SLIDER

Orang Bukan Islam Turut Berpuasa? Ikuti Pengalaman Mereka

29 May 2017












Ibadah berpuasa yang merupakan rukun Islam ketiga ini adalah amalan wajib bagi setiap individu yang beragama Islam dan harus dilaksanakan selama sebulan pada bulan Ramadan.Namun siapa sangka, hidup dalam negara berbilang kaum seperti di Malaysia, pengalaman menahan lapar dan dahaga sepanjang hari turut sama dirasai oleh masyarakat dari agama lain. Ternyata bukan umat Islam sahaja yang tertarik dengan amalan berpuasa pada bulan Ramadan, malah orang bukan Islam juga dilihat turut terpesona dengan keindahan bulan tersebut.

Menurut Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, Eksekutif Kanan Unit Dakwah & Pemasaran Sektor Swasta di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Kuala Lumpur, “Dari pada asasnya orang bukan Islam tidak disyariatkan untuk berpuasa atau apa-apa juga amalan dalam Islam kerana dari sudut ganjaran, pahala memang tidak ada. Tetapi jika mereka ingin mencuba belajar itu tidak menjadi masalah. Semoga dengan mengalami perasaan berpuasa itu akan menyebabkan mereka tertarik kepada Islam.”

Gambar: Ustaz Ahmad Husni

Mereka turut berkongsi pengalaman mereka ketika berpuasa di bulan Ramadan:

Vincent Channel Omar, 25


Cerita unik berpuasa Vincent bermula sejak kecil lagi dimana dia telah didedahkan dengan persekitaran teman-teman dan jiran-jirannya beragama Islam. Dari situlah dia belajar serba sedikit tentang puasa tetapi cuba bertahan selama dua hingga tiga hari sahaja. Tetapi memasuki ke umur 18 tahun dan menyambung pengajiannya di Malaysia Institute of Integrated Media (MIIM), teman-teman selalu berpesan bahawa puasa adalah untuk menahan nafsu dan memperingati orang yang tidak bernasib baik. "Atas galakan teman-teman, saya turut belajar berpuasa dan kemeriahan cukup terasa sewaktu berbuka dan sahur. Bermula dari situ, saya belajar untuk berpuasa penuh selama sebulan."

Mengakui dirinya kuat makan, Vincent berasa puas hati apabila dapat mengawal nafsu makannya dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan. "Jika ke bazar Ramadan, menu kegemaran saya adalah nasi kerabu, laksa, ayam percik dan kuih sago. Kalau air, saya cari air katirah. Tapi pernah sekali saya dan teman-teman beragama Islam drive sampai ke Melaka hanya untuk berbuka di rumah teman sebab si dia ni beritahu masakan maknya terbaik. Memang seronok bulan Ramadan ni apabila kita dapat berkongsi rezeki. Untuk anda yang mahu cuba berpuasa, cuba untuk bangun sahur dan makan something serta minum air secukupnya. Tapi bila berbuka, jangan membazir duit dan makanan pula," tegas Vincent diakhir perbualan.

Prabanandan Ramachanderan, 28

Bagi seorang guru di Kolej Vokasional Gerik ini pula, dia mula belajar berpuasa ketika di tingkatan enam kerana terlalu ramai kawan yang beragama Islam. Apabila masuk universiti pula, pun ramai kenalannya juga beragama Islam dan dia turut mengikut mereka berpuasa. "Kami sama-sama akan ke bazar membeli juadah berbuka dan bangun sahur. Saya berasa seronok apabila berpuasa dan tidak berasa lapar pun. Kini saya bergelar seorang guru dan juga merangkap warden asrama, 99% daripada pelajar saya beragama Islam dan saya turut puasa bersama mereka. Saya akan ke bazar apabila ada masa lapang dan juadah berbuka yang menjadi kegemaran saya adalah kuih tepung pelita."

Lebih dikenali sebagai Mr Praba di kalangan pelajarnya, Praba turut memberikan pesanan epik kepada teman-teman yang bukan beragama Islam yang ingin berpuasa: "Tiada salahnya jika anda ingin mencuba, kitakan satu Malaysia."

Jillian Teh, 26

Gadis cantik yang merupakan seorang eksekutif jualan ini turut berpuasa kerana sifat ingin tahu. Dia turut dikelilingi teman-teman beragama Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan dan ini membuatkan dia ingin mencuba. "Saya cuba berpuasa selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad kerana saya banyak menghabiskan masa di rumah. Apabila berpuasa, mampu mengawal rasa nak makan dan minum itu amat berkesan. Ketika berpuasa, saya tidak bersahur seperti biasa. Tetapi apa yang menggembirakan hati saya apabila saya menghadiri majlis berbuka puasa anjuran tempat saya bekerja dan berpeluang berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan melihat mereka gembira serta mampu berpuasa menceriakan hati saya."

Bersempena Ramadan juga dia turut ke bazar Ramadan untuk mencari juadah kegemarannya iaitu nasi briyani dan ayam madu. Tambah Jillian lagi, "Tinggal di dalam negara yang berbilang kaum membuatkan saya ingin mencuba pelbagai adat, kebudayaan dan peraturan pelbagai bangsa. Anda juga patut mencuba berpuasa kerana ia membuatkan anda lebih mengenali teman-teman anda dan juga turut sama memberikan sokongan moral kepada mereka."

Howell Gunner, 32

Bagi Penyelaras Seni Bina yang berasal dari Kiulu, Sabah ini, dia pernah belajar berpuasa ketika menuntut di istitusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Kata Howell, "Pada waktu itu saya menetap bersama dengan teman serumah yang beragama Islam. Sahur, saya akan bangun dan kebiasaannya saya akan makan roti. Cubaan nak berpuasa masa itu konon macam nak diet dan kecilkan perut. Hari pertama berpuasa, saya mampu bertahan sehingga ke waktu berbuka dan rasa cukup gembira kerana berjaya menahan lapar dahaga. Namun masuk hari ketiga, keempat dan kelima, saya mulai lemah, tak tahan dan tak boleh fokus pada pelajaran."

Memiliki teman serumah yang memahami, ada teman serumahnya berpesan, tak perlulah nak berpuasa dan jangan risau kalau nak makan di dalam rumah tanpa rasa bersalah. "Pada saya, apabila saya turut belajar berpuasa ini, ia banyak mengajar tentang hormat diantara satu sama lain. Kita dapat rasa apa yang kawan-kawan beragama Islam rasa sedikit sebanyak dan ia juga mengeratkan persahabatan. Sampai ke hari ini, saya ada juga singgah ke bazar Ramadan berdekatan rumah kerana kegemaran saya adalah kuih pulut panggang, kuih koci dan juga lemang".

Suresh Raman, 45

Bagi pengurus jualan ini, pengalamannya berpuasa memberikan banyak kenangan manis. "Saya pernah berpuasa ketika zaman bujang dan tinggal bersama teman serumah. Kebetulan teman serumah pada waktu itu beragama Islam jadi saya nak cuba untuk berpuasa. Selain nak cuba, saya nak mencabar diri saya untuk menahan lapar dan dahaga selama 15 jam itu. Saya bertahan berpuasa selama seminggu."

Bercerita lanjut mengenai perkara yang paling seronok semasa bulan Ramadan,"kenangan paling best, apabila saya pergi keluar membeli juadah berbuka bersama teman serumah, beli barangan basah untuk dimasak ketika sahur dan saya masih ingat kami bangun jam tiga pagi untuk memasak juadah sahur. Pada saya, ini satu pengalaman yang menarik dan setiap orang perlu cuba. No harm trying."

 

Lester Calvin Miol, 30

Bagi pengurus program stesen radio Kupi-Kupi FM di Kota Kinabalu ini, dia mengambil kesempatan bulan puasa untuk turut serta berpuasa. Menurut Lester, pada awalnya memang agak kurang bertenaga sebab tak biasa tapi lama-kelamaan dia boleh bertahan. "Sudah empat hari berpuasa di bulan Ramadan tahun ini. Saya menganggap puasa adalah suatu yang cukup indah. Saya merasakan teman-teman yang bukan Islam seharusnya cuba berpuasa walaupun sehari kerana puasa ini ibarat detox, sesuai untuk mencuci bahagian dalaman badan."

Menjadikan bazar Ramadan Kem Askar Lok Kawi sebagai lokasi pilihan, Lester amat gemarkan nasi dagang sebagai juadah berbuka di bulan puasa. Tambah Lester, "Maklumlah di Kota Kinabalu ni susah nak dapat nasi dagang pada hari-hari biasa dan selalunya ada banyak pada bulan Ramadan."

Joshua Nicholas, 27

Menurut Joshua, pengalaman berpuasa adalah sesuatu yang sangat menarik! Kata eksekutif jualan di CtrlShift ini, "Dah lama saya ingin cuba berpuasa tapi timing selalu tak kena. Jadi apabila tiba Ramadan saya ambil kesempatan bulan ini dengan turut berpuasa bersama. Cuba berpuasa selama sebulan, kadang-kala ia sangat menduga. Dalam masa sebulan tu, tidaklah saya berpuasa seperti teman-teman beragama Islam dimana ada ketikanya saya minum kerana terlalu dahaga. Jadi apabila tiba waktu berbuka, saya akan mengajak teman-teman yang bukan Islam untuk berbuka puasa disamping mereka menikmati makan malam."

Joshua mengakui dia bukanlah jenis yang suka ke bazar Ramadan kerana bazar terletak jauh dari rumah. "Pesanan saya buat teman-teman bukan Islam untuk cuba merasai pengalaman berpuasa, elakkan lalu di tepi kedai Famous Amos kerana aroma biskutnya sangat menusuk kalbu dikala anda cuba menahan lapar dan dahaga. Cubalah sesuatu yang baru, yang tidak pernah anda lakukan selama ini dan saya pasti anda juga akan teruja," katanya.

Jadi kesimpulannya, tidak salah untuk anda yang bukan beragama Islam yang ingin cuba berpuasa untuk merasai sendiri kemeriahan dan ketenangan bulan Ramadan. Hidup di dalam negara yang berbilang kaum ini seharusnya menjadi kelebihan buat kita sama-sama berkongsi adat dan kebudayaan. 

Oleh : Azwa Rahman
Kredit : RojakDaily 

KKM Senarai 7 Lagi Produk Kosmetik Merbahaya Di Pasaran. Ambil Perhatian

28 May 2017


Baru-baru ini KKM menyenaraikan 7 lagi produk kosmetik yang dipercayai dikesan mengandungi racun berjadual , dan ianya sangat merbahaya kepada para pengguna. Jadi admin berharap, semua pengguna ambil perhatian tentang notis yang dikeluarkan oleh pihak KKM. Di ruangan Laman Qaseh, kami pernah juga menerima luahan dari pembaca yang risau rakannya yang sangat taksub dalam pengambilan produk kecantikan. 


Dengan amaran yang dikeluarkan oleh pihak KKM, pengguna perlu bijak mengambil tindakan sewajarnya. Mana-mana yang ada ambil produk seperti yang disenaraikan, boleh berhenti menggunakannya sebelum terlambat.

-Admin-

  1.  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:

kos1

  1. Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

PERIHAL  BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA PADA KESIHATAN

  1. Produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan. 

  1. Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

  1. Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

  1. Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

  1. Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.



PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI

  1. Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

  1. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.


PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

  1. Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

  1. Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/



DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

26 Mei 2017

Kredit : kpkesihatan


 kos2kos3kos4kos5kos6kos7kos8

Roh Tidak Kembali Ke Dunia




RAMADAN datang lagi. Kemuliaan dan kelebihannya dirasakan tidak perlu lagi dihuraikan kerana majoriti umat Islam arif tentangnya. Pasang surut ‘kemeriahannya’ secara asasnya terbahagi kepada tiga fasa - 10 hari pertama saf masjid dan surau meriah dengan jemaah, 10 hari kedua semakin berkurangan dan 10 hari terakhir yang tinggal hanya imam serta beberapa penunggu setia masjid sahaja.

Masuknya Ramadan, antara topik popular dalam laman sosial ialah tentang isu pulangnya roh untuk meninjau dan mengutip pahala daripada anak-anak serta saudara-mara mereka yang masih hidup.
Maka ramailah yang akan berkongsi maklumat ini tanpa terlebih dahulu memperinci kesahihannya. Alasan lazim yang diberikan, “aku dengar ada ustaz kata begitu. Guru agama aku pun cakap benda sama...,”. 

Perlu diperbetul bahawa kesahihan mengenai isu agama bukannya berdasarkan kepada nama individu tetapi wajib bersandarkan kepada sumber asal agama iaitu al-Quran, sunnah yang sahih, ijmak dan kias. 

Fokus kali ini merupakan hasil susunan jawapan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri dan beberapa tokoh agama lain mengenai isu pulangnya roh orang mati.

HAKIKAT ROH

Sebenarnya pengetahuan manusia mengenai roh terlalu sedikit. Firman Allah, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja,” (al-Isra’: 85)
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman: ayat itu menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Mereka yang meninggal dunia, roh mereka tidak mungkin kembali semula ke dunia, sama ada untuk menziarahi ahli keluarga atau membalas dendam.


Antara dalil-dalil:
1. “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (al-Mu’minuun: 100)
l Imam Ibn Jarir al-Tabari menukilkan riwayat Mujahid Rahimahullah (tabiin dan juga anak murid kepada Ibn Abbas r.a.) bahawa barzakh di dalam ayat itu ialah hijab (seperti tembok penghalang) antara orang yang telah mati untuk pulang ke dunia.

2. “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajal semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajal yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (al-Zumaar: 42)

Ayat di atas menunjukkan bahawa roh orang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya daripada kembali ke dunia. Ini seperti riwayat daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabiin dan juga anak murid kepada Ibn Abbas r.a.) yang mengatakan bahawa telah dikumpulkan antara roh-roh orang yang hidup dan mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.

3. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam musnadnya daripada Jabir r.a.:
“Telah berkata kepadaku Rasulullah SAW: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah SWT telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.”

KESIMPULAN
Berdasarkan kepada nas dan pendapat para ulama, kami (Irsyad al-Fatwa) nyatakan bahawa roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ia berada di satu alam yang dinamakan barzakh.
Nas yang sahih lagi jelas seperti yang terdapat pada hadis Jabir r.a menjadi pemutus dan penghukum di samping tafsiran para mufassirin mengenai ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dalam isu ini, yang mana menunjukkan bahawa roh tidak dapat kembali ke dunia. 

KEBIASAANNYA pada zaman dahulu menjelang penghujung Ramadan, kebanyakan rumah di kampung mula dihias dengan pelita minyak tanah, terutama di sepanjang jalan masuk ke kawasan halaman rumah.

Selain bagi menimbulkan suasana menjelang Aidilfitri, dikatakan bahawa tradisi itu kononnya bertujuan meraikan kepulangan roh-roh keluarga untuk melihat waris-waris yang ditinggalkan. Roh yang baik peluangnya amat tinggi untuk dibenarkan ‘turun’ ke dunia, manakala bagi yang kurang amalannya hanya mampu ‘menggigit jari’.

Kononnya apabila roh pulang, perkara pertama yang bakal dilakukan ialah kembali ke kubur untuk melihat jasad mereka sebelum meneruskan perjalanan ke rumah pusaka, anak-anak dan rumah orang yang selalu mendoakan mereka.

Roh ini akan kembali ke Luh Mahfuz pada malam 1 Syawal bersama ‘poket’ yang sarat dengan amalan-amalan yang disedekahkan oleh waris-warisnya.

Sementara itu, Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam Darussyifa, Datuk Dr. Haron Din turut mengulas mengenai isu ini.


Antara penjelasan beliau:
1. Orang meninggal dunia bermaksud rohnya berpindah ke alam baqa’ yang bermula dari kubur.
- Hadis Nabi SAW menyebut (yang bermaksud), “Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia,”

2.Barzakh bermaksud pemisah atau penghalang seumpama sebuah tembok kukuh yang memisahkan antara dua alam.
- “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.” (Surah az-Zumar, ayat 42)
3.Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa roh si mati berada dalam suatu kepungan barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.

4. Logiknya, jika roh boleh kembali ke dunia, melakukan pelbagai perkara, sudah tentu orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Haron mengakui terdapat tanggapan segelintir bahawa roh kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad tertentu. Berdasarkan kepada pengalamannya, ada yang mendakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya serta mampu mengubat orang melalui ilmu yang diperoleh daripada orang telah mati.

“Semuanya tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan roh, dalam istilah Arab disebut ‘tanasuthil arwah’ - reincarnation. Elemen ini wujud dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

“Umat Islam mesti beriman bahawa roh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk ke dalam diri orang lain. Satu jasad satu roh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, roh kembali ke alam barzakh.

“Apabila tiba hari Kiamat, jasad akan dijadikan semula dan roh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah SWT,” katanya.

Jawapan ini boleh dirujuk melalui:
www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/945-irsyad-al-fatwa-ke-112-bolehkah-roh-orang-yang-telah-mati-kembali-ke-dunia

Kredit : UtusanMalaysia

Di Lamar Lelaki Lembut

26 May 2017


Terima kasih Admin Laman Qaseh, kerana sudi siarkan kisah saya. Tujuan saya adalah untuk memohon pendapat pembaca-pembaca sekalian kerana saya pun sedang keliru dengan keputusan yang saya nak ambil sekarang ni.

Saya Suri, umur 25 tahun bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta. Dulu masa saya belajar di IPT, saya mempunyai seorang kawan baik. Dia seorang lelaki lembut. Tapi taklah sampai nak bertukar jadi perempuan (a.k.a pondan). Nama dia Haziq. Kami sebenarnya ber-enam kumpulan best friends termasuklah Haziq. Haziq sorang je lelaki dalam group kami. Kami memang sangat rapat sehinggalah sekarang kami tak pernah terputus hubungan. Masih berhubung dan keluar bersama-sama,  jalan-jalan ke shopping mall, main boling, tengok wayang dan lepak-lepak kat kedai makan.

Dalam kami ber-lima yang gegirl ni, Haziq lebih rapat dengan saya. Saya pun tak tahu kenapa, mungkin dia selesa bila berdamping dengan saya. Saya pernah bertanyakan Haziq, kenapa dia tak bercampur gaul dengan geng-geng lelaki. Haziq bagitahu dia lebih suka berada dalam group perempuan, sebab budak-budak lelaki ni suka mengusik dan layanan terhadap dia agak kasar. Mungkin Haziq tak biasa kot. Biasalah kan lelaki memang agak kasar sikit. Tapi saya OK je dia nak join group kami. Saya layan Haziq sama macam dengan kawan-kawan saya yang lain juga. Haziq ni seorang yang lemah-lembut, soft spoken. Pergaulan , percakapan, gelak ketawa dan gaya berjalan tak ubah seperti perempuan. Cuma yang bagusnya dia masih memakai pakaian lelaki. Raut wajah dia boleh dikategorikan handsome juga.  Tentang naluri dia saya kurang pasti.

Kini kami semua masing-masing sudah mempunyai kerjaya dan bekerja di syarikat berlainan. Sejak bekerja ni, saya lihat Haziq cuba berusaha perlahan-lahan berubah nak jadi ‘keras’. Percakapan dan gayanya seboleh-bolehnya cuba untuk jadi lebih gentleman. Mungkin pengaruh persekitaran di tempat kerja dia yang mempunyai lebih ramai staff lelaki. Kami rakan-rakan memberi sokongan sepenuhnya dan tak berbelah bahagi kepada Haziq.

Selepas beberapa tahun kami berkawan , suatu hari, Haziq datang berjumpa saya untuk menyampaikan hasrat hati dia. Dia hendak melamar saya untuk menjadi teman wanita dia. Saya akui masa tu saya tiada teman istimewa lagi. Saya agak terkejut juga kerana saya tak pernah terfikir pun yang Haziq akan pergi sejauh tu. Saya terdetik juga, adakah Haziq masih mempunyai naluri untuk bercinta dengan seorang perempuan. Selama kami berkawan, dia tak pernah tunjuk pun ciri-ciri dia berminat ke arah bab-bab cinta ni. Jadi bila dia melamar saya, adakah tujuannya ikhlas atau ada tujuan lain. Betul ke hati dan perasaan dia nak melamar saya.

Saya buntu memikirkan apakah yang perlu saya lakukan. Apa perlu saya respon kepada Haziq. Perasaan dalam hati saya ni pelbagai. Ada rasa sayang, kasihan dan pada masa yang sama suka pun ada juga. Tapi mungkin sebab kami dah terlalu rapat kot, jadi perasaan tu mula berputik di hati Haziq. Untuk ke tahap mempunyai perasaan cinta tu, saya masih kurang pasti dan keliru. Kalau saya menolak lamaran Haziq, risau hati dia terluka sebab macam Haziq ni, hati dia sensitif dan cepat sentap juga. Saya rasa kasihan pula. Taknaklah nanti kalau saya tolak lamaran dia, hubungan kami sebagai rakan baik terjejas. Kalau saya terima lamaran dia pula, atas sebab apa saya perlu terima. Betul ke saya sayang dia lebih daripada seorang rakan. Bagaimana penerimaan keluarga saya nanti. 

Mungkin keluarga dia boleh terima saya, tapi bagi keluarga saya, mungkin agak sukar untuk mereka menerima kehadiran Haziq dalam keluarga. Entah lah. Pening saya memikirkannya. Tak tidur malam dibuatnya. Ini dah macam ditelan mati mak, diluah mati bapak. Saya tanya pendapat rakan-rakan baik saya, mereka cuma kata "Ikutlah naluri, Tepuk Dada Tanya Selera" . Buat istikharah. Saya sendiri pun dalam usaha untuk membina keyakinan dalam hati. Saya rasa confuse. Kalau ada pembaca yang pernah berpasangan dengan lelaki lembut, boleh korang share pendapat korang tak?

Terima kasih
Suri


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.