SLIDER

Pukau Sebelum Dirogol

8 Mar 2023


Sedihnyer mbaca kisah nie.........prmpuan baik, dirosakkan lelaki jahat. Bila lelaki baik, prmpuan jahat pula menggoda. Ingatlah, Murka & laknat Allah akan sentiasa mengiringi mereka² yg menjahanamkn hidup org lain selagi mereka tidak meminta ampun dan bertaubat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Seperti mana yang diceritakan oleh Hana, 17, (bukan nama se­benar), seorang pelajar ting­katan lima dari sebuah sekolah di utara tanah air kepada warta­wan Warta Perdana, M Ilham Arief.


KALAU orang tak tahu cerita sebenar sudah tentu mereka tuduh saya anak yang tak tahu jaga maruah mak bapa. Sudah tentu mereka tuduh saya perempuan tidak bermaruah. Percayalah, apa yang berlaku ini bukan atas kehendak saya. Malah, saya sendiri tidak kenal lelaki bertopeng yang telah meragut kesucian saya. Terlalu berat hendak saya tanggung ujian ini, tapi apa boleh buat semuanya sudah ditakdirkan Allah.

Kalau ikutkan hati saya boleh jadi gila dibuatnya. Saya bersyukur kerana masih lagi memiliki iman yang kuat, walaupun apa yang saya alami ujian ini terlalu pahit untuk saya telan. Hanya air mata menjadi teman setia. Setiap malam saya menangis menge­nangkan apa yang berlaku. Mengapa Allah pilih saya menerima ujian ini?


Persoalan itu sering menerjah fikiran. Namun saya gagal mencari jawapannya. Akhirnya saya reda dengan apa yang berlaku. Mungkin ujian yang saya terima ini ada hikmah yang tersembunyi.Saya kini mengandung lapan bulan akibat perbuatan lelaki jahanam yang tidak dikenali.


Sebelum peristiwa hitam itu berlaku Oktober tahun lalu, saya menunggang motosikal bersendirian seperti biasa dari sekolah untuk pulang ke rumah. Rumah saya jauh di pedalaman dan saya terpaksa melalui belukar dan hutan kecil. Tiba di pertengahan jalan saya dihalang oleh seorang lelaki bertopeng. Dengan kasar dia mengarahkan saya memberhentikan motosikal. 


Mulanya saya tak endahkan arahannya. Saya cuba pecut motosikal, namun dia begitu sadis. Dengan berani dia meng­halang laluan. Sebaik saja memberhentikan motosikal fikiran saya terus melayang entah ke mana. Saya langsung tak ingat apa-apa.

Dalam keadaan fikiran yang bercelaru itu saya diheret lelaki jahanam itu ke dalam semak berdekatan. Mulanya saya melawan namun fikiran saya semakin tidak keruan. Penglihatan saya semakin kabur. Selepas itu saya langsung tidak sedar apa-apa.


Bila sedar, saya dapati tubuh saya dalam keadaan berbogel tanpa seurat benang. Semua pakaian sekolah saya berlonggok di sebelah saya.


Ya Allah… apa yang telah berlaku? Saya melihat sekeliling, namun tidak ada sesiapa selain belukar dan pohon kayu. Saya lantas menjerit meminta tolong, namun sia-sia. Hanya unggas dan serangga saja menyahut.


Barulah saya tahu, rupa-rupanya saya telah dipukau oleh lelaki bertopeng itu sebelum dia perkosa saya. Apa lagi yang mampu saya lakukan selain menangis semahu-mahunya sebelum memakai semula pakaian saya.


Walaupun telah dinodai, namun saya tetap merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan kedua ibu bapa. Lagipun saya yakin tidak akan mengandung dengan hanya sekali saja tubuh saya disentuh oleh lelaki. Saya meneruskan persekolahan seperti biasa, walaupun fikiran saya sentiasa tertekan dan sering mengasingkan diri daripada rakan-rakan.


Beberapa rakan perasan perubahan saya secara mendadak itu. Mereka tahu perangai saya sebelum ini tidak begitu. Sama ada di sekolah atau di rumah saya mulai menjadi seorang pendiam. Ibu, ayah serta adik-beradik lain hairan dengan perubahan saya.

Tanpa disangka setelah kandungan saya mencecah lima bulan perubahan fizikal saya berlaku secara mendadak. Barulah saya tahu rupa-rupanya saya sudah mengandung.


Ibu semakin pelik melihat perubahan pada tubuh saya. Akhirnya pada satu malam ibu menyoal saya kerana dia tidak puas hati melihat bentuk tubuh saya macam orang mengandung. Tanpa banyak soal, saya mengaku bahawa saya mengandung. Tapi saya tegaskan ia bukan atas kerelaan saya. Saya ceritakan peristiwa sebenar yang berlaku ke atas saya.


Ibu sungguh terkejut. Dia menangis teresak-esak kerana saya menerima padah atas perbuatan orang lain. Ibu percaya saya tak akan buat kerja gila itu kerana dia tahu saya seorang anak yang taat kepada suruhan Allah dan suka mengaji Quran.


Setelah kandungan mencecah enam bulan ibu dan bapa mengambil keputusan menghantar saya ke Kem Modal Insan Kewaja (KEWAJA) sebagai persiapan untuk bersalin. Perbuatan kejam lelaki durjana itu tidak akan saya lupa sehingga ke akhir hayat. Walaupun dia kini terlepas dari pembalasan dunia, tapi di akhirat kelak sudah pasti dia akan menerima azab pedih dari Allah.


Jika tidak kerana perbuatan lelaki durjana itu sudah tentu saya kini sibuk membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini.Selepas bersalin nanti saya tekad akan menyambung semula pelajaran. Anak yang bakal lahir ini akan dijaga oleh keluarga saya. Syukur, mereka setuju menjaganya.


Terima kasih mak, ayah kerana memahami kesengsaraan saya!”




Baik Dan Buruk WhatsApp: 7 Jenis Group WhatsApp Paling Lazim

13 Feb 2023



Di zaman teknologi maklumat ini, kebolehan untuk berkomunikasi dengan pantas dan mudah memang sudah menjadi satu keperluan. Satu aplikasi popular di kalangan pengguna adalah WhatsApp, yang dimiliki oleh Facebook sejak awal 2014. Dianggarkan 1 bilion orang menggunakan aplikasi ini, menjadikannya aplikasi pesanan ringkas paling popular di dunia. Lebih 30 bilion mesej WhatsApp dihantar setiap hari. Pentingnya WhatsApp dalam kehidupan seharian boleh dinilai dari reaksi pengguna apabila operasi aplikasi ini terganggu, walaupun untuk seketika.

Selain daripada komunikasi antara individu, satu kegunaan WhatsApp adalah membentuk kumpulan yang membolehkan kita boleh berbual-bual dengan ramai orang pada waktu yang sama. Memang tidak dinafikan, jika digunakan tanpa sebarang pengawasan, WhatsApp boleh mendatangkan impak yang negatif. Banyak group WhatsApp yang kita ‘mute’ kerana hari-hari membincangkan perkara yang tidak berfaedah, malahan dijadikan ruang untuk menyebarkan fitnah. Namun begitu, kita harus meneliti konteks yang lebih besar di mana WhatsApp ternyata memudahkan hidup kita.
Perniagaan melalui WhatsApp mahupun penyebaran maklumat penting dalam kelompok besar antara contoh terbaik mengapa aplikasi ini begitu popular. Untuk membantu kita menilai kebaikan dan keburukan Whatsapp dari aspek kehidupan seharian, mari kita lihat 7 'group' WhatsApp yang paling lazim.



1) Group Bekas Rakan Sekolah

Pada asalnya group ini diwujudkan atas dasar nostalgia, di mana kita boleh kembali bertemu dengan rakan di sekolah dahulu seperti majlis ’reunion‘.
Di majlis tersebut, topik perbualan yang popular adalah “Kerja di mana?“, “Dah kahwin ke?” mahupun “Eh dah kurus ya awak”. Group ini berbual dengan topik yang serupa setiap hari kerana ada ramai ahli maka kita kena tahu semua pekerjaan mereka.

Apabila dah tahu status perkahwinan semua orang, group ini mula hilang arah. Ahli-ahli mula berkongsi jenaka-jenaka yang diambil daripada Facebook ataupun Twitter.

Kadang-kadang bila isteri kita ternampak gambar gadis yang mendedahkan aurat berat di telefon kita, kita tahu group inilah yang harus dipersalahkan.



2) Group Taska

Selepas kita menghantar anak ke taska mahupun tadika, selalunya kita akan dimasukkan ke dalam satu group bersama ibu bapa yang lain.

Di sini kita boleh melihat guru tadika menghantar gambar aktiviti harian anak-anak sebelum ibu bapa memberi komen-komen bangga terhadap anak mereka.

Selebihnya, group ini dijadikan medium pesanan kepada guru agar tidak lupa beri anak sedut Ventolin, memulangkan botol susu yang tertukar, mahupun memberitahu kita ambil anak lambat sebab jalan sesak.



3) Group Jiran Tetangga

Dulu-dulu terbau aroma nasi goreng yang dimasak jiran boleh terus datang bawa pinggan sambil menyanyi keriangan macam iklan Adabi, tetapi generasi muda-mudi mungkin  perlu pendekatan berbeza dalam membentuk komuniti kejiranan yang sihat.

Group WhatsApp Jiran Tetangga ini memang bermanfaat kerana dapat melangkaui jurang usia dan status sesama jiran.

Antara perkara yang sering dibincangkan di sini adalah berkenaan yuran pengawal keselamatan, jemputan ke kenduri khatan anak, mahupun bagaimana mengatasi masalah denggi yang semakin meruncing di kawasan perumahan.



4) Group Perniagaan

Group Perniagaan ini sebenarnya ada banyak nama, ada juga yang panggil group #2Kerja.

Namun begitu saya ingin fokus kepada salah satu cabang ‘perniagaan‘ iaitu MLM. Kadang-kadang rakan sekolah yang kita jarang bertegur sapa tiba-tiba memberi salam dan menambah kita dalam group ini.

Kadang-kadang kita nak terus keluar group tetapi tak sampai hati kerana nak jaga hati kawan.

Bagi mereka yang membuat keputusan untuk terus kekal di dalam group ini, rakan kita tadi yang selama ini pendiam akan memberi kata-kata semangat seperti "Sampai bila nak makan gaji?" dan "Taknak hantar mak pergi haji?" agar kita terus berusaha mencari mangsa, maksud saya pelabur lain.



5) Group Saudara Mara

Ini adalah group yang anda tidak boleh keluar sesuka hati, kerana apabila anda balik kampung ketika hari raya nanti, pasti Mak Ngah anda akan mengungkit "Amir Rashidi, kenapa kau keluar daripada group? Kau dah tak sayang Mak Ngah ya?".

Group ini pasti ada ramai ahli kerana semua orang, dari sekecil-kecil sepupu baru darjah satu, hinggalah ke nenek saudara yang sudah veteran, semuanya memiliki telefon pintar.

Perbualan selalunya berkisar tentang perbandingan keputusan peperiksaan, dapat masuk sekolah asrama ataupun tidak, mahupun perkongsian resepi  Ayam Masak Lemak.



6) Group Tazkirah

Semasa di zaman universiti dahulu, apabila ada geng tabligh yang mengetuk pintu, kita dengan berat hati akan memakai seluar panjang dan dengan tabah mendengar ilmu agama yang disampaikan mereka.

Samalah macam group tazkirah, kalau ada orang dah masukkan anda, memang rasa berdosa untuk keluar daripada group.

Maka setiap kali ada orang berkongsi ilmu tajwid ataupun menyuruh anda boikot barangan Yahudi, anda hanya membalas dengan emoji ibu jari sebanyak tiga kali.

Sesekali kakak atau abang tazkirah senior akan berkongsi klip video nasyid ’Kasih Kekasih‘ yang memberi mesej bercinta selepas kahwin.



7) Group Majikan

Group ini selalunya dicipta oleh bos sebagai tempat untuk menyampaikan amanat pengurusan kepada anak buah mereka.

Ahli-ahli di dalam group ini mengamalkan gaya percakapan yang profesional dengan gaya tatabahasa yang betul kerana tidak mahu mengguris hati majikan, sekaligus mempengaruhi KPI mereka.

Namun begitu pasti wujud satu kumpulan berhaluan kiri yang terdiri daripada ahli-ahli Group Majikan, tidak termasuk bos itu sendiri kerana ingin mengumpat dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan.



Adakah anda merupakan ahli group WhatsApp yang disebut di atas?

Ataupun anda lebih rindukan zaman sebelum WhatsApp di mana semua orang duduk bersemuka, bebas daripada kekangan telefon pintar untuk membincangkan isu semasa?




*  Faizal Rosly adalah seorang pemerhati media sosial dan juga peminat tegar Liverpool FC. Tweet @ijaicool atau ikuti blog beliau.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

Oleh : Faizal Rosly
Kredit : AstroAwani

Isteri Tidak Pernah Di Sentuh Suami Sehingga Usia Perkahwinan Setahun Lebih

2 Feb 2023




Ada sesuatu tentang dia yang gagal saya kesan meski pun telah berkenalan bertahun-tahun lamanya. Zahirnya perkahwinan kami nampak bahagia di pandangan keluarga dan sahabat handai.

Tapi di sebalik senyuman manis dan kebahagiaAn itu, terselit duka yang akhirnya membawa kepada penceraian.

Sukar dinyatakan puncanya, perkahwinan yang berusia setahun lebih yang cuba dipertahankan akhirnya kecundang jua.

Saya dan suami membina hubungan atas dasar cinta yang membawa kami ke gerbang perkahwinan.

Namun, saya tidak menyangka suami tidak dapat menjalankan kewajipan dengan sempurna.

Sebagai isterinya yang sah saya tidak pernah menerima hak batin yang sepatutnya dia berikan.
Kesibukan tugas si suami sering kali diberikan alasan, dan hampir enam bulan berumah tangga, saya masih belum disentuhnya.

Hanya doa dan air mata, penguat semangat. Kehidupan kami sebagai suami isteri seolah-olah ‘berpura-pura’.

Kelihatan bahagia di depan orang, sedangkan asing di rumah sendiri. Sering kali apabila ditanya, bila akan menimang zuriat saya hanya tersenyum kelat.

Saya hanya mampu memberikan jawapan, rezeki belum tiba lagi. Hanya ALLAH SWT memahami apa yang saya rasakan. Kepada keluarga kedua belah pihak, saya cuba rahsiakan. Bimbang mengaibkan suami.

Pada awalnya, saya memikirkan yang suami mempunyai masalah kesihatan dan sebab itu dia seringkali mengelak dengan memberi pelbagai alasan. Oleh sebab itu, saya cuba mencari alternatif sendiri dengan mendapatkan khidmat ustaz yang boleh merawat.

Saya juga berusaha membawa suami mendapatkan nasihat doktor pakar. Namun, ikhtiar saya mendapat reaksi negatif suami.

Pelbagai alasan diberikan. Akhirnya, segala usaha hanya sia-sia. Suami mula berubah tingkah laku. Dia tidak pulang ke rumah dengan alasan kerja lebih masa.

Pembohongan demi pembohongan, katanya kursus sana sini. Alasan yang kadang kala tidak masuk akal. Saya mula hilang sabar.

Penat dengan kerenah dia yang tidak cuba menyelesaikan masalah, sebaliknya mengusutkan lagi keadaan kami.

Setahun lebih memandam perasaan, saya nekad ke pejabat agama. Sesi kaunseling antara kami diharapkan dapat menyelamatkan hubungan.

Sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, dia bernafsu terhadap lelaki. Saya akhirnya redha. Puas saya berusaha, tapi ini balasannya. Mungkin perkahwinan ini tiada ertinya bagi dia lagi.

Akhirnya saya nekad bercerai. Jika diteruskan lagi, hidup saya akan lebih derita.


Mia, 30, Selangor


APA KATA PAKAR,
Datuk Amli Embong, Peguam Syarie

Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah.

Tuntutan-tuntutan itu ialah, tuntutan mutaah, tuntutan nafkah eddah, tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak), tuntuan nafkah anak, tuntutan harta sepencarian dan tunggakan hutang.

Bagaimanapun, tuntutan tuntutan ini tertakluk kepada syarat dan kebenaran Mahkamah Syariah selepas melalui prosedur tertentu yang ditetapkan mahkamah.

Si isteri boleh membuat rujukan kepada pihak-pihak sepatutnya untuk mendapatkan maklumat dan prosedur permohonan, sama ada menerusi lantikan peguam atau ke pejabat ugama berdekatan.

Dalam hal puan tadi, yang mana mempunyai suami yang cenderung kepada lelaki dan tidak mampu memberikan nafkah batin kepada si isteri, isteri wajar meminta cerai.

Sekiranya suami setuju cerai cara biasa tidak ada masalah bagi kedua-dua pihak. Namun, sekiranya suami tidak setuju menceraikan isteri, isteri boleh membuat permohonan fasakh di mahkamah.

Dan alasan itu (suami tidak pernah sentuh) adalah alasan kukuh untuk mahkamah membenarkan permohonan cerai.

Dari segi tuntutan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira mengenai tuntutan apakah yang boleh dibuat isteri.

Dalam kes ini, isteri yang tidak disentuh suami bererti masih anak dara. Oleh yang demikian isteri tidak mempunyai tempoh edah ketika bercerai.

Isteri tidak perlu menjalani edah selama tempoh tiga bulan seperti disyariatkan agama sebaliknya bebas dinikahi pada bila-bila masa selepas bercerai.

Isteri boleh membuat tuntutan mutaah atau saguhati perkahwinan daripada suami. Dan sekiranya dalam tempoh selama perkahwinan suami tidak pernah memberi nafkah kepada isteri, isteri boleh menuntut nafkah tertunggak daripada bekas suami melalui mahkamah.

Begitu juga dengan soal harta sepencarian. Isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian daripada suami.


Kredit : sinarharian

Dalam Dilema Apabila Digelar Anak Emak

12 Jan 2023



Aku telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak. Aku tidak tahu samada aku ini “anak emak” atau tidak. Rakan-rakan sekeliling ada menggelarkan aku sebagai anak emak sebab mereka melihat dalam segenap hal aku lebih mementingkan ibu berbanding isteriku dan anak-anak. Bagi aku, ibu adalah segala -galanya, konsep yang aku pegang sejak kecil lagi adalah ibu ku syurga ku.


Apa sahaja perkara yang menggembirakan hati ibu ku, akan aku lakukan dengan segera tanpa memikiran apa kepentingan orang lain walaupun isteri sendiri dan ahli keluarga yang lain. Sekecil-kecil perkara sebagai contoh pergi ke kedai membeli barangan dapur sehingga ke sebesar-besar perkara akan saya lakukan demi menjaga dan menggembirakan hati seperti menunaikan permintaan ibu untuk melancong keluar negara walaupun saya sendiri tidak pernah merasa bercuti ke luar negara.

Aku harus bagaimana agaknya?

Ahli Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain menerangkan bahawa mengikut teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud secara semulajadinya, anak lelaki sememangnya lebih cenderung untuk rapat dengan ibu manakala anak perempuan pula lebih senang untuk bersama bapa.

Anak emak biasanya merujuk kepada seorang anak lelaki yang mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan ibunya. Hubungan kuat ibu dan anak itu terbina sejak dari kecil lagi sehingga meningkat dewasa. Perwatakan dan personaliti mereka banyak dipengaruhi oleh ibu mereka. Ada di antara anak emak kekal perwatakan mereka sehingga meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.

Perwatakan dan Keperibadian Anak Emak

Seorang anak lelaki yang digelar sebagai ‘anak emak’ kebiasaanya dilihat sebagai seorang yang sangat rapat dengan ibunya, bersifat penyayang, pengasih, berbudi bahasa, sopan santun, mengambil berat terhadap ahli keluarga, menghormati orang tua serta pandai menjaga hati ibu bapa.
Wanita melihat lelaki ‘anak emak’ ini adalah calon suami yang baik kerana berpendapat bahawa lelaki ‘anak emak’ akan menjaganya sebagai seorang isteri sebagaimana dia menjaga ibunya. Tetapi ada juga wanita berpandangan bahawa lelaki ‘anak emak’ sukar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya dalam memberikan kasih sayang yang adil.


Gaya Keibu–bapaan yang Mempengaruhi Perkembangan Anak Emak

1.    Ibu Aktif – Gaya keibubapaan secara tidak langsung mempengaruhi pembinaan karakter dan personaliti anak emak. Kajian Maccoby, E.E. (1992) mendapati bahawa Ibu yang terlalu dominan dalam membesarkan anak-anak akan mempengaruhi perkembangan psikologi dan emosi kanak-kanak tersebut. Begitu juga dengan sifat Ibu yang terlalu bersifat pelindung (protective) kepada anaknya juga dapat memberi kesan kepada pembentukkan peribadi serta emosi anak tersebut.
2.    Bapa Pasif – Ikatan perhubungan antara anak dan ibu terlalu kuat sehingga setiap perkara si anak lelaki akan merujuk kepada ibu berbanding ayah dalam memberikan pendapat dan menjawab persoalan yang timbul. Di dalam hal ini si ayah mungkin tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut.
3. Kadang kala karakter Si ayah yang terlalu garang sehingga membuatkan anak lelaki takut untuk berdampingan dengan ayah dan lebih selesa berinteraksi bersama ibunya.


Adakah Anda Anak Emak?

Ya jika anda:
  • Berhubungan dengan ibu lebih rapat berbanding bapa
  • Lebih selesa menceritakan segala hal peribadi dengan ibu
  • Bergantung sepenuhnya kepada ibu dari segi membuat keputusan dan perancangan
  • Mempunyai emosi yang lebih sensitif jika ada isu berkaitan dengan ibu

Dilema ‘Anak Emak’

1. Dilema Tingkahlaku:Anak emak setengahnya lebih pasif dalam tingkahlaku serta perhubungan sosial. ‘Anak emak’ akan merujuk kepada ibunya untuk apa jua tindak tanduk yang mereka akan lakukan. Mereka ini agak sukar untuk berdikari.
2. Dilema Pemikiran: sukar dalam membuat keputusan dan perancangan dengan baik, ini kerana jjika sebelum ini segala perancangan dan tindakan yang diambil adalah bergantung sepenuhnya oleh pengaruh ibu.
3.    Dilema Emosi Anak Emak:Emosi ‘anak emak’ mudah tersinggung dan sensitif dengan isu-isu yang remeh. Mereka lebih peka kepada emosi ibunya berbanding isterinya sendiri. Emosi dalam menyalurkan kasih sayangnya kepada antara ibu dan isteri.

Masalah yang dihadapi Anak Emak

1. Konflik dalam perhubungan: Menurut pandangan Kaunselor Berdaftar , Tuan Hj Hushim bin Hj. Salleh berkata, karakter yang dimiliki oleh  ‘anak emak’ adalah positif seperti hubungan rapat dengan ibu, mengambil berat dan bertanggungjawab. Akan tetapi konflik mungkin timbul bagi ‘anak emak’ jika karakter itu terbawa-bawa ke alam rumahtangga.
2.   Berkongsi kasih:Ianya dapat dilihat apabila suami ‘anak emak’ tidak dapat memberikan kasih sayang yang adil antara ibu dan isterinya, segala hal urusan rumahtangga akan di kongsi bersama ibunya serta takut untuk mengambil keputusan dan tindakan sendirinya.
3. Bimbang jatuh hukum derhaka kepada ibu: patuh dan tunduk kepada ibu bapa  merupakan satu tuntutan dalam agama manakala keseimbangan kasih sayang dalam perhubungan suami isteri juga adalah sesuatu yang perlu untuk menjamin keharmonian rumah tangga.

Saranan kepada ‘Anak Emak’

1. Sedar Diri – menyedari dan mengakui bahawa anda ada memiliki perwatakan sebagai ‘anak emak’ dan menerima keadaan tersebut dengan hati yang terbuka.
2. Ubah cara hidup – lakukan perubahan keatas persepsi diri dan perwatakan ‘anak emak’ yang dibawa demi kesejahteraan emosi dan tingkahlaku.
3. Positif mental dan emosi  sentiasa positif untuk melakukan perubahan agar hidup anda lebih harmoni untuk kedua-dua belah pihak terutamanya dalam perhubungan suami isteri.
4.    Memahami kepentingan antara dua pangkat ibu & isteri – ibu dan isteri masing-masing  mempunyai hak terhadap anak dan suaminya, adalah menjadi tanggungjawab anak/suami untuk berlaku adil terhadap keduanya. Perlu faham keutamaan sepertimana tuntutan agama yang menggariskan bahawa ibu perlu diberi keutamaan. Suami perlu membantu isteri faham hiraki ini dari perspektif agama.
5.   Perbincangan antara kedua belah pihak – jadikan kebiasaan untuk suami isteri berbincang akan hal rumahtangga bersama-sama dan tidak menyerahkan segala keputusan pada ibu.
6.  Belajar berdikari dan matang – cubalah untuk berdiri diatas kaki sendiri dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Jangan risau dengan keputusan yang di ambil, jika salah; belajar dari kesilapan tersebut.

Rujukan:
1.  Maccoby, E.E. (1992). The Role Of Parents In The Socialization of Children: An Historical Overview. Developmental Psychology, 28, 1006-1017
2. Ustazlove (2011). Soal Jawab: Antara Ibu dan Isteri. Retrieved November 4, 2014, from http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/”>http://ustazlove.com/blog/2011/10/soal-jawab-antara-ibu-dan-isteri/
3.   Jaya, Dr.Juanda (2011, Oktober 6). Rumah Tangga: Suami Anak Emak, Lupa Hak Isteri. Retrieved November 5, 2014, from http://www.drjuanda.com/?p=572″>www.drjuanda.com/?p=572
4.    Naim, Muhammad (2013). Renungan Mukmin: Apa Pandangan Anda Mengenai Lelaki Anak Emak?. Retrieved November 6, 2014, from http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/”>http://akuislam.com/blog/renungan/lelaki-anak-emak/
5.    Narayanan, Jagatheswary (2010, May 2010).  Pesona: Melayan Suami ‘Anak Emak’. Akhbar KOSMO. Retrieved from http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Semakan Akhir
:
6 Januari 2017
Penulis
:
Fauzie bin Musa
Akreditor
:
Ruhana binti Mahmod

Kredit : PortalMyHealth



Perempuan Makin ‘Menua’, Tiada Lagi Nak ‘Bersuka Ria’, Cuma Hidup Nak Tenang-Tenang

1 Oct 2022



Zaman muda, perasaan nak tahu apa saja dan terokai dunia sentiasa membuak-buak. Masa inilah kawan mesti sentiasa ada untuk bersuka ria dan berkongsi cerita. Belum lagi dapat bercuti dan keluar bersama-sama. Kalau boleh masa muda inilah nak rasai pengalaman dan bersuka ria. Belum lagi ‘bergosip, dengan kawan-kawan. Opss…Malah, darh muda ini, hatinya cepat panas, memberontak, tak suka ini dan itu. Semua ada.

Tapi, bila usia makin meningkat, perangai pun dah sedikit demi sedikit berubah. Kurang rasa panas baran, tak suka. Lebih penting, bila dah mendirikan rumah tangga, perempuan biasanya akan lebih menumpukan kepada rumah tangga. Kiranya zaman bersuka ria atau orang cakap ‘zaman laro’ itu dah tak ada dah. Ini belum lagi perubahan pada diri kita. Makin menua, lebih fikirkan kepada dunia akhirat dan tak tahu bila ajal akan tiba. Betul tak? Inilah perubahan ketara bila perempuan makin menua. Nak tahu apa lagi, ikuti perkongsian daripada Siti Suryani Yaakop ini ada benarnya.


Zaman Bersuka Ria Dah Berlalu Orang perempuan bila dia sedar dia makin ‘menua’….


1. Mula pakai baju longgar. Dia tahu batang tubuh adalah aurat. Malu rasa nak pakai ketat-ketat. Segan rasa nak kenakan yang sendat-sendat. Dia sendiri akan sedar pakai longgar-longgar pun cantik juga. 

2. Dah tak ada kisah sangat fesyen ke apa. Dulu semua nak kena match. Dari baju sampai tudung membawa ke kasut. Belum kira handbag lagi. Sampai takda tempat gantung. Sekarang takda kisah mana. Janji dia rasa kemas dan selesa. 

3. Dia dah tak berapa nak membeli terutama untuk diri sendiri. Rasa ada dah semua. Kalau beli untuk anak, berapa pun tak apa. Tapi kalau beli kat diri sendiri tudung 10 ringgit pun fikir 10 kali. Nak ingat semula dah ada kat rumah ke belum lagi. 

4. Dia malas layan drama. “Ikut kau lah Bedah”. Dulu semua benda kalau tak kena rasa nak cakap. Sekarang paling malas, konfrontasi. Dah makin berusia dia makin tahu. Betapa banyak sebenarnya benda remeh yang dia boleh saja biarkan berlalu. 

5. Dia kurang cerewet. Mudahnya dulu order makan kena betul-betul ikut spec. Sekarang minta nasi goreng kampung tapi orang bagi nasi goreng cina pun, makan lah juga. Malas nak bising mana. 

6. Dia semakin kurang panas baran. Dia lebih sabar dan tenang. Dia dah tahu akibat dari panas baran ni tak pernah elok. Memalukan dan menyusahkan diri sendiri juga di akhirnya. 

7. Dia banyak bersendiri. ‘Me time’ dulu nak kena ada kengkawan sentiasa di tepi. ‘Me time’ sekarang ialah masa bertenang dan santai sorang-sorang diri. 

8. Dia mula lepaskan dunia perlahan-lahan. Pangkat, tak apa. Duit, sedekah. Barang, bagi kat orang. Femes, tak perlu. Semakin lama dia semakin sedar dunia ini tiada lah perlu lagi digenggam begitu kuat. Dipegang begitu erat. 

9. Dia kurang dah hiburan dan TV. Dulu drama jam 7 malam dia lah paling hafal. Sekarang dia tahu dah waktu mana boleh tengok. Lama mana hendak tengok. Jenis apa patut tengok. Kadang tak kenal pun artis mana-mana. 

10. Sebab dia dah mula tahu ke arah mana masa dia sepatutnya habis. Dalam hidup tak berapa banyak sisa ni dia sedar…’Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian’. 

11. Dia sibuk upgrade diri dalam cara yang dia mahu. Tanpa kisah orang tahu. Lagi rahsia lagi baik. Dan tanpa menilai orang disekeliling. Dia anggap orang lain pun sedang upgrade diri juga. Secara rahsia. Sama macam dia. Tak nampak di mata bukan bermakna orang tak buat apa.

Mingguan Wanita : Zaman muda dah berlalu. Sekarang tumpukan pada keluarga dengan besarkan anak-anak dan nak hidup tenangtenang, malas nak fikir perkara remeh temeh. Buang masa. 


Kredit: Siti Suryani Yaakop 

Kredit : MingguanWanita



Inilah Senarai Penyakit Jantung Yang Lazim Di Malaysia! Jom Ambil Tahu Sekarang

27 Aug 2022

 


Tahukah anda, apakah jenis penyakit jantung yang lazim di Malaysia? Mungkin ramai pernah dengar mengenai sakit jantung dan strok, tapi sebenarnya ada banyak lagi penyakit jantung yang anda perlu tahu.

Penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian di seluruh dunia. Di Malaysia, penyakit ini lebih dikenali dengan nama penyakit jantung dan telah menjadi punca kematian utama hampir sedekad lamanya.

Kebanyakan bentuk penyakit jantung boleh dirawat atau dielakkan dengan cara mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, hampir 1.7 juta rakyat hidup dengan 3 jenis faktor utama penyakit jantung iaitu diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi.

Malah, 3.4 juta lagi rakyat Malaysia mempunyai dua faktor risiko utama seperti yang diterangkan di atas. Perkara inilah yang menyebabkan begitu ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit jantung.

Apakah maksud penyakit jantung dan jenis jenisnya

Sebenarnya, penyakit jantung merupakan satu terma universal yang digunakan untuk merujuk kepada penyakit atau kondisi yang mempengaruhi jantung manusia. Ini termasuklah:

  1. Penyakit jantung koronari – penyakit yang berlaku pada kawasan salur darah yang menuju ke jantung.
  2. Penyakit serebrovaskular – penyakit pada salur darah yang menuju ke otak.
  3. Penyakit arteri periferal – penyakit pada saluran darah yang menuju ke tangan dan kaki.
  4. Penyakit jantung reumatik – kecederaan pada otot dan injap jantung disebabkan demam reumatik.
  5. Penyakit jantung kongenital – kerosakan struktur jantung sejak lahir.
  6. Thrombosis vena dalam – darah beku pada kawasan kaki yang boleh tercabut dan bergerak ke bahagian jantung dan paru-paru.

Jantung merupakan organ yang paling penting dalam sistem kardiovaskular.

Melalui saluran darah, jantung bertindak mengepam dan membekalkan oksigen kepada semua sel di dalam badan manusia.

Penyakit jantung akan terjadi apabila saluran darah dan jantung tidak dapat melakukan fungsinya seperti biasa.

Disebabkan sistem kardiovaskular menghubungkan jantung kepada bahagian badan yang lain, penyakit ini juga boleh memberikan kesan yang negatif kepada organ lain.

Jenis penyakit jantung yang lazim di Malaysia

Ada banyak penyakit jantung yang lazim di Malaysia. Antaranya adalah:

1. Penyakit jantung koronari

Di Malaysia, jenis penyakit jantung yang paling lazim berlaku ialah penyakit arteri koronari. Penyakit ini terjadi apabila terdapatnya pengumpulan plak pada kawasan arteri.

Penyakit yang turut dikenali dengan nama penyakit jantung koronari ini boleh menyebabkan simptom seperti sakit dada atau sakit jantung jika tidak dirawat.

2. Angina (sakit dada)

Angina merupakan sejenis kesakitan atau ketidakselesaan pada kawasan dada, lengan, leher, perut atau rahang yang berlaku disebabkan pengaliran darah kepada jantung yang terbatas.

Namun, angina bukanlah sejenis penyakit. Ia merupakan salah satu simptom penyakit arteri koronari. Malah, angina merupakan satu cara jantung memberikan ‘amaran’ kepada kita.

Jika anda kerap diserang sakit dada, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin untuk mengenal pasti punca sebenar angina yang dialami.

3. Sakit jantung

Sakit jantung atau infarksi miokardium akut berlaku apabila bekalan darah kepada mana-mana bahagian otot pada kawasan jantung terhenti atau terhalang.

Sakit jantung biasanya berlaku disebabkan plak lemak yang tercabut dan membentuk darah beku pada kawasan arteri koronari.

Serangan jantung boleh membawa maut jika tidak dirawat secepat mungkin.

Oleh sebab itu, penting untuk anda menelefon 999 jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang mengalami sakit jantung.

4. Kegagalan jantung

Ramai yang anggap kegagalan jantung terjadi apabila jantung gagal untuk berfungsi. Walau bagaimanapun, itu bukanlah maksud sebenar kegagalan jantung.

Kegagalan jantung berlaku apabila jantung tidak lagi dapat mengepam darah dengan sempurna.

Akibatnya, pesakit akan rasa sesak nafas dan letih kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

5. Degupan jantung tidak sekata (arrhythmia)

Masalah degupan jantung tidak sekata berlaku apabila impuls elektrik yang mengawal degupan jantung tidak berfungsi dengan baik.

Oleh sebab itu, jantung akan berdegup terlalu pantas atau terlalu perlahan. Degupan jantung tidak sekata juga tergolong dalam kategori arrhythmia.

Kesimpulan


Bukan semua sakit jantung berlaku dengan jelas seperti yang dapat kita lihat pada kaca televisyen.

Kadangkala, sakit jantung boleh berlaku secara senyap. Ia juga tidak akan menunjukkan apa-apa simptom sehinggalah pesakit mengalami serangan jantung atau kegagalan jantung.

Individu yang mengalami hipertensi, kolesterol tinggi dan merokok merupakan golongan yang paling berisiko untuk mengalami penyakit jantung.

Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika mengalami simptom penyakit jantung.

Kredit : HelloDoktor



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.