SLIDER

Puasa Di Bulan Zulhijjah

19 Oct 2012

Kita perlu menghayati ‘Roh Haji’ walaupun tidak ke Tanah Suci supaya beroleh ganjaran yang disarankan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Allah Yang Maha adil dan Maha Penyayang tetap mahu seluruh umat Islam dapat manfaat di atas keutamaan jemaah yang telah dijemput khusus di Tanah Suci.

Kepada yang tidak dapat ke sana, Allah tidak pernah melupakan. Kita tetap diberi keutamaan. Kita masih tetap dituntut oleh Allah SWT supaya menghayati ‘Roh Haji’, kerana Allah tetap mahu mengurniakan pahala dan rahmat-Nya dengan syarat kita kekal mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.


Pada sepuluh hari pertama Zulhijjah disamping memperbanyakkan berzikir, istighfar, doa dan sedekah, digalakkan juga mengerjakan puasa. Berpuasa setiap hari daripada 1 Zulhijjah seolah-olah berpuasa setahun dan berdiri mengerjakan solat setiap malam daripadanya sebanding dengan solat di malam Lailatulqadar.
.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada sebarang hari pun yang lebih disukai Allah dimana seorang hamba beribadat di dalam hari-hari itu daripada ibadat yang dilakukannya di dalam 10 hari Zulhijah. Puasa sehari di dalam hari itu menyamai puasa setahun dan qiamulail (menghidupkan malam) di dalam hari itu seumpama qiamulail setahun.”
.
Diriwayatkan dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
.
Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di Hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)
.
Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah orang yang tidak mendapat bahagian kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan Zulhijjah sebab ia mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.” (Riwayat Abu Dardaa.)
Puasa 1 – 10 Zulhijjah
.
HARI
PERISTIWA
KELEBIHAN PUASA
1 Zulhijjah
Allah mengampuni Nabi Adam di Arafah.Sesiapa yang berpuasa pada hari ini, Allah mengampuni dosanya.
2 Zulhijjah
Allah telah mengabulkan doa Nabi Yunus dan mengeluarkannya dari perut ikan nun.Sesiapa berpuasa pada hari ini, maka seperti orang yang beribadah dan berpuasa setahun tanpa melakukan maksiat.
3 Zulhijjah
Doa Nabi Zakaria diperkenankan Allah,Sesiapa berpuasa pada hari itu, maka Allah mengabulkan doanya.
4 Zulhijjah
Nabi Isa dilahirkan.Sesiapa berpuasa pada hari itu, Allah akan menghilangkan kesusahan, kemelaratan dan kefakirannya serta pada hari kiamat bersama orang yang baik, mulia dan terhormat.
5 Zulhijjah
Nabi Musa a.s. dilahirkan dan memuliakan munajatnya.Sesiapa berpuasa pada hari itu terlepas ia daripada sifat munafik serta seksa kubur.
6 Zulhijjah
Allah membukakan pintu kebaikan untuk Nabi-Nabi-Nya.Sesiapa berpuasa pada hari itu akan dipandang Allah dengan penuh rahmat dan kasih sayang serta tidak akan diazab.
7 Zulhijjah
Pintu neraka jahanam akan dikunci dan tidak dibuka sebelum berakhir hari ke-10 Zulhijjah.Sesiapa berpuasa pada hari ini, Allah menghindarkannya daripada 30 pintu kemelaratan dan kesukaran serta membuka 30 pintu kemudahan dan kesenangan.
8 Zulhijjah
Hari ini dinamakan “Tarwiyah” (Hari berfikir).Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan..Sesiapa berpuasa pada hari itu ia akan akan mendapat pahala yang tidak terhingga banyaknya kecuali Allah.
9 Zulhijjah
Hari ini dinamakan “Hari Arafah” (Hari tahu). Arafah bermakna tahu atau memahami.1. Di tempat inilah Nabi Adam a.s. mengerti jati dirinya.2. Pada hari ini Allah memberitahu Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu adalah perintah dari-Nya bukan dari syaitan.3. Pada hari ini juga turunnya ayat al-Quran terakhir..Sesiapa berpuasa pada hari itu akan diampunkan Allah dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.
10 Zulhijjah
Hari Raya Aidiladha, dinamakan juga Raya Korban dan hari “Nahar” (menyembelih).Haram berpuasa pada hari ini.Sesiapa berkorban dengan satu korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu, Allah akan mengampuni semua dosanya dan dosa ahli keluar-ganya.Dan sesiapa memberi makan orang mukmin atau bersedekah dengan satu pemberian, maka Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat dengan selamat dan timbangannya pun menjadi lebih berat daripada Bukit Uhud..
Puasa Arafah
Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.
Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).
Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”
.
.
Niat Puasa Hari Arafah;

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Daku berniat puasa hari Arafah, sunat kerana Allah Ta’ala.
.
Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”
Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu.
Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith: “Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.)..
Pendapat Ulama Tentang Puasa Arafah
1. Al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat beribadat di ‘Arafah.”
2. Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji
3. Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah..
Haram Berpuasa
Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Umar ra: “Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)
.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.a.)...
Puasa Tambahan
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan Hari Arafah.
.
Hadis riwayat Ibni Abbas: “Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”
.
Bertapa besarnya keistimewaan dan kelebihan puasa yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah ini. Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang dan kesempatan ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya dengan melakukannya seikhlas hati.
Sumber Petikan :

Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran

6 Aug 2012



BILA DAN BAGAIMANA AL-QURAN DITURUNKAN

Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.
Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.
Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika Nabi SAW sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.
KANDUNGAN (ISI) AL-QURAN
Sudah dimaklumi oleh kaum muslimin bahawa Al-Quran terdiri daripada 114 surah (86 surah Makkiyah, 28 surah Madaniyah), dengan jumlah ayat seluruhnya adalah 6236 ayat (4613 ayat Makkiyah dan 1623 ayat Madaniyah).
Isi ajaran yang tercantum pada Al-Quran sesungguhnya meliputi tiga fasa iaitu:
1. Merupakan cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya),
2. Peraturan masa kini (tatkala Al-Quran diturunkan) dan
3. Peraturan untuk masa hadapan (sejak masa Rasullullah saw, masa kini dan seterusnya hari kiamat).
Secara keseluruhannya, Al-Quran berisikan peraturan hukum berkaitan dengan masalah aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hukum dan sebagainya.
Sumber Petikan : Nuzul Al-Quran

Kerana Mulut Kawan, Suami Tiba-Tiba Bersikap Dingin

25 Jul 2012



APALAH ertinya hidup sebumbung jika tidak bertegur sapa. Apa gunanya berkongsi hidup kiranya semua yang dibuat tidak mendapat penghargaan suami. Itulah lumrah berumah tangga, bagaikan lidah yang sering tergigit. Pun begitu ia bukan penyudah kepada sebuah kehidupan. Masih ada jalan keluar untuk memulihkan kebahagiaan yang pernah tercipta.

Sabar dan saling berusaha membaiki diri adalah jalan terbaik mengembalikan hubungan yang retak. Berkongsi pengalaman Sari (bukan nama sebenar) kisahnya elok dijadikan teladan untuk membina kembali kebahagiaan rumah tangga yang terjejas. Kepada saya, Sari mencurahkan isi hatinya ekoran sikap suami Imran (bukan nama sebenar) yang berubah secara tiba-tiba. Kita ikuti kisah Sati:

"Saya berusia 30 tahun seorang eksekutif di sebuah syarikat pengiklan. Suami berusia 34 tahun pegawai kanan sebuah bank. "Kami sudah 7 tahun bernikah dan dikurniakan dua orang anak berusia 3 dan 6 tahun. Kehidupan kami bahagia namun bertukar dingin sejak setahun lalu. "Saya tidak tahu kenapa suami menjadi dingin terhadap saya sehinggakan untuk memandang wajah saya juga dia tidak sudi. Malah dia tidak banyak cakap dan susah sangat untuk melemparkan senyuman kepada saya dan anak-anak.

"Sakit hati saya dengan perubahannya itu. Mula-mula dia bersikap begitu saya amat sedih dan kecewa. Saya menjadi stres sehingga urusan kerja dan rumah tangga sedikit terjejas. "Bagaimanapun setelah setahun saya sudah dapat menerima kenyataan walaupun saya sedih yang amat sangat dengan sikap suami. "Sesekali bila teringatkan keadaan itu saya menangis seorang diri. "Saya tidak tahu puncanya tetapi saya dapat agak semuanya bermula dengan salah faham. Puncanya dia dapat tahu yang saya kononnya bercerita kepada kawan saya yang dia ada perempuan lain.

"Sebenarnya dia salah sangka. Suami seorang yang suka berahsia. Hati saya selalu berkata, dia ada sorokkan sesuatu daripada saya. Tetapi saya tidak tahu apa, hendak ditanya mesti dia tidak mengaku. "Dia rapat dengan seorang staf perempuan di tempat kerjanya. Satu hari saya pinjam telefon bimbit dia untuk hantar satu mesej. Nak dijadikan cerita saya ternampak mesej daripada perempuan itu kepada dia. "Saya ingatkan mereka ada hubungan istimewa. Secara kebetulan salah seorang staf di pejabat suami adalah kawan baik saya. Selepas dia berhenti kerja di syarikat itu dia bekerja di pejabat yang sama dengan saya. 

"Kawan saya ini ada bercerita yang suami saya amat rapat dengan perempuan itu. Masa mendengar cerita itu memang hati saya sakit tapi saya sabar. "Katanya mereka mula berkenalan di Facebook. Ketika itu kawan saya sedang bermain mesej dengan perempuan itu. Perempuan itu ada bertanya apa hubungan kawan saya itu dengan suami saya. "Dengan niat membantu, kawan saya bertanya perempuan itu adakah dia tahu sama ada suami saya ada perempuan lain atau tidak. Seingat selepas kejadian itu suami berubah.

"Dia tidak bercakap dengan saya, tidak mahu pandang wajah saya malah langsung tidak mahu sentuh saya. Jika bercakap dia selalu meninggi suara dan menengking. "Saya tidak tahu kenapa dia bersikap begitu sedangkan saya tidak pernah buat salah. Satu hari sebaik sampai di rumah dari pejabat saya nampak suami sedang berkemas pakaiannya dimasukkan ke dalam sebuah beg. "Saya tanya hendak ke mana, jawabnya balik kampung. Saya sedih sebab dia tak cakap yang dia hendak balik kampung. Sayu hati saya bila dia hanya cium anak-anak dan terus keluar rumah.

"Saya macam tidak wujud dalam hidup dia. Saya mesej tak balas, saya telefon dia tidak angkat. Berkali-kali saya telefon akhirnya dia angkat tetapi marah-marah. "Saya tanya kenapa dia berubah katanya sebab saya tanya kawan-kawan dia sama ada dia ada perempuan lain. Lalu saya teringatkan peristiwa itu. "Saya sudah cuba selesaikan masalah ini dan minta maaf kepadanya tapi nampaknya dia macam tidak boleh terima. Selalu apabila bergaduh saya akan mengalah walaupun bukan saya yang salah.

"Sekarang apa saya buat semua tidak kena. Saya sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Suami pula hari-hari kerja, kalau cuti dia lebih banyak habiskan masa bersama kawan-kawannya pergi melancong ke pulau. "Dia banyak habiskan masa dengan kawan-kawan menyebabkan saya selalu berasa terasing. Kalau saya tegur dia marah. Saya selalu berdoa agar suami berubah. Masakan masalah kecil macam itu hendak dijadikan besar dan mendera perasaan saya. "Saya sudah minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Kalau betul dia jujur dan tidak ada hubungan dengan wanita itu kenapa mesti marah dan bersikap dingin terhadap saya.

"Saya harap jika suami terbaca ruangan ini harap maafkan saya. Saya tidak bermaksud untuk menguris hatinya. Saya tidak mahu masalah ini berlarutan dan mengganggu tumpuan saya di tempat kerja. "Anak-anak perlukan ayahnya. Mereka selalu bertanya kenapa ayah asyik marah-marah sekarang. Saya harap semua ini akan berakhir segera. Teman baik saya juga berjanji untuk menolong. Saya harap semuanya akan selesai dengan cara baik. Doakan saya," pinta Sari penuh harap sebelum menamatkan perbualan kami. 

Perkara begini adalah lumrah dalam rumah tangga. Nasihat saya, cuba ajak suami berbincang dari hati ke hati. Pujuk dia secara perlahan-lahan. Saya setuju bahawa masalah ini berpunca dari salah faham sahaja. Itu yang bahayanya kalau selalu rujuk dan bertanya dengan kawan-kawan tentang masalah rumah tangga. Kiranya tidak berhasil, minta bantuan saudara terdekat untuk selesaikan. Bimbang juga jika dibiarkan terlalu lama ia akan membawa padah. Sari mesti faham, orang lelaki terutama suami pantang dituduh ada hubungan dengan wanita lain sebab mereka akan merasa tercabar.

Sebagai isteri kita perlu banyak mengalah, mulut jangan terlalu lancang dan jangan sesekali meninggikan suara. Layanan lemah lembut dan bahasa yang sopan boleh mencairkan hati mereka. Mengakhiri catatan pesanan saya, petiklah sekuntum bunga itu sebelum ia gugur ditiup angin.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kredit : UtusanMalaysia

Kecewa Isteri(Guru) Tak Dapat Bertukar Ikut Suami

11 Apr 2012




Kredit : UtusanMalaysia
SAYA adalah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah ditukarkan dari Mersing ke Lumut pada bulan Mei 2011. Isteri saya seorang guru. Permohonan pertukaran isteri saya sebagai Guru Pendidikan Islam tidak diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ).

Permohonan pertukaran isteri saya telah dibuat sebanyak dua kali dan rayuan sebanyak tiga kali bagi Sesi Jun 2011 dan sesi Jan 2012.
Apa yang saya kesali ialah jawapan yang diberikan ialah tiada guru pengganti. Sampai bila KPM dan JPNJ hendak menunggu guru pengganti? Siapa guru yang sanggup menawarkan diri untuk mengajar di Daerah Mersing? Penduduk Mersing sendiri ada berkata, "Tiada orang yang nak datang ke Mersing ni kecuali Pak Malau, anaknya Sri Mersing dan Damak". Walaupun sinis bunyinya tetapi ada kebenarannya. 

Adakah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian ingin meminta saya menunggu selama enam bulan lagi atau 12 bulan lagi sekiranya permohonan pada sesi Jun 2012 tidak diluluskan?Isteri saya tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang beliau berkhidmat dalam profesion perguruan. Beliau memohon pertukaran kerana ingin mengikut suami dan saya telah memberikan alasan-alasan yang munasabah melalui surat Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian/Negeri dan surat rayuan permohonan pertukaran bagi sesi Jun 2011 dan sesi Januari 2012. Pada masa yang sama ada kekosongan mata pelajaran yang diajar di Daerah Manjung.

Saya telah memberikan justifikasi dan alasan-alasan yang munasabah seperti berikut:

>Dari aspek hubungan kekeluargaan, saya kini sudah tujuh bulan berjauhan dengan isteri dan anak-anak yang kini menetap di Mersing, Johor. Saya akan berulang-alik setiap minggu dari Lumut ke Mersing/Mersing ke Lumut yang memakan masa 12 jam perjalanan dan RM 800 sebulan kos perbelanjaan pergi dan balik demi tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada empat orang anak.

>Dari aspek kualiti kerja, sejak pertukaran saya ke Lumut, isteri terpaksa mengambil anak yang bersekolah tadika pada pukul 12 tengah hari sedangkan pada masa tersebut beliau mempunyai kelas. Kesannya, telah mengganggu masa pengajaran dan pembelajaran beliau. Bukan itu sahaja, anak terpaksa dibawa ke kelas sedangkan sebelum ini saya yang menguruskan anak yang bersekolah tadika.

>Dari aspek pengurusan masa, isteri saya kadang-kala lewat hadir ke sekolah kerana menguruskan anak-anak untuk hadir ke sekolah. Ini akan menjejaskan kualiti kerja beliau sebagai seorang guru. Perkara sedemikian tidak pernah berlaku sebelum saya bertukar tempat bertugas.

>Dari aspek keselamatan, isteri saya sekarang sedang sarat mengandung anak kelima. Pada 13 hingga 18 November 2011 yang lepas, beliau telah dimasukan ke wad Hospital Daerah Mersing.
Saya terpaksa mengambil cuti tahun bagi pengurusan keluarga dan anak-anak sekolah. Persoalannya sekarang bagaimana isteri saya terpaksa berhadapan situasi yang sama dengan ketiadaan saya untuk memandu kereta ke tempat kerja, pengurusan kerja dan anak-anak sehingga bulan Jun 2012?

Masalah juga timbul, apabila isteri saya dihantar berkursus selama tiga hingga empat hari di luar Daerah Mersing. Saya terpaksa mengambil cuti tahun walaupun pada ketika itu ketua jabatan tidak menyokong cuti tahun saya atas sebab-sebab tugas yang perlu dilaksanakan. Adakah KPM dan JPNJ hendak menunggu berlakunya tragedi yang tidak diingini ke atas isteri saya? Walaupun KPM dan JPNJ ada 1001 alasan yang diberikan, sepatutnya KPM dan JPNJ memberikan keutamaan kepada kami warga tentera yang kerap bertukar ke pasukan baru.

Adakah KPM dan JPNJ hanya memikirkan pelajar yang ketiadaan guru sedangkan KPM dan JPNJ tidak memikirkan guru yang ketiadaan suami dan anak yang ketiadaan bapa? Janganlah KPM dan JPN bersikap pilih bulu. Ada guru yang posting cukup mudah dengan alasan ingin pulang ke kampung dengan sebab 'ada yang dikenali'.Saya mengharapkan isteri saya mempunyai azam dan semangat juang yang tinggi dan dapat memberi komitmen dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai seorang pendidik demi agama, bangsa dan negara sempena tahun baru 1433H dan 2012.

© Utusan Melayu (M) Bhd

7 sunnah Rasulullah

21 Feb 2012



7 sunnah Nabi S.A.W yang boleh kita amalkan setiap hari :

Tahajjud
Kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Membaca Al-Quran Sebelum Terbit Matahari
Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Quran terlebih dahulu dan memahami isi kandungannya.

Jangan Tinggalkan Masjid Terutama Di Waktu Subuh
Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana muazzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Jaga Solat Dhuha
Kerana kunci rezeki terletak pada solat Dhuha.

Jaga Sedekah Setiap Hari
Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Jaga Wudhu Menerus
Kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu, kata Khalifah Ali bin Abu Taib "Orang yang selalu berwudhu sentiasa merasa selalu bersolat dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa..."Ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah"

Amalkan Istighfar Setiap Saat
Dengan Istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Anak Dan Menantu Abai Anak, Kejar Kemewahan dan Kerjaya

17 Oct 2011


Kredit : UtusanMalaysia

BERTUAH mereka yang ada menantu berilmu, beragama dan berbudi bahasa, ke mana pergi sentiasa dipuji orang.Namun bagi yang sebaliknya, tentu perasaan kecewa tidak dapat dielak, malah rasa malu kepada keluarga, jiran tetangga dan kawan-kawan turut mengganggu fikiran. Hendak salahkan anak pun tidak kena sebab jodoh pertemuan, semuanya ketentuan Allah. Inilah persoalan yang bermain di fikiran Mama Yati (bukan nama sebenar) yang sedih dengan sikap anak menantunya yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga urusan rumah tangga diabaikan.

Pertemuan di satu majlis baru-baru ini membolehkan Mama Yati berkongsi rasa terkilan dan sedih dengan sikap anak menantunya itu walaupun nasihat dan teguran telah diberikan. "Saya sudah muak untuk menegur dan menasihati mereka, tidak ada perubahan, macam itu juga," keluh Mama Yati. Kita ikuti kisah Mama Yati. "Anak lelaki saya, Rizal (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an telah berkahwin dengan Efa (bukan nama sebenar), seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat ternama di ibu kota. "Perkahwinan empat tahun itu telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia 2 tahun, saya jaga sejak lahir hingga kini.

"Memang saya faham tugas seorang pegawai pemasaran, sibuk sepanjang masa termasuk juga anak lelaki saya itu, yang bekerja di sebuah bank. "Dalam sibuk-sibuk bekerja, saya pasti jika bijak membahagikan masa tentu tidak ada masalah yang timbul. Ini berlainan dengan hidup anak dan menantu saya ini. "Kami tinggal berdekata, jadi saya tawar diri untuk menjaga cucu saya kerana saya tidak bekerja. Lagipun saya masih sihat untuk berbuat demikian. "Malangnya, mereka mengambil kesempatan di atas kebaikan saya untuk tidak mengambil berat tentang anak lelaki mereka itu. Semua diletakkan di atas bahu saya walaupun setiap bulan mereka memberi wang untuk perbelanjaan anaknya kepada saya.

"Sejak berkahwin, saya tidak pernah nampak mereka duduk semeja makan bersama setiap kali saya ke rumah mereka, selalunya salah seorang mesti tidak ada. "Isteri atau suami outstation dan suami atau isteri jumpa klien itu adalah jawapan standard yang selalu diberikan kepada saya. Itu juga saya boleh faham. "Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Sibuknya mereka mengalahkan menteri. Hari bekerja sibuk, hujung minggu sibuk, sehingga hendak bawa anak bersiar-siar sekali skala pun tidak ada masa. "Malah sejak lahir hingga sekarang mereka langsung tidak tunjuk rasa tanggungjawab terhadap anak kecil itu kerana merasa budak itu selamat dalam penjagaan saya. Memang betul anak mereka selamat. Tapi di mana rasa kasih sayang dan ambil berat mereka terhadap zuriat mereka itu. Sudah banyak kali saya beritahu perkara ini kepada mereka, nasihat dan teguran memang selalu, tetapi tindakan tidak ada.

"Saya pelik juga sebab ibu bapa lain kalau berpisah dengan anak terasa rindu, tapi anak menantu saya ini tidak pula. Kalau saya cakap banyak, kata saya merungut dan ugut nak ambil anak mereka, tapi tak ambil juga sampai sekarang. "Saya kasihan kepada cucu saya sebab tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa. Budak itu semakin membesar, sampai bila dia harus tinggal dengan saya. Dia perlukan ibu bapanya. "Baru-baru ini saya telah meluahkan semua perkara yang telah lama saya simpan kepada mereka berdua. Bagaimana kecewanya saya kerana ada anak menantu seperti mereka yang tidak menghargai anak dan tidak pedulikan perkara lain, selain kerja.

"Saya ralat sebab saya tahu mereka hanya pentingkan duit dan kerja. Amal ibadat, solat dan kerja kebajikan entah ke mana. Hubungan dengan jiran dan saudara mara langsung tidak ada. "Gaya hidup mereka terlalu sosial. Ke sana sini bergaul dengan lelaki, perempuan tanpa batas sebab tugas. Siang malam, pagi petang tidak tahu hendak balik rumah. Pakaian sudah macam orang putih, baju kurung, tudung langsung tidak pandang. "Saya malu dengan saudara mara apabila mereka asyik bercerita tentang menantu saya yang macam mat salleh celup itu. Macam sudah hilang Melayunya."Yang buatkan saya semakin sedih kerana anak saya tidak dapat menjadi ketua keluarga yang baik, mendidik dan membawa isterinya ke jalan Allah.

"Apa guna ada isteri berpelajaran tinggi dan cantik kalau tidak ada iman, budi bahasa dan tidak tahu hormat orang tua serta tidak tahu tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. "Orang lain pun kerja juga tetapi tidaklah sampai lupa tanggungjawab dan anak. Bukan saya tidak boleh jaga anak mereka, tapi sampai bila saya kena korban? Mereka perlu tahu tanggungjawab mereka terhadap anak tersebut, sebab itu anak mereka."Adik-adik saya marah sebab saya terlalu berlembut dengan mereka, tapi kalau saya berkeras pula, takut mereka akan pergi jauh dari saya. "Sebagai ibu tentu saya rasa sedih. Tidak tahu di mana silap saya. Pelajaran, didikan agama rasanya cukup saya bagi, tetapi kenapa jadi begitu. "Saya berdoa agar anak menantu saya itu akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Ini baru anak seorang sudah kalut, bagaimana kalau sudah ramai nanti. "Saya tidak kisah jaga cucu tapi saya sedih sebab dia tidak dapat kasih sayang daripada ibu dan bapanya yang sibuk mengejar dunia, saham akhirat langsung tidak fikir.

"Semua orang kerja, semua orang sibuk tetapi sebagai manusia, isteri, suami dan ibu bapa, kita mesti ada fokus dalam hidup. Seimbangkan peranan antara kerjaya dan rumah tangga. "Mentang-mentang saya boleh jaga anak, jangan ambil kesempatan. Fikir juga tentang masa depan anak. Setakat datang bawa mainan, baju mahal dan makanan mewah saja, tidak cukup. Kasih sayang dan kebajikan anak itu penting. "Wang ringgit juga bukan ukuran dan jaminan membahagiakan anak. Tidak bagi duit pun saya boleh bagi makan cucu saya. Saya harap apa yang saya cakap kepada mereka akan mereka dengar. 

"Saya bukan mengungkit tetapi mahu mereka berubah dan menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab. Masih belum terlambat untuk mereka sedar. Kalau boleh saya mahu mereka ambil anak mereka dan jaga sendiri. Bukan saya tidak mahu jaga tapi saya rasa sudah sampai masa mereka berdikari. Pasangan suami isteri lain pun buat macam itu, tidak susahkan orang tua. "Saya harap mereka faham dan tidak ambil hati. Saya berdoa semoga mereka boleh fikir dan mengubah gaya hidup mereka secara lebih positif. Saya reda dengan apa yang akan mereka lakukan, sebab apa yang saya buat adalah untuk kebaikan mereka. 

"Kepada ibu-ibu di luar sana yang mungkin menghadapi masalah seperti saya tapi takut hendak berterus terang dengan anak menantu adalah cara terbaik agar kita tidak terus memendam rasa dengan kerenah anak menantu," Mama Yati berpesan sebelum menamatkan ceritanya. Itulah kisahnya yang ingin Mama Yati kongsi dengan pembaca. Benar juga katanya, di peringkat awal seorang ibu hanya membantu meringankan beban anak menantu. Tidak sangka pula akhirnya menjadi tanggungjawab. Buat pasangan suami isteri yang kalut mengejar kemewahan hidup dan mementingkan kerjaya, cubalah membahagikan masa agar rumah tangga terus terpelihara, anak-anak tidak terbiar dan ibu tidak dibebankan dengan tanggungjawab sebagai pengasuh. Kepada Mama Yati, mudah-mudahan kemelut yang dilaluinya akan segera berlalu. Berdoalah minta diberi kesejahteraan kepada anak menantu dan cucu. Doa seorang ibu, insya-Allah akan dimakbulkan Allah. 

Menutup kata, terimalah segala masalah itu dengan rasa tenang, insya-Allah kebahagiaan itu akan menjadi milik kamu.
Salam

© Utusan Melayu (M) Bhd

Suami Berlebih-lebihan Memanjakan Adik Ipar

28 Sept 2011

SAYA pasti setiap isteri mengharapkan suami akan memberi sepenuh kasih sayang dan perlindungan kepadanya dalam melayari hidup berumah tangga.Namun kadang kala suami alpa akan perkara ini dan meletakkan isteri di tempat kedua dengan melebihkan orang lain dalam banyak perkara. Akibatnya, isteri kecewa, merajuk hati dan merasakan dia tidak dipeduli lantaran suami terlampau mengambil berat perihal adik kandungnya. Itulah luahan perasaan Hani (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini.

Begini cerita Hani.

Saya baru setahun berkahwin dengan suami, Rizal (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di sebuah bank. Kami bernikah atas dasar suka sama suka setelah empat tahun bercinta di kampus. Suami mempunyai seorang adik lelaki dan yang bongsu seorang perempuan, Zila (bukan nama sebenar), dua tahun lebih muda daripada saya. Secara kebetulan setelah kami bernikah, Zila tinggal bersama kami kerana dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi.

Saya tidak kisah tentang adiknya yang menumpang di rumah kami, sebab saya tahu tanggungjawab seorang abang menjaga kebajikan adiknya. Saya juga tidak ada masalah dengan ipar saya itu. Apa yang saya terkilan adalah sikap suami yang terlalu mengambil berat diri adiknya. Saya menyifatkan tindakannya itu sudah melampau sehingga saya merasakan diri saya diabaikan. Sebagai contoh, setiap hari, saya memandu sendiri ke pejabat walaupun pejabat kami berdekatan sebab suami terpaksa menghantarnya dahulu ke kampus.

Petang, dia bergegas lagi ke kampus menjemput adiknya. Jika adiknya itu hendak ke mana-mana, dia juga akan menghantar dan menjemputnya. Setiap hari saya akan tiba dahulu di rumah, sedangkan suami balik lewat. Saya faham tanggungjawab suami melindungi adiknya tetapi berpada-padalah. Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Pada mulanya saya sangka ia hanya untuk sementara tetapi nampaknya keadaan tetap begitu juga walaupun telah setahun kami menjadi suami isteri.

Pernah juga saya lontarkan rasa tidak puas hati saya kepada suami, tetapi dia kata saya cemburu. Katanya lagi, tidak salah kalau dia memberi perlindungan kepada adiknya sebab dia perempuan, bimbang berlaku apa-apa. Saya faham tanggungjawabnya dan saya tidak cemburu. Saya kadang-kadang hendak juga ke pejabat bersama suami seperti orang lain, dihantar dan dijemput sesekali. Ini tidak, hujung minggu jika saya ajak ke mana-mana, dia akan beritahu sudah ada rancangan lain dengan adiknya. Siapa yang tidak kecewa dan sakit hati?

Yang saya pelik, adiknya itu tidak pula rasa segan dan menghormati hak saya sebagai isteri kepada abangnya. Apa salah sekurang-kurangnya beritahu saya dahulu atau minta izin dan sebagainya. Kata orang manis mulut, sejuk sikit hati saya. Pernah juga sekali dua saya sindir-sindir tetapi tidak menjadi kudis langsung kepadanya. Saya tidak salahkan dia. Dia bertuah kerana ada abang yang sayang dan mengambil berat tentang dirinya.

Sekarang ini bulan Ramadan. Baru tiga kali saya berbuka dengan suami, selebihnya dia berbuka bersama adiknya, alasan tidak sempat tiba di rumah. Memandangkan ini tahun pertama menyambut Ramadan sebagai suami isteri, tentu saya mahu selalu di samping suami, bersolat jemaah dan bertarawih bersama. Tapi impian saya tidak kesampaian sebab sikap suami. Saya juga pernah bercerita tentang perkara ini dengan ibu saya, nasihat dia supaya saya bersabar. Kata ibu, itu masalah kecil sahaja dan boleh diatasi. Pesan ibu lagi, ini baru permulaan dugaan dalam rumah tangga. Setiap hari ada ujian Allah untuk kita dalam rumah tangga. 

Kata-kata ibu memberi saya kekuatan untuk menghadapi masalah ini dengan tabah. Saya sebenarnya tidak tahu apa perasaan saya sekarang. Marah atau cemburu?Mungkin sebab saya belum menyelami suami secara mendalam setelah kami bernikah. Lagipun saya akui kami tidak ada privasi di rumah sebab ada Zila. Dia pula di mana ada abangnya, di situ dia ada. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang sehinggakan kadang kala saya naik menyampah. Saya bukan sengaja berkongsi cerita ini dengan pembaca tetapi saya yakin ramai yang berdepan masalah ini di luar sana.

Kepada suami dan adik ipar saya, jika terbaca catatan ini, fikir-fikirkan perasaan orang lain juga. Jangan ingat apabila seseorang itu berdiam masalah telah selesai. Doa dan pinta saya, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Saya berharap suami sedar sikapnya yang melukakan hati saya dan berubah untuk kebahagiaan masjid yang baru kami bina, Hani menamatkan ceritanya. Begitulah masalah dalam rumah tangga, sentiasa menguji kesabaran seorang isteri.

Saya harap Hani bersabar dengan apa yang dilaluinya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semua ini asam garam rumah tangga. Cadangan saya, ajak suami berunding dari hati ke hati. Jika perlu ajak sama keluarga kedua-dua pihak untuk memberi pandangan, juga adik ipar anda itu. Pendekatan yang boleh digunakan, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata sepakat perlu agar tidak berlaku perkara lain yang boleh merenggangkan hubungan anda berdua.

Mengakhiri catatan pesanan saya, bertindaklah dengan bijaksana, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak. Doa saya semoga semua akan kembali tenang dalam masa terdekat.
Selamat berpuasa!

© Utusan Melayu (M) Bhd 
Kredit : UtusanMalaysia


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.