SLIDER

Muallaf Kecewa Bersuamikan Penagih Dadah Dan Peminum Arak

9 Jun 2017



KEPUTUSAN Nur Isma (bukan nama sebenar) memeluk Islam sejak lima tahun lalu ketika menetap di negeri Bawah Bayu, tidak pernah dikesali, malah jalan yang dipilih tersebut merupakan satu rahmat bagi dirinya. Malah, perkahwinannya selepas beberapa bulan memeluk Islam dengan jejaka pilihan hati membuatkan hidup terasa lebih indah dan tenang.

Namun, kebahagiaan itu hanya sementara kerana apabila memasuki usia setahun, perkahwinan yang dibina menghadapi badai menyebabkan rumah tangga mereka bergolak. Tambahnya, walaupun dia merupakan saudara baru yang sedang mengenali Islam, tetapi tanggungjawab Amran (bukan nama sebenar) untuk membimbing mengenali Islam lebih mendalam tidak pernah dijalankan.

“Dia tidak pernah mengajar saya untuk solat, apatah lagi berkaitan dengan hukum halal dan haram dalam Islam.“Ketika itu, saya rasakan Islam saya hanya sekadar atas nama sahaja," kata Nur Isma. Bercerita lanjut kisah duka hidupnya sebagai isteri seorang penagih dadah dan peminum arak, sepanjang perkenalannya dengan Amran selama dua tahun dia tidak pernah mengesyaki lelaki itu adalah seorang penagih dadah.

“Mengenalinya sebelum kami berdua disatukan, saya sangat menyenangi sikap Amran yang bertanggungjawab dan penuh dengan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bahagi. “Namun, itu semua lakonan semata-mata kerana selepas setahun berkahwin Amran bukanlah seperti lelaki yang saya kenali dahulu.“Dalam diam dan tanpa pengetahuan saya, Amran rupanya adalah seorang penagih dadah dan sering pulang ke rumah dalam keadaan mabuk kerana mengambil minuman keras .

“Jika kesempitan wang untuk membeli bekalan dadah, saya menjadi mangsanya. Segala duit yang ada pada saya akan dirampas. Jika saya tidak dapat memberinya wang, saya akan dipukul dan ditampar tanpa belas kasihan.“Dalam pada itu, ketagihan pada minuman keras juga semakin menjadi-jadi menyebabkan semua wangnya habis dibelanjakan untuk memenuhi kehendaknya itu," katanya.Ujar Nur Isma lagi, Amran hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami memberikan nafkah pada awal perkahwinan sahaja.

Lelaki yang diharap dapat menjadi pelindung dan teman ketika meniti usia tua itu rupanya telah memusnahkan hidup dan masa depannya.“Saya tidak meminta lebih daripadanya kerana saya tahu gaji seorang buruh kontrak tidak selumayan mana. Namun, lama-kelamaan Amran semakin lupa tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.“Nasib baik saya juga bekerja sebagai juru jual di sebuah pasar raya yang terletak berhampiran rumah. Gaji saya habis digunakan untuk membeli barangan keperluan rumah dan membayar bil-bil yang berkaitan," katanya.

Selepas setahun lebih berkahwin, akhirnya mereka dikhabarkan dengan berita gembira apabila Nur Isma disahkan mengandung setelah sekian lama menunggu.“Saya harapkan berita gembira kami bakal mendapat zuriat akan memberi perubahan pada Amran tetapi sebaliknya pula yang berlaku kerana ketagihan pada dadah dan arak semakin menjadi-jadi.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah apabila usia kandungan mencecah lima bulan, saya telah dipukul dan diterajang oleh Amran kerana berlaku salah faham yang kecil. Mujur kandungan selamat, hanya bahagian badan sahaja yang lebam-lebam," katanya.Tambahnya, dalam tempoh tersebut dia terpaksa bersabar kerana mengenangkan anak dalam kandungan dan sayang pada suami yang tidak pernah berkurang.

Selepas melahirkan anak sulung, ternyata Amran masih dengan sikap lamanya, malah langsung tidak menghiraukan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.“Kerana tidak tahan dengan keadaan tersebut dan seringkali dipaksa untuk memberikannya wang bagi membeli dadah, saya mengambil keputusan membawa diri ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat memulakan hidup baru di sana.“Sementara itu anak perempuan kami, saya tinggalkan buat sementara waktu di bawah jagaan ibu mentua di kampung," katanya.

Tambahnya, di Kuala Lumpur, Nur Isma bernasib baik kerana diterima bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel. “Namun, pemergian saya ke Kuala Lumpur secara senyap diketahui suami dan dia berjaya menjejaki saya. “Kedatangannya ke sini menyebabkan hidup saya kembali terganggu kerana kerana bukan sahaja terpaksa membenarkan Amran berteduh di bilik yang disewa, malah dia tetap tidak berubah meminta wang daripada saya.

“Kerana tidak tahan dengan sikapnya dan tidak sanggup lagi menanggung beban, akhirnya saya mengambil keputusan memfailkan perceraiaan di pejabat agama.“Buat masa ini saya masih menunggu keputusan dari mahkamah. Saya sangat berharap kehidupan saya kembali bermakna selepas perceraian ini," katanya mengakhiri bicara.

Kredit : UtusanMalaysia




Jatuh Cinta Pada Kakak Angkat, Janda Anak Dua

8 Jun 2017



Assalamualaikum pada semua forumer.saya masih baru kat forum ni. saya ada masalah dan nak minta pendapat pada rakan-rakan forumer yang lain.Sebelum saya cerita masalah saya, biar saya cerita latar belakang diri saya. Umur saya 30 thn.berkerja di sebuah kilang kat Shah Alam. Masih bujang.  Saya seorang yang pendiam, so salah satu cara saya nak luahkan masalah saya join forum ni sebab saya malu nak cerita masalah saya pada kawan-kawan saya secara berdepan.

Masalah saya sekarang saya jatuh cinta dekat kakak angkat saya. Kakak angkat saya ni satu sekolah dengan saya.Actually kami lost contact lebih kurang 15 tahun. Masa bulan puasa tahun lepas dia ada pm saya via fb. Rupanya dia cari saya via fb.So sejak hari tu kami rajin la juga bermesej.Saya sendiri pun dah lupa sebenarnya dia pernah jadi kakak angkat saya.


Saya rasa macam mula jatuh cinta pada dia, tapi saya tak berani nak luahkan sebab masa awal-awal dia mesej saya tu dia ada la cakap dia dah kawen 10 thn ada anak 2 orang. Saya pun tak berani lah nak simpan apa-apa perasaan. Sebab saya tahu berdosa bercinta dgn isteri orang. Lagipun saya baru je frust dgn bekas kekasih bulan mei 2015, so tak nak la frust kali kedua.


Tapi masa awl tahun ni dia baru berterus terang sebenarnya dia single mum with two kids. Anak-anak dia berumur 6 dan 7 tahun.  Apa yang menariknya tentang dia dia tak sedikit pun cita keburukan bekas suaminya. Saya cuba korek punca dia diceraikan, tapi dia tak cerita apa pun. Rupa-rupanya dia diceraikan kerana suaminya mempunyai kekasih baru yang dipilih oleh ibu bapa bekas suaminya. Kakak angkat saya ni bukan menantu pilihan kerana keluarga mentuanya mahukan menantu yang senegeri dgn mereka. Itu pun saya tahu bila adik pada kakak angkat saya ni cerita. Sejak dari saya tahu dia solo, saya makin sayang pada dia. 

Tapi dia menolak atas alasan dia single mum dan umur kami berbeza 5 tahun(umur dia 35). Dia mengaku dia pun cintakan saya,tp dia ckp dia terpaksa lupakan saya, kerana dia tak layak untuk bercinta dengan saya. Saya tak kisah pun status dia asalkan dia bukan isteri orang. Saya tak kisah pun umur dia lebih tua dari saya. Saya suka cara dia, bila berbual dengan dia saya rasa tenang.dia banyak bagi saya nasihat dalam pelbagai aspek contohnya berkenaan cara untuk mengatasi masalah kat tempat kerja.

Sebenarnya saya sendiri pun rasa saya tak layak dengan dia. Dia berkerjaya tetap dan sedang melanjutkan pelajaran peringkat PHD, tapi dia sangat-sangat down to earth. Kehidupan dia agak stabil, dia dah ada kereta dan rumah sendiri, sedangkan saya ni cuma ada motor EX5 je. Belajar pun setakat SPM je.  Saya mahu mengambil dia sebagai isteri saya. Saya menjadi makin risau apabila adik dia bagi tahu yang bekas suami kakak angkat ajak berkahwin semula.  

Saya juga risau mak saya tak boleh terima dia sebagai menantu kerana statusnya sebagai seorang single mum dan umurnya yang lebih tua dari saya. Mak saya memang dah kenal dia sejak kami sekolah lagi, tambahan pula kami pernah tinggal di taman perumahan yang sama.Tapi saya tak yakin mak saya boleh terima dia. Saya nak tanya pendapat forumer-forumer, apa yang patut saya lakukan. Saya betul-betul sayangkan dia. 

Terima kasih di atas pendapat semua.

Kredit : explorasa


Mesej Padu Buat Pembuli, Bekas Pembuli Dan yang Seangkatan Dengannya




Tolong baca sampai habis... 
 
aku mangsa buli, aku tak pernah cerita benda ni kat orang... lepas tgk kes buli pakai sterika panas ni... aku rasa aku kena buat sesuatu sebab mamat ni macam kawan aku yg mati kena buli disekolah berasrama penuh... boleh je aku nak petik nama sekolah agama berasrama penuh ni... tapi malas aku nak panjang cerita~ kat sekolah agama pun bebudak pembuli ni boleh bunuh orang lah~ bukan setakat institusi tinggi yg disebut sebut ni...

4 years it takes for my best friend tuk mati. Internal organ banyak yg rosak paru paru dan semua... ...dari asbab kena belasah beramai ramai ni... each raya aku akan lawat mak dia... ramadan ni sekali lagi kes macam ni timbul... semoga arwah arwah ini ditempatkan dikalangan orang beriman...Di asrama masa belajar aku sering kena pukul,

Meh aku definisikan pukul tu macamana: kena lempang sekuat kuatnya, kena tendang sekuat kuatnya, kena tumbuk sekuat kuatnya, kena pijak~ kepala kena pijak kat atas simen... bukan atas bantal... kena tendang, kepala kena sepak macam bola sepak, ( dia buat macam nak ambil penalty)the next day lepas kena pukul selalu aku akan muntah darah pernah sekali darah keluar kat telinga....sebab apa? Alasan membelasah adalah mereka kata badan aku sedap, dan aku tak ikut cakap senior kena basuh baju ambil teh la apa bagai...kata aku kurang ajar tak hormat.kerek la, poyo tade lagi time tu.. aku dah macam malaikat dah masa tu depa kata aku kurang ajar~ apa bagai dalam words aku kat atas tu aku leave to your imagination... 

Aku dah cuba mengadu, azab duduk asrama ni... belajar tak menentu penuh ketakutan dan tade sapa peduli... cakap pada ibu ayah pun macam tade beza... sebab depa tak akan bantai muka kau... lebam sikit sikit tu biasa kat muka... maybe mak ayah aku pun tak tau apa nak dibuat...anak sulung.

Masa kena pukul apasal kau tak lawannn~ ahahahha kau tak kena beduk reramai dalam gelap boleh la kau cakap tak melawan~ kau melawan arwah dah kau tak dapat pun nak bukak ladang alam warisan dah tak sempat nak form yayasan pendidikan malaysia dah ... tak sempat bru... arwah dah kau kalau kau melawan. Macam kena rasuk setan masa tu...

Tak kuasa nak melawan sebab mereka akan lauk kau dalam gelap... so kau tadah ajalah... redha dan masa tu kau fikir mana Allah... kau sebut Allah Allah pun~ lagi naik antu depa... so kau diam je... nanti depa tgk la kau pengsan ke tak... aku banyak kali pitam nak pengsan tapi aku kawal kena sedar selalu sebab silap aribulan mampus aku ... tak pun koma... 

Masa ni kau tertanya apa sebab kau dilahirkan dibesarkan penuh pengharapan kasih sayang mak abah kau... and that particular moment kau yg kononnya nak belajar jadi orang berguna... makan tapak kaki dan penumbuk orang sahaja... what a shitty event...and it happened almost dua kali seminggu... so kau boleh budget bila kawan kau akan beritahu kau senior panggil~ so kau akan kena laukkk~masa tu kau mengucap je lah banyak banyak~ kot mampus time tu kan... ko gelak bila baca... tak kena kat batang hidung sendiri ok la...

Masa kena pukul kau akan kena maki kau akan kena gertak kau akan kena carut dan semua kata kata buruk akan keluar~ paling banyak doa suruh kau mampus la masa kau kena pukul tu...kau tau ke apa rasanya bila reramai suruh kau mampus...dengan kaki dan penumbuk? Lepas kau lembik kau akan dicampak keluar... kau bawak diri kau, kau basuh luka kau darah kau dan hingus kau tepi paip then kau ambil wuduk duduk surau... tak semayang pun sebab rusuk kau macam kena hiris bila nak rukuk... so masa tu kau berdoa, dalam pening... kau doa Allah balas balik apa yg depa dah buat.... aku anak sulung tade abg... mana aku nak mengadu... masa tu tade fb lagi... henset pun tade... nak ngadu kat sapa? Allah je laaaa...

Apa daaa gi surauuu~ gi jumpa warden la~mengadu.... ahahahaa kau gila???? Malam tu kau tido kat mana? Dorm kau kan... tepi katil kau depa dah tunggu... tak dapat kat dorm dalam bilik air... tak bilik air kat luar masa outing...ahahahaha korang jangan poyo la kata hadap jelah... kalau dah 15 orang kau nak kena hadap~ kawan kawan kau tgk aja... ko rasa ko nak buat apa? Aku feel arwah ni... aku dapat rasakan apa yg dia lalui....azab... menitik air mata aku...sorry emo... yelah anak orang mati kan...aku nasib baik tak mati je...aku ada anak dua sekarang... susah aku nak besarkan mereka... 


Aku pendekkan cerita...

Form 4 aku keluar asrama... sebab aku jadi manusia paling buas... masa tu ringan je tangan ni... rasa lepas join team rugby semua orang aku nak pukul~ even senior senior pun aku nak pukul...lawan stj bukan nak main rugby tapi nak belasah orang... masa tu aku baru kenal kekuatan...  Aku keluar asrama sebab tak nak aku pulak jadi orang yg meneruskan tradisi ini... it stop with me... I become a person with so much rage...aku penyayang sebenarnya... tapi ada benda kat dalam yg buat aku jadi pemarah dan pendendam...

Deep inside its like a feeling where kalau aku dapat cari semua yg pernah buli aku aku akan sembelih dan hirup darah mereka...really... sekarang dah kurang~ paling kuat kalau jumpa aku tumbuk je muka dia... sembelih kang masuk lokap lak...At the same time i become a person yg sangat rendah self esteem... rasa rendah diri, tak yakin dengan diri sendiri... it damaged me as a young teenager...Then masa matriks aku jadi ketua pelajar~ masa tu dah jadi lain.... i learn to lead n to help people in need...aku guna kekuatan tuk tolong orang lemah orang teraniaya... 

Masa ni adik aku lak kena buliiii~ masa belajar kat matriks ni umur dalam 18 tahun...aduii jilake. Ahahahah terus ilang sabar, yelah aku dah terbayang adik aku jadi arwah kottt~ Aku tanya nama sapa buat apa kat adik aku... dia beritahu.... aku buru aku cari terus bagi pelempang... kecik je budak dia muka mulus gila... ini pembuli? Ahahaha korang jangan tak tau... muka innocent hensem baik tu lah pembuli... muka pecah rumah tu segan nak jumpa orang... then aku warning satu dorm form 4 tu... sapa buli orang tak akan report polis aku tak akan tunggu luar, aku akan datang aku akan masuk dorm aku akan baling budak pembuli ni kebawah...masa ni baru 18 tahun....(gertak aja ... belum tentu aku buat lagi... tapi kalau buat tak tentu lagi~)

i made my point~ gigil semua budak budak tu... aku rasa suara aku ni yg kenal aja akan tahu macamana bunyinya... adik aku pun tak tau aku buat benda ni sebab aku tak nak dia takut... Alhamdulillah tade dah kes macam ni berlaku...aku cakap kat senior senior... budak budak junior ni semua ada nombor telefon aku... mereka mengadu aja~ aku kutip... so sejak dri tu tak pernah la ada budak mengadu kena buli sampai adik habis belajar... 

masa universiti aku jumpa satu group... group ni ubah aku jadi leader bagi semula keyakinan diri untuk terus hidup sebagai manusia berguna... Sejak jadi anak ledang belajar aku makin baik, aku jadi orang paling cemerlang pelajaran dan kepimpinan masa di uitm... dapat anugerah la, tan sri ibrahim abu syah bagi... Alhamdulillah...Masa di uni aku banyak tolong orang susah dan backup orang gaduh... most of my friend tak tahu benda ni... tapi kaki gaduh ni biasalah aku buat secara part time... that rage perlu di channelkan be benda yg sepatutnya...thehehe...now dah tade... That rage dah dichannelkan ke tempat lebih baik... tapi jauh disudut hati aku still trauma...

Aku meniaga~ alhamdulillah...rezeki ada...

Sekarang saya tubuhkan satu yayasan nama dia Yayasan Pendidikan Malaysia...untuk mendidik anak bangsa... banyak lagi yg kita nak buat, dan kena buat, pelajaran dah ada kementerian yg cover namun usaha mendidik anak bangsa ni tade... ada ke orang yg mendidik sekarang? Mengajar adalah... cikgu pun naik fed up dah tgk perangai budak budak ni kat sekolah... kat universiti pun... kurang ajar lain macam~ dalam tweeter instagram selamba badak je kutuk guru kutuk lecturer... kutuk tade apa lagi, siap tumbuk cikgu~ haiihhh~ sebab tiada didikan... semua ttg konsep akademik cemerlang tapi tidak kepada pendidikan tentang kehidupan... terlalu academic oriented dan exam oriented... budak jadi stress~ output? Bully la apa lagi....

Aku buka ladang alam warisan... dekat ladang ni kami buat motivasi bagi budak budak ni berani...ajar tentang kehidupan ajar tentang adab... tentang agama.. pesan pesan pada mereka...jadi manusia jangan jadi kambing... alhamdulillah berjalan 6 tahun dah... target aku sekolah berasrama penuh dan sekolah asrama. tapi its too small... kena buat gerakkan lebih besar lagi... kena tap audience yg lebih luas lagi...korang mangsa bully kena tolong aku...

Belajar tinggi tapi bodoh~ maaflah kasar ayat aku ni... tapi belasah sampai berstrerika sampai mampus tu tahap bodoh la tu... bahasa apa pulak nak diberi lagi... ini reality pelajar hari ini... Aku harap kita semua, dapat didik anak anak bangsa, dekat sekolah rendah sekolah menengah dan peringkat institusi pengajian tinggi... buli ni kena diberhentikan... kasih sayang perlu dipupuk, keberanian perlu diterapkan dengan didikan yang betul... dengan adanya satu pasukan yg khusus memantau masalah buli boleh ditangani... saya Yakin dengan Allah swt... ini untuk masa depan anak anak kita...

Kita nak create satu system yg budak budak ni boleh adukan apa sahaja kes buli pada kita... kita akan bantu secepat mungkin dengan bantuan pihak berkuasa... pihak sekolah dan universiti boleh bekerjasama... we need help to salve this issue... they need to feel yg mereka ada orang yg akan bertindak bagi pihak mereka... Ibu ayah rakan taulan... jadi jangan bercakap ttg masalah... lets find a solution... kepada anak muda jum kita fikirkan sesuatu.... kepada bekas pembuli(yang dah insaf) dan mangsa buli... idea kalian amat saya perlukan...share this posting... maybe akan ada idea idea bernas yg boleh kita laksanakan bersama...

Kepada pembuli yang pernah buli orang~ pijak pijak orang... korang tunggu je balasan Allah... kalau nasib tak baik kita berjumpa... memang la patah hidung tu nanti... bukan sebab apa terlanggar je, tersadung...thehehhehe doalah banyak banyak anak anak korang tak kena... so if u dont want your son or doughter to be the next victim, bertaubatlah... zaman ada fb ni kau carik balik sorang sorang yg kau pernah lauk. Pergi minta maaf.. kalau berani laaa... We need to stop this... anak kalian maybe the next victims... ingat buli bukan setakat pukul... mereka even boleh seksually abuse your children... part ni aku malas nak kupas sekarang... pendidikan dan peringatan berterusan amat kita perlukan... pendidikan...kena sentuh hati mereka ni...hati yg sepi...

Kepada mangsa bulli i feel you...

Datang la ladang kita ubat sama sama hati kita... Kepada yg dibuli, kalau aku yg tade apa ni boleh berjaya, korang apatah lagi...jangan down jangan putus semangat... jangan bersedih... ramai kawan kawan ni....adik adik jangan takut ramai abg akak leh bekap adik~ speak up reach out to us di ladang dan yayasan pendidikan malaysia.

P/s:korang baca sampai sini terima kasih... sebab korang ada jiwa ada nurani... ayat ni ayat tak rasmi... sebab aku bercakap ngan kawan kawan aku aja... ini social media... bukan platform rasmi... maaf kalau ada yg terasa...

20 Tahun Diganggu Jin Saka Malah Dirogol




Gangguan jin saka adalah perkara yang boleh dikatakan kerap juga berlaku dalam sesetengah keluarga masyarakat Melayu. Ia adalah keadaan bila mana seseorang itu dihuni tubuhnya atau didampingi oleh jin (berbagai jenis) sama ada dia sendiri mahukan perkara itu atau dia terperangkap (oleh perbuatan oranglain), atau atas faktor keturunan. Seorang guru wanita yang telah berkahwin lebih 3 tahun (tapi belum dapat anak) kini sedang diganggu saka dan masih dalam peringkat berubat. Punca saka itu adalah dari bapa mertuanya (kini sudah meninggal). 

Khabarnya semua adik-beradik suaminya juga diganggu oleh saka tersebut. Gangguan itu agak menyukarkan juga. Petik suiz lampu tidak menyala, terdengar bunyi seakan anak kucing mengiau, bunyi seperti orang main guli, bunyi kerusi ditarik, bunyi mencakar-cakar, termasuklah rumah berdentum dan bergegar. Hal itu menyeramkan bulu roma hinggakan guru wanita itu tidak berani balik ke rumahnya sekembali dari kerja. Dia duduk di masjid sementara menunggu suaminya pula pulang dari kerja (suaminya kerja hingga jam 10 malam). Di waktu malam pula, walaupun suaminya ada di sisinya, dia tetap diganggu dengan berbagai bunyi hingga sukar untuk tidur.

Itu hanyalah satu kisah benar dari beberapa kisah benar lain yang mungkin tidak perlu saya catat dalam artikel ini kerana tujuan saya menulis hal di atas tadi hanyalah sebagai pengenalan kepada isi sebenar yang akan anda baca selepas ini. Saya juga telah berbincang dengan agak panjang lebar dengan ustaz mentor saya berkaitan hal saka ini dan mungkin saya akan tulis di Megasutra bila ada kesempatan, insyaAllah. Selamat membaca - IbnuYusof.

-----------

'Saya dan adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling'


"SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup 'mengorbankan' keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam."

Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dihantui Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka itu. 


Ikuti luahannya:
Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun. Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar.

Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling.
Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak.

Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam.

Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing.

Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar. Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung.

Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan.

Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat.

Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir.

Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.

Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga kami ketakutan.

Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada 'belaan' keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah.

Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat. Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit.

Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik.

Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk - selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar.

Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar:

"Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai 'wali' ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan 'khadam' untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun.

"Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan. Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain.

"Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah," katanya.

Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadangkala bermimpi melahirkan anak kecil.

Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam.

Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang 'ia' sudah mati dan hendak memeluk saya.

Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam.

Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan.

Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.

Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan.

Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat.

Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi 'amalannya' diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan.

Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu.

Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.

Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.

Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat - perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang.

Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.

INFO: Saka
1. Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi.
2. Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam.
3. Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam.
4. Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran

Kredit : addychini


Suami Kerja Jauh, Isteri Kesunyian Mencari Teman Mengisi Jiwa Kosong



SUDAH hampir setahun suaminya berkhidmat di sebuah negara di kutub utara. Tinggallah Zamira (bukan nama sebenar) bersama tiga anaknya di ibu kota meneruskan kehidupan seperti biasa. Faktor tidak biasa dengan cuaca terlalu sejuk membuatkan Zamira memilih membesarkan anak-anak di negara tercinta sahaja. Jika sebelum ini dia hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, Zamira juga memilih untuk bekerja bagi menghilangkan rasa bosan di rumah.

Wanita berusia 31 tahun ini akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi. Anak-anaknya berusia lingkungan lima hingga lapan tahun juga sudah mula ke sekolah, dek kerana cita-cita tertangguh dahulu, Zamira turut mendaftarkan diri sebagai pelajar sambilan di sebuah universiti tempatan mengambil jurusan pentadbiran perniagaan.

Hidup Zamira memang penuh dengan aktiviti, setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 7 malam dia akan berada di pejabat. Bila balik pula dia menguruskan kelengkapan anak-anak untuk ke sekolah esok hari dan hujung minggu pula Zamira menghadiri kelas menuntut ilmu di peringkat ijazah. “Suami memang ada menyarankan saya memenuhi masa supaya saya tidak akan rasa bosan dan merinduinya. Memang semenjak bercinta kami tidak pernah berenggang dan langsung tidak pernah berpisah walau untuk sehari. 

“Jadi setelah suami ditugaskan ke luar negara sesuatu yang amat sukar bagi saya melepaskannya. Atas sebab itu saya disuruh suami menyambung pelajaran dan bekerja supaya ada rakan-rakan yang dapat menghiburkan hati," cerita Zamira di awal pertemuan kami. Mujurlah juga Zamira mempunyai seorang pembantu rumah yang baik hati dan jujur jadi Zamira tidak mempunyai tekanan memikirkan keadaan rumah dan anak-anaknya di rumah.

Dek kerana jauh, suami Zamira hanya akan pulang ke tanah air kira-kira lima bulan sekali. Kerinduan Zamira dan anak-anak pada suami dilepaskan semata-mata menerusi internet atau panggilan video. “Hampir setahun suami berkhidmat di sana saya semakin boleh mengadaptasi kehidupan tanpanya. Kalau dulu saya tidak boleh memandu, kini saya sudah berjaya memiliki lesen memandu dan suami juga membelikan saya sebuah kereta mewah semata-mata untuk menggembirakan hati saya yang berkorban menjaga anak-anak sepanjang peninggalannya ke luar negara.

“Semakin seronok saya bergaya dengan kereta dan kerjaya yang memerlukan interaksi dengan orang ramai. Hingga pada satu hari saya bertemu dengan seorang pelanggan lelaki yang berusia dalam 30 tahun. Pada awalnya hubungan sekadar pelanggan, lama-lama kami berkawan pula. Dia mengajak saya keluar minum dan tanpa ragu saya menerima pelawaan," imbas Zamira. Biarpun sibuk dengan pelbagai aktiviti, Zamira mengakui jiwanya begitu kosong tanpa teman yang bernama lelaki. Bila semakin lama suaminya di luar negara, perasaan kebergantungan menjadi semakin nipis dan Zamira kini sungguh berdikari. 

“Walaupun baru dua kali keluar minum dengan Irfan (bukan nama sebenar), saya tidak mampu menidakkan rasa hati. Saya tahu saya mula sukakannya, bukan bermakna saya mahu bercerai dengan suami, tapi saya menganggap Irfan teman di kala sunyi semata-mata dan tidak lebih dari itu. “Irfan bukanlah jejaka persis hero tempatan tapi bagi saya dia mempunyai daya tarikan tersendiri. Walaupun dia lebih muda dua tahun dari saya, kematangannya terserlah. Pengetahuan amnya juga luas, dari perbualan dengannya saya tahu dia seorang yang kuat membaca. 

“Paling saya tertarik dengannya ialah sikapnya yang sungguh mengambil berat. Satu hari kereta saya rosak, Irfan pantas datang menghulur bantuan, perasaan saya padanya semakin hari semakin kuat hinggakan saya lebih banyak berSMS dengannya daripada suami sendiri," akui Zamira. Dua bulan berlalu selepas mengenali Irfan, Zamira merasakan kehidupannya sungguh ceria. Jiwanya rasa seakan gadis yang baru mula mengenali erti cinta, satu perasaan yang mengujakan Zamira setiap hari dan dia bersemangat ke pejabat semata-mata untuk makan tengah hari bersama Irfan.

Tersedar dari khayalan

Kemesraannya dan Irfan menyebabkan Zamira ada terdetik di hati untuk berkahwin dengan Irfan. Dia mula merancang strategi mencari alasan berpisah dengan suami. Hinggalah pada satu hari anak sulung Zamira diserang demam denggi, betapa paniknya Zamira kerana terpaksa menguruskan anaknya di hospital seorang diri. “Di hospital melihat begitu ramai orang sakit, sayu pula hati saya. Makin saya terharu melihat pengorbanan seorang ibu yang menjaga anak dan suami yang sakit di hospital. Begitu tabah ibu itu yang usianya seakan kakak saya sahaja. Berkongsi cerita dengan kakak tersebut, umpama menyedarkan saya daripada khayalan sendiri.

“Ketika itu saya mula mengenang kesilapan diri, betapa jauh saya terlanjur walau tidaklah sampai berdua-duaan dengan Irfan di tempat sunyi tapi saya merasa seakan besar beban dosa yang saya tanggung. “Ketika menjaga anak di hospital, Irfan ada beberapa kali menghubungi tapi saya tiada hati untuk menjawabnya. Kepada suami saya adukan kegusaran hati tentang anak yang sakit dan akhirnya saya sedar kekhilafan diri.

“Saya mengelak berhubung dengan Irfan dan akhirnya saya memilih untuk berhenti kerja. Saya menukar nombor telefon dan memutuskan hubungan dengan Irfan walaupun di laman sosial. Sementara menunggu notis berhenti, anak saya juga semakin sihat dan pembantu rumah saya juga mahu berhenti kerja kerana akan bernikah. “Bagaikan satu hikmah yang terbaik disusun yang maha pencipta, saya akhirnya kembali kepada fitrah seorang isteri. Biarpun sudah berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga saya rasa puas kerana dapat berbakti untuk suami.

“Suami saya tidak pernah mengetahui tentang apa yang telah terjadi dan menerima keputusan saya dengan hati terbuka, itulah yang terbaik untuk kami.

Kredit : UtusanMalaysia


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.