SLIDER

Ibu Cuba Menjadi Muda

28 Feb 2017




Saya mempunyai seorang ibu berumur 48 tahun. Kami adalah 3 adik-beradik lelaki dan saya anak sulong. Saya sudah bekerja, yang kedua di Kolej dan yang bongsu masih di sekolah menengah. Ibu saya telah menjadi seorang janda sejak 8 tahun yang lepas. Ayah tinggalkan ibu semata-mata mengikut perempuan Indonesia, dan kami ditinggalkan dan dibesarkan dengan ibu seorang diri.

Untuk membesarkan kami, macam-macam kerja ibu buat untuk menampung kami 4 beranak. Saya tahu , ibu banyak telah berkorban demi mencari sesuap nasi untuk kami 3 beradik. Ayah langsung tak dapat dihubungi. Langsung tidak bertanya khabar. Lepas tangan begitu sahaja. Kadang-kadang saya lihat ibu menangis di dalam bilik. Mungkin keletihan atau meratapi kesedihan mengenangkan nasib ditinggalkan suami. Saya anggap ayah dah lama mati sebab ayah tak menunaikan tanggungjawab dia sebagai seorang suami dan ayah kepada kami sekeluarga.

Ibu saya seorang yang peramah dan baik. Perniagaan kecil-kecilan ibu sentiasa laku walaupun ia bisness nasi lemak di tepi jalan sahaja. Kami bersyukur. Bermula daripada niaga nilah, ibu sikit demi sedikit berkenalan dgn beberapa orang customer. Kemudian kenalan ibu semakin bertambah. Apa yang saya perasan. Lama-kelamaan penampilan ibu berubah dan mula memakai pakaian yg kurang sesuai dengan umur ibu sekarang. Pada pandangan saya, ia agak daring untuk umur seperti ibu. Lagilah bila dah ada anak-anak bujang seperti kami ni. Sejak perubahan ibu ni, perniagaan ibu semakin laris. Beratur panjang pelanggan nak membeli nasi lemak. Saya tak pasti samaada diorang nak beli nasi lemak atau nak tengok ibu.

Saya memahami perasaan ibu. Mungkin ibu sunyi dan rindu untuk berkasih-sayang dengan seorang lelaki bergelar suami selepas ditinggalkan ayah 8 tahun lepas. Mungkin perubahan yang dibuat ni, sekadar untuk menarik perhatian lelaki-lelaki diluar sana. Saya mula segan dengan jiran-jiran rumah, kerana ada sesetengah jiran, bertanya kepada saya kenapa ibu nampak lain. Nampak macam nak jadi orang muda. Ibu juga jadi umpatan jiran-jiran kononnya ibu nak menarik perhatian suami-suami mereka.

Saya serba salah dan segan. Saya tak tahu macam mana nak tegur ibu, sebab mengenangkan selama ini ibu telah banyak berkorban demi membesarkan kami. Saya tahu, status ibu sebagai ibu tunggal di kawasan perumahan kami mengundang perasaan kurang senang orang sekeliling dan menjadi topik hangat diperbualkan malah lebih banyak umpatan yg diterima berbanding nasihat.

Saya cuma nak ibu saya lebih dihormati bukan dihina. Saya mahu ibu saya berketrampilan yang sesuai dengan usianya. Bantulah saya , bagaimana saya dapat beritahu ibu tentang perkara ini, tanpa saya mengguris perasaan ibu saya.


-Amir-

Sudah Berkeluarga, Tapi IbuBapa dan Isteri Masih Tanggung

22 Feb 2017

 



Kami terdiri daripada 5 adik-beradik. Saya anak bongsu. Saya mempunyai seorang abang yang sampai sekarang masih tidak mempunyai hala tuju kehidupan. Saya lihat kehidupan dia langsung tidak memikirkan masa hadapan dan komitmen, daripada bujang sampailah sekarang anak dah dua orang. Tidak bekerja, bangun pagi makan , lepak, tidur, keluar dgn kawan-kawan kat kedai kopi , lepas tu balik tidur. Macam tulah sehari-harian kehidupan dia.

 

Setiap kali dia nak keluar atau perlukan wang, abang saya akan memintanya daripada ibu dan ayah atau dengan isterinya. Beli rokok, makanan, belanja keluar, apa-apa sahaja yang memerlukan duit, akan dimintanya daripada mereka tanpa segan silu dan rasa bersalah.

 

Ibu ayah saya menyara kehidupan mereka dengan duit pencen diorang . Manakala kakak ipar saya pula bekerja. Mereka tinggal serumah dengan ibu ayah saya memandangkan abang tak boleh menyediakan tempat tinggal. Saya sebagai anak bongsu, berasa malu dan geram dengan sikap abang saya . Kadang-kadang saya kasihan melihat isteri die bertungkus –lumus mencari nafkah nak membesarkan anak-anak mereka, ditambah pula nak membela abang saya.

 

Meskipun abang saya mempunyai tubuh badan yang sihat dan cukup kudrat, tak tahulah saya kenapa dia begitu malas nak mencari pekerjaan. Ibu ayah saya dan kakak ipar selalu menasihatkan dia suruh cari kerja, daripada duduk menganggur begitu sahaja, lebih baik cari apa-apa kerja yang boleh mendatangkan hasil. Namun nasihat tu dibuatnya endah tak endah je. Padahal abang saya ni tamat pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda. Itu pun, untuk menampung selama pengajian dia pun, ibu ayah saya bersusah payah mencari wang untuk menanggungnya. Sepatutnya abanglah yang perlu membalas jasa ibu ayah di saat diorang semakin tua. Sepatutnya abanglah yang perlu menggalas tugas dan tanggungjawab membesarkan dan mendidik keluarga dia, namun abang masih belum sedar atas kesilapan dia.

 

Sewaktu abang nak berkahwin dulu pun, ibu ayah juga yang sponsor duit kenduri dan hantaran tersebut. Jenuh ibu ayah saya meminta sedikit wang sumbangan daripada kakak dan abang-abang saya yang lain. Pada saya, itu sudah dikira mengambil kesempatan atas kedua ibu ayah saya. Kata ibu, ingatkan selepas kahwin abang akan berubah, memandangkan dia akan memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak selepas berkeluarga kelak. Namun apa yg terjadi sekarang sangat jauh menyimpang daripada apa yang ibu harapkan. Kehidupan kakak ipar saya semakin susah. Sudah jatuh ditimpa tangga. Saya berasa sangat malu mempunyai abang seperti ini. Ibu ayah dan kakak ipar pun  tak tahu bagaimana lagi nak menasihatkan abang saya. Seolah-olah mencurahkan air di daun keladi.

 

Bagaimana caranya saya dapat nasihatkan abang agar tidak berterusan mempunyai sikap yang sangat pemalas dan suka mengambil kesempatan terhadap orang lain? Saya kasihan dengan kakak ipar yang masih berterusan menahan sabar dengan perangai abang saya tu. Tak tahulah sampai bila dia dapat bertahan. Sikap abang yang tidak bertanggungjawab membuatkan kami sekeluarga malu dengan keluarga besan ibu (keluarga kakak ipar) dan menyebabkan saya semakin sedih dan kecewa.



-adik kecewa-

Tips Untuk Pemandu Baru Uber Dan Grab

28 Jan 2017




Tip untuk pemandu baru Uber dan Grab adalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman dengan pemandu baru uber dan grab baru di Malaysia. Korang pun akan alami benda yang sama juga, hanya masa menentukan. Jika korang rajin ambil trip, korang akan cepat dapat pengalaman semasa mengambil dan membawa rider. Korang akan tahu apa yang nak kena buat dan prepare supaya korang lebih bersedia untuk menjadi pemandu uber dan grab.
Tip ini adalah untuk membantu korang dalam merancang strategi korang buat duit dengan uber dan grab. Ini sebagai panduan dan perkongsian sahaja, mungkin cara korang berbezakan. Semoga tip uber dan grab ni memberi manfaat kepada korang di dalam pekerjaan sebagai pemandu uber dan grab di Malaysia. 

Tip untuk pemandu baru Uber dan Grab

1. Lebih mudah jika pick up rider di shopping mall, stesen lrt, dekat kedai berbanding dengan pick up di apartment. Biasanya rider ni lambat nak turun, kita driver ni setelah sampai kena call dulu dan barulah rider akan turun. Ini semua kos. Jika anda nak jaga rating, susah sikit la kan. Rating untuk dapat insentif. Jika anda tak jaga rating macam saya, saya akan accept yang senang nak pick up dan jimat masa.

2. Jangan banyak cancel trip tanpa alasan yang kukuh. Jika tak mahu ambil, jangan online. Kalau cancellation banyak sangat ( saya tak pasti berapa banyak ) di bimbangi akaun uber dan  grab anda ban atau deaktivate akaun anda. Kena la buat rayuan dan terpaksa la offline 2-3 hari. Takde income uber / grab le 2-3 hari.

3. App grab membolehkan korang tahu kat mana rider nak turun berbanding dengan app uber yang korang tak tahu ke mana rider nak pergi. Jadi buatlah pilihan korang. Saya senang menggunakan grab  sebab ini lah. Jika full time driver, takde masalah sebab ini memang kerja korang, Trip jauh lagi best kan. Kalau part time, biasanya masa tak banyak dan trip jauh cuba di elakkan.

4. Korang boleh on kedua-dua app serentak dan ambil rider yang masuk dulu. Lepas tu korang off la app yang satu lagu supaya tidak menganggu perjalanan anda. Smartphone anda tak akan hang, ok jer untuk kebanyakkan smartphone.

5. Jenis telefon juga penting untuk menerima signal yang kuat. Korang boleh semak jenis telefon yang sesuai dengan app uber dan grab. Good luck. Kalau boleh, guna smartphone yag ada spec yang tinggi, tak semestinya mahal. Guna asus pun boleh, murah je dan spec tinggi.

6. Kalau malas, korang boleh pick up kat klia / klia2 sahaja, pun masyuk juga. Tak payah nak pusing-pusing. Tunggu sejam pun takpe, masih berbaloi. Ramai-ramai otai-otai grab dan uber buat macam ni, pick up ke dan dari klia sahaja. Tapi rating memang jatuh la, tak terjaga. Nak tahu tip buat duit uber dan grab di KLIA / KLIA2, boleh baca post yang lepas.

Updated 09/11/2016
7. Jika anda baru sahaja hari pertama hendak memandu uber dan grab, pastikan anda sediakan duit kecil pecahan rm1, rm5 dan rm10 sebanyak rm30-rm50 untuk memudahkan anda memberi baki bayaran kepada penumpang anda. Penting ni supaya takde le nampak sangat anda ni pemandu baru. Saya letak duit kecil ni dalam satu beg kecil dan letak dekat tempat pemandu supaya senang nak ambil.

8. Pastikan anda ada smartphone holder. Ini mesti ada. Dapatkan bajet smartphone holder untuk pemandu uber dan grab di kedai Ustaz, murah sahaja. Bawah rm10 boleh dapat. Saya cadangkan anda beli jenis yang lekat dekat aircond tu. Jangan guna yang lekat kat stering atau cermin. Boleh juga tapi kurang berkesan.

9. Pastikan line telefon anda stabil. Kalau boleh guna yang bil bukan yang prepaid supaya line telefon tidak terganggu - jika anda serius sebagai pemandu uber dan grab. Line mana yang sesuai, saya tengah kaji. Siap kajian saya nanti, saya kongsikan kat sini. Wacchaaa.

Itu sahaja Tip untuk pemandu baru Uber dan Grab. Harap boleh membantu anda untuk memaksimun pendapatan uber dan grab korang. Jika anda belum daftar lagi sebagai pemandu uber dan grab, anda bolehlah daftar hari ini. Daftar secara online sahaja.

Oleh : encik arman
Kredit : ubergrabcar

Janggal Apabila Bersama Keluarga Kandung

14 Jan 2017


Terima kasih admin kerana siarkan luahan saya ini. Saya anak sulong daripada 5 beradik. Daripada kecil ibu dan ayah saya tinggalkan saya dengan nenek di kampung. Kata nenek, ibu ayah terpaksa tinggalkan saya untuk mereka dapat jaga adik-adik . Mereka tak berkemampuan dan meminta bantuan nenek untuk menjaga saya, kebetulan pula saya merupakan cucu sulong. Jadi bermulah kehidupan saya membesar bersama nenek. Segala urusan sekolah semuanya diuruskan nenek. Kiranya saya menjadi cucu yang paling rapat dan manja dengan nenek.

Sehinggalah saya bersekolah menengah, ibu dan ayah menjemput saya untuk tinggal bersama mereka. Namun saya menolak dengan baik. Saya beri alasan, untuk menjaga nenek yang semakin berusia. Sedangkan sebenarnya saya berasa janggal untuk tinggal bersama mereka. Tidak ada niat pun untuk mengecilkan hati ibu dan ayah. Walaupun saya menolak ajakan ibu, mereka tetap terima. Dan kami pun sebenarnya tak adalah terputus hubungan, setiap kali ada perayaan, kenduri atau jemputan makan-makan, kami tetap akan berjumpa bertanya khabar dan sebagainya, cuma kemesraan tu kuranglah.

Kini saya dah berumur 20 tahun, saya masih tinggal bersama nenek. Saya belajar di kolej. Satu hari saya menerima berita sedih. Ibu jatuh sakit dan tidak boleh nak menguruskan diri. Ayah pula kena bekerja, nak cari nafkah untuk tampung pengajian adik-adik. Jadi nenek ada bagitahu saya , minta saya duduk dengan ibu untuk jaga ibu yang sakit. Pada mulanya saya agak keberatan, namun bila difikirkan dia ibu yang melahirkan saya, jadi saya bersetuju untuk menjaga ibu. 

Jadi saya tinggallah bersama-sama dengan ibu dan keluarga kandung saya sendiri. Untuk menjaga ibu di sini tidak menjadi masalah buat saya. Yang membuat saya janggal dan kekok berada kat sini ialah sikap adik-adik saya. Saya lihat walaupun ibu sakit, tapi diorang tak pernah nak jaga ibu, ringankan beban ibu. Sejak saya tinggal kat sini, saya perasan saya dilayan seperti bibik oleh adik-adik saya. Urusan rumah, masak, makan, basuh baju semuanya mengharapkan saya. Hal-hal penjagaan ibu seperti mandi, makan ubat semuanya diserahkan kepada saya bulat-bulat. Kadang-kala saya keletihan sehingga terpaksa ponteng kelas.

Saya kecewa dan sedih dengan sikap adik-adik saya. Ikutkan hati, saya taknak tinggal kat sini, nak balik pada nenek, tapi melihatkan ibu seperti terkontang-kanting sendirian uruskan diri sendiri, membuatkan hajat saya tu terbantut. Saya tak tahulah apa masalah adik-adik saya tu. Kami jarang berkomunikasi, sebab rasa macam pelik dan janggal. Yalah kami tak membesar bersama-sama. Urusan kehidupan kami pun sangat berbeza. Kiranya macam tak ngamlah.

Ibu ada perasan juga kerisauan saya, dan ibu ada minta maaf dengan saya sebab ibu rasa dia dah membebankan dan menyusahkan saya. Ibu ada menegur sikap adik-adik kerana kurang membantu saya ketika saya buat kerja dirumah. Namun teguran tu dipandang sepi je. Tapi apa saya boleh buat pun. Sebagai anak sulong, saya cuba yang terbaik. Walaupun saya kurang mendapat kasih sayang ibu ayah , diorang tetap tak melupakan saya. Jadi saya anggap ini satu cara untuk saya balas jasa mereka.

Pembaca dikasihi, kalau ada yang boleh bagi idea , macam mana cara saya boleh buat untuk merapatkan hubungan kami adik beradik seterusnya boleh ngam macam keluarga orang lain. Sekurang-kurangnya bila kami rapat, boleh lah saya share masalah atau apa-apa isu yang berlaku kat rumah. Takdelah saya stress sorang-sorang pikir hal-hal rumah.

-KakLong-




Gadis Malu Susuk Tubuh Bidang Dan Sasa

9 Jan 2017



Saya gadis berusia 30 tahun dan masih belum berkahwin, masih belum ada teman istimewa. Saya mempunyai susuk tubuh badan bidang dan besar. Ketinggian saya 172cm, berat 80kg. Bila dilihat secara luaran, memang nampak saya tinggi tapi bentuk badan besar, seolah-olah badan saya nampak sasa persis seorang lelaki. Bila berjalan-jalan bersama kawan-kawan sebaya, sayalah yg paling nampak menonjol dan berbeza saiz. Kawan-kawan saya semuanya nampak biasa dan cute je.

Macam – macam cara saya dah cuba buat untuk dapatkan badan yang cantik. Saya pernah sign-up spa pelangsingan badan. Bayar beribu-ribu, tapi hasilnya mengecewakan. Saya ada juga mencuba pelbagai produk pelansingan. Pil, Serbuk, Cecair, semua saya telan, semuanya saya cuba namun tetap tidak berhasil.
Selain daripada itu, saya ada juga ikut nasihat rakan supaya mencuba program-program diet pemakanan yang selalu nampak viral di fb, namun terhenti sekejap je. Tak mampu bertahan lama kerana syarat program tu sangat ketat. Dan saya kerap pengsan, kerana selalu kelaparan.

Saya belum patah semangat, saya ada mencuba sign-up program gimnasium, yang mana diorang ada sediakan coach untuk memantau aktiviti latihan yang dijalankan. Lebih 6 bulan macam tu, resultnya sedikit sahaja ada perubahan. Berat badan memang ada turun sikit, tapi kesasaan bentuk tubuh saya tetap nampak besar dan bidang.
Bohonglah kalau kata saya tak cemburu melihat rakan-rakan dan saudara-mara , apabila mereka bergaya dengan pakaian yg cantik-cantik. Selalunya kalau saya hendak membeli baju seperti mereka, confirm tak muat, takde saiz, dan kalau saya teringin sangat nak pakai, saya terpaksa tempah je di kedai jahit.  Jadi selalunya saya akan pakai tshirt dan seluar jeans sahaja. Itu sahaja pakaian yg ngam kat badan saya.Saya rasa rendah diri.  

Kadang­kala saya tertekan berdepan dengan orang ramai kerana berasa diri tidak menarik. Saya juga seperti rakan-rakan lain, ingin juga menjadi perhatian lelaki. Masing-masing sudah berteman, namun saya masih berseorangan.

Disebabkan perasaan rendah diri sangat menebal dalam diri, sekarang saya langsung tidak mahu keluar bersama rakan-rakan. Saya akan duduk dirumah sahaja , ataupun saya akan keluar seorang diri. Saya cuba meluahkan perasaan saya pada saudara rapat, dia mengatakan tubuh badan saya ni memang ikut keturunan, bidang dan sasa. Baik lelaki mahupun perempuan. Kalau berat turun sekalipun , badan tetap nampak besar sebab rangka tubuh badan saya memang besar.

Bagaimana caranya untuk  berketrampilan menarik untuk gadis seperti saya yg mempunyai tubuh badan bidang dan sasa? Bagaimana untuk berasa lebih yakin di depan orang ramai? Kalau ada antara pembaca yang mahir dalam bidang fesyen dan kecantikan, boleh tak sharekan tips kat sini.

-gadis rendah diri -

Tips Dan Cara Kawal Sifat Marah

16 Dec 2016

Marah. Semua orang pasti ada rasa sifat marah. Banyak faktor yang menyebabkan tercetusnya rasa marah. Ada yang disebabkan masalah-masalah yang sedang dihadapi. Ada yang disebabkan menerima tekanan dari luar. Apapun puncanya, kemarahan yang berlaku diluar kawalan kewarasan boleh membawa kepada pertelingkahan atau persengketaan.
Lumrahnya , setiap manusia mempunyai sifat marah , namun sekiranya ia tidak dikawal akan membawa padah kepada diri dan orang disekeliling yang terlibat. Apa yang penting ialah bagaimana kita dapat mengawal kemarahan tersebut dengan logik akal tanpa rasa emosi yang berlebih-lebihan. Boleh rujuk tips dibawah, admin kongsikan daripada artikel WomanOnlineMagazine.
-Admin-

4 Tips Kawal Marah Dengan Mudah 
1. Tarik Nafas Dalam-Dalam
Setiap manusia mempunyai tahap kemarahan yang tersendiri, ia bergantung kepada kandungan hormon serotonin yang dikeluarkan apabila anda marah.
Untuk mengawal kemarahan, anda perlu menarik nafas dalam-dalam kerana udara akan membantu untuk mengurangkan kadar hormon ini. Dan cara ini juga sudah terbukti secara klinikal.
2. Bayangkan Apa Sahaja Perkara Yang Boleh Buat Anda Tersenyum
Sekiranya anda sedang marah dan hanya memikirkan mengenai kemarahan, sudah pasti ia akan menjadi lebih buruk. Anda sepatutnya perlu mengelakkan daripada berfikir mengenainya.
Cuba fikirkan sesuatu yang mungkin memberikan ketenangan atau kegembiraan pada diri anda. Contohnya kenangan manis bersama dengan rakan, keluarga atau anak anda. Sebagai contoh, anda boleh membayangkan anda pergi bercuti di langkawi  yang mana merupakan satu kenangan manis dalam hidup anda. 
3. Fikirkan Akibat Atau Efeknya Jika Anda Marah 
Tindakan anda melepaskan kemarahan boleh meninggalkan kesan negatif yang lebih panjang. Jika benar lebih baik anda bertenang, dan andainya kemarahan anda melibatkan perkara yang kecil lebih baik lupakan saja.
Ini kerana jika kita berada dalam keadaan yang amat marah segalanya boleh terjadi,contohnya pergaduhan, perpisahan dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kita tidak akan disukai oleh orang di sekeliling kita. 
4. Cuba Bayangkan Diri Anda Sebagai Diri Orang Yang Sedang Anda Marahi 
Fikirkan tentang jasa dan kebaikan yang pernah dilakukannya terhadap anda. Contohnya, jika anda berasa marah kerana ditugaskan melakukan kerja orang lain, fikir secara rasional, bahawa dia juga berada dalam keadaan sedemikian.
Segalanya berlaku mesti ada sebabnya, selalunya sikap terburu buru ini adalah salah satu punca utamanya penyebabnya kemarahan berlaku.
5. Jom, Ambil Air Sembahyang!
Selain itu, mereka yang sedang marah boleh memadamkan kemarahannya dengan mengambil air sembahyang. Antara kelebihan berwudhu, ialah membersihkan diri daripada kekotoran hati dan secara fizikalnya menyejukkan hati yang melahirkan ketenangan.
Sabda Rasullullah s.a.w: ‘jika seseorang antara kamu marah sedang dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang marahnya, maka hendaklah dia baring’. (HADIS RIWAYAT Imam Ahmad).
Ingatkan diri sendiri bahawa perkara yg kita lakukan terhadap orang lain satu hari nanti akan berlaku atas diri kita juga. Dengan cara ini kita telah berjaya mengalihkan fokus minda kepada perkara yang boleh mencetuskan perasaan panas baran.
Sememangnya, setiap kemarahan perlu ada keseimbangan akal dan fikiran untuk mengawalnya, apatah lagi ianya berkaitan prinsip dan ideologi kita sendiri. Ikutilah tip mudah di atas supaya anda dapat mengecapi kebahagia dalam hidup.
Nota Kaki: SHARE artikel yang sangat berguna ini dengan kawan-kawan anda.



Ibu Tunggal Merintih Kecewa Polis Tolak Aduannya

22 Nov 2016

KEHADIRAN Ibu-ibu tunggal dalam majlis dialog Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) di Bandar Baru Bangi Ahad lepas banyak membantu mereka yang menghadapi pelbagai masalah setelah bercerai, terutama ketika berhadapan dengan Mahkamah Syariah. Walaupun dialog seumpama ini baru dua kali diadakan tetapi banyak membantu ibu-ibu tunggal untuk menyusun langkah apa yang harus dilakukan dalam menghadapi masalah percerian, talak, hadhanah, pembahagian harta sepencarian dan paling utama bagaimana untuk mendapatkan tuntutan nafkah daripada bekas suami yang berdolak-dalik.
Memang mudah menyerahkan masalah yang dihadapi kepada peguam-peguam yang bakal membawa kes yang dituntut ke mahkamah, tetapi masalah paling besar yang dihadapi oleh kebanyakan ibu-ibu tunggal, mereka tidak mempunyai wang untuk melanggan peguam yang sudah tentunya mahal! Memandangkan masalah ini terlalu rumit diselesaikan oleh ramai ibu-ibu tunggal, mereka terpaksa menyerah kalah dan berserah kepada takdir. Bersimpati dengan masalah mereka, Datuk Dr. Wan Halim dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan Hanifah Syed Mohammad seorang peguam syarie dan sivil telah mengambil inisiatif menawarkan khidmat nasihat secara percuma kepada ibu-ibu tunggal tentang cara dan bagaimana mengatasi masalah mereka satu persatu supaya berada di landasan yang betul.
Berbekalkan pengalaman dan mendalami masalah yang dihadapi oleh kebanyakan ibu tunggal semasa dialog yang beliau jalankan di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Halim bersedia memberikan nasihat yang sama di tempat-tempat lain. Kata Wan Halim, beliau amat bersimpati dengan kaum wanita yang kebanyakannya terkapai-kapai untuk meneruskan hidup setelah diceraikan bersama anak-anak yang ramai tanpa sebarang nafkah dari bekas suami, lebih malang lagi ada yang dihalau keluar rumah dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara atau balik ke rumah ibu bapa. Ini satu perbuatan kejam dan amat tidak bertanggungjawab.
Kerana itu Wan Halim dan Hanifah bersedia memberi nasihat kepada ibu-ibu tunggal yang bermasasah dan bersedia berdialog sebulan sekali kepada mereka yang ingin mengikuti kelas bimbingan yang dianjurkannya. Dalam kelas bimbingan baru-baru ini, seorang ibu tunggal, Puan Maysara melahirkan rasa kecewanya kepada pasukan polis yang menurutnya tidak pernah mengambil peduli setiap kali dia membuat aduan terhadap bekas suaminya, walaupun mereka sudah bercerai, tetapi hidupnya tidak pernah tenteram, kerana gangguan bekas suami yang merupakan anggota polis.
“Adakah kerana dia anggota polis, maka dia kebal undang-undang? Saya katakan demikian kerana setiap kali aduan saya buat tidak pernah diambil tindakan oleh pegawai yang menyiasat.” Akibatnya bekas suami jadi besar kepala dan ego. Sebaliknya saya jadi ketakutan bimbangkan keselamtan saya dan anak-anak,” cerita Maysara.
“Untuk menerangkan lebih lanjut lagi tentang masalah yang saya hadapi, baik saya bercerita dari awal. Jika tidak tentu kawan-kawan yang ada di majlis dialog ini jadi kurang faham apalagi jika dipaparkan di akhbar, ia menjadi lebih sulit lagi. Malah pegawai penyiasat polis yang pakar pun mendakwa dia tak buat laporan kerana tidak faham. Tak tahulah apakah mereka itu benar ataupun kerana mereka semuanya kawan-kawan.
“Selepas berkahwin lebih lima tahun dan ada dua orang anak ketika itu saya tidak mengesyaki bekas suami saya Dino ini ada masalah besar, semuanya nampak normal, tetapi sebagai isteri setelah lama berkeluarga, sedikit demi sedikit saya mula nampak kelainan Dino. Bab balik malam jauh-jauh malam sudah jadi perkara biasa, katanya bekerja sebagai anggota polis balik malam benda biasa. Saya diam mungkin ada kebenarannya.
“Tetapi satu hari saya nampak gayanya seperti seorang sedang asyik bercinta, bila saya tanya dia nafikan. Saya diam, kemudian saya lihat matanya merah, dan setiap kali balik keadaannya macam orang mabuk, pastilah dia minum arak. Yang ini dia tak boleh nafikan.
Mewah
“Dalam pada itu saya lihat gaya hidupnya sudah berlainan! Mewah! Pelik jugak gaji tak sebanyak mana, tetapi bergaya mewah. Contoh! Beli permainan untuk anak-anak benda yang mahal-mahal. Bila saya tanya mana ambil duit beli benda-benda mahal ini? Dia diam. Satu hari ketika saya perlukan duit dia suruh ambil dari dalam poketnya. Terkejut besar bila saya seluk nampak jumlah duit yang banyak. Bila saya tanya katanya jangan ambil banyak, Ini membuatkan saya jadi takut dan ngeri. Mula fikir yang buruk-buruk. Ini mesti duit rasuah atau benda lain, tapi pertanyaan saya dia tak jawab
“Nak jadikan cerita satu hari dia pengsan dan dihantar ke hospital, doktor sahkan Dino pengsan kerana ambil dadah syabu berlebihan. Ya Allah! Dino penagih dadah ke? Lagi saya jadi takut. Tiga hari Dino duduk hospital, tetapi peliknya pegawainya di balai tempat dia betugas tidak ambil tindakan langsung terhadapnya, kerana tidak datang bekerja. Kerana keadaan ketika itu kritikal, saya tidak boleh berdiam diri tentang masalah rumah tangga semakin gawat. Kes ada perempuan lain, kes dadah syabu, duit yang banyak dan macam-macam kes yang menakutkan saya. Faham sajalah bila suami ambil dadah syabu, maka saya mohon cerai dan kami bercerai secara baik. Lagipun Dino ketika itu memang nak kahwin lagi.
“Saya tak boleh nafikan bimbangkan keselamatan saya, pertama kerana dia mengambil dadah, kedua kerana dia selalu mabuk dan ketiga kerana aktivitinya yang suka pergi ke pub, minum arak dan tempat hiburan yang sudah pasti ada hubung kaitnya dengan perbuatan tidak bermaruah dan bermoral itu. Saya juga tidak mahu dijangkiti pelbagai jenis penyakit. Saya bimbang keselamatan saya dan anak-anak. Saya tak mahu kami semua jadi mangsa. Sebab itu saya minta cerai. Malangnya selepas bercerai dia selalu ganggu saya walaupun ketika itu Dino sudah kahwin lain. Dino datang ke rumah tak tentu masa ambil anak-anak sesuka hati, sedangkan mengikut perintah mahkamah saya dapat hak penjagaan anak-anak, sebab yang tua berumur lima tahun sementara yang kecil tak sampai tiga tahun.
“Mengikut perintah mahkamah Dino boleh ambil anak-anak ikut masa yang ditetapkan. Tetapi Dino langgar perintah itu, dia ambil anak sesuka suka dan tidak ikut masa yang munasabah. Kerana tidak puas hati saya buat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak. Tetapi malangnya tidak ada tindakan dibuat terhadap Dino, mungkin kerana tempat saya buat laporan tersebut berdekatan dengan balai tempat dia bertugas, maka kerana masalah kawan dan geng punya pasal, aduan saya diketepikan sahaja. Masalah ambil anak tak tentu masa ini juga menimbulkan masalah kepada pengasuh yang menjaga anak-anak saya. Kerana saya melarang, Dino bertindak memecahkan pintu rumah pengasuh, dan dengan kuasa besarnya dia menceroboh masuk dan ambil anak-anak keluar secara paksa. Perbuatannya sudah tentu menakutkan pengasuh kerana dia anggota polis dan sudah pasti dia ada senjata ketika itu.
“Kerana ketakutan dan bimbangkan keselamatan anak-anaknya maka pengasuh dan suaminya datang ke balai buat laporan polis sebab Dino pecahkan pintu rumahnya dan menceroboh masuk ambil anak-anak tanpa izin saya, yang sudah pasti melanggar perintah mahkamah. Malangnya laporan ini juga dibuang dalam tong sampah oleh polis yang bertugas. Agaknya! Sebenarnya saya tak tahu di mana lagi nak buat laporan polis, sebab sekeliling kawasan rumah ada enam buah balai, kesemua balai tersebut saya sudah buat laporan, malangnya tidak ada sebarang tindakan. Saya amat kecewa. Walaupun ada pegawai penyiasat yang datang buat siasatan, tetapi semuanya tamat di situ sahaja, tidak ada tindakan kepada Dino dan lebih penting polis tidak buka kertas siasatan terhadap laporan yang saya dan pengasuh buat.
“Ini tentu menakutkan pengasuh anak-anak saya, sebab ke mana lagi dia hendak mengadu jika keselamatannya terancam. Namun saya berterima kasih padanya kerana dia masih mahu jaga anak saya, jika tidak tentu saya susah, kerana saya bekerja tak tentu masa dan perlu bekerja untuk cari rezeki bagi menampung kehidupan kami anak beranak. Tak habis di situ saya juga buat laporan polis apabila lihat badan anak saya dicubit hingga lebam ketika dia balik dari rumah Dino. Kes ini membuat saya terpaksa bawa anak ke hospital untuk pemeriksaan doktor. Sekali lagi pegawai penyiasat datang membuat siasatan, kerana saya bimbang anak saya dicabul atau dianiaya, tetapi dia kata ini benda kecil.
“Saya hairan bagaimana pegawai polis ini boleh kata tak ada bukti atau benda kecil, sedangkan doktor yang memeriksa bimbang tentang keselamatan anak saya. Apakah pegawai polis ini lebih arif daripada doktor dalam membuat pemeriksaanan? Kerana tidak puas hati apabila semua laporan saya terhadap Dino tidak diambil tindakan saya bersama teman membuat laporan polis ke Bukit Aman. Harapan saya mungkin di sini laporan saya dapat perhatian, sebab enam balai polis yang saya buat laporan sebelum ini tidak ada tindakan dibuat dan polis tidak mahu buka kertas siasatan.
Malang bagi saya tiga kali saya pergi mengadap pegawai Bukit Aman, pegawai bertugas juga kata tidak mahu buka kertas siasatan. Kata mereka saya tidak buat laporan polis sebelum ini terhadap Dino. Pelik juga dah buat laporan ke balai, ada salinan, tapi kata mereka tidak ada sebarang laporan dibuat di balai.
“Akhirnya saya tunjukkan kertas laporan yang saya dan pengasuh anak saya buat di beberapa balai polis terdahulu. Akhirnya mereka kata susah! Bukit Aman kata susah? Pelik bin ajaib juga Dino bukan pegawai tinggi, sarjan pun bukan! Apa yang susah sangat nak buka kertas siasatan terhadap anggota mereka?
Adakah Dino kebal undang-undang? Atau kerana Dino anggota polis dan tak mahu kes Dino memalukan polis? Tak masuk akal! Saya tak buat laporan kecil-kecil atau semberono. Semua kes besar. Contoh! Dino overdose syabu, tiga hari masuk hospital tak ada tindakan, mendera anak, menceroboh masuk rumah pengasuh dan memecahkan pintu rumah pengasuh untuk merampas anak-anak.
Malangnya mereka kata tidak ada laporan dan pasti tidak ada kertas siasatan dibuka terhadap Dino. Sedangkan saya amat perlukan kertas siasatan itu untuk buat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerana tanpa kertas siasatan saya tak dapat buat IPO (Interim Protection Orderf) untuk memohon ke mahkamah Sivil di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga, untuk saya dapatkan perintah perlindungan sementara.
“Jadi saya ingin bertanya adakah apabila kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas diri kami anak beranak, maka barulah pihak polis bertindak? Ketika itu semuanya tidak berguna lagi. Nasi sudah jadi bubur. Jadi, sekarang bantulah saya. Saya wanita, anak-anak masih kecil, kami tidak berdaya melawan orang yang sudah hilang pertimbangan. Fikir-fikirkanlah.” Itu harapan Maysara memohon perhatian pihak polis demi keselamatan mereka anak beranak.

Kredit : UtusanMalaysia

Daripada Dipukul Lebih Baik Jadi Ibu Tunggal

18 Oct 2016

“TERPANGGIL dengan kisah puan Maryani tentang ‘lelaki plastic tak layak untuk anak dara emas’ membuat saya ingin berkongsi pengalaman pahit yang saya lalui lima tahun lalu, kini walaupun sudah bergelar ibu tunggal dalam usia muda, tetapi saya rasa bangga kerana dapat menguruskan anak-anak dengan baik dan tidak menyusahkan emak ayah lagi.
“Saya rasa hidup saya sekarang semakin hari semakin selesa, sebab tidak lagi menyusahkan hidup emak ayah seperti yang terpaksa kakak saya lalui, semuanya gara-gara ikut perintah suami, nak jadi isteri solehah, takut masuk neraka kerana syurga di bawah tapak kaki suami.’’ Itu pandangan Hazreene dalam e-melnya.
“Melalui coretan ini saya ingin menasihatkan kaum wanita yang sudah bersuami dan ada anak tetapi tolong jangan berhenti kerja walaupun anda menghadapi masalah seperti saya didesak suami supaya berhenti kerja. Sebab belum tentu suami boleh menunaikan kewajipannya setelah berhenti nanti. Contohnya kakak saya, dan juga puan Maryani yang kisahnya dipaparkan beberapa minggu lalu.
“Kakak saya seperti suaminya lulus SPM, sama-sama dapat kerja jadi kerani. Tetapi suaminya tak sabar dan tak betah bekerja, nak cepat kaya, mulalah buat dua kerja nak jadi orang bisnes, sebab dia percaya hanya dengan berniaga boleh jadi kaya. Namun nasib tak menyebelahi dia, akibat kurang pengalaman, bisnes terjun lombong dia banyak hutang.
“Ketika itulah kakak jadi penyelamatnya, pinjam sana pinjam sini termasuk gadai tanah emak untuk tolong suami buat bisnes. Sebab ketika itu suami sudah berhenti kerja. Berkat doa isteri dan keluarga, bisnesnya naik semula.
“Tetapi kelemahan orang lelaki ni dia tak pandai urus kewangan. Tak lama berniaga mulalah bisnes nak hancur. Untuk selamatkan bisnesnya, kakak disuruh pinjam lagi. Bila gagal, kakak jadi mangsa, pergaduhan sering berlaku, akhirnya bercerai.
“Lebih malang ketika itu kakak sudah berhenti kerja atas arahan suami disuruh bekerja di pejabatnya, puncanya kakak marahkan suaminya ada kekasih baru, jadi untuk buktikan kebenarannya, suami suruh kakak kerja di pejabatnya. Malangnya ketika itu bisnes suaminya sudah dihujung tanduk, dan kakak tidak tahu. Sia-sia kakak berhenti kerja, kerana tak ada duit kakak terpaksa duduk menumpang di rumah emak.
“Itu dugaan yang terpaksa kakak tanggung, namun dugaan saya juga sama maha beratnya. Suami saya Ezatt desak saya segera berhenti kerja, membuatkan hidup saya tak tenteram. Ketika itu saya hampir sasau, puncanya kerana cemburukan saya, kedua kerana gaji saya lebih tinggi daripada dia, dan saya tidak beri dia urus gaji saya.
“Dia lulus SPM saya ada diploma, bukan tinggi sangat, tetapi bab pendapatan memang saya dapat lebih daripadanya. Lagi pun saya tekun bekerja, bukan macam dia kerja ikut suka dan tak pernah senang hati dengan majikannya.
“Apa yang menjadikan dia bertambah marah apabila permintaannya minta duit gaji saya dicampurkan dengan gajinya, saya tolak, sebab daripada awal lagi saya lihat dia cuba kawal pendapatan saya. Dia yang tentukan apa perabut nak beli, apa makanan elok untuk kami. Sebenarnya ini semua bukan isu besar, kerana lebih besar lagi dia tak suka saya beri duit kepada emak ayah saya setiap bulan, katanya saya ada suami, maka saya mesti ikut cakapnya. Mesti bantu suami, bukan emak ayah lagi.
“Nak bantu macam mana lagi? Boleh dikatakan banyak urusan dalam rumah, saya yang bereskan. Duit gajinya cukup untuk dirinya sendiri, minyak motor, beli susu anak, bayar utiliti dan topup telefon dia. Yang lain saya selesaikan. Bukankah saya sudah membantu?
Duit gaji
“Memang betul saya kena dengar dan ikut perintah Ezatt, tapi saya juga ada hak bersuara, sebab bukan semua kata dan pendapatnya betul. Dia juga mesti beri contoh seorang suami yang baik. Tapi tidak! Contoh! dia solat kadang-kadang, puasa jarang-jarang, tapi cakap pasal syurga neraka, kalahkan ustaz. Sebab dia marah apabila saya tak beri duit gaji pada dia.
“Kata Ezatt apabila seorang wanita itu berkahwin dia mesti beri pendapatan kepada suami. Sebab kalau suami tak izinkan dia bekerja, isteri tak boleh bekerja. Kalau macam tu dia sepatutnya cari isteri tak bekerja daripada awal, bukan isteri macam saya yang bekerja.
“Saya pernah dengar ceramah agama, beberapa orang ustaz cakap tidak wajib isteri tanggung suami, dan tak berdosa kalau isteri beri emak ayahnya duit, asalkan si isteri beritahu suaminya. Tapi Ezatt marah tak benarkan saya beri pada emak, sebaliknya mesti beri pada dia. Dia bertambah sakit hati bila dapat tahu pendapatan saya lebih tinggi daripada dia setiap tahun.
“Oleh sebab saya ingkar pada perintahnya dia desak saya berhenti kerana dia rasa malu kerana kekurangannya. Oleh sebab saya tak mahu berhenti, dia cari pelbagai masalah dan kesalahan saya dalam menguruskan rumah. Mula tuduh saya masak tak sedap, rumah tak bersih, pengasuh yang jaga anak tak betul. Kerana terlalu banyak kerenahnya menyalahkan saya dan saya cuba mempertahankan diri, maka berlakukan bertengkaran demi pertengkaran yang berakhir dengan tangannya mula naik ke kepala dan badan saya.
“Tak puas hati dengan masalah rumah maka dia mula reka cerita, dia tuduh saya tak mahu berhenti kerja kerana saya ada ‘jantan’ yang saya layan di pejabat. Sebab tu saya tak layan dia dengan baik. Nak layan macam mana. Bila balik rumah, serba tak kena sebab dia sentiasa cari jalan salahkan saya. Bila balik lambat saya beli lauk di kedai, dia tak suka makan. Bila masak pulak dia kata masakan saya tak sedap.
“Cuba fikir disebabkan selalu kena marah, kena pukul macam mana saya ada hati dan perasaan nak sayang dan layan dia. Saya jadi hilang nafsu, dan tak ada hati nak layan dia dengan baik. Kerana marah dia mengadu kepada keluarganya, dia sengaja nak malukan saya. Mentua pun mulalah buka ‘kitab tak berbaris’ nasihatkan saya supaya layan suami, tak baik, berdosa tak layan suami nanti masuk neraka, tak cium bau syurga. Tapi emaknya tak tanya kenapa saya hilang nafsu pada suami. Tentu tidak, sebab dia cuma dengar apa yang anaknya cakap sahaja.
“Bagaimanapun oleh sebab hendak rumah tangga kembali aman, saya berusaha buang yang keroh ambil yang jernih, saya buat pengakuan saya tak ada kekasih di pejabat kalau itu menjadi kemarahannya. Tapi dia tak percaya. Akhirnya saya terpaksa beri duit gaji pada dia supaya dia uruskan rumah tangga kerana itu kehendaknya yang hakiki.
“Bulan pertama masuk bukan keenam memang nampak baik, dia tunjukkan pada saya duit yang dia simpan. Bukan duit gajinya tapi duit saya. Setahun lamanya saya diam, saya fikir tentulah simpanan bertambah. Nak jadikan cerita kereta rosak saya suruh dia hantar bengkel. Dua minggu tak siap, saya terpaksa naik motor dia ke pejabat. Waktu itu nak hantar dan ambil anak ke rumah pengasuh jadi masalah. Pastilah saya sampai pejabat lewat.
“Saya suruh dia desak pomen bengkel supaya cepat siapkan kereta. Masa berlalu hingga sebulan lebih. Kereta tak siap jugak. Satu hari saya terjumpa surat bengkel sebut jumlah kerosakan mencecah RM800. Saya suruh dia bayar segera. Ketika itu baru terbongkar rahsia dia kata duit tak ada. Apa hal dengan simpanan yang dia tunjukkan pada saya dulu? Katanya dah habis kerana beli barang makan. Apa lagi pertengkaran pun berlaku antara kami. Saya ditampar dituduh melawan suami.
“Peliknya sepanjang lebih setahun saya serahkan gaji saya pada dia untuk uruskan keluarga tak timbul pun cerita saya ada skandal layan jantan lain ataupun masakan saya tak sedap, saya isteri pemalas dan macam-macam lagi. Semuanya bertukar jadi baik. Boleh dikatakan kami jarang bertengkar apa lagi kena pukul. Rupanya duit gaji saya ini besar kuasanya, boleh menutup semua kesalahan saya selama ini. Jadi duitlah segala-galanya!
“Kerana kereta penting untuk kegunaan saya ke pejabat dan urusan hantar anak-anak ke rumah pengasuh, saya terpaksa pinjam duit ayah untuk bayar bengkel kereta. Bila dapat kereta kembali, baru saya tahu, kereta saya dah lama siap, tapi tak diambil. Tentulah masalah Ezatt tak ada duit nak bayar pada bengkel.
“Kerana tak puas hati dan sakit hati saya tanya Ezatt apa jadi dengan simpanan yang dia tunjukkan pada saya dulu. Katanya habis. Oleh sebab dia tuduh saya ada jantan lain, maka saya tuduh dia adakah dia gunakan duit simpanan untuk joli dengan perempuan lain? Memang soalan saya menyakitkan hatinya. Tujuan saya supaya dia sedar jangan suka tuduh saya buat jahat, cermin diri sendiri.
“Lepas peristiwa itu saya tak beri lagi duit gaji saya, dan saya pastikan semua urusan rumah saya bereskan. Tetapi Ezatt tak puas hati. Mulalah lagu ‘isteri derhaka kembali bersiaran.’ Oleh sebab saya sabar dan diam malas bertengkar, kerana fikiran buntu sebab kena ganti duit ayah yang saya pinjam. Maka Ezatt beri kata dua kalau saya masih beri pada emak dan ayah duit, maka dia akan ceraikan saya.
“Akhirnya walaupun saya masih sayangkan Ezatt, tetapi saya terpaksa fikirkan masa depan saya dan anak-anak, saya kata pada Ezatt saya tak mahu bercerai, tetapi saya tak boleh ikut kehendaknya, dan jika dia tak boleh terima permintaan saya maka saya tidak ada pilihan terpaksa terima keputusannya menceraikan saya.
“Tiga bulan lamanya kami berfikir, akhirnya Ezatt buat keputusan ceraikan saya, alasannya saya tidak mahu berhenti kerja. Saya diceraikan talak satu. Kata mentua saya esok lusa bila dah tenang bolehlah rujuk semula. Tetapi saya sudah tetapkan hati, saya lebih rela jadi ibu tunggal demi masa depan kami anak beranak.’’ Itu cerita Hazreene, nasihatnya kaum wanita jangan takut jadi ibu tunggal jika kita berada di tempat yang benar.

Kredit : UtusanMalaysia
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.