SLIDER

Pertama Kali Nak Derma Darah ? Haaaaa..Elok Sangat Baca Ni !

3 Jan 2022

Haaa...kalau korang nak jadi hero , jom kita menderma darah. Tak perlu susah-susah nak berlawan dengan gengster,  menderma darah lagi dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa yang memerlukan. Kalau korang tak pernah menderma darah, jangan risau , banyak tips-tips yang dikongsikan di internet sebagai persediaan awal. Tak perlu takut, tak perlu risau. 

Cuma ingat, niat kita nak menderma darah tu sebagai satu perjuangan untuk menyelamatkan nyawa. Haaa...bukan peperangan je tau di anggap satu perjuangan, tapi menjadi sebagai penderma darah ni pun dah di anggap HERO di mata masyarakat. Siapa lagi kalau bukan kita yang dapat bantu sesama kita. Besar nilai setitik darah bagi mereka yang sangat-sangat memerlukan di waktu yang  kritikal. Oh yaa, admin dah derma sebanyak 3 kali. 

Jom ! Kita ikuti perkongsian tips yang sangat bagus ni.

-Admin-


First time menderma darah memang macam-macam persoalan yang akan timbul dalam fikiran. Apatah lagi berhadapan dengan jarum yang tidak kurang besar saiznya. Jika anda seorang yang sangat sensitive (phobia) dengan injection, lupakan saja niat untuk menderma darah kerana jarum yang digunakan memanglah teramat besar saiznya. Tapi bagi saya, semua itu adalah perkara biasa, mungkin disebabkan terlalu excited menderma darah buat kali pertamanya.  

Sebelum saya bergelar Penderma Darah, saya pernah juga melihat beberapa rakan saya yang menyertai program menderma darah yang diadakan setiap 6 bulan dikolej. Sudah berkali-kali juga mereka mengajak saya untuk menyertai program itu, tapi memikirkan berat badan saya yang tidak pernah pun mencecah 45kg ke atas dan juga tekanan darah yang sentiasa rendah, saya rasa kelayakan saya untuk menderma darah memang tidak masuk punya…n_n.

Saya jealous juga tengok kawan-kawan saya ni derma darah. Saya berusahalah juga menaikkan berat badan saya, tapi still below 45kg. Untuk seketika, saya lupakan saja hasrat saya untuk menderma darah, sebab memang tidak layak pun.

Setelah sekian lama melupakan hasrat untuk menderma darah, keinginan itu muncul kembali selepas berjumpa dengan rakan-rakan yang memang penderma darah tegar. Pengaruh rakan itu memang kuat. Believe or not, it’s happen to me. Sehari sebelum menderma darah, saya berehat secukup-cukupnya dengan harapan keesokan harinya apa yang diimpikan akan termakbul. 

Satu jam sebelum menduduki ujian kelulusan untuk menderma darah, saya struggle untuk makan sepuas-puasnya dengan harapan berat badan saya mencecah 45kg, dan juga melakukan sedikit senaman agar tekanan darah saya meningkat ke tahap yang dikehendaki.  
Haha...Syukur, semuanya available dan saya sign borang persetujuan untuk menderma darah. U_U *_*.

Excited…excited ,memang excited masuk bilik tabung darah. Staff yang bertugas menyuruh saya berehat sebelum pendermaan darah dilakukan. Pastikan rehat yang cukup, takut nanti pengsan pula time derma darah ni. 10 minit berehat, procedure pun dimulakan. First, ubat pelali/ tahan sakit/ Local Anesthesia disuntik dibawah lapisan kulit / subcutaneous untuk memastikan jarum yang akan dimasukkan kemudian kedalam saluran darah tidak akan terasa sakit sebab jarum yang biasa digunakan tu memang besar punya lah. Suntik LA ni yang terasa sakit sedikit, lepas tu dah tak rasa lagi even jarum yang besar dimasukkan. 

Semuanya berlaku dengan pantas, hanya mengambil masa 15minit untuk proses pendermaan darah. Disitu disediakan juga makanan dan minuman untuk disantap selepas pendermaan darah. Sebaik-baiknya, berehat selama 30minit selepas pendermaan darah untuk memastikan sistem peredaran darah dalam badan stabil untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. 

Satu unit darah yang anda dermakan dapat menyelamatkan nyawa:

1.    Mangsa Demam Denggi
2.    Mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah
3.    Ibu-ibu yang mengalami tumpahan darah selepas  
       bersalin
4.    Bayi yang memerlukan pertukaran darah
5.    Pesakit Talasemia
6.    Pesakit Anemia
7.    Mangsa kebakaran
8.    Pesakit leukemia
9.    Pesakit Haemifilia

Kriteria/Kelayakan untuk menjadi penderma darah

Anda layak untuk menderma darah sekiranya:
1.    Mempunyai berat badan yang melebihi 45 kilogram
2.   Tekanan darah yang normal 100/90-120/90.
3.   Berumur antara 18 tahun hingga 60 tahun (Sekiranya  anda berumur 17 tahun, anda perlu dapat kebenaran bertulis daripada ibubapa/penjaga)
4.  Tidur yang melebihi 5 jam pada malam sebelum hari pendermaan
5.  Tahap hemoglobin (kandungan protin dan zat besi) sekurang-kurangnya 12.5g%
6.  Tidak mengambil sebarang ubat antibiotik kecuali  diberi kebenaran oleh pegawai perubatan.
7.  Tidak mengambil minuman beralkohol 24 jam sebelum menderma darah
8.  Tidak mengidap penyakit Tekanan Darah Tinggi, Diabetis dan Sakit Jantung
9. Tidak mengidap Penyakit Talasemia, Haemofilia, Hepatitis B atau C, Penyakit Kelamin, AIDS dan sebagainya.


Anda DILARANG! menderma darah sekiranya anda tergolong dalam orang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti berikut:
1. Hubungan seks dengan bertukar-tukar pasangan atau menjalankan aktiviti seks rambang
2. Melanggani pekerja seks/pelacur
3. Hubungan sejenis (Homoseks)
4. Hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (Biseksual)
5. Menyalahguna dadah secara suntikan

Kesan sampingan menderma darah

1. Pening-pening untuk seketika.
2. Letih dan muka yang pucat. (mungkin akan berlanjutan selama 2-3hari)
3. Mengantuk.
4. Selera makan yang meningkat.
5. Berat badan meningkat. 

Penjagaan diri selepas menderma darah

1. Mendapatkan rehat yang secukupnya.
2. Elakkan memandu.
3. Elakkan bersenam atau melakukan kerja-kerja berat dalam masa 24jam selepas
    menderma darah.
4. Makan makanan yang berkhasiat dan kaya dengan protein untuk memulihkan tenaga
    dan juga menggalakkan penghasilan darah yang baru.
5. Elakkan makan makanan yang pedas dan asam dalam masa 24jam selepas menderma
    darah.
6. Elakkan minum minuman beralcohol dalam masa 1 minggu selepas pendermaan darah.
7. Elakkan minum minuman berkarbonat dan berkafein seperti coca cola, pepsi, nescafe dll.

Notis! Elakan mengambil makanan atau minuman yang tidak sesuai dengan citarasa anda kerana hal ini akan mengakibatkan anda berasa loya, pening dan pitam.

~> Setiap orang mungkin akan mengalami kesan yang berbeza. 

Kredit : elsiemeijie 

 

Hukum Membeli Emas Secara Ansuran

2 Jan 2022

 



Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk membeli emas dengan cara hutang? Maksudnya emas tersebut saya ambil dan pakai dahulu, kemudian baru buat pembayaran.

 

Ringkasan Jawapan

Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

 

Huraian Jawapan  

Asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.

Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.

Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.

Hadis Muslim (1587)

Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.

Huraiannya, jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.

(Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, m/s 81)

Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj tambahan.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/110-111)

Oleh itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.

Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara tunai.

Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang” dalam satu masa yang sama.

Ini bersandarkan kepada hadis Baginda,

أنَّ النبيَّ ﷺ نَهى عن بَيعتينِ في بيعةٍ وعن بَيعٍ وسَلَفٍ

Maksudnya“Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang”.

Musnad Ahmad (10/120)

Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim Rhm. mengulas hadis di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli. Hal ini walaupun tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang berlaku bahawa terdapar dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual dan pembeli, iaitu:

1) Penjual emas meminjamkan duit mereka bertujuan agar emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.

2) Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut.

(Lihat: Tahzib Sunan Abi Daud, 2/190)

Akhir kata, kami menasihatkan agar para pembeli tidak menambahkan hutang melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak sahaja. Adapun sekiranya mempunyai lebihan wang selepas ditolak perbelanjaan utama, maka diharuskan untuk membeli aset dan hart lain seperti emas dengan syarat pembayaran mestilah dilakukan secara tunai.

Wallahu a’lam.


Kredit : PejabatMuftiKL


Apa Itu Obsessive-compulsive disorder (OCD)




Apa itu OCD ? Admin sering tertanya - tanya apa itu ocd. Sebelum ni memang tak tahu, tapi bila ada beberapa rakan yang mengalami penyakit ini baru admin tahu ia adalah satu penyakit. Kasihan juga orang-orang yang mengalami ocd ni ye. Kadang-kala tengok tak boleh nak control. Kadang-kadang membuatkan orang sekeliling tak selesa. Tapi tak boleh salahkan penghidap penyakit ni juga. Di sini admin ada kongsikan artikel yang bagus mengenai OCD ni. Mungkin kita boleh bantu untuk lebih memahami mereka untuk mengurangkan simptom-simptomnya.

-Admin-



"
Obsessive-compulsive disorder (OCD) ialah sejenis penyakit kecelaruan mental, yang timbul disebabkan kewujudan pemikiran-pemikiran yang menghasilkan kebimbangan. Kebimbangan itu kemudiannya menuntut tindak balas yang berulang-ulang bertujuan mengurangkannya. Atau dengan kata lain, penyakit ini adalah gabungan pemikiran ketaksuban (English-obsession) dalam perlakuan, dan sikap ke atasnya (English-compulsion) yang berulang-ulang . Tanda-tanda kecelaruan yang membimbangkan ini wujud pada seringan-ringan perkara seperti membasuh tangan berulang-ulang. Selain itu, berlaku halangan meluas dalam menumpukan otak ketika menerima impuls daripada hubungan kelamin, amalan agama dan serangan luar. Tanda-tanda ini boleh merenggangkan hubungan sosial dan membuang masa. Ia juga seringkali menyebabkan kesan buruk kepada emosi dan pengurusan diri penghidapnya. Selain kelakuan pesakit-pesakit OCD mungkin kadangkala nampak gila dan kurang siuman, penghidapnya juga kerapkali mempercayai bahawa pemikiran dan tindakan susulan sesuatu perkara yang dilakukan sebagai tidak wajar, dan mereka akan berasa lebih tertekan selepas menyedari perkara tersebut.

OCD adalah penyakit mental keempat paling kerap dilaporkan dan dikesan sekerap penyakit lelah dan kencing manis. Di Amerika Syarikat, satu daripada 50 orang dewasa menghidapi OCD. Frasa ‘obsessive-compulsive’ telah menjadi sebahagian daripada kosa kata Inggeris, dan biasanya digunakan secara tidak rasmi atau secara karikatur bagi menerangkan seorang yang berhati-hati, pencari kesempurnaan atau ‘perfectionist’, teliti dalam mencari punca sesuatu perkara, dan terikat dengan seseorang atau suatu perkara. Walaupun ciri-ciri ini biasa berlaku dalam OCD, mereka yang mengalaminya tidak semestinya menghidap OCD. Mereka mungkin menghidap ‘obsessive-compulsive personality disorder’ (OCPD), sejenis kecelaruan dalam juzuk autisme. 

Ketaksuban pemikiran dalam OCD boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:

a) Was-was
b) Kebersihan
c) Kewaspadaan (melakukan sesuatu dengan perlahan-lahan-slowness)

Kebiasaannya penghidap juga akan menghadapi simptom-simptom seperti kemurungan, sedih, kurang selesa, cepat letih, penurunan berat badan, cepat marah dan tidak menghiraukan aspek pengurusan diri seperti kebersihan atau kecantikan. Simptom OCD akan menjadi lebih teruk jika penghidapnya menghadapi masalah dalam kehidupan seharian. Bagaimanapun, sekiranya masalah yang dihadapi berjaya diatasi dengan baik, simptom-simptom ini akan berkurangan.

Risiko untuk menghidap penyakit ini bergantung kepada:

a) genetik keturunan- risiko tinggi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapinya
b) personaliti si penghidap- seperti terlalu berhati-hati, cerewet, terlalu patuh pada peraturan.
c) masalah organ dan saraf- kecederaan di bahagian tertentu otak. Masalah saraf seperti meningitis dan enkefalitis juga boleh menjadi punca.
d) pengalaman lalu-kemalangan ngeri yang menimbulkan fobia dan seterusnya OCD
e) konflik- masalah hidup seperti kerja, rumah tangga dan sebagainya.


Bagaimana tindakan berulang (compulsions) boleh terjadi dan berkembang?

Model pemikiran-sikap (English-cognitive-behavoral model) menyatakan bahawa sikap bertindak secara berulang-ulang dilakukan bagi menghilangkan pemikiran yang datang menimbulkan gangguan. Malangnya ia hanya memberikan kelegaan sementara kerana pemikiran tersebut akan datang sekali lagi. Setiap kali pemikiran yang mengganggu ini berlaku, ia secara songsang diperkuatkan oleh perasaan lega daripada gangguan tersebut, lalu menjelaskan bagaimana aktiviti luar biasa pesakit OCD bertambah dari masa ke semasa. Sebagai contoh, selepas memegang tombol pintu, seseorang pesakit akan memikirkan dia akan mendapat penyakit daripada kotoran pada tombol pintu. Dia kemudian berasa kurang senang, di mana dia hanya akan berasa lega setelah membasuh tangannya. Ia akan diikuti dengan pemikiran “ adakah aku telah membasuhnya dengan betul?” lalu menyebabkan pertambahan rasa kurang senang, lalu membasuh tangannya sekali lagi bagi menghilangkan rasa tersebut. Kitaran ini diulang-ulang jika pemikiran tentang rasa tercemar ini berlaku sekali lagi. Pemikiran seperti ini akan merebak kepada kebimbangan pencemaran pada objek lain, sebagai contoh kerusi. (dia mungkin juga akan memegang kerusi setelah memegang tombol pintu tersebut).

‘Pure-O’

OCD kadangkala berlaku tanpa tindakan berulang yang ketara. OCD jenis ini atau dikenali dengan nama ‘Pure-O’, berlaku dari 50 peratus hingga 60 peratus daripada kes OCD yang dilaporkan. Berbanding dengan melakukan tindakan berulang, seseorang dengan ‘Pure-O’ akan lebih berselindung, atau berasa terarah untuk mengelak daripada situasi-situasi yang boleh mendatangkan gangguan. Akibat daripada pengelakan ini, seseorang mungkin terpaksa bekerja keras untuk menyelesaikan peranan umum dan diri, walaupun mereka meletakkan nilai yang tinggi dalam peranan tersebut dan walaupun mereka telah menyelesaikannya dengan baik pada masa lepas. Dengan kata lain, penyakit OCD jenis ini timbul disebabkan pengelakan yang keterlaluan terhadap simptom-simptom OCD yang timbul. ‘Pure-O’ boleh menyebabkan bercambahnya sikap sambil lewa dalam pengurusan rumah tangga dan kerjaya. Apa yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kesannya ialah dengan bersederhana dalam menangani simptom-simptom OCD.

Penyebab biologi.

OCD dikatakan berpunca daripada ketidaknormalan paras serotonin dalam otak. Serotonin berperanan mengawal perasaan kurang senang atau perkara-perkara yang menimbulkan gangguan. Pesakit OCD menghadapi masalah di mana reseptor serotonin kurang dirangsang. Mereka diberikan ubat SSRi (English-selective serotonin reuptake inhibitor) untuk meningkatkan paras serotonin. 

Keputusan penyelidikan terbaru pula menyatakan bahawa mutasi juga boleh menyebabkan OCD. Penyelidikan yang dibiayai oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (AS), menyatakan terdapat mutasi pada gen pengangkutan serotonin manusia yang menghidap OCD. Namun, penyelidikan lanjut dalam aspek-aspek yang lain masih dijalankan dan keputusannya masih dalam perbincangan.

Para saintis di Duke University Medical Centre di AS pula mengesyaki striatum, sejenis bahagian otak sebagai penyebab OCD. Striatum ialah bahagian otak yang merancang dan memulakan tindakan-tindakan yang bersesuaian. Mereka telah mengubah secara genetik striatum dalam otak tikus dan mendapati bahawa tikus tersebut membersihkan bulunya tiga kali lebih lama berbanding tikus normal yang lain, sehinggakan bulu-bulu di badan mereka tertanggal.


Dalam bukunya, Brain Lock, Jeffrey M. Schwartz mencadangkan bahawa OCD disebabkan oleh bahagian otak yang bertanggungjawab menterjemahkan niat yang kompleks kepada tindakan-tindakan asas. (sebagai contoh menterjemahkan “saya akan mengambil cawan ini” kepada “gerakkan lengan ke depan, putarkan tangan 15 darjah, dan sebagainya”) dan gagal menyampaikan mesej kimia bahawa tindakan itu telah selesai. Ia dipercayai sebagai perasaan ragu-ragu dan ketidaksempurnaan, di mana ia akan membawa seseorang kepada berusaha secara sedar untuk meleraikan tindakan mereka yang sebelumnya - sebuah proses yang menimbulkan gangguan dan rasa kurang senang pada manusia, walaupun tidak menghidap OCD.

Terdapat berbagai-bagai lagi punca OCD yang masih dalam penyelidikan para saintis dan masih belum dipastikan lagi akan kesahihan keputusannya.

Rawatan dan ubat-ubatan.

Dalam proses soal selidik, doktor akan mengambil kira latar belakang dan sejarah pesakit termasuklah:-
• Tempoh berlakunya masalah tersebut
• Punca sebenar tercetusnya masalah
• Tempat simptom OCD sama ada lebih ketara di rumah atau di pejabat
• Keseriusan simptom sekiranya penderita menghadapi masalah.
• Peringkat keterukan yang dihadapi.


Sekiranya pesakit menghadapi konflik atau tragedi yang serius, jangkaan pemulihan mereka biasanya lebih baik berbanding individu yang tidak diketahui punca penyebabnya. Doktor perlu menentukan sama ada penyakit atau simptom OCD yang dialami pesakit bersifat tersendiri atau kesan penyakit mental yang lain. 

Biasanya doktor akan memberi ubat anti-obsesif seperti chlomipramine dan fluxomine bagi membantu menenangkan pesakit. Ubat-ubatan ini juga berpotensi menghapuskan fikiran obsesional atau ketaksuban pesakit. Adakalanya pesakit terpaksa mengamalkan ubat-ubatan ini dalam tempoh yang agak lama seperti dua hingga tiga tahun bergantung kepada tindakbalas. 

Pendekatan psikologi yang merangkumi terapi cara berfikir dan terapi tingkahlaku:-

a. Terapi cara berfikir - pesakit akan dibantu mengatasi masalah ini melalui cadangan dan perbincangan berdasarkan pemikiran yang rasional.
b. Terapi tingkah laku - terapi ini lebih bercorak kepada pendedahan dan tindakan pencegahan yang berperingkat-peringkat.


Bagaimanapun, sembuh atau tidak seseorang pesakit bergantung kepada:-

• Keseriusan masalah yang dihadapi
• Kerjasama terhadap rawatan yang diberi
• Sokongan individu yang hampir seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau teman.
• Tempoh mengidap penyakit tersebut.


Pesakit juga perlu dibantu mengatasi masalah yang mereka hadapi sama ada masalah kewangan, perkahwinan, hubungan sosial atau sebagainya.

OCD dalam konteks hidup beragama.

Dalam konteks umat Islam, penyakit OCD ini biasanya menyerang dalam amalan keagamaan atau ibadah. Jika penyakit ini berada pada tahap yang tidak genting, maka ia bukanlah OCD, sebaliknya penyakit was-was biasa yang berlaku dalam menjalani ibadah. Namun, jika penyakit was-was ini dilayan dan dibiarkan berterusan tanpa ada sebarang usaha bagi memulihkannya, ia boleh berubah tahap menjadi teruk dari masa ke semasa, dan akhirnya sampai ke tahap OCD. 

Was-was muncul kerana rasa taksub dalam mencari kesempurnaan dalam menunaikan sesuatu ibadat. Penyakit ini biasanya berlaku ketika hendak berniat. Seorang pesakit akan taksub atau obses mencari niat yang sempurna lafaznya. Oleh itu, sebarang kesilapan kecil dalam lafaz akan menimbulkan rasa kurang senang, lantas mendorong untuk mengulanginya sehinggalah rasa kurang senang itu dirasakan benar-benar hilang.

Rasa taksub mencari kesempurnaan ini didorong oleh perasaan takut kalau-kalau amalan yang dilakukan tidak diterima Tuhan. Dari satu sudut, perasaan ini mungkin menampakkan suatu petanda yang baik kerana menunjukkan bahawa seseorang itu bertakwa dan takut kepada Tuhan kalau-kalau amalannya tidak diterima. Namun dari satu sudut lain, perasaan ini nampaknya menimbulkan fitnah dalam beribadat. Ini kerana salah satu kriteria penerimaan ibadat adalah khusyuk. Jika kita asyik berwas-was sahaja, bagaimana mungkin kita akan khusyuk? Selain itu, berlaku pembaziran dalam menggunakan sumber air. Tuhan juga membenci pembaziran. Maka tidak wajarlah ketaqwaan kepada Tuhan dijadikan alasan untuk kita terus melayan rasa was-was ini.

Maka di sinilah Islam menggesa umatnya mengambil jalan pertengahan. Ini kerana terlalu jahil dalam beragama boleh membawa kepada kekufuran, manakala terlalu fanatik atau taksub dalam beragama pula boleh membawa kepada fitnah-fitnah yang boleh menyebabkan amalan kita langsung tidak diterima.


Di sini saya memetik kata-kata Ibn Qayyim tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan niat:

“Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was. Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?. Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat zohor. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat zohor bersama imam. Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144).

Semoga mendapat ilmu berguna daripada pelayaran internet anda walaupun sedikit.

Wallahualam.


sumber: 

http://www.mentalhealth.org.my/index.cfm?menuid=25&parentid=9
en.wikipedia.org/wiki/Obsessive–compulsive_disorder
http://drmaza.com/home/?p=704
"

Hukum Jual Beli Emas Secara Online Dan Penyerahan Ke Dalam Akaun Pembeli

1 Jan 2022

 


Soalan:

Assalamualaikum. Dato Mufti, boleh saya bertanya sedikit tentang hukam jual beli emas. Hari ni adanya syarikat yg membuat jualan secara online atau akaun. Kita beli dan bayar emas, emas itu dimasukkan dalam akaun. Dan bila kita ingin keluarkn emas itu, boleh dikeluarkan di cawangan-cawangan mereka. Adakah dibolehkan? Sebab setahu saya urusan jual beli emas mesti yadan biyadin.

 

Jawapan:

Kami kemukakan jawapan daripada kitab Fiqh al-Manhaji (6/72):

Apabila jual beli tersebut membabitkan dua jenis barangan berunsur riba yang berlainan jenis tetapi mempunyai illah riba yang sama (contohnya kedua-duanya dalam bentuk mata wang atau makanan), jual beli ini perlu memenuhi dua syarat bagi menjadikan jual beli tersebut sah dan bersih daripada unsur riba:

  • Akad berlaku secara lani. Akad tersebut mestilah tunai atau serta-merta, yakni akad tersebut tidak menyebut tempoh tertentu bagi penyerahan mana-mana barangan walaupun untuk tempoh yang singkat.
  • Penyerahan barangan berlaku di tempat memeterai akad.

Dalam keadaan ini, kedua-dua barangan tidak perlu mempunyai kadar yang sama. Bahkan dibenarkan jual beli secupak gandum dengan dua cupak barli, atau satu gram emas dengan lima gram perak.

Akad ini dan segala proses berikutnya adalah sah. Namun dengan syarat, tidak dinyatakan sebarang tempoh tertentu bagi penyerahan barangan dan penerimaan berlaku pada ketika itu.

Dalil bagi kes ini ialah hadith daripada Ubadah RA yang dinyatakan sebelum ini:

فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “Jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagimana ia dilakukan dengan tangan dengan tangan.”

Riwayat Muslim (4147)

Apa yang dimaksudkan dengan barang-barang dalam hadith ini ialah barangan berunsur riba yang dinyatakan oleh hadith-hadith dan yang seumpama dengannya. Apa yang dimaksudkan dengan berbeza dalam hadith ini ialah barangan yang digunakan sebagai bayaran dalam jual beli ini tidak sama dengan barangan yang dijual.

Apa yang dimaksudkan dengan “juallah mengikut kehendak kamu” ialah kamu dibenarkan berurusniaga dengan barangan ini jika ia bukan barangan yang sama dan tidak disyaratkan barangan tersebut mestilah sama.

Timbul persoalan, apakah penyerahan barang itu mesti dibuat secara fizikal atau boleh dengan cara maya seperti melalui akaun?

Jawapannya, kami berpendapat hukum penyerahan melalui akaun boleh dianggap sebagai satu bentuk penyerahan yang diterima. Ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas, dan membuat keputusan, antara lain seperti berikut:

“Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

  • Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
  • Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.”

Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (ms. 81)

Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami bagi Rabitah al-Alam al-Islami kali ke-11 yang bersidang di Makkah pada tahun 19-26 Februari 1989H membincangkan isu taqabudh hakiki dan hukmi memutuskan bahawa dokumentasi transaksi dalam bentuk resit dan rekod akaun boleh diterima sebagai salah satu bentuk taqabudh yang sah dan diterima dalam Islam.

Justeru, apabila emas tersebut sudah didepositkan ke dalam akaun pembeli dan direkodkan di dalam sistem dan resit, yang mana pembeli boleh bila-bila masa, mengeluarkan emas tersebut dengan kuantiti berdasarkan dalam majlis akad atau kontrak, maka penyerahan sudah dianggap sempurna. Maka sah akad jual beli emas secara atas talian jika meraikan syarat ini.

Wallahua’lam.


Kredit : PejabatMuftiKL

Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang

Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.