SLIDER

Lepaskan Jawatan Tinggi Gara-gara Difitnah Dan Di Goda Isteri Orang

30 May 2017

DI kala nilai kasih sayang dipinggirkan dan sifat benci serta dendam lebih mekar, maka dengan sendirinya akan terhakis nilai-nilai murni yang selama ini menjadi kekuatan seorang manusia. Pengalaman membuktikan bagaimana akan hancur sebuah hubungan lantaran sikap manusia yang membelakangkan nilai kasih sayang sesama manusia. Hakikat yang sukar untuk dinafikan iaitu budaya dendam dan membenci yang kian membarah dalam diri, sekali gus menghakis tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Keghairahan merebut kuasa sering kali menjadikan masyarakat semakin hilang pertimbangan rasional dan nilai kasih sayang sehingga ada yang tergamak memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

Ini cerita yang saya pilih untuk dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Zabidi (bukan nama sebenar) yang telah hampir 10 tahun berlalu tetapi masih segar dalam ingatan. Kata Zabidi, ia sekadar pengalaman hidup yang ingin dikongsi dengan pembaca di luar sana. Jika anda pernah teraniaya, jangan gundah atau kesal, sebaliknya berusahalah untuk memajukan diri dan bertawakal kepada Ilahi kerana segala yang tersurat akan ada hikmahnya. 

Begini kisah Zabidi.

"Ketika menuntut di universiti, saya berkenalan dengan seorang gadis bernama Suri (bukan nama sebenar). Kami kerap bertemu di perpustakaan untuk mencari maklumat dan juga menghabiskan masa membaca dan mengulang kaji pelajaran. "Di luar bilik kuliah, kami keluar secara berkumpulan dan begitulah hari-hari yang saya lalui sehingga terbit bibit-bibit kasih, namun kami masing-masing memendam perasaan.

"Mujur seorang sahabat sanggup menjadi orang tengah dan kami disatukan sebagai pasangan kekasih. Syukur kerana cinta kami mendapat restu daripada keluarga. Akhirnya setelah hampir setahun bertunang, kami disatukan sebagai suami isteri. "Kami dikurniakan dua orang anak, yang sulung berusia 11 tahun dan yang kedua lapan tahun. Melihat mereka membesar, satu kepuasan dan keluarga adalah segalanya dalam hidup kami.

"Anak-anak umpama permata yang menyinari dan membahagiakan sesebuah keluarga. Oleh itu, setiap ibu bapa wajib menyempurnakan amanah tersebut. Jika betul didikan maka terhasil sebuah kehidupan yang harmoni. Itulah yang kami lakukan untuk mendapatkan anak soleh dan solehah serta keluarga bahagia mengikut syariat. "Isteri saya mohon untuk bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan saya amat gembira dengan keputusan Suri. 

"Hari bertukar tahun akhirnya saya dinaikkan pangkat. Ini rezeki untuk keluarga dan saya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak atasan serta berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi tugasan yang telah diamanahkan. "Suasana di pejabat tidak sama seperti di rumah yang mana setiap kerja boleh ditangguhkan. Di pejabat, segalanya memerlukan kepantasan untuk menyiapkan tugasan jika diminta berbuat demikian.

"Rakan sekerja saya, Siti (bukan nama sebenar) menjadi teman setia saya dalam melakukan kerja-kerja di pejabat, sebab kami berada di unit yang sama. "Dalam diam, Siti menyimpan perasaan terhadap saya walaupun dia berstatus isteri orang. Saya pura-pura tidak memahami perasaannya, sebaliknya terus menumpukan pada perkara yang melibatkan tugasan rasmi kami seperti yang diarahkan. "Saya selalu berpegang kepada pesanan ibu saya, kita perlu rasional dalam tindakan jika terbabas sukar untuk berpatah balik atau membuat pusingan U. 

"Setiap kali bila kelapangan saya akan menghubungi isteri di rumah, bertanyakan khabar dan menu apa yang disediakan untuk kami sekeluarga. "Walaupun disindir oleh rakan-rakan tetapi bagi saya itu satu cara untuk mengelak daripada terjebak dengan hubungan terlarang yang amat dahsyat kesannya. "Siti sesekali menyindir saya kerana menolak pelawaannya untuk makan bersama. "Hai takutkan orang rumah ke?" tetapi saya tidak memberi apa-apa respons kerana sudah ‘masak’ dengan kerenahnya yang suka mengambil kesempatan.

"Kerana terlalu marah dengan saya yang tidak melayannya, Siti telah menyebarkan cerita yang kononnya rumah tangga kami sedang dilanda badai. Berita yang kurang menyenangkan ini sampai ke pengetahuan isteri saya. "Suri amat memahami situasi di pejabat kerana dia juga pernah bekerja, jadi dia abaikan sahaja hal tersebut bila saya menceritakan hal yang sebenar. Untuk apa mengundang dosa jika kebahagiaan telah berada dalam genggaman.
"Pelbagai idea Siti lakukan untuk menjerat saya tetapi saya tidak sebodoh yang dia fikirkan. Setelah berbincang dengan isteri di rumah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang tinggi dan lumayan gajinya demi menyelamatkan rumah tangga saya.

"Tindakan saya telah mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan rakan-rakan tetapi saya diamkan sahaja kerana tidak mahu mendedahkan aib seorang wanita yang bergelar isteri orang. "Jika dilayan akan menjadi-jadi perangainya, mengalahkan orang bujang. Malah dia langsung tidak rasa bersalah dan malu dengan perangainya itu. "Kini, saya merasa tenteram dan aman dengan tugasan baru yang saya pikul. Sekurang-kurangnya saya tidak diganggu oleh isteri orang yang menggoda saya di pejabat.

"Kehidupan saya kini lebih membahagiakan dan kerja baru saya juga memberi rezeki yang lebih lumayan untuk kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana diberi kesedaran lebih awal oleh Allah untuk menyelamatkan rumah tangga saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Suri yang sangat memahami masalah saya dan tidak melatah dengan apa yang saya hadapi. "Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan isteri terutama apabila membabitkan orang ketiga tetapi saya dikurniakan seorang isteri yang baik dan penyabar orangnya.

"Sebagai lelaki, saya amat pelik dengan sikap wanita sekarang yang terlebih berani. Mereka tidak ada perasaan malu dan segan hingga sanggup menggoda lelaki lain sedangkan mereka juga ada suami. "Apa hendak jadi dengan dunia sekarang, saya pun tidak tahu. Saya berdoa supaya Siti sedar akan perangainya yang salah itu dan mudah-mudahan dia akan insaf dan bertaubat. Hidup ini hanya sementara, jadi sebelum terlambat elok kembali ke pangkal jalan. "Sepatutnya dia malu dengan sikap buruknya itu setelah saya tidak melayannya tetapi ini tidak, dia semakin menjadi-jadi hingga saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.

"Selepas ini, saya tidak tahu siapa pula yang akan menjadi mangsanya. Harapan saya, semoga dia menghentikan perangai buruknya itu dan kembali mentaati suami yang sangat mencintainya. "Saya kesal kerana suaminya tidak tahu isterinya berperangai begitu dan mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hatinya untuk kembali menjadi isteri yang solehah. Kepada para suami di luar sana yang mungkin menghadapi situasi sama seperti saya, jangan melatah dan mengikut arus. Kalau boleh elak, elok mengelak.

"Fikirkan masa depan anak-anak, fikirkan pengorbanan isteri. Tumpukan perhatian terhadap keluarga kerana mereka adalah amanah Allah. Masalah boleh selesai jika kena caranya. Semoga Allah merahmati keluarga saya di dunia dan akhirat. Amin,’’ Zabidi menamatkan ceritanya. Terkedu saya dengan cerita Zabidi. Memang Zabidi terbukti seorang suami yang baik, prihatin dan sayangkan isteri dan anak-anaknya. Sebagai ketua keluarga, Zabidi telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Pengorbanannya meletak jawatan kerana menjaga maruahnya amat dipandang tinggi. Alangkah bahagianya rumah tangga jika ada ramai lagi lelaki seperti Zabidi dalam masyarakat kita.

Doa saya agar Allah makbulkan doa Zabidi untuk kebahagiaan keluarganya di dunia dan akhirat. Menamatkan catatan, pesanan saya, wanita insan yang dikurniakan dengan keajaiban, dia boleh menjadikan sesebuah rumah itu seperti syurga dan bisa menukarnya menjadi sebuah neraka.

Salam

Kredit : UtusanMalaysia
Coretan Keinsafan Dalam Kunjungan Bakul Ramadhan 1435H

Coretan Keinsafan Dalam Kunjungan Bakul Ramadhan 1435H

bakul2

Alhamdulillah kerana Allah mengizinkan saya sekeluarga untuk turut serta dalam Program Bakul Ramadan anjuran ISMA Cawangan Alor Setar pada kali ini. Kami mendapat 10 nama keluarga seperti yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu. Pengalaman berkunjung ke rumah keluarga yang tidak bernasib baik ini menyuntik keinsafan di hati dan menambahkan rasa syukur di atas segala nikmat yang telah Allah curahkan pada kita. Saya kongsikan pengalaman menziarahi 2 keluarga di sekitar Jitra yang menyentuh perasaan saya.

Kes 1: Kasih ibu tiada taranya 

Kedatangan kami ditunggu di tepi jalan oleh seorang ibu sambil mendukung seorang anak kecil berusia 2 tahun dan diekori oleh seorang lagi berusia 3 tahun. Ibu berusia 40 tahun ini telah 2 tahun hidup sebatang kara membesarkan 6 orang anak berusia antara 2 dan 16 tahun dengan mengambil upah menjahit baju serta membantu di kantin sekolah. Suami tempat bergantung masih ditahan reman hampir 2 tahun kerana kesalahan memiliki dadah ganja.

??????????

Sepanjang 2 tahun ini beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyara dan memberi kasih sayang pada anak-anak. Wajah sayu anak-anak menggambarkan kedukaan mereka hidup dalam kesempitan. Mujurlah ada sedikit bantuan dari JKM sebanyak RM450 sebulan untuk membantu persekolahan anak-anak. Melihat kes ini menambahkan kebencian saya pada najis dadah. 

Bagaimana seorang yang terjebak dalam kes dadah menerima akibat termasuk anak-anak yang terpaksa hidup dalam derita. Semoga masyarakat tidak menghukum keluarga ini atas kesalahan ayah mereka yang masih kesnya di muka pengadilan. Semoga nasib anak-anak ini terbela dan kita semua terus menghulurkan bantuan supaya mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.


Kes 2: Kasih ayah membawa ke syurga


Ketika melihat profil keluarga yang akan diziarahi ini saya sedikit terasa kelainan kerana jarang seorang ibu meninggalkan anak-anak termasuk yang masih kecil untuk dijaga oleh seorang ayah tunggal. Ketika sampai, kami disambut oleh abang paling dewasa; seorang anak muda yang akan menduduki peperiksaan SPM. Wajahnya menampakkan kedewasaan dan sifat tanggungjawabnya. Sambil menunggu si ayah yang keluar mencari rezeki dengan mengambil upah memotong rumput, kami sempat berkenalan dengan 7 orang anak daripada keluarga ini.


Berusia 18 tahun dengan yang sulung berada di UiTM Arau dan yang paling kecil berusia 3 tahun, ketujuh-tujuh anak ini dijaga oleh si ayah setelah ibu pergi entah ke mana. Enggan menceritakan lebih lanjut tetapi jelas rasa sayu kelihatan di wajah anak-anak ketika ditanya tentang ibu mereka.

bakul1

Sebagai seorang ibu yang juga mempunyai anak kecil berusia 3 tahun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa pilu melihat si kecil dijaga oleh abang dan kakak tanpa seorang ibu tempatnya bermanja. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seorang ibu betah meninggalkan anak-anak yang masih kecil untuk mengubah haluan hidup dan meninggalkan mereka tanpa bertanya khabar dan berita.

Si ayahlah yang memikul tanggungjawab memasak, menguruskan rumah, menghantar anak-anak ke sekolah, menjaga si kecil berusia 3 tahun dan setelah anak pulang ke sekolah pada sebelah tengahari, si ayah keluar mencari rezeki dengan memotong rumput sambil tugas rumah diambil alih oleh anak-anak. Mesin rumput yang digunakan terpaksa dijual ketika anak sulung ingin memasuki universiti dan buat masa ini, si ayah terpaksa meminjam mesin rumput daripada seorang kawan.

Inilah kisah 2 keluarga yang saya lawati pagi tadi. Banyak lagi kisah dalam masyarakat kita yang tidak kita ketahui, kecuali kita turun ke padang dan merasai kesempitan kehidupan mereka. Saya mengambil.kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang Bakul Ramadhan. Semoga apa yang telah anda sumbangkan dapat meringankan penderitaan keluarga yang tidak bernasib baik ini.

Ini merupakan pengalaman bermakna untuk anak-anak saya supaya mereka dapat menghargai nikmat kesenangan yang Allah berikan kepada mereka dan supaya mereka menjadi generasi yang cakna ummah. Ini permasalahan dalam masyarakat kita sedangkan banyak lagi permasalahan di luar sana seperti isu Palestin dan Syria, yang perlu kepada keprihatinan daripada kita semua.

Oleh : Dr. Murizah bt Mohd Zain
Pengerusi I-Medik Kedah

Kredit : imedikkedah

Di Saat Isteri Ingin Diceraikan...Isteri Pergi Buat Selamanya

Rina sedang menyiapkan makan malam ketika aku tiba di rumah. Aku memegang tangannya dan berkata, “ Abang ada sesuatu nak beritahu”. Dia membisu dan dapat ku lihat keresahan di matanya.

Tiba-tiba lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya. “Abang rasa kita sudah tidak serasi lagi. Kita cerai?”. Akhirnya, terlepas jua beban di dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan lembut. “Mengapa bang? Apa salah saya?”.

Giliran aku membisu dan ini menimbulkan kemarahan Rina. Air matanya mula menitis. Aku tahu dia mahukan jawapan tapi aku tiada jawapannya. Yang ku tahu, hatiku kini milik Tasya. Cintaku bukan pada Rina lagi.

Aku katakanya padanya yang dia boleh ambil rumah dan kereta apabila kami bercerai. Rina merenung wajahku. Pandangannya kosong. 10 tahun kami berkahwin tetapi malam ni kami umpama orang asing. Aku kasihankannya tetapi untuk berpatah balik tidak sesekali. Aku cintakan Tasya. Air matanya yang sekian tadi bertakung mula mengalir deras. Sudah ku jangka. Malah aku lega melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas dan nyata.

Keesokannya, Rina mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari penceraian kami melainkan tempoh 1 bulan. Dia meminta bahawa dalam satu bulan itu kami teruskan rutin harian kami seperti biasa sebagai suami isteri. Alasannya, anak kami bakal menduduki peperiksaan dalam masa sebulan lagi dan dia tidak mahu anak kami terganggu dengan penceraian kami. Aku bersetuju.

Kemudian Rina menyuruhku mengingat kembali saat aku mendukungnya ke bilik kami pada malam pertama kami. Dia meminta untuk tempoh sebulan ini, aku mendukungnya keluar dari bilik tidur kami ke pintu depan setiap pagi. Pada ku memang tidak masuk akal. Tetapi aku tetap bersetuju.

Aku memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia ketawa dan hanya mengatakan ini semua kerja gila. Tidak kira apa muslihat Rina, dia tetap akan diceraikan. Aku hanya diam membatu.

Semenjak aku menimbulkan isu penceraian, kemesraan kami terus hilang. Hari pertama aku mendukungnya keluar, aku merasa kekok. Rina juga. Anak kami bertepuk tangan di belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah dukung ibu ya”. Kata-katanya amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang dan dengan lembut dia memberitahuku agar jangan sampai anak kami tahu yang kami akan bercerai. Aku mengangguk setuju. Aku menurunkannya di muka pintu. Dan kami memandu berasingan ke tempat kerja.

Masuk hari kedua, hilang sedikit rasa kekok. Rina bersandar di dadaku. Dapat ku cium harumannya. Dapat ku lihat kedutan halus di wajahnya Aku sedar dia tidak muda lagi seperti dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi kesan kepadanya. Selama satu minit, aku tertanya-tanya apa yang telah aku lakukan.

Masuk hari keempat, aku dapat rasakan keintiman kami telah kembali. Tanpa sedar hatiku berkocak mengatakan mungkinkan cintaku masih padanya. Hari kelima dan keenam, aku menyedari keintiman kami mula bercambah kembali. Aku tidak memberitahu Tasya tentang perkara ini. Masuk hari-hari seterusnya, rutin ini jadi lebih mudah malah aku nantikannya setiap pagi.

Suatu pagi, Rina sedang memilih baju untuk dipakai. Katanya tiada yang sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju saya besar”. Baru ku sedar, dia semakin kurus. Mungkin itu jugalah sebabnya aku semakin mudah mendukungnya. Tiba-tiba terlintas di fikiranku. Mungkin Rina sedang menyembunyikan keperitan hatinya lantaran sikapku selama ini. Tanda sedar aku merangkul tubuhnya dan membelai rambutnya.

Kemudian, muncul anak kami di muka pintu sambil berkata “ Ayah, cepat lah dukung ibu keluar”. Padanya, melihat aku mendukung keluar isteriku setiap pagi adalah rutin hariannya. Rina memanggil anak kami lalu memeluknya erat. Ku palingkan mukaku kerana takut aku sndiri mengubah fikiran di saat ini. Aku kemudian mendukungnya dan tangannya melingkari leherku. Tanpa sedar, ku eratkan rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya sangat ringan.

Hari ini genap sebulan. Di muka pintu aku menggenggam tangannya dan berkata “ Abang tidak sedar yang selama ini kita kurang keintiman”. Aku terus melangkah ke kereta dan terus memandu ke pejabat. Sesampainya di pejabat, aku terus ke bilik Tasya. Sebaik pintu terbuka, aku masuk dan aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak akan bercerai dengan Rina. Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.

Muka Tasya berubah merah. Tapi ku kata jua,“Maaf Tasya. Saya dan Rina tidak akan bercerai. Perkahwinan kami membosankan mungkin kerana saya tidak menghargai apa yang kami ada dan kongsi selama ini, bukan kerana kami tidak lagi menyintai satu sama lain”. Tasya menjerit sekuat hati dan aku terus melangkah keluar.

Aku kembali ke kereta dan niat hatiku mahu pulang ke rumah dan memohon maaf dari Rina, isteriku. Aku singgah di sebuah kedai bunga untuk membeli sejambak tulip merah kesukaan Rina. Aku capai sekeping kad dan ku tulis, “Abang akan dukung Rina setiap pagi hingga maut memisahkan kita”.

Setibanya di rumah, aku terus berlari ke bilik kami dan mendapati Rina terbaring tenang di atas katil. Ku belai wajahnya sambil memanggil namanya tapi tiada sahutan. Rina kaku. Hatiku berdetak keras.

Kini Rina pergi untuk selamanya. Perpisahan yang ku pinta ternyata ditunaikan. Sekian lama Rina berperang dengan KANSER RAHIM tetapi aku begitu sibuk dengan Tasya untuk menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi dan dia mahu menyelamatkan aku daripada reaksi negatif dari anak kami, sekiranya kami tetap bercerai. Rina mahu sekurang-kurangnya di mata anak kami, aku adalah suami yang penyayang.

Perkara-perkara mudah dan ringkas yang anda lakukan bersama adalah yang sebenarnya penting dalam perkahwinan. Bukan banglo, kereta, harta, dan wang di bank. Semua itu hanya wujudkan persekitaran yang kondusif untuk kebahagiaan tetapi tidak dapat memberi kebahagiaan pada kita.

Jadi carilah masa untuk menjadi sahabat kepada isteri/suami anda dan lakukan perkara-perkara kecil untuk satu sama lain yang membina keintiman. Binalah kemanisan rumah tangga anda. Hargailah setiap pengorbanan pasangan anda. 


Kredit : wannabeautyshop 

Bekas Banduan Ingin Jadi Insan Berjaya Selepas Insaf Dipenjara

29 May 2017



Assalamualaikum semua pembaca, Di sini admin kongsikan kisah bahayanya apabila terjerat dengan najis dadah. Moga kisah yang dipaparkan oleh Encik Leong boleh dijadikan tauladan dan iktibar kepada anak-anak muda. Jangan dipersia-siakan waktu muda kalian semata-mata mengejar keseronokan yang sementara. Fikir-fikirkan orang tersayang kesan dan akibat apabila anda terjebak dengan dadah. Ingatlah , sekali anda dah mencuba dadah, memang terseksa untuk anda keluar dari belenggu dadah kecuali mereka yang benar-benar insaf dan sedar di atas kesilapan yang telah dilakukan berjaya keluar dari belenggu dadah.

-Admin-

KEPERITAN menjalani hukuman penjara selama 15 tahun menjadikan seorang bekas banduan, AD Leong, 50, insan yang berjaya dan mensyukuri kehidupan. Detik hitam dalam hidupnya bermula ketika berusia 17 tahun lagi, apabila beliau terjebak dengan dadah hasil pengaruh rakan sebaya dan juga pergaulan bebas dengan masyarakat luar. Perasaan ingin mencuba yang kuat terus mendorong Leong menjamah najis bermula dengan ganja kemudian heroin sebelum mengedar dalam kuantiti kecil.

“Saya mula mengambil dadah ketika berusia 17 tahun akibat pengaruh serta pergaulan dengan rakan-rakan. Ketika ini memang seronok sangat, kawan adalah segala-galanya sehingga saya lupa kepada keluarga. “Selepas berhenti sekolah dan bekerja sebagai pembantu kedai, keadaan menjadi tidak terkawal, saya mendapat bekalan terus daripada kawan-kawan…Namun keseronokan itu berakhir apabila saya ditangkap seterusnya dijatuhi hukuman pada 1988 dan ketika itu saya berusia 23 tahun,” katanya.
Bermula dari detik itulah kehidupan Leong yang berasal dari Marudi, Baram (Miri) berubah apabila beliau dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Namun di sebalik kesedihan itu beliau amat bersyukur kerana hukuman gantung sampai mati yang pada mulanya dikenakan ke atasnya ditukar kepada penjara seumur hidup, 20 tahun dan 10 kali sebatan. “Pada mulanya saya dikenakan hukuman gantung sampai mati tetapi disebabkan kesilapan teknikal hukuman ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup dan sebatan 10 kali, serentak. “Bagaimanapun saya mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman dan tempoh penjara dipendekkan kepada 15 tahun,” katanya.

Mengimbau kenangan semasa mula terjebak dengan dadah, Leong memberitahu kasih sayang ibu dan bapanya tidak pernah berubah sehingga beliau dijatuhi hukuman penjara tetapi kurang disenangi oleh adik-beradiknya yang lain. Malah sepanjang di penjara Leong hanya dikunjungi ibu dan bapanya menyebabkan jauh di sudut hatinya timbul kekesalan kerana rakan-rakan yang diagungkan dan dianggap penyelamat selama ini tidak pernah kunjung tiba.

“Paling saya kesal ialah, saya sentiasa mengharapkan kawan dan saudara datang menjenguk saya di penjara menghantar barangan keperluan, tetapi mereka tidak pernah muncul yang muncul hanyalah emak dan bapa. “Timbul kesal yang amat mendalam apabila saya melihat emak dan bapa menjenguk saya di penjara.. “Ada satu masa mereka lama tidak datang, saya tidak tahu mereka sakit waktu itu, tidak lama selepas itu pegawai penjara memaklumkan kepada saya ibu meninggal dunia dan ketika itu saya masih perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun lagi,” katanya dengan nada sedih.

Leong menceritakan sepanjang menjalani hukuman di tiga penjara berasingan (Miri, Kuching dan Limbang) pengalaman pahit yang tidak akan lenyap daripada ingatannya ialah disebat 10 kali pada satu masa. Beliau memberitahu tiada kata-kata yang dapat menjelaskan kesakitan disebat 10 kali pada satu masa. “Saya diikat di satu tiang, alat perlindungan (safety) dipakaikan kecuali pada bahagian tengah punggung, kosong. Susah untuk menjelaskan dengan kata-kata rasa sakit itu. “Kalau boleh saya gambarkan ialah rasa sakitnya seperti dilanggar kereta dan seperti satu dawai yang dibakar api, sangat pedih dan pedas. Saya hampir pengsan dan perlu menjalani rawatan beberapa hari,” katanya.

Selepas keluar penjara iaitu pada 10 Mei 2003, Leong menyimpan azam untuk memulakan kehidupan baharu namun ia tidak semudah disangkakan kerana kehadirannya dalam masyarakat sukar diterima disebabkan beliau seorang bekas banduan. Bagaimanapun beliau kembali bersemangat setelah mendapat dorongan serta motivasi daripada salah seorang ahli Lembaga Pelawat Penjara yang kini merupakan Pengarah Pendidikan Sarawak, Serina Sauni. “Beliau (Serina Sauni) yang banyak memberi kata-kata semangat sehingga saya menjadi insan diterima masyarakat sekarang.

“Beliau sering menggalakkan saya keluar dan terus menjadi orang yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” ceritanya. Tiga bulan selepas meninggalkan penjara Leong memulakan kehidupannya sebagai bekas banduan dengan bekerja di sebuah kilang dan di situ juga beliau menimba ilmu perniagaan pada masa sama mempraktik segala yang dipelajari di penjara. Sembilan bulan bekerja di kilang berkenaan sebagai pembantu dapur, beliau akhirnya mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri dengan menjadi pembekal makanan kepada pekerja kilang tersebut.

Leong seterusnya mendapat keyakinan untuk mengembangkan perniagaannya dengan lebih memfokus kepada menyediakan perkhidmatan pengurusan dan servis dalam pelbagai bidang antaranya dobi, landskap dan katering. Dari situlah lahirnya Berkat Channel Sdn Bhd yang beroperasi di Samalaju, Bintulu. Selain itu Leong menjadi pakar motivasi sambilan dengan memberi ceramah di sekolah-sekolah dan juga di institusi pengajian tinggi atas jemputan. Lazimnya jemputan akan diberikan secara rasmi menerusi syarikat bertauliah tempat beliau bernaung iaitu Motivation & Consultancy General Services Company.

“Di bawah syarikat inilah kami bekas-bekas banduan khususnya di negeri ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan berpegang kepada visi ‘Membina peluang, mengubah hidup dan mengurangkan jenayah’,” katanya. Kehidupan Leong kini lengkap setelah beliau bertemu jodoh dengan gadis pilihannya yang juga seorang pendidik dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata. “Masyarakat juga sudah mula menerimanya dan secara peribadi saya rasa kerana saya sudah insaf dan membuktikan bahawa manusia boleh berubah.

“Saya amat percaya kalau seseorang itu mempunyai keinginan kuat untuk berhenti mengambil dadah mereka boleh melakukannya dalam sekelip mata. Petuanya ialah dia (penagih) harus menjauhkan diri dari rakan-rakan yang masih menagih dadah,” katanya. Selain itu, kata Leong, untuk benar-benar berubah dan bebas dari belenggu dadah seseorang itu harus mempunyai pegangan agama. Leong memberitahu beliau hanya mengenali agama semasa di penjara. Di situ beliau mendalami agama Kristian dan menjadikannya pedoman hidup, ia terbukti berjaya menjadikannya  insan sebenar.

“Kalau untuk anak muda, saya sering memberitahu kepada mereka jika saya diberi satu peluang kembali ke usia muda atau diberi peluang untuk satu hajat, jawapan saya ialah saya mahu menjadi remaja semula. “Saya tahu apa yang boleh saya pilih dan sudah tentu saya tidak akan pilih jalan yang sudah saya lalui, saya tidak akan mengambil dadah, dengar nasihat ibu bapa dan berusaha menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Kredit : theborneopost

Renung-Renungkan....Luahan Hati Isteri Kedua




Aku isteri kedua. Aku dituduh sebagai perampas suami orang. AKu dikeji, dihina dan dilemparkan dengan pelbagai tomahan yang menyakitkan. Sebelum ni aku pekakkan telinga kerana percaya bahawa cinta kami mampu mengatasi segala dugaan yang melanda. Ternyata aku silap. Sudah sepuluh tahun kami bernikah. Keluarga mertua dan ipar duai masih tak dapat menerima aku. Malah anak-anak aku juga dibenci. Maduku memang tak bersetuju kami berkahwin sepuluh tahun lalu. Tetapi dia hanya mendiamkan diri dan mungkin memendam rasa hingga kini. Aku cuba merebut kasih suami dan memastikan aku dan anak-anak mendapat kelebihan utama dari maduku dan anak-anaknya. Benar aku menang. Aku bukan saja berjaya merampas suami maduku tetapi juga ayah kepada anak-anaknya.

Tapi hidupku tak seperti pasangan lain. Aku tak pernah merasa kasih sayang ibu mertua atau keakraban ipar duai. Setiap kali raya aku akan disisihkan. Kami akan bergilir-gilir pulang ke kampung. Tahun pertama, suami membawa aku dan maduku pulang ke kampung bersama. Aku diperlekehkan. Semua orang membenci aku. Ipar duai ku yang mulut celupar mengutuk aku depan-depan. Tahun kedua, aku beraya di rumah aku dan aku sangat bahagia. Tetapi petang raya pertama suami aku harus pergi menemui anak-anaknya dirumah isteri pertama. Aku ingatkan sebab aku takde anak, maka dia lebih selesa dengan anak-anaknya.

Tahun ke tiga kami dapat seorang anak, waktu itu aku baru habis pantang dan beraya sendirian tanpa suami kerana tahun itu giliran suami beraya dengan isteri dan anak-anaknya. Sepatutnya dia menemui aku pada hari raya kedua tetapi mak mertua aku memaksa dia pulang ke kampungnya. Suami ajak aku balik sekali tapi aku dah serik. Mereka buat aku macam aku ni tak wujud. Aku rasa terasing dan berkecil hati dengan sikap mereka.

Rumah aku dan rumah maduku jaraknya 45 minit. Suami aku tak dapat bergilir-gilir setiap hari kerana sukar baginya untuk berulang sejauh itu, jadi kami ambil keputusan untuk mengambil giliran sorang seminggu. Seminggu suami disana dan seminggu disini. Pada awal perkahwinan kami, aku berjaya buat suami duduk bersama aku selama 2-3 minggu. Dalam sebulan kadang-kadang seminggu je suami di rumah maduku.

Kini semuanya berubah. Anak-anak maduku kini sudah berjaya. Mereka juga sudah besar-besar dan semuanya sudah tamat pelajaran. Suami aku seakan selesa bersama anaknya yang berjaya sedangkan anak-anak aku yg masih kecil dianggap menyusahkan. Kini anak-anak maduku sudah berkerjaya dan berjaya. Sesekali mengajak ayahnya bercuti keluar negara dan aku sering ditinggalkan. Maduku dan anak-anaknya seolah-seolah nak buat suami gembira ketika disamping mereka hingga melupakan aku. Begitu yang aku lakukan sejak 10 tahun lalu. Kini aku kembali terima nasib yang sama.

Pernah satu hari, anak aku sakit. Aku cuba hubungi suami tapi tak dapat. Aku terpaksa tebalkan muka kerumah maduku untuk mencari suami. hanya anak bungsu suami yang berusia 19 tahun yang ada dirumah dan dia kata ayah, ibu dan abang kakanya bercuti ke London. AKu minta dia berikan contact number suami sebab anak aku sakit. Anak bongsu suami marahkan aku. dia berkata dengan kasar 'tak puas lagi ke ganggu kebahagiaan orang?' aku menahan diri. biarlah dia nak cakap apa-apa asalkan aku dapat cara untuk hubungi suami aku. tapi dengan sombong, anak bongsu suami baling duit 300 ratus ringgit dan suruh aku hantar anak aku ke klinik. Aku rasa terhina tapi aku ambik jugak duit tu sebab aku takde duit nak rawat anak aku sakit.

Baru-baru ni, anak sulong suami mencadangkan suami agar ayahnya berkahwin lagi satu. mereka memperkenalkan ayahnya dengan seorang janda muda kematian suami pada hari ke 3 mereka bernikah. suami aku nampaknya macam suka. Anak sulong suami memberi alasan, kasihan kepada janda muda itu kerana kematian suami, yatim piatu dan tiada tempat bergantung. memandangkan suami aku mampu, maka anak-anaknya mencadangkan cadangan yang sangat menyakitkan hati aku. aku tau mereka sekadar nak membalas dendam kerana aku pernah merampas ayah mereka sepuluh tahun lalu.

suami aku kini berubah, dia sibuk dengan bakal isteri ke-3nya itu. aku makan hati. aku tak kerja, anak-anak pula masih kecil. memang aku tau suami aku mampu tapi batin aku tersiksa. mungkin ini balasan untuk aku. aku tiada tempat mengadu, mak aku dah pesan sejak mula tapi aku degil dan ikutkan kata hati. semuanya kerana cinta. baru aku terfikir, kalau suami aku dulu sanggup lupakan isterinya, abaikan anak-anaknya kerana aku, mungkin satu masa dia akan abaikan aku demi wanita lain. maklumlah barang baru.

kepada gadis-gadis diluar sana yang terjebak dengan cinta suami orang, fikirkanlah... bukan senang nak berkongsi kasih.

1. Keluarga mertua tak terima
2. Ipar duai mengutuk dan mengina
3. Effect pada anak-anak yang tak berdosa pun orang tak suka
4. Sukar merebut kasih sayang
5. bukan senang nak dapat suami yang betul-betul adil, salah sorang mesti ada yang lebih
6. hidup tak macam orang lain, ada masa kita rasa macam tidak bersuami
7. maki hamun orang setiap hari jadi doa, tak mungkin akan bahagia jika hari-hari orang doa yg tak baik tentang kita
8. ibu bapa kedua belah pihak tak restu

kita mungkin berjaya rampas suami orang, tapi berjayakah kita hidup bahagia, mengecapi nikmat rumahtangga sebenar? bagi suami hanya SEX yang paling nikmat dalam dunia, yang lain dia peduli apa?


Kredit :  astalavista6048

Orang Bukan Islam Turut Berpuasa? Ikuti Pengalaman Mereka












Ibadah berpuasa yang merupakan rukun Islam ketiga ini adalah amalan wajib bagi setiap individu yang beragama Islam dan harus dilaksanakan selama sebulan pada bulan Ramadan.Namun siapa sangka, hidup dalam negara berbilang kaum seperti di Malaysia, pengalaman menahan lapar dan dahaga sepanjang hari turut sama dirasai oleh masyarakat dari agama lain. Ternyata bukan umat Islam sahaja yang tertarik dengan amalan berpuasa pada bulan Ramadan, malah orang bukan Islam juga dilihat turut terpesona dengan keindahan bulan tersebut.

Menurut Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman, Eksekutif Kanan Unit Dakwah & Pemasaran Sektor Swasta di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Kuala Lumpur, “Dari pada asasnya orang bukan Islam tidak disyariatkan untuk berpuasa atau apa-apa juga amalan dalam Islam kerana dari sudut ganjaran, pahala memang tidak ada. Tetapi jika mereka ingin mencuba belajar itu tidak menjadi masalah. Semoga dengan mengalami perasaan berpuasa itu akan menyebabkan mereka tertarik kepada Islam.”

Gambar: Ustaz Ahmad Husni

Mereka turut berkongsi pengalaman mereka ketika berpuasa di bulan Ramadan:

Vincent Channel Omar, 25


Cerita unik berpuasa Vincent bermula sejak kecil lagi dimana dia telah didedahkan dengan persekitaran teman-teman dan jiran-jirannya beragama Islam. Dari situlah dia belajar serba sedikit tentang puasa tetapi cuba bertahan selama dua hingga tiga hari sahaja. Tetapi memasuki ke umur 18 tahun dan menyambung pengajiannya di Malaysia Institute of Integrated Media (MIIM), teman-teman selalu berpesan bahawa puasa adalah untuk menahan nafsu dan memperingati orang yang tidak bernasib baik. "Atas galakan teman-teman, saya turut belajar berpuasa dan kemeriahan cukup terasa sewaktu berbuka dan sahur. Bermula dari situ, saya belajar untuk berpuasa penuh selama sebulan."

Mengakui dirinya kuat makan, Vincent berasa puas hati apabila dapat mengawal nafsu makannya dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan persahabatan. "Jika ke bazar Ramadan, menu kegemaran saya adalah nasi kerabu, laksa, ayam percik dan kuih sago. Kalau air, saya cari air katirah. Tapi pernah sekali saya dan teman-teman beragama Islam drive sampai ke Melaka hanya untuk berbuka di rumah teman sebab si dia ni beritahu masakan maknya terbaik. Memang seronok bulan Ramadan ni apabila kita dapat berkongsi rezeki. Untuk anda yang mahu cuba berpuasa, cuba untuk bangun sahur dan makan something serta minum air secukupnya. Tapi bila berbuka, jangan membazir duit dan makanan pula," tegas Vincent diakhir perbualan.

Prabanandan Ramachanderan, 28

Bagi seorang guru di Kolej Vokasional Gerik ini pula, dia mula belajar berpuasa ketika di tingkatan enam kerana terlalu ramai kawan yang beragama Islam. Apabila masuk universiti pula, pun ramai kenalannya juga beragama Islam dan dia turut mengikut mereka berpuasa. "Kami sama-sama akan ke bazar membeli juadah berbuka dan bangun sahur. Saya berasa seronok apabila berpuasa dan tidak berasa lapar pun. Kini saya bergelar seorang guru dan juga merangkap warden asrama, 99% daripada pelajar saya beragama Islam dan saya turut puasa bersama mereka. Saya akan ke bazar apabila ada masa lapang dan juadah berbuka yang menjadi kegemaran saya adalah kuih tepung pelita."

Lebih dikenali sebagai Mr Praba di kalangan pelajarnya, Praba turut memberikan pesanan epik kepada teman-teman yang bukan beragama Islam yang ingin berpuasa: "Tiada salahnya jika anda ingin mencuba, kitakan satu Malaysia."

Jillian Teh, 26

Gadis cantik yang merupakan seorang eksekutif jualan ini turut berpuasa kerana sifat ingin tahu. Dia turut dikelilingi teman-teman beragama Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan dan ini membuatkan dia ingin mencuba. "Saya cuba berpuasa selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad kerana saya banyak menghabiskan masa di rumah. Apabila berpuasa, mampu mengawal rasa nak makan dan minum itu amat berkesan. Ketika berpuasa, saya tidak bersahur seperti biasa. Tetapi apa yang menggembirakan hati saya apabila saya menghadiri majlis berbuka puasa anjuran tempat saya bekerja dan berpeluang berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan melihat mereka gembira serta mampu berpuasa menceriakan hati saya."

Bersempena Ramadan juga dia turut ke bazar Ramadan untuk mencari juadah kegemarannya iaitu nasi briyani dan ayam madu. Tambah Jillian lagi, "Tinggal di dalam negara yang berbilang kaum membuatkan saya ingin mencuba pelbagai adat, kebudayaan dan peraturan pelbagai bangsa. Anda juga patut mencuba berpuasa kerana ia membuatkan anda lebih mengenali teman-teman anda dan juga turut sama memberikan sokongan moral kepada mereka."

Howell Gunner, 32

Bagi Penyelaras Seni Bina yang berasal dari Kiulu, Sabah ini, dia pernah belajar berpuasa ketika menuntut di istitusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Kata Howell, "Pada waktu itu saya menetap bersama dengan teman serumah yang beragama Islam. Sahur, saya akan bangun dan kebiasaannya saya akan makan roti. Cubaan nak berpuasa masa itu konon macam nak diet dan kecilkan perut. Hari pertama berpuasa, saya mampu bertahan sehingga ke waktu berbuka dan rasa cukup gembira kerana berjaya menahan lapar dahaga. Namun masuk hari ketiga, keempat dan kelima, saya mulai lemah, tak tahan dan tak boleh fokus pada pelajaran."

Memiliki teman serumah yang memahami, ada teman serumahnya berpesan, tak perlulah nak berpuasa dan jangan risau kalau nak makan di dalam rumah tanpa rasa bersalah. "Pada saya, apabila saya turut belajar berpuasa ini, ia banyak mengajar tentang hormat diantara satu sama lain. Kita dapat rasa apa yang kawan-kawan beragama Islam rasa sedikit sebanyak dan ia juga mengeratkan persahabatan. Sampai ke hari ini, saya ada juga singgah ke bazar Ramadan berdekatan rumah kerana kegemaran saya adalah kuih pulut panggang, kuih koci dan juga lemang".

Suresh Raman, 45

Bagi pengurus jualan ini, pengalamannya berpuasa memberikan banyak kenangan manis. "Saya pernah berpuasa ketika zaman bujang dan tinggal bersama teman serumah. Kebetulan teman serumah pada waktu itu beragama Islam jadi saya nak cuba untuk berpuasa. Selain nak cuba, saya nak mencabar diri saya untuk menahan lapar dan dahaga selama 15 jam itu. Saya bertahan berpuasa selama seminggu."

Bercerita lanjut mengenai perkara yang paling seronok semasa bulan Ramadan,"kenangan paling best, apabila saya pergi keluar membeli juadah berbuka bersama teman serumah, beli barangan basah untuk dimasak ketika sahur dan saya masih ingat kami bangun jam tiga pagi untuk memasak juadah sahur. Pada saya, ini satu pengalaman yang menarik dan setiap orang perlu cuba. No harm trying."

 

Lester Calvin Miol, 30

Bagi pengurus program stesen radio Kupi-Kupi FM di Kota Kinabalu ini, dia mengambil kesempatan bulan puasa untuk turut serta berpuasa. Menurut Lester, pada awalnya memang agak kurang bertenaga sebab tak biasa tapi lama-kelamaan dia boleh bertahan. "Sudah empat hari berpuasa di bulan Ramadan tahun ini. Saya menganggap puasa adalah suatu yang cukup indah. Saya merasakan teman-teman yang bukan Islam seharusnya cuba berpuasa walaupun sehari kerana puasa ini ibarat detox, sesuai untuk mencuci bahagian dalaman badan."

Menjadikan bazar Ramadan Kem Askar Lok Kawi sebagai lokasi pilihan, Lester amat gemarkan nasi dagang sebagai juadah berbuka di bulan puasa. Tambah Lester, "Maklumlah di Kota Kinabalu ni susah nak dapat nasi dagang pada hari-hari biasa dan selalunya ada banyak pada bulan Ramadan."

Joshua Nicholas, 27

Menurut Joshua, pengalaman berpuasa adalah sesuatu yang sangat menarik! Kata eksekutif jualan di CtrlShift ini, "Dah lama saya ingin cuba berpuasa tapi timing selalu tak kena. Jadi apabila tiba Ramadan saya ambil kesempatan bulan ini dengan turut berpuasa bersama. Cuba berpuasa selama sebulan, kadang-kala ia sangat menduga. Dalam masa sebulan tu, tidaklah saya berpuasa seperti teman-teman beragama Islam dimana ada ketikanya saya minum kerana terlalu dahaga. Jadi apabila tiba waktu berbuka, saya akan mengajak teman-teman yang bukan Islam untuk berbuka puasa disamping mereka menikmati makan malam."

Joshua mengakui dia bukanlah jenis yang suka ke bazar Ramadan kerana bazar terletak jauh dari rumah. "Pesanan saya buat teman-teman bukan Islam untuk cuba merasai pengalaman berpuasa, elakkan lalu di tepi kedai Famous Amos kerana aroma biskutnya sangat menusuk kalbu dikala anda cuba menahan lapar dan dahaga. Cubalah sesuatu yang baru, yang tidak pernah anda lakukan selama ini dan saya pasti anda juga akan teruja," katanya.

Jadi kesimpulannya, tidak salah untuk anda yang bukan beragama Islam yang ingin cuba berpuasa untuk merasai sendiri kemeriahan dan ketenangan bulan Ramadan. Hidup di dalam negara yang berbilang kaum ini seharusnya menjadi kelebihan buat kita sama-sama berkongsi adat dan kebudayaan. 

Oleh : Azwa Rahman
Kredit : RojakDaily 
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.