SLIDER

Susu Kambing Hebat Manfaatnya. Mari Amalkan !

12 Aug 2024

 



TIDAK ramai gemar minum susu kambing kerana baunya sedikit hamis yang boleh mencetuskan rasa loya kepada individu yang sensitif terhadap bau berkenaan.

Ini menyebabkan ramai lebih cenderung memilih susu lembu atau soya bagi mendapatkan sumber kalsium penting untuk kesihatan dan mengekalkan tulang yang kuat.

Susu juga kaya dengan sumber vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh bagi kanak dan orang dewasa.

Neuroversiti mendedahkan khasiat susu kambing berdasarkan kajian dilakukan penyelidik dari University of Spain, Sepanyol pada 2007.

Perunding Kanan Malaysia Brain Academy, Dr Rizal Abu Bakar berkata, susu kambing mempunyai kalsium tinggi dan secawan susu itu membekalkan 327 miligram (mg) kalsium.

"Susu ini juga kaya dengan vitamin D iaitu satu nutrien yang membantu penyerapan kalsium dalam tubuh dan seterusnya membantu menguatkan tulang.

"Selain itu, ia mempunyai protein yang bertindak sebagai ejen antiosteoporosis dikenali sebagai CSN1S2.

"Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal 'Molecule' pada 2014, susu kambing dapat menghalang berlakunya penyakit tulang rapuh (osteoporosis) terhadap pesakit yang mengidap artritis rheumatoid," katanya.

Dr Rizal berkata, kandungan 'conjugate linoleic acid' pada susu kambing membantu perkembangan otak.

"Kehadiran lipid dalam susu kambing pula dapat mengurangkan masalah kebimbangan," katanya.

Menurutnya, susu kambing turut bertindak sebagai ejen metabolik yang baik kerana mampu meningkatkan penggunaan metabolik mineral seperti zat besi, magnesium, kalsium dan fosforus.

"Ia mempunyai 'A2 beta-casein' (protein) iaitu lebih baik daripada 'A1 beta-casein' yang terdapat dalam susu lembu.

"A2 beta-casein adalah sejenis beta-casein yang lebih selamat berbanding 'A1 beta-casein', dipercayai boleh menyebabkan penyakit kencing manis tahap satu," katanya.

Kata Dr Rizal, A2 beta-casein dalam susu kambing menyamai susu ibu yang sangat baik untuk kesihatan manusia.

Ia turut mampu mengurangkan alahan selepas habis tempoh penyusuan ibu.

Dr Rizal berkata, khasiat susu kambing sangat baik untuk kesihatan jantung kerana kandungan magnesium dalam susu berkenaan.

"Ia (magnesium) seperti yang dilaporkan di dalam 'International Journal of Food Properties' tahun lalu, ia adalah mineral yang baik untuk jantung dan membantu mengekalkan denyutan normal serta menghalang pembentukan darah beku.

"Magnesium berfungsi bersama vitamin D adalah nutrisi penting untuk jantung.

"Asid lemak rantaian sederhana pada susu kambing pula lebih tinggi berbanding susu lembu. Ia membantu menurunkan tahap kolesterol dan bagus merawat penyakit koronari," katanya.

Jelas Dr Rizal, unsur kimia pada susu kambing iaitu asid lemak dan trigliserida berupaya meningkatkan kesihatan kulit.

Selain itu, ia kaya dengan vitamin A yang sangat diperlukan kulit.

"Pada masa yang sama, kandungan laktid asid dalam susu kambing dapat melembap dan mencerahkan kulit.

"Ditambah pula penggunaan susu kambing untuk mencuci muka dapat meningkatkan kesihatan kulit," katanya.

Kata Dr Rizal lagi, istimewanya susu kambing ialah ia mencetuskan tindak balas imun adaptif dan semula jadi yang berupaya menghalang keradangan dalam tubuh manusia.

"Ini kerana komponen oligosakarida pada susu kambing yang bersifat antiradangan dapat mengurangkan keradangan penyakit usus," katanya.

Beliau berkata, kandungan laktosa yang rendah menjadikan susu kambing sebagai pilihan baik bagi mereka yang mempunyai masalah intoleransi laktosa.

"Sifatnya mudah hadam menjadikan ia sesuai diminum bagi mereka yang mempunyai masalah perut sensitif.

"Sebaik-baiknya pastikan susu kambing yang dipilih tidak dicampur bahan perasa, pewarna dan pengawet bagi mengekalkan keaslian serta khasiat susu berkenaan," katanya.


Kredit : Harian Metro


KELEBIHAN WANITA BEKERJAYA, KEBAIKAN WANITA SURIRUMAH. JANGAN DIBANDING-BANDINGKAN

1 Aug 2024



Menyelusuri perjalanan seorang wanita yang sudah berumah tangga, mereka seringkali dikaitkan dengan situasi dilema untuk memilih sama ada perlu menjadi seorang wanita bekerjaya atau menjadi seorang surirumah. Wanita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang menjadi tonggak kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara (Awang N. B, Yusof A, and Et al, 2019). 

Dalam arus perubahan yang mendambakan peranan wanita dalam pelbagai bidang, kaum wanita menghadapi cabaran peranan yang paling besar kerana mereka diminta bukan sahaja kekal memainkan peranan utama sebagai surirumah tetapi juga dalam pembangunan negara dan bangsa. ( Hwa, 2017 : 29). Oleh yang demikian, para wanita sering menghadapi kesukaran untuk memilih samaada perlu menumpukan tugas sepenuhnya mengurus rumahtangga atau perlu membahagikan tugas di tempat kerja bersama sama sang suami mencari rezeki seharian bagi memenuhi tuntutan kehidupan bekeluarga.

Wanita dibenarkan bekerja dan boleh menceburi pelbagai bidang pekerjaan selagi ianya masih berlandaskan syariat dan tidak melanggar batas batas yang ditetapkan oleh agama Islam. Yusuf Al-Qardawi, (2006), telah menyatakan wanita harus bekerjaya tetapi terikat dengan beberapa syarat iaitu kerjaya tersebut dibenarkan syarak atau tidak diharamkan, beriltizam dengan etika wanita muslimah dan kerjaya tersebut mestilah tidak mengorbankan kewajipan-kewajipan lain yang tidak harus diabaikan. Ada sesetengah kerjaya memerlukan wanita untuk mengisinya seperti jururawat, doktor pakar wanita dan perbidanan, pendidik juga peniaga barangan wanita. 

Kelebihan wanita bekerjaya dengan memegang jawatan tersebut dapat membantu para wanita yang lain merasai keselesaan menggunakan khidmat wanita bekerjaya itu tanpa perasaan ragu ragu. Selain daripada itu, wanita bekerjaya ini merasakan ianya berbaloi kerana dapat berpeluang mempraktikkan segala apa yang telah dipelajari ketika menuntut ilmu di alam pekerjaan yang sebenar serta dapat menyumbangkan tenaga dan kepakaran kepada masyarakat, negara dan dunia. Sesungguhnya niat yang baik untuk menyumbang bakti dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam pelbagai bidang akan dianggap sebagai ibadah (Adawiyah, Salasiah, 2012) disamping dapat membantu para suami menjana ekonomi pendapatan keluarga selagi mana ianya tidak melanggar syarat syarat yang telah ditetapkan ajaran islam ketika bekerjaya. 

Bagi wanita surirumah pula, dapat menguruskan keluarga dan anak anak sepenuh masa menjadi kelebihan yang sangat bermakna bagi mereka. Dapat melihat anak anak membesar di depan mata merupakan suatu nikmat yang tidak dapat dikecapi oleh sebahagian wanita yang bekerjaya. Hubungan ibu dan anak akan menjadi semakin erat sekaligus dapat membina suatu sifat kepercayaan yang tinggi dalam hubungan tersebut. Peranan seorang ibu amat penting dalam sesebuah keluarga bagi menjamin kelangsungan terhadap usaha melahirkan generasi masyarakat yang terdidik dengan roh Islam yang mampu mengamalkan nilai-nilai Rabbani dalam kehidupan mereka (Majid, Saleh Hudin, 2017: 42). 

Oleh yang demikian sangat beruntunglah si ibu yang dapat berpeluang menggalas tanggungjawab sepenuh masa menguruskan rumah tangga berbanding wanita yang bekerjaya. Selain dari itu, peningkatan statistik penderaan kanak kanak dikalangan pengasuh juga menjadikan kelebihan kepada wanita surirumah yang tekad untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sendiri mengasuh dan menjaga anak di rumah. Selain dapat mengurangkan risiko penderaan kanak kanak di rumah pengasuh, ia juga dapat menjimatkan kos pengasuh yang perlu dibayar hampir setiap bulan. Agak ralat bagi seorang ibu sekiranya pengasuh dibayar dengan bayaran yang tinggi tetapi kebajikan dan keselamatan anak anak mereka tidak berada di tempat sepatutnya. Oleh yang demikian, status surirumah sepenuh masa menjadi pilihan utama wanita masa kini dalam menghadapi cabaran membesarkan anak anak. 

Oleh yang demikian, menjadi seorang wanita bekerjaya ataupun menjadi seorang surirumah, kedua duanya mempunya kelebihan dan kebaikan yang tersendiri. Meskipun seorang wanita itu perlu membuat pilihan di atas keduanya, bersyukurlah walau posisi mana kita perlu berada. Kedua duanya mempunyai peranan dan dapat menyumbangkan sesuatu manfaat khususnya kepada ummah. Tiada keperluan untuk masyarakat sekeliling membezakan status atau kedudukan seorang wanita itu samada mereka bekerjaya atau menjadi seorang surirumah. Tidak perlu timbul persoalan mengenai yang manakah yang lebih mulia atau pun tidak kerana,

“ Sesungguhnya orang yang paling mulia dia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” [QS 49: 13]. 

Wanita bekerjaya mahupun wanita surirumah kedua duanya dimuliakan Allah sekiranya mereka bertaqwa dalam melakukan tugas masing masing selagi mana ianya memberi manfaat kepada suami, anak anak dan keluarga terutamanya melakukannya ikhlas kerana Allah swt. 


Kredit : 

Nur Hidayah Binti Muhamad Johari 

Pensyarah, 

Jabatan Teknoperniagaan, 

Fakulti Pengajian Teknokorporat Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.