SLIDER

Dilema Lelaki Bujang Terlajak

2 Dec 2021


“Bila lagi aku nak timang cucu ini. Entah-entah sampai matilah aku tak dapat tengok kau naik pelamin,” keluh seorang ibu kepada anak lelakinya yang sudah mencecah usia 30 tahun tapi masih membujang.

Senario itu acap kali menghantui kebanyakan lelaki terutamanya mereka yang dibesarkan di luar bandar. Mentaliti dan ideologi seorang ibu dan ayah sudah tentu ingin melihat anak teruna berkahwin seterusnya memiliki keluarga sendiri tanpa memikirkan kesan dan aspek lain.

Bukan menuding permintaan orang tua itu salah kerana inginkan anaknya segera berkahwin apabila usia melewati 30-an, tapi hakikatnya mereka melihat hidup berkeluarga, memiliki isteri dan anak sebagai keperluan hidup yang sepatutnya diambil serius.

Realitinya, anak muda hari ini terutamanya lelaki tidak melihat berkahwin sebagai satu tuntutan kerana terlalu banyak perkara lain harus difikirkan terlebih dulu. Tapi dilema ini bagai sudah sinonim dengan mereka, menerima desakan keluarga untuk berkahwin.

Mengapa ramai lelaki belum bersedia untuk berkahwin? Persoalan itu sudah banyak kali dibincangkan baik menerusi media massa mahupun sembang kedai kopi. Mengikut statistik negara, memang terbukti masih ramai lelaki yang bekerja di bandar atau memiliki kerjaya yang baik, lewat membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Fakta diperkukuhkan lagi dengan data bancian oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyatakan perangkaan lelaki dan wanita bujang pada tahun 2002 adalah 3.1 juta dan 2.4 juta. Sementara pada 2004, peratusan lelaki bujang sebanyak 59.6, manakala wanita bujang sebanyak 40.4 peratus.

Jika dulu ramai mengatakan status ‘andartu’ atau anak dara tua lebih ramai berbanding ‘lelaki lanjut usia’, namun semuanya sudah berubah kerana lelaki pula yang sukar membuat keputusan berkahwin pada usia muda.

Senario membabitkan golongan wanita berkahwin lewat bersandar pada alasan dan punca mudah. Wanita sering kali mengatakan kesukaran mendapat pasangan sepadan atau masalah terlalu memilih sebagai alasan mereka lambat berkahwin.

Malah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu membantu keluarga, berjawatan profesional atau mementingkan kerjaya juga masalah peribadi adalah jawapan paling selamat bagi mengelakkan diri dikatakan ‘tidak laku’. Tapi itu wanita.

Lupakan seketika si andartu kerana fokus utama kita kini adalah golongan Adam dan sedar atau tidak, bilangan lelaki berkahwin lewat usia juga makin meningkat hari demi hari.

Puncanya mudah, berdasarkan tinjauan dilakukan, pelbagai sebab diberikan sekali gus mempengaruhi diri seseorang lelaki itu untuk terus membujang atau lewat berkahwin kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, menganggap diri tidak bersedia dari segi mental atau fizikal, takut atau bimbang rumah tangga tidak bahagia dan meragui kemampuan seksual sendiri.

Selain itu, tiada nafsu terhadap wanita, melalui pengalaman pahit ketika bercinta, mahu bebas dan suka hidup sendiri, tidak mahu mengecewakan pasangan serta hantaran kahwin tinggi juga antara sebab mereka mengelak untuk menggenggam tanggungjawab itu.

Lelaki lebih beremosi berbanding perempuan apabila bercerita soal putus cinta. Kebanyakan lelaki yang mengamalkan seks sejenis adalah mereka yang kecewa kerana dipermainkan wanita sebelumnya dan itu antara sebab ramai lelaki tidak kisah soal kahwin.

Lihat secara rambang kehidupan di bandar, lelaki lebih terdedah dengan kehidupan bebas yang mana tiada komitmen atau ikatan. Kahwin bukan lagi lesen untuk seseorang lelaki melakukan seks kerana aspek itu sudah banyak ditawarkan tanpa perlu sijil nikah.

Seks bukan lagi faktor untuk seseorang itu mengambil keputusan berkahwin sebaliknya ramai anak muda hari ini sudah pun mengikut budaya Barat yang menolak konsep perkahwinan serta menghalalkan seks bebas, sekali gus menyebabkan akidah tergelincir sehingga meningkatkan kes masalah sosial masyarakat.

Bagaimanapun lelaki yang berkahwin lewat kebanyakannya lebih mementingkan kerjaya dan tidak langsung bimbang soal memiliki keluarga. Ada juga berpendapat berkahwin akan lebih menambahkan masalah saja.

Dalam perspektif Islam, perkahwinan adalah perjanjian antara lelaki dengan wanita sebagai satu ikatan sah dan bersih dengan tujuan mengembang dan memanjangkan zuriat. Walau apapun pandangan mengenai isu kahwin lewat, ia perlu bersandarkan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.

Alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lewat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada usaha untuk mencari pasangan. Setiap manusia sudah ditetapkan jodoh dan kita perlu berusaha mencarinya.

Faktor kesibukan bekerja, sukar mencari pasangan atau berpendidikan tinggi juga tidak boleh dijadikan alasan. Dalam satu hadis ada menyebut, ibu bapa hendaklah mengahwinkan anak mereka apabila sudah layak mendirikan rumah tangga. Jadi dalam hal ini setiap orang perlu berusaha mencari jodoh malah orang yang berkahwin awal boleh diibaratkan seperti menunaikan separuh daripada iman.

Jika tidak menemui jodoh, pergi berjumpa orang alim seperti tok guru, imam atau ulama untuk meminta panduan dan nasihat. Seseorang itu tidak boleh menunggu atau mencari pasangan mereka di sekeliling saja kerana soal mencari jodoh tidak terhad kepada orang Melayu sebaliknya boleh mencari warga asing asalkan Islam.

Malah dalam satu laporan akhbar ada menyebut yang mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan perkahwinan sangat tidak digalakkan dalam Islam.

Katanya, Nabi Muhammad pernah bersabda: “Wahai pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah berkahwin”. Itu menunjukkan perkahwinan amat ditekankan Islam malah ada ayat al-Quran meminta wali atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap seseorang wanita mengahwinkan jagaannya.

Islam melihat perkahwinan sebagai keperluan dan ibadat. Ia penting untuk melahirkan generasi baru.

10 sebab mengapa lelaki membujang

1.   Tidak ada nafsu terhadap perempuan.
2.   Ada pengalaman pahit dalam bercinta.
3.   Dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda.
4.   Terlalu mencintai seseorang dan apabila cinta itu tidak 
      kesampaian, terus hilang selera untuk berumahtangga.
5.   Takut tidak bahagia bila berumah tangga nanti.
6.   Meragui kemampuan seksualiti sendiri.
7.   Merasakan lebih bebas dan senang hidup sendiri.
8.   Terlalu sibuk dengan pelajaran atau pekerjaan.
9.   Bimbang tidak dapat membahagiakan isteri dan takut 
      mendapat anak cacat atau tidak cemerlang sebagaimana dirinya.
10. Sentiasa merasa tidak bersedia dari segi kemampuan material 
      dan takut pasangan kecewa tidak dapat apa yang mereka    
      inginkan. 

Kredit : harian-sinar



Apa Hukumnya Menyalahkan Takdir Yang Berlaku Dalam Hidup Kita



Soalan

Assalamualaikum. Bolehkah kita salahkan takdir dengan apa yang dah berlaku dalam hidup kita sebelum ini. Pernahkah takdir hidup yang kita hadapi ini salah. Setahu saya Allah telah aturkan segala perjalanan hidup seorang manusia. Mohon penjelasan Dato’ Mufti

Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Takdir (Qadha’ dan qadar)

Beriman dengan qadha’ dan qadar merupakan usul bagi kesempurnaan Iman. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA, Jibril AS bertanya kepada Nabi SAW, Beritahu akan aku berkenaan dengan Iman. Lalu Baginda SAW bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: Beriman kepada Allah SWT, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk

40 Hadis Nawawi (2)

Allah SWT telah menjelaskan di dalam al-Quran, setiap perkara yang berlaku di dalam kehidupan merupakan ketentuan Allah SWT, ini seperti firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)

(Surah al-Qamar, 49)

Dalam syarahan tafsir al-Sa’di menyatakan, ayat ini merangkumi ke semua makhluk termasuk yang berada di atas muka bumi atau di dalamnya. Sesungguhnya Allah SWT maha pencipta dan tiada yang selain daripadaya. Begitu juga setiap perkara yang berlaku dibawah pengetahuan dan pantauannya. (Lihat: Tafsir al-Sa’di, 1/827)

Menyalahkan Takdir

Menyalahkan takdir supaya dapat melepaskan diri daripada melakukan maksiat dan meletakkan kesalahan itu kepada takdir Allah SWT. Alasan ini telah sekian lama digunakan oleh golongan musyrikin seperti yang terdapat di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا لَوْ شَاءَ اللَّـهُ مَا أَشْرَكْنَا وَلَا آبَاؤُنَا وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَيْءٍ 

Maksudnya: Orang-orang musyrik akan mengatakan: "Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun".

(Surah al-An’am, 148)

Lalu Allah SWT menjawab persoalan yang dilontarkan Musyrikin dalam ayat yang sama, firman Allah SWT:

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ حَتَّىٰ ذَاقُوا بَأْسَنَا ۗ قُلْ هَلْ عِندَكُم مِّنْ عِلْمٍ فَتُخْرِجُوهُ لَنَا ۖ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

Maksudnya: “Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta".

(Surah al-An’am, 148)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan: “Mereka menyangkakan pembohongan mereka itu dapat melepaskan diri mereka. Akan tetapi pembohongan mereka itu tidak berasas sama ada dari segi ilmu atau akal, ini disebabkan mereka membohongi Rasul. Allah SWT tetap juga akan membalas dengan azab dan siksa. Oleh kerana sifat Allah SWT yang maha adil dan disebabkan iktiar mereka serta usaha mereka ke arah kekufuran”. (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/623)

Bersangka Baik Terhadap Allah SWT

Bersangka baik kepada Allah SWT merupakan satu perintah yang wajib dipatuhi. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA, sabda Nabi SAW:

لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ بِاللَّهِ الظَّنَّ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah bersangka baik kepada Allah SWT

(Hadis riwayat Muslim, 2877)

Kewajipan seseorang mukmin itu bersangka baik kepada Allah SWT. Serta memperbanyakkan lagi bersangka baik kepadaNya ketika ditimpa musibah dan ujian. Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis berkenaan bersangka baik kepada Allah SWT dengan menyatakan, “Para Ulama’ berpendapat makna bersangka baik kepada Allah SWT dengan percaya Allah SWT maha penyayang dan maha pengampun” (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim 17/210)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan serta nas-nas yang didatangkan, dapat disimpulkan di sini bahawa percaya kepada takdir merupakan salah satu daripada rukun Iman yang wajib dipercayai oleh setiap manusia. Selain itu Baginda SAW melarang hambanya merungut dan menyalahi takdir yang di tetapkan Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَىْءٌ فَلاَ تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا ‏.‏ وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ

Maksudnya: Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan “kalaulah aku melakukan itu dan ini”. Akan tetapi katakanlah “takdir (ketentuan) Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti akan terjadi.

(Hadis riwayat sahih Muslim, 2664)

Sebaiknya bersangka baik kepada Allah SWT serta bersabar dengan ujian dan musibah yang dihadapi. Firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajadah: 24)

Oleh itu disarankan supaya memperbanyakkan berdoa agar diberi kekuatan iman. Serta mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan tentang agama dan akidah supaya dapat memahami dan menambah keyakinan terhadap Allah SWT.


Kredit: muftiwp


Sebaiknya Tinggal Bersama Mertua Atau Berasingan ?



Soalan

Assalamualaikum SS Dato' Mufti. Saya sudah dua tahun lebih berkahwin namun suami masih gagal menyediakan tempat tinggal.

Kami tinggal di rumah ibu mertua (ibu tunggal), bersama adik ipar perempuan dan suaminya. Saya sentiasa kena menutup aurat kecuali dalam bilik saya. Isunya kami cuba mencari rumah sewa tapi tak dapat. Apakah boleh kami keluar rumah untuk tinggal berasingan dari ibu?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan mengertikan hakikat perkahwinan seperti nas Ilahi:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb berkata: Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang. Maka Islam inilah juga yang berkata kepada para suami:

فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya“Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Ini adalah supaya mereka mengekalkan hubungan suami isteri mereka dan tidak terus memutuskannya dengan sekali fikir sahaja atau dengan desakan keinginan yang pertama sahaja, malah ia harus memelihara kepentingan yayasan insaniyyah yang agung ini agar tidak terdedah kepada ledakan keinginan sentimen yang berubah-ubah dan kepada ketololan nafsu yang terbang di sana-sini. (Rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/234)

Berkenaan dengan permasalahan Puan, saya amat bersimpati dan saya ringkaskan jawapan dalam beberapa poin berikut:

  • Sepatutnya, apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
  • Antara makna kemampuan itu adalah mampu menyediakan tempat tinggal khusus bagi isteri sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

MaksudnyaTempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

(Surah al-Talaq: 6)

  • Pepatah Melayu menyebut: “Biar banyak rumah daripada banyak orang dalam rumah,” dengan maksud dengan ramainya anggota dalam sebuah rumah, maka ragam dan juga perangai akan berbeza yang boleh membawa kepada pertelingkahan jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
  • Oleh kerana ibu sudah ada anaknya yang menjaganya, maka tidak lagi menjadi masalah untuk anak yang lain keluar daripada rumah tersebut. Yang penting, sentiasa memberi perhatian dan kecaknaan sama ada dari segi nafkah atau kasih sayang melalui ziarah serta hadiah dan juga nafkah. Bahkan dengan cara ini, perasaan kasih sayang dan penghormatan akan jadi lebih tinggi berbanding tinggal sebumbung di rumah.
  • Suami sewajarnya memahami hak isteri untuk ditempatkan, yang munasabah dengan status keisterian agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia.
  • Layanilah isteri dengan seterbaik mungkin. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya“Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh a-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

  • Kepada isteri hendaklah patuh dan berkhidmatlah kepada suami dengan seterbaik mungkin kerana dengan sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Benarlah hadis daripada Abdul Rahman bin ‘Auf, Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya“Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya maka dikatakan kepadanya: “Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1661), al-Tabarani dalam
al-Mu’jam al-Awsat (4598) dan Ibn Hibban (4237)

  • Elakkan daripada menjadi nusyuz kerana akibatnya amat buruk. Sebuah hadis Nabi SAW menyebut:

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّىَ حَقَّ زَوْجِهَا

Maksudnya“Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-Nya, seorang perempuan yang belum menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya.”

Riwayat Ahmad (4/381) dan Ibn Majah (1853)

  • Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Bermesyuaratlah dengan cara yang baik. Benarlah firman Allah SWT:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

(Surah Ali-Imran: 159)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.

Akhir kalam, sentiasalah berdoa antara satu sama lain agar rumahtangga Puan akan merasa harmoni dan elakkan daripada memberi tekanan kepada suami sehingga akhirnya niat yang baik boleh membawa akibat yang buruk. Lazimilah qiamullail serta berdoalah sepertimana yang diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Kredit: muftiwp

Shopee SPay Later - Apa Status Kesyariahan Dan Kesannya Kepada Pengguna Islam

1 Dec 2021


Sekarang kita berada pada zaman teknologi dan zaman digital yang sedang berkembang pesat dan semakin canggih. Banyak perkara yang dahulunya kita praktikkan secara manual, sekarang telah di 'automation' menjadi satu sistem teknologi yang beroperasi di atas talian sepenuhnya. Contohnya adalah seperti membeli-belah secara atas talian tanpa melibatkan proses manual. Dulu, era pembelian barang memerlukan kita untuk ke lokasi barang tersebut untuk urusan pembelian dan pembayaran tunai. 

Tetapi, dengan berkembangnya teknologi ini, telah menghasilkan satu sistem membeli-belah secara atas talian dan pengguna dapat terus membuat pembayaran menggunakan sistem tersebut. Ini adalah salah satu manfaat yang kita dapat , yang mana prosesnya sangat mudah dan cepat hanya dengan beberapa klik sahaja, sudah selesai. Pengguna hanya perlu memilih barangan dan kemudian membuat pembayaran serta menunggu barangan tersebut dihantar melalui sistem penghantaran kurier ke rumah anda. 

Antara contoh sistem membeli-belah yang popular masa kini adalah Shopee, Lazada, Zalora, Amazon, dan banyak lagi yang tumbuh bagai cendawan. Terdapat pelbagai kaedah pembayaran yang disediakan oleh paltform tersebut bagi memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran . Antaranya ialah :

1. Cash On Delivery

2. Online Banking/Fpx

3. E-Wallet

4. Credit Card

5. Buy and Pay Later

Baru-baru ini platform Shopee telah memperkenalkan kaedah pembayaran 'Buy and Pay Later' yang dinamakan SPayLater.

Apa itu SPayLater(Shopee Pay Later)?

Kaedah ini diperkenalkan kepada pengguna bagi membolehkan pengguna membeli dan mendapatkan barangan tersebut terlebih dahulu dan membayarnya pada masa akan datang. Pengguna mempunyai option samaada membayar keseluruhan harga barang tersebut pada bulan hadapan atau boleh juga memilih pelan ansuran secara bulanan yang telah ditetapkan iaitu terdapat 3 pilihan samaada 2 bulan, 3 bulan atau 6 bulan. Sekiranya memilih untuk membayar secara ansuran, terdapat fees/caj yang perlu dibayar bersama ansuran tersebut.  Pengguna yang lewat membuat pembayaran akan dikenakan pula caj denda.  Konsep ini dianggap pembeli akan berhutang terlebih dahulu untuk mendapatkan barangan tersebut.

Status Syariah

Konsep ini sedikit banyak telah mengelirukan dan menimbulkan persoalan dikalangan pengguna beragama Islam dari segi hukum halal dan haram. Isu ini dibangkitkan ramai kerana konsep pembayaran seperti ini melibatkan pembelian barang secara berhutang dan caj-caj yang telah dikenakan melebihi kadar yang sepatutnya.

Kekeliruan ini telah dijawab oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan yang mana menurut beliau terdapat beberapa perkara syariah yang telah dibangkitkan sekiranya menggunakan sistem pembayaran Shopee Pay Later .Faktanya adalah seperti berikut:

1. Bagi cara pembayaran secara one-off atau pembayaran sekaligus dalam tempoh sebulan, tiada masalah berkaitan isu syariah sekiranya pengguna menyelesaikan  semua pembayaran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Tetapi, sekiranya pengguna gagal dan lewat menyelesaikan pembayaran ttersebut. Pengguna akan dikenakan caj lewat pembayaran. Maka di sini berlakunya riba yang diharamkan hukum Syarak.

2. Bagi pembayaran secara ansuran, terdapat dua isu syariah yang dibangkitkan iaitu caj pemprosesan dan caj lewat pembayaran. Hal ini disebabkan setiap caj pemprosesan dan caj lewat pembayaran yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar. Dan ia dikatakan sebahagian daripada riba.

Akhir kata, penekanan ini biasanya diberikan kepada pengguna beragama Islam, yang mana pengguna perlu peka dan menitikberatkan hukum sebelum terlibat dengan sebarang transaksi yang melibatkan riba. Perkara ini telah dinyatakan melalui Firman Allah swt iaitu riba adalah haram dari sisi Agama Islam. 

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275) 


Admin 



Ada Apa Dengan Kahwin ? Nak Berseronok-seronok ke Atau nak Cari Pahala ?


Kita akan menghampiri bulan Ramadhan, maka lepas ni dah bermula musim kahwin. Ye la siapa yg nak kahwin masa bulan puasa kan? Ada tapi sangat sedikit. Bagi yg akan berkahwin mahupun bertunang, tahniah diucapkan. Usaha untuk menghalalkan hubungan amatlah dipuji, tapi…..

1) Bagi yg selalu bangun lambat tu, dah tiba masanya korang training diri korang untuk bangun awal. Lepas solat subuh, jangan tidur. Teruskan jadi orang yg produktif. Yg tak bangun solat tu, masa ni la nak berubah. Buat kaum lelaki, kalau korang tak solat, macam mana nak pimpin keluarga? Ni aku tengok sepupu aku masa balik raya ni, subuh entah ke mana. Pukul 8 9 pagi baru nak celik mata. Nak tegur susah, masing-masing dah besar. Lelaki perempuan sama je. Nanti bila sembang pasal kahwin, mula la nak tergedik gedik.

2) Rajin-rajinkan la buat kerja rumah. Lelaki pun tak terkecuali. Kau tak payah nak sembang perempuan je yg kena buat kerja rumah, kau pun kena. Zaman mak bapak atuk nenek kita ni lain, dulu memang lelaki je yg cari rezeki, perempuan duduk rumah jaga anak. Ini apa hanat nya zaman sekarang ni kalau perempuan dah la kena kerja, balik rumah kena masak cuci pinggan mangkuk basuh baju jaga anak semua? Orang laki nak goyang telur je? Come on, at least tau yg basic. Korang tolong basuh baju ke, cuci pinggan ke, gosok baju sendiri. Dah tau diri tu miskin sampai bini pun kena kerja, tolong sedar diri ye.

Yg perempuan pun jangan nak seronok lebih aku dok bash laki je. Perempuan macam mana pun kena masak. Takkan nak melantak mamak 24 jam? Ini potong sayur pun kekok, siang ikan pun tak reti, dah nak sembang pasal kahwin. Tak payah susah-susah pun, tau masak nasi dengan dua tuga lauk pun dah cukup. Lama-lama korang terer la masak.

3) Terutama yg lelaki ni, tolong la berhenti merokok. Yg perempuan, masa ni la korang nak suruh bakal imam korang berhenti. Kalau sebelum kahwin pun dia tak berhenti, alamatnya lepas kahwin nanti berasap je la rumah korang. Merokok dah la haram, membahayakan kesihatan, buang duit, apa lagi korang tunggu? Nak tunggu kena sakit jantung baru nak berhenti? Kalau jenis yg ada common sense,yg tak merokok dekat tempat awam tu, boleh diterima lagi. Ni yg merokok berdekatan budak kecik ibu mengandung, memang patut kena lempang sampai mampus je. Apa? Orang merokok ada hak? Kepala tengkorak korang. Orang tak merokok tak ada hak pulak?

4) Dah tau batas pergaulan dan aurat. Bila balik raya, jaga la aurat tu. Aurat dengan sepupu korang dah sama macam aurat dengan orang awam. Yg laki, tak payah la pakai short pendek bebenor. Yg perempuan, pakai la tudung. Jangan nak buat ayat acah-acah islamik hipster “ala nanti I dah kahwin, I pakai la tudung”. Orang macam ni patut kena tanam je. Aurat ni satu, pergaulan ni satu. Dengan sepupu tak payah la nak tepuk bertampar bagai. Aku sempuk kau sekali baru tau. Bila korang dah kahwin, dah kena tau siapa yg boleh korang salam dan siapa yg tak boleh. Jangan main salam je semua makcik pakcik tu.

5) Berhenti jadi playboy. Yg ni aku tak faham. Ada yg post acah-acah diabetes gitu, semoga raya tahun depan tak single lagi. Siap post gambar dengan bakal pasangan. Lepas tu pergi add jantan/minah entah dari mana. Apa kes? Kau ingat kau boleh kahwin 4? Kau cuba bagi tau bakal pasangan kau yg kau nak kahwin 4, mampus la kau tak kahwin.

6) Berhenti jadi attention seeker, terutama untuk perempuan. Ye la, muka cantik. Kulit flawless gitu, putih melepak pulak. Bila kau post selfie je, confirm jantan-jantan miang bajet ada chance ni like gambar kau. Fenomena ni aku perasan, orang bertudung litup pun sama. Dah la berpurdah, lepas tu mekap tebal dekat kening pulak. Apa tujuan kau nak berpurdah? Dah nak kahwin ni, tak payah la nak tunjuk selfie tu sangat. Simpan untuk bakal suami tu.

Tak larat nak tulis panjang-panjang dah ni, korang bukan baca pun. Pendek kata, kahwin ni bukan sekadar untuk puaskan nafsu je, tapi besar tanggungjawab nya. Semoga Allah permudahkan urusan korang. Maaf kalau terkasar bahasa.

– AMF





Pernah Dihina Kerana Hitam, Buruk, Gemuk Dan Busuk...Tapi Kini Semuaaa Mengangaa



Bismillahirrahmanirrahim.. sekarang tengah hot story pasal laki ke perempuan ke memang pandang rupa pandang fizikal, kan? yee… izinkan admin approve pengalaman aku nie sebab aku pernah alami benda yang sam..

Semenjak dari di bangku sekolah rendah aku dipulau dibuli dari segi mental kerana rupa paras yg xmenarik ditambah berkulit gelap dan gemuk.. sekarang umur aku 23 tahun.. masa aku sekolah rendah, waktu darjah 5 aku dah start period, hormon dewasa dah muncol, makanya naik la jerawat bertepek2 di muka.. sadisnya hati masa tu, dah la hitam, gemuk lagi, berjerawat pula.. bdk2 laki panggil aku bdk jerawat, busuk, mcm2 lagi.. bdk perempuan mmg nak xberkawan, biasalah bdk perempuan suka ikot bdk lelaki, klu bdk laki xnak kawan, dorang sama pulaukan even masa tu sekelas dgn cousin sendiri, sebab dia anak cikgu (anak cikgu femes ramai nk berkawan, mudah jadi pengawas) dia sendiri pon xnak berkawan dgn aku pdhal time raya time majlis berkumpul anak beranak kemain rancak kami berkongsi cerita.. 

Sekolah rendah memang satu nightmare bagi aku.. pernah mereka mengata2 aku sampai aku tertekan, sampai lah ibu aku datang sekolah nasihat kan bdk2 tu jgn layan aku mcm tu sebab dah mcm pembulian hingga menimbulkan tekanan.. tp malangnya apabila mereka mengadu pada guru kelas, dan aku dimarah.. bersabarlah aku menghabiskan sisa sekolah rendah tanpa kawan namun syukur mendapat result cemerlang time Upsr.. naik lah aku ke sebuah sekolah menengah kluster.. masih menjadi si gadis yang buruk, masih dipulau kawan2, namun syukur masih ada yg ingin berkawan.. budak2 lelaki? haram satu pon xtegur atau ingin menjadi kawan.. 

Pernah bergaduh besar dgn budak lelaki, mcm2 yg dikata, akhirnya yg jatuh salah tu aku.. siapa mampu bertahan.. memang ketika tu badan aku besar, tapi hati ku juga masih seperti kamu2 yg lain, mudah terasa, ditambah darah muda yg mudah nak marah, aku melawan bdk2 yg mengata tu, tp seringkali jgk aku yg dipersalah even oleh guru2.. mereka anggap aku suka mencari gaduh, anggap aku bermulut puaka, sedangkan aku cuma mempertahankan hak sendiri.. ini bayaran yg terpaksa aku terima bila mana tidak femes, dan juga tidak menonjol dr segi pelajaran, jd tidak ada mana2 pihak yg akan menyokong.. 

Aku tidak bodoh, cuma pelajar biasa yg cuma mampu dapat 6A Pmr, dan 7A Spm.. tidak sehebat org lain, jadi cuma dipandang sebelah mata.. tidak ada jasa pada sesiapa jd apa yg berlaku pd aku bukanlah apa2 bg mereka.. hidup ditindas akibat rupa paras yg tidak cantik ni memang stress, berkumpul dgn keluarga besar pon sering dibanding dgn sepupu2.. di sekolah siap ada kawan yg cakap aku lah paling burok kt sekolah tu.. dulu kecik2 selalu rasa nk bunuh diri , xnak keluar bilik, xnak jumpa sesiapa, malu dgn diri sebab masa tu masih muda remaja, masih xpandai bersyukur dgn apa yg dikurnia, namun selalu pujukkan hati, 

Alhamdulillah atas segala yg Allah beri berbanding mereka yg kurang upaya dan ada cacat cela..pujuk hati sebab nak habiskan sisa2 kt sekolah dan terus kuat berhadapan dgn manusia.. ingat lah manusia, kadang2 kita rasa kata2 kita sekadar gurauan atas sekadar ingin berbicara, tapi sebenarnya, kesan tu menusuk hati, mungkin diingat sampai ke mati.. sungguh, berhati2 lah berbicara walau dgn adik sendiri.. menjadi si tidak cantik bukan pilihan sendiri, tp Dia yg memberi.. dilabel kotor kerana berjerawat dan hitam, badak makan banyak kerana gemuk, gurauan kah itu??? masa terus berlalu dan aku kian dewasa, menyambung pengajian di universiti, sudah ada sedikit simpanan sendiri, aku beli produk utk kulit. 

Bermacam2 produk telah ku cuba, pernah sampai terbakar kulit cuba itu cuba ini, nmun akhirnya jumpa produk yg sesuai.. syukur kulit makin bersih gebu gebas.. namun badan masih gemuk, masih direject oleh lelaki, dan tidak ada yg sudi berkenalan..hahaha..plg terasa bila berkenalan dgn ku tp berkasih dgn kawan, sangatlah makan hati berulamkan jantung.. terus simpan tekad dalam hati, aku nak kurus.. kebetulan cuti sem bermula, aku betol2 jalan kan projek kurus aku.. sbb tgh semangat dan xada kerja kt rumah, kadang2 3 jam sehari aku exercise.. 1j30m pagi, 1j30m malam..tp starting dengan tempoh masa yg sedikit lah sampai aku betol2 mampu buat tahap tu.. 

Makan mmg berpantang gila2.. aku campur segala tips diet aku tahu.. aku xbuat atkins, tp ambil tips diorang sikit.. jd aku tahulah buah tu manis, boleh gemuk, jadi aku kurangkan makan buah.. lauk pauk segala berminyak memang aku xsentuh.. langsung xada cheat day untuk 3 bulan pertama sampai lah berat turun 20kg,baru aku berani buat cheat day seminggu sekali.. nangis meroyan xyah cakaplah sepamjang proses nak kurus.. ingat xletih ke exercise hari2? ingat xletih ke minum air 2,3 liter sehari berulang alik gi toilet? ingat xletih ke tahan nafsu makan padahal aku hantu biskut kottt.. letih weiii letih sgt tp tekad kena kuat.. hari2 pujuk diri, biar letih sekarang, tp ada hasil.. sampai lah aku kurus, org tny tips itu ini, bukan xmahu bercerita, tp aku takut org xmampu nak buat yg sama, 

Jadi kepada mereka yg ingin kurus, aku cadangkan korang buat diet atkins, mungkin mudah utk korang, atkins ada banyak fasa , jd yg mampu berhenti nasi boleh buat fasa 4.. yg lain pandai2 la korang google sendiri.. dah kurus, aku menjadi tarikan.. manusia itu ini memuji, ramai lelaki cuba mengorat, dan ada rakan2 yg cemburu.. bila dah kurus pon ada dugaan tersendiri, tapi syukur sangat dgan diri aku yg sekarang.. aku bahagia bila dah kurus.. masih xberjumpa cinta sejati, tp sungguh nak cerita, bila kau kurus, kau dah cantik sedikit, manusia melayan kau berbeza.. sudah xada pandangan jelek bila kau nak beli baju, sudah xada kata2 busuk bila kau kata kau suka dia itu suka dia ini, dan banyak lagi… aku suka dengan diri aku sekarang dan aku suka syorkan kt org yg masih gemuk, marilah kuruskan badan.. 

Korang mungkin kata, suami dah terima seadanya.. tp kita xtahu yg berlaku di masa hadapan.. mungkin korang kata, yg cun cantik pon xada cinta sejati lagi, tapi sekurang nya kau dah dapat badan ideal, dah boleh bergerak aktif, dah boleh beribadah lebih.. jgn beri dalih lagi, xusah berkata cantik itu subjektif, aku pernah dihina sbb rupa, xpernah jumpa lagi cantik subjektif tu jawapan dia kat mana… perangai elok, pandai kalau xde rupa pon, dihina jgk, cth macam confessor2 sebelum nie.. melainkan kau ada duit, melekat2 pakwe makwe kiri kanan haaaa.. kita usaha utk kurus, xkisah la utk sihat ke , utk beribadah ke, asal kan bmi kau normal, kau xrasa terhina, kau gembira, teruskan.. melainkan kau dah gembira gemuk begitu, jd xapa.. aku cuma seru org yg ingin kurus je, jom kurus, dalam gemuk tu ada kecantikan yg tersimpan.. 

tq admin

– MissPernahGemuk

Kredit : IIUM








Serangan Jantung . Bagaimana Menangani Dan Mengurangi Risiko


Serangan jantung sering terjadi pada masayarakat masa kini dan ia sangat membahayakan nyawa. Ia terjadi apabila aliran darah dan oksigen tidak sampai ke jantung menyebabkan serangan itu terjadi. Semua orang mungkin akan mengalami serangan jantung, jika faktor risikonya tidak dicegah iaitu menjalani gaya hidup tidak sihat.  

Serangan jantung boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Antara kumpulan yang berisiko tinggi terkena serangan jantung dan perlu diberi perhatian tinggi adalah :

  • Lelaki berusia 45 tahun ke atas dan wanita berusia 55 tahun ke atas lebih berisiko terkena serangan jantung berbanding mereka yang berusia muda
  • Perokok
  • Pesakit Darah Tinggi
  • Kadar kolesterol atau trigliserida yang tinggi
  • Keturunan
  • Kurang beraktiviti beriadah
  • Obesiti
  • Tekanan/Stress

Tanda-Tanda Serangan Jantung

Antara tanda awal yang menjadi kebiasaan umum serangan jantung ialah dimana bahagian dada terasa nyeri seperti dihempap benda berat, rasa diremas , ketat dan tertekan. Rasa sakit ini terasa merebak kebahagian leher dan lengan terutama sekali di bahagian kiri.

Antara tanda-tanda lain yang perlu dipantau rapat adalah :

  • Berpeluh sejuk
  • Nafas pendek
  • Rasa lelah , semput
  • Degupan jantung tidak teratur
  • Mual dan loya
  • Sistem percernaan terganggu

Anda perlu segera ke hospital jika anda kerap merasakan tanda-tanda seperti ini. Di hospital, mereka akan membuat pemeriksaan jantung menggunakan alat yang sesuai bagi melihat tahap dan risiko serangan jantung yang mungkin akan terjadi. 

Mencegah Risiko Serangan Jantung

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk mencegah terjadinya serangan jantung. Antaranya :


1. Berhenti Merokok

2. Cek Kadar Kolestrol

3. Kawal Tekanan Darah

4. Amalkan Diet Pemakanan Yang Sihat. Lebihkan buahan dan sayuran

5. Amalkan Minum Air Putih

6. Kawal  Berat Badan

7. Kawal Diabetes

8. Belajar Mengawal Stress Dan Tekanan

9. Jauhi Minuman Beralkohol

10. Berhenti merokok

Pemantauan bukan sahaja kepada orang-orang yang berisiko tinggi tetapi kita semua boleh lebih berwaspada terhadap setiap perubahan dalam tubuh sebagai langkah berjaga-jaga, kerana ianya lebih baik mencegah dari merawat. 


Admin 



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.