SLIDER

“Tidur Sambil Berpegangan Tangan Adalah Momen Terindah Sebelum Dia Menghembuskan Nafas Terakhir” – Kamal Effendi Reda dengan Ketentuan Ilahi

5 Jul 2017


Cinta kepada arwah isteri, Idzni Dalilla jadi azimat dan bangkitkan semangat buat Kamal Effendi mendepani hari-hari mendatang.

DIA cuma guru biasa yang tidak mengharapkan cinta jauh sekali mahu mendirikan rumahtangga pada usia muda. Namun kisah cinta dan pengorbanannya terhadap arwah isteri cukup luar biasa. Demi cinta dan kasihkan isteri, segala yang termampu sudah ditunaikan. Takdir Allah menjemput isteri ke negeri abadi pada ulang tahun pertama perkahwinan mereka tular di laman sosial.

Betapa Allah mahu menguji dan mungkin mahu mengangkat martabat pasangan ini ke satu tingkat lebih tinggi, siapa tahu bukan? Tidak pernah menyesal bagi Kamal, 365 hari yang dilalui bersama arwah isteri memahatkan memori terindah. InTrend selami emosi dan semarak cinta yang kekal utuh menjadi pegangan Kamal Effendi.


Maaf seandainya menjentik emosi Kamal mengimbas kembali mengenai arwah isteri. Boleh kongsikan detik perkenalan Kamal dengan arwah Idzni?
Tak mengapa, insya-Allah boleh. Kami sebenarnya berkenalan melalui laman sosial (Instagram sekitar Februari 2015). Arwah isteri menghantar mesej panjang lebar lantas menghuraikan segala jangkaan yang diingininya dalam menjalin persahabatan tersebut.

Dalam masa sama, arwah isteri maklum mengenai beberapa kenalan perempuan saya pernah meluahkan hasrat hati sama untuk berkenalan dengan saya. Kebetulan antara kami, ramai mutual friends misalnya rakan sekolej saya juga berkawan dengannya.

Sejujurnya saya tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin pada usia muda. Saya sasarkan mahu menamatkan zaman bujang ketika berumur 30 tahun. Perihal itu juga saya huraikan kepadanya agar dia memahami dengan jelas. Tetapi rahsia di sebalik semua ini, pada saya jika bukan kerana arwah isteri, mungkin saya tidak akan berkahwin dengan sesiapa pun.

Dan entah mengapa selepas membaca segala luahan isi hatinya, saya terdetik hati untuk screen capture mesej tersebut dan kongsikan dengan keluarga. Kata keluarga, mengapa tidak kami keluar dan berjumpa. Lantas kami berfikir , okey jumpa sahaja. Dan jika selepas pertemuan tersebut tiada ‘spark’ atau mungkin tiada keserasian, tidak mengapa. Kami tidak akan rugi apa-apa.


Persepsi Kamal mengenai hubungan yang bakal terjalin?
Agak lucu kerana cara pendekatan perhubungan kami umpama menguruskan sebuah perniagaan (ketawa) kerana kami look forward what’s next and so on. Misalnya, “Suka tak? Okey, sekarang sudah suka sama suka dan kemudian ke peringkat seterusnya."

Malah sehingga kami memilih untuk berkahwin, perasaan berdebar itu ada kerana masing-masing takut jika antara kami tiada keserasian dan pelbagai emosi bersarang dalam hati.

Kami memulakan perhubungan ini dengan berlapang dada dan menerima sebarang kebarangkalian yang akan berlaku. Tetapi alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Mungkin itulah kuasa jodoh yang Allah sudah tetapkan dan tentukan untuk kami.


Antara ciri istimewa arwah isteri yang membuatkan Kamal berkata, “Ya, dialah pilihan hati saya...”
Arwah isteri seorang yang berani. Sejak awal perkenalan lagi, dia sudah berani meluahkan hasrat hati. Pada saya sebenarnya dia memiliki kualiti dan ciri istimewa yang tiada pada gadis lain.

Lebih menarik, dia tidak menggunakan khidmat atau bantuan rakan (orang tengah) misalnya. Apa jua yang diluahkan adalah lahir dari lubuk sanubarinya. Itu jauh lebih mudah dan secara tidak langsung mematangkan perhubungan kami. Kerana saya lebih suka pendekatan secara berterus-terang.


Bagaimana arwah isteri memberitahu Kamal mengenai penyakitnya?
Sebelum arwah isteri muncul dalam sebuah rancangan televisyen (sekitar 2015 dia menuntut di tahun akhir jurusan Perubatan di London), dia menghantar mesej. Katanya ada sesuatu yang ingin diberitahu. Dan sangkaan saya pada mulanya, mungkin dia mahu menukar tarikh pertemuan kami. Tetapi tidak. Katanya lagi, biarlah saya tahu mengenai perkara tersebut dari mulutnya sendiri. Rasa bimbang dan cuak mula bermain-main dalam ruang legar fikiran saya ketika itu.

Katanya lagi, dia sebenarnya sakit. Terkejut saya mendengarnya kerana memandangkan kami tinggal berjauhan, hanya foto di Instagram sahaja yang dapat saya lihat. Dan melihat kepada setiap foto yang dimuatnaik, pada saya dia nampak sihat dan lagaknya tidak seperti orang yang menghidap penyakit. Lalu saya bertanya sakit apa?

Jawabnya, kanser. Secara spontan saya bertanya lagi, “Stage berapa?” Jawabnya lagi, “Stage four.” Usai mendengar penjelasannya lantas membuatkan saya mahu mengetahui lebih dalam lagi perihal dirinya, mahu lebih banyak bertanya dan secara tidak langsung membuatkan saya mengagumi semangat dan ciri istimewa seorang gadis yang ada padanya. 


Dan detik pertemuan pertama itu...
Dua minggu selepas kemunculannya dalam rancangan tersebut (akhir Mac 2015), arwah isteri pulang ke Kuala Lumpur untuk bercuti selama dua minggu kerana kakaknya berkahwin. Kali pertama berjumpa memang saya banyak bertanyakan soalan mengenai keadaan kesihatannya, bagaimana dia survive seorang diri di London, apakah rawatan yang telah dilalui dan banyak lagi.

Dan pada kali pertama pertemuan, kami turut membicarakan mengenai perihal latar belakang keluarga masing- masing, asal-usul juga berkisarkan kepada topik perkahwinan. Tetapi kami tidak memutuskan untuk berkahwin. Menariknya, biarpun arwah isteri sakit tetapi dia masih punya semangat dan keberanian mahu mencari cinta.

Sebelum ini kata arwah dia pernah merasakan seolah- olah mementingkan diri sendiri jika mahu mencari cinta kerana maklum mengenai apa kesudahan yang bakal dilalui. Tetapi baginya ia umpama sudah mengalah di langkah permulaan jika dia berpegang kepada pendirian itu. Kerana cinta itu rezeki dan rahmat Allah katanya. Lalu mengapa mahu berputus asa kerana sesungguhnya jodoh itu di tangan Allah. 


Pertemuan selanjutnya yang membuahkan bibit ke arah perkahwinan?
Selepas itu kami memikirkan apakah kemungkinan yang akan berlaku seterusnya. Bagi kami, jika ada jodoh adalah, jika tidak masing-masing akan membawa haluan sendiri. Lalu saya mengambil inisiatif mengajaknya keluar untuk kali kedua pada hari lahirnya (11 April 2015) beberapa minggu sebelum dia pulang ke London. Saya mula merasakan ada sesuatu yang serius antara kami tetapi saya tidak memaklumkan kepada keluarga.

Bagi keluarga arwah isteri pula, segalanya dipermudahkan. Mungkin ya, benarlah kuasa jodoh. Jika kita mempunyai niat mahu mendirikan masjid, Allah akan permudahkan. Begitu juga dengan perjalanan perhubungan kami.

Selepas seminggu dia pulang ke London, kami berhubung lagi dan memutuskan untuk berkahwin melalui kiriman mesej. Tetapi dalam masa sama saya meminta tempoh berfikir untuk bertanyakan kepada ibu dan keluarga. Dan syukur ibu merestui malah berkata, “Gembirakan dia.” 


Pengalaman berkahwin, bagaimana rasanya?
Biarpun usia perkahwinan kami singkat, cuma setahun sahaja tetapi pada saya perkahwinan adalah sesuatu yang sangat indah. Saya bahagia. Hanya selepas tiga kali berjumpa kemudian kami memutuskan untuk berkahwin.

Walaupun pada mulanya kami umpama dua individu berbeza yang agak gusar melangkah ke fasa perkahwinan, tidak tahu apa yang menanti di hadapan tetapi persamaan kami adalah sifat terbuka untuk melalui detik seterusnya.

Selepas hari pertama berkahwin, arwah isteri bertanya kepada saya apa yang membuatkan saya memilihnya sebagai suri hati dan jawab saya, “Saya mahu menggembirakan, berbakti dan menyayangi dirinya selayaknya.

” Pegangan saya mengenai perkahwinan, ia adalah perjanjian dan komitmen seumur hidup. Berkahwin juga peluang untuk kita menggandakan pahala. Tidak sukar untuk  menabur budi dan berbuat baik kepada seorang isteri yang juga bakal ibu anak-anak kita.

Hubungan kami umpama bercinta selepas berkahwin dan ia cukup memaknakan hari-hari yang dilalui bersama. Dan selepas semua yang terjadi, walaupun isteri sakit tetapi saya tidak pernah merasa penat, alhamdulillah. Mungkin juga kerana sikap kami yang sering berterus terang, berkongsi segalanya dan jujur selain kesediaan untuk berbuat baik kepada isteri semuanya dipermudahkan Allah. 


Bagaimana kalian melalui detik berjauhan selepas berkahwin?
Kami berkahwin pada tanggal 27 Disember 2015 dan kira-kira sebulan selepas itu, arwah isteri pulang ke London semula untuk menyambung pengajian (menduduki peperiksaan akhir). Sepanjang tinggal berjauhan, kami banyak berhubung menerusi WhatsApp dan kadang-kadang e-mel. Walaupun tinggal berjauhan tetapi ia tidak menjarakkan perhubungan kami.

Arwah isteri pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian sekitar Mac 2016 dan dia bercuti hingga Julai 2016. Alhamdulillah, kami sempat menjalani kehidupan sebagai suami isteri sepanjang tempoh itu.

Syukur kerana sempat merasai nikmat dan hidup berumahtangga dalam bulan Ramadan dan dapat merasa air tangan arwah isteri memasak untuk saya. Selepas itu saya menghantarnyapulang ke London kerana dia menerima tawaran bertugas sebagai doktor.

Saya tinggal di sana selama tiga minggu dan sepanjang tahun 2016 saya berpeluang melawat isteri tiga kali di sana. Dan memandangkan kita bakal memasuki bulan Ramadan tidak lama lagi, sebenarnya terlalu banyak kenangan dan nilai sentimental yang menjentik emosi saya. Kerana sekitar bulan Ramadan, keadaan kesihatan arwah mula menunjukkan perubahan sedikit demi sedikit. 


Jika tidak keberatan, boleh kongsikan mengenai keadaan dan penyakit arwah selepas itu?
Arwah isteri pulang ke Malaysia sekitar Oktober 2016 kerana keadaan kesihatannya semakin merosot. Sehinggakan dia tidak berupaya untuk bekerja. Malah sejak baru berkahwin, dia sudah mula menampakkan tanda-tanda.

Misalnya tidak lagi aktif seperti dahulu, kadang-kadang berasa sakit di bahagian belakang, lenguh-lenguh sendi. Dan selepas itu sakitnya semakin kerap. Arwah menghidap penyakit kanser renal cell carcinoma (RCC) tahap empat dan ia adalah sejenis kanser buah pinggang yang jarang ditemui.

Tiada ubat yang mampu mengubati penyakit ini. Dan salah satu  faktor mengapa dia kembali menyambung pengajian dan bekerja di sana adalah untuk menjalani prosedur rawatan. Sebagai pelajar perubatan dan doktor, arwah isteri mempunyai kelebihan dan tiada kos yang perlu dibayar, semua rawatan dan ubat-ubatan percuma di sana.

Secara tidak langsung arwah isteri mendapat rawatan daripada kumpulan pakar terbaik di sana. Tiada ubat untuk mengubati penyakit RCC di Malaysia. Menurut rakan arwah isteri yang juga seorang doktor, ubat penyakit ini baru dibawa masuk tahun lalu jika mempunyai permintaan dan terlalu mahal kosnya yang menelan belanja sehingga setengah juta untuk penggunaan enam bulan sahaja.

Menurut ramalan doktor di sana, ubat yang diambil arwah isteri hanya memanjangkan jangka hayat selama setahun tetapi alhamdulillah arwah isteri mampu bertahan hingga empat ke lima tahun. 

Pada mulanya arwah isteri didiagnosis menghidap penyakit RCC sekitar tahun 2011 ke 2012 ketika masuk tahun kedua belajar. Sebagai pelajar perubatan, mereka perlu menjalani pemeriksaan lengkap untuk mengetahui tahap kesihatan.

Dijadikan cerita, bahagian pinggang arwah isteri mempunyai satu tekstur yang keras dan tidak lembut seperti biasa. Dan selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, doktor mendapati ia adalah sejenis kanser.

Arwah isteri terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian buah pinggang selepas itu dan cuti sakit selama setahun. Ketika itu penyakitnya didiagnosis pada tahap tiga. Namun dek kerana lewat menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan, ia sudah merebak pada bahagian paru-paru dan tulang. Kemudian, arwah isteri masih mahu meneruskan pengajian.

Pada mulanya doktor gusar adakah dia mampu melakukannya. Doktor juga pernah berkata, kebarangkalian untuk arwah isteri hidup mungkin tidak sampai dalam tempoh setahun memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Tetapi arwah isteri tetap dengan pendiriannya mahu menamatkan pengajian. Berbekalkan semangat, iltizam yang tinggi dan iringan doa serta sokongan keluarga alhamdulillah Allah makbulkan impiannya.

Bagi arwah isteri, mengapa mahu menunggu ajal menjemput kerana maut berada di mana-mana dan boleh berlaku kepada sesiapa. Rentetan itulah dimensi pemikiran saya mengenai percaturan, jodoh dan sebagainya tidak memberi tekanan. Mungkin kerana pengalaman melihat dan berada dalam saat genting seperti apa yang berlaku kepada arwah isteri membuatkan saya lebih positif, tenang dan menerima ketentuan-Nya. 


Lantas, bagaimana kalian kekal positif melalui momen itu?
Alhamdulillah, saya banyak belajar daripada arwah isteri dalam soal ini. Kata orang suami perlu kuat kerana jika tidak bagaimana isteri mampu meminjam kekuatan itu. Tetapi kekuatan itu bukan menjadi paksaan bagi saya. Kerana isteri selalu berkata jika mempunyai apa jua perasaan sekalipun sebenarnya kita tidak dapat lari daripadanya. Misalnya jika sedih, kita perlu menerima kesedihan itu.

Jika mahu menangis untuk meredakan perasaan sedih, menangislah. Saya akui merasa takut untuk menempuhi semua itu tetapi arwah isteri memainkan peranan. Dia menyokong dan mententeramkan emosi saya dan secara tidak langsung itu yang menjadi sumber kekuatan.Kami saling memberi kekuatan semangat. Melihat ke lubuk sanubari arwah isteri, masya-Allah. Dia seorang wanita cekal yang mempunyai semangat tinggi dan positif.

Itulah kekuatan dirinya yang saya pinjam dan sematkan dalam diri hingga hari ini. Selain itu rahsia kekuatan saya berpunca daripada amalan isteri. Jika solat Subuh, lazimnya dia akan bangun lebih awal.

Dia akan mulakan dengan melakukan solat taubat dan solat tahajud. Rutin ini tidak pernah ditinggalkannya sepanjang tempoh dia sakit. Sejujurnya saya tidak pernah melakukannya sebelum berkahwin. Dan arwah isteri telah mengubah saya pada awal perkahwinan kami hingga hari ini.

Dia telah mendidik saya dengan rutin ini yang secara tidak langsung memberi kekuatan kepada kami sepanjang tempoh itu. Dan tanpa disedari juga arwah isteri seolah-olah mahu mempersiapkan saya agar lebih tenang jika dia tiada suatu hari nanti. 


Kongsikan antara detik sukar yang Kamal lalui?
Berada di sisinya, saya melihat dan merasai semua perasaan juga masa-masa sukar.Misalnya arwah isteri perlu bangun tidur seawal tiga pagi untuk memakan ubat. Ia sejenis pil seperti pil kemoterapi dan mempunyai kesan sampingannya. Sebelum dia mengambil ubat tersebut, dia perlu pastikan perutnya kosong tiga jam. Dan selepas makan ubat juga dia perlu memastikan perutnya kosong juga.

Jika tersalah makan akan mengakibatkan cirit-birit dan muntah. Rambutnya juga bertukar ke warna perak. Dan saya sudah bersedia dengan segala perubahan itu kerana arwah isteri telah memberitahu lebih awal sebelum berkahwin.

Daripada perspektif lain juga, detik sukar ini turut mencakupi aspek keyakinan diri. Tentang bagaimana keyakinan seorang isteri perlu berhadapan dengan seorang lelaki yang baru dikenali dan dikahwini.

Dan saya maklumkan kepadanya bahawa setiap perubahan yang dilalui akibat kesan penyakit ini misalnya rambut bertukar ke warna perak itu semua tidak mendatangkan masalah kepada saya. Ia terlalu kecil dibandingkan dengan kesakitan yang terpaksa ditanggungnya.

Pengalaman detik sukar lain termasuk apabila arwah isteri masih di sana dan tidak berupaya untuk bekerja kerana terlalu sakit. Dia tidak boleh berdiri terlalu lama. Dalam masa sama, dia sudah mula mengambil morfin sebagai ubat tahan sakit.Kemudian bermulalah episod-episod duka apabila dia menelefon saya dan menangis. Perasaan saya pula ketika itu sukar ditafsirkan.

Katanya disebabkan terlalu sakit dan ubat juga tidak mampu menghilangkan kesakitan yang dirasai, tetapi jika dengan berkongsi dan meluahkan perasaan sedih dan sakit dengan suami secara perlahan-lahan kesakitan itu akan beransur kurang. Dan setiap kali dia menelefon, kami akan menangis. Hinggalah kesihatannya semakin merosot, saya terbang ke London sekitar Oktober 2016 dan membawanya balik ke sini.

Masih segar dalam ingatan apabila saya menolaknya dengan kerusi roda, membawanya berjumpa doktor untuk sesi temu janji dan pemeriksaan. Tidak seperti pasangan suami isteri yang lain. Si suami menolak isteri yang mengendong bayi tetapi saya menolak isteri yang sakit.

Tetapi saya sudah bersedia dengan kemungkinan kami tidak mempunyai zuriat kerana menurut doktor kami tidak boleh mempunyai anak. Tetapi saya sandarkan kepada Allah. Jika ada rezeki, adalah. Jika tidak sekalipun, tidak mengapa.

Memasuki November 2016, keadaan arwah semakin teruk. Dia tidak boleh berjalan (bedridden). Kebetulan ketika itu musim cuti persekolahan dan saya boleh fokus untuk menjaganya sepenuh masa.

Saya pernah berkata kepadanya, “Mengapa cepat sangat benda ini berlaku?” Jawabnya, “Tak apa, kita doakan yang terbaik. Have faith.” Syukur juga kerana kami mempunyai keluarga yang benar-benar memahami dan memberi sokongan.

Baik keluarga saya, keluarga mentua, ipar-duai semua memainkan peranan dan membantu. Saya tinggal di rumah ibu mentua untuk menjaga arwah isteri. Saya mengangkatnya, memandikannya, mencuci najis, menyalin lampin dan sebagainya. Ia banyak mendidik saya untuk lebih mendalami sifat sabar.


Masa benar-benar menduga kalian bukan?
Ya dan kerana itu kami pastikan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain. Selalu berkongsi rasa dan apa jua bersama lebih-lebih lagi saat dirinya semakin sakit. Sebenarnya kelebihan adalah kami tahu bahawa masa tidak berpihak kepada kami. Dan disebabkan itu saya berikan yang terbaik untuk arwah kerana tidak mahu ada penyesalan kemudian hari.

Saya pernah bertanya kepadanya, “Jika awak dijemput Allah, adakah awak akan pergi dengan rasa tenang dan gembira?” Jawabnya, “Ya, sebab saya dikurniakan suami terbaik, saya dapat habiskan belajar, dapat bekerja dan saya sudah peroleh semua yang saya inginkan.”


Momen terakhir yang diingati sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir?
Kira-kira dua hari sebelum arwah isteri ‘pergi’, dia menunjukkan perubahan ketara. Banyak bercakap dan selera makannya berubah. Semua yang mahu dimakan saya cari dan berikan kepadanya. Daripada keadaan fizikal pula tidak nampak seperti orang sakit.

Saya meletakkan harapan tinggi bahawa dia akan kembali pulih dan sihat sepenuhnya. Daripada kami boleh tidur bersama sehingga perlu tidur berasingan disebabkan keadaannya yang sakit. Daripada boleh berpelukan kemudian sehingga boleh berpegangan tangan.

Dijadikan cerita, pada malam 25 Disember 2016, dia teruja dan begitu seronok lantas meminta agar saya tidur bersamanya. Ketika itu kami tinggal di rumah kakaknya. Lazimnya dia akan tidur bersama kakak dan ibunya. Tetapi berbeza dengan malam itu. Kami tidur sambil berpegangan tangan dan keesokan harinya (26 Disember) adalah hari lahir saya. Dan tidak menyangka itu adalah malam terakhir kami dapat tidur bersama.

Rupa-rupanya Allah memberi peluang terakhir buat saya melalui momen itu. Apabila dia bangun pagi keesokan harinya, dia semakin sakit. Mungkin kesan daripada kesakitan itu, dia terlupa hari lahir saya. Dan di awal perkahwinan dahulu dia pernah memberitahu beberapa kesan sampingan yang akan dirasainya misalnya lumpuh, terlupa dan sebagainya.

Sudah tentu saya menanti ucapan hari lahir daripadanya kerana ramai ahli keluarga dan rakan-rakan mengucapkan selamat hari lahir juga mengirimkan ucapan menerusi kiriman WhatsApp. Tetapi selepas saya beri ubat kepadanya, dia masih mendiamkan diri.

Saya berkata padanya, “Hari ni hari jadi I,” dan dia meminta maaf kerana terlupa disebabkan terlalu sakit dan berkali-kali dia memberi ucapan kepada saya sehinggalah dia tertidur. Dan sebenarnya arwah sudahpun menulis ucapan panjang lebar dalam diarinya sebelum dia benar-benar sakit.Berbicara mengenai diari, terlalu banyak perihal saya yang ditulisnya. Barang- barang, buku-buku dan pelbagai item semua tersimpan rapi.

Dahulu arwah pernah menyuarakan kebimbangan dan perasaan takutnya untuk berdepan dengan kematian. Tetapi saya sering mengingatkannya agar banyakkan berdoa. Juga saya mengingatkan arwah isteri agar membaca Surah Al-Mulk kerana maklum tafsiran surah ini adalah peneman buat kita di alam kubur.

Dan kala kami berbual santai, saya katakan padanya, “Kalau I... Nak mati dalam tidur sebab I fikir dalam tidur mungkin tidak terasa sakit,” dan arwah sekadar mengangguk. Detik cemas bermula sekitar jam tujuh malam pada hari lahir saya, 26 Disember apabila keadaan arwah semakin tenat. Nafasnya berbunyi akibat jangkitan kuman.

Saya menelefon ambulans dan dia dibawa ke Hospital Kajang. Tiba di Unit Kecemasan, arwah isteri dipakaikan tiub oksigen dan masih sedarkan diri. Hinggalah tengah malam, dia meminta ubat daripada ibunya. Katanya mahu makan ubat sebelum tidur. Dalam keadaan sakit, dia tetap mahukan ibunya. Dia menggenggam jari-jemari ibunya dan berkata jangan tinggalkannya.

Ibunya menemani di hospital ketika itu dan saya pula di rumah kerana suami tidak dibenarkan bermalam di wad wanita. Awal pagi jururawat melihatnya semakin senyap dan kebetulan arwah pergi dijemput Ilahi ketika tidur sekitar jam tiga pagi. Segala urusan dipermudahkan kerana usai dia meninggal, kami segerakan pengurusan jenazah.

Menjadi permintaan arwah juga jika dia meninggal dunia agar segala urusan diselesaikan sesegera yang boleh. Solat jenazah dilakukan di hospital dan disemadikan di Sungai Kantan, Kajang berhampiran kawasan rumah ibu mentua.


Selepas pemergian isteri, bagaimana Kamal mengharungi setiap perubahan yang berlaku?
Ada dua perkara yang perlu saya kendalikan. Pertama adalah daripada segi emosi dan kedua adalah perhatian daripada orang ramai. Sejujurnya selepas pemergian isteri, hidup saya berubah 360 darjah. Semua momen yang kami lalui bersama pada saya terlalu privasi dan istimewa.

Malah saya tidak menyangka sama sekali ia akan menjadi bahan atau tajuk utama portal, laporan berita, akhbar perkongsian di laman sosial sehingga menjadi tular. Daripada perspektif lain saya memikirkan apa yang perlu saya lakukan dengan perhatian daripada orang ramai. Selepas arwah isteri meninggal, saya menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai.

Ada isteri yang baru kehilangan suami akibat kanser, ada yang baru menghidap kanser meninggalkan mesej kepada saya bertanyakan bagaimana perlu melalui semua ini dan apa yang harus dilakukan untuk meneruskan hidup, memang banyak.

Secara peribadi, sukar untuk menghuraikannya malah tidak bersedia untuk melaluinya apatah lagi menjangkakan perhatian yang diterima daripada pelbagai pihak seperti yang berlaku hingga hari ini.

Rupa-rupanya ada yang menjadikan kisah kami sebagai sumber inspirasi dan sebagainya. Sejujurnya saya masih memerlukan masa untuk membiasakan diri dan menerima semua ini. 


Apa yang Kamal boleh kongsikan mengenai istilah pengorbanan yang dilalui sepanjang pemergian isteri?
Saya meletakkan taraf ibu pada tingkat tertinggi kerana seorang ibu telah berkorban seumur hayatnya demi anak-anak. Maka dengan itu saya hormati kedudukan seorang ibu di sisi anaknya. Biarpun isteri sakit, saya tetap mendahulukan ibu mentua untuk mengendalikan apa yang perlu kerana pada hemat saya ibu mentua lebih berhak.

Seperti arwah isteri, apabila sakit dia masih lagi mahukan ibunya menemani. Dan itu sudah cukup menterjemahkan kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu. Bercakap mengenai ibu mentua, dia seorang yang cekal, tabah dan positif.Dan arwah isteri mewarisi kekuatan semangat daripada ibunya. Saya cukup beruntung dipertemukan dengan keluarga mentua. Banyak yang saya pelajari daripada mereka. 


Bila rindukan arwah isteri, apa yang Kamal lakukan?
Saya akan menangis dan perasaan rindu itu sentiasa ada. Saya akan melihat semula koleksi peribadinya kerana sewaktu awal perkenalan dahulu kami banyak mengutus surat.

Saya akan membaca diarinya, belek semula gambar-gambarnya, wangian pertama yang dihadiahkan kepada saya, baju-baju dan banyak lagi. Dan saya sering mengingatkan rakan-rakan agar cipta memori dengan mengambil gambar insan yang kita sayangi.

Misalnya dengan bergambar, ia umpama memori kecil tetapi nilanya amat bermakna untuk dikenang jika mereka pergi meninggalkan kita suatu hari nanti. Kata orang kesibukan akan mengatasi kesedihan tetapi berbeza dengan saya. Hari pertama saya kembali ke sekolah untuk mengajar, entah mengapa saya terus menghantar mesej kepada arwah isteri menyatakan saya sudah sampai sekolah.

Dan saya tidak menyedari tindak-tanduk ketika itu kerana sudah terbiasa. Dan dalam waktu sibuklah lazimnya saya akan mengingatinya. Misalnya, tiada lagi isteri yang akan mengingatkan saya agar makan, itu dan ini. 


Hikmah di sebalik apa yang terjadi?
Hingga kini saya masih mencari dan sebahagiannya ada yang sudah dilihat dan saya rasai. Perkara ini masih baru pada saya. Biarpun setahun tetapi sarat dengan pelbagai perasaan. Saya tidak mampu mengungkap dengan kata-kata betapa bahagianya saya dalam tempoh singkat itu. Dan dalam tempoh itu arwah isteri beri dan tinggalkan bekalan yang terbaik untuk saya kenang sepanjang hayat.

Malah apabila saya dilanda masalah, saya tidak cepat melatah dan berputus asa sebaliknya lebih positif. Hikmah lain termasuk saya berpeluang menyebarkan kebaikan kerana ia adalah hasil perhatian orang ramai.

Daripada mula berkahwin kami sudah tular dan selepas pemergian arwah isteri juga perhatian yang sama saya peroleh. Walaupun pada mulanya saya terfikir, siapalah saya di mata masyarakat sehinggakan menerima undangan ke sesi perkongsian itu dan ini untuk menceritakan segalanya.

Saya bersyukur kerana perhatian ini dan berharap agar dapat berkongsi kebaikan dan memberikan inspirasi kepada semua. Hingga hari ini saya masih mencari dan mengumpul kekuatan kerana sumbernya datang daripada keluarga dan pendorong terbesar adalah diri sendiri.

Mungkin mudah orang mengatakan ‘be strong’ tetapi hakikatnya saya tiada pilihan lain kecuali mencari kekuatan diri. Tetapi saya lebih suka melihat setiap memori bersama arwah daripada sudut positif yang membangkitkan semangat berbanding meratap sedih sepanjang masa.

Oleh: Huda Hussain




Sedihnya , Ibu Sanggup Berkorban Nyawa Demi Memberi Zuriat Kepada Suami

3 Jul 2017


Hari ini dan kebelakangan ni saya terima macam-macam pertanyaan daripada ramai wanita yang merasa kecewa berpanjangan kerana setelah beberapa lama mencuba, masih belum hamil lagi.

Masa Hari Raya ini lah ramai di antara mereka meluahkan luka hati dan menahan sebak di hati bila diteguri saudara-mara dan ditanya-tanya "Bila lagi nak menimang anak" . Hari ini juga saya teringatkan peristiwa ngeri yang sangat menakutkan saya pada tahun 1999, iaitu 18 tahun yang lalu.

Saya nak ceritakan kisah seorang wanita berumur 33 tahun yang setelah 10 tahun mencuba untuk menjadi hamil tetapi tidak berjaya. Kerana hendak sangat mendapat cahaya mata, pasangan ini telah menjalani rawatan IVF sebanyak 3 kali. Kali pertama dan kedua gugur. Mereka tersangat-sangat kecewa. Kali ketiga berjaya, kerana diberikan hormon yang berdos tinggi untuk menampung kehamilannya pada tiga bulan pertama.

Tetapi rawatan kesuburan dan IVF ada kesan sampingannya. Salah satu kesan sampingannya ialah ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS), dimana hormon yang digunakan untuk merangsangkan ovari menyebabkan ovari menjadi besar dan terlalu bengkak. Ovari ini juga mengeluarkan kelebihan hormon yang membolehkan air dari dalam saluran darah meresap keluar daripada darah. Akibatnya darah menjadi lebih pekat daripada biasa dan lebih cenderung mendapat darah beku di bahagian kaki.

Ibu ini mendapat darah beku di kedua-dua belah kakinya (Deep venous thrombosis). Untuk mengelak masalah darah beku ini bertambah teruk, ibu ini mendapat rawatan injektion heparin untuk mencairkan darahnya setiap hari. Tetapi nasib ibu ini tidak baik kerana darah beku itu bertambah teruk dan berlanjut dari saluran darah di bahagian kedua-dua betis hingga ke saluran darah besar iliac di atas paha sampai ke paras pinggangnya. Ibu ini terpaksa tinggal di dalam wad untuk rawatan heparin setiap hari.

Pada satu hari, pada minggu 35 kehamilan, ibu ini tiba-tiba tidak boleh bernafas dan tidak sedar diri. Kami semua bergergas mendengar loceng kecemasan, dan memang kami semua sudah tahu yang bila ibu ini tidak boleh bernafas, ini bermakna terdapat ketulan darah beku yang sudah sampai ke dalam paru-paru nya (pulmonary embolism).

Ini menjadi satu kecemasan. Jantung ibu sudah berhenti berdenyut, ibu sudah berhenti bernafas. Ini ialah keadaan yang dinamakan 'cardiac arrest'. Kami tidak ada pilihan lagi, saya didalam pasukan pertama terus membuat CPR, menekan dadanya bertubi-tubi untuk memaksa jantungnya untuk terus mengepam dan mengalirkan darah, sambil pasukan kami kedua memasukkan tiub pernafasan ke dalam saluran pernafasannya untuk memaksa oxygen masuk ke dalam paru-parunya dan pasukan kami yang ketiga dengan serentak membuat pembedahan Caesar di atas katilnya di dalam wad juga.

Tidak ada masa untuk memindahkan ibu ke OT (operating theatre). Tidak ada masa untuk memberi ibu yang tak bernyawa ubat bius. Tidak ada masa untuk kami bertukar pakaian ke baju 'scrub'. Tidak ada masa untuk kami mencuci tangan. Pasukan ke-empat kami memberi bayi bantuan pernafasan. Pasukan kelima membuat pembedahan dada ibu untuk mengeluarkan 4 ketulan darah yang besar dari dalam saluran darah paru-paru.

Bayi berjaya diselamatkan tetapi kami gagal menyelamatkan nyawa ibu. Suaminya berlinangan air mata bila menyambut bayinya. Saya tidak boleh bayangkan perasaan suami yang kehilangan isterinya yang tersayang, kerana terlalu sangat hendak mendapatkan cahaya mata. Sekarang dikurniakan cahaya mata, tetapi alangkah sedihnya bagi suami ini kerana pada setiap tahun menyambut hari jadi anaknya terkenangkan peristiwa yang meragut nyawa isterinya.

Sejak hari itu, bila saja saya bertemu dengan wanita yang bersedih di klinik infertiliti untuk rawatan kesuburan, saya selalu menasihatkan mereka supaya bersabar dan bersyukur walaupun belum lagi hamil. Ramai yang tidak faham mengapa mereka patut bersyukur. Ada angin, ada pohonnya.

Tetapi saya pula tidak faham mengapa masyarakat kita selalu sangat melukakan hati dan perasaan pasangan yang belum lagi mendapat anak. Bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang. Bila bertemu pasangan yang belum lagi ada anak, pantang bertanya 'bila lagi nak menimang anak'. Kalau tak boleh juga buka topik yang lain, sila 🤐 🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐🤐

Tambahan:
Di antara wanita yang menerima rawatan kesuburan ART (Assisted reproductive technology), 33% akan mendapat masalah OHSS yang sementara dan ringan, 3-8% mendapat OHSS yang sederhana atau teruk. Risiko ini lebih tinggi lagi bagi wanita yang juga mempunyai PCOS. Bagi wanita yang mempunyai PCOS lebih baik berusaha menurunkan berat badan dan bersenam dengan kerap untuk meningkatkan kesuburan.



Saya Bukan Wanita Malang , Yang Malang Dan Tersilap Buat Pilihan Adalah Si Suami Yang Suka Aniaya Isteri Itu


Susulan artikel oleh Prof Muhaya 


Berikut komen seorang pembaca di FB beliau ;

Dear Prof Muhaya, 

Perkataan malang itu tidak sesuai untuk digunakan sama sekali. Saya betul betul tak setuju. Saya percaya ramai di luar sana yang ada pemikiran tipikal sama seperti Prof Muhaya memandang 'kita' sebagai wanita malang. Hidup ini adalah ketentuan Allah, kita merancang Allah yang tentukan segalanya. 

Contoh macam saya ni , jika dilihat dari sudut positif, saya tak silap buat pilihan pun Prof dan saya bukan wanita malang , yang malang dan tersilap buat pilihan serta langkah adalah si suami yang suka aniaya isteri itu kerana hanya 'Jauhari sahaja yang mengenal manikam'. 

So mane mane lelaki lelaki yang bukan jauhari tu die yang malang sebenarnya. Di akhirat kelak, lelaki lelaki yang menganiaya wanita ni kemungkinan lelaki lelaki 'paling' malang kerana Rasulullah s.a.w sendiri ada berpesan berbuat baiklah dengan wanita. 

Al Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallhu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, yang ertinya :
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, janganlah ia mengganggu tetangganya, dan berbuat baiklah kepada wanita. 

Sebab, mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atasnya. Jika engkau meluruskannya, maka engkau mematahkannya dan jika engkau biarkan, maka akan tetap bengkok. Oleh karena itu, berbuatlah baik kepada wanita.” (HR. Bukhari dan Muslim). I have nothing to lose at all. I am a better person now. 

Alhamdulillah. Tak terasa malang sikit pun. Mana lah kita boleh 'predict' pilihan kita buat tuu apa yang sedang menanti di hadapannya. Malang ke paling malang ke tak.

I believe ramai juga wanita di luar sana yang sama status dengan saya rasa ketidakpuasan hati pada 'statement' 'malang' ini tetapi tak berani untuk menyuarakan apa yang terpendam. Bagi saya, tersilap buat pilihan dalam kehidupan tak kisah lah sama ada dalam proses memilih pasangan, pelajaran mahupun berkaitan kerjaya merupakan satu pengalaman. 

Apa yang kita panggil itu pengalaman hidup yang lebih mematangkan kita. Cabaran kemanisan, kepahitan dan dugaan selalu ada dalam setiap perjalanan kita kerana hidup ini banyak ujiannya. Pahit manis ranjau kehidupan. Jadi jangan lah sewenang-wenangnya menggelar 'kita' wanita malang. Bersangka baik lah dengan Allah. 

Sesungguhnya rahmat Allah itu lebih mengalahkan kemurkaannya. Ingat, jangan mengaku kita hamba Allah yang beriman jika kita tak pernah diuji- 

'Life experience is priceless'
Yang ikhlas,
Sabrina  

7 Langkah Membuat Tuntutan Perkeso Ketika Jatuh Sakit

7 Langkah Membuat Tuntutan Perkeso Ketika Jatuh Sakit

2 Jul 2017



Ramai juga kenalan kami yang hairan, bagaimana suami saya boleh mendapat pencen Ilat PERKESO, sedangkan dia sudah pun berhenti makan gaji lebih kurang setahun, ketika jatuh sakit. Saya juga sebenarnya tidak tahu menahu akan hal tuntutan kepada PERKESO ini, sehinggalah seorang saudara memberitahu saya ketika suami masih di hospital dulu. 

Saya fikir, jika sudah tidak bekerja makan gaji, sudah tidak boleh membuat apa-apa tuntutan. Saudara (sepupu) saya itu langsung tidak ‘mengganggu’ saya ketika saya sibuk berulang ke hospital dan susah hati menghadapi suami yang sakit tiba-tiba. 

Saudara itu dengan usaha sendiri mendapatkan nama penuh suami dan dia minta abangnya periksa status kelayakan suami saya di PERKESO. Setelah mendapat kepastian, barulah dia memaklumkan hal itu pada saya. Tidak berapa lama selepas itu, saudara itu juga mendapatkan borang tuntutan PERKESO untuk saya. Alhamdulillah. Allah menghadirkan ramai insan yang membantu dan memudahkan urusan saya ketika keadaan yang sangat sukar.

Suami Puan Raudzah, Tuan Idzwan ketika diambil timbangan.
Suami Puan Raudzah, Tuan Idzwan ketika diambil timbangan.

Menurut pegawai PERKESO, secara kasar caruman suami saya cukup untuk membuat tuntutan. Rupa-rupanya, sekiranya kita pernah bekerja, dan mencarum dengan PERKESO, kita boleh membuat tuntutan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang digariskan PERKESO.

Hendak dijadikan cerita, setelah permohonan suami saya dalam proses, pegawai terbabit menyatakan caruman suami masih tidak cukup pula. Tetapi dengan inisiatif pegawai terbabit menyemak semula rekod, mereka dapati syarikat tempat suami bekerja sebelum ini tidak melunaskan caruman suami selama beberapa bulan. Pihak PERKESO kemudiannya menghubungi mereka dan minta bayaran tersebut dibuat untuk kebaikan suami.

Alhamdulillah, pihak syarikat itu tidak mengambil masa yang lama untuk menghantar cek pembayaran kepada PERKESO. Jika bayaran tertunggak itu tidak dibuat sebenarnya tindakan boleh diambil oleh PERKESO. Tetapi tentunya ia memakan masa.

Suami saya telah menerima pencen Ilat PERKESO bermula hujung tahun lepas. Oleh kerana keadaan suami yang terlantar dan memerlukan penjagaan rapi sepenuhnya, saya juga diberikan elaun oleh PERKESO, yang dipanggil Elaun Layanan Sentiasa (ELS).

Selain itu, suami juga dibekalkan dengan lampin pakai buang setiap bulan dan beberapa peralatan seperti kerusi roda dan tilam angin. Katil hospital yang telah saya beli juga saya tuntut semula belanjanya dengan PERKESO kerana katil itu juga termasuk dalam senarai keperluan yang disenaraikan oleh jemaah doktor PERKESO.

Alhamdulillah.

Cara-cara membuat tuntutan dengan PERKESO:

1. Semak nama dan nombor kad pengenalan anda dengan PERKESO sama ada anda layak membuat tuntutan.

2. Dapatkan borang tuntutan yang berkenaan di mana-mana pejabat PERKESO terdekat. Borang boleh diambilkan oleh orang lain. Sesetengah borang boleh juga dimuat turun di laman web PERKESO.

3. Dapatkan laporan perubatan doktor dari Bahagian Rekod hospital.

4. Borang tuntutan bersama laporan dihantar ke PERKESO.

5. Perkeso akan memberi maklumbalas melalui surat berserta tarikh anda perlu hadir untuk menghadap jemaah doktor panel PERKESO. Pihak yang menuntut akan ditemuduga oleh doktor. Maklumbalas ini diterima dalam tempoh sebulan.

Dalam kes seperti suami saya yang terlantar dan sukar untuk dibawa menghadap jemaah doktor, wakil pihak yang menuntut (saya contohnya) perlu memaklumkan kepada pihak PERKESO. 

Wakil PERKESO akan datang membuat penilaian keadaan pesakit di rumah, dan mengambil gambar untuk dilampir sebagai laporan kepada jemaah doktor. Pada hari temuduga, hanya waris terdekat yang perlu menghadiri temuduga tersebut.

6. Jawapan dari pihak PERKESO tentang temuduga (lulus atau tidak diluluskan) akan dihantar melalui surat. Biasanya dalam tempoh 2 hingga 3 minggu dari tarikh temuduga.

7. Sekiranya lulus, PERKESO akan meminta anda menghantar salinan buku atau kad bank yang disahkan oleh pegawai bank berkenaan untuk mereka masukkan jumlah tuntutan yang diperolehi terus ke dalam akaun.

Jika anda atau orang terdekat ada ditimpa kemalangan atau sakit yang tidak membolehkan anda bekerja, cuba periksa dengan PERKESO sekiranya layak membuat tuntutan (skim bencana pekerjaan atau Ilat). Sila periksa juga, adakah majikan anda membayar caruman PERKESO anda, supaya tidak ada masalah di kemudian hari.

Puan Raudzah dan suaminya, Tuan Idzwan.
Puan Raudzah dan suaminya, Tuan Idzwan.

Catatan di atas adalah berdasarkan pengalaman saya selama menguruskan tuntutan PERKESO suami.

Boleh baca lanjut di www.perkeso.gov.my



"Wanita Paling Malang Adalah Wanita Yang Tersalah Pilih Suami" --Prof Muhaya..


Ranjau rumah tangga amatlah hebat, tapi mudah-mudahan dapat dilalui dengan petunjuk daripada Allah yang Maha hebat.

Tertarik dengan kata-kata Prof Muhaya "Wanita paling malang adalah wanita yang tersalah pilih suami. Sebab hidup seorang perempuan itu berubah semuanya mengikut acuan suaminya. Kasihan. Parasnya cantik. Sudahnya dilayan seperti sampah. Bukan salah sang isteri. Atau mungkin memang betul salah dia. "SALAH MEMILIH SUAMI". Pakaian tidak mencerminkan agama juga keperibadian. Jangan tertipu dan akhirnya "padan muka aku".
 
Setelah bernikah, bermakna selangkah kaki ke neraka atau ke syurga.."Tak salah memilih supaya tak tersalah pilih. Berkahwinlah bila dah rasa jumpa orang yang betul (dengan ikhtiar & tawakal pada Allah), bukan semata-semata sebab nak tutup mulut orang tanya bila nak kahwin. Nampak remeh hal ni tetapi, sesungguhnya berkahwinlah kerana Allah SWT.

Bagaimana seorang wanita boleh mengharapkan lelaki yang tak mampu bangkitkan dirinya untuk mengerjakan solat, mengerjakan ibadah, berakhlak mulia untuk memimpin tangan anak isterinya masuk ke syurga?

Isteri adalah cerminan suami. Cantik suamimu cantiklah kamu. Elok suamimu. Eloklah kamu. Beriman suamimu maka berimanlah kamu. Ahli syurga suamimu maka kamu jua ahli syurga. Begitu jua sebaliknya.

Wahai sang suami, jika kau merasa isterimu sangat leceh, menyusahkan, keras kepala atau sebagainya. Maka itulah diri kamu sendiri sebenarnya. Kau yang telah mengajar, membentuk dan menyebabkan dia menjadi seperti itu.

"Lelaki yang hebat bukan yang dapat mengahwini perempuan solehah, tapi lelaki yang mengahwini perempuan biasa dan berjaya bimbingnya menjadi perempuan solehah.." inshaAllah.

Kadang-kadang kita berdoa untuk kuat, tapi banyak pula dugaan yang mendatang, kadang-kadang kita minta cerdik, tapi masalah pula yang bertandang, kadang-kadang kita minta kebahagiaan, tapi huru hara pula yang menjelang. Dugaan menjadikan mental kita kuat, masalah menjadikan kita berfikir, huru hara menjadikan kita tabah...

Adakalanya jalan di hadapan kelihatan samar kerana kabus tebal menghalang pandangan. Lalu kita pun bimbang meneruskan perjalanan kerana tidak tahu apa yg sedang menanti di sebaliknya.

Hakikatnya kita memang tidak pernah tahu apa yg sedang MENANTI kita. Namun YAKINLAH, indah atau tidak, pasti ada kebaikan kedua-duanya. ALLAH hanya memberikan yang terbaik kepada hambanya.-Pen Merah Press-

Bagaimana Saya Dapatkan Bantuan Kewangan Apabila Suami Tiba-Tiba Sakit Kronik

Bagaimana Saya Dapatkan Bantuan Kewangan Apabila Suami Tiba-Tiba Sakit Kronik

1 Jul 2017

Sejak saya menulis pengalaman menghadapi suami yang sakit, hampir setiap minggu ada yang menghubungi saya. Kebanyakannya mengalami perkara yang sama.

Ada yang menghantar mesej di Facebook. Ada yang mesej di Whatsapp. Ada juga yang menelefon terus.

Penulis, Puan Raudzah dan suami, Tuan Idzwan

Penulis, Puan Raudzah dan suami, Tuan Idzwan

Saya fikir ianya juga satu rahmat. Saya boleh membantu orang lain dengan sedikit pengalaman yang saya ada.Yang terbaru, seorang kakak dari Rawang. Situasinya memang sangat serupa dengan apa yang saya telah lalui hampir 11 bulan yang lalu. Sekarang suaminya masih belum sedar di ICU. Apa yang ditanya oleh kakak ini, sama serupa dengan segala persoalan yang membebani fikiran saya dulu. Bezanya dulu saya tidak tahu pada siapa mahu bertanya lanjut.

Apabila terjadi situasi seperti ini (hilang punca pendapatan), biasanya waris terdekat (isteri) akan diasak dengan pertanyaan seperti, tak pergi mohon duit zakat ke? Tak claim dengan SOCSO ke? Insurans dah setelkan ke? Sejujurnya, waris yang sedang susah hati akan semakin berserabut fikiran mereka.

Permintaan Kakak Widaad apabila abah sihat nanti.
Permintaan Kakak Widaad apabila abah sihat nanti.

Mengikut pengalaman saya (di hospital kerajaan), semua tuntutan atau permohonan boleh dibuat setelah pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital. Kerana selepas pesakit keluar, barulah laporan dari doktor boleh dikeluarkan. Laporan pula tidak boleh mohon secara terus daripada doktor yang merawat. Semua permohonan untuk laporan perubatan mesti dibuat melalui Bahagian Rekod hospital.

Jadi, sementara pesakit masih di hospital, apa yang boleh dilakukan ialah:

1. Hubungi pegawai PERKESO atau pergi ke pejabat PERKESO berhampiran, mohon pencerahan dari mereka dan dapatkan borang berkaitan.

2. Pergi ke pusat zakat, minta pencerahan dari pegawai pusat zakat tentang bentuk bantuan yang boleh dipohon dan ambil borang yang berkenaan.

3. Hubungi agen insurans pesakit. Mereka akan bantu uruskan hal hal berkaitan. (Dalam kes seperti suami saya (Haemorrhagic Stroke), termasuk dalam sakit kritikal dan urusan tuntutannya boleh dibuat terus selepas keluar dari hospital. Manakala tuntutan untuk TPD – Total Permanent Disabilities dibuat selepas 180 hari sakit).

4. Pergi ke pejabat JKM dan minta borang bantuan penjaga pesakit terlantar. Boleh minta borang permohonan status OKU terus (jika berkenaan).

Saya mengesyorkan, hal mengambil borang dan sebagainya ini dibantu oleh orang lain. Sama ada adik beradik, rakan-rakan rapat atau saudara terdekat.

Ia antara sumbangan kita dalam memudahkan urusan waris yang sudah sedia maklum sibuk menguruskan hal rumahtangga dan anak-anak.

Saya mencatatkan perkara di atas, berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang isteri yang hilang punca pendapatan dan tidak boleh bekerja kerana suami disahkan oleh doktor sebagai orang yang hilang upaya. Dalam masa yang sama perlu menguruskan hal rumahtangga dan juga persekolahan anak-anak yang ramai.

Kakak Aneem sebelum menjalani program simulasi di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) selama 4 hari 3 malam.
Kakak Aneem bergambar dengan Abah sebelum bertolak ke Kuantan.
Apa khabar agaknya Tasneem di Kuantan.
Malam ini malam pertama dia menjalani program simulasi di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) selama 4 hari 3 malam.
InsyaAllah, dia akan beroleh ilmu baru. Pengalaman baru. Rakan-rakan baru. Semangat baru. Mungkin juga azam yang baru.
Ibu doakan cinta Kakak Aneem pada Al Quran akan bertambah subur dan mekar selepas program ini.
Harap dia tak sedih lihat peserta lain dihantar ibu ayah pagi tadi. Aneem akan jadi anak yang cekal, tabah dan kuat. InsyaAllah.
(Puan Raudzah)

Kebanyakan permohonan yang saya catatkan di atas, saya lakukan sendiri. Memang agak ‘renyah’ dan letih juga nak berulang ke Bahagian Rekod hospital beberapa kali untuk mengambil borang dan laporan. Tapi Alhamdulillah, Allah beri kudrat dan kemudahan, boleh memandu dan ada kenderaan sendiri.

Saya fikir, bagaimana orang-orang yang lebih susah. Tiada kenderaan, tiada telefon bimbit, warga emas dan lain-lain. Urusan menguruskan segala permohonan ini memang akan menjadi sukar jika tiada yang membantu.

Untuk rekod dan catatan tambahan:
  • Tuntutan insurans suami saya selesai selepas 10 bulan permohonan. Yang ini agak mengambil masa kerana menunggu beberapa laporan lengkap dan terperinci dari pihak hospital.
  • Bantuan peralatan dari PERKESO dapat selepas 4 bulan permohonan. Perlu hadir temuduga dengan panel jemaah doktor PERKESO sebelum diluluskan.
  • Pencen Ilat PERKESO lulus selepas 6 bulan permohonan.
  • Permohonan bantuan zakat (Selangor) diluluskan selepas 4 bulan permohonan.
  • Bantuan penjaga pesakit terlantar (JKM), lulus selepas 3-4 minggu permohonan.
  • Permohonan status OKU suami (JKM) diperoleh dalam tempoh sebulan selepas permohonan dihantar.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal.
Untuk yang seterusnya, saya akan cuba berusaha dengan cara sendiri untuk ‘survival’ keluarga. Tidak selamanya kita boleh bergantung pada pihak lain.

Kasih Hud Ammar buat Abah.
Kasih Hud Ammar buat Abah.

Terima kasih – jazaakumullahu khairan kathir kepada semua yang telah membantu memudahkan urusan saya selama ini. Allah akan merahmati semuanya dan melipatgandakan rezeki semuanya insyaAllah.

Semoga semua yang diuji seperti saya dan suami juga dipermudahkan urusan oleh Allah. Perlu banyak-banyak sabar dan mohon kekuatan dari Allah. Ujian yang nampak biasa di mata orang lain. Tapi yang menanggungnya memang perlu ketabahan luarbiasa.

Tapi yakin, Allah Maha Tahu setiap kemampuan hamba hambaNya.
Semoga ada manfaat.
Wallahu’alam.

Tuan Idzwan, suami Puan Raudzah, adalah penghidap darah tinggi (hypertension). Beliau mengalami pendarahan dalam kepala (Basal Ganglia Bleed) 11 bulan yang lalu. Beliau telah menjalani pembedahan dan kini, mengalami strok di bahagian kiri badan.

Sama-sama kita doakan Tuan Idzwan lekas sembuh, insyaAllah.



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.