SLIDER

Suami Berlebih-lebihan Memanjakan Adik Ipar

28 Sept 2011

SAYA pasti setiap isteri mengharapkan suami akan memberi sepenuh kasih sayang dan perlindungan kepadanya dalam melayari hidup berumah tangga.Namun kadang kala suami alpa akan perkara ini dan meletakkan isteri di tempat kedua dengan melebihkan orang lain dalam banyak perkara. Akibatnya, isteri kecewa, merajuk hati dan merasakan dia tidak dipeduli lantaran suami terlampau mengambil berat perihal adik kandungnya. Itulah luahan perasaan Hani (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun kepada saya dalam pertemuan baru-baru ini.

Begini cerita Hani.

Saya baru setahun berkahwin dengan suami, Rizal (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di sebuah bank. Kami bernikah atas dasar suka sama suka setelah empat tahun bercinta di kampus. Suami mempunyai seorang adik lelaki dan yang bongsu seorang perempuan, Zila (bukan nama sebenar), dua tahun lebih muda daripada saya. Secara kebetulan setelah kami bernikah, Zila tinggal bersama kami kerana dia masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi.

Saya tidak kisah tentang adiknya yang menumpang di rumah kami, sebab saya tahu tanggungjawab seorang abang menjaga kebajikan adiknya. Saya juga tidak ada masalah dengan ipar saya itu. Apa yang saya terkilan adalah sikap suami yang terlalu mengambil berat diri adiknya. Saya menyifatkan tindakannya itu sudah melampau sehingga saya merasakan diri saya diabaikan. Sebagai contoh, setiap hari, saya memandu sendiri ke pejabat walaupun pejabat kami berdekatan sebab suami terpaksa menghantarnya dahulu ke kampus.

Petang, dia bergegas lagi ke kampus menjemput adiknya. Jika adiknya itu hendak ke mana-mana, dia juga akan menghantar dan menjemputnya. Setiap hari saya akan tiba dahulu di rumah, sedangkan suami balik lewat. Saya faham tanggungjawab suami melindungi adiknya tetapi berpada-padalah. Telah lama saya perhatikan keadaan ini. Pada mulanya saya sangka ia hanya untuk sementara tetapi nampaknya keadaan tetap begitu juga walaupun telah setahun kami menjadi suami isteri.

Pernah juga saya lontarkan rasa tidak puas hati saya kepada suami, tetapi dia kata saya cemburu. Katanya lagi, tidak salah kalau dia memberi perlindungan kepada adiknya sebab dia perempuan, bimbang berlaku apa-apa. Saya faham tanggungjawabnya dan saya tidak cemburu. Saya kadang-kadang hendak juga ke pejabat bersama suami seperti orang lain, dihantar dan dijemput sesekali. Ini tidak, hujung minggu jika saya ajak ke mana-mana, dia akan beritahu sudah ada rancangan lain dengan adiknya. Siapa yang tidak kecewa dan sakit hati?

Yang saya pelik, adiknya itu tidak pula rasa segan dan menghormati hak saya sebagai isteri kepada abangnya. Apa salah sekurang-kurangnya beritahu saya dahulu atau minta izin dan sebagainya. Kata orang manis mulut, sejuk sikit hati saya. Pernah juga sekali dua saya sindir-sindir tetapi tidak menjadi kudis langsung kepadanya. Saya tidak salahkan dia. Dia bertuah kerana ada abang yang sayang dan mengambil berat tentang dirinya.

Sekarang ini bulan Ramadan. Baru tiga kali saya berbuka dengan suami, selebihnya dia berbuka bersama adiknya, alasan tidak sempat tiba di rumah. Memandangkan ini tahun pertama menyambut Ramadan sebagai suami isteri, tentu saya mahu selalu di samping suami, bersolat jemaah dan bertarawih bersama. Tapi impian saya tidak kesampaian sebab sikap suami. Saya juga pernah bercerita tentang perkara ini dengan ibu saya, nasihat dia supaya saya bersabar. Kata ibu, itu masalah kecil sahaja dan boleh diatasi. Pesan ibu lagi, ini baru permulaan dugaan dalam rumah tangga. Setiap hari ada ujian Allah untuk kita dalam rumah tangga. 

Kata-kata ibu memberi saya kekuatan untuk menghadapi masalah ini dengan tabah. Saya sebenarnya tidak tahu apa perasaan saya sekarang. Marah atau cemburu?Mungkin sebab saya belum menyelami suami secara mendalam setelah kami bernikah. Lagipun saya akui kami tidak ada privasi di rumah sebab ada Zila. Dia pula di mana ada abangnya, di situ dia ada. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang sehinggakan kadang kala saya naik menyampah. Saya bukan sengaja berkongsi cerita ini dengan pembaca tetapi saya yakin ramai yang berdepan masalah ini di luar sana.

Kepada suami dan adik ipar saya, jika terbaca catatan ini, fikir-fikirkan perasaan orang lain juga. Jangan ingat apabila seseorang itu berdiam masalah telah selesai. Doa dan pinta saya, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan. Saya berharap suami sedar sikapnya yang melukakan hati saya dan berubah untuk kebahagiaan masjid yang baru kami bina, Hani menamatkan ceritanya. Begitulah masalah dalam rumah tangga, sentiasa menguji kesabaran seorang isteri.

Saya harap Hani bersabar dengan apa yang dilaluinya, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semua ini asam garam rumah tangga. Cadangan saya, ajak suami berunding dari hati ke hati. Jika perlu ajak sama keluarga kedua-dua pihak untuk memberi pandangan, juga adik ipar anda itu. Pendekatan yang boleh digunakan, buang yang keruh ambil yang jernih. Kata sepakat perlu agar tidak berlaku perkara lain yang boleh merenggangkan hubungan anda berdua.

Mengakhiri catatan pesanan saya, bertindaklah dengan bijaksana, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berselerak. Doa saya semoga semua akan kembali tenang dalam masa terdekat.
Selamat berpuasa!

© Utusan Melayu (M) Bhd 
Kredit : UtusanMalaysia


Baru Nak Kaya, Berlagak Hebat

13 Jul 2011

Takde kena mengena pun actually. Cuma bila aku terbaca berkenaan melayu-melayu kaya ni teringat pulak aku kejadian semalam ketika aku makan di kedai.

Sedang aku makan, berhenti sebiji BMW hitam. 3 series je. Bukan yang latest pun. Aku kenal tuannya cuma mungkin dia tak kenal aku. Mamat ni ada kedai handphone. Kaya la kot. Yang aku tak tahannya cara dia pandang orang tu semacam. Bila bertentang mata dengan aku, aku ingat nak angkat kepala la, aku ni kadang-kadang terperamah pulak, orang tak kenal pun nak tegur. Apa reaksi dia? Dia boleh berpaling dengan meninggalkan ekor mata. Korang faham tak, kira cara dia pandang aku tu sambil dalam hati cakap:"bolayanla"...

Wahhh menyirap pulak aku. Tapi sabar jelah, takkan aku nak pergi tendang dia pulak. Tak pasal-pasal tidur lokap pulak aku nanti. Cuma dalam hati aku terkilan, baru ada kedai handphone sebiji (atau mungkin berbiji-biji), pakai BMW second hand dah pandang orang macam tu...

Ni kisah aku masa muda-muda dulu. Aku masih ingat sampai hari ini. Awal tahun 1990an ketika menunggu keputusan SPM aku bekerja di stesen minyak Esso. Nak cari duit poket. Aku bukan dilahirkan sebagai anak orang kaya-kaya. Memang dari kecil aku dah diajar, nak duit poket lebih pandai-pandailah cari sendiri. Berbalik kisah aku di stesen minyak tadi, di suatu pagi Isnin yang hening (aku ingat hari Isnin kerana pagi Isnin biasanya merupakan pagi yang paling sibuk), datang sebiji kereta baik punya besar. Jenis kereta apa aku tak ingat, memang aku tak kenal jenis apa pun masa tu. Bawa laju, brek emergency depan tandas. Keluar seorang lelaki, tua tak tua , muda tak muda. tapi memang tak hensem.

"Oi, mari sini kejap" Sambil mencekak pinggang melambai ke arah aku.

Wah di'oi'nya aje aku. Takpe, masa tu budak lagi pun. Takla terasa sangat.

"Ada apa bang?"

"Ei ko tolong bersihkan dalam kereta ni. Aku nak kencing ni. Kang aku bagi upah."

Meluru dia ke tandas. Baru aku nak buka pintu belakang tiba-tiba keluar awek dari dalam kereta. Baya-baya lelaki tadi je. Boleh tahan gak, boleh tahan seksi. Gaya memang urban gak la. Tanpa memandang aku pun, dia sama mencicit ke tandas.

Aku jengah ke dalam kereta. O mak ai selambak muntah kat kusyen. Patut dari tadi aku bau semacam. Aku budget diorang 2 ekor ni mesti balik dari clubing ke apa ni. Dah mabuk sampai muntah-muntah dalam kereta. Aku tak ingat kenapa aku buat assumtion sebegitu masa tu tapi aku yakin memang 2 ekor tu kaki mabuk. Aku tak layan mamat tu. Apa aku buat, aku suruh 'junior' aku kat stesen tu pergi ke situ. Aku kata padanya orang tu minta tolong buat kerja dan dia nak bagi upah. Member aku ni sanggup buat, kerana upahnya memang lumayan, RM50. Wo RM50 masa tu boleh buat macam-macam wo. Dunhill 20 baru RM 2 lebih je. Gaji aku masa tu pun baru RM15 sehari...

Itu kisah lama, tapi sejak dari itu banyak juga kejadian-kejadian yang aku jumpa membabitkan kebelagakkan orang-orang kaya ni. Sebenarnya tak kira Melayu ke Cina ke India ke. Memang ada yang berlagak. Dalam masa sama aku tak nafikan ada juga yang biasa je. Yang sedar, kekayaan bukan bermakna dia lebih baik dari orang lain. Lebih-lebih lagi, mereka sedar kekayaan sebenarnya tak memberi apa-apa makna kerana manusia diukur darjatnya bukan berdasarkan kekayaan, tetapi berdasarkan ketaqwaannya kepada yang MAHA Esa...

P/s: Siapa tak nak kaya weh... Selalu juga aku berdoa semoga diberi kekayaan tetapi janganlah kekayaan yang melalaikan. Biarlah kekayaan yang mampu aku jadikan sebagai 'alat' untuk kehidupan yang lebih baik di dunia lebih-lebih lagi akhirat.


Kredit : shamdisini

Isteri Berubah, Belum Sampai Setahun Berkahwin

21 Jun 2011


Selama ini saya dapati ramai kaum wanita melahirkan keluh kesah mereka terhadap perubahan perangai suami, tetapi berbeza dengan saya. Isteri saya berubah perangai sedangkan kami belum pun dua tahun berkahwin dan sedang menunggu kelahiran anak sulung kami. Ini yang menghairankan saya. ''Namun ruangan ini banyak mengajar saya tentang nilai sebuah kehidupan dan membuat saya tabah mengharungi hidup ini. Saya bukan nak memburukkan wanita apa lagi isteri saya, namun saya ingin mengingatkan lelaki dan wanita yang masih belum berkahwin janganlah tersilap memilih pasangan kerana buruk akibatnya, merana diri,'' demikian cerita Huzainee dalam emelnya, dan ketika kami berbual panjang di telefon beberapa kali baru-baru ini.

''Bukan saya nak salahkan emak yang mencarikan jodoh saya, malah saya bersyukur dapat isteri yang baik, cantik dan pandai bergaya. Itulah perangainya pada awal perkenalan kami. Sering telefon, kalau lambat balas SMS pertama, sms kedua akan menyusul. Tetapi selepas berkahwin, dia berubah. Usah kata nak telefon, SMS pun dia malas jawab. Kalau dibalas pun, kasar bunyinya. ''Kami berkenalan awal tahun lalu, tak sampai enam bulan terus berkahwin. Kata ibu bapa kami buat apa tunggu lama-lama kalau dah sesuai, tambahan pula umur kami menjangkau 30 tahun. Dan kerana kami sama subur, akan lahirkan seorang cahaya mata tak lama lagi.

''Sepanjang empat bulan pertama perkahwinan kami, saya rasakan isteri saya Hafina adalah anugerah Allah yang tak ternilai untuk saya. Namun itu cuma sementara, hari demi hari, saya rasakan perubahan Hafina. Dia seolah-olah bukan orang yang saya kenal dalu. Sehinggakan saya merasakan Hafina "berlakon" sepanjang saya mengenali hati budinya sebelum ini. ''Saya jenis lelaki yang mahukan belaian isteri. Saya faham kalau perubahan perangainya berlaku jika perkahwinan kami mencecah lebih 10 tahun, hubungan suami-isteri secara semula jadi akan menjadi perlahan. Tapi ketika itu kami belum pun setahun berkahwin.

''Dengan apa yang saya alami ini, memang benarlah kata orang "Masa bercinta, semuanya indah". Setiap kali saya mendengar ungkapan ini, hati saya jadi sayu. Bagi saya perubahan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan usia perkahwinan kami masih muda. Malah, kalau saya sudah tua pun, Hafina tidak patut layan saya sebegini kerana saya amat hormat ibu bapanya sama seperti saya menghormati ibu bapa saya. Buktinya, setiap kali berkunjung ke rumahnya, saya tak datang tangan kosong. Dan ketika adiknya dapat 4A dalam SPM baru-baru ini saya beri dia hadiah. Malangnya hubungan Hafina dengan ibu bapa saya langsung tidak mesra.

Hendak dijadikan cerita, saya pernah tercicir satu plastik ikan laga yang saya mahu letakkan dalam akuarium di pejabat. Kehilangan itu bukan disengajakan kerana saya bawa balik menaiki bas ke KL dari KB. Sedihnya Hafina boleh mempersendakan kealpaan saya di depan ibu bapanya. Ia memang mengguris perasaan saya. ''Oleh kerana saya bekerja di KL dan dia di KB tentulah rasa rindu dan sayang sentiasa ada di hati masing-masing, tetapi tidak kepada Hafina. Dia tak pernah tanya bila saya balik, malah tak pernah mempelawa saya tidur di rumah emaknya. Lagi pelik bila saya teringin datang dia boleh SMS pada saya "tak payah la datang sekarang, datang petang sikit…". Dia macam tak suka saya datang berjumpa dengannya apa lagi tidur di rumahnya. Sedangkan saya pulang seminggu atau dua minggu sekali.

''Sekarang Hafina mula pandai memperli saya, dulu dia kata kulit saya cerah, tapi kini dia kata saya hitam, dan dia pernah terlepas cakap, ''nasib baik kau tu kerja kerajaan, kalau tak, aku tak ingin pun kat kau tu…". Oleh kerana saya balik naik bas Perdana dia kutuk saya, "Naik bas Perdana buat apa, lain la kalau kereta Perdana setakat ada Persona buat apa.'' ''Lebih sedih ketika ayah saya terlantar lebih sebulan di hospital, dia cuma datang melawat sekali sahaja, itupun dia datang bersama ibu bapanya. Sedangkan pejabatnya tak jauh dari hospital tersebut.

kahwin

''Di dalam bilik tidur pun dah banyak berubah, saya terpaksa merayu-rayu, berbeza masa mula kahwin dulu dia sentiasa memberikan apa yang saya mahukan. Keadaan ini membuatkan saya amat tertekan. ''Nak kata tak beri nafkah memang bohong, hinggakan membeli persiapan bayi yang belum lahirkan sudah saya sediakan. Saya beri hadiah pada hari lahirnya, walaupun dia tak pedulikan hari lahir saya. Nak kata pangkat atau gajinya tinggi, tak juga, saya lebih tinggi dia cuma SPM. Bukan menghina! Malah kalau dapat bonos dialah saya utamakan bukan emak saya. Tetapi peliknya dia masih tidak menghargai saya dalam hidupnya. 

''Pernah juga terfikir adakah perubahannya kerana dia kembali kepada kekasih lamanya, tapi tak mungkin kerana Hafina tak suka membuang masa luar rumah. Tetapi pelik juga kerana dia tidak lagi meletak telefonnya bebas seperti dulu. Dia juga tak suka saya kemas katil selepas bangun tidur setelah dia pergi kerja pada hari Ahad. Katanya ''tak payahlah nak tunjuk rajin.'' Hafina juga melarang saya buka almarinya tanpa izinnya. ''Saya masih ingat tahun lepas ketika saya minta ayahnya mencarikan lembu untuk saya buat korban dia melarang katanya buatlah korban di rumah emak saya sendiri, jangan nak susahkan emak ayahnya carikan lembu korban, sepatutnya dia gembira saya buat korban di kampungnya.

''Pernah juga saya terfikir seorang mengapa gadis secantik sepertinya, ada kereta, tapi kahwin lewat, sedangkan dia boleh kahwin awal dan dapat suami orang kaya. Kemudian saya terfikir mungkin kerana perangainya. Apakah saya 'terkena lakonannya' sebelum kahwin dia baik, dah kahwin dia berubah kepada perangai lamanya. ''Ketika saya melihat perubahan berlaku dalam diri Hafina saya memohon kepada Allah agar dikembalikan hati isteri saya seperti dulu. Tetapi kini doa saya mengharapkan agar Allah melenyapkan fikiran saya dari terus memikirkan perihal Hafina, Saya juga memohon jika saya teraniaya berilah cahaya baru buat saya nanti,'' Demikian pengalaman pahit Huzainee dan nasihatnya panjang lebar jika ingin beristeri.

Kredit : SuaraHati

Wanita Kini Menyesal Kerana Kahwin Sembunyi

18 May 2011




PERKAHWINAN sememangnya sesuatu yang dituntut dalam Islam, malah begitu besar makna perkahwinan ia diumpamakan mendirikan sebuah masjid - rumah Allah yang melambangkan kemuliaan dan kesucian. Bagaimanapun ada juga perkara semulia ini dilakukan secara sembunyi kerana beberapa faktor termasuk tidak mendapat restu orang tua atau atas tujuan berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.

Bagi Balqis Abdul Rahman (bukan nama sebenar) perkahwinan secara sembunyi dengan Darus yang merupakan suami orang, memberikan kesan mendalam kepada kehidupannya hingga ke hari ini. Kini selepas tiga tahun berkahwin hati kecilnya tetap meronta menganggap perkahwinan mereka berdua tetap tidak sempurna. "Biarpun kami bahagia tetapi hubungan kami masih rahsia malah suami juga datang 'curi-curi' ke rumah saya," katanya.

Malah kata Balqis , sehingga kini kedua orang tua masih menganggap dirinya bujang walaupun telah menjangkau usia 36 tahun. "Kalau pulang bercuti di kampung, semua tidak tahu saya telah berkahwin malah sindiran anak dara tua sudah kalis di telinga saya,'' ujarnya membuka cerita ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Dia mengakui ketika ingin bernikah dengan Darus, dia terlalu mengikutkan hati hingga sanggup membelakangkan orang tua dan berkahwin secara sembunyi.

Namun ketika itu niatnya murni kerana tidak mahu terjebak dengan maksiat tetapi sayangnya tindakan tersebut hanyalah memakan diri sendiri. "Bukan setakat tidak boleh menghebohkan status sebenar saya, malah saya juga tidak dibenarkan mengandung sedangkan sebagai wanita normal perasaan ingin menjadi ibu meronta-ronta dalam diri. "Melihat orang lain yang berkahwin dan mempunyai anak menjadikan saya cemburu dan menyesal kerana menggunakan jalan ini untuk berkahwin,'' cerita anak kelahiran Perlis ini. Balqis kini sedar berkahwin senyap dan menjadi isteri kedua bukanlah sesuatu yang membahagiakan.

"Walaupun pada pandangan mata masyarakat saya gembira dengan kehidupan saya tetapi hati kecil saya tetap menderita,'' ujarnya. Akuinya, memang di mata masyarakat dia sempurna kerana mempunyai kemewahan dan dipandang bahagia, namun dia hati kecil tetap wujud perasaan menyesal. Dia seperti isteri lain, Balqis sukar untuk keluar bebas bersama suaminya kerana takut terserempak dengan ahli keluarganya sendiri. Malah, suaminya sendiri tidak bebas untuk pulang ke rumahnya walaupun mempunyai ikatan yang sah. "Syahdunya bila terkenang perkara itu, malah musim perayaan adalah saat yang pahit untuk saya lalui. Maklumlah tidak dapat beraya dengan suami.

"Sebagai seorang isteri teringin mengucup tangan suami di pagi raya, tetapi semua itu terlalu payah untuk berlaku,'' ujarnya sebak.
Malah, giliran untuk bermalam juga boleh dikatakan tidak adil kerana takut dengan persekitaran dan pengetahuan keluarga. Tambahnya lagi, walaupun ini kerelaan hatinya sendiri tetapi perasaan menyesal menyelubungi hatinya sehingga saat ini. "Kini baru saya tahu akibatnya walaupun dulu ramai kawan-kawan menasihati saya supaya tidak menurut kata hati,'' ujarnya. Katanya, perkenalan semasa di universiti dengan suaminya, Darus membuatkan dia selesa untuk terus berkawan walaupun mengetahui lelaki adalah suami orang dan bapa kepada empat anak.

"Awalnya saya tiada perasaan langsung pada Darus tambahan pula dia lebih tua 10 tahun daripada saya, namun kerana pandai berjenaka dan berkata-kata membuatkan saya cair hati," katanya. Malah akui Balqis setiap hari selepas kelas dia tetap akan bertemu Darus di perpustakaan untuk mengulangkaji bersama. "Mungkin dari situ, cinta mula bertaut, malah sudah terbit perasaan rindu apabila musim cuti semestar'' katanya. Hubungan itu berterusan sehingga Balqis bekerja dan hubungan tersebut juga sudah diketahui isteri Darus. 

"Alasan itu menjadikan hubungan kami semakin kukuh walaupun ketika itu ibu bapa saya menentang keras hubungan kami. "Saya pernah bawa Darus pulang ke rumah dan berterus terang dengan keluarga tetapi ditentang hebat oleh bapa. "Bermula dari situ, kami membuat perancangan untuk berkahwin lari dan sembunyikan status kami. Malah kerana terlalu sayangkan Darus, saya sendiri yang mencari prosedur untuk berkahwin di sempadan sehinggalah semuanya selesai,'' ujarnya lagi. Ditanya perasaan berkahwin secara sembunyi ketika itu, Balqis hanya menjelaskan, saat itu yang terfikir dibenaknya adalah hubungan yang sah.

"Saya tidak mahu berterusan dalam dosa, maklumlah setiap kali bertemu pasti ada dosa-dosa yang akan dilakukan,'' ujarnya penuh menyesal. Malah perjalanan menuju ke sempadan untuk berkahwin juga merupakan kenangan pahit yang akan dikenang sampai akhir hayat kepada dirinya. "Ketika itu, kami terpaksa bermalam di dalam kereta di sebuah perhentian tol sebelum menunggu orang tengah yang akan membawakan kami berdua ke negara jiran,'' ujarnya yang berkahwin di Selatan Thailand. Saat itu katanya, terbayang kedua wajah orang tua yang membesarkan dirinya sehingga berjaya menghantar ke menara gading.

Malah ketika imam datang mendapatkan persetujuan sebelum akad dimulakan, hati tiba-tiba menjadi sebak dan terus terbayang wajah ibunya. "Masa itu, saya seolah-olah terdengar suara ibu. Tetapi demi cinta, saya diamkan sahaja,'' ujarnya. Kini biarpun suaminya adil menjalankan tanggungjawab dan tidak lagi curang tetapi dia tetap merasakan dirinya terabai. Malah ketika ditanya kehidupan sekarang, dengan laju Balqis menjawab biarpun luaran bahagia tetapi hatinya tetap tidak puas. "Keadaan ini kadang-kadang membuatkan saya murung sendiri dan memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan,'' ujarnya. Keadaan bertambah buruk apabila dia mendapat tahu suami telah bermain kayu tiga dengan seseorang .

"Ketika itu hanya Allah sahaja tahu perasaan. ingin kembali kepada keluarga pastinya akan di marah, jadi saya hanya berdiamkan diri sahaja. "Saya ada juga meminta cerai daripada suaminya tetapi hanya kemaafan sahaja yang keluar dari mulut suami," katanya. Akuinya sejak itu, hatinya mula tawar kepada suami malah hanya kelangsungan hidup sahaja membuatkan dia meneruskan perkahwinan tersebut. "Sekiranya saya berkahwin normal, mungkin keluarga adalah tempat yang saya mengadu dan juga pejabat Agama. Tetapi dalam situasi ini tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh saya melain menangis,'' ujarnya sebak mengenangkan perangai suaminya.

Kini dia hanya mampu berdoa supaya suami akan berubah dan pulang berterus terang kepada keluarga. "Perkara yang paling penting sekarang ialah mendapatkan restu orang tua saya dan selepas itu bolehlah saya mengandung,'' ujarnya memberitahu menggunakan alat perancang keluarga setiap kali bersama dengan suaminya. Katanya lagi, mungkin dengan kehadiran anak nanti ia akan menyambungkan semula hubungan suami dan kedua ibu bapanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kredit : UtusanMalaysia

Keperitan 10 Tahun Jadi Perempuan Simpanan

26 Apr 2011


BERCINTA dengan suami orang memang banyak manisnya, maklum orang ada pengalaman, pandai ambil hati dan memang pakar memujuk rayu. Ini cerita dari pengalaman Ainesofia dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini. ‘‘Biar apa pun orang kata tentang keburukannya, saya tidak percaya, selagi tidak terkena batang hidung sendiri, baru saya tahu betapa jahatnya hati lelaki bergelar suami orang ini. Dia bukan saja menganiaya saya, malah hati dan puluhan ribu ringgit duit isterinya sendiri. Tapi semua itu dia tidak peduli asalkan hajati tercapai.

‘‘Lebih sepuluh tahun saya jadi kekasih gelapnya. Biarpun kami tinggal berjauhan saya di utara dia di Terengganu, tetapi saya sering dibawa menemaninya di hotel apabila dia bermesyuarat. Tak kiralah betul-betul mesyuarat atau pembohongannya. Tetapi yang pasti saya jadi “isterinya” selama dua atau tiga hari. Samada di utara, KL, Perak atau di mana saja. ‘‘Saya berusia hampir 40 tahun ketika mengenalinya, kebetulan tengah kesunyian selepas kematian suami, jadi komputerlah tempat saya mencurahkan isi hati melalui laman chatting. Di situ saya kenal Emjay yang ketika itu berusia lebih 40 tahun yang bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi di Dungun.

‘‘Bermula dengan menasihatkan saya kerana saya ada dua orang anak. Akhirnya saya jatuh cinta dengan kebaikan dan kelembutannya pandai memujuk rayu apabila bertemu. Orangnya pemalu dan pendiam, tak banyak cakap kecuali menasihat. Namun Emjay pandai ambil hati saya. Sesiapa yang pernah kenal dan berjumpa dengannya tidak akan percaya dia buruk perangai kerana wajah syurga dan sentiasa senyum. ‘‘Saya rasa isterinya pun mungkin tidak tahu perangainya sebenar, kalau tidak takkan dia sanggup membiayai perbelanjaan Emjay belajar ambil diploma hinggalah dapat ijazah. Isterinya juga jadi penjamin dia buat pinjaman Bank Rakyat.

‘‘Tentu pembaca bertanya mengapa saya sanggup menunggu begitu lama? Sebenarnya sudah banyak kali saya nak tinggalkan dia kerana tak sanggup menunggu lama janji nak berkahwin tetapi tak jadi. Tetapi dia memujuk dan merayu, lepas dapat diploma dan naik pangkat nanti dia akan ambil saya jadi isteri. ‘‘Namun lepas diploma dia minta tangguh lagi katanya nak ambil ijazah pula. Begitulah dia bodohkan saya supaya tunggu dia. Hingga saya tolak lamaran lelaki lain. ‘‘Saya dah penat menunggu dan melayan nafsunya. Anak-anak yang dulu cuma bersekolah menengah kini dah habis universiti dan bekerja. Saya jadi malu pada diri sendiri dan anak-anak untuk jadi teman tidurnya. Biarpun anak-anak tak tahu saya pergi jumpa dia. Tapi saya malu dan takut kepada Allah tambahan usia dah dekat 50 tahun.

‘‘Perubahan itu saya mula sedar kerana dia tak mahu chatting dan telefon saya lagi. Dunia saya sunyi dan saya tertanya-tanya apa dah jadi. Tidak menjawab panggilan saya, bukan perkara biasa, dia tak pernah hampakan saya. Setelah beberapa hari mencuba akhirnya dia jawab. Dia minta maaf tak dapat kahwin dengan saya. ‘‘Keraguan saya akhirnya terjawab. Dia mahu putuskan hubungan. Alasannya dia bencikan saya kerana suka mendesak dia ajak kahwin. Dia bosan, dia tidak bersedia berpoligami, dan dia tidak mahu saya hubungai dia lagi. ‘‘Bayangkan hubungan kami lebih sepuluh tahun jadi kekasih gelapnya terputus begitu sahaja semata-mata kerana saya menolak tidak mahu melayan nafsu buasnya. Muka saja macam orang baik-baik tapi hati dan perangai macam setan.

‘‘Secara peribadi saya memang sedih. Saya dibuang macam sampah semata-mata kerana dia dah jumpa orang baru. Rupanya semasa kami berkawan pun dia ada beberapa teman wanita lain. Sebab itulah dia mengelak setiap kali saya ajak kahwin. Dulu kata ambil diploma, lepas tu ijazah sekarang sibuk nak ambil PhD. Dan setiap kali dia kata sambung belajar dia suruh saya tunggu lepas lulus baru kahwin. ‘‘Dalam Internet dia guna banyak nama samaran seperti Emjay, deeface, irzafr... itu nama-nama yang dapat saya kesan dari bacaan saya tentang tulisannya. Maklum kami dah kawan lebih sepuluh tahun, saya tahu gaya bahasanya, dan cara penipuannya. Dengan nama samaran itulah dia menggoda beberapa orang wanita.

‘‘Mulanya saya tak sedar dia menyamar dalam Internet hinggalah saya ditinggalkan. Bila saya cari dia baru saya nampak nama-nama tersebut setelah saya baca dan ikuti lenggok bahasanya. Dan saya tahu dia sedang mengayat dua orang wanita sekali gus. ‘‘Saya sendiri setelah ditinggalkan baru sedar dibohongi. Dulu apa juga katanya saya percaya, kerana dia pandai memujuk dan merayu. Tapi dia mengelak setiap kali saya ajak kahwin. Dia pernah ajak saya nikah di Thailand, bila saya setuju setelah saya bertanya cara yang betul dan apa patut saya buat setelah nikah di sempadan dengan pejabat agama, dia pula gelabah. Dia minta tangguh lagi sampai dapat naik pangkat lagi besar. 

‘‘Emjay memang panjang akal kalau tidak masakan dia boleh tipu isterinya, tanpa rasa malu pada anak-anak yang telah dewasa, sudah bekerja, dan akan berkahwin. Dia sanggup tipu isterinya beribu-ribu ringgit semata-mata untuk memuaskan nafsu dengan wanita lain. Sedangkan isterinya berhempas pulas memerah tenaga mencari wang untuk dia dan tanggung anak-anak. ‘‘Kepada isteri Emjay yang sibuk bisnes, saya mohon maaf selama lebih sepuluh tahun bersama suami anda. Kepada isteri yang sibuk bekerja, pantau kegilaann suami anda. Biasanya suami sibuk dengan laptop bila isteri sibuk bekerja, tiada di rumah atau sedang nyenyak tidur. Ini pengalaman saya.’’ Demikian cerita Ainesofia tentang percintaannya dengan suami orang.

Kredit : SuaraHati

Fadhilat Kebaikan Dan Keistimewaan Solat Tahajud

17 Mar 2011


Kredit : Jalan Akhirat

Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Amalan solat malam bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.
Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-
* Jauh daripada segala penyakit
* Lahir kesan taqwa pada wajahnya
* Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
* Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
* Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
* Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
* Dipermudahkan hisab
* Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
* Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”
Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Beliau menjawab dengan tegas, “Solat malam!” (Hadis Riwayat Muslim).
Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:
1. Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
2. Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk ayat 79).
3. Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
4. Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
5. Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).
Beberapa petikan hadis berikut menyebut beberapa fadilat dan keindahan lain solat malam. Antaranya adalah hadis daripada Abdullah bin Amr bin Al-‘Ash yang berbunyi, Rasulullah S.A.W berkata kepadaku, “Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah mendirikan solat malam kemudian meninggalkannya,” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).
Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah S.A.W berkata, “Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”
Salim bin Abdullah bin Umar bercerita kepada Hafshah, isteri Rasulullah S.A.W, “Ketika Rasulullah S.A.W masih hidup, biasanya apabila seseorang bermimpi, dia menceritakan mimpinya itu kepada Rasulullah S.A.W. Saya berharap mendapat mimpi supaya dapat menceritakannya kepada beliau. Semasa masih muda, biasanya saya tidur di masjid. Suatu ketika, saya bermimpi seakan-akan dua malaikat memegang dan membawaku ke neraka yang dibina seperti perigi dan memiliki tanduk. Di dalam perigi itu ada beberapa orang yang saya kenal. Saya lalu berkata, “Saya berlindung kepada Allah dari neraka.” Saya bertemu dengan malaikat lain yang berkata padaku, “Jangan takut.” Mimpi ini disampaikan oleh Hafshah kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau berkata, “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah ketika mahu solat malam.” Selepas itu, dia hanya tidur sebentar sahaja di malam hari.
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingat Allah, maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan. Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’” (Hadis Riwayat Al-Jama’ah).
‘Amr bin Al-‘Ash meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Sedekat-dekat hamba kepada Allah adalah pada tengah malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang berzikir mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Al-Hakim).
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Apabila seseorang membangunkan isterinya pada waktu malam, lalu kedua-duanya solat dua rakaat, maka mereka tercatat dalam golongan orang yang selalu berzikir.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Wassalam.
Artikel adalah sumbangan dari : Saudara Rosli Hanip
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.