SLIDER

Isteri Berubah, Belum Sampai Setahun Berkahwin

21 Jun 2011


Selama ini saya dapati ramai kaum wanita melahirkan keluh kesah mereka terhadap perubahan perangai suami, tetapi berbeza dengan saya. Isteri saya berubah perangai sedangkan kami belum pun dua tahun berkahwin dan sedang menunggu kelahiran anak sulung kami. Ini yang menghairankan saya. ''Namun ruangan ini banyak mengajar saya tentang nilai sebuah kehidupan dan membuat saya tabah mengharungi hidup ini. Saya bukan nak memburukkan wanita apa lagi isteri saya, namun saya ingin mengingatkan lelaki dan wanita yang masih belum berkahwin janganlah tersilap memilih pasangan kerana buruk akibatnya, merana diri,'' demikian cerita Huzainee dalam emelnya, dan ketika kami berbual panjang di telefon beberapa kali baru-baru ini.

''Bukan saya nak salahkan emak yang mencarikan jodoh saya, malah saya bersyukur dapat isteri yang baik, cantik dan pandai bergaya. Itulah perangainya pada awal perkenalan kami. Sering telefon, kalau lambat balas SMS pertama, sms kedua akan menyusul. Tetapi selepas berkahwin, dia berubah. Usah kata nak telefon, SMS pun dia malas jawab. Kalau dibalas pun, kasar bunyinya. ''Kami berkenalan awal tahun lalu, tak sampai enam bulan terus berkahwin. Kata ibu bapa kami buat apa tunggu lama-lama kalau dah sesuai, tambahan pula umur kami menjangkau 30 tahun. Dan kerana kami sama subur, akan lahirkan seorang cahaya mata tak lama lagi.

''Sepanjang empat bulan pertama perkahwinan kami, saya rasakan isteri saya Hafina adalah anugerah Allah yang tak ternilai untuk saya. Namun itu cuma sementara, hari demi hari, saya rasakan perubahan Hafina. Dia seolah-olah bukan orang yang saya kenal dalu. Sehinggakan saya merasakan Hafina "berlakon" sepanjang saya mengenali hati budinya sebelum ini. ''Saya jenis lelaki yang mahukan belaian isteri. Saya faham kalau perubahan perangainya berlaku jika perkahwinan kami mencecah lebih 10 tahun, hubungan suami-isteri secara semula jadi akan menjadi perlahan. Tapi ketika itu kami belum pun setahun berkahwin.

''Dengan apa yang saya alami ini, memang benarlah kata orang "Masa bercinta, semuanya indah". Setiap kali saya mendengar ungkapan ini, hati saya jadi sayu. Bagi saya perubahan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan usia perkahwinan kami masih muda. Malah, kalau saya sudah tua pun, Hafina tidak patut layan saya sebegini kerana saya amat hormat ibu bapanya sama seperti saya menghormati ibu bapa saya. Buktinya, setiap kali berkunjung ke rumahnya, saya tak datang tangan kosong. Dan ketika adiknya dapat 4A dalam SPM baru-baru ini saya beri dia hadiah. Malangnya hubungan Hafina dengan ibu bapa saya langsung tidak mesra.

Hendak dijadikan cerita, saya pernah tercicir satu plastik ikan laga yang saya mahu letakkan dalam akuarium di pejabat. Kehilangan itu bukan disengajakan kerana saya bawa balik menaiki bas ke KL dari KB. Sedihnya Hafina boleh mempersendakan kealpaan saya di depan ibu bapanya. Ia memang mengguris perasaan saya. ''Oleh kerana saya bekerja di KL dan dia di KB tentulah rasa rindu dan sayang sentiasa ada di hati masing-masing, tetapi tidak kepada Hafina. Dia tak pernah tanya bila saya balik, malah tak pernah mempelawa saya tidur di rumah emaknya. Lagi pelik bila saya teringin datang dia boleh SMS pada saya "tak payah la datang sekarang, datang petang sikit…". Dia macam tak suka saya datang berjumpa dengannya apa lagi tidur di rumahnya. Sedangkan saya pulang seminggu atau dua minggu sekali.

''Sekarang Hafina mula pandai memperli saya, dulu dia kata kulit saya cerah, tapi kini dia kata saya hitam, dan dia pernah terlepas cakap, ''nasib baik kau tu kerja kerajaan, kalau tak, aku tak ingin pun kat kau tu…". Oleh kerana saya balik naik bas Perdana dia kutuk saya, "Naik bas Perdana buat apa, lain la kalau kereta Perdana setakat ada Persona buat apa.'' ''Lebih sedih ketika ayah saya terlantar lebih sebulan di hospital, dia cuma datang melawat sekali sahaja, itupun dia datang bersama ibu bapanya. Sedangkan pejabatnya tak jauh dari hospital tersebut.

kahwin

''Di dalam bilik tidur pun dah banyak berubah, saya terpaksa merayu-rayu, berbeza masa mula kahwin dulu dia sentiasa memberikan apa yang saya mahukan. Keadaan ini membuatkan saya amat tertekan. ''Nak kata tak beri nafkah memang bohong, hinggakan membeli persiapan bayi yang belum lahirkan sudah saya sediakan. Saya beri hadiah pada hari lahirnya, walaupun dia tak pedulikan hari lahir saya. Nak kata pangkat atau gajinya tinggi, tak juga, saya lebih tinggi dia cuma SPM. Bukan menghina! Malah kalau dapat bonos dialah saya utamakan bukan emak saya. Tetapi peliknya dia masih tidak menghargai saya dalam hidupnya. 

''Pernah juga terfikir adakah perubahannya kerana dia kembali kepada kekasih lamanya, tapi tak mungkin kerana Hafina tak suka membuang masa luar rumah. Tetapi pelik juga kerana dia tidak lagi meletak telefonnya bebas seperti dulu. Dia juga tak suka saya kemas katil selepas bangun tidur setelah dia pergi kerja pada hari Ahad. Katanya ''tak payahlah nak tunjuk rajin.'' Hafina juga melarang saya buka almarinya tanpa izinnya. ''Saya masih ingat tahun lepas ketika saya minta ayahnya mencarikan lembu untuk saya buat korban dia melarang katanya buatlah korban di rumah emak saya sendiri, jangan nak susahkan emak ayahnya carikan lembu korban, sepatutnya dia gembira saya buat korban di kampungnya.

''Pernah juga saya terfikir seorang mengapa gadis secantik sepertinya, ada kereta, tapi kahwin lewat, sedangkan dia boleh kahwin awal dan dapat suami orang kaya. Kemudian saya terfikir mungkin kerana perangainya. Apakah saya 'terkena lakonannya' sebelum kahwin dia baik, dah kahwin dia berubah kepada perangai lamanya. ''Ketika saya melihat perubahan berlaku dalam diri Hafina saya memohon kepada Allah agar dikembalikan hati isteri saya seperti dulu. Tetapi kini doa saya mengharapkan agar Allah melenyapkan fikiran saya dari terus memikirkan perihal Hafina, Saya juga memohon jika saya teraniaya berilah cahaya baru buat saya nanti,'' Demikian pengalaman pahit Huzainee dan nasihatnya panjang lebar jika ingin beristeri.

Kredit : SuaraHati

Wanita Kini Menyesal Kerana Kahwin Sembunyi

18 May 2011




PERKAHWINAN sememangnya sesuatu yang dituntut dalam Islam, malah begitu besar makna perkahwinan ia diumpamakan mendirikan sebuah masjid - rumah Allah yang melambangkan kemuliaan dan kesucian. Bagaimanapun ada juga perkara semulia ini dilakukan secara sembunyi kerana beberapa faktor termasuk tidak mendapat restu orang tua atau atas tujuan berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.

Bagi Balqis Abdul Rahman (bukan nama sebenar) perkahwinan secara sembunyi dengan Darus yang merupakan suami orang, memberikan kesan mendalam kepada kehidupannya hingga ke hari ini. Kini selepas tiga tahun berkahwin hati kecilnya tetap meronta menganggap perkahwinan mereka berdua tetap tidak sempurna. "Biarpun kami bahagia tetapi hubungan kami masih rahsia malah suami juga datang 'curi-curi' ke rumah saya," katanya.

Malah kata Balqis , sehingga kini kedua orang tua masih menganggap dirinya bujang walaupun telah menjangkau usia 36 tahun. "Kalau pulang bercuti di kampung, semua tidak tahu saya telah berkahwin malah sindiran anak dara tua sudah kalis di telinga saya,'' ujarnya membuka cerita ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Dia mengakui ketika ingin bernikah dengan Darus, dia terlalu mengikutkan hati hingga sanggup membelakangkan orang tua dan berkahwin secara sembunyi.

Namun ketika itu niatnya murni kerana tidak mahu terjebak dengan maksiat tetapi sayangnya tindakan tersebut hanyalah memakan diri sendiri. "Bukan setakat tidak boleh menghebohkan status sebenar saya, malah saya juga tidak dibenarkan mengandung sedangkan sebagai wanita normal perasaan ingin menjadi ibu meronta-ronta dalam diri. "Melihat orang lain yang berkahwin dan mempunyai anak menjadikan saya cemburu dan menyesal kerana menggunakan jalan ini untuk berkahwin,'' cerita anak kelahiran Perlis ini. Balqis kini sedar berkahwin senyap dan menjadi isteri kedua bukanlah sesuatu yang membahagiakan.

"Walaupun pada pandangan mata masyarakat saya gembira dengan kehidupan saya tetapi hati kecil saya tetap menderita,'' ujarnya. Akuinya, memang di mata masyarakat dia sempurna kerana mempunyai kemewahan dan dipandang bahagia, namun dia hati kecil tetap wujud perasaan menyesal. Dia seperti isteri lain, Balqis sukar untuk keluar bebas bersama suaminya kerana takut terserempak dengan ahli keluarganya sendiri. Malah, suaminya sendiri tidak bebas untuk pulang ke rumahnya walaupun mempunyai ikatan yang sah. "Syahdunya bila terkenang perkara itu, malah musim perayaan adalah saat yang pahit untuk saya lalui. Maklumlah tidak dapat beraya dengan suami.

"Sebagai seorang isteri teringin mengucup tangan suami di pagi raya, tetapi semua itu terlalu payah untuk berlaku,'' ujarnya sebak.
Malah, giliran untuk bermalam juga boleh dikatakan tidak adil kerana takut dengan persekitaran dan pengetahuan keluarga. Tambahnya lagi, walaupun ini kerelaan hatinya sendiri tetapi perasaan menyesal menyelubungi hatinya sehingga saat ini. "Kini baru saya tahu akibatnya walaupun dulu ramai kawan-kawan menasihati saya supaya tidak menurut kata hati,'' ujarnya. Katanya, perkenalan semasa di universiti dengan suaminya, Darus membuatkan dia selesa untuk terus berkawan walaupun mengetahui lelaki adalah suami orang dan bapa kepada empat anak.

"Awalnya saya tiada perasaan langsung pada Darus tambahan pula dia lebih tua 10 tahun daripada saya, namun kerana pandai berjenaka dan berkata-kata membuatkan saya cair hati," katanya. Malah akui Balqis setiap hari selepas kelas dia tetap akan bertemu Darus di perpustakaan untuk mengulangkaji bersama. "Mungkin dari situ, cinta mula bertaut, malah sudah terbit perasaan rindu apabila musim cuti semestar'' katanya. Hubungan itu berterusan sehingga Balqis bekerja dan hubungan tersebut juga sudah diketahui isteri Darus. 

"Alasan itu menjadikan hubungan kami semakin kukuh walaupun ketika itu ibu bapa saya menentang keras hubungan kami. "Saya pernah bawa Darus pulang ke rumah dan berterus terang dengan keluarga tetapi ditentang hebat oleh bapa. "Bermula dari situ, kami membuat perancangan untuk berkahwin lari dan sembunyikan status kami. Malah kerana terlalu sayangkan Darus, saya sendiri yang mencari prosedur untuk berkahwin di sempadan sehinggalah semuanya selesai,'' ujarnya lagi. Ditanya perasaan berkahwin secara sembunyi ketika itu, Balqis hanya menjelaskan, saat itu yang terfikir dibenaknya adalah hubungan yang sah.

"Saya tidak mahu berterusan dalam dosa, maklumlah setiap kali bertemu pasti ada dosa-dosa yang akan dilakukan,'' ujarnya penuh menyesal. Malah perjalanan menuju ke sempadan untuk berkahwin juga merupakan kenangan pahit yang akan dikenang sampai akhir hayat kepada dirinya. "Ketika itu, kami terpaksa bermalam di dalam kereta di sebuah perhentian tol sebelum menunggu orang tengah yang akan membawakan kami berdua ke negara jiran,'' ujarnya yang berkahwin di Selatan Thailand. Saat itu katanya, terbayang kedua wajah orang tua yang membesarkan dirinya sehingga berjaya menghantar ke menara gading.

Malah ketika imam datang mendapatkan persetujuan sebelum akad dimulakan, hati tiba-tiba menjadi sebak dan terus terbayang wajah ibunya. "Masa itu, saya seolah-olah terdengar suara ibu. Tetapi demi cinta, saya diamkan sahaja,'' ujarnya. Kini biarpun suaminya adil menjalankan tanggungjawab dan tidak lagi curang tetapi dia tetap merasakan dirinya terabai. Malah ketika ditanya kehidupan sekarang, dengan laju Balqis menjawab biarpun luaran bahagia tetapi hatinya tetap tidak puas. "Keadaan ini kadang-kadang membuatkan saya murung sendiri dan memikirkan apa yang akan terjadi pada masa depan,'' ujarnya. Keadaan bertambah buruk apabila dia mendapat tahu suami telah bermain kayu tiga dengan seseorang .

"Ketika itu hanya Allah sahaja tahu perasaan. ingin kembali kepada keluarga pastinya akan di marah, jadi saya hanya berdiamkan diri sahaja. "Saya ada juga meminta cerai daripada suaminya tetapi hanya kemaafan sahaja yang keluar dari mulut suami," katanya. Akuinya sejak itu, hatinya mula tawar kepada suami malah hanya kelangsungan hidup sahaja membuatkan dia meneruskan perkahwinan tersebut. "Sekiranya saya berkahwin normal, mungkin keluarga adalah tempat yang saya mengadu dan juga pejabat Agama. Tetapi dalam situasi ini tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh saya melain menangis,'' ujarnya sebak mengenangkan perangai suaminya.

Kini dia hanya mampu berdoa supaya suami akan berubah dan pulang berterus terang kepada keluarga. "Perkara yang paling penting sekarang ialah mendapatkan restu orang tua saya dan selepas itu bolehlah saya mengandung,'' ujarnya memberitahu menggunakan alat perancang keluarga setiap kali bersama dengan suaminya. Katanya lagi, mungkin dengan kehadiran anak nanti ia akan menyambungkan semula hubungan suami dan kedua ibu bapanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kredit : UtusanMalaysia

Keperitan 10 Tahun Jadi Perempuan Simpanan

26 Apr 2011


BERCINTA dengan suami orang memang banyak manisnya, maklum orang ada pengalaman, pandai ambil hati dan memang pakar memujuk rayu. Ini cerita dari pengalaman Ainesofia dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini. ‘‘Biar apa pun orang kata tentang keburukannya, saya tidak percaya, selagi tidak terkena batang hidung sendiri, baru saya tahu betapa jahatnya hati lelaki bergelar suami orang ini. Dia bukan saja menganiaya saya, malah hati dan puluhan ribu ringgit duit isterinya sendiri. Tapi semua itu dia tidak peduli asalkan hajati tercapai.

‘‘Lebih sepuluh tahun saya jadi kekasih gelapnya. Biarpun kami tinggal berjauhan saya di utara dia di Terengganu, tetapi saya sering dibawa menemaninya di hotel apabila dia bermesyuarat. Tak kiralah betul-betul mesyuarat atau pembohongannya. Tetapi yang pasti saya jadi “isterinya” selama dua atau tiga hari. Samada di utara, KL, Perak atau di mana saja. ‘‘Saya berusia hampir 40 tahun ketika mengenalinya, kebetulan tengah kesunyian selepas kematian suami, jadi komputerlah tempat saya mencurahkan isi hati melalui laman chatting. Di situ saya kenal Emjay yang ketika itu berusia lebih 40 tahun yang bertugas di sebuah pusat pengajian tinggi di Dungun.

‘‘Bermula dengan menasihatkan saya kerana saya ada dua orang anak. Akhirnya saya jatuh cinta dengan kebaikan dan kelembutannya pandai memujuk rayu apabila bertemu. Orangnya pemalu dan pendiam, tak banyak cakap kecuali menasihat. Namun Emjay pandai ambil hati saya. Sesiapa yang pernah kenal dan berjumpa dengannya tidak akan percaya dia buruk perangai kerana wajah syurga dan sentiasa senyum. ‘‘Saya rasa isterinya pun mungkin tidak tahu perangainya sebenar, kalau tidak takkan dia sanggup membiayai perbelanjaan Emjay belajar ambil diploma hinggalah dapat ijazah. Isterinya juga jadi penjamin dia buat pinjaman Bank Rakyat.

‘‘Tentu pembaca bertanya mengapa saya sanggup menunggu begitu lama? Sebenarnya sudah banyak kali saya nak tinggalkan dia kerana tak sanggup menunggu lama janji nak berkahwin tetapi tak jadi. Tetapi dia memujuk dan merayu, lepas dapat diploma dan naik pangkat nanti dia akan ambil saya jadi isteri. ‘‘Namun lepas diploma dia minta tangguh lagi katanya nak ambil ijazah pula. Begitulah dia bodohkan saya supaya tunggu dia. Hingga saya tolak lamaran lelaki lain. ‘‘Saya dah penat menunggu dan melayan nafsunya. Anak-anak yang dulu cuma bersekolah menengah kini dah habis universiti dan bekerja. Saya jadi malu pada diri sendiri dan anak-anak untuk jadi teman tidurnya. Biarpun anak-anak tak tahu saya pergi jumpa dia. Tapi saya malu dan takut kepada Allah tambahan usia dah dekat 50 tahun.

‘‘Perubahan itu saya mula sedar kerana dia tak mahu chatting dan telefon saya lagi. Dunia saya sunyi dan saya tertanya-tanya apa dah jadi. Tidak menjawab panggilan saya, bukan perkara biasa, dia tak pernah hampakan saya. Setelah beberapa hari mencuba akhirnya dia jawab. Dia minta maaf tak dapat kahwin dengan saya. ‘‘Keraguan saya akhirnya terjawab. Dia mahu putuskan hubungan. Alasannya dia bencikan saya kerana suka mendesak dia ajak kahwin. Dia bosan, dia tidak bersedia berpoligami, dan dia tidak mahu saya hubungai dia lagi. ‘‘Bayangkan hubungan kami lebih sepuluh tahun jadi kekasih gelapnya terputus begitu sahaja semata-mata kerana saya menolak tidak mahu melayan nafsu buasnya. Muka saja macam orang baik-baik tapi hati dan perangai macam setan.

‘‘Secara peribadi saya memang sedih. Saya dibuang macam sampah semata-mata kerana dia dah jumpa orang baru. Rupanya semasa kami berkawan pun dia ada beberapa teman wanita lain. Sebab itulah dia mengelak setiap kali saya ajak kahwin. Dulu kata ambil diploma, lepas tu ijazah sekarang sibuk nak ambil PhD. Dan setiap kali dia kata sambung belajar dia suruh saya tunggu lepas lulus baru kahwin. ‘‘Dalam Internet dia guna banyak nama samaran seperti Emjay, deeface, irzafr... itu nama-nama yang dapat saya kesan dari bacaan saya tentang tulisannya. Maklum kami dah kawan lebih sepuluh tahun, saya tahu gaya bahasanya, dan cara penipuannya. Dengan nama samaran itulah dia menggoda beberapa orang wanita.

‘‘Mulanya saya tak sedar dia menyamar dalam Internet hinggalah saya ditinggalkan. Bila saya cari dia baru saya nampak nama-nama tersebut setelah saya baca dan ikuti lenggok bahasanya. Dan saya tahu dia sedang mengayat dua orang wanita sekali gus. ‘‘Saya sendiri setelah ditinggalkan baru sedar dibohongi. Dulu apa juga katanya saya percaya, kerana dia pandai memujuk dan merayu. Tapi dia mengelak setiap kali saya ajak kahwin. Dia pernah ajak saya nikah di Thailand, bila saya setuju setelah saya bertanya cara yang betul dan apa patut saya buat setelah nikah di sempadan dengan pejabat agama, dia pula gelabah. Dia minta tangguh lagi sampai dapat naik pangkat lagi besar. 

‘‘Emjay memang panjang akal kalau tidak masakan dia boleh tipu isterinya, tanpa rasa malu pada anak-anak yang telah dewasa, sudah bekerja, dan akan berkahwin. Dia sanggup tipu isterinya beribu-ribu ringgit semata-mata untuk memuaskan nafsu dengan wanita lain. Sedangkan isterinya berhempas pulas memerah tenaga mencari wang untuk dia dan tanggung anak-anak. ‘‘Kepada isteri Emjay yang sibuk bisnes, saya mohon maaf selama lebih sepuluh tahun bersama suami anda. Kepada isteri yang sibuk bekerja, pantau kegilaann suami anda. Biasanya suami sibuk dengan laptop bila isteri sibuk bekerja, tiada di rumah atau sedang nyenyak tidur. Ini pengalaman saya.’’ Demikian cerita Ainesofia tentang percintaannya dengan suami orang.

Kredit : SuaraHati

Fadhilat Kebaikan Dan Keistimewaan Solat Tahajud

17 Mar 2011


Kredit : Jalan Akhirat

Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Amalan solat malam bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.
Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-
* Jauh daripada segala penyakit
* Lahir kesan taqwa pada wajahnya
* Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
* Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
* Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
* Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
* Dipermudahkan hisab
* Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
* Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”
Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Beliau menjawab dengan tegas, “Solat malam!” (Hadis Riwayat Muslim).
Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:
1. Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
2. Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk ayat 79).
3. Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
4. Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
5. Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).
Beberapa petikan hadis berikut menyebut beberapa fadilat dan keindahan lain solat malam. Antaranya adalah hadis daripada Abdullah bin Amr bin Al-‘Ash yang berbunyi, Rasulullah S.A.W berkata kepadaku, “Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah mendirikan solat malam kemudian meninggalkannya,” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).
Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah S.A.W berkata, “Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”
Salim bin Abdullah bin Umar bercerita kepada Hafshah, isteri Rasulullah S.A.W, “Ketika Rasulullah S.A.W masih hidup, biasanya apabila seseorang bermimpi, dia menceritakan mimpinya itu kepada Rasulullah S.A.W. Saya berharap mendapat mimpi supaya dapat menceritakannya kepada beliau. Semasa masih muda, biasanya saya tidur di masjid. Suatu ketika, saya bermimpi seakan-akan dua malaikat memegang dan membawaku ke neraka yang dibina seperti perigi dan memiliki tanduk. Di dalam perigi itu ada beberapa orang yang saya kenal. Saya lalu berkata, “Saya berlindung kepada Allah dari neraka.” Saya bertemu dengan malaikat lain yang berkata padaku, “Jangan takut.” Mimpi ini disampaikan oleh Hafshah kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau berkata, “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah ketika mahu solat malam.” Selepas itu, dia hanya tidur sebentar sahaja di malam hari.
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingat Allah, maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan. Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’” (Hadis Riwayat Al-Jama’ah).
‘Amr bin Al-‘Ash meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Sedekat-dekat hamba kepada Allah adalah pada tengah malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang berzikir mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Al-Hakim).
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Apabila seseorang membangunkan isterinya pada waktu malam, lalu kedua-duanya solat dua rakaat, maka mereka tercatat dalam golongan orang yang selalu berzikir.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Wassalam.
Artikel adalah sumbangan dari : Saudara Rosli Hanip

Solat Sunat DHUHA

16 Feb 2011

Assalamualaikum.

Sekadar ingin bekongsi maklumat berkenaan Solat Sunat Dhuha.

Ruang waktu dan waktu afdal

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Cara melaksanakannya

Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.



Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. Bacaan solat boleh dibaca apa-apa surah yang penting niat kita adalah IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah…

Kita rujuk kepada Hadith Qudsi yang mengatakan, Firman Allah, “ Wahai anak-anak adam (sebut-sebutkan) zikirkan akan AKU selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas sembahyang asar barang sekejap, maka AKU cukupkan engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyang dhuha sebanyak lapan rakaat”

Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.

Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.

Berkenaan doa… boleh baca doa mana-mana yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat dhuha yang khusus… doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari ilahi… Manakala bilangan rakaat pula adalah mengikut kemampuan. Bila masa terhad dengan kerja seharian boleh dilakukan dengan 2 rakaat dan bila waktu cuti lakukanlah dua-dua rakaat sehingga 4, 6 atau 8 rakaat dan boleh sehingga 12 rakaat. semua mengikut kemampuan… Amal yang sedikit dan istiqamah (berterusan) adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi jarang-jarang… fikir-fikirkan… semoga dengan membudayakan solat dhuha, kita akan lebih disayangi oleh Allah SWT dan sentiasa didalam naunganNYA.. aminn

Tanggungjawab Waris Lunas Hutang Si Mati

1 Sept 2010




KEMATIAN Rahman Amirudin (bukan nama sebenar), seorang eksekutif di institusi perbankan terkemuka disebabkan serangan jantung bukan saja mengejutkan rakan dan kakitangan di pejabat, malah ahli keluarganya terutama isterinya, Hasmah Ismail (bukan nama sebenar) dan enam anak masih kecil. Namun, Hasmah tetap reda ketentuan Allah. Kematian suami tercinta bermakna Hasmah, suri rumah sepenuh masa kehilangan sumber pendapatan keluarga menyebabkan beliau bingung dan bimbang mengenai masa depan mereka

Kini, Hasmah terpaksa memikul beban menanggung keluarga bersendirian. Sebulan selepas kematian suaminya, Hasmah ke cawangan sebuah institusi kewangan dengan harapan untuk mengeluarkan wang, tetapi gagal. Beliau dinasihatkan pegawai bank terbabit untuk mendapatkan bantuan AmanahRaya bagi mengeluarkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) arwah suaminya. Hasmah membuka fail pentadbiran harta arwah Rahman di AmanahRaya dan diminta menyediakan dokumen perlu serta dokumen sokongan seperti tersenarai dalam Borang Permohonan Perkhidmatan Mentadbir Harta Pusaka selain dinasihat mendapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah.

Beliau melahirkan kebimbangan jika proses itu mengambil masa yang panjang kerana wang simpanan semakin berkurangan untuk menampung perbelanjaan yuran bas sekolah anak, barang keperluan harian serta bil semasa. Pegawai AmanahRaya menerangkan kes membabitkan harta alih seperti wang tunai simpanan si mati ditadbir mengikut seksyen 17(1) Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532) dan tempoh penyelesaian dapat dibuat dalam masa dua hingga empat dengan syarat dokumen diperlukan lengkap. Selepas sebulan, Hasmah menghantar semua dokumen yang diperlukan, tetapi seminggu kemudian beliau terkejut apabila AmanahRaya memaklumkan mengenai hutang peribadi arwah suaminya berjumlah RM30,000.

Isteri kawan baik arwah suaminya, Rozita, yang diwakili peguam memaklumkan bahawa Rahman mempunyai hutang peribadi berjumlah RM30,000 sejak 2006. AmanahRaya juga menerima surat mengesahkan simati ada membayar secara ansuran sebanyak RM 300.00 sebulan tetapi hanya sehingga pertengahan 2007. Pemiutang menuntut baki hutang RM15,000 segera diselesaikan. Hasmah mengesahkan kepada AmanahRaya bahawa arwah suaminya ada berhutang dengan rakan baiknya untuk memulakan perniagaan runcit. AmanahRaya menjelaskan kepada Hasmah, hutang simati wajib diselesaikan sebelum bakinya dibahagikan kepada waris yang berhak.

Hasmah menyatakan kesediaan menandatangani surat perjanjian untuk membayar hutang itu dengan wangnya sendiri tanpa menggunakan pusaka arwah suaminya, tetapi dimaklumkan perkara itu di luar bidang kuasa AmanahRaya. Sebaliknya, Hasmah diminta mendapat persetujuan daripada pemiutang sendiri kerana sebagai suri rumah, dikhuatiri beliau tidak mampu membayar balik hutang berkenaan. AmanahRaya mengaturkan sesi rundingan antara Hasmah dan pemiutang. Kesempatan itu digunakan beliau untuk memberitahu perancangan menggunakan wang simpanan arwah suaminya bagi memulakan perniagaan kedai makan. Kepakaran memasak yang ada akan digunakan bagi menjana pendapatan untuk menyara enam anak dan pada masa sama, melunaskan hutang arwah suaminya secara ansuran. Pemiutang bersetuju menandatangani dan menyerahkan Surat Aku Janji untuk tidak menuntut pusaka simati.

AmanahRaya menguruskan pengeluaran wang simpanan ASB Rahman dan berdasarkan pembahagian faraid, Hasmah sebagai balu berhak mendapat 8/64 bahagian, manakala kedua-dua anak lelaki mendapat 14/64 bahagian setiap seorang. Sementara itu, baki sebanyak 28/64 bahagian dibahagikan kepada empat anak perempuan yang masing-masing berhak mendapat 7/64 bahagian. Oleh kerana anak Hasmah berusia di bawah 18 tahun, Akaun Amanah dibuka untuk mereka dan beliau dilantik sebagai penjaga. Berbekalkan wang simpanan diterima, Hasmah memulakan perniagaan kedai makan untuk menyara keluarga dan pendidikan anaknya, pada masa sama membayar semula baki tertunggak pinjaman arwah suaminya.

Abu Said berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah SAW jenazah untuk disembahyangkan lalu Nabi bertanya: Apakah mayat ini masih menanggung hutang? Sahabat menjawab: Ya. Nabi bertanya: Apakah ia ada meninggalkan harta untuk membayarnya? Jawab sahabat: Tidak. Nabi bersabda: Sembahyanglah kamu kepada kawanmu itu. Nabi sendiri tidak ikut menyembahyangkan. Kemudian Ali Bin Talib berkata: Biarlah saya yang membayar hutangnya. Sesudah itu, Nabi segera maju menyembahyangkan, lalu Baginda berkata kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) dari api neraka, seperti mana kamu membebaskan tanggungan saudara muslim, Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) dari api neraka pada hari kiamat kelak.

Oleh itu, seseorang yang berhutang janganlah menangguhkan bayaran apabila mempunyai peluang kerana menangguhkan pembayaran hutang tergolong dalam perbuatan orang zalim dan dia berhak mendapat hukuman Allah atas perbuatannya.

Kesimpulannya:
  • Jika simati disahkan mempunyai hutang, menjadi tanggungjawab waris berhak untuk menjelaskan hutang mengikut jalan terbaik.
  • Pemiutang perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk bersemuka dengan waris si mati bagi mencari kata sepakat menyelesaikan hutang berkenaan.
  • Umat Islam digalak menyenaraikan hutang sedia ada sama ada hutang dengan Allah, manusia dan diri sendiri apabila membuat wasiat supaya wasi dapat menunaikan tanggungjawab selepas berlaku kematiaN

Soalan:

Apabila seorang anak berhutang dengan ayahnya, kemudian ayahnya meninggal dunia. Hutang tersebut masih belum dibayar. Adakah rohnya akan terapung disebabkan perkara tersebut ataupun rohnya tidak apa-apa.Adakah hutang tersebut perlu dihalalkan sahaja sedangkan ibunya masih ada?

Jawapan:

Abu Hurairah menuturkan bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jiwa (roh) seseorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilunasi". (riwayat At-Tarmidzi, Ibn Majah, dan Al-Baihaqi) Abu Said r.a. berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah SAW jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: "Adakah mayat ini masih menanggung hutang?" Sahabat menjawab: "Ya, Rasulullah". Baginda bertanya: "Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya?" Jawab sahabat: "Tidak". Lalu baginda bersabda: "Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu". Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya. 

Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: "Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya". Sesudah itu baginda segera maju untuk menyembahyangkan jenazah sambil berkata kepada Ali: "Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat kelak". (riwayat At-Tabrani) Said ibn al-Athwa mengisahkan: "Ayah kami meninggal dunia dengan meninggalkan 300 dirham, juga keluarga dan hutang. Aku ingin memberikan nafkah kepada keluarganya", lalu Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya ayahmu tertahan oleh hutangnya (rohnya tertahan).  Oleh kerena itu bayarlah hutangnya itu". (riwayat Ahmad)

Inilah di antara hadis-hadis Rasulullah SAW yang memberi peringatan kepada mereka yang berhutang sedang bertemu ajal sebelum melangsaikan hutang semasa hidup.Jelas sekali dalam hadis-hadis baginda, bahawa mereka yang berhutang terpaksa berhadapan dengan hukuman roh yang tidak diterima untuk mendapat balasan.Sebenarnya, keadaan sebegini adalah sangat rumit kerana roh sepatutnya berada di alam barzakh bagi menemui nasib sama ada baik atau buruk. Tanpa mengetahui nasib tempat persinggahan adalah azab.Berkaitan dengan soalan anda, saudara juga akan berhadapan dengan keadaan yang sama sekiranya saudara gagal melangsaikan hutang kepada mereka yang saudara berhutang walaupun hutang itu saudara beroleh daripada ayah sendiri, melainkan hutang itu dihalalkan.

Hutang tetap atas leher orang yang berhutang selagi mana ia tidak dihalalkan. Dalam keadaan sekarang saudara perlu melangsaikan hutang tersebut kepada waris terdekat iaitu bonda saudara, sekiranya bonda juga telah sudah tiada, bayaran itu kepada adik-beradik yang belum baligh, kerana mereka bergelar yatim. Jika adik-beradik semuanya dewasa, maka duit hutang digunakan bagi melangsai hutang ayah jika ada. Sekiranya semua keadaan itu tidak wujud maka duit hutang dimasukkan dalam harta pusaka untuk diagihkan kepada secara faraid. 

Justeru, Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak.Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya.Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang".


Kredit : UtusanMalaysia
             : SuaraHati

Mangsa Kemalangan Sering Dirompak

22 Aug 2010


PADA petang Sabtu, 21 Ogos lalu, satu kemalangan berlaku di satu simpang empat berhampiran rumah saya di Batu Pahat. Kemalangan berlaku antara sebuah MPV Avanza dengan sebuah motosikal. Ketika saya dan suami keluar untuk melihat kemalangan itu, orang ramai telah mengerumuni mangsa iaitu seorang lelaki bersama anak perempuannya. Lelaki dan anak perempuannya tidak sedarkan diri walaupun masih kelihatan bernafas, anak perempuan mangsa mengalami luka di bahagian kepala.

Oleh kerana ambulans tidak sampai-sampai, saya cadangkan suami agar menghantar mangsa ke hospital. Sebelum itu saya telah bertanya kepada salah seorang yang membantu mangsa di mana barang-barang berharga mangsa seperti beg atau dompet, tapi dengan selamba lelaki itu memberitahu saya bahawa barang-barang itu telah diambil oleh abang mangsa, sambil menunjukkan kepada saya seorang lelaki yang berkemeja-T putih menaiki motosikal.

Ketika itu tidak terbayang saya akan kemungkinan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kerana pada tanggapan saya semua orang yang berada di tempat kejadian itu benar-benar ikhlas hendak membantu apa lagi di bulan Ramadan ini. Namun kenyataannya ialah ketika sampai di hospital lelaki yang menjadi mangsa kemalangan itu mula sedarkan diri dan bertanya kepada suami saya di mana dompet duitnya. Nasib menyebelahi lelaki itu kerana telefon bimbitnya masih ada di saku seluarnya dan baru hendak menghubungi keluarganya. Apa yang masih menjadi tanda tanya ialah ke mana hilangnya dompet dan beg tangan anak perempuan mangsa itu?

Namun saya masih berharap, 'abang' mangsa seperti yang diberitahu kepada saya semasa berada di tempat kejadian akan muncul di Hospital Daerah Batu Pahat, jika benar lelaki itu benar-benar abang mangsa. Suami hanya menghantar mangsa dan pulang ke rumah selepas itu. Semalam, saya bercadang menziarahi mangsa kemalangan itu di hospital, namun apa yang menyedihkan ialah mangsa telah meninggal dunia pada pukul 5.30 petang semalam kerana kecederaan dalaman sementara anak perempuannya masih berada di hospital kerana patah paha.

Suami menziarahi anak mangsa dan menurutnya, rantai leher yang dipakainya juga hilang, selain daripada dompet duit Allahyarham ayahnya dan beg tangan kepunyaannya. Apa yang ingin saya kongsikan ialah mengapa ada manusia yang sanggup melakukan perkara seperti itu, memberi bantuan tetapi dalam masa yang sama menggunakan kesempatan dengan 'merompak' orang-orang yang tidak berdaya seperti mangsa kemalangan tersebut.

Saya merayu sangat-sangat kepada yang telah melakukan 'rompakan' tersebut, sedarlah di bulan Ramadan ini orang lain berebut-rebut untuk memperbanyakkan amal jariah dan pahala tetapi anda pula sebaliknya. Sesungguhnya Allah melihat apa-apa yang kamu kerjakan dan ingatlah walau sebesar zarah pun perbuatan baik yang kita lakukan akan Allah balas apa lagi jika kita melakukan dosa sebesar itu.

AISAH

Batu Pahat

Kredit : SuaraHati
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.