SLIDER

PHD, 17 Kesalahan Dan Kesilapan Pelajar Sebagai Panduan

16 Jun 2017


Ijazah PhD bukanlah suatu ijazah yang mudah diperoleh. Ia melalui satu proses pembelajaran dan penyelidikan yang tinggi mutunya sesuai dengan status ketinggian ijazah tersebut. 
Nota Editor: Artikel ini dikongsikan oleh saudara Norshahkang Shuaib Sekadar yang menceritakan tentang pengalaman dan pandangan mengenai kesalahan pelajar PhD.

17 KESALAHAN PELAJAR PHD

Semasa dalam fasa terakhir pengajian PhD, saya tersedar kesilapan-kesilapan yang pernah saya buat dari hari mula pengajian. Waktu ini baru sedar betapa serabutnya pengurusan fail, betapa ruginya masa-masa terluang sewaktu tahun pertama, betapa silapnya mentaliti ‘suka membandingkan’ dan sebagainya.
Apabila bersembang dengan rakan-rakan lain, mereka juga buat kesilapan yang hampir sama. Bersembang dengan pelajar PhD dari tempat lain juga, sama! Nampaknya memang kesilapan-kesilapan ini adalah sesuatu yang general dan berlaku kepada ramai orang.
Jadi saya fikir, elok dihimpunkan semua kesilapan yang saya dan rakan-rakan pernah buat untuk pedoman bukan sahaja pelajar PhD, tetapi semua orang terutamanya mereka yang berkecimpung dalam bidang akademik/research.
Saya sertakan juga solusi untuk setiap kesalahan ini.

1. Suka membuat perbandingan kehidupan

Bila jumpa pelajar lain, asyik membandingkan susah senang anda dan mereka – lalu menyebabkan motivasi diri sendiri jatuh. Contohnya tengok kajian orang lain nampak senang dan mula berfikir “Kenapalah aku punya kajian susah!” – padahal setiap cabaran pelajar itu berlainan. Ada yang pening kerana eksperimen tak menjadi, ada yang pening dengan perangai supervisor dan lain-lain.
Solusi: Lain orang lain cabaran jadi jangan buat diri sendiri rasa lemah/loser melalui perbandingan. Seperkara lagi, tak semua orang tunjuk kesusahan hidup mereka di media sosial sebab itu kita seolah-olah nampak orang lain hidup senang. Semua orang ada kesusahan sendiri.

2. Takut untuk berfikir luar kotak

Ada yang takut untuk berfikir idea (untuk eksperimen, hala tuju kajian, hujah dan sebagainya) lain daripada yang lain sebab takut dikatakan merapu/bodoh oleh supervisor. Padahal, sesetengah idea yang lain ini boleh membawa kepada penemuan yang menarik.
Solusi: Jangan takut untuk mencadangkan idea yang anda terdetik dalam kepala kepada supervisor. Saya sendiri pernah mencadangkan berpuluh-puluh idea kepada supervisor – ada yang diterima, ada yang ditolak, ada yang ditertawakan dan sebagainya. Biasalah tu, nama pun ‘lontaran idea’ yang datang secara random.

3. Tiada rancangan alternatif

Hanya ada satu rancangan dan tak pernah ada backup plan kalau-kalau eksperimen, survey atau data collection tak menjadi/rosak dan sebagainya. Akibatnya, bila segala rancangan asal tidak menjadi, terkapai-kapai tak tahu nak buat apa. Kemudian, mulalah nak gelabah.
Solusi: Pastikan fikir backup plan untuk kecemasan. Kalau eksperimen A tak boleh, cuba eksperimen B. Kalau orang A tak boleh bantu, pastikan ada orang B.

4. Tidak menulis dari awal

Proses penulisan sepatutnya bermula awal untuk memastikan anda sentiasa memperbaiki tulisan dari masa ke masa. Bila tak mula awal, proses penulisan jadi sangkut sebab kualiti tak sampai. Hujah lemah. Struktur hancur.
Solusi: Mula tulis tesis seawal mungkin, kalau boleh waktu tahun pertama. Boleh mula dengan perkara asas seperti literature review atau methodology. Saya cuba menulis kertas jurnal hanya selepas dua bulan mula PhD, tetapi ternyata gagal kerana kualiti sangat hancur. Tetapi kertas jurnal yang hancur ini dibaiki hampir setahun lamanya dan akhirnya diterbitkan di proceeding yang diiktiraf Scopus (menjadi sebahagian daripada tesis). Menulis dari awal juga adalah strategi saya habiskan PhD kurang dari 3 tahun.

5. Pengurusan fail tidak efisen

Komputer penuh fail dengan pelbagai nama, folder bersepah-sepah, tidak disusun dengan baik. Kalau fail dinamakan dengan baik sekalipun, ia tidak konsisten. Perkara ini menyebabkan anda susah mencari dokumen, terutamanya untuk proses penulisan tesis akhir.
Solusi: Gunakan penamaan fail secara konsisten. Jangan malas untuk namakan fail dengan betul dan taip ‘fhwsdsf.doc’ sebab nak cepat. Anda akan menyesal di kemudian hari.
(Sampai habis PhD pun ada nama fail-fail saya yang masih serabut dan susah nak dicari untuk rujukan sekarang. Menyesal tak tulis dengan elok).

6. Mentaliti bangku universiti

Mentaliti dibawa dari zaman degree atau masters. Mengharapkan orang suap maklumat dan buat kerja saat akhir.
Solusi: Sebelum bermula PhD, harus faham bahawa pengajian PhD kaedahnya berlainan degree. Anda harus pandai berdikari. Tugasan waktu zaman degree banyak yang ‘asalkan siap’ tetapi dalam tugasan dalam PhD sangat mementingkan kualiti. Jika kualiti tak sampai, anda akan gagal. Oleh itu, mula kerja awal supaya anda ada masa untuk baiki tugasan (tesis).

7. Berlengah-lengah

Waktu first year dianggap honeymoon. Yang di luar negara, jalan-jalan terlalu banyak.
Solusi: Mula kerja awal dan istiqamah (tak selalu sangat ambil cuti panjang). InsyaAllah akan ada masa kosong di antaranya yang membolehkan anda bercuti dan berehat.

8. Lari dari supervisor

Disebabkan kerja banyak tak siap, asyik lari dari supervisor. Bila supervisor ajak jumpa dan minta hasil kerja (tulisan tesis dll), beri banyak alasan. Akibatnya, diri sendiri rugi.
Solusi: Supervisor (terutamanya yang berpangkat Profesor) sangat sibuk dan kadang-kala tak boleh jumpa selalu. Kalau mereka ajak jumpa, manfaatkan dengan minta feedback dan bincang masalah yang anda ada.

9. Terlalu rendah diri

Selalu rasa tak pandai dan takut untuk bersuara kalau ada group meeting atau berhadapan dengan supervisor. Bila menulis, rasa takut nak bagi orang baca sebab rasa malu. Akibatnya, tak ada orang boleh bantu dan merana seorang diri.
Solusi: Tak ada orang yang terus jadi pandai dalam sesuatu bidang. Menjadi bodoh itu biasa dan jangan takut untuk jadi bodoh. Yang penting, kerap diri baiki dan bergerak ke hadapan. Bersedia untuk dedahkan kelemahan diri kepada supervisor dan rakan PhD supaya mereka boleh beri nasihat.

10. Kurang pemahaman tentang aspek teknikal

Tak faham perkara-perkara asas dalam PhD – contohnya apa itu abstract? apa itu research methodology? apa itu novelty dan sebagainya. Apabila masuk ke proposal defence atau viva, jadi gelabah bila examiner tanya.
Solusi: Pastikan aspek teknikal PhD boleh difahami secara asas. Ada banyak buku yang bercerita tentang hal-hal sebegini. Rakan-rakan senior PhD juga boleh bantu untuk terangkan.

11. Menjadi terlalu teknikal

Menjadi robot kerana buat PhD berdasarkan panduan/software tertentu yang bersifat ‘rigid’. Akibatnya menyusahkan diri sendiri. Contohnya tak boleh buat kerja sehari sebab software Endnote (untuk referencing) rosak. Jadi sehari duduk sahaja sebab terlalu bergantung kepada Endnote. Padahal Endnote sekadar pemudah cara dan tanpa ia, kerja PhD masih boleh berjalan sebenarnya
Solusi: Jangan bergantung kepada teknik atau software tertentu sahaja. PhD itu bersifat unik. Tak semua orang buat PhD gunakan teknik yang anda pelajar dari bengkel, buku dan sebagainya. Be flexible!

12. Lemah penguasaan asas komputer

Tak tahu perkara asas dalam software penting seperti Microsoft Word. Contohnya tak pernah tahu kewujudan page break dan navigation.
Solusi: Cuba kuasai perkara asas dalam software asas yang anda pakai supaya melancarkan urusan kerja tanpa perlu nak rujuk buku panduan. Merujuk buku panduan dengan kerap akan membuang masa dan membuatkan kerja menjadi kurang lancar.

13. Kosakata penulisan yang lemah

Ada idea nak menulis tetapi ayat tak mencapai kualiti seorang pelajar PhD. Salah satu sebab kerana pengetahuan kosakata berkenaan bidang kajian agak lemah.
Solusi: Wujudkan satu kamus untuk catat kosakata penting dalam bidang kajian. Kosakata ini adalah perkataan yang selalu digunakan dalam bidang tersebut. Anda juga boleh juga catat ayat-ayat yang ‘cantik’ untuk dirujuk semasa proses penulisan.

14. Takut mendapat feedback tentang penulisan

Satu perkara yang paling ditakuti oleh pelajar PhD adalah apabila orang mengkritik. Memang itu sesuatu yang normal. Malangnya, ketakutan ini mematikan semangat untuk menulis.
Solusi: Anggaplah menjadi tak pandai menulis merupakan salah satu proses dalam belajar menulis tesis.

15. Terlalu berharap kepada supervisor

Ada pelajar yang hanya mengharapkan idea dari supervisor. Harus diingat, pelajar PhD ibarat pintu maklumat kepada supervisor. Anda yang melaporkan apa yang anda dapat dan supervisor hanya akan memberikan panduan/nasihat. Kalau anda asyik tanya supervisor ‘lepas ni nak buat apa’, dia pun pening.
Solusi: Setiap kali jumpa supervisor, laporkan perkara baru (keputusan eksperimen, bacaan) supaya dia boleh beri cadangan ke mana hala tuju kajian. Saya selalu ringkaskan maklumat dan letak dalam Powerpoint – mudah untuk supervisor saya baca dan fahami. Jangan bawa kertas jurnal berjela-jela nanti dia tengok, dia pun pening.

16. Kurang membaca hal-hal umum

Pelajar memang banyak membaca jurnal, tapi kurang membaca hal umum berkenaan topik kajian. Contoh jika kajian berkenaan dengan tenaga solar – pelajar tidak tahu apa perkembangan terbaru mengenai tenaga solar di dunia. Hal ini akan menjadi masalah apabila anda menghadapi viva atau ke conference.
Solusi: Waktu sedang berehat / bosan, cuba ke Google dan taip nama kajian anda (contoh: solar energy) dan baca berita/blog/wikipedia untuk menambah kefahaman secara umum. Harus diingat kadang-kala di conference, ada orang yang tak faham langsung bidang anda. Anda harus tahu bagaimana untuk bercerita kajian anda secara umum dan menggunakan maklumat-maklumat terkini. Harus diingat juga, bacaan umum ini bukan untuk cite dalam thesis, tapi sekadar untuk kefahaman.

17. Tidak faham kajian sendiri dalam skop yang lebih besar

Apabila terlalu lama buat research, lupa kepentingan kajian dalam skop yang lebih besar. Contohnya buat kajian dalam composite materials. Tapi bila examiner tanya, apa kepentingan kajian awak kepada dunia – terus pening. Sebabnya, tak lihat kajian dalam konteks yang lebih besar.
Solusi: Pastikan problem statement atau background jelas – kenapa nak buat kajian, apa masalah yang nak dikaji, kenapa penting dan sebagainya. Contohnya nak buat berkenaan carbon fibre composites kerana material ini banyak digunakan dalam kapal terbang menggantikan aluminium. Bila anda ada pendirian tegas, examiner akan lebih yakin.
Sebenarnya boleh hurai panjang lagi setiap satu poin di atas, tapi buat masa ini – ringkas dahulu.
Apa yang perlu diingati – pengajian PhD adalah waktu untuk kita melihat banyak kesalahan diri untuk diperbaiki.
Setiap kesalahan adalah guru. Benda-benda yang kita buat salah lebih senang untuk diingati berbanding benda-benda yang kita buat dengan betul.
Hidup sebagai seorang ahli akademik tak habis di PhD sahaja, ianya sepanjang hayat. Pengajian PhD hanya satu permulaan. Tentunya dalam satu permulaan, kita banyak buat salah.
Jadi, usah risau kalau buat salah sekarang. Yang penting jangan ulang.
Selamat bermuhasabah dan memperbaiki diri!
Silakan kongsi untuk manfaat bersama.
Shahkang
Kredit : Fb NorShahKang
             MadeinUitm


Tanpa Sedar, Kita Racun Anak Kita & Mengecilkan Otak Mereka


MINUMAN BERGULA KECILKAN OTAK?
--------------------------------------------------
.
Kisah semalam. Usai solat tarawih singgah supermarket. Mahu cari Yogurt.
.
Jalan becak. Air sana sini. Maklumlah baru lepas hujan lebat.
.
Selesai memilih terus ke kaunter. Orang tidak ramai. Ada dua tiga orang di setiap kaunter.
.
Terlihat seorang pakcik di depan. Usia sekitar 60an. Berbadan gempal. Perut maju ke depan.
.
Tersenyum lebar membelek aneka minuman bergas yang dibeli. Seperti penuh kepuasan. Penuh troli dengan iar botol besar.
.
Semua jenama ada. Yang bermula dengan C ada. Yang huruf M, S dan P juga ada. Minuman jus dan yogurt pun ada. Soya pun ada.
.
"Ini untuk sambut anak cucu menantu dan tetamu nanti", katanya. Memandang kepadaku sambil senyum. Mungkin sebab aku asyik intai trolinya jadi dia mulakan bicara begitu.
.
Aku senyum sambil angguk. "Banyak juga ye pakcik?" soalku memancing bicara lanjut dengan beliau.
.
"Pakcik anak cucu menanti ramai. Setiap kali raya penuh rumah. Dia orang pun memang suka minuman-miunam macam ini. Pakcik pun suka.
.
Dah jadi macam tradisi. Setiap kali mesti ada air bergas. Tak ada macam tak sah pula", katanya panjang sambil ketawa.
.
Aku terus angguk. Dia terus gerak ke depan untuk membayar. Kepala aku pula ligat berfikir.
.
Teringat kajian baru yang keluar pada 5 Mac 2017 di jurnal saintifik Alzheimer's & Dementia. Ujian OTAK ke atas 4000 orang. Mereka ini suka minum minuman bergas atau air jus sehari dua kali atau 3 kali atau lebih seminggu.
.
Otak mereka diukur. Prestasi otak dinilai. Hasilnya menakutkan.
.
1. OTAK peminum minuman bergas atau jus komersil MENGECIL
.
2.Hippocampus - pusat memori juga mengecil.
.
3.Tanda-tanda STROK meningkat.
.
4.Tanda-tanda NYANYUK juga jelas menjelma
.
5. Tiga kali ganda lebih tinggi untuk dapat strok dan dementia.
.
Mereka juga dapati kesan yang sama kepada yang hanya minum sekali sehari.
.
Minuman bergas, jus, dan yogurt penuh gula, Terlalu tinggi gula. Sewajarnya digelar racun manis. Bukan minuman.
.
Pandangan aku kembali kepada Pakcik tadi. Kasihan dan sedih terus menyelimuti. Sebu terasa di hati.
.
Dia mahu merai. Tanpa disedari dia juga meracuni. Dia juga menyakiti.
.
Malamnya dalam esak, dalam tangis aku mengadu. Mengangkat tangan pada yang SATU. Bagaimana aku bisa bantu? Ya Allah tunjukkan jalan itu.

Kredit : Fb DrRizal Abu Bakar



Apabila Cinta Beralih Arah

15 Jun 2017



CINTA beralih arah bukan sesuatu yang pelik atau luar biasa dalam sesebuah perhubungan lebih-lebih lagi di kalangan pasangan kekasih. Namun sesuatu yang malang apabila cinta beralih arah ketika perhubungan telah diikat kejap dengan tali perkahwinan dan janji sehidup semati. 

Biarpun ketika itu si suami atau isteri sudah bahagia memiliki keluarga yang sempurna, tetapi masing-masing masih mahu mencari kekurangan dengan apa yang dimiliki. Setiap pasangan yang berumah tangga pasti mahukan sebuah perkahwinan yang bahagia dan aman damai, tetapi bukan semua yang diimpikan akan menjadi kenyataan.

Tidak dapat dinafikan sebagai makhluk Allah kita akan diuji dengan pelbagai ujian bagi melihat sejauh mana kita sebagai makhluknya mampu menghadapi situasi yang getir dalam hidupnya. Namun percayalah, Allah tidak kejam dengan umat, setiap dugaan yang diberi pasti setaraf dengan kemampuan dirinya sendiri.

Sebenarnya, apabila ada kecurangan bermakna kepercayaan terhadap pasangan juga akan semakin berkurangan dan kasih sayang yang selama ini dicurahkan juga semakin tawar. Biarpun tiada kajian khusus dan angka tepat mengenai peratusan kecurangan yang berlaku antara pasangan dalam perkahwinan, apa yang pasti kes sebegitu kerap berlaku yang menjadi antara punca keretakan sesebuah perkahwinan.

Sehubungan itu, timbul persoalan kenapakah kecurangan berlaku dalam perhubungan?

Sebenarnya pelbagai sebab dan faktor yang mendorong pasangan, baik suami atau isteri berlaku curang dalam rumah tangga walaupun perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku. Faktor paling biasa yang mendorong pasangan berlaku curang ialah usia perkahwinan mereka.

Pada peringkat awal perkahwinan mungkin masing-masing cuba untuk memahami antara satu sama lain, tetapi apabila sudah memahami dan ada perasaan jemu, mulalah berlaku perkara tidak diingini.

Antaranya timbul perasaan bosan terhadap pasangan dan keadaan itu menyebabkan kejujuran mula dipinggirkan dalam perkahwinan.
Selain itu, tiada sifat telus dalam perhubungan perkahwinan boleh membawa kepada timbulnya keinginan untuk curang kepada pasangan masing-masing. 

Selain itu faktor 'tolakan' dan 'tarikan' antara pasangan suami isteri juga merupakan faktor yang berlaku kecurangan. Mungkin terlalu rimas dengan isteri yang membebel menyebabkan si suami cuba mencari keseronokan di luar rumah.

Malah, kurangnya perhatian yang diberikan pasangan juga tidak dinafikan menjadi pencetus kepada fenomena curang dalam rumah tangga. Apabila tiada perhatian, pasangan akan berasa kekurangan suatu dalam kehidupan. 

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, pergaulan seharian dengan teman sekerja kadangkala menjadikan mereka berpotensi untuk curang kerana mendapat perhatian sewajarnya di luar rumah.Oleh itu, berpada-pada apabila bersahabat dengan berlainan jantina di pejabat supaya perasaan sahabat tidak bertukar kepada sayang.

Sayangilah hubungan perkahwinan yang dibina atas dasar sayang dan cinta kepada suami dan isteri anda supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

Kredit : UtusanMalaysia



Duit Tak Cukup, Idea Menarik Atasi Masalah Poket Kering Di Kalangan Siswazah

Kehidupan sebagai pelajar universiti sememangnya berbeza jika dibandingkan ketika berada di sekolah dahulu.  Di zaman sekolah tidak memerlukan duit yang banyak, berbeza apabila seseorang itu sudah diterima masuk ke universiti. Sebagai seorang pelajar universiti yang sedang melalui fasa peralihan persekitaran, tentunya keinginan untuk membeli tidak dapat dielakkan.  Melalui satu kaji selidik yang telah dijalankan oleh seorang penyelidik ke atas 165 orang pelajar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), mendapati pelajar lelaki lebih gemar untuk memperuntukkan wang lebih untuk perbelanjaan makanan, pakaian, hiburan, alat-alat tulis, rekreasi, pengangkutan dan perubatan. 

Manakala pelajar perempuan pula lebih gemar membelanjakan wang mereka untuk tujuan alat-alat kosmetik, bil telefon, hadiah dan lain-lain seperti barang kemas dan membeli majalah hiburan. Namun kekangan hidup sebagai pelajar, menyebabkan ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa menolak kesemua keinginan ini ke tepi dahulu.  Wang saku yang diberi oleh ibu bapa sering tidak mencukupi dan wang pinjaman PTPN atau biasiswa pula awal-awal lagi sudah lari daripada bajet.  Jika diolak-tolak dengan yuran pengajian, duit buku, bayaran sewa rumah bagi yang duduk di luar kampus dan sebagainya, mungkin baki wang yang tinggal hanya cukup-cukup untuk duit makan.
Namun bagi sesetengah pelajar pula, ada yang dalam kalangan mereka ini yang sanggup untuk bersusah payah dengan melakukan kerja secara sambilan.  Mereka bekerja untuk memperoleh wang tambahan semata-mata atas keinginan untuk membeli barangan yang dihajati. Ada yang sanggup bekerja di cawangan restoran makanan segera, menjadi juruwang di kedai-kedai serbaneka, bekerja di pasar raya dan sebagainya.  Namun tidak kurang juga yang melibatkan diri dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan.  Mereka ini kebanyakannya menceburi bidang perniagaan atas sebab seperti:-
  • Untuk menampung kos perbelanjaan seharian ketika berada di universiti
  • Tidak mahu mensia-siakan masa yang terluang, terutamanya ketika cuti semester
  • Dapat belajar pelbagai perkara baru dan dapat menimba pengalaman dalam bidang perniagaan
  • Dengan menceburi bidang perniagaan, maka tentulah lebih ramai kenalan yang kita dapat
Melalui artikel ini, kita singkap beberapa jenis perniagaan yang kebiasaannya diceburi oleh para pelajar universiti tempatan, antaranya:-
Menawarkan Servis Jualan Secara Konvensional atau Jualan Dalam Talian
Ramai pelajar yang memenuhi masa senggang mereka dengan berkecimpung dalam bidang perniagaan tidak kira sama ada perniagaan yang berbentuk konvensional atau secara dalam talian.  Ada pelajar yang memulakan kemahiran berniaga mereka dengan menjual tambah nilai prabayar talian telefon bimbit.  Menambah nilai untuk telefon bimbit merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh setiap pelajar untuk berhubung dengan ibu bapa, rakan dan juga buah hati.   Menjual tambah nilai di universiti ini memang untung, pelajar suka bergayut di telefon dan suka menghantar sms.  Tambahan pula kalau duduk di kolej kediaman, tentunya pelajar ini malas hendak keluar ke kedai semata-mata untuk membeli kad tambah nilai.  Dengan modal permulaan untuk menjadi ejen yang rendah dan hanya perlu melakukan sedikit promosi kepada rakan-rakan, pelajar tadi sudah mampu memulakan perniagaan tambah nilai mereka.  Namun keuntungan yang diperoleh daripada menjual tambah nilai ini tidak banyak, rata-rata ejen hanya akan mendapat 3% – 4% sahaja daripada kos jualan. Contohnya, jika pelanggan menambah nilai prabayar sebanyak RM10, ejen hanya akan mendapat RM0.30 – RM0.40 sahaja.  Namun, sekiranya pelajar itu rajin dan mempunyai pelanggan yang ramai, maka semakin banyak jualan yang dibuat, semakin untunglah dia.  Sekurang-kurangnya dapatlah menampung semula kos tambah nilai untuk telefon bimbit sendiri.
Kaedah membeli dan menjual dalam talian pula, mula menarik perhatian masyarakat kita sejak lebih dua dekad yang lalu.  Bagi mereka yang berkira wang, kos pergi ke bandar, mengisi petrol kereta, letak kereta dan makan-makan sepanjang membeli-belah dirasakan lebih tinggi berbanding dengan hanya menekan tetikus dan menurunkan maklumat kad kredit dalam talian di rumah.  Bagi mereka, urusan membeli secara dalam talian ini sebenarnya lebih mudah dan harga barangan yang ditawarkan juga ada kalanya lebih murah berbanding yang dijual di kedai atau pasar raya sedangkan jenis pakaian adalah sama.  Bagi pelajar yang bijak berniaga, tentunya mereka tidak akan ketinggalan untuk menceburi bidang perniagaan dalam talian ini.  Ramai yang terlibat menjual busana Muslimah seperti jubah, baju kurung, t-shirt, tudung dan sebagainya.  Ada juga yang terlibat dalam bidang kulinari, akan memasarkan produk makanan mereka secara dalam talian. Mereka ini ada kalanya hanya perlu ada akaun Facebook sebagai senjata utama dalam perniagaan mereka ditambah dengan sikap dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Terdapat juga dalam kalangan pelajar yang menceburi bidang Multi-Level Marketing (MLM) ketika masih dalam pengajian.  Salah satu faktor penglibatan pelajar adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya dan dorongan ejen MLM yang berjaya menarik minat pelajar berkenaan.  Sesiapa yang pernah mengikuti taklimat berkaitan MLM, tentunya setuju bahawa yang mendengar taklimat ini kalau tidak kuat imannya tentu akan mudah terpengaruh dengan keistimewaan yang ditunjukkan.  Terdapat juga pelajar yang menjadi ahli kerana mereka adalah pengguna produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat MLM tersebut. Dengan menjadi ahli dalam syarikat MLM, maka produk akan dapat dibeli dengan harga keahlian.  Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar ini terlibat menjadi ejen jualan langsung, banyak masa yang perlu diperuntukkan dan dihabiskan untuk memberi penerangan serta membuat demonstrasi tentang produk yang dijual.   Maka adalah sesuatu yang kurang bijak untuk seorang pelajar menceburi perniagaan MLM, melainkan sekiranya pelajar tersebut seorang yang pandai menguruskan masanya sendiri.
Melalui Penulisan
Penulisan adalah merupakan salah satu cara yang amat berkesan untuk menjana pendapatan terutamanya bagi pelajar yang memerlukan wang saku.  Ada dalam kalangan pelajar yang menyediakan perkhidmatan penulisan di waktu lapang mereka atau ketika mereka berada dalam cuti semester.  Antara perkhidmatan yang boleh ditawarkan adalah seperti menaip tugasan atau tesis untuk pelajar lain, menulis artikel untuk laman web, memberi servis penulisan kreatif atau membuat terjemahan artikel atau buku.  Ada juga yang menghantar karya-karya penulisan mereka ke majalah atau akhbar untuk slot-slot rencana ataupun cerpen.
Menulis tidak hanya terhad kepada contoh-contoh di atas sahaja yang lebih bercorak kreatif.  Selain itu, terdapat ramai pelajar yang mempunyai minat dan berkecenderungan untuk menulis secara aktif dalam blog mereka sendiri.   Blog merupakan satu medium untuk menyalurkan pendapat, berkongsi pengetahuan, memberikan informasi kepada orang ramai.  Terdapat pelbagai jenis blog yang mendapat sambutan yang dibuat berdasarkan niche tertentu seperti hiburan, muzik dan yang peribadi.  Di samping menulis blog sebagai hobi, blog juga dilihat sebagai salah satu cara yang dapat memberi pelajar tadi pendapatan pasif.  Melalui sumber pengiklanan dalam sesebuah blog, wang yang diperoleh sudah tentunya akan masuk ke kocek pemilik blog sendiri.  Pelajar yang memiliki blog juga boleh mendaftar untuk iklan daripada Google – AdSense ataupun Nuffnang yang kebiasaannya akan dipaparkan pada banner blog itu sendiri.  Contohnya untuk iklan Nuffnang, terdapat dua cara untuk menjana pendapatan, iaitu secara buffered earning atau metered earning.  Buffered earning adalah pendapatan yang diperoleh melalui jumlah trafik blog setiap hari.  Melalui metered earning pula, setiap klik yang unik akan diberi sagu hati.  Pendapatan ini akan diberikan secara bulanan dalam bentuk cek kepada penulis blog tersebut.  Di samping itu, pemilik blog juga boleh membuat ulasan tentang produk sama ada perkhidmatan, produk fizikal atau digital dan secara tidak langsung dapat mempromosikan blog mereka sendiri.  Mungkin setelah terkenal, akan ada pihak yang membayar untuk mengulas produk keluaran syarikat mereka sendiri pula!
Menawarkan Servis Perkhidmatan
Bagi pelajar yang mempunyai kemahiran, ramai juga yang menawarkan khidmat yang berkaitan dengan kemahiran mereka.  Antara contoh perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti khidmat membaiki komputer, membuat laman web, khidmat fotografi dan video untuk majlis formal dan yang tidak formal.  Servis perkhidmatan sebenarnya amat menguntungkan, kerana tiada modal permulaan yang diperlukan oleh pelajar, hanya memerlukan kemahiran mereka dalam sesuatu bidang itu sahaja.  Untuk pelajar yang mempunyai kebijaksanaan dalam sesuatu subjek pula, ada yang akan diupah rakan pelajar lain untuk memberikan mereka perkhidmatan tuisyen secara persendirian.
Selain itu, bagi mereka yang mempunyai pencetak mereka sendiri pula, ada juga yang menawarkan khidmat mencetak untuk tugasan atau tesis pelajar sendiri.  Kebiasaannya harga yang ditetapkan, tidak lah tinggi.  Mungkin sama harganya berbanding dengan yang dikenakan oleh kafe siber atau kedai-kedai yang terdapat di universiti.
Kesimpulan
Tidak dinafikan pengalaman belajar di universiti memang berharga.  Banyak perkara yang boleh dipelajari dan pelajar juga diberi kebebasan untuk menentukan banyak hal dalam kehidupan mereka.  Selain itu pelajar perlu berdikari menguruskan hidup sama ada dari aspek belajar, kewangan dan sebagainya.  Jika dilihat daripada aspek kewangan, bukan mudah untuk pelajar ini tadi memenuhi tuntutan keperluan dan kemahuan.  Ada pelajar yang sanggup bekerja untuk menjana pendapatan sampingan. Ada juga pelajar yang melibatkan diri mereka dalam bidang keusahawanan demi untuk mencari duit lebih.  Dalam Islam sendiri, aktiviti ekonomi yang berbentuk perniagaan amatlah digalakkan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar ini cenderung untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, antaranya adalah seperti minat terhadap mata pelajaran perdagangan dan keusahawanan, persepsi positif dan minat pelajar terhadap bidang keusahawanan serta dorongan dan galakan daripada ibu bapa sendiri.
Terdapat beberapa contoh perniagaan yang dijalankan oleh pelajar, antaranya menawarkan servis penjualan secara konvensional atau penjualan dalam talian, menawarkan khidmat penulisan dan menawarkan servis perkhidmatan. Bagi mereka, yang penting rezeki yang diperoleh dapat menampung kos perbelanjaan mereka ketika di universiti.  Namun begitu pembahagian masa dan disiplin adalah perkara yang sangat penting bagi seorang mahasiswa dan mahasiswi.   Bagi mereka yang terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan pada peringkat pengajian ini, mereka sebenarnya terdedah kepada risiko penangguhan dan kegagalan menamatkan pengajian.  Mahasiswa dan mahasiswi yang cuba menjana pendapatan dengan melakukan kerja sampingan dan menjalankan perniagaan ketika masih di universiti ini perlulah sentiasa diingatkan agar pandai menjaga masa dan seterusnya boleh menjaga segala aktiviti mereka dengan lebih terurus. 
Kredit : Usahawan.Com

Suami Kaki Perempuan, Jangan Tunjuk Kita Lemah, Bangkitlah Pilih Kehidupan Kita Sendiri



Tulisan ini dikongsikan oleh seorang wanita melalui ruangan mesej whatapp dan fecebook dengan harapan agar kisah beliau dapat dijadikan pengajaran kepada para isteri yang menghadapi masalah rumah tangga seperti beliau. 

Baca lagi:

Saya bernikah dengan suami awal 2011, salah saya tak berfikir panjang waktu tu, ikut hati. Saya perkahwinan ketiga dan merupakan isteri kedua. Isteri pertama bercerai, dan sudah pun berkahwin lain. Yang kedua (dah naik jadi no. 1) dan saya no. 2. Waktu tu suami saya tidak berkerja tetap, ada masa ada duit dan bila tiada maknanya tiada langsung.

Saya selalu baca sms dari wife di kampung, tiada duit, susu anak dan pampers. Macam macam lagi. Saya jadi kasihan. Saya selalu letak Rm50 atau bila awal gaji Rm100 dalam dompet suami. Saya tahu dia pasti bank-in kat kampung (isteri pertama di kampung ). Pada masa tu saya fikir, saya harus menolong kerana siapa yang ada selain saya. Walaupun serangan facebook berkaitan saya mengambil suaminya hebat bermula. Tak mengapa, siapa tak sakit hatikan?

Tapi betul orang tua kata, isteri di uji di saat suami tidak mempunyai apa, suami di uji di saat punya segala. Anak saya yang pertama baru 4 bulan, suami main cinta dengan budak umur 19 tahun, pelajar universiti. Seminggu habis 40k, macam-macam dia beli handphone, perfume sampai adik-beradik budak tu semua dia beli. Sampai satu tahap mereka bercuti berdua. Saya sabar, saya tak marah dan tak bergaduh. Saya fikir masa saya sudah sampai. Karma saya sudah sampai saya pasrah, saya redha.

Sewaktu mereka bercuti, Allah swt menguji saya, isteri pertama di kampung yang memujuk saya secara tiba-tiba, pada dia saya meluah segala, saya tak tenang, jangan kata hati tak tenang. Duit, sedikit harta saya korban sebab saya tak suka suami bersedih, muram. Kami menjadi kawan baik. Kami menjaga antara satu sama lain. Bila dia memerlukan kewangan, saya membantu sekiranya mampu.

Satu hari, suami pergi out station, saya tahu tapi saya tak bertanya. Senyap-senyap saya follow sampai ke airport, tak nampak pun. Saya ke rumah budak perempuan tu dengan anak dan ibu, kereta suami ada di situ. Allah, menggigil kaki saya, macam-macam perasaan, marah bengang semua ada. Saya balik ke rumah saya pack barang-barang suami dan niat saya hantar ke rumah budak tu. Ayah saya kata jangan hantar ke rumah budak tu, jika betul-betul nekad, hantar rumah ibu-bapa suami. 

Dengan hati yang membara, saya hantar ke rumah mak mertua dan saya ambil kereta suami di rumah budak perempuan tersebut. Setelah bersemuka, dengan keluarga perempuan tersebut baru saya tahu yang mereka membohongi keluarga dengan mengatakan saya gila talak. Nasib saya bawa ibu bapa saya sebagai saksi.

Lepas 2 bulan, saya menerima sms, dari budak perempuan tu mengatakan sudah memutuskan hubungan dengan suami saya. Saya balik yang bertanya, mengapa? Bukankah kamu saling menyayangi? Saya tak pandai jaga suami, saya itu dan ini, macam-macam kurang. Saya dah redha, saya mengalah, kata saya. Allah menguji saya dan budak perempuan tu. Saya mengandung anak kedua. Akhirnya mereka putus dan saya tak tanya lagi. Saya hanya menonton wayang di fb dan twitter, mereka berperang sesama sendiri.

Saya maafkan suami. Kami kembali bersama cuba untuk membina kembali. Tapi masih tidak serumah, kerana sepanjang kami serumah lebih kurang dua tahun, 2 kali suami hampir memukul ibu saya. SAYA ULANG, IBU SAYA . Pada suami dia bebas buat apa sahaja, jangan ditegur. 

Dia berhak kerana dia SUAMI. Kami teruskan hidup dengan setiap minggu berjumpa, habiskan masa menonton wayang, bercuti dengan suami, kadang-kadang dengan anak-anak tiri. Saya nampak perubahan, setiap hari saya berdoa agar perubahan tu berpanjangan rezeki dipermudahkan.

Selepas 2 tahun, saya diuji lagi. Suami bernikah di sempadan dengan janda anak 4, dan suami saya adalah perkahwinan ke tiga beliau. Saya dengar melalui bekas isteri suami, Saya kata saya tak tahu hampir sebulan kami tidak berhubung, berikutan hubungan suami dengan perempuan juga. Tulah bercinta org lain, nikah org lain. Pada hari itu saya hairan dengan diri saya sendiri, saya tak menangis, mungkin saya tak ambil peduli, mungkin sudah lali.

Awal tahun ini saya menerima pm dari facebook, dari seorang perempuan katanya mahu berterus terang. Saya terima, orang baik saya sepuluh kali baik. Kami bertukar no fon, kami whatsApp sepanjang malam. Suami dan isteri barunya minta saya mencuba kehidupan baru ni. Saya cuba, tetapi mereka mempermainkan saya, kebaikan yang dihulurkan hanya untuk melekakan saya agar tidak membuat sebarang laporan. 

Isteri baru suami menyatakan kata kekurangan saya. Saya terlalu pentingkan kerja, tak ada masa bersama dan terlalu mengikut kata ibu. Bagaimana saya tak pentingkan kerja? Jika rumah, api air, unifi, pampers susu, insurans, duit dapur dan duit bagi emak semua atas saya?

Wallahi, saya tak minta suami sepanjang kami bernikah, ada bagi, tak ada saya diam. Bagaimana saya tidak mementingkan ibu? Di saat yang paling sukar ibu berada di samping saya, menjaga anak-anak di saat saya mencari sesuap nasi. Saya berusaha sendiri. Pada fikiran saya yang dikatakan kolot ni, tak mengapa suami tak ada duit, saya ada. Kita orang tua tak makan tak apa, anak-anak perlu makan minum, susu pampers mesti ada. Tu belum sakit mereka lagi, kita sakit makan panadol tidur. Budak? Mereka tak tahu.

Setiap hari saya pulang ke rumah, saya tinggalkan masalah saya dan suami di dalam kereta, saya ukir senyuman untuk anak-anak. Ibu saya tak tahu perihal suami berkahwin lain. Suami dan isteri baru, daftar menggunakan surat cerai suami dengan isteri lama. Saya termenung dipermainkan lagi, bukan seorang kini dua orang. Saya hanya melihat gambar kegembiraan mereka di facebook dan instagram. 

Kadang-kadang anak-anak tiri menghubungi saya bertanyakan khabar dan mengadu. Saya hanya mampu mendengar. Tak mengapalah, saya kata once for all. Jaga hati sendiri, salah saya tak hormat hati sendiri. Saya berfikir, saya tak rugi apa-apa, saya cuma tak ada suami, saya masih beruntung ada kerja tetap, rumah, kereta dan anak-anak.

Saya bersyukur Allah SWT masih sayang, ujian saya ni kecil jika dibandingkan dengan isteri-isteri yang jadi mangsa aniaya. Akhirnya, saya membuat permohonan cerai. Alhamdulillah, saya tenang walaupun saya ke mahkamah seorang diri tanpa ditemani sesiapa, saya tahu saya kuat. Allah ada, Allah lindung saya. Saya tak tuntut apa-apa dengan suami, hanya lepaskan saya cara baik. Kalau dia ingat anak-anak, berilah duit belanja, jika tidak tak apa, ada rezeki lain untuk anak. Kalau dulu saya ikut hati, sekarang saya serah kepada Allah, bulat-bulat.

Buat isteri di luar sana, kalau suami ada perempuan lain, jangan menangis atau murung, bangkit. Kalau tak kerja, cari kerja. Belajar berdikari. Doa banyak banyak. Doakan urusan saya dipermudahkan.

Thanks admin.

Kredit : thecoverage 


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.