SLIDER

Telah Terbukti Saya Tidak Mandul

23 May 2017




PASANGAN yang mendirikan rumah tangga tentu inginkan anak sebagai penyeri dan pengikat kasih sayang dalam rumah tangga. Namun tidak semua impian itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat kerana semuanya ketentuan Allah. Soal zuriat bagi pasangan yang bernikah tentu menjadi perkara sensitif jika tidak kena gaya terutama kala bertandang ke rumah mentua. Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Aiza (bukan nama sebenar) dengan anda semua. Dalam tulisan yang panjang lebar, Aiza menceritakan kekecewaannya dituduh mandul oleh mentua, sedangkan hakikatnya anaknya sendiri yang mandul.

Kita ikuti kisah Aiza:

"Saya berusia lewat 20-an, bernikah dengan teman lelaki yang saya kenali sejak di kolej bernama Aiman (bukan nama sebenar) setelah menjalin hubungan selama enam tahun. "Tamat belajar dan setelah mendapat kerja, kami bernikah dan direstui keluarga masing-masing. "Dua tahun bernikah saya masih belum mengandung. "Mentua mula kecoh, bising-bising dan mengatakan saya merancang tidak mahu anak, pada hal mana ada perempuan yang tidak mahu melahirkan anak.

"Saya tidak merancang, tidak makan apa-apa ubat mencegah hamil. Tuhan belum mahu memberi kami rezeki dan zuriat. "Setiap hari selesai solat saya berdoa minta Tuhan berikan kami zuriat. Saya tidak pernah kecewa sebab saya tahu, saya tidak ada masalah untuk mengandung sebab saya sudah buat pemeriksaan terperinci untuk mengetahui tahap kesuburan saya. "Apabila saya ajak suami, dia enggan dengan alasan dia tidak mandul dan dalam sejarah keluarganya tidak ada yang mandul.

"Satu hari saya diberitahu suami yang dia ingin membawa saya bercuti ke sebuah pulau. Alasannya untuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga. "Seronok kerana merasa diri dihargai, saya setuju tanpa mengetahui tujuan di sebalik ajakan suami saya. Sampai di sana, saya lihat suami sangat gelisah. Dia asyik menjawab telefon, entah dari siapa saya tidak tahu. Tapi saya tidak kisah dan tidak mahu merosakkan percutian kami itu. "Saya tidak mahu berprasangka buruk kepada suami. Malam kedua di pulau itu ketika kami sedang makan malam, suami berterus terang meminta izin untuk bernikah lagi seorang. Seperti saya duga alasannya sebab dia mahukan anak dan kerana desakan ibunya.

"Saya berhenti makan, macam hendak pecah dada saya dibuatnya. Air mata saya mengalir laju membasahi pipi. Saya amat sedih, tergamak dia buat saya macam ini. "Saya tinggalkan makanan dan terus balik ke bilik hotel. Di bilik suami mencurah semua yang terbuku di hatinya. Dia ingin bernikah lagi seorang kerana mahu membuktikan kepada keluarga dan kawan-kawan yang dia tidak mandul. "Lama juga kami bertengkar. Rupa-rupanya yang suami sibuk menelefon itu adalah ibunya yang bertanya sama ada dia sudah berterus terang dengan saya atau belum.

" Saya mula merasakan hubungan kami akan menjadi renggang selepas ini terutama apabila mentua masuk campur. Kepercayaan saya kepadanya sudah pudar, malah hilang ditelan malam yang gelap gelita. "Dalam tangisan yang tidak ada hentinya, saya memberi dia izin untuk bernikah lagi dengan syarat saya dilepaskan sebab saya tidak sanggup hidup bermadu. Saya tidak mahu berkongsi kasih dengan perempuan lain hanya kerana saya tidak ada anak. "Saya juga tidak sanggup melihat perempuan lain yang berkongsi suami dengan saya mengandung dan melahirkan zuriat untuk suami saya.

"Akhirnya saya dilepaskan dengan talak satu. Saya merasa amat lega walaupun saya kecewa dan bersedih. Hampir dua bulan saya tidak dapat melupakan peristiwa tersebut. "Dalam tempoh tersebut, bekas suami bernikah lain dengan gadis pilihan orang tuanya. Saya mendapat khabar daripada rakan sekerja suami yang juga teman baik saya semasa di kolej. "Saya tidak berdendam dengan dia dan saya mendoakan agar dia bahagia dengan isteri barunya. Doa saya supaya kebenaran akan terbongkar. Saya mahu menebus maruah saya yang telah tercalar.

"Enam bulan setelah bergelar janda saya dilamar oleh kenalan abang, seorang duda yang baru balik dari bertugas di luar negara.
"Saya mengikut kata ibu dan abang kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Harapan saya agar rumah tangga kali ini akan berkekalan dan saya mampu memberi zuriat kepada suami. " Alhamdulillah, dua bulan setelah bernikah saya disahkan mengandung. Tuhan telah makbulkan permintaan saya. Saya menangis dalam pelukan suami kerana teramat gembira. "Ibu dan abang tentulah paling gembira kerana saya telah berjaya menebus maruah yang tercalar kerana dikatakan mandul oleh bekas suami dulu.

"Kebenaran telah terbukti. Saya juga hidup bahagia bersama suami baru yang menyayangi dan menghargai saya sepenuh jiwa. "Mentua baru saya juga sangat penyayang dan melayan saya seperti anaknya sendiri. Saya sangat bersyukur. "Kini usia anak saya sudah dua tahun tetapi bekas suami masih belum dikurniakan anak lagi. Siapa yang mandul sekarang? Kalau ikutkan hati mahu saya pergi ke rumah bekas mentua dan memulangkan paku buah keras kepadanya, tetapi saya bukan perempuan jenis itu.

"Biarpun mereka telah menyakiti hati dan perasaan saya tapi saya tetap menghormati mereka. Cuma saya harap mereka sedar dan insaf dengan perbuatan mereka itu. "Jangan mudah menghina dan memperkecilkan orang kerana kekurangan dan kelemahan yang mereka ada. Tidak semua manusia lemah itu akan lemah selamanya kerana semua yang berlaku adalah dengan izin Allah. "Saya gembira kerana dapat membersihkan nama saya dan menjadi seorang wanita, isteri dan ibu. Saya harap saya akan terus diberi kekuatan untuk membina hidup bersama suami dan anak kami dalam keadaan baik, sihat dan sejahtera selamanya.

" Saya sedar setiap yang berlaku ada hikmahnya dan kini saya sudah peroleh hikmah tersebut. Semoga Allah panjangkan jodoh saya, murahkan rezeki dan bahagiakan kami di dunia dan akhirat,'' kata Aiza menutup cerita. Syabas Aiza kerana telah berjuang untuk menebus maruah anda sebagai wanita. Saya kagum dengan sikap anda yang tidak berdendam dengan bekas suami dan keluarga mentua walaupun mereka telah banyak melukakan hati anda. Mudah-mudahan anda akan terus bahagia di samping suami dan anak yang menjadi pengikat kasih anda berdua. Didiklah dia menjadi anak yang soleh dan solehah dalam menempuh kehidupan mendatang.

Mengundur diri, kebahagiaan itu bukan sekadar rasa gembira dan kemewahan yang nampak di mata tetapi juga ketelusan yang terlahir dari dalam jiwa.

Salam

© Utusan Melayu (M) Bhd 
Kredit : UtusanMalaysia

Duit Bersara Habis Kerana Perempuan, Kawan

22 May 2017

Setiap pasangan suami isteri mahukan kebahgiaan hidup. Mahu sehidup semati dengan pasangan jika diizinkan Allah. Namun, bukan mudah untuk menikmati bahagia itu jika suami tidak setia dan tidak ikhlas dalam perhubungan. Nasihat isteri tidak diendah, teguran tidak diterima, akhirnya isteri mengalah dan membiarkan apa yang mahu dilakukan suami walaupun menyakitkan hati. Hukum Allah tidak kira masa, sampai waktunya Dia akan tunjukkan.

Apabila rahsia terbongkar, mahu tidak mahu isteri juga yang jadi penyelamat. Inilah kisah pilihan saya minggu ini. Kisah menarik yang ingin dikongsi oleh Sofi (bukan nama sebenar) dengan pembaca ruangan ini. Ikuti luahan Sofi mengenai suaminya yang menghabiskan wang persaraan dengan berfoya-foya bersama perempuan dan kawan-kawan hingga lupa diri. Ini cerita Sofi kepada saya.

“Saya seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Berusia lewat 50-an dan bernikah dengan seorang pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi juga bernama Rani(bukan nama sebenar) berusia 60 tahun. “Kami dikurniakan sepasang anak perempuan yang telah meningkat remaja berusia dari 13 hingga 20 tahun. Seperti orang lain, perkahwinan kami sangat bahagia di permulaannya tetapi bergolak kerana suami mula berhibur di luar dengan kawan-kawannya.

“Semuanya gara-gara dia mendapat wang persaraannya setelah mencapai usia 60 tahun. Pada masa yang sama dia berkenalan dengan seorang perempuan berusia awal 30-an yang bekerja di sebuah pusat hiburan. “Saya tidak tahu tentang hubungan mereka tetapi rahsia ini terbongkar apabila satu hari saya terjumpa slip bank pindahan wang kepada akaun seorang perempuan di dalam beg kerja suami. “Setiap malam dia akan keluar rumah, jauh malam atau awal pagi baru balik. Lama saya perhatikan, tetapi saya tidak bertanya. Saya hendak lihat sejauh mana perangainya itu. 

“Setelah enam bulan keadaan suami tidak berubah tambahan pula saya lihat dia terlalu boros dalam berbelanja, saya mula syak sesuatu. Saya tidak terus bertanya tetapi mengintip pergerakan suami. “Ke mana dia pergi, dengan siapa dan apa yang dia buat saya ikut. Saya melihat dengan mata sendiri suami keluar dengan perempuan itu pergi berhibur di pusat-pusat hiburan dengan kawan-kawannya yang masing-masing membawa pasangan. Hampir sebulan saya buat intipan tanpa pengetahuannya. Saya hendak kumpul bukti dulu sebelum menyerang suami.

“Sejak dia berkawan dengan wanita itu, suami selalu kesempitan wang. Duit kereta, duit rumah dan perbelanjaan rumah terjejas. Pada hal dia baru dapat beratus ribu ringgit. Apa yang dia buat dengan duit itu pun saya tidak tahu. “Saya meradang apabila dia mula minta duit daripada saya. Sudahlah kami beranak tidak merasa duit yang dia dapat, duit saya pula hendak dikerjakannya. “Keadaan suami semakin teruk, duit yang beratus ribu itu habis untuk dia berseronok dengan perempuan itu dan kawan-kawannya. Setiap bulan dia mula pinjam duit orang.

“Setiap bulan juga kami bergaduh kerana duit. Saya tidak mahu bagi sebab tahu dia akan bagi kepada perempuan itu dan belanja kawan-kawannya berseronok. “Kerana tidak tahan dengan perangainya saya bersemuka dengan dia mengatakan saya tahu kenapa dia sesak duit. Saya tanya ke mana perginya duit banyak-banyak yang dia dapat? “Janji nak bawa saya ke Tanah Suci juga tidak kesampaian. Janji hendak beli tanah di kampung buat rumah nak senangkan isteri dan anak-anak, tapi satu benda pun tidak nampak.

“Saya tunjukkan juga slip pindahan duit dia ke akaun perempuan tersebut. Dia terus diam. Saya apa lagi, bersyarah panjang dan keluarkan semua bukti yang saya ada termasuk gambar mereka berdua dan sebagainya yang sempat saya kumpul bersama-sama kawannya. “Yang menjadikan dia terkejut apabila saya tunjukkan gambar perempuan itu dengan beberapa lelaki di tempat yang berlainan. Dia macam tidak percaya tetapi bukti saya kukuh. “Dia hilang kata-kata dan tidak berani lagi membela dirinya. Akhirnya dia mengaku sudah lama tidak berjumpa perempuan itu kerana dia sudah tidak ada duit lagi.

“Dia juga mengaku perempuan itu hanya mahukan duitnya sahaja bukan suka kepada dia. Perempuan itu juga katanya memang suka menggoda lelaki yang dia tahu akan dapat duit persaraan. Dapat apa yang dia hendak, dia akan pergi. Memang dia perempuan pengikis. “Suami mengaku kesilapannya. Dia minta maaf di atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. “Di hadapan saya dia menangis dan memeluk saya sambil merayu supaya saya ampunkan kesilapannya. “Saya berkeras dengan dia dan memberinya beberapa syarat. Andainya dia melanggar semua syarat itu, dia akan tahu apa keputusan saya. Ini amaran akhir saya kepadanya. Saya buat ini semua kerana anak-anak kami.

“Nasib baik saya masih waras dan boleh berfikir. Bersyukur kerana dia sedar selepas ditipu oleh perempuan itu. Lagipun ini kali pertama dia buat perangai. Tetapi satu perkara yang saya belajar, jangan cepat melatah jika suami buat perangai, siasat dahulu dan kumpul bukti, kemudian bertindak. “Insya-Allah kebenaran akan muncul. Walau sakit hati saya akan berusaha untuk melupakan perkara itu dan memberinya peluang kedua. Tapi akan mengambil masa juga nampaknya. Luka hati saya bukan mudah hendak sembuh. Alhamdulillah, sekarang saya dapat semula suami saya yang dahulu, penyayang dan bertanggungjawab.

“Kepada lelaki di luar sana saya ingin berpesan, dapat duit jangan lupa anak isteri dan keluarga yang mendoakan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Mereka berhak menikmati rezeki yang Allah bagi itu,” kata Sofi menamatkan ceritanya.Alhamdulillah dan syabas Sofi. Saya bangga dengan keberanian anda. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh para isteri yang berdepan dengan masalah rumah tangga dan perangai suami. ewajarnya Sofi memberi peluang kedua kepada suami. Nama pun manusia, tidak sempurna. Berdoalah agar dia insaf dengan apa yang telah dilaluinya. Doa saya supaya Allah kurniakan keberkatan hidup buat Sofi dan Rani sekeluarga di dunia dan akhirat.

Mengundur diri, pesanan saya, memaafkan kesilapan orang satu pebuatan mulia di sisi Allah terutama mereka yang kita sayang. Maafkan mereka dengan ikhlas dan dari dasar hati yang paling dalam.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia

Fobia Kepada Makhluk Bernama Lelaki

21 May 2017


Terima kasih admin kalau artikel saya terpilih untuk disiarkan disini. Saya rasa apa yang saya nak luahkan ini adalah semata-mata untuk mengurangkan bebanan perasaan fobia dan trauma, kerana saya ni seorang yang sangat terlalu memikirkan masalah emosi. Saya anak bongsu daripada lima adik-beradik. Semuanya perempuan. Saya tak pasti kakak-kakak menyimpan perasaan yang sama seperti saya atau tidak. Tetapi diri saya, saya telah menanggungnya daripada saya kecil sehinggalah saya nak masuk umur 30-an, masih tak dapat letgo tekanan/stress yang saya hadapi.

Sejak kecil, saya dan kakak-kakak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tidak harmoni dan cukup tidak aman. Pada pandangan penglihatan saya, bapa saya seorang yang sangat bengis, baran dan garang yang tidak bertempat. Ibu saya seorang yang sangat lemah lembut , jauh berbeza dangan bapa yang berperangai seperti orang tidak bertamadun. Dari kecil, kami selalu dihidangkan dengan adegan-adegan bapa yang selalu menengking, memukul, menampar, mendera dan mengherdik ibu tanpa diketahui apa salah ibu. Kami yang semuanya perempuan, tak mampu menolong ibu. Kami hanya mampu menangis dan ibu selalu menyorokkan kami di dalam almari setiap kali bapa menyerang ibu. Ibulah tempat bapa selalu melepaskan kemarahan dia tanpa belas kasihan.

Sepanjang tempoh kami membesar, kami sangat kasihan dengan ibu kerana melihat dia yang sentiasa bersabar dan menyerah je apabila berlaku kejadian yang tidak diingini. Kadangkala kami tak faham kenapa ibu hanya berdiam diri dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa. Ketika kami kecil, kami tak tahu, kejadian tersebut merupakan kes keganasan rumahtangga. Sekarang sedikit demi sedikit, kami faham dan kami adik beradik sendiri memang membenci bapa teramat sangat, dan kami sendiri sudah hilang rasa hormat kepada bapa. Sampai bila-bila  pun kami membenci bapa. Dan kami pun tak tahu bila kali terakhir kami memanggil bapa dengan panggilan ayah.

Oleh kerana keganasan yang bapa sering lakukan, saya tonton setiap hari , dari saya kecil hingga dewasa, menyebabkan saya menghadapi tekanan emosi yang sangat hebat menyebabkan saya terlalu fobia dan trauma dengan insan yang bernama lelaki. Malah bermula di sekolah, saya memang tidak boleh bercampur dengan lelaki sehinggalah saya sekarang berada di alam pekerjaan. Sejak dari alam persekolahan, prestasi pendidikan saya sangat lemah. Saya tak boleh fokus kepada pelajaran kerana gangguan perasaan apabila berada di rumah. Apabila saya cuba belajar di luar rumah, saya tidak boleh fokus, kerana sentiasa risaukan ibu yang berada di rumah. Entah apalah bapa sedang lakukan kepada ibu. Apabila ada kerja berkumpulan, saya tidak dapat memberi kerjasama kepada ahli kumpulan, lebih-lebih lagi kalau ada ahli kumpulan lelaki. Saya benci lelaki.

Sekarang di alam pekerjaan saya masih tidak boleh terima kehadiran seorang lelaki dalam hidup saya. Kesannya saya masih bersendiri sehingga sekarang , tidak mempunyai rakan lelaki apatah lagi teman istimewa. Saya mempunyai masalah sosial yang sangat teruk, kerana menyimpan perasaan negatif terhadap lelaki. Saya menjadi seorang yang sangat merendah diri. Tiada keyakinan. Takut yang berlebihan. Kalau ada rakan lelaki yang ingin berkenalan, saya akan menjadi menggeletar dan menangis menyebabkan diorang panik melihat saya respons sedemikian. Sekiranya di dalam ofis berlaku situasi pertelingkahan pendapat antara rakan-rakan ofis yang menyebabkan mereka meninggikan suara di antara satu sama lain, dada dan jantung saya akan berdegup kencang dan tangan saya akan mula kejang. Saya akan lari keluar dari tempat tersebut dan mencari tempat sunyi untuk meleraikan perasaan tekanan yang saya hadapi masa itu.

Saya pernah dilanda kemurungan dan depression yang teruk yang memerlukan saya berjumpa dengan doktor dan mengambil pelbagai ubat-ubatan untuk mengawal emosi saya. Apa yang saya perasan, saya tidak boleh berada hampir berdekatan dengan lelaki, saya tidak boleh mendengar suara lelaki , lagi-lagi suara bernada tinggi macam nak bergaduh. Saya akan mula sesak nafas. Kalau bertembung dengan lelaki, saya akan memandang mereka dengan penuh kebencian. Walaupun saya sedang menonton cerita, apabila ada adegan keganasan lelaki terhadap wanita, saya akan menjerit sekuat hati sambil menutup telinga. Sampaikan rakan rumah sewa terpaksa menutup tv dengan segera untuk menghalang perkara lebih buruk berlaku. Apabila ada rakan-rakan rumah sewa atau ofis yang berkahwin, saya tak dapat memenuhi undangan kenduri perkahwinan mereka, kerana seolah-olah saya melihat rakan-rakan saya itu akan menerima nasib yang sama seperti ibu saya. Saya akan jadi takut , kasihan dan sesak dada untuk melihat mereka di hari persandingan tersebut.  

Kini, walaupun ibu dan bapa sudah di hujung usia, perangai bapa masih tidak berubah. Walaupun sekarang tidak lagi menggunakan kekuatan fizikal, tetapi bapa masih seorang yang panas baran. Pantang sikit ibu tersalah cakap, pasti diherdik dan ditengking. Kalau makanan atau air yang dihidangkan ibu tidak memenuhi selera bapa, bapa akan membaling pinggan cawan ke lantai. Ibu tak ubah seperti kuli dan hamba abdi, bukannya seperti teman sehidup semati yang sepatutnya saling menyayangi. Saya pelik, kenapa bapa boleh bersikap sedemikian, sedangkan ibu adalah isteri dia yang dia nikahi. Mungkinlah, saya tidak tahu sejarah silam mereka, sebab setiap kali saya bertanyakan kepada ibu, ibu tidak pernah mahu menceritakan kepada kami. Saya lebih sanggup tidak pulang ke rumah, duduk tinggal di rumah sewa. Tetapi saya kasihan tinggalkan ibu sorang-sorang dengan bapa yang berperangai macam singa. Saya ajak ibu untuk tinggal bersama saya, tapi ibu menolak. 

Saya pernah cadangkan pada ibu supaya bercerai dengan bapa, tapi ibu berdiam diri. Saya tak kisah pun kalau ibu dan bapa bercerai walaupun mereka dah tua. Saya ingin menjaga ibu. Saya sedar , sedalam mana tekanan yang kami hadapi, lebih dalam lagi perasaan kecewa yang ibu simpan selama ini. Biarlah orang kata, sejahat-jahat ayah tu, dia tetap ayah kita. Bagi  saya, statement ini tak sesuai langsung untuk bapa yang sentiasa memperhambakan ibu, sepatutnya dia mencurahkan kasih-sayang yang selayaknya ibu dapat. Kadang-kala saya seperti hendak membunuh diri kerana terlalu penat menyimpan tekanan perasaan ini.

Bagi lelaki-lelaki di luar sana, saya tahu, tak semuanya yang bersikap seperti bapa saya. Tetapi kalau ada yang bersikap sedemikian, tolonglah jangan diseksa perasaan, jiwa dan raga pasangan anda. Bukan sahaja boleh menghancurkan kehidupan pasangan anda, tetapi turut terkesan kepada anak-anak yang tidak berdosa. Sehebat manapun anda menunjukkan kekuasaan anda dengan mendera wanita secara fizikal dan mental, secara tak langsung anda menunjukkan sifat DAYUS, kerana melakukan keganasan dengan insan-insan yang lebih lemah daripada anda.

- Anak Bongsu Ibu-

Memang Aku Sengaja Pakai Pakaian Selekeh Dan Kereta Buruk Bila Pergi Reunion

19 May 2017

‘Reunion’ memang majlis yang bagus. Admin sendiri pernah menyertai majlis ‘reunion’ rakan sekolah menengah dahulu. Tapi, itulah sekali seumur hidup. Selebihnya, kami banyak berjumpa di alam maya ataupun ada kala terserempak di mana-mana. Ikatan masih tetap utuh biarpun lama tidak ketemu. Itulah persahabatan sebenar tanpa syarat. Namun, berbeza pula dengan kisah ‘reunion’ yang satu ini. Sewaktu perjumpaan, bukannya banyak yang berkisarkan tentang menyingkap memori silam, tetapi lebih kepada perbualan berkisarkan kejayaan diri dan membanggakan diri.

Ikuti luahan Izman Pauzi di facebooknya yang telah mendapat lebih 50,000 kongsian daripada netizen. Ini juga boleh dijadikan panduan hidup dalam mengenal sahabat yang sebenar.

*Artikel dipetik daripada FB Izman Pauzi dengan sedikit olahan tatabahasa.
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Persahabatan Tanpa Syarat

Cuti sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini agak panjang dan ramai orang mengambil peluang pulang ke kampung halaman berjumpa sanak-saudara. Tidak kurang juga orang yang menganjurkan majlis perjumpaan semula rakan sekolah. 'Reunion' ini adalah suatu majlis yang sangat bagus, tetapi biarlah dengan nawaitu dan penerimaan yang sama seperti masa persekolahan dahulu iaitu persahabatan tanpa syarat.

Ya, zaman persahabatan semasa persekolahan adalah zaman yang paling saya suka di mana kita bersahabat tanpa syarat. Kita tidak kisah sahabat itu markah berapa dalam peperiksaan, kita tak kisah ayah ibunya kerja apa, rumahnya besar mana, datang sekolah naik apa. Semua itu tidak penting. Pada masa itu, kita hanya pentingkan persahabatan. "Jika kau terlupa bawa bekal atau tiada duit belanja, marilah kongsi bekal aku." "Periksa semua markah merah dan kena rotan dengan ayah kau ke? Jom kita pergi mandi sungai.” 

Itulah dialog kita kepada sahabat setiap kali sahabat kita mempunyai masalah atau kita sendiri mempunyai masalah. Jadi, bila ada permintaan untuk majlis ‘reunion’, ramai yang ingin menyertainya kerana fikir sahabat kita tanpa syarat itu masih begitu. Namun, realitinya tidak begitu. Saya ada satu kisah yang berlaku di depan mata saya pada akhir tahun lepas.

Begini kisahnya...

Pada suatu petang pada hari cuti, seorang sahabat mengajak saya untuk menemaninya ke kedai ‘spare parts’. Saya dengan rela menemaninya. Kami ke bandar Klang. Usai membeli barangan dikehendaki, dia mengajak saya menemaninya ke majlis ‘reunion’ rakan sekolah rendahnya. sudah tentu saya keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa di situ dan saya juga berpakaian agak selekeh. Dia mendesak dan saya tiada pilihan kerana saya menumpang keretanya. Dia berjanji hanya sekejap sahaja.

Di restoran berhawa dingin itu, beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual di dalam kelompok-kelompok kecil. Di luar terdapat deretan kereta-kereta mewah. Dia masuk berjumpa mereka dan bertegur sapa. Rata-rata mereka sudah tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka sudah puluhan tahun. Saya pula turut bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya. Apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah.

Saya hanya menjadi pemerhati di majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang. Memang ada anak-anak gadis di situ, tetapi saya bukanlah seorang yang mata keranjang. Lagipun mereka juga hanya memandang saya sebelah mata lantaran pakaian saya yang sangat selekeh iaitu berbaju T, ‘cargo pants’ dan bersandal. Gadis-gadis moden ini lebih tertarik dengan gajet dan lelaki yang agresif berbanding saya yang pemalu dan hanya bermain ‘game’ ular di dalam ‘handphone’ 3310 saya.

Saya dapat perhatikan sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok. ada kelompok guru, ‘businessman’, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus, mereka sekadar berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta yang dipakai. Ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis tersebut.

                     "Woi, kau pakai kereta apa sekarang?"

Saya yang mendengar turut terasa jengkel. Ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan ‘show off’ kereta. Lagi memualkan ada sahabatnya yang terang-terang bercerita perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara. Sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi orang ‘ada-ada’. Dua jam berlalu, sahabat saya mengajak saya pulang. Dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka. Rata-rata hanya bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak mengendahkan sahabat saya lagi.

Hanya ada dua orang sahabatnya sahaja yang mengekori hingga ke kereta. Mereka masih berbual-bual kira-kira 20 minit dan bergelak ketawa. Mereka bukan calang-calang orang, salah seorang adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi adalah ahli perniagaan. Mereka berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian. Apabila ingin bersurai, saya tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. Air mata mengalir di pipi masing-masing. Di dalam kereta, saya bertanya sahabat saya itu kenapa dia tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya. Dia mempunyai kereta BMW, Merc, Honda, Toyota Hilux dan beberapa kereta lagi, tetapi Wira buruk ini juga dibawanya.

Katanya, "Memang saya sengaja. Saya nak tengok rupa sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan dan susah senang bersama. Jadi, akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada dua orang sahaja sahabat yang masih anggap saya sahabat karib mereka. Sahabat tanpa syarat.” 

Saya diam dan termenung sendiri. Saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan, pakaian cuma alas diri. Kita mampu memiliki dan menggantikan kesemuanya itu pada bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada di tangan kita. Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatan. Namun, jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal hingga ke hujung nyawa.

Adakah diri anda bersahabat tanpa syarat sehingga kini?

Kredit : Fb/Izman Pauzi
         : portal_gpsbestari

Sekarang Ini Zaman Pelik, Walau Duduk Satu Meja, Masing-masing Leka Tengok Smartphone

17 May 2017

Komunikasi sekarang ini tak ada batasan. walau sorang di London, sorang di Malaysia, jarak tak lagi satu kejauhan. Rasa dekat macam ada di sebelah. Hairannya, yang dekat depan mata pula terasa jauh. Sebab dipisahkan oleh satu alat yang dinamakan smartphone. Duduk sebelah menyebelah, jiwa kosong terasa sepi, tiada suara cuma cahaya telefon menerangi suasana. Ini luahan hati Nik Mohd Iznan.

Inilah Realitinya

Selesai solat Isyak di Masjid Sultan Salahuddin, saya berjalan kaki ke kedai mamak. Saya pesan air oren segar dan sedikit nasi. Tadi pergi masjid dengan kawan. Tapi hendak balik tidak jumpa. Jadi saya pulang seorang diri. Sambil makan saya memerhati gelagat warga kota.

Yang meja di depan, 3 orang. Seorang leka dengan telefon bimbit. Dua orang lagi pun begitu. Semuanya bermain telefon bimbit.
Yang di sebelah. Satu keluarga saya fikir. Termasuk seorang kanak-kanak umur sekitar 6 tahun. Pun semuanya pegang telefon bimbit.

Selang beberapa meja di sebelah kanan. Saya fikir sepasang kekasih. Masing-masing sedang bercinta dengan telefon bimbit. Seolah-olah muka masing-masing mahu masuk ke dalam skrin. Barangkali itulah harga yang perlu dibayar untuk bercinta dalam konteks dunia siber sekarang ini.

Kadang-kadang pelik. Duduk di rumah ber-Whatapps dengan kawan-kawan yang berada di restoran. Duduk di restoran ber-Whatapps dengan dengan keluarga di rumah.

Entah apa hendak jadi.

Saya melihat sekeliling. Boleh dikatakan satu restoran. Semuanya dengan telefon bimbit. Kita di zaman pelik. Zaman masing-masing yang dekat semakin jauh. Yang jauh semakin dekat. Macam mana tidak leka. Grup Whatapps pun 56. Grup Telegram pula 37. Facebook ada dua akaun. Pelik. Dulu tidak ada boleh sahaja.

Sekali lagi saya berasa risau dengan gelagat manusia. Di kedai mamak. Yang semuanya dengan telefon bimbit. Hanya saya seorang sahaja yang tidak memegang telefon bimbit.

Sejenak saya tersedar.

Sedar kerana apa. Sedar kerana saya menjadi pemerhati segar sebab telefon sendiri sudah kehabisan bateri. Kalau bateri masih ada rasanya saya pun dua kali lima. Demikianlah. Kita sering nampak kesalahan orang. Sehingga kita terlupa yang kita pun begitu juga.

 

Ini Peraturannya

1. Kena letak satu peraturan. Bila bersama pasangan di kedai makan, telefon kena tinggal dalam kereta. Walaupun bunyinya kelakar, tapi cara ini memang menjadi. Nak tak nak, kita akan kembali bercakap dengan pasangan.

2. Ketika di rumah, berikan waktu untuk beronline. Balik rumah, selesaikan urusan dengan anak-anak dan hal rumah, barulah tengok telefon. Susah.. memang susah.. kalau tak cuba memang tak jadi.

3. Kalau ke majlis kenduri, cuma perlu pegang smartphone waktu hendak ambil gambar. Sebaik sampai, berbuallah dengan saudara mara itu. Bukan bergosip, tapi bertanya khabar sepupu sepapat yang lama dah tak jumpa.

4. Anak-anak jangan beri smartphone ketika belum cecah usia remaja. Biar mereka belajar bermain, berbual dengan adik-adik. Bergaduh manja apa salahnya. Mak ayah cubalah leraikan pertelingkahan anak-anak dengan kelembutan.


Oleh:Netty Ah Hiyer

            : MingguanWanita

Kalau Mak Ada, Mak Mesti Sedih

15 May 2017



MASALAH rumah tangga bukan sahaja berlaku kepada pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga tetapi juga pasangan sudah berumur terutama mereka yang baru berkahwin lain. Ada bercinta macam orang muda, bergayut di telefon siang malam, tak jumpa sehari terasa rindu dan apabila berjumpa tidak mahu berpisah pula. Bila sudah berkahwin lebihkan isteri baharu dan keluarganya.Inilah kisah yang saya akan kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Anne (bukan nama sebenar) mengenai ayah­nya yang baru berkahwin lain setelah kematian ibu mereka dua tahun lalu. 

Begini ceritanya.

“Saya anak sulung daripada tiga beradik dan mempunyai seorang adik lelaki dan adik perem­puan yang masih menuntut di universiti. Ibu kami meninggal dunia dua tahun lalu kerana serangan jantung.“Ayah seorang pesara kerajaan, usianya 65 tahun tetapi seorang yang sangat menjaga penampilannya terutama di khalayak. Pakaian memang sangat style mengalahkan orang muda.“Tidak hairanlah ayah dikejar ramai wanita. Setelah dua tahun menduda, ayah akhirnya bertemu jodoh dengan seorang kenalan lamanya, janda beranak tiga juga tetapi kematian suami. Orang­nya cantik, bergaya dan memang sesuai dengan ayah.

“Saya dan adik-adik tidak membantah apabila ayah memberitahu dia mahu bernikah lagi. Saya gembira kerana sekurang-kurangnya ayah ada orang jaga sakit demamnya, makan mi­numnya. “Adik-adik mengikut saya. Baik saya baiklah mereka, lagipun kami bukan anak yang didik dengan adab sopan menghormati ayah dan orang tua. Saya tidak nampak keburukan bakal ibu tiri kerana dia sangat mesra setelah ayah perkenalkan kepada kami beberapa bulan sebelum mereka bernikah.

“Seperti yang saya boleh agak, selepas berkahwin ayah ba­nyak menghabiskan masa dengan makcik dan keluarganya. Saya dan adik-adik selalu tinggal bersendirian sebab ayah lebih kerap tinggal di rumah makcik dari rumah kami. “Alasan ayah, saya sudah dewasa untuk menjaga adik-adik semasa ketiadaan ayah. Sedangkan ayah tahu, kami perlukan dia. Ini tidak, dalam sebulan seminggu pun ayah jarang dapat bersama kami. Sehinggakan ada kalanya saya terpaksa menelefon dan mesej untuk beritahu ayah sesuatu yang mustahak. Nasiblah kalau ayah baca, jika tidak, tunggulah.

“Saya sangat sedih dengan perangai ayah. Tidak sangka ayah akan mengetepikan anak-anak kerana dapat isteri baharu. Sedangkan masa belum kahwin ayah berjanji akan tinggal bersama kami. Makcik pun setuju de­ngan syarat kami. “Tapi bila sudah berkahwin lain pula jadinya. Ayah ikut cakap isteri baharu, lupa janjinya de­ngan kami. Dia seronok dengan isteri baharunya, kami dibiar menangis kerana sedih dengan sikap ayah. “Saya banyak kali menegur ayah tetapi saya pula kena marah sebab ayah kata saya cemburu dengan anak-anak tiri ayah. Siapa saya hendak cemburukan mereka? Itu hak ayah. Saya tidak kisah. “Yang saya kisah tanggungjawab ayah kepada kami tiga beradik. Itu yang ayah perlu fikirkan, bukan enjoy dengan makcik ke sana sini. Saya tidak marah ayah layan makcik dan anak-anaknya tetapi pada masa sama perlu ingatkan kami juga.

“Adik-adik masih perlukan ayah. Mereka masih belajar. Saya sudah boleh berdikari sebab saya sudah berkerja dan ada pendapatan sendiri. Saya tidak akan susahkan ayah tetapi adik-adik perlukan wang untuk belajar dan sara hidup mereka. “Saya pernah bincang hal ini dengan opah sebelah ayah, sa­yangnya mereka tidak memihak kepada saya sebab kata mereka ayah ada keluarga baharu, dia perlu lebih bertanggungjawab terhadap mereka. Habis saya dan adik-adik ini tanggungjawab siapa? “Enam bulan selepas itu saya ambil keputusan bertukar kerja di utara, kerana mahu dekat dengan nenek sebelah mak yang sangat mengambil berat hal kami tiga beradik. Saya nekad buat keputusan kerana adik-adik juga belajar di utara.

“Saya tidak minta pendapat ayah sebab saya sudah tahu akan jawapannya. Saya benar-benar kecewa dengan sikap ayah dan sedih. Saya mahu berdikari dan hendak jaga adk-adik jauh dari ayah. Cara itu saya rasa lebih selamat. “Adik-adik juga setuju. Kalau ayah sayang kami, dia akan da­tang menjenguk kami di kampung. Jika tidak, saya dan adik-adik hanya berserah kepada Yang Esa.“Sekarang saya rasa tenang. Tidak fikir lagi akan hal ayah walaupun kadang kala saya sangat sedih. Kalau mak ada, mesti mak sedih dengan perbuatan ayah. Saya hanya mampu berdoa dan minta Allah bagi kami kekuatan untuk terus hidup. 

“Ayah masih macam dahulu, kejap timbul, kejap hilang, tapi banyak hilang dari ada. Tapi, kami tidak kisah sebab nenek sentiasa ada. Nenek pengganti mak, ibu saudara dan keluarga sebelah mak sentiasa menyokong kami, memberi layanan dan kasih sayang tidak berbelah bahagi. “Syukur kepada Allah. Itu tidak bermakna saya dan adik-adik tidak ingat kepada opah se­belah ayah, tetapi kami agak renggang sebab ayah yang menjadi puncanya.“Saya berharap kepada anak-anak yang ayah mereka kahwin lain setelah kematian ibu atau sebaliknya, kuatkan semangat dan reda dengan apa yang akan dihadapi. Kita tidak boleh halang ayah atau ibu kahwin lain sebab itu hak mereka. Kena banyak sabar dan berdoa agar semuanya akan baik-baik belaka.

“Saya juga berharap ayah akan sedar kesilapannya dan kembali kepada kenyataan dia masih ada anak yang perlukan perhatian. Semoga Allah dengar doa kami. Aamiin..” demikian Anne menamatkan ceritanya. Saya hanya mampu meminta Anne bersabar dan berdoa ja­ngan putus. Saya percaya satu hari nanti ayahnya akan sedar dan kembali memikul tanggungjawbnya semula. Syabas kepada Anne kerana menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab. Mudah-mu­dahan Anne dan adik-adiknya mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Mengundur diri, pesanan ikhlas saya, Allah selalu memberikan kelebihan di sebalik kekurangan dan Allah juga selalu memberikan kekuatan di sebalik kelemahan. Ketika perjalanan hidup terasa membosankan, Allah menyuruh kita untuk banyak bersyukur.

Salam

Kredit : UtusanMalaysia
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.