SLIDER

Shopee SPay Later - Apa Status Kesyariahan Dan Kesannya Kepada Pengguna Islam

1 Dec 2021


Sekarang kita berada pada zaman teknologi dan zaman digital yang sedang berkembang pesat dan semakin canggih. Banyak perkara yang dahulunya kita praktikkan secara manual, sekarang telah di 'automation' menjadi satu sistem teknologi yang beroperasi di atas talian sepenuhnya. Contohnya adalah seperti membeli-belah secara atas talian tanpa melibatkan proses manual. Dulu, era pembelian barang memerlukan kita untuk ke lokasi barang tersebut untuk urusan pembelian dan pembayaran tunai. 

Tetapi, dengan berkembangnya teknologi ini, telah menghasilkan satu sistem membeli-belah secara atas talian dan pengguna dapat terus membuat pembayaran menggunakan sistem tersebut. Ini adalah salah satu manfaat yang kita dapat , yang mana prosesnya sangat mudah dan cepat hanya dengan beberapa klik sahaja, sudah selesai. Pengguna hanya perlu memilih barangan dan kemudian membuat pembayaran serta menunggu barangan tersebut dihantar melalui sistem penghantaran kurier ke rumah anda. 

Antara contoh sistem membeli-belah yang popular masa kini adalah Shopee, Lazada, Zalora, Amazon, dan banyak lagi yang tumbuh bagai cendawan. Terdapat pelbagai kaedah pembayaran yang disediakan oleh paltform tersebut bagi memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran . Antaranya ialah :

1. Cash On Delivery

2. Online Banking/Fpx

3. E-Wallet

4. Credit Card

5. Buy and Pay Later

Baru-baru ini platform Shopee telah memperkenalkan kaedah pembayaran 'Buy and Pay Later' yang dinamakan SPayLater.

Apa itu SPayLater(Shopee Pay Later)?

Kaedah ini diperkenalkan kepada pengguna bagi membolehkan pengguna membeli dan mendapatkan barangan tersebut terlebih dahulu dan membayarnya pada masa akan datang. Pengguna mempunyai option samaada membayar keseluruhan harga barang tersebut pada bulan hadapan atau boleh juga memilih pelan ansuran secara bulanan yang telah ditetapkan iaitu terdapat 3 pilihan samaada 2 bulan, 3 bulan atau 6 bulan. Sekiranya memilih untuk membayar secara ansuran, terdapat fees/caj yang perlu dibayar bersama ansuran tersebut.  Pengguna yang lewat membuat pembayaran akan dikenakan pula caj denda.  Konsep ini dianggap pembeli akan berhutang terlebih dahulu untuk mendapatkan barangan tersebut.

Status Syariah

Konsep ini sedikit banyak telah mengelirukan dan menimbulkan persoalan dikalangan pengguna beragama Islam dari segi hukum halal dan haram. Isu ini dibangkitkan ramai kerana konsep pembayaran seperti ini melibatkan pembelian barang secara berhutang dan caj-caj yang telah dikenakan melebihi kadar yang sepatutnya.

Kekeliruan ini telah dijawab oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan yang mana menurut beliau terdapat beberapa perkara syariah yang telah dibangkitkan sekiranya menggunakan sistem pembayaran Shopee Pay Later .Faktanya adalah seperti berikut:

1. Bagi cara pembayaran secara one-off atau pembayaran sekaligus dalam tempoh sebulan, tiada masalah berkaitan isu syariah sekiranya pengguna menyelesaikan  semua pembayaran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Tetapi, sekiranya pengguna gagal dan lewat menyelesaikan pembayaran ttersebut. Pengguna akan dikenakan caj lewat pembayaran. Maka di sini berlakunya riba yang diharamkan hukum Syarak.

2. Bagi pembayaran secara ansuran, terdapat dua isu syariah yang dibangkitkan iaitu caj pemprosesan dan caj lewat pembayaran. Hal ini disebabkan setiap caj pemprosesan dan caj lewat pembayaran yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar. Dan ia dikatakan sebahagian daripada riba.

Akhir kata, penekanan ini biasanya diberikan kepada pengguna beragama Islam, yang mana pengguna perlu peka dan menitikberatkan hukum sebelum terlibat dengan sebarang transaksi yang melibatkan riba. Perkara ini telah dinyatakan melalui Firman Allah swt iaitu riba adalah haram dari sisi Agama Islam. 

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275) 


Admin 



Ada Apa Dengan Kahwin ? Nak Berseronok-seronok ke Atau nak Cari Pahala ?


Kita akan menghampiri bulan Ramadhan, maka lepas ni dah bermula musim kahwin. Ye la siapa yg nak kahwin masa bulan puasa kan? Ada tapi sangat sedikit. Bagi yg akan berkahwin mahupun bertunang, tahniah diucapkan. Usaha untuk menghalalkan hubungan amatlah dipuji, tapi…..

1) Bagi yg selalu bangun lambat tu, dah tiba masanya korang training diri korang untuk bangun awal. Lepas solat subuh, jangan tidur. Teruskan jadi orang yg produktif. Yg tak bangun solat tu, masa ni la nak berubah. Buat kaum lelaki, kalau korang tak solat, macam mana nak pimpin keluarga? Ni aku tengok sepupu aku masa balik raya ni, subuh entah ke mana. Pukul 8 9 pagi baru nak celik mata. Nak tegur susah, masing-masing dah besar. Lelaki perempuan sama je. Nanti bila sembang pasal kahwin, mula la nak tergedik gedik.

2) Rajin-rajinkan la buat kerja rumah. Lelaki pun tak terkecuali. Kau tak payah nak sembang perempuan je yg kena buat kerja rumah, kau pun kena. Zaman mak bapak atuk nenek kita ni lain, dulu memang lelaki je yg cari rezeki, perempuan duduk rumah jaga anak. Ini apa hanat nya zaman sekarang ni kalau perempuan dah la kena kerja, balik rumah kena masak cuci pinggan mangkuk basuh baju jaga anak semua? Orang laki nak goyang telur je? Come on, at least tau yg basic. Korang tolong basuh baju ke, cuci pinggan ke, gosok baju sendiri. Dah tau diri tu miskin sampai bini pun kena kerja, tolong sedar diri ye.

Yg perempuan pun jangan nak seronok lebih aku dok bash laki je. Perempuan macam mana pun kena masak. Takkan nak melantak mamak 24 jam? Ini potong sayur pun kekok, siang ikan pun tak reti, dah nak sembang pasal kahwin. Tak payah susah-susah pun, tau masak nasi dengan dua tuga lauk pun dah cukup. Lama-lama korang terer la masak.

3) Terutama yg lelaki ni, tolong la berhenti merokok. Yg perempuan, masa ni la korang nak suruh bakal imam korang berhenti. Kalau sebelum kahwin pun dia tak berhenti, alamatnya lepas kahwin nanti berasap je la rumah korang. Merokok dah la haram, membahayakan kesihatan, buang duit, apa lagi korang tunggu? Nak tunggu kena sakit jantung baru nak berhenti? Kalau jenis yg ada common sense,yg tak merokok dekat tempat awam tu, boleh diterima lagi. Ni yg merokok berdekatan budak kecik ibu mengandung, memang patut kena lempang sampai mampus je. Apa? Orang merokok ada hak? Kepala tengkorak korang. Orang tak merokok tak ada hak pulak?

4) Dah tau batas pergaulan dan aurat. Bila balik raya, jaga la aurat tu. Aurat dengan sepupu korang dah sama macam aurat dengan orang awam. Yg laki, tak payah la pakai short pendek bebenor. Yg perempuan, pakai la tudung. Jangan nak buat ayat acah-acah islamik hipster “ala nanti I dah kahwin, I pakai la tudung”. Orang macam ni patut kena tanam je. Aurat ni satu, pergaulan ni satu. Dengan sepupu tak payah la nak tepuk bertampar bagai. Aku sempuk kau sekali baru tau. Bila korang dah kahwin, dah kena tau siapa yg boleh korang salam dan siapa yg tak boleh. Jangan main salam je semua makcik pakcik tu.

5) Berhenti jadi playboy. Yg ni aku tak faham. Ada yg post acah-acah diabetes gitu, semoga raya tahun depan tak single lagi. Siap post gambar dengan bakal pasangan. Lepas tu pergi add jantan/minah entah dari mana. Apa kes? Kau ingat kau boleh kahwin 4? Kau cuba bagi tau bakal pasangan kau yg kau nak kahwin 4, mampus la kau tak kahwin.

6) Berhenti jadi attention seeker, terutama untuk perempuan. Ye la, muka cantik. Kulit flawless gitu, putih melepak pulak. Bila kau post selfie je, confirm jantan-jantan miang bajet ada chance ni like gambar kau. Fenomena ni aku perasan, orang bertudung litup pun sama. Dah la berpurdah, lepas tu mekap tebal dekat kening pulak. Apa tujuan kau nak berpurdah? Dah nak kahwin ni, tak payah la nak tunjuk selfie tu sangat. Simpan untuk bakal suami tu.

Tak larat nak tulis panjang-panjang dah ni, korang bukan baca pun. Pendek kata, kahwin ni bukan sekadar untuk puaskan nafsu je, tapi besar tanggungjawab nya. Semoga Allah permudahkan urusan korang. Maaf kalau terkasar bahasa.

– AMF





Pernah Dihina Kerana Hitam, Buruk, Gemuk Dan Busuk...Tapi Kini Semuaaa Mengangaa



Bismillahirrahmanirrahim.. sekarang tengah hot story pasal laki ke perempuan ke memang pandang rupa pandang fizikal, kan? yee… izinkan admin approve pengalaman aku nie sebab aku pernah alami benda yang sam..

Semenjak dari di bangku sekolah rendah aku dipulau dibuli dari segi mental kerana rupa paras yg xmenarik ditambah berkulit gelap dan gemuk.. sekarang umur aku 23 tahun.. masa aku sekolah rendah, waktu darjah 5 aku dah start period, hormon dewasa dah muncol, makanya naik la jerawat bertepek2 di muka.. sadisnya hati masa tu, dah la hitam, gemuk lagi, berjerawat pula.. bdk2 laki panggil aku bdk jerawat, busuk, mcm2 lagi.. bdk perempuan mmg nak xberkawan, biasalah bdk perempuan suka ikot bdk lelaki, klu bdk laki xnak kawan, dorang sama pulaukan even masa tu sekelas dgn cousin sendiri, sebab dia anak cikgu (anak cikgu femes ramai nk berkawan, mudah jadi pengawas) dia sendiri pon xnak berkawan dgn aku pdhal time raya time majlis berkumpul anak beranak kemain rancak kami berkongsi cerita.. 

Sekolah rendah memang satu nightmare bagi aku.. pernah mereka mengata2 aku sampai aku tertekan, sampai lah ibu aku datang sekolah nasihat kan bdk2 tu jgn layan aku mcm tu sebab dah mcm pembulian hingga menimbulkan tekanan.. tp malangnya apabila mereka mengadu pada guru kelas, dan aku dimarah.. bersabarlah aku menghabiskan sisa sekolah rendah tanpa kawan namun syukur mendapat result cemerlang time Upsr.. naik lah aku ke sebuah sekolah menengah kluster.. masih menjadi si gadis yang buruk, masih dipulau kawan2, namun syukur masih ada yg ingin berkawan.. budak2 lelaki? haram satu pon xtegur atau ingin menjadi kawan.. 

Pernah bergaduh besar dgn budak lelaki, mcm2 yg dikata, akhirnya yg jatuh salah tu aku.. siapa mampu bertahan.. memang ketika tu badan aku besar, tapi hati ku juga masih seperti kamu2 yg lain, mudah terasa, ditambah darah muda yg mudah nak marah, aku melawan bdk2 yg mengata tu, tp seringkali jgk aku yg dipersalah even oleh guru2.. mereka anggap aku suka mencari gaduh, anggap aku bermulut puaka, sedangkan aku cuma mempertahankan hak sendiri.. ini bayaran yg terpaksa aku terima bila mana tidak femes, dan juga tidak menonjol dr segi pelajaran, jd tidak ada mana2 pihak yg akan menyokong.. 

Aku tidak bodoh, cuma pelajar biasa yg cuma mampu dapat 6A Pmr, dan 7A Spm.. tidak sehebat org lain, jadi cuma dipandang sebelah mata.. tidak ada jasa pada sesiapa jd apa yg berlaku pd aku bukanlah apa2 bg mereka.. hidup ditindas akibat rupa paras yg tidak cantik ni memang stress, berkumpul dgn keluarga besar pon sering dibanding dgn sepupu2.. di sekolah siap ada kawan yg cakap aku lah paling burok kt sekolah tu.. dulu kecik2 selalu rasa nk bunuh diri , xnak keluar bilik, xnak jumpa sesiapa, malu dgn diri sebab masa tu masih muda remaja, masih xpandai bersyukur dgn apa yg dikurnia, namun selalu pujukkan hati, 

Alhamdulillah atas segala yg Allah beri berbanding mereka yg kurang upaya dan ada cacat cela..pujuk hati sebab nak habiskan sisa2 kt sekolah dan terus kuat berhadapan dgn manusia.. ingat lah manusia, kadang2 kita rasa kata2 kita sekadar gurauan atas sekadar ingin berbicara, tapi sebenarnya, kesan tu menusuk hati, mungkin diingat sampai ke mati.. sungguh, berhati2 lah berbicara walau dgn adik sendiri.. menjadi si tidak cantik bukan pilihan sendiri, tp Dia yg memberi.. dilabel kotor kerana berjerawat dan hitam, badak makan banyak kerana gemuk, gurauan kah itu??? masa terus berlalu dan aku kian dewasa, menyambung pengajian di universiti, sudah ada sedikit simpanan sendiri, aku beli produk utk kulit. 

Bermacam2 produk telah ku cuba, pernah sampai terbakar kulit cuba itu cuba ini, nmun akhirnya jumpa produk yg sesuai.. syukur kulit makin bersih gebu gebas.. namun badan masih gemuk, masih direject oleh lelaki, dan tidak ada yg sudi berkenalan..hahaha..plg terasa bila berkenalan dgn ku tp berkasih dgn kawan, sangatlah makan hati berulamkan jantung.. terus simpan tekad dalam hati, aku nak kurus.. kebetulan cuti sem bermula, aku betol2 jalan kan projek kurus aku.. sbb tgh semangat dan xada kerja kt rumah, kadang2 3 jam sehari aku exercise.. 1j30m pagi, 1j30m malam..tp starting dengan tempoh masa yg sedikit lah sampai aku betol2 mampu buat tahap tu.. 

Makan mmg berpantang gila2.. aku campur segala tips diet aku tahu.. aku xbuat atkins, tp ambil tips diorang sikit.. jd aku tahulah buah tu manis, boleh gemuk, jadi aku kurangkan makan buah.. lauk pauk segala berminyak memang aku xsentuh.. langsung xada cheat day untuk 3 bulan pertama sampai lah berat turun 20kg,baru aku berani buat cheat day seminggu sekali.. nangis meroyan xyah cakaplah sepamjang proses nak kurus.. ingat xletih ke exercise hari2? ingat xletih ke minum air 2,3 liter sehari berulang alik gi toilet? ingat xletih ke tahan nafsu makan padahal aku hantu biskut kottt.. letih weiii letih sgt tp tekad kena kuat.. hari2 pujuk diri, biar letih sekarang, tp ada hasil.. sampai lah aku kurus, org tny tips itu ini, bukan xmahu bercerita, tp aku takut org xmampu nak buat yg sama, 

Jadi kepada mereka yg ingin kurus, aku cadangkan korang buat diet atkins, mungkin mudah utk korang, atkins ada banyak fasa , jd yg mampu berhenti nasi boleh buat fasa 4.. yg lain pandai2 la korang google sendiri.. dah kurus, aku menjadi tarikan.. manusia itu ini memuji, ramai lelaki cuba mengorat, dan ada rakan2 yg cemburu.. bila dah kurus pon ada dugaan tersendiri, tapi syukur sangat dgan diri aku yg sekarang.. aku bahagia bila dah kurus.. masih xberjumpa cinta sejati, tp sungguh nak cerita, bila kau kurus, kau dah cantik sedikit, manusia melayan kau berbeza.. sudah xada pandangan jelek bila kau nak beli baju, sudah xada kata2 busuk bila kau kata kau suka dia itu suka dia ini, dan banyak lagi… aku suka dengan diri aku sekarang dan aku suka syorkan kt org yg masih gemuk, marilah kuruskan badan.. 

Korang mungkin kata, suami dah terima seadanya.. tp kita xtahu yg berlaku di masa hadapan.. mungkin korang kata, yg cun cantik pon xada cinta sejati lagi, tapi sekurang nya kau dah dapat badan ideal, dah boleh bergerak aktif, dah boleh beribadah lebih.. jgn beri dalih lagi, xusah berkata cantik itu subjektif, aku pernah dihina sbb rupa, xpernah jumpa lagi cantik subjektif tu jawapan dia kat mana… perangai elok, pandai kalau xde rupa pon, dihina jgk, cth macam confessor2 sebelum nie.. melainkan kau ada duit, melekat2 pakwe makwe kiri kanan haaaa.. kita usaha utk kurus, xkisah la utk sihat ke , utk beribadah ke, asal kan bmi kau normal, kau xrasa terhina, kau gembira, teruskan.. melainkan kau dah gembira gemuk begitu, jd xapa.. aku cuma seru org yg ingin kurus je, jom kurus, dalam gemuk tu ada kecantikan yg tersimpan.. 

tq admin

– MissPernahGemuk

Kredit : IIUM








Serangan Jantung . Bagaimana Menangani Dan Mengurangi Risiko


Serangan jantung sering terjadi pada masayarakat masa kini dan ia sangat membahayakan nyawa. Ia terjadi apabila aliran darah dan oksigen tidak sampai ke jantung menyebabkan serangan itu terjadi. Semua orang mungkin akan mengalami serangan jantung, jika faktor risikonya tidak dicegah iaitu menjalani gaya hidup tidak sihat.  

Serangan jantung boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Antara kumpulan yang berisiko tinggi terkena serangan jantung dan perlu diberi perhatian tinggi adalah :

  • Lelaki berusia 45 tahun ke atas dan wanita berusia 55 tahun ke atas lebih berisiko terkena serangan jantung berbanding mereka yang berusia muda
  • Perokok
  • Pesakit Darah Tinggi
  • Kadar kolesterol atau trigliserida yang tinggi
  • Keturunan
  • Kurang beraktiviti beriadah
  • Obesiti
  • Tekanan/Stress

Tanda-Tanda Serangan Jantung

Antara tanda awal yang menjadi kebiasaan umum serangan jantung ialah dimana bahagian dada terasa nyeri seperti dihempap benda berat, rasa diremas , ketat dan tertekan. Rasa sakit ini terasa merebak kebahagian leher dan lengan terutama sekali di bahagian kiri.

Antara tanda-tanda lain yang perlu dipantau rapat adalah :

  • Berpeluh sejuk
  • Nafas pendek
  • Rasa lelah , semput
  • Degupan jantung tidak teratur
  • Mual dan loya
  • Sistem percernaan terganggu

Anda perlu segera ke hospital jika anda kerap merasakan tanda-tanda seperti ini. Di hospital, mereka akan membuat pemeriksaan jantung menggunakan alat yang sesuai bagi melihat tahap dan risiko serangan jantung yang mungkin akan terjadi. 

Mencegah Risiko Serangan Jantung

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk mencegah terjadinya serangan jantung. Antaranya :


1. Berhenti Merokok

2. Cek Kadar Kolestrol

3. Kawal Tekanan Darah

4. Amalkan Diet Pemakanan Yang Sihat. Lebihkan buahan dan sayuran

5. Amalkan Minum Air Putih

6. Kawal  Berat Badan

7. Kawal Diabetes

8. Belajar Mengawal Stress Dan Tekanan

9. Jauhi Minuman Beralkohol

10. Berhenti merokok

Pemantauan bukan sahaja kepada orang-orang yang berisiko tinggi tetapi kita semua boleh lebih berwaspada terhadap setiap perubahan dalam tubuh sebagai langkah berjaga-jaga, kerana ianya lebih baik mencegah dari merawat. 


Admin 



Apa Itu CryptoCurrency Bitcoin

29 Nov 2021



Sejak kebelakangan ini semakin ramai yang melibatkan diri dalan dunia pelaburan seperti saham, forex, fcpo dan yang sedang trending sekarang adalah mata wang digital crypto. Terdapat banyak mata wang digital yang tumbuh  bagai cendawan, tetapi tahukah anda, matawang digital pertama yang dihasilkan adalah BITCOIN dan ianya telah digunapakai secara meluas diseluruh dunia serta pemangkin kepada peningkatan mata wang crypto yang lain. Dengan peningkatan mendadak para pelabur crypto, ramai yang ingin memiliki matawang digital ini.  Namun bagaimana kita boleh memiliki Bitcoin ni? Adakah ia selamat ? Jom, kita selusuri hasil pembacaan maklumat di bawah.

Apa itu Bitcoin dan Apakah Sejarah Asal-Usulnya

Bitcoin dicipta pada tahun 2008 oleh seseorang atau sekumpulan pasukan yang menggunakan nama gelaran Satoshi Nakamoto disebaliknya. Walaubagaimanapun menjadi satu misteri, kerana tiada sesiapa pun dapat mengesan siapakan Satoshi ini sebenarnya. Terdapat ramai yang mengaku mereka adalah Satoshi, namun tiada bukti mengatakan ia adalah benar, malah usaha-usaha mengesan Satoshi sehingga kini masih gagal.

Bitcoin merupakan salah satu jenis mata wang digital (cryptocurrency) yang mula di dagangkan pada tahun 2009. Pada tahun 2010 terdapat peningkatan permintaan terhadap Bitcoin menyebabkan harga naik daripada $0.0008 kepada $0.08 seunit. Harga paling tinggi pernah dicapai ialah sebanyak $20,000 seunit pada tahun 2020, dan ini telah membuka mata ramai pelabur yang berminat beralih arah kepada pelaburan crypto.

Apakah Bitcoin Haram Atau Halal Di Malaysia

Sebenarnya masih ramai rakyat Malaysia yang ragu-ragu tentang keshariahan Bitcoin serta mata wang kripto yang lain seperti Ethereum, Ripple dan Litecoin.

Dibawah dikongsikan beberapa pandangan tentang keshariahan Bitcoin,agar kita dapat memahami seterusnya menambah ilmu pengetahuan kita. Hasil rujukan dari majalah labur.

Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Dalam satu pembentangan pada 29 November 2017, beliau menyimpulkan bahawa Bitcoin adalah patuh Shariah dan pelaburan dalam Bitcoin adalah harus, dan keuntungan yang diperoleh perlu dikenakan zakat.

Beliau telah menolak hujah mereka yang tidak bersetuju dengan Bitcoin bahawa ia mempunyai elemen Gharar (ketidakpastian) kerana nilai yang sangat tidak stabil dan kemungkinan sistem digital itu sendiri akan runtuh pada bila-bila masa. Bagi beliau itu adalah risiko yang perlu diketahui dan ditanggung oleh para pelabur.

Beliau berkata risiko tidak mempunyai kesan ke atas hukum sesuatu perkara, dan ia harus dibezakan dengan Gharar yang memberi kesan ke atas hukum. Risiko adalah perkara yang normal dalam setiap perkara sama ada pelaburan, perniagaan dan apa jua bidang.

Contohnya pelaburan dalam emas, yang mana nilainya tidak stabil, namun ia tidak bermakna jual belinya perlu diharamkan. Langkah yang perlu diambil adalah memperkenalkan peraturan dan regulasi untuk mengawal kestabilan nilai dan mengurus transaksinya. Hal yang sama juga harus diperkenalkan untuk Bitcoin.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman (CEO Elzar Shariah Advisory Sdn Bhd)

Dalam beberapa perkongsian melalui media, Dr. Zaharuddin telah menyebut beberapa perkara penting berkenaan isu ini termasuklah mengakui telah mencuba sendiri Bitcoin ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang isu ini.

Menurutnya lagi, elemen Gharar tidak ditemui pada peringkat penciptaan dan penghasilan Bitcoin itu sendiri, tapi ditemui sewaktu peringkat transaksi di dalam ‘exchange’ di mana kita tidak boleh benar-benar memastikan transaksi itu benar-benar telah berlaku tanpa sebarang penipuan.

Walaubagaimanapun, beliau mengharuskan penyimpanan Bitcoin dan mengingatkan bagi sesiapa yang telah melibatkan diri dengan Bitcoin untuk membayar zakat simpanan apabila cukup setahun (Haul). Beliau turut menambah kepentingan kajian yang mendalam bagi sesiapa yang ingin melibatkan diri dengan Bitcoin atau mana-mana mata wang kripto agar tidak terjebak dengan skim penipuan dan SCAM yang banyak muncul atas nama pelaburan Bitcoin yang wujud di kalangan masyarakat.

Apakah Kegunaan Bitcoin

Kegunaan Bitcoin bukan sahaja ianya didagangkan di pasaran saham terbuka, tetapi sejak kebelakangan ini sudah mula boleh digunakan sebagai salah satu kaedah pembayaran apabila membuat transaksi pembelian. Ianya lebih mudah, cepat, dan selamat. Hanya memerlukan bebrapa minit sahaja untuk selesaikan transaksi.

Bitcoin juga dapat menampung/menyokong urusan transaksi-transaksi yang melibatkan jumlah yang besar dengan lebih cepat berbanding melalui proses sistem kewangan perbankan yang kebiasaanya memerlukan kelulusan pihak kewangan. Yang paling penting ialah tiada caj-caj mahal yang dikenakan oleh Bitcoin , tidak seperti kebiasaan kad debit,kad kredit,atau transaksi secara manual. Disebabkan ciri-ciri di atas, menyebabkan Bitcoin menjadi pilihan pelabur masa kini. Dan ianya sangat berharga.

Bagaimana Hendak Memiliki Bitcoin

Terdapat beberapa kaedah,antaranya  seperti berikut :

1. Bitcoin Mining/Perlombongan Bitcoin

Kaedah ini melibatkan teknologi programming komputer untuk melepasi algorithm matematik yang ada dalam rangkaian Bitcoin. Sekiranya berjaya menyelesaikan algorithm ini , anda akan diberi Bitcoin sebagai ganjaran. 

2. Membeli di Pasaran Saham Crypto 

Sekiranya anda merasakan Bitcoin akan terus cemerlang dan yakin akan memberi keuntungan , anda juga boleh membelinya di pasaran saham crypto.

3. Mendapatkan Melalui Konsep AirDrop Crypto

Airdrop crypto adalah konsep yang diperkenalkan oleh pengeluar token atau coin cryptocurrency baru, yang biasanya diberikan secara percuma, dimana peserta diminta melaksanakankan beberapa tugas. Selesai tugas , coin akan diberikan kepada mereka sebagai ganjaran.  Contoh tugasan adalah seperti like,share dan follow media social mereka. Air Drop biasanya dilakukan oleh pengeluar token/coin bagi memperkenalkan token mereka kepada public buat kali pertama. Dan konsep ini bertujuan sebagai strategi marketing untuk memperkenalkan coin mereka secara meluas.

Admin

 

Betul Ke Orang Kata Anak Kedua dalam Keluarga Istimewa. Fakta Anak Kedua Yang Penuh Misteri

26 Nov 2021

 


Adakah kita dapat memilih urutan dalam keluarga, urutan ke berapa yang kita mahukan? Pastinya tidak. Telah ditetapkan dan ditakdirkan kita dilahirkan mengikut urutan mengikut kehendakNya.

Pernah terdengar tak, anak yang dilahirkan sebagai anak kedua mempunyai sifat dan karakter yang tersendiri. Admin pun ada terdengar dan Admin sendiri adalah anak nombor dua dalam keluarga dan Admin juga sedang memerhatikan sifat anak Admin yang nombor dua. Jom kita selusuri benarkah apa yang diperkatakan ramai atau berdasarkan kajian? 

Fakta Istimewa Anak Kedua

Ramai mengatakan, antara karektar yang sangat terserlah sebagai anak kedua ialah mereka nampak bersikap lebih dewasa dalam segala urusan ,keputusan dan perbuatan. Mereka berada di tengah-tengah untuk menghormati kakak,abang dan menyayangi serta menjaga adik-adiknya. Sebab itu kadangkala kita boleh ternampak mereka sentiasa akan mengalah kepada abang dan kakaknya sebagai orang yang lebih dewasa dan mengalah kepada adiknya kerana perlu menyayangi adik yang lebih kecil daripadanya. Situasi ini akan mempengaruhi perkembangan sifat dan karektar. Boleh nampak sifat mereka yang sering berlapang dada dengan adik-beradik. 

Terdapat fakta dan kajian menarik yang ditemui oleh seorang Doktor Medik dan Psikologi iaitu Alfred Adler, yang berpendapat urutan kelahiran dalam sesebuah keluarga turut mempengaruhi sifat dan karektar seseorang. 

Jom kita mentelaah fakta apakah yang diperkatakan oleh beliau tentang anak kedua. Bolehlah kita jadikan panduan dan rujukan bila kita dah ada anak nanti.

1. Rasa Terasing

Anak kedua sentiasa merasa terasing didalam keluarga kerana kebiasaan ibubapa sekarang selalu memberikan lebih perhatian kepada anak pertama kerana kepercayaan mengatakan anak pertama harus dididik untuk memiliki sifat yang baik untuk dijadikan sebagai contoh kepada adik-adiknya.

Selain itu , perhatian turut beralih kepada si bongsu kerana , kepercayaan anak bongsu adalah anak yang paling kecil dalam keluarga yang perlu diberi lebih kasih sayang dan perlindungan. Maka tinggallah anak kedua bersendirian dan kurang mendapat perhatian dari keluarga. Oleh itu kita boleh nampak anak kedua lebih cekal dan lebih 'independent', sebab pembentukan dalam keluarga sendiri telah memaksa dia berbuat sedemikian.


2. Melakukan Sesuatu Lebih Berbeza

Disebabkan kurang mendapat perhatian, seringkali akan nampak mereka selalu akan berusaha lebih gigih untuk membuat sesuatu perkara. Kadangkala mereka akan melakukan sesuatu diluar kotak fikiran, semata-mata untuk mendapatkan  perhatian dari ibubapa. Mereka akan mencuba membuat sesuatu yang berbeza daripada adik-beradiknya dengan harapan perhatian ibubapa turut beralih kepada mereka.

3. Lebih Kreativiti , Lebih Berimaginasi

Disebabkan mereka sering melakukan perkara diluar kotak fikiran, mereka sentiasa bersemangat apabila dapat melakukan sesuatu perkara dan sering berimaginasi untuk merealisasikan impian mereka. Bidang kesenian sangat sesuai untuk mereka. 

Walaubagaimanapun,  anak kedua tidak boleh berada di bawah tekanan. Mereka sangat sukakan kebebasan, fleksibiliti dan bidang pekerjaan yang sesuai adalah bidang yang boleh mengekspresi diri meraka. Mereka tidak dapat mengikut  aturan yang ditetapkan contoh seperti dari  segi jadual, masa dan peraturan. Oleh itu kebanyakan mereka lebih suka kerja-kerja freelance atau bekerja dimana ada tempat-tempat yang mereka sukai sahaja.

4. Ramah Dan Suka Bersahabat

Disebabkan mereka suka mengekspresi diri mereka, anak kedua dilihat sangat peramah, ringan mulut dan suka bersahabat dengan orang luar, dunia luar. Mereka sentiasa berusaha menjalin persahabatan dengan ramai orang  dan berusaha memastikan ikatan persahabatan itu kuat seperti hubungan keluarga.

5. Sedikit Masalah Dalam Hubungan Cinta

Kerana sifat inginkan perhatian yang lebih, takut disisihkan sebati dari kecil, menyebabkan anak kedua agak sukar untuk mencari  pasangan cinta kerana amat risau pasangannya tidak memberi perhatian kepada mereka seperti yang diharapkan. 

Mereka sering dilihat mengharapkan perhatian lebih daripada pasangan mereka, kerana mereka tidak dapat merasai itu semasa mereka kecil. Dan sekiranya mereka gagal mendapat pasangan sepert itu, anak kedua biasanya akan menyalahkan diri sendiri dalam hal ini.


Haaaa...Bagaimana ?  Ada tak di antara ciri-ciri diatas sama seperti anda atau anak anda? 

Pada pendapat Admin, faktor yang mempengaruhi ,bukanlah dari urutan kelahiran, tetapi faktor lingkungan dalam keluarga seperti didikan, pergaulan, dan pembentukan adalah faktor penting yang mempengaruhi sifat, karektar dan keperibadian seseorang  itu. Oleh itu kita sebagai seseorang yang telah melalui pengalaman lalu, perlu berusaha memastikan faktor lingkungan keluarga yang baik dan tersusun untuk menyokong perkembangan anak-anak bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosi dan mental.

Antara cara yang paling asas adalah memberikan perhatian, kasih sayang, tanggungjawab dan tumpuan yang sama rata kepada anak-anak supaya mereka tidak rasa terasing dan tersisih dari lingkungan keluarga mereka sendiri.

Admin 


Kahwin Dengan Student Sendiri ? Sanggup Ke Harungi Cabarannya

25 Nov 2021


`` Man, Man pilih la student tahun akhir, ambil tahu tentang pelajaran dia, kira take care. Bila mereka dah keluar dan dapat kerja, dan lepas tu bolehlah kawin, ramai yang cantik-cantik’’.Hampir terkeluar donat yang saya makan, saya bulatkan mata dan pandang ke arahnya. Dahlan (nama bukan sebenar) tersengeh-sengeh. Saya terharu dengan saranan dia tadi tapi saya bukanlah lapar sangat nak berbini.

Lagipun itu hal peribadi, saya tidak suka ditimbulkan semasa saya makan, nanti hilang selera.Saya memang selalu tengok pelajar perempuan saya. Saya mengajar pelajar semestre 5. Pada ketika pelajar lelaki saya masih lagi nampak mentah, kebudakan dan tidak serius, pelajar perempuan saya tengah sedang-sedang mekar hebat.Perkara yang paling menarik dan tertonjol ialah mereka pandai bergaya. Jauh jika nak bandingkan dengan kawan-kawan perempuan saya yang rata-rata selamba sahaja penampilannya, berbaju kurung.

Kalau dinner kat hotel-hotel jangan cakaplah. Baju RM3 ribu macam artis nak jalan atas karpet merah. Saya tengok sahaja apa yang tertonjol dan ditonjolkan. Mungkin zaman sekarang tidak seperti dahulu, semua orang nak menonjolkan diri, nak buat statements.Tapi penulisan kali ini mengenai pensyarah yang kawin dengan student, bukan mengenai pakaian atau pun pelajar perempuan saya yang cantik-cantik. Semakin saya menuju tua, cantik sahaja tidak menjadi keutamaan lagi.

Selain cantik ada element lain yang tidak kurang pentingnya.Semasa berjumpa dengan salah seorang kawan perempuan saya, saya ada bertanya `eh apa pendapat awak kalau pensyarah kawin dengan studentnya?’. Dia jawab pendek sahaja `ok’.Saya teringat pulak komen ayah saya dalam hal ni. Katanya tidak beretika. Dia jawab tak panjang dan huraiannya macam biasa, saya la yang kena cari sendiri. Mungkin agak tidak betul atau tidak selesa jika kita juga pada masa yang sama mengajar dia.

Kita mungkin bias, dan biasalah kan,…kita ni bukannya profesional sangat, kadang-kadang attendent student pun kita terlupa bawak ke dalam kelas, he he he. Sebelum kawin tentulah bercinta. Dan kalau bercinta tahu sajalah kan... Tak payah kita nak jadi hipokrit. Ada juga kawan saya yang berkahwin dengan student dan melaluinya dengan tabah. Kata kawan saya tu kita kena sangat pandai jaga diri kita sebab pertamanya kita tidak boleh bersama dengan mereka. Di mana-mana pun hatta 100km daripada tempat kita kerja.

Dia banyak juga meluahkan yang dia tidak seperti pasangan lain yang boleh selalu bersama dan berjumpa. Kena banyak berkorban. Perhubungan adalah seminima mungkin dan sulit lagi menyulitkan. Ini untuk untuk menghindari fitnah. tak bolehlah nak gi mana bersama-sama.Kalu kita jenis suka menanyangkan kehebatan pasangan kita maka janganlah bercinta dengan student. Sebab buruk padahnya. Contohnya apa kata kawan-kawannya yang juga pelajar kita. Apa kata kawan-kawannya terutama yang muka seposen? Ya lah kan kita pun tak kan nak ambik yang tak cantik, yang hati tak berkenan…

Katakanlah kita dalam masa yang sama mengajar dia. Jantung kita tentu berdegup kencang atau tiba-tiba je rasa syahdu. Di sini ada alur-alur etika yang terganggu dalam proses pengajaran kita.Saya tak naklah cakap kalau dah jodoh tak ke mana. Atau kalau dah jodoh nak buat apa?. Saya tak nak jawab begitu nampak sangat kita lebih suka menerima je daripada memirkan apa hikmah di sebaliknya, kita simpan otak kita dalam stor.Cinta dalam mana bentuk pun amat bodoh dan membahayakan kepada diri dan orang lain (terutama di sekeliling), kecuali dipandu dengan bijak ia akan membawa kemuliaan.

Tetapi tak ramai yang bijak kan, he he he, ampun...Walaupun cinta hak masing-masing dan tak ada orang yang boleh masuk campur tetapi yang paling penting siapa pensyarah itu? Maksud saya adakah dia baik atau buruk perangainya? Dan bagaimana dia handlenya? bagaimana dia mencipta dunia percintaannya?Kata la saya ni bercinta dengan student (selisih malaikat 46). Saya rasa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan sebab saya ni bukannya suami orang dan student itu bukannya isteri orang. Dan budak tu pun bukannya bawah umur.

Namun saya aci kerat ibu jari (jari anak patung anak sedara saya) yang akan ada isu-isu yang timbul. Oleh itu saya akan berhati-hatilah… tapi setakat mana? Secermat mana ya?.Kawin dengan student? Saya rasa ramai orang mempunyai pendapat yang berbeza. Saya di sini pun bukannya memberi pandangan saya. Saya hanya menimbulkan topic supaya kita sama-sama berfikir, ok ke tak.Dan jawapan ok ke tak tu pun memang bergantung kepada siapa kita. Maksud saya kalau kita seorang ayah tentu kita suka sebab daripada anak kita bercinta dengan entah sapa-sapa kat kolej/universiti itu.

Baiklah dia bercinta dengan pensyarah, sekurang-kurangnya dapat membantu beri semangat dalam pembelajaran.(walaupun pensyarah itu hanya pakai Myvi? he he he no komen).Namun kalau kita seorang pensyarah perempuan yang ekstrim ranum mungkin kita akan bertanya? Kenapa pilih student? Aku kan ada? Apa kurangnya aku? Ah memang lelaki!Dan kalau kita pemilik institusi pendidikan seperti kolej/universiti mungkin kita bimbang akan jadi satu fenomena. Institusi kita bukannya agensi mencari jodoh. Kita bayar gaji suruh mereka mengajar bukan mengajar cinta!.Dan kalau kita lah yang akan kahwin dengan pelajar tersebut kita mungkin menyatakan dalam hati.

Apa salahnya kalau dah jodoh, asal kita mengikuti landasan yang betul. Jodoh di tangan kita. Yang paling penting kita tak menyusahkan orang lain. Ini soal hati...Maka kesimpulannya saya tidak tahu nak beri pendapat dalam hal ini, kalau saya ditakdirkan berkahwin dengan student saya tak tolak, namanya dah takdir, he he he. Tetapi kalau boleh... dan sebenarnya saya tidak pernah berusaha untuk jadikan pelajar perempuan saya sebagai bini saya. Kalu takdir?

Jangkaulu: Entahlah…emmm, huh! Kita selalu bila kena batang hidung kita-kita kata takdir-takdir-takdir, jodoh-jodoh-jodoh. Suratan la dan macam-macam lagi. Bila kena batang hidung orang? he he he.

Abah Aku Kejam,Orang Tua Tak Sedar Diri,Tak Layak Jadi LELAKI !

24 Nov 2021



Tak tahu nak mula dari mana sebab ia sudah berakhir. Tetapi aku rasa aku perlu kongsi sesuatu yang sehingga ke hari ini aku tak boleh hadam apa yang terjadi pada mak aku. 

Pada aku, mak masih muda, umur baru 43 tahun, ada 6 anak. Dia selalu meluah perasaan pada aku sebab aku anak yang dah mula mengerti apa kesedihan yang mama aku hadapi. 

Umur aku? baru 18 tahun. Orang lain bergelut soal pakwe makwe, kerja, study. Aku? Bergelut isu keluarga yang tak pernah sudah kerana jantan bernama ayah. Hati aku dah keras asyik dihidangkan drama realiti playboy tua tak sedar diri. Tambahan pula aku anak perempuan sulung.

Pengajaran pada perempuan yang mungkin mengeluh belum bertemu jodoh, bersabarlah. Jangan jadi terdesak sehingga kita tak tahu dengan siapa yang kita akan tinggal serumah, sebantal dan segalanya. Kedua, jangan jadi perempuan bangang dan percaya bulat-bulat pada lelaki yang sudah beristeri. Tambahan anak ramai pula kononnya dia tidak bahagia. Bullshit itu semua. Maaf jika sepanjang perkongsian yang panjang berjela ini akan membuatkan korang annoyed and bosan.

1. Mak, sekolah tak habis. Last Tingkatan 1. Erti kata lain, dia jenis yang memang tidak terbuka pergaulan. tak pandai cakap banyak-banyak. Apa yang ada, dia terima saja. Berkahwin pada usia yang muda dengan suami yang berasal dari kampung yang sama. Rumah mak dan abah dekat, sampai boleh nampak bumbung rumah. Abah aku askar, yang jenis masuk hutan jarang balik. Maklah yang menguruskan anak dari A-Z dengan apa saja yang ada. Adik-adik aku Alhamdulillah, sangat memahami dan berdikari.

2. Semua bermula 7 tahun lepas semasa kami tinggal di utara Malaysia. Kami semua dapat tahu abah kahwin lain di Siam dengan anak dara. Entah mana dia kena. Fuh, time itu aku rasa macam Wau! Adik bongsu, 1 tahun, makan nasi dengan telur setiap hari, duit sekolah pun dicatu.

"Kau boleh menikah lain? Duit elaun isteri yang tentera potong itu saja yang kau tinggalkan pada kami 7 beranak untuk hidup?"
Abah dah mula angkat tangan dan kaki pada mak masa ini.

3. Episod kejam berterusan bilamana betina itu asyik merengek nak perhatian. Biasalah, isteri muda. Bila abah keluar hutan, dia nak masa dengan abah. Huhu.. Dasar tua ganyut, lupa anak isteri yang ada di rumah. Aku rasa abah aku itu bodoh sampai level langit bila dia bawa perempuan itu datang rumah kami. Rumah kami kecil saja, rumah sewa.

Malam itu, masa aku nak tidur di ruang tamu (kami memang tidur di ruang tamu saja), bentang toto, dan abah beritahu mak suruh dia tidur dengan anak-anak.

"Kau pergi tidur di luar dengan anak-anak. Madu kau nak tidur dalam bilik!"

Aku ingat sampai bila-bila kebodohan jantan itu. Mak aku tidur luar bilik, aku dengar dia menangis. Sampainya hati, Ya Allah. Oh ya, sepanjang 17 tahun kahwin, katil tak pernah ada, kelengkapan rumah seadanya saja. Oh jantan, aku benci dia!

4. Isteri baru ini ada kereta dan bekerja. Mak selalu kata,
"Dia nak tumpang senang dengan isteri itu kot, mak kan tak kerja"
Fuh, aku sedih gila time itu. Tempoh 2 tahun perkahwinan tersebut, kami selalu berhubung dan dikunjungi oleh madu dia. Madu itu pun dah ada rumah sewa berdekatan dengan rumah kami. Cuma mama tak tahu dan tak pernah dibawa ke sana. Aku tak diizin campur hal tersebut. Nak pergi sana naik apa? 

Yelah, kami cuma ada motosikal buruk, lesen pun tak ada. Naik moto angkut kami adik-beradik pergi balik sekolah sesi pagi dan sesi petang. Adik kecil aku selalu cakap yang madu itu selalu cakap anak-anak itu kotor dan pakai tak up to date. Sedihnya aku, pastinya mak hanya memendam rasa. Budak nak membesar dan baju pakai yg mana ada ja. itu pun sebab dia bukan peduli keperluan kami.

5. Suatu hari, entah ini satu sinaran baru atau ujian. Aku tengok abah balik tiap-tiap minggu pada dia, tak melekat dengan handphone seperti biasa, spent time dengan anak-anak. Seolah-olah abah dah tak ada bersama dengan perempuan itu. Mak cakap perempuan itu pun dah tak datang rumah dah. Baiknya mak aku, siap cuba telefon madu itu pun tak dapat dihubungi. Jadi mak assume madu dia sudah diceraikan. Aku buat hal aku, malas nak peduli. Janji aku jadi anak mak yang baik, tak susahkan dia.

6. Dalam masa terdekat itu, datang satu lori perabot ke rumah kami. Mak tak berani tanya dari mana datang perabot itu sebab mak dah diajar kaki dan tangan. Jadi sekali lagi, kami assume, perabot itu datang dari rumah bekas isteri kedua abah sebab ada bekas perabot yang digunakan. Meja makan, almari, katil, TV, kabinet dapur dan serba engkap semuanya. 

Aku nampak mak happy bila dia dapat semua itu. Suami yang selalu ada di depan mata dan kelengkapan rumah yang tak pernah ada. walaupun perabut itu milik bekas madu dia punya yang berkahwin tak sampai 2 tahun. Tapi mak, dah hampir 20 tahun kahwin baru nak merasa.

7. Ya, benar. Ini bukan pengakhiran indah apabila lelaki itu katanya berkursus di selatan selama sebulan. Balik dari situ, mak cakap dia dapat rasa yang abah mula buat perangai lama. Entah kali ini kahwin atau tidak. Tapi mak aku dijauhi dan diboikot. Perkara ini berlarutan sehingga mak dan abah tak bercakap selama 5 bulan. Dia hanya bercakap dengan adik-adik aku yang bongsu. Kami 4 beradik ke atas diabaikan sepenuhnya.

Abah balik pada perangai lamanya, melekat pada handphone. Di depan mata aku, mak tanya abah nak makan ke tak. Tapi abah diam saja. Mak sendukkan nasi dan letak di depan baah di depan TV. Kalau dia makan, dia akan makanlah. kalau dia tak nak makan, nasi itu akan dibiar sepi. Mak akan angkat nasi itu dan disimpan di dapur. Meluat aku tengok keadaan itu. Tapi aku takleh nak marah mak sebab dia memang macam itu.

Mungkin aku panggil ini sinaran even ia adalah dugaan. Suatu malam, aku tengah baring di dalam bilik, aku terdengar abah mengamuk. Aku keluar dan lihat, abah sedang cekik mak. Adik bongsu aku menangis. Abah tak berhenti dan masih jelas ayat yang aku anggap pengakhiran semua derita kami selama ini.

"Malam ini aku ceraikan kau!"

Rumah sepi. Cengkaman tangan dilepaskan dan mak terbatuk-batuk, mungkin sakit dicekik. Abah keluar dari rumah, mak bangun dan suruh kami semua tidur. Ayat tenang, tapi muka mak takkan aku lupa. Kami menurut dan masuk ke bilik.

Urusan penceraian sedang berjalan. Mak naik teksi saja pergi ke pejabat agama untuk buat aduan penceraian. Aku rasa kosong, kami keluar dari rumah yang banyak membawa duka ini. Mulakan hidup di kampung mak sejak awal tahun ni. Aku nak bergerak pun rasa tak boleh. Nak sambung belajar, kasihan dengan mak,

Akhirnya aku kerja di sebuah CC untuk aku mencari wang untuk adik-adik sekolah. Mak jual nasi lemak. Dari aku kerja di sini, aku jumpa group Kisah Rumah Tangga. Aku rasa aku muda untuk harungi semua ini. Tapi aku tahu, mak aku lagi sedih. Matilah lelaki dalam hidup aku, selain adik beradik aku. 




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.