SLIDER

Perempuan Makin ‘Menua’, Tiada Lagi Nak ‘Bersuka Ria’, Cuma Hidup Nak Tenang-Tenang

1 Oct 2022



Zaman muda, perasaan nak tahu apa saja dan terokai dunia sentiasa membuak-buak. Masa inilah kawan mesti sentiasa ada untuk bersuka ria dan berkongsi cerita. Belum lagi dapat bercuti dan keluar bersama-sama. Kalau boleh masa muda inilah nak rasai pengalaman dan bersuka ria. Belum lagi ‘bergosip, dengan kawan-kawan. Opss…Malah, darh muda ini, hatinya cepat panas, memberontak, tak suka ini dan itu. Semua ada.

Tapi, bila usia makin meningkat, perangai pun dah sedikit demi sedikit berubah. Kurang rasa panas baran, tak suka. Lebih penting, bila dah mendirikan rumah tangga, perempuan biasanya akan lebih menumpukan kepada rumah tangga. Kiranya zaman bersuka ria atau orang cakap ‘zaman laro’ itu dah tak ada dah. Ini belum lagi perubahan pada diri kita. Makin menua, lebih fikirkan kepada dunia akhirat dan tak tahu bila ajal akan tiba. Betul tak? Inilah perubahan ketara bila perempuan makin menua. Nak tahu apa lagi, ikuti perkongsian daripada Siti Suryani Yaakop ini ada benarnya.


Zaman Bersuka Ria Dah Berlalu Orang perempuan bila dia sedar dia makin ‘menua’….


1. Mula pakai baju longgar. Dia tahu batang tubuh adalah aurat. Malu rasa nak pakai ketat-ketat. Segan rasa nak kenakan yang sendat-sendat. Dia sendiri akan sedar pakai longgar-longgar pun cantik juga. 

2. Dah tak ada kisah sangat fesyen ke apa. Dulu semua nak kena match. Dari baju sampai tudung membawa ke kasut. Belum kira handbag lagi. Sampai takda tempat gantung. Sekarang takda kisah mana. Janji dia rasa kemas dan selesa. 

3. Dia dah tak berapa nak membeli terutama untuk diri sendiri. Rasa ada dah semua. Kalau beli untuk anak, berapa pun tak apa. Tapi kalau beli kat diri sendiri tudung 10 ringgit pun fikir 10 kali. Nak ingat semula dah ada kat rumah ke belum lagi. 

4. Dia malas layan drama. “Ikut kau lah Bedah”. Dulu semua benda kalau tak kena rasa nak cakap. Sekarang paling malas, konfrontasi. Dah makin berusia dia makin tahu. Betapa banyak sebenarnya benda remeh yang dia boleh saja biarkan berlalu. 

5. Dia kurang cerewet. Mudahnya dulu order makan kena betul-betul ikut spec. Sekarang minta nasi goreng kampung tapi orang bagi nasi goreng cina pun, makan lah juga. Malas nak bising mana. 

6. Dia semakin kurang panas baran. Dia lebih sabar dan tenang. Dia dah tahu akibat dari panas baran ni tak pernah elok. Memalukan dan menyusahkan diri sendiri juga di akhirnya. 

7. Dia banyak bersendiri. ‘Me time’ dulu nak kena ada kengkawan sentiasa di tepi. ‘Me time’ sekarang ialah masa bertenang dan santai sorang-sorang diri. 

8. Dia mula lepaskan dunia perlahan-lahan. Pangkat, tak apa. Duit, sedekah. Barang, bagi kat orang. Femes, tak perlu. Semakin lama dia semakin sedar dunia ini tiada lah perlu lagi digenggam begitu kuat. Dipegang begitu erat. 

9. Dia kurang dah hiburan dan TV. Dulu drama jam 7 malam dia lah paling hafal. Sekarang dia tahu dah waktu mana boleh tengok. Lama mana hendak tengok. Jenis apa patut tengok. Kadang tak kenal pun artis mana-mana. 

10. Sebab dia dah mula tahu ke arah mana masa dia sepatutnya habis. Dalam hidup tak berapa banyak sisa ni dia sedar…’Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian’. 

11. Dia sibuk upgrade diri dalam cara yang dia mahu. Tanpa kisah orang tahu. Lagi rahsia lagi baik. Dan tanpa menilai orang disekeliling. Dia anggap orang lain pun sedang upgrade diri juga. Secara rahsia. Sama macam dia. Tak nampak di mata bukan bermakna orang tak buat apa.

Mingguan Wanita : Zaman muda dah berlalu. Sekarang tumpukan pada keluarga dengan besarkan anak-anak dan nak hidup tenangtenang, malas nak fikir perkara remeh temeh. Buang masa. 


Kredit: Siti Suryani Yaakop 

Kredit : MingguanWanita



Inilah Senarai Penyakit Jantung Yang Lazim Di Malaysia! Jom Ambil Tahu Sekarang

27 Aug 2022

 


Tahukah anda, apakah jenis penyakit jantung yang lazim di Malaysia? Mungkin ramai pernah dengar mengenai sakit jantung dan strok, tapi sebenarnya ada banyak lagi penyakit jantung yang anda perlu tahu.

Penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian di seluruh dunia. Di Malaysia, penyakit ini lebih dikenali dengan nama penyakit jantung dan telah menjadi punca kematian utama hampir sedekad lamanya.

Kebanyakan bentuk penyakit jantung boleh dirawat atau dielakkan dengan cara mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, hampir 1.7 juta rakyat hidup dengan 3 jenis faktor utama penyakit jantung iaitu diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi.

Malah, 3.4 juta lagi rakyat Malaysia mempunyai dua faktor risiko utama seperti yang diterangkan di atas. Perkara inilah yang menyebabkan begitu ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit jantung.

Apakah maksud penyakit jantung dan jenis jenisnya

Sebenarnya, penyakit jantung merupakan satu terma universal yang digunakan untuk merujuk kepada penyakit atau kondisi yang mempengaruhi jantung manusia. Ini termasuklah:

  1. Penyakit jantung koronari – penyakit yang berlaku pada kawasan salur darah yang menuju ke jantung.
  2. Penyakit serebrovaskular – penyakit pada salur darah yang menuju ke otak.
  3. Penyakit arteri periferal – penyakit pada saluran darah yang menuju ke tangan dan kaki.
  4. Penyakit jantung reumatik – kecederaan pada otot dan injap jantung disebabkan demam reumatik.
  5. Penyakit jantung kongenital – kerosakan struktur jantung sejak lahir.
  6. Thrombosis vena dalam – darah beku pada kawasan kaki yang boleh tercabut dan bergerak ke bahagian jantung dan paru-paru.

Jantung merupakan organ yang paling penting dalam sistem kardiovaskular.

Melalui saluran darah, jantung bertindak mengepam dan membekalkan oksigen kepada semua sel di dalam badan manusia.

Penyakit jantung akan terjadi apabila saluran darah dan jantung tidak dapat melakukan fungsinya seperti biasa.

Disebabkan sistem kardiovaskular menghubungkan jantung kepada bahagian badan yang lain, penyakit ini juga boleh memberikan kesan yang negatif kepada organ lain.

Jenis penyakit jantung yang lazim di Malaysia

Ada banyak penyakit jantung yang lazim di Malaysia. Antaranya adalah:

1. Penyakit jantung koronari

Di Malaysia, jenis penyakit jantung yang paling lazim berlaku ialah penyakit arteri koronari. Penyakit ini terjadi apabila terdapatnya pengumpulan plak pada kawasan arteri.

Penyakit yang turut dikenali dengan nama penyakit jantung koronari ini boleh menyebabkan simptom seperti sakit dada atau sakit jantung jika tidak dirawat.

2. Angina (sakit dada)

Angina merupakan sejenis kesakitan atau ketidakselesaan pada kawasan dada, lengan, leher, perut atau rahang yang berlaku disebabkan pengaliran darah kepada jantung yang terbatas.

Namun, angina bukanlah sejenis penyakit. Ia merupakan salah satu simptom penyakit arteri koronari. Malah, angina merupakan satu cara jantung memberikan ‘amaran’ kepada kita.

Jika anda kerap diserang sakit dada, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin untuk mengenal pasti punca sebenar angina yang dialami.

3. Sakit jantung

Sakit jantung atau infarksi miokardium akut berlaku apabila bekalan darah kepada mana-mana bahagian otot pada kawasan jantung terhenti atau terhalang.

Sakit jantung biasanya berlaku disebabkan plak lemak yang tercabut dan membentuk darah beku pada kawasan arteri koronari.

Serangan jantung boleh membawa maut jika tidak dirawat secepat mungkin.

Oleh sebab itu, penting untuk anda menelefon 999 jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang mengalami sakit jantung.

4. Kegagalan jantung

Ramai yang anggap kegagalan jantung terjadi apabila jantung gagal untuk berfungsi. Walau bagaimanapun, itu bukanlah maksud sebenar kegagalan jantung.

Kegagalan jantung berlaku apabila jantung tidak lagi dapat mengepam darah dengan sempurna.

Akibatnya, pesakit akan rasa sesak nafas dan letih kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

5. Degupan jantung tidak sekata (arrhythmia)

Masalah degupan jantung tidak sekata berlaku apabila impuls elektrik yang mengawal degupan jantung tidak berfungsi dengan baik.

Oleh sebab itu, jantung akan berdegup terlalu pantas atau terlalu perlahan. Degupan jantung tidak sekata juga tergolong dalam kategori arrhythmia.

Kesimpulan


Bukan semua sakit jantung berlaku dengan jelas seperti yang dapat kita lihat pada kaca televisyen.

Kadangkala, sakit jantung boleh berlaku secara senyap. Ia juga tidak akan menunjukkan apa-apa simptom sehinggalah pesakit mengalami serangan jantung atau kegagalan jantung.

Individu yang mengalami hipertensi, kolesterol tinggi dan merokok merupakan golongan yang paling berisiko untuk mengalami penyakit jantung.

Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika mengalami simptom penyakit jantung.

Kredit : HelloDoktor



Ketahui Tanda Awal Dan Faktor Yang Menyumbang Kepada Masalah Kesihatan Mental

12 Aug 2022

 


Pengenalan Tentang Kesihatan Mental

Beberapa tahun belakangan ini, kita sering disajikan dengan berita kematian akibat bunuh diri daripada setiap lapisan masyarakat dan yang lebih menarik perhatian apabila ia dilakukan oleh artis-artis terkenal antarabangsa seperti Korea Selatan, Jepun, Amerika bahkan dia Thailand.. Disebalik senyuman, dendangan lagu serta lakonan dalam menghiburkan peminat, mereka bergelut dengan masalah tertekan sehingga meragut nyawa mereka sendiri. Apa yang merisaukan kerana golongan selebriti ini merupakan figura awam dan perbuatan mereka kadangkala menjadi contoh kepada orang awam. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mendepani masalah ini tatkala berita tentang kematian bunuh diri semakin meningkat dan rata-ratanya berlaku dalam kalangan belia pelapis masa depan negara.

Fenomena ini mengejutkan ramai pihak terutamanya sektor perubatan kerana rawatan dan intervensi psikologi akan banyak diperlukan bagi merawat serta mencegah masalah ini daripada terus berlaku. Beban berkenaan kesihatan mental semakin meningkat dan cabaran dalam mendepani masalah ini semakin tinggi. Oleh itu, kesedaran awam berkenaan isu ini perlu disampaikan. Baca artikel ini untuk mengetahui tentang teori kesihatan mental, punca kesihatan mental kesihatan mental dan emosi dan kepentingan kesihatan mental dengan lebih lanjut.

Kesihatan mencakupi pelbagai sudut dan setiap orang disarankan untuk mencapai kesihatan holistik. Kesihatan holistik bukan sahaja dinilai secara fizikal tetapi merangkumi kesihatan mental. Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) : ”Kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit”. Bagi kesihatan mental pula, tiada definisi tetap bagi menerangkan kondisi ini namun memetik Dasar Kesihatan Mental Kebangsaan Malaysia, “Kemampuan seseorang individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi dengan individu lain, dengan mengunakan cara pemikiran, perasaan dan keupayaan berkomunikasi bagi mencapai kesejahteraan hidup yang saksama. Tambahan pula, tiada kriteria tetap dalam mengukur kesihatan mental yang baik ataupun tidak kerana pelbagai faktor dan ciri perlu untuk dipertimbangkan. Misalnya faktor sosial, fizikal, persekitaran dan biologikal. 

Ketahui Faktor Yang Menyumbang Masalah Mental

Perlu diketahui bahawa kesihatan mental merupakan suatu spektrum kondisi yang pada awalnya bermula dengan hanya rasa tidak selesa dengan persekitaran sekeliling, diri sendiri dan orang lain dalam memenuhi cabaran hidup sehinggalah kepada situasi yang menganggu kehidupan seharian yang mana memerlukan rawatan. Oleh hal yang demikian, penting untuk mengetahui akan faktor yang menyumbang kepada masalah ini agar intervensi awal dapat dilakukan.

Faktor ini pula dikelaskan kepada dua yang yang diubah yang tidak boleh diubah. Faktor yang boleh diubah ada seperti berikut:

  1. Faktor persekitaran. Faktor ini mengambil kira keadaan sekeliling seseorang seperti kawasan, tempat kerja dan rakan-rakan. Perhubungan dengan orang sekeliling seperti kawan-kawan menjadi faktor kepada masalah mental seperti pergaduhan, cemburu atau ditipu oleh rakan sendiri. Hal ini sering terjadi dalam kalangan remaja terutamanya jika wujud situasi seperti tekanan daripada rakan sebaya. Statistik kesihatan mental di malaysia 2019 menunjukkan bahawa kawasan persekitaran tempat tinggal pula, masalah mental adalah lebih tinggi dalam kalangan masyarakat bandar (12.6%)  berbanding luar bandar (8.5 %).

  2. Faktor pekerjaan. Am mengetahui tentang tekanan ketika bekerja tatkala perlu untuk melakukan tugasan dalam masa yang diberikan, memenuhi target bulanan serta tahunan dan bagi yang tidak bernasib baik mungkin perlu untuk berurusan dengan majikan yang garang. Perkara ini kerap menyumbang kepada masalah depresi terutamanya bagi pekerjaan yang memerlukan komitmen masa dan tenaga yang tinggi

  3. Faktor keluarga. Didapati bahawa seseorang yang memiliki masalah keluarga yakni ibu bapa sering bergaduh di rumah mahupun keluarga yang mengalami masalah penceraian sering mengalami masalah tertekan. Berdasarkan kajian daripada portal kesihatan MyHealth sumber Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar masalah mental adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang bercerai (13.6%); diikuti oleh bujang (13.1%) balu (12.2%) dan mereka yang berkahwin. (10.5%). 

  4. Faktor pendidikan. Tahap pendidikan seseorang juga menyumbang kepada masalah mental. masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan atau berpendidikan  rendah (15-16%).

Bagi faktor yang tidak boleh diubah pula, ia merangkumi jantina, umur dan etnik seseorang. Berdasarkan kajian lebih ramai wanita mengalami masalah mental (55%) berbanding lelaki (45%). Bagi faktor biologi, ia termasuklah sejarah keluarga yang pernah mengalami masalah mental seperti skizofrenia ataupun depresi.

Apakah Tanda-Tanda Yang Boleh Dialami Jika Kesihatan Mental Terganggu ?

  1. Mengalami gangguan tidur seperti insomnia, atau tidur lebih kerap dan lama dari kebiasaan.

  2. Menyendiri dan tidak bersosial seperti biasa dengan orang disekeliling

  3. Sering tidak bertenaga dan kelihatan lemah

  4. Kelihatan seperti tiada harapan dan hilang arah tuju

  5. Sering marah, pelupa, sedih dan senang untuk berasa jengkel dengan tindak tanduk orang sekeliling.

  6. Mengalami ‘mood swing’ terutamanya ketika berhubung dengan pasangan.

  7. Terfikir untuk mencederkan diri sendiri

  8. Terdengar suara dan percaya kepada sesuatu yang tidak benar.

  9. Tidak berupaya untuk mengendalikan rutin harian seperti kerja atau sekolah.


Ketahui Beberapa Penyakit Yang Berkaitan Dengan Masalah Mental

1. Masalah keresahan ataupun Generalised Anxiety Disorder

Seseorang yang mengalami masalah ini sering berasa risau akan pelbagai masalah dan hal ini akan mengundang keresahan. Antara simptom lain yang akan dirasai oleh pesakit adalah seperti masalah tidur terganggu, otot tegang, senang marah dan juga lemah badan.


2. Masalah yang berkaitan dengan mood.

Seseorang yang mengalami masalah mood boleh berada pada keadaan sedih mahupun mania. Mania merujuk kepada keadaan seseorang apabila seseorang sangat bertenaga dan gembira. Selain daripada mania, masalah mood sedih juga boleh dialami dan ia merupakan simptom yang amat lazim berlaku dan menyumbang kepada masalah depresi.

  • Sakit Bipolar . Sakit ini merujuk kepada seseorang yang ada simptom mania dan juga sedih. Pesakit yang mengalami masalah ini sering mengalami mood yang berubah-ubah. Ketika mereka berada pada keadaan mania, mereka amat bertenaga, bercakap dengan laju dan petah, boros dan menpunyai banyak idea untuk diluahkan.

  • Masalah tertekan ataupun kemurungan. Dalam terma perubatan, masalah ini dikenali sebagai Major Depressive Disorder (MDD). Sakit ini saban hari meningkat dalam kalangan komuniti. Setiap orang pastinya pernah mengalami masalah tertekan dalam hidup mereka namun bagi pesakit MDD, keadaan tertekan atau murung ini berlarutan lebih 2 minggu dan tidak boleh untuk melakukan rutin harian dengan baik.

3. Masalah skizofrenia.

Masalah ini merupakan satu spektrum yang amat luas iaitu pesakit boleh mengalami halusinasi, berilusi dan juga merasakan sesuatu yang tidak wujud. Ia boleh untuk dikelaskan kepada simptom positif seperti delusi dan halusinasi. Bagi simptom negatif pula, ia termasuklah kurang motivasi dan mood yang tidak bersesuaian dengan persekitaran.

Ditulis oleh
Fready Luke
MBBS (Unimas)

Kredit : DoctorOnCall



Perkongsian Terbaik Untuk Mereka Yang Ingin Menunaikan Ibadah haji

7 Jul 2022


Perkongsian yang sangat baik oleh Zainuddin Omar di Laman facebook beliau. Jom ikuti tips-tips beliau . Semoga dapat memudahkan urusan kepada mereka yang ingin menunaikan ibadah haji.

Saja nak kongsi tips haji:

1. Bawak berus & sabun cap buruh/buku untuk basuh baju dll. Sebab dia tahan kena air. Sabun serbuk di sana kuat boleh reput kain. Di hotel ada servis dobi kena bayar.


2. Bawa extension cord. Banyak jasanya berkongsi dgn kawan sebilik untuk caj telefon. Banyak jasanya nanti di Mina. Bawak juga Internasional adapter two pin.


3. Bawa tali ampai & kepit baju. Buat gantung baju dalam bilik. Keringkan baju di bumbung hotel. Ada juga buat ampaian di tangga.

4. Bawa ubat panadol dll . Banyak gunanya untuk diri sendiri dan kawan-kawan. Terutama di kem Mina.

5. Bawa Quran kecik yg sendiri punya. Senang nak baca di mana-mana. Niat nak khatam di Mekah.

6. Makanan di sana tak pedas, banyak guna sos tomato. Bawa cili sos, kicap, sambal dah siap dibotolkan/diplastikkan.

7. Masa ke Muzdalifah bawa sudu untuk korek tanah cari batu kecil (untuk melontar) dan jangan cari di Mina. Ada yg cari di Mina tapi sukar sebab ramai orang. Kumpul batu bagi lebih sikit masuk siap2 dlm uncang. Lampu suluh kecil jangan lupa. Siap melontar, batu yang lebih dibuang. Haram bawa balik ke Malaysia.

8. Di dalam Masjidil Haram tidak boleh duduk dekat suami isteri waktu solat. Polis dan pegawai masjid akan arah isteri ke saf lain, jadi jika takut terpisah bila isteri di suruh ke saf lain, janji dgn isteri di luar masjid di satu tempat yg dijanjikan (pilih satu mercu tanda). Jika nak iktikaf bukan waktu solat boleh bersama suami isteri. Elok pergi dalam kumpulan rakan sebilik. Jika terpisah pun tak risau.

9. Ingat mercu tanda dan bangunan semasa ke masjid, supaya tak sesat. Jika ada telefon lagi baik. Senang nak hubungi.

10. Pilih rangkaian telefon yg senang nak top up saperti Zain dan Mobily tetapi STC agak susah sikit. Biasanya TH akan bagi simkad Mobile, kena top up. Jika top up 100Riyal boleh guna Whatsapp untuk whatsapp ahli keluarga. Pakej Mobily dan Zain ada yang 10GB data berharga SR120. Boleh topup di kaunter Mobily/Zain di dalam Zam Zam tower.

11. Di hotel ada perkhidmatan tel guna kad iTalk lagi jimat jika nak call keluarga di Malaysia. Jika pandai guna line internet hotel buat panggilan video dll.

12. Di hotel ada klinik dan perkhidmatan keluar duit TH, boleh keluar duit hari hari yg mampu nak shopping. Kalau lebih boleh simpan balik.

13. Masa Taklimat sebelum flight ada kaunter utk tukar duit Saudi Riyal di TH untuk duit poket.


14. Bila ke masjid pakat kawan-kawan sebilik siapa gilir gilir boleh ambil nasi makanan tengah hari dan malam ikut bilangan kawan-kawan sebilik. Ambil letak di bilik.

15. Tok Arab di sana ramai pandai cakap melayu tak perlu risau jika nak beli apa apa, jgn takut minta tawar.

16. Patuh pada arahan TH. Masa pergi melontar jangan ikut jalan lain atau turun tangga. Nanti sesat.

17. Jika nak beli Al Quran untuk wakaf di Masjid pastikan yg ada tali kuning dicetak di Madinah. Jangan beli yang tali biru dan hijau. Jika diletak di masjid akan diambil oleh pekerja masjid. Hanya Al Quran cetakan Madinah dibenarkan diletak didalam masjid.

18. Sebelum pergi kena banyak buat solat hajat, solat sunat taubat dll dan minta juga dipermudahkan segala urusan. Mudah mudahan dimaqbulkan.

19. Seelok nya sepanjang masa menunaikan Haji, jangan banyak bercakap dan cuba 'vow of silence', bercakap jika perlu sahaja.

20. Sabar, sabar dan sabar. Kesabaran setiap jemaah Haji akan diuji di tanah suci.

21. Semasa di Mina tentu ada jemaah degil yang akan melaksanakan lontaran dahulu dan tidak mengikut nasihat TH. Jangan ikut mereka ini dan tunggu arahan TH bila masa sesuai untuk melontar.

22. Bawa botol spray air kecil jika selalu terbatal wudu dalam masjid. Belajar cara mengambil wudu menggunakan sapuan air dari botol spray.

23. Jangan menolak jemaah lain dengan sengaja walaupun ditolak. Setiap niat buruk, Allah akan balas secara cash.

24. Jangan terlalu gigih melaksanakan umrah sunat sebelum wuquf kerana dikhuatiri demam urat semasa wuquf. Selepas haji, buatlah seberapa banyak umrah yang boleh.

25. Ada makanan/minuman 'diuretic' yang menyebabkan kerap untuk buang air kecil dan menyusahkan semasa didalam masjid saperti teh, tembikai, limau dll. Cuba elakkan.

26. Belajar berkompromi dengan rakan satu bilik selama lebih sebulan bersama. Ada yang tak tahan sejuk aircon dan ada yang tak tahan panas.

27. Semasa wuquf di Arafah jangan buang masa bersembang kerana waktu sangat suntuk untuk beribadah/berdoa/berzikir antara gelincir dan terbenam matahari.

28. TH ada menyediakan bilik baraqah untuk jemaah yang berkelamin tetapi queue nya panjang.

29. Kedai money changer yang paling bagus rate adalah di GF Safwa tower bersebelahan pintu masuk ruang parking.

30. Datang awal ke masjid sebelum masuk waktu untuk elakkan kesesakan.

31. Kalau nak ubah selera ada food court di Hilton tower menjual ikan yang digoreng bersama bawang, lada dan spices atas hot plate bersesuaian dengan selera kita dengan harga SR25.

32. Selipar jepun adalah selipar yang paling tidak comfy dan orang jepun sendiri tidak memakainya. Cari selipar yang comfy di Malaysia kerana akan memakainya setiap masa ditanah suci. Lagi pun 50% jemaah Haji serata dunia (1 juta orang) akan memakai flip flop serupa dan akan senang hilang atau bertukar.

33. Sekarang pendaftaran simcard perlukan nombor visa dan pengimbasan cap jari. Sila ambil gambar visa dengan hp sebagai rekod kerana paspot akan disimpan oleh muassasah. Ada pekerja bangla menjual simcard 'Libera' telco tanpa perlu pendaftaran. Celcom ada pakej Haji unlimited data (bersama Mobily) dengan rate yang berpatutan.

Selamat berangkat dan semoga Allah permudahkan semua urusan mendapat Umrah dan Haji yang Mabrur. Aamiin.

*tambah lah lagi tip yang berguna dari kekawan yang pernah menunaikan Haji.

Sila share untuk panduan semua.




Kepercayaan “Kenan” Dalam Masyarakat Melayu-Islam: Kajian Dari Perspektif Islam Dan Ilmu Sains

2 Jul 2022

 



KONSEP KENAN

Kenan dalam masyarakat Melayu dapat difahami dalam pelbagai takrifan. Dari aspek etimologi, perkataan kenan merupakan istilah Bahasa Melayu. Menurut Kamus Dewan, perkataan kenan mempunyai dua pengertian.Pertama, tanda atau cacat pada kulit, anggota, tubuh, dan lain-lain semenjak lahir lagi. Kedua, keganjilan tertentu pada gerak geri, kelakuan dan lain-lain seperti tangisan yang menyerupai salakan anjing atau keganjilan gerak geri seperti menyerupai kera. Berdasarkan pengertian literal tersebut, kenan merupakan keadaan bayi yang tidak sempurna dan biasanya dikaitkan dengan karakter dan fizikal binatang tertentu seperti monyet. Manakala dalam aspek terminologi, terdapat pelbagai takrifan diutarakan dalam nada yang hampir sama. Menurut Amran Kasimin, kenan adalah kecelakaan sama ada merupakan penyakit atau kecacatan yang dialami oleh bayi yang baru dilahirkan akibat melanggar pantang, yang dilakukan ibu atau bapa ketika bayi masih dalam kandungan. Ia boleh terjadi kerana perbuatan membunuh, menyeksa binatang atau si pelaku melakukan sesuatu dalam keadaan lupa dirinya sedang mengandung. Pengertian ini selari dengan takrifan Anisah Barakbah, A. Aziz Deraman, Skeat, dan Mohtar Mohd Dom. Menurut mereka, suami isteri yang bakal menerima kehadiran cahaya mata diingatkan supaya tidak menyeksa atau membunuh binatang kerana dapat mengakibatkan kenan yang menyebabkan kecacatan pada bayi. Dipercayai, bayi yang bakal dilahirkan akan mengalami kecacatan menyerupai binatang yang diseksa, dianiayai atau dibunuh. Mohtar Mohd Dom menambah 

“Keluarga atau orang yang mengandung tidak boleh menyeksa atau membunuh binatang. Ibu yang mengandung juga tidak boleh terperanjat atau mengenangkan sesuatu benda yang keterlaluan. Sekiranya ini terjadi, anak dalam kandungan akan berlaku kenan atau cacat.”

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kenan merupakan kesan atau akibat daripada perbuatan membunuh, menyeksa atau sebagainya yang dilakukan oleh ibu atau bapa dalam tempoh kehamilan ibu yang mengandung yang mana menyebabkan anak tersebut mengalami kecacatan yang serupa dengan binatang yang dianiaya. Contohnya, jika suami membunuh seekor ular, dipercayai bayi yang bakal lahir akan mengalami masalah kulit bersisik seperti ular

Wan Ramli Wan Muhammad juga bersependapat bahawa kenan mungkin disebabkan oleh perbuatan ibu atau bapa yang menyeksa atau membunuh binatang. Namun beliau menambah sedikit pendapatnya bahawa kenan juga kemungkinan berlaku disebabkan perbuatan ibu hamil mencaci atau bercerita tentang kecacatan. Oleh itu anak yang bakal lahir akan terkena kenan.

Sementara itu, sarjana Barat yang mengkaji budaya Melayu tidak menggunakan satu istilah yang khusus atau spesifik mengenai kenan dalam bahasa Inggeris. Dalam tulisan Winstedt, beliau menyatakan bahawa terdapat satu taboo atau pantang larang dalam masyarakat Melayu yang mempercayai kecacatan yang dialami bayi sewaktu dilahirkan adalah disebabkan haiwan tertentu yang dikenali sebagai kenan seperti mana yang didakwa orang Melayu. Beliau mengatakan bahawa jika seorang suami cuba membutakan atau mematahkan sayap seekor burung umpamanya sewaktu tempoh kehamilan isterinya, maka anak yang dilahirkan bakal mendapat risiko buta atau cacat pada anggota lengan disebabkan kerana perbuatan suami terhadap haiwan yang dizalimi  tersebut. Menurut beliau juga bahawa tempoh tegahan ini selalunya pada bulan keenam daripada kandungan isteri iaitu ketika janin di dalam kandungan mempunyai bentuk bayi. Dalam tempoh ini, suami tidak dibenarkan memotong tumbuhan menjalar, atau cuba membuang ikan yang melekat mata kail joran kerana dikhuatiri mulut bayi yang dilahirkan turut sumbing seperti mana ikan tersebut.

Rajah 1: Proses Kenan


Berdasarkan rajah 1 tersebut, kenan dalam masyarakat Melayu merupakan proses sebab-akibat yang mana ia melibatkan tiga entiti utama, iaitu ibu bapa, binatang dan bayi. Dalam peringkat awal, hubungan ibu bapa-binatang melibatkan bentuk interaksi yang negatif, iaitu penganiayaan dan kezaliman terhadap binatang. Pada peringkat ini, ia merupakan pelanggaran terhadap pantang larang dalam tempoh kehamilan ibu. Disebabkan pelanggaran ini, bayi yang dikandungi akan mengalami keadaan sepertimana binatang yang dizalimi. Akibatnya, bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan dan tidak sempurna seperti bayi normal.

Justeru, kenan merupakan kepercayaan bahawa kecacatan yang dialami bayi akibat daripada perbuatan ibu mengandung atau suami yang telah melanggar pantang larang semasa tempoh kehamilan. Biasanya, kecacatan yang dialami bayi tersebut sama seperti dengan kecacatan yang dialami haiwan yang dianiayai dan dizalimi


Istilah Lain Yang Seerti Dengan Kenan

Kenan dalam masyarakat Melayu juga dikenali sebagai badiDalam Kamus Dewan, badi dihuraikan dalam dua pengertian. 

Pertama, kesan buruk yang dialami oleh seseorang seperti sakit demam dan sebagainya kerana mendekati bangkai binatang atau orang yang mati terbunuh. 
Kedua, kelakuan luar biasa yang didapati pada masa dilahirkan yang mana biasanya menyerupai sesuatu jenis binatang seperti kera, anjing, dan sebagainya. 

Manakala maksud badi dalam Kamus Bahasa Indonesia juga mempunyai dua pengertian. 

Pertama, pengaruh buruk dari orang mati, atau binatang yang terkorban, atau dari pohon keramat. 
Kedua, kelakuan yang luar biasa mirip haiwan dan sebagainya yang diperoleh saat
Dilahirkan. 

Sehubungan dengan itu, istilah kenan sinonim dengan badi, namun penggunaan istilah badi lebih umum daripada kenan. Ini kerana badi turut merangkumi elemen bukan haiwan seperti pokok.

Pantang Larang Berkaitan Kenan Dalam Masyarakat Melayu

Terdapat pelbagai pantang larang dalam masyarakat Melayu, yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan serta berbagai-bagai peringkat usia manusia, sama ada dari dalam kandungan, ketika lahir hingga kematian. Pantang larang masyarakat Melayu berkaitan isu kenan adalah:

i) Wanita mengandung dilarang mencaci atau bercerita mengenai seseorang yang cacat kepada orang lain, atau tidak digalakkan melihat orang cacat. Jika tidak, anak yang bakal dilahirkan juga akan cacat anggotanya atau terkena kenan.

ii) Tidak dibenarkan mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil kerana dikhuatiri kenan.

iii) Ibu bapa tidak boleh menyiat telinga lembu atau kerbau untuk dibuat tanda. Di katakan, dengan berbuat demikian, anak yang bakal lahir akan lahir dengan tidak sempurna atau cacat.

iv) Suami tidak boleh mencucuk sesuatu kerana kononnya anak itu akan lahir dengan bibir sumbing atau terkena kenan.

v) Wanita yang bakal menjadi ibu tidak dibenarkan memaki, memahat, mengail atau menyembelih ayam, atau binatang ternakan lain. Jika tidak, anak yang bakal lahir mungkin bibir terbelah atau mendapat kecacatan lain pada anggotanya.

vi) Ibu bapa juga dilarang menyembelih binatang-binatang ternakan, apalagi memburu. Kalau tidak, anaknya akan dilahirkan cacat atau hidungnya berdarah dan mempunyai perangai seperti haiwan tersebut.

vii) Ibu mengandung juga tidak boleh melangkah atau memijak anjing ataupun kucing yang sedang tidur. Ini kononnya akan menyebabkan mata anaknya tertutup seperti mata anjing atau kucing yang sedang tidur itu.

viii) Keluarga atau orang yang mengandung tidak boleh menyeksa atau membunuh binatang. Ibu yang mengandung juga tidak boleh terperanjat atau mengenangkan sesuatu benda keterlaluan. Sekiranya ini terjadi, anak dalam kandungan akan terkena kenan atau cacat.

ix) Orang yang mengandung kalau mengikuti betul-betul akan pantang yang dikenakan, tidak boleh memotong muncung ikan kononnya kelak anak mereka akan sumbing.

x) Dilarang juga wanita yang hamil mengingatkan sesuatu berlebih-lebihan, akibatnya nanti anak yang dilahirkan bersifat kenan atau cacat.

Semua pantang larang di atas adalah contoh-contoh pantang larang dalam masyarakat Melayu dalam hal-hal yang berkaitan kenan. Jika diteliti, kebanyakan pantang larang tersebut merujuk kepada perbuatan atau kelakuan ibu atau bapa dalam tempoh mengandung. Sebahagian pantang larang tersebut tujuannya adalah baik dan murni untuk mengelakkan sesuatu terjadi kepada bayi dalam kandungan, di samping menjaga keharmonian alam sekitar tanpa menzalimi makhluk lain.

Kes-Kes Kenan Yang Berlaku Dalam Masyarakat Melayu

Dalam masyarakat Melayu di Malaysia mahupun Nusantara, pelbagai jenis kenan dikatakan pernah berlaku. Kenan yang masyhur adalah seperti kenan biawak, kenan ular, kenan monyet dan kenan katak. Terdapat beberapa kisah yang dikaitkan dengan kenan yang telah disiarkan dalam media cetak seperti akhbar Metro, Kosmo, Utusan dan majalah Mastika. Antaranya:

Kes 1: Kenan Kucing 

Konsep kenan kucing dalam masyarakat Melayu dapat digambarkan jika seseorang bayi mengalami kecacatan pada anak mata. Ini kerana, orang Melayu pada kebiasaannya mempunyai sepasang mata yang berwarna hitam. Oleh itu, jika terdapat kelainan pada anak mata, ia akan dianggap sebagai kenan kucing. Kewujudan seorang kanak-kanak Melayu di Kota Kuala Muda, Kedah yang memiliki sepasang mata biru dianggap luar biasa. Ini kerana iris atau anak mata Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal berwarna biru air laut. Turut terjadi kes yang sama di Samariang. Zulfazli yang berusia 18 bulan didakwa terkena kenan kucing apabila mata hitamnya bertukar menjadi biru selepas dua minggu. Ibunya, Khatijah Kasim, 37 tahun, mendakwa di saat kehamilannya, dia gemar membelai kucing bermata biru. 

Kes 2: Kenan Katak

Konsep kenan katak dalam masyarakat Melayu dapat digambarkan jika seseorang bayi mengalami kecacatan berupa anggota fizikal yang serupa dengan anggota katak sama ada berupa tangan atau kaki. Ini terjadi pada Muhammad Noraiman Kamal yang sudah berusia 10 tahun tetapi masih tidak boleh berdiri dan kakinya membengkok. Keadaannya itu dikaitkan dengan kenan katak. Badannya kecil seakan-akan budak berumur setahun manakala tangannya seperti tidak ada. Apabila dia meniarap tampak persis seperti katak.

Kes 3: Kenan Biawak

Konsep kenan biawak dalam masyarakat Melayu dapat digambarkan jika seseorang bayi itu mempunyai sifat yang sama dengan haiwan tersebut. Dalam kejadian di Perak, seorang bayi yang dilahirkan hanya normal pada waktu siang. Namun pada tiap malam bayi tersebut menangis sehinggalah ibunya merendamkannya dalam air baru berhenti menangis. Keadaan tersebut berlanjutan selama tujuh bulan sehinggalah bayi itu meninggal dunia. Kejadian itu didakwa berlaku disebabkan ibunya yang merupakan seorang pekebun, geli dengan seekor biawak, lalu tercangkul kepalanya. Oleh kerana ibunya seolah-olah menzalimi binatang tersebut, anak yang dilahirkan turut memiliki sifat yang sama dengan biawak tersebut.

Kes 4: Kenan Ular

Kenan ular dapat digambarkan dengan keadaan kanak-kanak yang tidak boleh makan tumbuhan-tumbuhan menjalar seperti tembikai. Kesannya, akan keluar sisik pada tubuhnya. Dalam kejadian yang berlaku, diceritakan semasa mengandung, ibu kanak-kanak tersebut terkejut apabila melihat ibunya (nenek yang mudah melatah) 'bermain' dengan anak ular ekoran usikan seorang cucunya yang lain. Cucunya telah menyorokkan telur ular yang kemudiannya menetas di dalam tin. Akibat daripada peristiwa itu, tidak semenamena, bayi yang dikandungi turut mengalami kecacatan. Ia berupa keganjilan pada kulit yang menyerupai seekor ular jika kanak-kanak tersebut memakan tumbuhan yang menjalar. Akhirnya kanak-kanak lelaki tersebut meninggal dunia pada usia 17 tahun. 

Semua contoh kenan mempunyai cerita yang tersendiri dalam pelbagai versi. Ia selari dengan jenis penganiayaan atau kebiasaan ibu mengandung dengan haiwan tertentu. Sekiranya penganiayaan dilakukan terhadap katak, maka kenan kataklah yang akan menimpa bayi yang dikandungi. Begitulah versi-versi cerita lainnya.

Kenan Menurut Perspektif Ilmu Perubatan

Rajah 2: Perspektif Ilmu Perubatan & Kepercayaan Melayu (klik untuk paparan jelas)

Setiap kenan yang berlaku dalam masyarakat seperti kenan ular, monyet, katak dan sebagainya dikenali sebagai sindrom atau penyakit tertentu yang ganjil dalam ilmu perubatan. Ia hanya terjadi kepada sebahagian orang sahaja yang dikenali sebagai penyakit genetik. Di antara penyakit tersebut adalah,

1. Harlequin type ichthyosis

Harlequin type ichthyosis atau sinonimnya harlequin ichthyosis, ichthyosis congenita, keratosis diffusa fetalis adalah sindrom penyakit kulit yang parah dan hanya berlaku pada bayi yang baru lahir. Ciri-ciri Harlequin dapat dilihat pada penebalan pada lapisan keratin kulit bayi yang membentuk sisik-sisik tebal kemerah-merahan dan berbentuk seperti berlian. Sisik tebal pada kulit bayi ini sangat membataskan pergerakan bayi malah menyukarkannya untuk bernafas dan makan. Bayi Harlequin selalunya tidak dapat bertahan untuk hidup lama. Hal ini kerana rekahan-rekahan pada kulit yang mengeras tersebut memudahkan bakteria atau bahan tercemar menembusi badan seterusnya mengakibatkan jangkitan yang membawa maut. Untuk memanjangkan hayat, bayi Harlequin perlu dimasukkan ke dalam neonatal intensive care unit dengan segera. Penyakit ini jarang berlaku dan ianya juga tidak cenderung pada mana-mana jantina atau bangsa. Dalam masyarakat Melayu yang mana lazimnya mempercayai kenan, sindrom ini dikenali sebagai kenan ular.

2. Sindrom Ambras

Sindrom Ambras dikelaskan sebagai masalah genetik jarang berlaku yang menyaksikan pertumbuhan luar biasa bulu di seluruh tubuh terutama muka dan bahu. Ada dua jenis sindrom yang berbeza iaitu general ized hypertrichosis iaitu yang tumbuh di seluruh tubuh dan localized hypertrichosis iaitu yang terhad kepada bahagian tertentu tubuh. Setakat ini masih belum wujud sebarang rawatan khusus terhadap penyakit ini. Masalah ini wujud sejak kelahiran dan berkekalan sepanjang hayat. Penghidap sindrom ini turut dikaitkan dengan masalah gigi. Punca utama kepada penyakit ini ialah masalah kromosom. Ia dikenal pasti sejak zaman pertengahan. Kes sindrom Ambras pertama direkodkan adalah Petrus Gonzalez dari Pulau Canary pada tahun 1648 oleh Altrovandus. Dalam masyarakat Melayu, ia turut dikenali sebagai kenan monyet.

3. Cleft Lip (bibir sumbing)

Bibir sumbing atau nama saintifiknya cleft lip ialah kelainan pada celah bibir atas yang wujud sejak bayi lahir. Apabila celah yang berada pada bahagian langit-langit rongga mulut (palate), kelainan ini disebut cleft palate. Pada cleft palate, celah akan menghubungkan langit-langit rongga mulut dengan rongga hidung. Ada tiga jenis kelainan cleft, iaitu cleft lip tanpa disertai cleft palate, cleft palate tanpa disertai cleft lip, cleft lip disertai dengan cleft palate. Proses terbentuknya kelainan ini bermula sejak minggu awal kehamilan ibu. Saat usia kehamilan ibu mencapai enam minggu, bibir atas dan langit-langit rongga mulut bayi dalam kandungan akan mula terbentuk dari jaringan yang berada di kedua sisi dari lidah dan akan bersatu di tengah. Bila jaringan-jaringan ini gagal bersatu, maka akan terbentuk celah pada bibir atas atau langit-langit rongga mulut. Faktor utama adalah kerana faktor genetik dan faktor lingkungan seperti ubat-ubatan, penyakit atau infeksi yang dideritai ibu saat mengandung. Pengambilan minuman beralkohol atau merokok saat masa kehamilan turut menyumbang kepada penyakit ini. Risiko bayi terkena penyakit ini sangat tinggi pada anak-anak yang memiliki saudara kandung atau ibu bapa yang pernah menghidapi penyakit ini. Penyakit ini dikenali dalam masyarakat Melayu sebagai kenan ikan.

4. Ocular Albinism

Ocular albinism merupakan satu keadaan yang mana seorang bayi dilahirkan tanpa
kebolehan menghasilkan pigmen berwarna bagi kulit dan atau mata. Pesakit yang mengalami penyakit ini mempunyai warna rambut dan kulit yang normal, dan ramai yang memiliki mata normal, namun mereka kehilangan pigmen pada mata. Faktor utama penyebab kepada penyakit ini ialah genetik. Selain itu, kerosakan pada gen-gen yang bertanggungjawab untuk sintesis melanin. Penyakit albino diturunkan secara autosomal recessive. Dalam masyarakat Melayu, ia dikenali sebagai kenan kucing.

5. Sindrom Prune Belly

Sindrom ini digambarkan dengan keadaan fizikal bayi menggambarkan ketiadaan abdomen pada bahagian hadapan. Pesakit sindrom Prune Belly biasanya berhadapan dengan tiga masalah utama iaitu otot abdomen bahagian hadapan tiada atau jika ada ia terlalu lembik menyebabkan kulit di bahagian perut berkedut seperti buah prune. Kedua, sebahagian saluran kencingnya abnormal. Dan yang terakhir, hampir 95 peratus, zakar kanak-kanak berada dalam abdomen dan tidak turun ke kerandut seperti biasanya. Punca berlakunya sindrom ini masih belum diketahuinya. Ada berpendapat ia mungkin disebabkan oleh gangguan dalam proses pembentukan janin. Selain itu, dipercayai juga bahawa sebahagian salur kencing janin yang tersekat menjadikannya sebahagian lagi tidak normal. Ada juga berpandangan ia kemungkinan disebabkan oleh faktor genetik. Pada permulaan rawatannya diberi antibiotik pada salur kencing. Namun apabila ia di tahap kritikal, pembedahan akan dijalankan. Sindrom Prune Belly dikenali sebagai kenan katak di dalam masyarakat Melayu.

Faktor-faktor Lain Yang Menyebabkan Kecacatan Pada Bayi

Sindrom-sindrom seperti yang dinyatakan di atas merupakan penyebab utama kepada kecacatan yang dialami bayi. Namun, terdapat faktor-faktor lain secara umum yang menyebabkan berlakunya kecacatan terhadap bayi sama ada sewaktu kehamilan atau pun setelah bayi tersebut dilahirkan. Faktor genetik merupakan punca utama kepada berlakunya kecacatan ini. Ini terbukti daripada sindrom-sindrom yang berlaku pada bayi disebabkan genetik daripada asal usul keluarga tersebut. Tidak dapat dinafikan faktor ini sukar untuk dielak, namun dengan langkah yang berjaga-jaga, para ibu mampu melahirkan zuriat yang sihat. 

Begitu juga dengan penyakit atau jangkitan daripada ibu boleh menghasilkan zuriat yang cacat kerana penyakit-penyakit tersebut boleh melepasi halangan plasenta dan boleh mendatangkan masalah semasa kelahiran. Rubella (campak Jerman) merupakan salah satu penyakit yang boleh menyebabkan kecacatan janin. Kebiasaannya, kecacatan janin yang teruk terjadi apabila ibu mengandung mendapat jangkitan ini pada minggu ketiga dan keempat. 

Selain itu, penyakit Sifilis (jangkitan daripada hubungan kelamin ialah penyakit yang berbahaya kepada perkembangan janin. Penyakit ini merosakkan organ bayi apabila ia sudah terbentuk. Kecacatan termasuklah kerosakan mata berbahaya, yang boleh membawa kepada buta mata dan kerosakan kulit. Selain itu, faktor teratogen atau agen persekitaran boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam perkembangan normal dan boleh menyebabkan keadaan yang abnormal atau kematian. Faktor yang berkait rapat dengan teratogen termasuklah dadah dan jangkitan, radiasi dan pencemaran. Pengambilan alkohol juga memberi kesan terhadap bayi dikandungi. Wanita yang mengambil alkohol secara berlebihan semasa sedang hamil berisiko tinggi untuk mendapat bayi yang mengalami kecacatan yang serius. 

Kebanyakan daripada bayi-bayi ini menderita penyakit fetal alcohol syndrome, penyakit yang merangkumi kepala kecil yang abnormal, otak tidak berkembang, kecacatan mata. Penyakit jantung dan pembentukan muka yang tidak normal. Perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak ini juga terbantut. Bayi turut mengalami kecacatan akibat daripada faktor persekitaran seperti terdedah kepada asap rokok. Ini kerana di dalam asap rokok, ia mengandungi beberapa jenis struktur kimia yang mampu meresap ke dalam janin walaupun ia masih di dalam kandungan. Bahan kimia tersebut mampu mengganggu pembesaran bayi dan menyebabkan keabnormalan pada bayi. 

Dos radiasi yang tinggi boleh menyebabkan kecacatan yang serius kepada perkembangan organisma dan boleh menyebabkan kematian janin serta gugur kandungan secara tiba-tiba. Sesetengah kes yang berdos rendah mungkin dapat menyelamatkan nyawa janin tetapi perkembangan mereka akan terganggu disebabkan kecacatan selepas lahir. Contoh yang paling mudah untuk dilihat ialah kelahiran bayi-bayi daripada ibu-ibu yang hamil pasca letupan bom di Hiroshima semasa perang dunia kedua. Kebanyakan daripada bayi-bayi yang lahir mempunyai kecacatan fizikal kekal sepanjang hayat.

Kepercayaan Kenan Menurut Perspektif Hukum Islam

Pada dasarnya, persoalan kenan ini tidak pernah dibincangkan sama ada di dalam al-Quran atau pun al-Sunnah. Begitu juga di dalam kitab-kitab fiqh sama ada kitab klasik ataupun kontemporari. Tidak terdapat satu istilah khusus di dalam Islam mengenai persoalan kenan. Ia merupakan satu isu tempatan yang mana hanya wujud dalam tradisi dan kepercayaan masyarakat Melayu. 

Pengkaji lebih cenderung berpendapat bahawa kepercayaan kenan dalam masyarakat Melayu adalah haram dan tidak wajar diamalkan. Ia bersandarkan kepada kaedah qiyas hukum percaya kepada tatayyur (sial majal). ‘Illahnya adalah kerana persamaan dengan kepercayaan sial majal iaitu mengaitkan musibah yang menimpa kepada selain Allah S.W.T. dan meyakini musibah berpunca daripada makhluk yang tidak sedikit pun memiliki kuasa mendatangkan manfaat atau mudarat. Seperti contoh, kenan ular yang ada pada bayi disebabkan oleh kesalahan ibu mengandung atau bapa yang menganiayai binatang. Seolah-olah kenan tersebut merupakan satu ketetapan yang akan berlaku disebabkan perbuatan tersebut, bukannya kuasa Allah S.W.T. 

Istilah tatayyur atau tiyarah berasal dari perkataan الطَيْر , iaitu bermakna burung.  Menurut kepercayaan orang Arab jahiliah, jika mereka akan mengadakan perjalanan, terlebih dahulu mereka akan melepaskan burung. Jika burung tersebut terbang ke arah kanan rumah, mereka akan gembira tetapi jika sebaliknya terbang ke arah kiri, mereka akan bersedih hati kerana itu petanda musibah akan menimpa. Mereka akan
menangguhkan pemergian. 

Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin menyatakan bahawa tatayyur adalah menganggap sial atas apa yang dilihat seperti melihat sesuatu yang menakutkan dan menganggap ia membawa sial atau didengari atau yang diketahui. Menurut beliau, tatayyur menafikan tauhid dari dua segi. 

Pertama, orang yang percaya kepada sial majal tidak memiliki rasa tawakal kepada Allah dan sentiasa bergantung kepada selain Allah. 
Kedua, berpaling kepada Allah dan memberi tempat yang tinggi kepada kepercayaan karut marut dalam masyarakat.

Mengambil sempena perbuatan inilah maka muncul istilah tatayyur atau tiyarah yang bermaksud menganggap sial kerana sesuatu. Islam melarang keras tatayyur atau tiyarah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Tiyarah itu syirik , tiyarah itu syirik.

Tiyarah atau tatayyur atau sial majal bukan hanya terbatas pada rasa sedih atau pesimis terhadap burung tetapi juga berkaitan dengan nama-nama tertentu, ucapan-ucapan tertentu, tempat-tempat tertentu, orang-orang tertentu dan sebagainya. Inilah yang dinamakan tasya’um di dalam Islam. Tasya’um mempunyai pengertian yang sama dengan tatayyur. Namun tatayyur lebih menjurus maknanya kepada menganggap sial dengan melihat burung terbang sedangkan penggunaan kalimah tasya’um lebih luas yang merangkumi sifat manusia, mendengar kata-kata dan perkhabaran buruk, melihat sesuatu benda dan percaya ia boleh mendatangkan sial kepada seseorang atau sebagainya.

Sejajar dengan itu, pengkaji berpendapat kepercayaan kenan bagi masyarakat Melayu turut tergolong dalam tasya’um atau tatayyur. Ini kerana orang Melayu percaya bahawa kenan yang dialami oleh anak yang dilahirkan disebabkan oleh haiwan yang dizalimi. Ia seakan-akan sama dengan ramalan bala yang mana ia diharamkan di dalam Islam dan ramalan bala di dalam Islam dihukumkan syirik kepada sesiapa yang mempercayainya.

Tiyarah dihukumkan syirik kerana mengaitkan musibah yang menimpa kepada selain Allah dan meyakini musibah berpunca dari makhluk yang tidak sedikit pun memiliki kuasa mendatangkan manfaat atau mudarat. Sebenarnya tiyarah berpunca daripada waswas syaitan yang menimbulkan perasaan takut. Jika hal ini terjadi, ia dapat merosakkan tawakal seseorang kepada Allah S.W.T.

Kepercayaan kepada kenan sehingga menimbulkan ragu-ragu dan membuatkan aktiviti harian tergendala boleh membawa kepada syirik. Ini kerana terdapatnya keyakinan di dalam hati bahawa terdapat kuasa lain yang dapat mempengaruhi masa depannya sama ada baik atau buruk. Ataupun, berpendapat kecacatan yang dialami bayi disebabkan oleh binatang tersebut. Kepercayaan tersebut jelas membuktikan sikap menyekutukan Allah. Yusuf al-Qaradawi mendefinisikan syirik sebagai menjadikan Allah sekutu dengan sesuatu yang hanya berhak untuk Allah, seperti menjadikan selain dari Allah satu tuhan atau beberapa tuhan lain lalu disembah atau ditaati atau dipohon pertolongan kepadanya atau mencintai seumpamanya yang mana semua itu tidak layak melainkan kepada Allah S.W.T. sahaja.

Sesungguhnya syirik merupakan dosa yang sangat besar dan tidak mendapat keampunan daripada Allah sebagaimana firmanya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan Nya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki Nya (menurut peraturan hukum-hukum Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
(al-Quran, al-Nisa’: 116)

Syirik dibahagikan kepada dua jenis iaitu syirik akhbar (syirik besar) dan syirik asghar (syirik kecil). Syirik akhbar merupakan syirik yang tidak diampunkan Allah bagi sesiapa yang melakukannya dan tidak dimasukkan ke dalam syurga. Ia terbahagi kepada dua iaitu syirik akbar jali (jelas dan nyata) dan syirik akhbar khafi (tersembunyi). Syirik akhbar jali ialah menyembah kepada satu tuhan atau beberapa tuhan di samping Allah sama ada tuhan tersebut berbentuk benda, haiwan ataupun manusia. Syirik akhbar khafi pula ialah memohon perlindungan atau berdoa kepada selain Allah secara tidak langsung seperti meminta doa di tempat-tempat keramat, meramal nasib melalui nujum, yakin kepada kebolehan dukun dalam merawat penyakit, dan sebagainya. Kebanyakan manusia kurang jelas dan kadangkala tidak menyedari berlakunya syirik jenis ini kerana ia berlaku secara tidak langsung. Manakala syirik asghar pula ialah dosa-dosa besar yang dikhuatiri orang yang melakukan dan yang berterusan melakukannya akan membawa kepada mati dalam keadaan kafir sekiranya tidak mendapat pertolongan dari Allah. Kepercayaan kepada kenan adalah termasuk dalam syirik akhbar khafi kerana ia menyekutukan Allah secara sembunyi dan tidak secara tidak langsung. Rasulullah S.A.W. bersabda mafhumnya:

Daripada Ibn Amru, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: barang siapa yang mengembalikan hajatnya kepada tatayyur maka ia adalah syirik. Mereka bertanya, apakah kafarah masalah itu? Baginda menjawab: ucaplah, tidak ada kebaikan selain kebaikan engkau, dan tidak ada kesialan kecuali engkau dan tidak ada tuhan selain engkau. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa kepercayaan sial adalah syirik. Ini termasuklah kepercayaan kenan dalam masyarakat Melayu. Ia dikatakan syirik kerana mereka percaya bahawa yang memberi kemudaratan atau kecacatan yang dialami oleh anak tersebut disebabkan oleh badi yang ada pada binatang tersebut. Selain ia disifatkan sebagai amalan syirik, kepercayaan kenan turut dikategorikan sebagai ‘urf fasid. Walaupun ia diamalkan turun temurun dalam masyarakat Melayu, namun bertentangan dengan nass al-Qur’an dan al-Sunnah, ia tetap tertolak. Kebiasaannya, ‘uruf ditakrifkan sebagai perkara yang dirasakan mudah dan diterima oleh akal manusia dan oleh tabiatnya yang normal. ‘Urf sering dirujuk kepada kebiasaan yang dilakukan oleh manusia dan kemudiannya diikuti oleh masyarakat, sama ada dalam bentuk percakapan mahupun perbuatan. Ia dibahagikan kepada ‘urf sahih (benar), dan ‘urf fasid (rosak). Apa pun, ‘urf yang diterima harus memenuhi beberapa pensyaratan. Antaranya ia tidak bertentangan dengan sumber syarak iaitu al-Quran mahupun al-Sunnah yang sahih, menjadi amalan biasa seluruh negara Islam, dan menjadi amalan berulang-ulang dan diketahui umum. 

Jelas, kepercayaan kenan yang diamalkan orang Melayu merupakan salah satu daripada ‘urf fasid. Ini disebabkan ia bukan sahaja menjejaskan akidah, malah seolah-olah kepercayaan kenan ini menjadi ketakutan kepada ibu mengandung ataupun suaminya, hingga menjejaskan aktiviti harian. Pada hakikatnya, percaya kepada pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang adalah diharuskan jika ia tidak bertentangan dengan syarak.

Akan tetapi, jika ia bertentangan dengan syarak seperti kepercayaan kenan, maka ia diharamkan dan tergolong dalam ‘urf fasid. Sehubungan itu, kepercayaan orang Melayu yang mempercayai kenan atau kecacatan yang dialami bayi merupakan asbab musabab perbuatan yang dilakukan oleh ibu mengandung atau suaminya adalah tidak wajar. Seolah-olah ia satu perkara yang pelik, ibu bapa yang menzalimi binatang namun, anak yang bakal lahir menghadapinya. Sedangkan jelas di dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:

Dan tiadalah (kejahatan) Yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja Yang menanggung dosanya; dan seseorang Yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)
(al-Quran, al-An‘am :164)

Ayat di atas jelas menyatakan bahawa setiap perbuatan dosa seseorang dirinya sendiri yang bertanggungjawab. Bukannya ditanggung oleh orang lain. Kezaliman yang dilakukan oleh ibu mengandung bukannya Allah kenakan pembalasan pada anak. Sekiranya ia berlaku harus diketahui bahawa itu semua merupakan sunnatullah, bukannya disebabkan oleh badi pada binatang tersebut. Jika orang Melayu mempercayai bahawa kecacatan yang dialami bayi disebabkan perbuatan zalim pada binatang tersebut, maka secara tidak langsung, ia turut memperlihatkan bahawa orang Melayu seolah-olah percaya binatang tersebut yang memberi kecacatan atau mudarat. Pandangan ini merupakan pandangan yang salah dan wajar untuk dielakkan.

Memang tidak dinafikan bahawa, jika manusia menzalimi binatang, Allah akan membalasnya kerana jelas dan nyata perundangan Islam menetapkan pendirian yang jelas dalam memelihara haiwan dan berinteraksi dengannya. Jelasnya, kedudukan haiwan diberi sedikit keistimewaan berbanding ciptaan makhluk yang lain dalam alam ini. 

Kelompok haiwan adalah hampir dengan manusia kerana ia merupakan sebahagian makhluk bernyawa yang mempunyai roh. Keunikan ini menyebabkan ia mempunyai deria rasa dan memiliki perasaan yang tersendiri sesuai dengan kejadian masing-masing.

Sebarang bentuk tindakan yang menganiaya hak-hak haiwan adalah satu kezaliman dan perlu ditegah. Oleh itu, al-Quran dan al-Sunnah menerangkan bahawa haram berlaku zalim kepada binatang. Tetapi itu tidak bermakna bahawa haiwan yang dizalimi itu boleh membawa badi kepada si pelakunya sepertimana yang ada dalam kepercayaan kenan dalam masyarakat orang Melayu. Justeru, percaya kepada kenan benar-benar berlaku disebabkan kezaliman pada binatang adalah kepercayaan yang salah dan tidak benar di sisi Islam.

Kesimpulan

Semua kes kenan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu pada hakikatnya memang ada dan benar-benar berlaku. Namun demikian, ia tidaklah boleh dikaitkan dengan perbuatan melanggar pantang larang, membunuh atau menyeksa binatang dan sebagainya. Ianya merupakan satu sunnatullah, ketetapan yang Allah takdirkan dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki. Bayi Harlequin (kenan ular), bayi Cleft Left (kenan ikan), bayi Sindrom Ambras (kenan monyet atau serigala), bayi Ocular Albinism (kenan kucing), bayi Sindrom Prune Belly (kenan katak) merupakan istilah-istilah kenan yang wujud dalam masyarakat Melayu. 

Hakikatnya, kesemua contoh kenan di atas merupakan sejenis sindrom dalam ilmu perubatan yang disebabkan faktor-faktor tertentu. Sesetengah masyarakat yang masih dibelenggu fahaman animisme dan khurafat gemar sekali mengaitkan kejadian-kejadian ganjil seperti ini dengan sumpahan, buatan orang, jin atau syaitan, kenan atau lainnya.

Jelas dan nyata bahawa percaya kepada kenan merupakan salah satu bentuk kepercayaan yang boleh membawa kepada syirik. Namun, ia hanya tergolong dalam syirik akhbar khafi sahaja dan ia juga merupakan ‘urf fasid. Dengan status hukumnya yang syirik, perbuatan menzalimi binatang turut ditegah dan dilarang dalam syariat Islam kerana mereka sebahagian daripada makhluk Allah. Sewajarnya, perbuatan zalim tersebut tidak boleh dikaitkan dengan kenan. Selari dengan itu juga, para ibu yang mengandung atau suaminya khususnya dan manusia umumnya, harus menjaga adab dalam berinteraksi dengan makhluk lain sama ada ketika hamil atau tidak. Ini kerana walaupun manusia ditaklifkan sebagai khalifah Allah untuk mentadbir dan memakmurkan alam ini, namun mereka tidak boleh mengeksploitasi semuanya secara sewenang-wenangnya kerana makhluk lain juga mempunyai hak untuk turut hidup bersama di alam ini secara harmonis.





Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.