kelompok ini sepatutnya disayangi dan dilindungi, bukan didera atau dieksploitasi secara fizikal, mental mahupun seksual.

“Kita pernah dikejutkan dengan berita mengenai Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang penuntut jurusan Matematik di Imperial College yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London selepas didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak, termasuk 601 imej ‘kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kelompok bawah umur.

“Kita juga pernah berdepan kes pedofilia membabitkan warga Britain, Richard Huckle yang didakwa melakukan jenayah seksual terhadap 23 kanak-kanak dan bayi Malaysia serta Kemboja berusia enam bulan hingga 12 tahun. Dia juga didakwa mencabul sehingga 200 kanak-kanak, kebanyakannya daripada masyarakat miskin di Kuala Lumpur dari 2006 hingga 2014.

“Kes sebeginilah yang menimbulkan kerisauan, sekali gus menggesa IKRAM untuk mengambil tindakan dengan cepat dan tepat. Ini perlu ditangani berikutan ancaman yang semakin menular, merentasi sempadan dunia melalui kemudahan Internet dan pelbagai bentuk teknologi maklumat kini. Apa yang kita paling risau adalah kesan pornografi itu sendiri kepada keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita.

“Mereka ini anugerah Allah SWT untuk dijaga, dibelai, dilindungi dan dididik dengan sebaiknya. Merekalah aset bernilai buat agama dan negara. Generasi baru ini berhak untuk mendapatkan kehidupan yang selamat dan sejahtera,” katanya.

Pedofilia

Menurut Che Asmah, pedofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai kecenderungan seksual kepada kanak-kanak. Ia adalah penyakit psikologi dan boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, mereka ini sukar dikesan kerana kelihatan normal dan sangat mesra dengan kanak-kanak.

“Dunia tanpa sempadan hari ini membuka ruang besar untuk kanak-kanak menggali maklumat. Tanpa kawalan ibu bapa, kelebihan ini sebenarnya boleh membawa risiko besar yang mungkin menjejaskan kesejahteraan dan kebajikan anak pada masa akan datang.

“Ini kerana kes pedofilia sangat berkait rapat dengan penyalahgunaan Internet. Mereka mengeksploitasi kanak-kanak yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi. Sebab itulah bimbingan dan pengawasan ibu bapa, penjaga dan guru sangat penting. Setiap pihak perlu merancang strategi efektif untuk menyelesaikan isu ini.

“Ibu bapa dan guru umpamanya, mereka perlu mempunyai kesedaran dan ilmu jelas mengenai pedofilia. Mereka harus tahu risiko serta ancamannya kepada kanak-kanak. Pengetahuan yang baik mengenai isu ini akan memberi lebih kefahaman kepada kita mengenai punca berlakunya pedofilia, kaedah penyelesaian, kesan gangguan seksual serta cara efektif untuk mengawal serta mencegah masalah ini.

“Paling penting, sebagai ibu bapa, kita harus komited untuk mengambil tahu dan mendalami isu ini kerana setiap anak-anak kita terdedah kepada ancaman pedofilia ini, tidak kira sebagai mangsa atau pemangsa,” katanya.

Memetik satu kajian di Amerika Syarikat, Che Asmah berkata, kira-kira tiga peratus daripada rakyat negara itu dijangka mempunyai masalah berkaitan pedofilia dan melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Pengamal pedofilia ini dikenalpasti pakar psikiatri sebagai kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam kehidupannya. Mereka tertarik melihat kanak-kanak sebagai objek seksual disebabkan pelbagai faktor, antaranya, naluri seks kepada kanak-kanak yang mudah dimanipulasi, tidak yakin untuk bersama wanita dewasa dan masalah hubungan yang terbantut.

“Kebanyakan pedofilia akan mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian ibu bapa dan mudah percaya kepada orang asing. Sebab itu kita galakkan ibu bapa supaya sentiasa memberi tumpuan dan perhatian kepada si manja. Usah berkompromi dalam isu hubungan dan kasih-sayang kerana ia boleh mempengaruhi psikologi kanak-kanak ketika mereka membesar,” katanya.

Mendidik anak

Sekalipun berat, namun ibu bapa tetap perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seks harus diterap di setiap peringkat umur kanak-kanak kerana ia membabitkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Dalam zaman serba canggih ini, ibu bapa harus menguasai ilmu teknologi dan berusaha membimbing anak-anak melayari Internet secara sihat supaya tidak terjebak dalam gejala pornografi dan terdedah kepada ancaman pedofilia.

“Mereka perlu proaktif mendidik anak. Contohnya, ibu bapa di rumah perlu mengamalkan komunikasi terbuka dan asertif untuk menyampaikan maklumat, mengambil kira perwatakan dan kematangan anak-anak. Rangkalah satu jawapan yang baik, jelas dan sesuai dengan usia anak sekiranya mereka bertanyakan soal seks.

“Dalam Islam, pendidikan seks seharusnya bermula dari rumah. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad fil Islam menulis secara terperinci mengenai pendidikan seksual ini mengikut empat tahap umur iaitu mumayyiz (7-10 tahun) yang mana mereka diasingkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan dan diajar adab melihat juga adab meminta izin apabila ingin masuk ke bilik ibu bapa.

“Tahap kedua ialah prabaligh iaitu murahiqah (10-13 tahun). Meraka dididik mengenai perubahan diri juga diawasi daripada perkara yang boleh merangsang nafsu seks. Tahap ketiga umur akil baligh iaitu 14 hingga 16 tahun. Mereka diajar adab berhubungan antara lelaki dan perempuan dan tahap terakhir pada usia 17 tahun ke atas. Mereka ini diberi kefahaman mengenai tanggungjawab reproduksi dan dididik dengan adab menjaga maruah serta kehormatan diri,” katanya.

Jelas Che Asmah, di pusat pendidikan prasekolah dan sekolah rendah kini kanak-kanak seawal usia enam tahun sudah diajar solat dan wuduk. Justeru, tidak salah jika mereka turut diberi penjelasan mengenai haid dan air mani yang membatalkan wuduk.

“Ini bukanlah perkara tabu yang tidak boleh dibincangkan dan diterangkan kepada anak, bahkan ia satu keperluan bagi mereka untuk memahami sistem tubuh dan kepentingan untuk menjaganya.

“Pada era teknologi pesat ini, sekiranya kita tidak proaktif mendidik anak perihal ini, mereka sendiri akan mendapatkan informasi dari sumber Internet yang lebih cepat atau daripada rakan sebaya yang mana kita khuatiri ianya tidak tepat dan tidak sihat.

“Pada usia muda beginilah sebaiknya anak diberi pendedahan mengenai bahaya ancaman jenayah seksual oleh pelaku pedofilia. Bukan saja ibu, malah bapa turut berperanan membimbing mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat daripada orang asing. Ini antara bahagian paling penting dalam pendidikan seksual kanak-kanak kerana kegagalan kita memberi kefahaman sewajarnya kepada mereka akan menyebabkan kes seumpama itu tidak dilaporkan.

“Selain itu, kanak-kanak juga perlu diajar untuk sensitif dan berhati-hati dengan persekitaran, dipersiapkan dengan kemahiran melindungi diri dan dibimbing cara bertindak untuk mencegah perkara buruk. Kekalkan komunikasi baik dengan anak-anak dan galakkan mereka berinteraksi mengenai rutin harian,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi berkualiti antara ibu bapa dan anak akan mencipta telepati kuat antara mereka. Dengan cara ini, ibu bapa biasanya akan memiliki gerak hati jika ada sesuatu perkara yang kurang baik berlaku atau perubahan negatif pada anak.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk keyakinan diri anak-anak supaya berani bersuara dan berkomunikasi sekiranya dibuli atau didera oleh salah seorang daripada pelaku jenayah seksual. Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu sentiasa bersedia untuk mendengar, mempercayai dan menyiasat setiap aduan dari anak-anak walaupun membabitkan ahli keluarga terdekat dan orang yang dipercayai,” katanya.


Kredit : Hmetro

Waspada Child Sexual Grooming. Apa itu Sexual Grooming?

29 Sept 2024

 


Sexual grroming adalah proses di mana seorang pemangsa (biasanya orang dewasa) membina kepercayaan dengan kanak-kanak dan keluarga mereka untuk mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual. Ini boleh berlaku secara bersemuka atau dalam talian melalui media sosial, aplikasi pesanan, atau platform permainan.

Bagaimana Grooming Berlaku?
Pemangsa biasanya memulakan proses dengan membuat kanak-kanak merasa istimewa dan penting. Mereka mungkin memberi hadiah, pujian, atau perhatian yang luar biasa. Sedikit demi sedikit, mereka akan memanipulasi kanak-kanak untuk mematuhi permintaan yang tidak wajar, seperti berkongsi gambar peribadi atau melakukan tindakan yang tidak sesuai. Dalam kes yang lebih teruk, pemangsa mungkin berusaha untuk bertemu dengan kanak-kanak tersebut secara bersemuka.

Tanda-tanda Grooming Seksual
Sebagai ibu bapa atau penjaga, penting untuk peka terhadap perubahan dalam tingkah laku anak anda. Antara tanda-tanda grooming termasuk:

1. Berahsia dengan peranti elektronik
Kanak-kanak mungkin mula merahsiakan penggunaan telefon bimbit atau komputer mereka.

2. Berinteraksi dengan rakan baru yang tidak dikenali
Jika anak anda mula bercakap tentang "rakan" baru yang anda tidak kenal, ini boleh menjadi tanda bahaya.

3. Perubahan emosi atau kelakuan
Kanak-kanak yang sedang digrooming mungkin menunjukkan tanda-tanda kebimbangan, kemurungan, atau kemarahan yang tidak dapat dijelaskan.

4. Hadiah yang tidak diketahui sumbernya
Jika anak anda menerima hadiah daripada seseorang yang tidak dikenali, ia mungkin usaha untuk memanipulasi mereka.

Langkah Pencegahan

1. Pantau Aktiviti Dalam Talian
Pastikan anda tahu dengan siapa anak anda berkomunikasi dalam talian dan hadkan interaksi dengan orang yang tidak dikenali.

2. Bincangkan Risiko Grooming
Bercakap secara terbuka dengan anak anda tentang bahaya grooming seksual dan mengajar mereka untuk mengenali taktik pemangsa.

3. Tetapkan Had Yang Jelas
Ajar anak anda untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dengan sesiapa dalam talian tanpa kebenaran anda.

4. Sentiasa Berkomunikasi
Kekalkan komunikasi yang baik dengan anak anda supaya mereka merasa selamat untuk berkongsi apa-apa yang mengganggu mereka.

Sexual grooming kanak-kanak adalah ancaman yang serius dan perlu diambil perhatian oleh semua ibu bapa. Dengan kesedaran dan langkah-langkah pencegahan yang betul, kita boleh melindungi anak-anak kita daripada bahaya ini. Sentiasa berwaspada dan peka terhadap tanda-tanda grooming, kerana langkah awal boleh menyelamatkan masa depan mereka.

Kredit :
Dr Firdaus Haris

Nama-Nama Ajaran Sesat Dan Kenali Bentuk Serta Ciri-Ciri AJARAN SESAT

27 Sept 2024



Hari ini ajaran sesat telah menjadi satu perkara yang sangat membimbangkan dan ia perlu di hapuskan sehingga tiada lagi saki baki fahaman tersebut, malah tidak boleh diberi ruang serta peluang untuk ajaran tersebut muncul kembali.



KONFLIK MASYARAKAT BERKAITAN PEMAHAMAN AJARAN SESAT

Terdapat segelintir masyarakat yang masih keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ajaran sesat, bahaya dan ciri-cirinya kepada umat Islam terutamanya kepada golongan muda.

Takrif ajaran sesat yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada masa ini adalah “sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu Hadith sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.


Mengikut kata-kata bekas Mufti Mesir Syeikh Ali Jumuah bahawasanya akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah itu ialah golongan yang mengikuti pegangan Nabi SAW atau mengikuti jalan hidup baginda dan para sahabat terutamanya khulafa ar-Rasyidin mengenai akidah, syariah serta akhlak yang dibawa sejak zaman Nabi SAW dan sahabat baginda.

KETAHUILAH BENTUK DAN CIRI-CIRI AJARAN SESAT

Terdapat ajaran, fahaman dan penafsiran yang jelas menyalahi Syariat Islamdalil-dalil agama yang jelas, serta menyalahi metodologi serta kaedah-kaedah yang disepakati ulama’ muktabar. Sebagai panduan umum berkaitan ciri-ciri ajaran sesat, terdapat beberapa ciri utama yang ada pada ajaran sesat yang perlu didedahkan kepada masyarakat agar mereka lebih cakna dan sentiasa berwaspada dengan ajaran-ajaran yang menyesatkan ini. Berikut adalah perinciannya:



CIRI-CIRI UTAMA AJARAN SESAT IALAH :

  1. Ajaran ini akan mudah mempersenda, menghina, mengubah, menambah, meminda serta menafikan keaslian al-Quran yang sedia ada dan ingkar dengan isi kandungan al-Quran serta menafsirkan daripada mana-mana ayat al-Quran dengan sendiri.
  2. Terdapat unsur-unsur mempersenda, menghina dan ingkar serta menidakkan syariat Nabi Muhammad SAW sama ada melalui percakapan dan perbuatan serta i’tikad di dalam hati.
  3. Mencela dan mengkafirkan ahli keluarga serta sahabat – sahabat Rasulullah SAW.
  4. Berselindung di sebalik ayat-ayat suci al-Quran dan hadis yang akhirnya menyebabkan ramai orang terkeliru tentang perkara-perkara ghaib.
  5. Terdapat ketua kumpulan yang akan memperdaya dan mempergunakan pengikut agar mengumpul serta menyerahkan semua harta seperti kereta, rumah, wang ringgit sehinggakan sanggup menyerahkan diri, keluarga dan membayar zakat kepada ketua kumpulan.
  6. Ketua ajaran mengaku sebagai Imam Mahdi dengan mengaitkan wujud persamaan di antara ciri-ciri Imam Mahdi dengan diri ketua ajaran tersebut.
  7. Sentiasa mendakwa bahawa terdapat persamaan dari sudut pengamalan di antara agama Islam dengan agama lain, dengan mendakwa tiada bezanya agama Islam dan agama selain Islam.
  8. Menjadikan amalan tarekat sebagai salah satu modus operandi dalam mencari pengikut dan pengaruh bagi mengaburi mata masyarakat dan mengamalkan wirid-wirid tertentu untuk mencapai maqam tertentu. Ternyata perbuatan ini adalah sebagai satu muslihat bagi mempengaruhi mangsa.


Usaha-usaha mengembangkan ajaran Islam pada hari ini tercabar kerana wujudnya pengaruh yang   cuba memesongkan akidah umat Islam. Perkara ini berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW  hinggalah kepada zaman kini dan umat Islam tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu  penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat. Penyebaran ajaran sesat mungkin dapat  dikekang jika  setiap  individu  Muslim  berwaspada  dan meningkatkan  pengetahuan  agama  serta mengetahui ciri-ciri ajaran sesat itu sendiri menerusi cara yang betul serta  mengelak diri daripada   dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang  kebanyakannya mempunyai agenda peribadi. Allah SWT menyebut melalui firman-NYA :

                      يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ

Maksudnya : Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darajat.

(Surah al-Mujadalah : 11)


Justeru, marilah kita bersama-sama memenuhkan dada dengan ilmu yang benar agar segala kejahatan berkaitan ajaran sesat ini dapat dielakkan dan kehidupan kita mendapat eredhaan Allah SWT.

Kerjasama masyarakat  amat diharapkan untuk menyalurkan maklumat dan apa-apa  aktiviti yang mencurigakan melalui saluran rasmi hotline 24 jam, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor 1 800 88 2424.



Kredit : MAIS.gov.my

Sejarah Ringkas Ashaari Al-Arqam Dan Mengapa Aurad Muhammadiah Diharamkan?

25 Sept 2024


Pihak berkuasa telah menemui pelbagai jenis cetakan buku Zikir Agung atau Aurad Muhammadiah yang diharamkan sejak 1986. Buku-buku wirid ini masih berada di premis GISBH yang diserbu disertakan dengan jadual bacaannya sekali. Mungkin ramai yang bertanya, apakah itu Aurad Muhammadiah?
Aurad Muhammadiyah adalah wirid-wirid yang disusunkan oleh Kiyai Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi dan diamalkan oleh kumpulan tarekat Muhammadiyah.
Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi berasal Wonosobo, Jawa Tengah dan dia meninggal dunia di Kelang pada tahun 1925.
Menurut Manaqib Sheikh Suhaimi, Sheikh Suhaimi mendakwa menerima ijazah wirid Aurad Muhammadiah dari Rasulullah di dalam Kaabah. Dia mendakwa Rasulullah menjelma di hadapannya dan mengajarnya bacaaan Aurad tersebut.
Pengikut Sheikh Suhaimi menyakini bahawa Sheikh Suhaimi ialah wali besar dan Imam Mahdi. Kepercayaan ini juga diwarisi kepada ajaran Al-Arqam, bahkan Al-Arqam menokok tambah lagi dengan pelbagai dakwaan lain menjadikan ia lebih menyimpang.
Sejarah Ringkas
Ashaari Muhammad lahir pada 1937 di kampung Pilin, Negeri Sembilan (12 tahun selepas kematian Sheikh Suhaimi). Ashaari Muhammad kali pertama Ashaari menerima (ijazah) Aurad Muhammadiah adalah daripada Lebai Ibrahim bin Alias (bapa saudaranya).
Manakala Lebai Ibrahim mempelajari Aurad Muhammadiah daripada Sheikh Suhaimi sekitar tahun 1915 di Kampung Sungai Udang, Teluk Pulai, Kelang iaitu sepuluh tahun sebelum Sheikh Suhaimi meninggal dunia (1925). Lebai Ibrahim berkawan rapat dengan Muhammad Khairullah bin Muhammad al-Suhaimi (anak Sheikh Suhaimi). Muhammad Khairullah juga merupakan guru yang mengijazahkan Aurad Muhammad kepada Lebai Ibrahim.
Ketika Ashaari menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, Lebai Ibrahim berpesan kepadanya supaya mengamalkan aurad ini setiap kali selepas menunaikan solat fardu.
Pada tahun 1956, Ashaari berkenalan dengan Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah, cucu Sheikh Suhaimi di Kampung Sungai Udang, Kelang, perhubungan rapat Ashaari dengan Muhammad Abdullah lebih kurang selama dua tahun. Dalam tempoh ini, Muhammad Abdullah menceritakan kepada Ashaari tentang sejarah Aurad Muhammadiah, perkara karomah yang ada pada Sheikh Suhaimi dan kepercayaan dia bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi.
Pada pertengahan tahun 1958, Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah mengijazahkan Aurad Muhammadiah kepada Ashaari atas permintaan Ashaari sendiri. Walaupun Ashaari telah menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, tetapi dia menerima Aurad Muhammadiah daripada Muhammad Abdullah untuk kali kedua atas dua sebab, iaitu
Pertama, terdapat perbezaan dalam isi kandungan Aurad Muhammadiah. Aurad Muhammadiah yang diterima daripada Lebai Ibrahim tidak terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi” sebelum perkataan “Khalifah Rasulillah” sedangkan dalam pengijazahan kedua yang diterima daripada Muhammad Abdullah terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi”.
Kedua, Ashaari beriman bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi berdasarkan cerita-cerita karomah yang telah disampaikan oleh cucu Sheikh Suhaimi.
Pada tahun 1968, Ashaari mula menyebar ajaran Aurad Muhammadiah melalui organisasi pertamanya iaitu Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Setelah itu berubah menjadi jemaah Darul Arqam atau Al-Arqam.
Ashaari juga telah melakukan tokok tambah ke atas ajaran Aurad Muhammadiah dengan beberapa lafaz bacaan dan kepercayaan. Antaranya kepercayaan mereka Sheikh Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ashaari, Sheikh Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir. Mereka menggelarkan Sheikh Suhaimi dengan panggilan “Sayidi”.
Dalam Aurad Muhammad Al-Arqam, Ashaari juga telah menambah lafaz selepas “Ila hadhratin naby”:
“Kepada Abuya Sheikh Imam Ashaari bin Muhammad At-Tamimi, dan kepada Lebai Ibrahim dan khasnya kepada Sayidi Syeikh Muhammad As-Suhaimim Imamul Mahdi”
Yang mana lafaz ini tidak ada pada amalan Aurad Muhammadiah versi selain Al-Arqam.
Atas beberapa kepercayaan sesat yang penuh dengan pembohongan ini akhirnya Aurad ini telah diharamkan pada tahun 1986. Setelah itu kerajaan Malaysia telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam pada tahun 1994.
Walaupun Ashaari telah isytihar taubat secara terbuka, namun ahli Al-Arqam percaya itu hanya ucapan taqiyyah Ashaari kerana kononnya dia diancam dan dipaksa untuk membuat pengakuan taubat tersebut. Natijahnya taubat Ashaari itu tidak bernilai di sisi majoriti ahli Al-Arqam dan mereka terus mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.
Setelah Ashaari meninggal dunia pada tahun 2010. Jemaah mereka pada waktu itu Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) melalui Ummu Jah telah mendakwa Abuya tidak mati, tetapi hanya ghaib seperti ghaibnya Sheikh Suhaimi (Sayidi). Lalu Ummu Jah mendakwa roh Abuya telah bergabung dengan roh Sayidi (Sheikh Suhaimi) dan roh Rasulullah. Dari situ muncul istilah Rasulullah Sayidi Abuya atau R.S.A.
Jelas bahawa ajaran asas yang dipegang oleh Al-Arqam ini penuh dengan penyelewengan. Ia bermula dari dakwaan pengikut Sheikh Suhaimi bertemu dengan nabi dan nabi mengajar bacaan Aurad tersebut di dalam Kaabah. Ini merupakan penipuan yang sangat jelas, menipu atas nama nabi dan menipu orang ramai. Wirid itu hanyalah rekaan Sheikh Suhaimi dan bukannya datang dari Nabi.
Ditambah pula dengan dakwaan kesesatan Abuya Ashaari mengatakan Sheikh Suhaimi tidak mati tetapi hanya ghaib. Selepas itu ditambah pula dengan dakwaan isteri Abuya, Ummu Jah setelah Abuya meninggal dia mengulangi dakwaan yang sama iaitu Abuya tidak mati tetapi hanya ghaib.
Begitulah kesesatan ke atas kesesatan yang semakin parah di dalam jemaah ini. Sehingga kini, amalan dan kepercayaan ini masih wujud di dalam kelompok GISBH. Bacaan dan ajaran Aurad Muhammadiah masih diteruskan. Pihak berkuasa juga telah menemui buku-buku Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan ini digunakan sehingga sekarang.
Selama mana lagi umat Islam perlu berdepan dengan taqiyyah jemaah ini?





Kepercayaan Disebalik Bulu Abuya Faktor Janggut & Rambutnya Dicukur Sewaktu Tahanan ISA
Pada tahun 1994, negara telah digemparkan dengan berita pengharaman Al-Arqam dan penangkapan pemimpin Al-Arqam. Mereka dikenakan tahanan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketika tahanan itu, Abuya Ashaari ditampilkan ke khalayak ramai dengan keadaan janggut, misai dan rambutnya yang telah dicukur. Pada masa yang sama Abuya mengucapkan pengakuan taubatnya dengan berjanji akan meninggalkan ajaran Aurad Muhammadiah dan sebarang fahaman menyeleweng.
Terdapat faktor penting mengapa pihak berkuasa memotong janggut dan rambut Abuya Ashaari pada ketika itu. Itu merupakan satu cara pihak berkuasa memecahkan kepercayaan karut dan penipuan yang berlaku dalam jemaah tersebut.
Ini kerana dalam jemaah Al-Arqam pada ketika itu mempercayai bahawa Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh oleh musuh walau sehelai bulu romanya.
Kepercayaan ini muncul disebalik pembohongan yang direka oleh Azura Mohd Yusof isteri kepada Nasiruddin Ali. pada waktu itu, Azura mengaku dia telah yaqazah dengan Nabi Muhammad pada setiap malam bersama dengan Abuya. Kononnya dia menjadi perantaraan dan dirasuk roh Nabi Muhammad ke dalam jasadnya lalu bercakap dengan Abuya Ashaari mewakili pihak Nabi Muhammad.
Melalui pembohongan percakapan Azura dalam majlis yaqazah itu telah muncul ramalan-ramalan akan datang bahawa Abuya akan memimpin nusantara dan menjadi tentera Imam Mahdi melalui cara akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia dan sekaligus presiden Indonesia.
Pada masa sama, Azura mengatakan “Abuya tidak akan ditangkap dan disentuh (diusik) oleh musuh walau sehelai bulu roma.”
Oleh itu, pihak berkuasa mengambil tindakan untuk mencukur bulu Abuya bukan tujuan untuk mengambil berkat, tetapi kerana kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menghancurkan kepercayaan dan pegangan karut jemaah Al-Arqam pada waktu itu. Hasil perbuatan itu, ia berjaya membuatkan ramai ahli Al-Arqam meninggalkan jemaah kerana merasa tertipu dengan pembohongan yang dibuat atas nama agama. Ini kerana bukan sahaja Abuya ditangkap malah bulunya juga dicukur.
Untuk kes GISBH yang terkini, terdapat beberapa tindakan seperti ini perlu dilakukan selain perlu menjalani istitabah untuk pemulihan. Antaranya perlu buktikan bahawa GISBH tidak lagi beriman dengan dakwaan Ummu Jah untuk menjadikan kedua anak perempuannya iaitu Fatimah dan Fathiyyah sebagai bakal isteri Imam Mahdi dan Nabi Isa. Perlu segara kahwinkan mereka berdua dan rombak kepercayaan kemahdian Sheikh Suhaimi.
Kedua, buang gelaran At-Tamimi pada semua keluarga Abuya Ashaari. Jika nama gelaran itu telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, mohon agar dibenarkan pertukaran nama untuk membuang gelaran tersebut. Ini kerana keluarga Abuya bukan keturunan bani Tamim dan nasab itu direka secara palsu untuk mensabitkan dirinya sebagai kabilah keluarga yang akan menjadi tentera Imam Mahdi. Gelaran At-Tamimi pada dirinya itu merupakan doktrin ajaran sesat yang dibawa oleh Abuya selama ini. Jika benar mereka bertaubat, maka hapuskan gelaran ini dan tidak boleh kaitkan keluarga mereka dengan bani Tamim.
Dua perkara ini melibatkan kepercayaan sesat yang diwarisi sejak dulu lagi. Oleh itu, ia perlu dipecahkan agar tidak lagi diwarisi pada masa akan datang.
Kita doakan agar Allah memberikan taufiq dan hidayahNya kepada mereka agar dapat terhindar daripada kesesatan yang berulang.

Kredit : PUKAS-1
Kredit : PUKAS-2

Kronologi GISBH Sehingga 21 September 2024

21 Sept 2024

 



Berikut kronologi kes itu setakat hari ini :


16 Ogos – Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam GISBH.

6 Sept – Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISBH yang memerlukan siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.

11 Sept – Polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Kuantan, Pahang, berhubung operasi pada awal pagi itu.

Beliau mendedahkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat.

Baki 392 menjalani ujian saringan kesihatan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

GISBH mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menyatakan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.

12 Sept – Proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan diteruskan di Pulapol Kuala Lumpur.

Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISBH. Tertuduh mengaku tidak bersalah.

13 Sept – Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISBH diterima sejak 2011 hingga September tahun ini.

Seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya di bawah umur tiada keperluan disiasat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal akidah, salah guna kuasa dan agama serta penderaan kanak-kanak perkara serius yang perlu ditangani segera.

14 Sept – Sidang media ketiga Ketua Polis Negara yang menyatakan serbuan terhadap 20 rumah amal melalui Op Global itu adalah hasil risikan dan siasatan polis selama enam bulan.

Siasatan terhadap syarikat itu bagaimanapun telah dijalankan sejak 2011 dan polis telah bertemu dengan wakil PUKAS enam bulan lepas.

15 Sept – Polis mengesahkan 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.

Seramai 384 kanak-kanak dan remaja selesai menjalani saringan kesihatan dan hasil saringan itu mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan.

17 Sept – Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 96 akaun milik GISBH dibekukan, serta empat akaun ditutup melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.

Keseluruhan 392 mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai jalani saringan kesihatan, elemen jenayah fizikal dan emosi dikesan.

Tiga kertas siasatan berhubung Op Global dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

18 Sept – Seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISBH, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas.

19 Sept – 19 individu termasuk pengurusan tertingggi, isteri serta beberapa pemimpin GISBH direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. Mereka mengaku tidak bersalah.

20 Sept – Tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang. Mereka termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH.

Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban dan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

21 Sept – Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISBH diserbu dan polis merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Di Melaka, sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam termasuk gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISBH.

Di Kelantan,  tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISBH di Kampung Panji diserbu dan pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan GISBH ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.



Kredit : Bernama

Kredit : MKN

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.