TUNTUTAN dunia kerjaya memerlukan perhatian dan kesungguhan walaupun
adakalanya kita merungut tentang beban tugas, kekangan waktu dan
persekitaran tempat bekerja.
Bagaimanapun, janganlah pula kita terlalu asyik dengan kerja sehingga mengabaikan kesihatan diri.
Walaupun pekerjaan memberikan kita kebahagiaan, kajian-kajian yang
dibuat jelas menunjukkan bahawa pekerjaan juga 'menyumbangkan' pelbagai
jenis penyakit kepada manusia, baik bersifat psikologikal atau fizikal.
Tekanan kerja yang melampau misalnya, bukan sekadar menyebabkan
manusia terpaksa mengharungi kebimbangan, masalah tidur, penyakit
fizikal seperti serangan jantung dan darah tinggi, malah ada yang sampai
membawa ke tahap kematian.
Asia merupakan satu-satunya rantau yang memaksa manusia bekerja dengan sangat teruk.
Walaupun jumlah jam kerja ideal yang dicadangkan oleh Pertubuhan
Kesihatan Dunia (WHO) hanyalah 40 jam seminggu, didapati secara
puratanya para pekerja di Asia bekerja lebih daripada 60 jam seminggu,
bahkan ada yang mencecah 90 jam seminggu.
Bunuh diri dan kematian yang berpunca daripada pekerjaan mungkin
sesuatu yang janggal dalam budaya kita. Bagaimanapun, harus diingat
statistik menunjukkan pekerja di Asia sedang mengalami masalah serius.
Mati akibat kerja
Secara global, dianggarkan seramai 2.5 juta manusia telah membunuh
diri kerana kerja dan 60 peratus daripada kes membunuh diri berlaku di
Asia.
Di Jepun sahaja, yang terkenal dengan simptom karoshi (kematian
akibat terlalu teruk bekerja), dianggarkan 10,000 pekerja mati kerana
pekerjaan setiap tahun.
Trend itu nampaknya sedang merebak ke beberapa negara lain di Asia.
Semua ini bermula dengan jumlah masa bekerja yang mencapai tahap
optimum. Mereka mengalami burnout dan kemurungan teruk yang kemudiannya
memaksa mereka mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.
Sebenarnya, negara kita juga sedang menghadapi masalah yang sama.
Laporan Kementerian Kesihatan misalnya menunjukkan kadar prevalen
kemurungan dalam kalangan golongan dewasa mencapai 1.8 peratus.
Walaupun ia mungkin diakibatkan oleh pelbagai sebab, tetapi salah satunya mungkin berpunca oleh pekerjaan.
Malangnya, dalam konteks budaya kita, aspek kesihatan psikologikal ini tidak dianggap sebagai isu besar.
Apabila berlaku tekanan kerja seperti kemurungan, rasa cemas dan
tidak dapat tidur malam misalnya, banyak daripada kita mengambil jalan
mudah dengan membuat kesimpulan bahawa individu tertentu terkena
gangguan makhluk halus atau buatan orang.
Jarang yang cuba berfikir bahawa mereka mungkin sedang mengalami gangguan yang berpunca daripada bebanan pekerjaan.
Ini menjadikan, ramai antara kita yang tidak menyedari bahawa tekanan
kerja sebenarnya merupakan sebahagian daripada penyakit epidemik yang
sedang menyerang kita semua.
Sekiranya tidak diatasi, ia akan menyebabkan penyakit yang lain
termasuklah darah tinggi, serangan jantung atau penyakit fizikal yang
lain.
Kajian-kajian juga merumuskan bahawa pekerjaan adakalanya menyebabkan
rumah tangga terganggu, khususnya apabila emosi negatif yang timbul
akibat oleh pekerjaan dibawa pulang ke rumah.
Perasaan marah atau tekanan yang berlaku di tempat kerja kemudiannya telah menyebabkan keluarga dan anak-anak menjadi mangsa.
Salah satunya ialah melalui contagion effects. Sindrom ini berlaku
apabila seseorang mengalami perasaan negatif seperti murung dan perasaan
kemudiannya dipindahkan kepada pasangan atau keluarga mereka di rumah.
Pergilah bercuti
Salah satu langkah yang boleh diambil termasuklah bercuti. Hal ini
kerana bercuti didapati mampu menghindar kita semua daripada diserang
pelbagai penyakit psikologikal termasuklah kepenatan dan kemurungan.
Salah satu teori yang selalu dikemukakan bagi mengupas isu berkenaan ialah Conservation of Resources Theory.
Teori itu menerangkan mengenai pekerjaan yang menyebabkan manusia
mengalami pengurangan 'tenaga' psikologikal dalam diri. Ia mencetuskan
tekanan kerana manusia tersebut perlu berjuang untuk mendapatkan tenaga
yang hilang.
Bagaimanapun, dengan bercuti, ia mampu mengembalikan tenaga psikologikal tersebut.
Semoga kita sentiasa menghargai peluang bercuti apabila tiba
waktunya. Kesempatan tersebut melupakan kita seketika dengan kesibukan
dunia pekerjaan dan memulihkan semula tenaga kita untuk menghadapi dunia
pekerjaan.
Kredit : kosmo