SLIDER

Kerana Reunion, Suami Kahwin Bekas Kekasih

31 May 2017

Tidak semua pertemuan semula (reunion) menggembirakan. Ada juga yang membawa derita dan memutuskan ikatan perkahwinan. Namun jika itu takdir Allah, apa lagi yang mampu dilakukan, terimalah dengan reda dan mohon Allah beri petunjuk agar hidup lebih bermakna. Tidak dinafikan reunion menjadi fenomena pada masa ini. Di mana-mana sahaja orang bercakap tentang reunion, tidak kiralah sama ada dengan kawan sekolah, jiran, universiti atau pejabat. 


Memang ada baiknya reunion, sekurang-kurangnya ia dapat menemukan rakan-rakan yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak ditemui dan mengeratkan silaturahim. Tetapi reunion juga boleh memusnahkan sebuah perhubungan. Inilah kisah yang saya paparkan minggu ini, kisah reunion yang meninggalkan titik hitam dalam hidup Nora (bukan nama sebenar) dan pasangannya Nasri (bukan nama sebenar). Mahu tidak mahu Nora terpaksa menerima kenyataan yang suaminya kini telah kembali kepada bekas kekasih lamanya setelah menghadiri majlis reunion bekas pelajar universiti tempat mereka belajar.


Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah Nora.


"Saya telah bernikah dengan Nasri sejak lapan tahun lalu setelah setahun bercinta. Pertemuan semasa menghadiri satu seminar anjuran tempat kerja menemukan saya dan dia. Kami dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun. "Saya bekerja di sebuah syarikat swasta dan suami penjawat awam. Sepanjang lapan tahun, tidak ada masalah yang berlaku dalam hubungan kami. Nasri seorang suami yang baik dan penyayang.


"Setiap tahun, kami selalu melancong ke luar negara dan juga menghabiskan masa bercuti dalam negara bila ada kelapangan. Pendek kata keharmonian rumah tangga kami sangat menyerlah. "Sehinggalah hujung tahun lalu, kebahagiaan itu tergugat apabila suami bertemu semua dengan bekas kekasihnya pada zaman universiti dahulu. Ini semua gara-gara reunion rakan universiti yang dihadirinya.


"Saya tak kisah suami mahu ke majlis itu sebab saya percaya dengan kesetiaannya. Sebelum ini, saya tidak pernah cemburu atau buruk sangka dengan suami, sebab tahu dia ikhlas dalam perhubungan kami. "Selesai majlis itu, saya nampak perubahan dalam dirinya. Tingkah laku, tutur kata dan sikapnya jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dia tidak berenggang dengan telefon bimbitnya. Setiap saat, telefon bimbit ada dalam genggamannya terutama pada waktu malam.


"Di rumah pun sama, dia tidak pernah letak telefon. Ke mana sahaja pergi mesti dipegangnya telefon. Kalau anak kami nak pinjam main game, dia akan marah-marah. Sebelum ini, suami tidak pernah meninggikan suara dengan anak. "Pada hujung minggu, dia selalu menghabiskan masa di luar. Tidak seperti biasa membawa saya dan anak keluar bersiar-siar atau makan-makan. Jika tidak pun menemani saya dan anak di rumah.


"Tidak cukup dengan keluar di hujung minggu, dia mula out station, kononnya untuk berjumpa kawan-kawan lama selepas reunion tersebut. Itu pun saya masih tidak syak apa-apa sebab masih percayakan dia. "Satu hari, dia memberitahu saya untuk out station selama tiga hari. Alasannya untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang stafnya. Saya tidak tanya banyak kerana saya tahu dia tidak bohong, malah saya tidak nampak tanda-tanda dia berbohong dengan saya. 


"Sehinggalah semua rahsianya terbongkar, tiga bulan kemudian apabila saya terjumpa resit sewa hotel di dalam beg pakaiannya. Berderau darah saya melihat resit tersebut, makan minum untuk dua orang dan resit pembelian di sebuah kompleks membeli-belah di luar negara. "Sehari suntuk saya menangis dan hati berdebar-debar. Perasaan saya mula tidak tenang. Saya mula syak yang bukan-bukan dan berdoa semoga apa yang saya syak tidak akan menjadi kenyataan. 


"Tapi Tuhan tahu apa yang ingin diujinya untuk saya. Melalui seorang teman pejabat, saya dimaklumkan yang suami saya sudah bernikah lagi dengan kekasih lamanya di seberang. "Lalu saya teringat permintaan dia untuk out station tiga bulan lalu. Saya yakin itulah masanya dia bernikah dengan kekasih lamanya itu. Saya tidak menangis. Saya tidak mahu jadi bodoh memikirkan kecurangan seorang lelaki bernama suami. 


"Saya mahu buat penyelesaian dengan lelaki yang kononnya setia kepada saya tetapi beralih kasih. "Mencari masa yang sesuai, saya bersemuka dengan suami. Saya tunjukkan sekali resit hotel dan pembelian yang saya jumpa. Juga saya beritahu dia yang rahsianya sudah terbongkar."Tanpa rasa sedih, saya ucap selamat pengantin baru kepadanya. Tanpa memberi dia peluang untuk bercakap, saya sudahkan kata-kata saya dengan, "saya nak abang bebaskan saya!" Berulang kali saya sebut perkara itu.


"Saya tidak mahu lagi memberi dia peluang. Sekali kepercayaan saya hilang, saya tidak akan memberi peluang kedua kepadanya. Saya kecewa dan kesal dengan perbuatannya. "Melihat saya menyerangnya bertubi-tubi, dia akhirnya mengalah. Dia mula berterus-terang dengan saya, menceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Dia mengaku telah menikahi perempuan itu secara rahsia di negara jiran.


"Kononnya, dia menerima perempuan itu kerana kasihan sebab sampai sekarang dia belum berkahwin kerana kecewa ditinggalkan dahulu. Mudahnya lelaki menyusun kata. "Dalam sekelip mata, dia terlupa kepada saya yang sudah lapan tahun berkorban untuknya. Menjaga makan, pakai, sakit demamnya. Hanya kerana jumpa semula bekas kekasih, sanggup dia bernikah lagi. " Saya ralat kerana dia bertindak tanpa meminta izin saya, ajak saya berbincang sedangkan saya tahu, perbuatannya itu dalam keadaan tidak sedar sebab terkejut dengan kehadiran semula wanita itu dalam hidupnya. Mudah sungguh bagi lelaki.


"Apa pun semuanya sudah terlambat. Hati saya sudah terluka, pedih dan tidak mungkin akan terubat lagi. Saya kecewa yang amat sangat. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya kerana kecurangannya itu. "Saya tidak menolak takdir. Saya reda tetapi saya kecewa dengan perbuatannya yang tidak berfikir panjang dan tidak mempedulikan perasaan saya sebagai isteri. "Sanggup pula berbohong untuk menghadiri majlis perkahwinan staf, sedangkan dia sendiri yang bernikah. Perlukah lagi saya menghormatinya sebagai suami setelah apa yang dia lakukan ini?


"Keluarga menentang keras keputusan saya terutama sebelah mentua. Tetapi saya nekad. Saya ada hak saya sendiri sebagai isteri. Saya tidak mahu selama-lamanya diperbodohkan. Jika dia sanggup menipu saya untuk bernikah lagi, tidak mustahil sepanjang perkahwinan kami nanti dia akan berbohong lagi untuk menyelamatkan dirinya untuk berpoligami. "Walaupun saya sedih sebab anak terpaksa hilang kasih sayang ayah untuk tinggal sebumbung tetapi saya berjanji akan menjaga anak saya dengan sebaik-baik mungkin. Saya tidak kisah untuk berbaik-baik dengan dia demi anak.


"Saya harap permohonan saya untuk berpisah diterima. Saya tidak mahu lagi hidup bersamanya. Hati saya telah hancur dan jiwa saya telah lama hilang lenyap bersama kepercayaan saya kepadanya. "Saya minta maaf kepada keluarga kerana tidak menerima nasihat mereka. Saya tahu apa yang terbaik untuk masa depan saya. Orang hanya memandang, yang menanggungnya saya. Saya benar-benar terluka hati. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini.


"Saya nasihatkan para isteri di luar sana, hati-hati apabila suami anda menghadiri majlis reunion. Jika diajak, jangan lupa ikut sama. Jangan biarkan mereka pergi seorang diri. Banyak drama yang akan berlaku dalam majlis itu terutama apabila bertemu semula dengan rakan lama yang satu ketika pernah singgah di hati mereka. "Semoga Allah lindungi saya dan anak untuk hari-hari mendatang dengan rahmat dan nikmatnya di dunia dan akhirat. Amin.’’ Nora menamatkan ceritanya. Saya turut simpati dengan apa yang Nora lalui. Memang betul apa yang Nora katakan, sekali terguris hati selamanya hati akan tercalar. Siapa yang pernah melaluinya akan merasa peritnya apabila suami diambil orang.


Saya ucap syabas dan tahniah kepada Nora kerana berani bersemuka dengan suaminya secara berhemah. Jarang isteri bersikap terbuka tentang perkara orang ketiga dalam rumah tangga. Namun, Nora mengambil pendekatan berbeza setelah mendapatkan bukti-bukti yang sah. Saya setuju dengan Nora bahawa reunion jika tidak digunakan dengan cara betul akan membawa masalah. Seelok-eloknya bawa pasangan masing-masing untuk dikenalkan kepada rakan-rakan lama agar tidak timbul perkara negatif di kemudian hari. Apa pun semuanya terpulang kepada hati. Tepuk dada tanya selera. Jika nawaitu kita positif, maka akan positif juga akhirnya tetapi jika sebaliknya, hanya Allah jadi penentu.


Semoga Nora dan anaknya sentiasa dalam rahmat Allah dan tabah menghadapi hidup. Menamatkan coretan, pesanan saya, jangan berputus asa dengan apa yang hilang daripadamu dan jangan terlalu bahagia dengan apa yang bakal datang kepadamu kerana segala-galanya hanya sementara.

Kredit : UtusanMalaysia




Ibu Tunggal, Anda Ingin Kahwin Lagi, Fikir Masak-Masak

30 May 2017


ANDA masih ingat keluhan gadis bernama Shahirah yang bertanyakan pandangan pembaca patutkah ibunya seorang balu berkahwin lagi? Soalannya dijawab oleh Puan Nurnisa ketika kami bertemu Ahad lalu. ''Saya tak mahu beri pandangan melalui emel sebab tak pandai, telefon tak puas, tapi bila tertemu empat mata baru sedap bercerita. Saya tak bantah kalau ibu tunggal hendak kahwin lagi, tapi anda mesti ingat banyak masalah bila ibu tunggal kahwin duda, sebab itu saya tak kahwin lagi setelah bercerai lebih 30 tahun.

''Ramai datang melamar, ketika itu saya masih muda, tapi saya tolak. Pertama, saya kena fikir mengapa duda atau bapa tunggal ingin berkahwin lagi? Sudah pasti dia mahu isteri baru mengurus makan minum, layani dan uruskan anak selain rumahtangga. Bukan nak bantu anak-anak tiri. ''Sebelum berkahwin memang lelaki berjanji sanggup jaga anak tiri, tetapi kita kena faham dia terpaksa beri makan anak sendiri, terutama kalau bercerai, sudah pasti gangguan sentiasa datang silih berganti sama ada dari bekas isteri atau anak yang perlukan lebih perhatian dan cemburukan ibu tiri.

''Lainlah kalau anda sendiri garang dan sanggup berperang dengan anak tiri dan bekas isterinya. Saya tak sanggup berperang. Sebab itu bekas suami saya gagal dalam beri nafkah anak sebab dia dikawal oleh isterinya. ''Ketiga, jika anak tiri sudah besar dan tinggal dengan ayahnya, di mana anda nak tempatkan anak anda jika berpindah ke rumah suami baru? Adakah anda sanggup melihat anak anda bergaduh atau dipinggirkan serta dipandang serong oleh anak tiri anda? Atau sanggupkah anda ambil jalan mudah hantar anak ke kampung untuk dijaga oleh nenek dan anda menjaga anak tiri?

''Semakin anak membesar lebih banyak masalah, terutama apabila suami anda sudah meluat dan bosan dengan anak anda kerana anda lebih banyak beri perhatian kepada mereka. ''Kerana memikirkan masalah ini saya tak mahu berkahwin lagi kerana saya sayangkan anak saya. Biarlah saya hidup susah tak cukup nafkah asalkan saya bersama-sama anak. Saya sanggup sekat nafsu dan berhempas pulas bekerja cari rezeki demi membesarkan mereka. ''Kisah perceraian saya sedih. Perkahwinan saya dari awal tidak disukai ibu mertua. Alasannya dia sudah ada calon menantu. Dia tak suka bermenantukan saya orang miskin tapi sebelum kahwin bekas suami kata ibunya tak memilih. Kata mertua saya dia orang kaya rumah besar ada kebun getah sedangkan saya cuma tinggal di rumah flat.

''Sejak itu hingga lima tahun saya berkahwin dan punya dua orang anak, saya jadi tukang masak dan pecacai dapur setiap kali balik ke kampungnya. Ketika orang lain bergembira di Hari Raya, saya jadi babu dapur siapkan makan minum tetamu.''Akhirnya bekas suami terpengaruh, saya diceraikan dengan nafkah RM100 sebulan untuk dua orang anak. Nak menangis air mata darah tak guna, orang dah tak suka. Saya berserah kepada Allah. ''Sebenarnya bekas mertua saya silap dia fikir rumah kami duduk milik bekas suami saya termasuk perabut, suami saya masuk ke rumah saya cuci kaki sebab, rumah saya walaupun flat adalah milik saya. Saya bekerja sebelum berkahwin. Selepas kahwin suami suruh berhenti.

''Saya bersyukur, emak ayah dan adik-beradik simpati dengan nasib saya, mereka banyak membantu membesarkan anak-anak, ketika diceraikan anak kedua berumur setahun, anak sulung dua tahun setengah. Ketika itu ramai lelaki masuk meminang, tapi semuanya saya tolak. ''Alasan saya kerana anak masih kecil. Saya tak mampu nak jaga anak mereka kerana ada antara duda tersebut mempunyai empat, lima orang anak. Saya fikir mereka tak mampu tanggung saya anak beranak, kerana mereka ada tanggungjawab besar. Walaupun mereka berjanji mahu bantu, saya tahu mereka tak mampu.

''Setelah anak bersekolah, saya kembali bekerja, niat saya mahu membesarkan mereka dengan titik peluh sendiri. Bukan saya tak pernah merayu pada bekas suami tambah nafkah, tetapi dia takut isterinya daripada Allah. Alasannya tak cukup duit, sedangkan saya tahu dari kawannya dia memiliki tiga buah rumah sewa. ''Saya masih ingat, satu hari anak saya balik rumah menangis bila ibu tirinya suruh dia cari kerja, tak payah masuk U, jangan susahkan ayahnya minta duit. Anak saya jarang jumpa ayahnya kerana ibu tiri keluar bercakap dengan mereka di pintu pagar. Anak saya pernah bercerita ayah mereka lebih takutkan isteri daripada Allah.

''Saya bersyukur anak-anak saya sudah bekerja dan dapat menjawat jawatan baik, sedangkan adik tirinya cuma tamat tingkatan lima. Pada pandangan saya Allah telah memberi petunjukNya semasa di dunia. Malangnya bekas suami saya tak nampak balasan Allah. ''Bercakap soal kahwin, hingga kini walaupun berumur lebih 50 tahun saya masih terima lamaran. Bila saya dah tua tentulah yang melamar orang tua. Saya lebih selesa hidup sendirian. ''Pada pandangan saya biarlah hidup duda atau bapa tunggal diuruskan anak sendiri supaya tidak ada perasaan hasad dengki dan bimbang harta milik ibu atau ayah mereka jatuh ke tangan isteri baru.

''Kepada wanita dan ibu tunggal yang dilamar oleh duda, jangan harap kesenangan jadi milik anda, biasanya anda akan dibiar sendirian setelah suami meninggal dunia. Anda hanya diperlukan untuk menguruskan makan minum suami yang sudah tua dan sakit terlantar tidak lebih daripada itu, kecuali anda sanggup lakukan dengan penuh ikhlas. "Lebih baik saya uruskan anak cucu saya selain diri sendiri. Saya tidak mahu ditinggalkan anak saya jika saya sibuk menguruskan suami baru dan anak tiri. ''Cuba bayangkan jika anda tinggal di rumah suami baru dan anak tiri, adakah ruang untuk anak anda datang menjengok atau bersama ketika Hari Raya. Bolehkah mereka tinggal di rumah ayah tiri?

''Kalau mereka sudah berkahwin, mereka senang mengikut suami ke rumah mertua. Jika belum berkahwin, mereka lebih rela berhari raya dengan rakan. Jadi apakah fungsi anda sebagai ibu? Kerana memikirkan semua ini, saya lebih selesa ibu tunggal tinggal sendirian." Itu pandangan Nurnisa menasihatkan ibu Shahrina supaya berfikir lebih mendalam.

Kredit : UtusanMalaysia



Kasih Seorang Abang Hingga Ke Hujung Nyawa



Terharu dan bangga dengan perkongsian kisah kasih-sayang seorang abang terhadap adik perempuannya . Kesanggupan seorang abang yang tidak memikirkan masa depannya sendiri semata-mata untuk menjaga adiknya sepenuh masa membuktikan erti sebenar cinta dan pengorbanan sesama manusia. Bukan calang-calang orang sanggup memikul tanggunjawab sebegini di saat usia masih remaja. Di kala rakan-rakan sedang bergembira menikmati waktu remaja mereka, insan mulia ini sanggup ketepikan semua itu demi adik yang tersayang. Kisah ini boleh diteladani oleh semua peringkat usia, kerana bukan semua orang boleh memiliki hati yang besar seperti beliau. Walau diuji dengan kesulitan dalam kehidupan, namun segalanya dilalui dengan redha. Sama-sama kita hayati kisah cinta agung yang dikongsikan oleh Wan Shahriza di laman facebooknya.

-Admin Laman Qaseh-

Hari ini saya ingin bercerita tentang sebuah kisah cinta.

Dan seperti kisah-kisah cinta lainnya, yang menjadikan ianya agung ialah kerana adanya pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan, dilakukan atas dasar kasih sayang sejati, penuh tulus dan tiada pretensi.Ini kisah Nazrul dan Natasya. Kisah perjalanan kasih sayang melewati masa dan ujian Tuhan. 

Natasya, ialah seorang anak yg periang, aktif dan bijak. Setelah memasuki Darjah Satu dan teruja dengan perkara-perkara baru yang dipelajarinya di sekolah, Natasya akan balik dan bercerita pada datuk dan neneknya tentang harinya di sekolah. Datuk dan nenek, yang membelanya penuh kasih sayang sejak kecil, akan mendengar dan melayan keterujaan cucu kesayangan yang sedang meneroka hidup dan alam.

Nazrul akan turut mendengar ketika mulut adiknya itu becok bercerita. Mereka berdua dan seorang lagi adik mereka tinggal bersama datuk dan nenek di sebelah bapanya apabila ibubapa mereka berpisah. Dan kemudian ujian melanda. Natasya didiagnos dengan kanser otak di usia 7 tahun. Setelah tiga pembedahan dilakukan membuang tumor di otaknya, Natasya berhenti meneroka hidup dan alam.

Dia tidak lagi memahami apa yg sedang berlaku di sekelilingnya. Tidak lagi mampu bergerak dan bercakap. Malah penglihatannya juga menjadi kabur. Maka terbaringlah dia dalam dunianya sendiri. Nenek dan Datuklah yang terus menjaganya. Dan abangnya Nazrul yang cuma setahun lebih tua.Nazrul akan berbaring di sebelah Natasya, mengagah-agah adiknya sampai Natasya terkekek-kekek ketawa, berbual-bual dengannya dan terus menyayanginya tanpa syarat dan batasan.

Setiap bulan akan ada bekalan ubat yang sampai ke rumah. Dihantar dari farmasi HKL. Pelbagai ubatan untuk membantu Natasya meneruskan hidup. Bukan lagi menyembuhkan. Antara yang wajib diambil saban hari ialah ubat sawan. Natasya kerap mengalami sawan. Doktor memang sudah berpesan tentang sawan yang boleh meragut nyawanya.

Dan Natasya juga masih perlu dibawa ke HKL untuk pemeriksaan dan rawatan. Di bawah wad neuro. Cuma kerana di.KK3, ada katil tambahan disediakan untuk penjaga pesakit, maka Nenek memohon utk menumpang di wad KK3. Ada katil tambahan untuk dia dan Nazrul berkongsi tidur. Setiapkali ke hospital, Nazrul akan bersama menjaga Natasya di wad bersama nenek. Nenek sudah beransur tua dan kian lemah. Natasya membesar dan semakin berat untuk mampu diuruskan Nenek.

Dan Nazrul lah yang akan membantu. Anak muda yang cergas dan kuat, walau fizikalnya nampak kurus.Rutin ini berterusan sepanjang 8 tahun. "Nazrul lah yg tolong mandikan adik. Bila Tasya dah besar ni, makcik dah tak larat nak angkat dan mandikan. Hanya balik-balikkan badan dia dan lap. Nazrul lah yg akan angkat adik ke bilik air dan mandikan. Suka sangat Tasya kalau abang dia balik."

Rutin rawatan di hospital yg berterusan dan kerap, memaksa Nazrul utk mengorbankan sekolah untuk menjaga adik. Akhirnya, semasa di Tingkatan 2, Nazrul berhenti sekolah secara rasmi. Mungkin sudah tidak sanggup mendengar guru2 bertanya bila dia kerap dan lama tidak hadir. Ibu-ibu pesakit lain dan nurse-nurse di KK3 kenal Nazrul. Seorang abang yang menjaga adiknya bersama Nenek yang tua di wad. Semua urusan Natasya boleh dilakukannya. Memberi ubat, menukar pampers, memandikan, menyuapkan makanan, meneman dan menghiburkan.

Tanggungjawab yang besar untuk seorang anak yang masih di awal usia belasan. Tapi apabila kasih sayang hadir bersama tanggung jawab, tiada yang besar dan membebankan. Nazrul akan melakukan segalanya untuk Natasya tanpa bersungut.Kisah cinta yang bertahan selama 8 tahun. Natasya meninggal Februari 2016 apabila mengalami sawan, di usia 15 tahun. Seorang ibu di wad KK3 bercerita di saat Nazrul berlari menyorong adiknya dgn wajah cemas masuk ke wad, masih berharap yang sesuatu masih boleh dilakukan.

Terkedu Nazrul bila Natasya disahkan sudah meninggal dunia. "Demam si Nazrul ni lepas adik meninggal. Dia lah yang rapat dgn adik. Kalau dia ada, dia tak bagi orang lain uruskan adik. Semua dia buat." Nazrul yg turut berada bersama kami ketika Nenek bercerita, hanya diam dan sesekali tersenyum apabila namanya disebut. Saya melihat dia menatap gambar Natasya di handphonenya. Gambar terakhir, sehari sebelum kepulangan Arwah ke rahmatullah."Nazrul sekolah balik ye.. adik pun dah takde. Nazrul kena belajar semula. Kena pikirkan masa depan." Saya memujuknya. Dia hanya senyum sambil kakinya menguis-nguis lantai.

"Tu lah, makcik cakap macam tu lah. Tapi nampak dia macam dah takde hati nak ke sekolah. Dah dua tahun lebih dah tak sekolah. Duduk rumah tolong makcik macam ni lah. Petang nanti gi ambik adik dia yg Tingkatan 2 dari sekolah. Kalau takpun, dia ikut ayah dia.. bantu ayah buat kerja kontrak. Nazrul ni nampak je kurus, tapi kuat dia ni.. angkat2 besi tu dah biasa."Nenek sedang mengalami sakit belikat. Mungkin kerana usia atau kerana bertahun-tahun menjaga cucu yang hanya mampu berbaring dan sesekali duduk.Tak mampu Nenek berdiri lama. 

Semasa saya sampai ke rumah mereka di Selayang, kedengaran Nazrul sedang membasuh pinggan di dapur, dan tak lama membawa air minuman keluar untuk saya. Sangat santun anak muda ini. Datang menyalami dan mencium tangan saya, seseorang yang tidak pernah dikenalinya. Ketika saya hendak pulang, Nazrul dan Datuk menghantar saya hingga ke kereta. Sebelum beredar meninggalkan rumah mereka, saya berpesan sekali lagi,"Nazrul sekolah balik ye."

Dan dari cermin sisi, saya melihat susuk tubuh Nazrul yang berdiri memandang kereta saya yg perlahan beransur pergi. Saya melihat seorang anak, cucu dan abang yang begitu baik.Saya melihat sebuah kisah tanggung jawab dan pengorbanan. Dan di sepanjang perjalanan saya, saya terus melihat sebuah cerita kehidupan yang diuji kesukaran, tetapi diindahkan dengan kasih sayang.Seorang lagi anak yang dalam hati saya telah saya lantik sebagai guru, mengajar saya di sekolah kehidupan.

Kredit : Fb Wan Shahriza



Membeli Hidup Di Hospital Pada Malam-Malam Ramadan




Ayuh , kawan-kawan, Ramadan kali ini, apa kata kita mengambil peluang untuk 'ambil peduli' sedikit sebanyak tentang diet pemakanan kita. Seperti ramai di luar sana tahu, penyakit kencing manis atau diabetes merupakan salah satu daripada 10 penyakit pembunuh utama di Malaysia. Statistik menunjukkan ramai di kalangan rakyat Malaysia menghidap diabetes. Ini pun dah cukup menakutkan. Melalui perkongsian Abd Ghani Haron di laman facebook, beliau sendiri menasihatkan supaya menjaga kesihatan sebelum terlambat. Sekiranya tidak dijaga dari awal, kesannya akan mendapatlah di hujung usia nanti. Ketika orang lain masih gigih melakukan ibadah di usia senja, kita berada di hospital untuk mendapatkan rawatan dialisis. Ini pun dah cukup terkilan bagi kita yang sudah berusia yang sepatutnya masih boleh menjalani ibadah dengan selesa dan sihat.

Ramadhan kali ini (sepatutnya setiap kali Ramadhan), kita cuba latih dan ubah diri kita mengawal pengambilan makanan yang sihat. Hampir setahun, kita dah suap perut dan tubuh badan untuk menerima pelbagai jenis makanan, kali ini kita cuba untuk rehatkan tubuh badan kita. Insya Allah, apabila dah biasa di latih selama sebulan, bulan-bulan seterusnya akan menjadi lebih mudah.

Mencegah adalah lebih baik dari merawat. Hargai kesihatan kita di usia muda lagi. Kita ikuti perkongsian beliau.

-Admin-


Malam ini malam pertama meredah dailisis seorang diri berteman seorang misi kerana saya mengubah jadual dailisis dari waktu 9 pagi kepada selepas berbuka.Saya khuatir tidak dapat berpuasa ketika dailisis kerana pening dan keletihan,jadi dibuat waktu malam.

Ketika orang berduyun ke masjid, majlis berbuka,saya dihantar oleh isteri ke Hospital Metro.Sendirian berbuka,bersolat maghrib dan menyerah lengan dikerusi dailisis kepada misi untuk dicucuk dua jarum sebesar dawai pagar untuk memulakan dailisis.Sakitnya tidak perlu di bicara lagi,ia mandatory, tidak boleh tidak.

Sendirianlah saya menempuh dalisis ini dikerusi ,menyambung berbuka yg tadinya hanya dg sebiji kurma dan seteguk air.Ketika orang memilih tempat beriktikaf di masjid,saya memilih kerusi dailisis,ketika orang mengharung solat jamaah dan terawih 3 jam,saya mengharung dailisis 4 jam dg jarum tertusuk dilengan,darah berlegar dlm tiub didepan mata.Biarlah solat terawih terkorban demi mengelak dari berpuasa ramadan yg terkorban.

Ketika jarum hampir berhimpun,isteri saya meredah malam sendirian,menjemput saya dihospital.Rutin ini akan berlaku 13 kali dalam bulan ramadan ini sebagai memenuhi tuntutan dailisis selang sehari.Saya bagaikan hadir untuk membeli hidup, membayar RM200 untuk hidup satu hari lagi,membeli dg penuh rasa sakit, pening dan keletihan.Pilihlah untuk tidak rosak buah pinggang.

Tidak ada siapa pun didunia ini yg mahu rosak buah pinggangnya, tetapi itulah kehendak takdir yg berlaku atas kelalaian diri sendiri. Pengambilan gula yg berlebihan telah menyebabkan kencing manis dan pengambilan ubat yg lama telah pula merosak buah pinggang.Diri sendiri yg salah,tetapi saya tetap tidak mahu mengalah,terus berjuang untuk hidup,walaupun membayar harga yg mahal,mengharung kesakitan yg menelan seluruh kelazatan hidup untuk beberapa ketika.

Pada anda semua saya tinggalkan pesan dari kerusi dailisis ini, kurangkan pengambilan gula, makanan manis,kurangkan makan nasi.Kurangkan melayan nafsu.Kepada mereka yg telah ada kencing manis,segerakan bertindak, suntik insulin jika dicadanglan doktor untuk mengelak kemungkinan rosak buah pinggang.Sakit suntikan jarum insulin takkan sama dg tusukan jarum dailisis yg berganda-ganda sakitnya.Pada anda yg sudah dailisis,berjuanglah utk terus hidup kerana semangat untuk terus hidup itu lebih besar dari ubat yg diberi oleh doktor.

Kemungkinan pada hari dailisis saya tidak dapat menulis,saya mohon maaf, namun program sedekah jariah akan diteruskan seperti yg dirancang.Mohon maaf kerana menulis hal diri utk kali ini.

Kredit : Fb Abd Ghani Haron

Pengalaman Menyayat Hati Zarina Zainuddin Mengasuh Anak Kembar Autistik Buka Mata Rakyat Malaysia


Admin sangat respect dan bangga dengan ketabahan, kesabaran dan kecekalan yang dimiliki oleh Puan Zarina dalam membesarkan dua anak kembar autistik. Bukan mudah ye, untuk mendidik anak istimewa ini untuk lebih berdikari dan pandai menguruskan diri. Di harap perkongsian ini dapat membuka mata semua masyarakat tentang anak-anak autistik. Dan juga kepada keluarga dan ibu bapa diluar sana yang mempunyai anak-anak autistik, agar kisah ini dapat dijadikan sumber kekuatan dalam membesarkan anak-anak ini. Dan Allah telah menjanjikan pahala yang berganda-ganda dalam kita memelihara mereka. Walau sukar di dunia, Insya Allah di akhirat kelak, anak-anak syurga ini jua yang akan membantu kita. Kita ikuti perkongsian kisah ini, 

-Admin Laman Qaseh-

MUHAMMAD Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai – boleh Zarina kongsikan, apakah kelebihan dan keterbatasan masing-masing? Bagaimana Zarina lihat pasangan kembar autisme ini saling melengkapi?

Ya, meski kedua-duanya anak Autisme, saya bersyukur, Tuhan tetap mengurniai beberapa kelebihan tidak tersangka. Muhammad Raizal Azrai (Azal) ini berdikari orangnya, pandai membawa diri, rajin bangun pagi, rajin juga bersolat Subuh.

Kalau di set penggambaran, Azal akan menunaikan solat apabila tiba waktunya, tidak perlu disuruh-suruh. Skrip lakonan saya, dialah yang menandanya. Bangun pagi-pagi, dia pasti mengetuk pintu kamar tidur saya lantas berteriak, “Ibu, ibu, shooting ibu pukul berapa? Ibu sudah solatkah? Mana skrip ibu? Apa lagi barang yang ibu nak bawa ke tempat shooting?” 

Azal anak yang prihatin, hatinya penyayang. Dialah orangnya yang menyuapkan ubat kepada abangnya selalu. Abang pula, Muhammad Razil Azrai (Azil) masih bergantung kepada ubat, namun saya tidak lagi mengizinkan Azil mengambil ubat sekerap dulu. Meski arahan doktor menetapkan bahawa ubat perlu dimakan dua kali sehari (setiap pagi dan malam), tetapi sekarang saya membenarkan Azil mengambilnya separuh sahaja.

“Apa sebenarnya kesan ubat ini?” Itulah persoalan yang selalu berlegar dalam fikiran saya.

Takdir Allah yang Maha Mengetahui, yang mengerti betapa hebatnya firasat dan naluri keibuan saya yang meronta, memberontak, menggelepar mahu mencari jawapan. Maka hendak dijadikan cerita, suatu hari, abang dan adik kembar ini bergaduh dengan teruknya. Muka abang berdarah-darah kerana abang memukul-mukul, menumbuk-numbuk mukanya sendiri. Bajunya basah dilumuri darah.

Melihatkan Azil amuk tidak terkawal, Azal bertindak mahu menenangkan si abang, segera mengambil ubat lantas memaksa si abang menelannya. Biar abang lebih relaks, kata Azal. Mereka masih bertikam lidah. Keadaan bertambah gawat. Si adik dengan hasrat mahu merawat. Abang terus memberontak. Hati saya panas. Saya akhirnya mengambil keputusan.

“Azal, beginilah,” pancung saya, tegas,  “Awak tengok ubat ini?” Azal mengangguk. “Awak ambil satu, saya ambil satu. Kita makan sama-sama.”

Tidak sampai satu jam selepas menelan ubat penenang itu, saya terus lembik dan terbaring tak berdaya. Serasa satu badan lumpuh serta-merta. Kami saya lembik. Kepala saya berpusing. Mata saya terkatup. Gelap-gelita. Saya dalam keadaan sedar, ya, tetapi saya tak mampu berjalan walaupun setapak. Subhanallah! Ya Tuhan! Inikah kesan ubat kami paksa Azil telan setiap hari selama ini? Inikah ubat yang telah membisu, menuli dan membutakan segala pancaindera manusiawinya, sehingga dia tidak lemah selemahnya, tidak berdaya?

“Saya mengantuk ibu. Saya tak boleh berjalan…” Azal merintih, lalu dia pun terlelap. 

Semenjak peristiwa itu, saya menerangkan kepada Azal mengapa kami harus berhenti memaksa Azil mengambil ubat. “Tengoklah abang awak, Azal. Setiap hari kita paksa dia makan ubat. Tengoklah keadaan abang, selepas diberi ubat, dia terbaring, tidur, tak sedarkan diri, tidak peka lagi pada keadaan sekeliling. Awak tak kasihankah tengok keadaan abang awak macam itu, Azal?”

Ya, selepas peristiwa itu, kami kawal dan urus pemberian ubat Azil. Kalau hanya perlu sebiji, maka sebiji sajalah yang saya beri meski preskrepsi doktor menyarankan duit biji. Benarlah, kita sebagai ibu harus mengambil tahu apa yang kita suap ke dalam mulut anak-anak kita. Jika ia memudaratkan, saya mohon kepada Allah, jauhkanlah. Jika dia perlu menanggung sakit, saya berdoa kepada Allah, pindahkanlah kesakitan itu kepada saya, biar seksanya saya sahaja yang menanggung.
Memaksanya mematuhi rutin ubat-ubatan itu, membuat saya tersedar, betapa kami telah merampas waktu gembiranya. Betapa kami telah merentap waktu sedarnya. Kami zalimi saat bebasnya. Kami pejamkan matanya sewaktu dia masih mahu melihat.

Ya Allah, betapa lalainya kami kerana menzalimi anak yang tidak berdosa ini.

Kedua-duanya bersekolah seperti biasa?

Tidak, Azil tidak dapat dihantar ke sekolah kerana dia hiperaktif, sukar dikawal berbanding Azal. Saya sedih kerana pihak sekolah sendiri menolak untuk menerima Azil, maka Azal sahaja yang berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah. Tetapi semasa Azal berumur 18, saya mengambil keputusan untuk menghentikan persekolahannya. Keputusan drastik itu kami ambil setelah berlaku satu peristiwa yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Ia berlaku lebih kurang dua tahun dahulu, sewaktu Azal menyertai rombongan jamuan Hari Raya anjuran sekolah. Waktu Maghrib sudah masuk. Saya pulang sekejap untuk bersolat Maghrib terlebih dahulu kerana rombongan sekolah yang dijanjikan tiba sekitar jam enam lebih,  masih belum tiba-tiba.

Setibanya saya di sekolah untuk menjemputnya, cikgu dengan wajah selamba memberitahu, “Dia sudah balik dengan kawan dia, puan.”

Jantung saya seperti terputus dari tangkainya. Jatuh melesat ke kaki! Anak saya bukannya normal. Mengapakah cikgu tergamak melepaskan dia melangkah keluar dari pagar sekolah begitu sahaja? Saya melilau mencari Azal, separuh sasau rasanya. Bagaimana jika dia terjun ke tengah-tengah jalan raya? Dirempuh kereta? Digilis lori?

Takdir Allah, wartawan majalah Harmoni, Ros, terjumpa Azal di tepi kedai 7-Eleven sekitar jam sembilan malam, berbaju Melayu, dalam keadaan berpeluh-peluh dengan muka sesat keliru. Bayangkanlah, dia berjalan kaki dari Bandar Sunway dekat Petron, melintas jalan raya yang sibuk.

Ya Tuhan! Bagaimana kalau anak autisme ini dilanyak bas atau lori di tengah-tengah jalan? Maaf, bagi saya, ini bukan seputar soal meminta kemaafan. Ini adalah soal rasa tanggungjawab. Ini adalah soal amanah yang dikecaikan. Saya benar-benar kecewa. Selepas berbincang panjang, saya dan suami akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan sahaja persekolahan Azal.

Biarlah, jika tiada orang yang sudi menjaga Azal sebaiknya, biarlah ibu sahaja yang berkorban menjaga Azal.

“Hei, tak tahu jaga anakkah? Apa wo, minum orang punya air???”

Begitu saya pernah dimarah pengunjung restoran kerana abang minum minuman orang lain, di meja orang lain. Ini bukan situasi ganjil buat saya, dimarah pelanggan kedai adalah perkara biasa, maka adalah tanggungjawab saya merendah diri memohon maaf atas kekhilafan dan tingkah lepas laku anak saya. Jauh di sudut hati, saya rasa hiba, kerana mereka tidak tahu inilah takdir dan nasib seorang anak autistik. 

Jadi Zarina mengambil risiko, mengurus Azil tanpa bantuan ubat-ubatan? 

Ya, walaupun keadaan tidak mudah. Pintu saya berlubang. Pecah dan ranap. Puuuung, paaanngg, puuuung, paaanngg. Bayangkan, dia melompat, menggelinjang, menggelenyar, malah ‘terbang’ di atas katil! Katil abang sudah dua kali pecah dan roboh. Tapi apa boleh buat?

Pernah juga berlaku, dia terjun ke laman rumah dari tingkat dua. Jika tantrumnya datang, dia akan menghantuk-hantukkan kepalanya ke tingkap kereta sehingga cermin kereta pecah dan mukanya berlumur darah. Ini cuma sebahagian drama air mata dan pahit-getir yang orang tidak nampak. 
Tetapi saya tabah, saya cekal, saya belajar untuk mengurus dan menangani tantrumnya dengan sabar. Saya lebih rela melihat dia sihat dan berjalan sana-sini seperti biasa daripada seluruh sistem badannya ‘dilumpuhkan’ dengan ubat. Selepas katilnya ranap beberapa kali, sekarang Azil tidur di lantai saja.

Tak mengapalah. Jika itu yang buat abang gembira, saya gembira.

Cabaran lain mengemudi hidup sebagai ibu anak-anak autistik ini?

Saya melihat cabaran itu bukan seputar mengasuh anak-anak autistik ini semata-mata. Tetapi ia menuntut pemerhatian dan keadilan saya dalam berbahagi-bahagi sayang dan perhatian. Mungkin ada waktunya saya terlepas pandang. Anak-anak yang berdua lagi (Muhammad Naim Azrai, 13, dan Muhammad Adam Azrai, 10) seperti terkesan dengan perhatian istimewa yang saya curahkan kepada si abang. Sehingga pernah terluah dari mulut Adam: “Ibu, mereka (para wartawan) tak tahukah yang ibu ada empat orang anak? Kenapa saya diketepikan? Saya tengok saja ibu posing dengan anak ibu yang istimewa. Dia anak istimewa, dah tentu dia masuk syurga, ibu. Syurga saya pula, macam mana ibu?”

Saya lihat mata Zarina berkaca-kaca. Tiba-tiba Adam muncul di hadapan kami, sesegera itu saya menghentikan rakaman perbualan kami di iPad.

“Sudah banyak kali ibu, sudah banyak kali. Bila ada apa-apa photo shoot, saya dan Naim mesti diketepikan,” tiba-tiba Adam mencelah, bunyinya hiba sekali. “Saya tahu abang istimewa. Tetapi ibu tak boleh buat buat begini. Saya ini pun anak ibu, tapi saya tak rasa ibu beri kasih sayang pada saya. Sikit-sikit ibu lebihkan abang. Sikit-sikit ibu bawa abang keluar. Saya yang bongsu, tapi kenapa saya tak dapat semua tu, ibu?”

Saya terpempan. Rasa bersalah bukan kepalang. Aduh, ini mungkin bukan masa yang baik untuk meneruskan temu bual dengan Zarina, bisik hati saya.
 
Allah, apa harus saya lakukan?
 
“Adam,” saya memegang bahunya, mengumpul kekuatan menolak sebak untuk bersuara, “Auntie janji, Auntie akan muat naik foto Adam bersama ibu, foto yang paling cantik, siap dengan ucapan istimewa Adam untuk ibu. Auntie mahu Adam karang sendiri ucapan Adam untuk ibu, can you promise me?”
 
“Apa yang awak nak luahkan?” Zarina menyoal kembali, lembut. Dengan wajah paling manis.
 
“Saya harap ibu tak lupa yang ibu juga ada dua orang anak yang lain selain Abang Azil dan Abang Azal. Saya rasa diri saya diketepikan.”
 
Air mata saya mahu menitik. Saya menahannya.

Sejauh mana anak-anak Zarina diajar berdikari?

Meski kami punya pembantu, saya selalu mengingatkan anak-anak agar sentiasa sedar diri, jangan ambil mudah. Seperti Naim, sewaktu kami berkonfrontasi tidak lama dahulu, saya katakan kepadanya, “Naim tidak malukah melihat kawan-kawan lain cemerlang dalam pelajaran? Naim tidak sedihkah orang mengeji ibu? Orang mengejek Naim, orang menghina ibu, tengoklah, anak artis, memanglah begitu.”

Saya beri kata dua kepada Naim. Jika Naim tidak minat belajar, enggan bertoleransi sesama adik-beradik, maka saya akan menghantarnya jauh ke sekolah tahfiz. Kata saya, di sana nanti, belajarlah membasuh baju sendiri, tiada siapa akan menghidangkan nasi dan lauk-pauk panas di meja, tiada siapa akan membancuhkan Milo ais atau susu kocak untuknya. Kalau di rumah, anak-anak ini hanya tahu melaung memanggil pembantu, “Bedaaahhhh… nak baju. Bedaaaaahhhh… nak makan.” Ya, Naim berubah selepas itu, dia memperolehi 4A dalam UPSR, jadilah... saya sangat bersyukur.

Saya mahu anak-anak saya juga belajar susah. Saya dulu sangat berdikari. Semua perkara saya buat sendiri. Saya juga bukan orang senang. Saya cuma ada sehelai baju sekolah. Selesai pakai dua hari, saya cepat-cepat cuci, keringkan dan pakai keesokannya. Anak-anak zaman sekarang tak belajar erti susah.

Nasihat Zarina kepada wanita di luar sana yang mengurus anak-anak Autistik?

Ada beberapa panduan boleh saya kongsikan di sini berdasarkan pengalaman peribadi yang tidak seberapa ini. Ingatlah, anak-anak Autistik amat selesa dan akrab dengan rutinisasi. Variasi yang cuba kita bawa ke dalam rutin mereka, perlulah dibuat dengan hati-hati, kerana ia boleh gelisahkan mereka. Mereka juga berdepan kesukaran dalam aktiviti motorik. Kerana itu, janganlah kecewa jika anak-anak autistik kita tak mampu bergiat cergas dalam sukan-sukan atletik (yang memerlukan koordinasi gerakan tubuh tertentu). Janganlah memaksanya melakukan sesuatu yang dia tak mampu. 

Banyakkan bersabar. Kesabaran yang saya maksudkan ini adalah kesabaran paling ikhlas. Ia tidak mungkin dapat anda pelajari dari mana-mana kamar kuliah sekalipun. Ia tidak mungkin dapat anda kuasai daripada ijazah yang tercetak cop mohor Harvard sekalipun. Mengendalikan anak-anak autistik, harus datang bersama kita, kesabaran, kebijakan, rasa reda, tawaduk, berserah dan pasrah atas pemberian Allah.

Seperti Azal dan Azil, mereka tiada keupayaan mengendalikan emosi mereka. Kalau boleh saya sebutkan di sini, kadang-kadang, mereka sendiri rasa terperanjat dengan emosi mereka, sehingga mereka amuk dan tantrum sedahsyat puting-beliung. 

Saya tidak malu mengakui, hingga saat ini, saya masih terus belajar memperbaiki interpersonal skill saya dalam mengurus Azal dan Azil. Saya bersyukur, saya diberi kesempatan untuk terus menatap dua anak istimewa ini, melatih mereka mengendali emosi, sosial dan intelektual. Biar mereka terus belajar menjadi manusia yang mandiri, yang tidak menyusahkan orang lain andai kata saya tiada lagi di dunia ini suatu hari nanti.  
Saya telah dipilih Allah untuk menghamili mereka, menyusukan mereka dengan tetes susu saya sendiri, maka saya pasrah dan berserah pada qada dan qadar ini. Tidak dapat saya membayangkan, bagaimanakah kehidupan Azal dan Azil selepas ini jika saya pergi dulu?

Mampukah kebajikan mereka dijaga, mampukah tantrum mereka dijinakkan kesabaran orang lain yang menjaganya selepas ini? 

Temu bual kami berakhir jam 9.35 malam. Di muka pintu kayu agam, saya mendakap Zarina rapat ke dada, mengharapkan semoga keteguhan semangat dan hatinya yang paling jernih itu meresapi atma saya. Di fikiran saya, adalah artikel yang harus saya tukangi segera, surat perlantikan menjadi pengawas sekolah yang baru ditunjukkan Adam kepada Zarina di meja makan sebelum saya memulakan temu bual, rintihan Adam menagih belas perhatian ibu — juga suara Azal yang baru bertempik membelah sunyi malam kerana cuba meleraikan pertengkaran kecil Adam dan Naim.

Semuanya mencakar-cakar hati saya.

Saya harus pulang segera, saya harus pulang segera, melimpahkan pusar perasaan ini ke skrin komputer. Semoga Allah merahmati seluruh isi rumah besar ini, bisik hati saya. 

Betapa besar rumah yang saya tinggalkan ini, besar lagi hati seorang wanita yang mendiaminya.

Kredit : Intrend
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.