SLIDER

Scammer Semakin Melampau, Kini Memperdaya Orang Ramai Dengan Pelaburan Secepat 3 Jam . Silalah Berhati-Hati

24 Mar 2022

 


LANGSUNG TIDAK MASUK AKAL apabila pelabur dijanjikan keuntungan 'luar biasa' 15 kali ganda hanya dalam tempoh masa tiga jam. Malah, sindiket sengaja membuat mangsa gelap mata apabila berkongsi beratus testimoni 'pelabur hantu' serta gambar timbunan wang dan emas setiap hari kononnya hasil pulangan keuntungan pelaburan dianjurkan.Itu antara taktik sindiket penipuan didalangi scammer Indonesia yang dikesan aktif memperdaya warga tempatan melalui aplikasi Telegram. 

Sindiket kononnya mengendalikan pelbagai platfrom pelaburan antarabangsa menggunakan pelbagai nama untuk menipu mangsa melalui kaedah 'pujuk dan labur'. Difahamkan sindiket berjaya memperdaya ribuan mangsa dengan menawarkan pelaburan tidak munasabah membabitkan keuntungan 15 kali ganda hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam setiap hari.

Berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket penipuan ini menawarkan keuntungan tidak munasabah membabitkan pelbagai pakej pelaburan menggunakan pelbagai nama antaranya XM Tarades Capital, XMo Malaysia Berjaya, Smart Account, komuniti XM, Globel Protrade, C Trading, Trading Sukses, O Forex dan pelbagai nama lain.Pakar perunding kewangan, Burhan Mohd Wahab, 45, yang mendedahkan perkara itu berkata, modus operandi penipuan pelaburan melalui telegram ini sudah berlegar lama di negara jiran sebelum mula merebak ke negara ini.

"Biasanya mangsa dimasukkan secara automatik ke dalam kumpulan Telegram yang kononnya menawarkan pelaburan keuntungan harian."Terdapat pelbagai pakej pelaburan ditawarkan sindiket bermula dengan pakej basic (asas) serendah RM500 membabitkan keuntungan sebanyak RM7,000 diikuti pelaburan RM1,000 dengan pulangan RM15,000 serta pelaburan RM1,500 dan dijanjikan keuntungan RM30,000."Pakej pelaburan silver (perak) pula membabitkan nilai pelaburan asas RM2,000 dan RM2,500 membabitkan keuntungan RM35,000 dan RM45,000," katanya.

Menurutnya, sindiket turut memperkenalkan pakej pelaburan gold (emas) membabitkan nilai pelaburan asas serendah RM3,000 dengan keuntungan lumayan mencecah RM55,000."Pakej pelaburan emas maksimum pula adalah RM10,000 dengan keuntungan menjangkau RM120,000. Memang jumlah tidak masuk akal kerana pelaburan ini didakwa pasti untung tanpa risiko kerugian.

"Penyangak saham tidak wujud ini cuma meyakinkan mangsa bahawa pelaburan dianjurkan itu dijamin selamat, patuh syariah, diuruskan secara profesional dan paling penting keuntungan dibayar dalam tempoh enam jam sahaja," katanya.Menurutnya, golongan 'buta saham' dan tiada pengetahuan berkaitan aktiviti pelaburan biasanya mangsa paling mudah ditipu sindiket ini."Saya pernah cuba dijerat sindiket ini, namun apabila mengajukan pelbagai pertanyaan berhubung ketulenan pelaburan itu, sindiket terus menendang keluar saya daripada kumpulan Telegram itu," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa hanya mahu dikenali sebagai Hamdan, 47, mendakwa kerugian RM2,000 selepas membuat pelaburan melalui pakej silver.Menurutnya, dia termakan 'hasutan' untuk melabur selepas pengendali telegram itu turut menghantar gambar 'bukti' puluhan slip transaksi wang keuntungan harian kepada pelabur."Gambar slip bank tempatan itu turut disertakan dengan video testimoni beberapa individu yang meluahkan rasa syukur atas keuntungan diperoleh mereka.

"Malah, terdapat ramai ahli kumpulan di dalam telegram itu saling menghantar mesej memuji dan keyakinan atas keuntungan diperoleh.

"Bermula dari situ, saya termakan 'umpan' dipasang apabila bertindak menghantar butiran peribadi kepada individu dikenali sebagai Alex yang mendakwa menguruskan pelaburan harian itu," katanya.Menurutnya, dia kemudian diarahkan memilih pakej pelaburan diinginkan dan memindahkan sejumlah wang mahu dilaburkan ke akaun bank diberikan.

"Namun saya terkejut apabila tiba-tiba 'ditendang' keluar daripada kumpulan telegram berkenaan. Malah 'admin' yang menguruskan pelaburan itu tidak dapat dihubungi."Apabila difikirkan semula, saya yakin semua ahli kumpulan dalam telegram itu adalah penjenayah sama yang menyamar 'beratus' watak untuk menjerat mangsa," katanya.


SC terima 47 aduan skim pelaburan haram sejak Januari

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 47 aduan dan pertanyaan berhubung skim pelaburan haram yang dipromosikan melalui aplikasi Telegram sejak Januari lalu.SC dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan sindiket penipuan itu menawarkan peluang pelaburan tidak wujud serta menjanjikan pulangan menarik dan bebas risiko dalam jangka masa singkat.

"Skim ini biasanya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam atau beberapa jam."Sindiket ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan," katanya.Menurutnya, sindiket itu juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen menggunakan nama, logo, kelayakan, laman web dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram itu.

"Mereka juga mewujudkan kumpulan awam di Telegram bagi mempromosikan pakej pelaburan yang kebiasaannya disertakan dengan testimoni palsu dan juga diiklankan sebagai patuh syariah."Pelabur yang berminat akan diminta untuk menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dalam pelbagai pakej ditawarkan," katanya.

Katanya, pelabur juga sering diarahkan mendepositkan wang ke dalam akaun bank peribadi individu yang mendakwa mewakili entiti sah atau ke dalam akaun korporat tidak berkaitan."Bagi mendapatkan kepercayaan dan menarik mangsa untuk tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka atau skim pelaburan terbabit sudah diluluskan oleh pihak berkuasa kewangan.

"Justeru, SC mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan tinggi tidak realistik dengan risiko sedikit atau tiada," katanya.Kenyataan itu turut memaklumkan pelabur tidak seharusnya memindahkan wang ke dalam akaun bank peribadi seseorang jika diarahkan.

"Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC sebelum melabur. Senarai itu mengandungi butiran laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu beroperasi tanpa kebenaran," katanya.


Kredit : Harian Metro


Pakaian Ada Tahi Lalat? Jangan Buang. Cuba 5 Tips Berkesan Ini, Pakaian Kembali Bersih

23 Mar 2022



Apabila baju kesayangan atau fabrik milik kita terdapat tahi lalat atau kulat padanya, pasti kita akan berasa amat kecewa. Dah sental banyak kali pun tak keluar juga Baju yang ada tahi lalat ini jangan pula dibuang atau disimpan dalam stor sebab ada cara mudah yang boleh kita buat untuk hilangkannya. Ini caranya. 


1. CUKA

Cuka adalah bahan semulajadi yang selamat dan berkesan untuk membunuh kulat serta menghilangkan baunya yang kurang menyenangkan. Ia juga sesuai untuk anda yang mempunyai kulit sensitif atau mereka yang ingin mencuci pakaian bayi. Caranya, campurkan 1 cawan cuka putih ke dalam 1 baldi air dan rendamkan selama sekurang-kurangnya 1 jam. Kemudian, cuci bahagian berkulat dengan menggunakan sabun pencuci / detergen. Gunakan air yang sedikit hangat semasa memberus dan membilas pakaian supaya kulat lebih mudah ditanggalkan. Jika ingin digunakan pada fabrik lain seperti sofa atau langsir, masukkan larutan cuka ini ke dalam botol spray dan semburkan terus pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian gosokkan dengan berus yang sesuai dan bilas seperti biasa dengan sabun detergen.


2. BAKING SODA 

Selain menggunakan cuka, anda boleh menggunakan baking soda sebagai salah satu cara menghilangkan tahi lalat pada pakaian. Ianya efektif untuk digunakan dalam bentuk pes atau secara terus. Seperti cuka, ia juga boleh menyerap bauan yang keluar daripada kulat. Cara pertama adalah dengan membuat pes baking soda. Campurkan sedikit air pada baking soda dan terus sapukan pes ini pada bahagian baju yang berkulat. Biarkan seketika dan kemudian beruskan seperti biasa. Jika kulat masih belum tanggal, anda boleh menambahkan sedikit cuka putih pada serbuk baking soda tersebut. Kedua-dua bahan ini sering digunakan bersama kerana ia berkesan membunuh spesis kulat yang berbeza. Melalui pemerhatian, cara ini adalah yang paling berkesan dan digemari oleh ramai ibu-ibu! 


3. JUS LEMON DAN GARAM 

Perahkan sebiji lemon dan campurkan jus lemon tersebut dengan sedikit garam sehingga ia menjadi pes. Gunakan pes ini untuk disapukan pada bahagian yang bertahi lalat. Kemudian, beruskan seperti biasa. Anda juga boleh merendamkan pakaian dalam larutan lemon dan garam ini dalam air suam selama 1 jam. Selepas itu, bilaskan seperti biasa. 


4. PELUNTUR 

Peluntur (bleach’) atau lebih dikenali sebagai Clorox adalah sebuah kompaun yang sangat kuat dan berkesan untuk membunuh kulat pada pakaian. Namun, ia juga akan melunturkan warna. Jadi, cara ini hanya sesuai untuk pakaian berwarna putih sahaja ya! Caranya, larutkan sedikit peluntur bersama air dan gunakan berus untuk menanggalkan tahi lalat tersebut. Taburkan sedikit sabun pencuci serbuk dan ulangi langkah ini beberapa kali sekiranya ia masih belum tanggal. Seeloknya, gunakan air yang sedikit hangat untuk membilas dan mencuci pakaian tersebut. Sekiranya pakaian adalah daripada fabrik lembut dan sensitif, rendamkannya dalam larutan peluntur selama sekitar 20 minit, mengikut sukatan pada produk. 


5. VANISH 

Selain peluntur, satu lagi produk boleh anda gunakan adalah serbuk atau cecair ‘Vanish’ yang boleh dibeli di pasaran. Ia sesuai digunakan pada pakaian putih mahupun yang berwarna. Caranya, sapukan ‘Vanish’ pada bahagian fabrik yang ada kesan tahi lalat, dan biarkan seketika sekitar 5-10 minit. Kemudian, beruskan sedikit dan bilas. Selepas itu, cuci seperti biasa dengan sabun pencuci.


JEMURKAN BAWAH CAHAYA MATAHARI 

Selepas mencuci pakaian yang terkena kulat, jemurkannya di bawah sinaran matahari untuk kesan yang lebih efektif. Untuk mencegahnya daripada berulang, keringkan dahulu pakaian yang berpeluh atau lembap sebelum dimasukkan ke dalam bakul baju kotor. Baju yang terkena susu atau makanan juga boleh direndamkan secepatnya supaya kotoran lebih senang ditanggalkan. Jadi, jangan buang dulu baju-baju tersebut sebelum mencuba ya!


Kredit : Pesan Bonda


Anak Luar Nikah, Bakal Mertua Tak Dapat Terima Kerana Status

21 Mar 2022

 




Salam admin,


Saya berhadap sangat admin publish confession ini. Dah lama saya memendam perkara ini. Sebelum itu, saya nak beritahu yang saya seorang gadis, yang berusaha sebaik mungkin setakat ini untuk menjadi gadis muslimah yang baik walaupun adakalanya tersasar. 

Nak dijadikan cerita, saya membesar dengan nenek di utara tanah air sejak kecil lagi. Ibu bapa pula menetap di ibu kota. Dari kecil saya tengok surat beranak saya, kenapa column bapa kosong tak bernama? Saya tak ada bapa ke? 

Banyak kali saya berfikir, sehinggalah satu hari nenek beritahu yang saya adalah anak luar nikah. Tetapi bapa saya yang sekarang ini memang bapa kandung. Cuma kalau ikut dalam Islam, saya tiada bapa kan? Ibu berkahwin dengan bapa selepas mengandungkan saya. 

Sedih sangat-sangat selepas mengetahui cerita yang sebenar. Dari hari itu, saya memang tiada keyakinan diri dan tidak berani berkawan secara serius dengan mana-mana lelaki kerana tidak yakin ada yang sanggup menerima. 

Sampailah satu masa ketika saya diploma di satu IPTA ini. Saya kenal dengan seorang lelaki ini, dia bekerja di Perodua dan kami selalu berhubung melalui media sosial tetapi tidak pernah berjumpa. Saya selesa berkawan dengannya kerana dia jenis lelaki yang caring dan menghormati saya. 

Satu hari itu, dia nyatakan hasratnya untuk melamar saya. Terkejut, saya terkejut kerana ingatkan dia bergurau sahaja. Rupa-rupanya dia memang serius dan mahu datang ke rumah nenek untuk masuk meminang. Saya menghalang dan menolak hasratnya itu. Puas dia mendesak saya memberitahunya kenapa saya menolak lamarannya. Padahal, saya sebenarnya memang menyimpan perasaan terhadapnya. Cuma saya tidak yakin yang dia boleh menerima status saya sebagai anak luar nikah. 

Akhirnya saya berterus terang yang saya tidak dapat menerimanya kerana saya anak luar nikah. Sejak itu, dia terus mendiamkan diri dan tidak lagi beria-ria seperti sebelum ini. Saya faham, dia susah mahu menerima. 

Satu hari itu, dia beritahu yang ibunya telah mencari calon isteri pilihannya untuk dia. Dia beritahu yang ibunya tidak dapat menerima saya sebagai menantu sebab saya anak luar nikah. 

Lagipun saya tahu yang dia sendiri juga tidak dapat menerima status saya. Saya faham dan tidak rasa sedih sangat, sebab sudah menjangka perkara seperti ini akan berlaku. 

Sekarang, dia sudah berkahwin. Saya teruskan hidup seperti biasa. Tiba-tiba datang pula seorang lelaki mahu mencuri hati saya. Saya enggan memberikan sebarang respon, namun dia pula bersungguh-sungguh mahu mendekati saya. 

Sekali lagi, saya berterus terang yang saya ini anak luar nikah. Agak-agaknya dia boleh menerima saya tak? 

Dia terus senyap dan berhenti menghubungi saya. 

Sedih kan jadi anak luar nikah ini? Lelaki susah nak menerima gadis berstatus seperti saya. Saya hanya berserah kepada Allah. Saya sudah malas nak mengharapkan perkahwinan. Kalau ada jodoh yang mampu terima, adalah. Jika tiada, tak mengapa, saya teruskan hidup seperti biasa.

Walaupun bukan salah saya jadi anak luar nikah, tetapi mentaliti orang Melayu memang memandang hina pada golongan seperti saya. Jadi, mohon kalian semua doakan yang baik-baik untuk saya agar suatu hari nanti ada yang mampu menerima saya seadanya.

Kredit : superkiram


Baby Boy Atau Baby Girl. Ini Tips Yang Dikongsikan Oleh Cikgu Kimia Mengikut Logik Sains Selain Usaha & Doa

19 Mar 2022


Salam..

Post kali ni akan share ilmu yang tak seberapa bagi sesiapa yang merancang sama ada nak baby boy atau baby girl untuk next pregnancy.

Alhamdulillah saya dan suami dah mencuba dan diizinkan Allah untuk mendapat baby girl, anak ke 2 kami. Maka sepasanglah anak kami setakat ni. Terima kasih.

Buat suami Mhafiz Mahadar yang turut memberi kerjasama, tak sia-sia kan usaha awak saat melihat anak perempuan awak lahir ke dunia.

Ingat lagi tak subjek biologi di sekolah dulu? Bagaimana jantina anak ditentukan?

Sperma membawa kromosom XY dan Ovum membawa kromosom XX. Apabila persenyawaan berlaku peratusan jantina lelaki dan perempuan adalah 50-50.

Maka perlu diingatkan jantina bukanlah faktor genetik. Perlu diingatkan merancang jantina perlulah dilakukan sebelum merancang untuk hamil. Once dah berlaku persenyawaan, cara saya ni tak berkesan dah.

Bagaimana untuk kita menambahkan keberangkalian persenyawaan itu akan menghasilkan perempuan ialah kita kena paham apa sifat kromosom X dan Y terlebih dahulu.

X tempoh hayatnya lebih panjang tetapi pergerakan lebih perlahan.
Manakala Y tempoh hayatnya pendek tetapi pergerakannya adalah lebih laju. 

Keadaan berasid adalah lebih sesuai untuk X manakala Y lebih suka keadaan beralkali.

Disini lah saya mula berfikir macam mana nak jadikan perkara asid alkali ni (cikgu kimia la katakan).


Tips:


PEMAKANAN

Jika mahukan baby boy, suami perlulah lebihkan memakan makanan laut (seafood).

Manakala jika mahukan baby girl, suami perlulah memakan daging sama ada ayam atau lembu.

Kenapa suami? Kenapa bukan isteri??

Kerana suami yang bawa kromosom Y yang mana menentukan boy atau girl. Maka suami-suami main peranan besar kat sini ok.

Apa yang saya dan suami usahakan ialah sebulan (bulan rancang nak hamil bermula daripada hari pertama saya period) suami dilarang makan apa-apa jenis seafood.

Sebulan memang hari-hari sumber protein yang suami ambil hanyalah ayam, daging atau telur. Sampaikan ayah beli ketam dan siput sedut pun dia kena telan air liur je. Suami tak ada masalah untuk ni sebab dia memang suka ayam dan daging.

Selain tu, suami juga kena lebih makan masam. Yang ni mencabar sikit untuk suami sebab dia memang tak suka buah masam-masam, tapi direlakan juga bila isteri beli buah yang masam untuk dia.

Isteri juga boleh membantu dengan lebihkan mengambil makanan bersumber tenusu. Susu, cheese dan butter.

Saya kongsi ni lebih kepada untuk baby girl, so kalau nak boy, kena sebaliknya. Elakkan makan masam dan isteri elakkan makanan tenusu.


TEMPOH BERSAMA

Yang ni susah sikit sebab kita sendiri tak tau bila waktu subur kits kan?

So, ada 2 cara nak tau waktu subur.
Yang pertama senang je, pegi farmasi beli Ovulation Test. Bentuk dia lebih kurang macam pregnancy test. Cara nak guna bole tengok pada kotaknya.

Ataupun cara ke 2, hanya boleh dipakai bagi sesiapa yang kitaran haidnya sama setiap bulan. Yang ni nak senang, guna app period. Kita boleh tengok corak kitaran haid kita.

Bagi yang kitarannya sama setiap bulan, tolakkan jumlah kitaran dengan 14, maka hari itulah waktu subur dia.

Waktu subur bermakna hari ovum dilepaskan oleh ovari. Contoh (30-14), maka hari ke 16 itulah hari subur.

Ok, kenapa penting nak tau waktu subur?

Tadi kan dah cerita pasal tempoh hayat X dan Y.
Jika mahukan baby girl, perlu bersama 2 hari sebelum hari subur. Ini disebabkan Y yang hayatnya pendek itu akan mati sebelum ovum dibebaskan untuk bersenyawa. Yang tinggal hanya X. Maka jadilah XX(girl).

Kalau nak baby boy, terbaliklah jadinya. Perlu bersama pada waktu subur. Y yang bergerak laju akan sampai terlebih dahulu kepada ovum untuk disenyawakan. Maka jadila XY(boy).

Ok itu saja tips yang saya dan suami gunakan. Banyak sebenarnya tips lain kalau googles. Tapi yang lain saya tak jumpa logik sainsnya, maka malaslah nak follow. Saya suka buat sesuatu yang ada sebab jelas. Kan dah kabo tadi saya cikgu sains kan. Hehehe.

Jangan lupa, DOA senjata utama. Tak guna usaha tanpa doa. Minta sungguh-sungguh pada Allah. Semoga tips ini dapat memberi manfaat pada yang membaca.


Kredit: Taibah Nurwahidah Mohamad.
*artikel ini disiarkan dengan keizinan penulis tersebut.




Mencegah Kehamilan Menggunakan IUD Boleh , Tapi AWASS ! Ada Risiko Mengandung Luar Rahim. ALERT

18 Mar 2022



Alat kontraseptif dalam rahim (IUD) merupakan salah satu kaedah kontrasepsi yang sering digunkan oleh wanita untuk cegah kehamilan.

Walaupun alat tersebut berkesan untuk mencegah kehamilan, ia bukan 100% efektif.  Berbanding dengan kaedah kontrasepsi yang lain, alat kontraseptif dalam rahim mempunyai tahap keberkesanan yang sangat tinggi.

Dalam tempoh 1 tahun penggunaan, nisbah kegagalan wanita yang menggunakan kaedah kontrasepsi ini adalah 1:100.  Ini bermakna, dalam kalangan 100 wanita yang menggunakannya, pemakaian oleh 1 individu gagal untuk cegah kehamilan.

Secara teorinya, alat kontraseptif dalam rahim mempunyai keberkesanan pada kadar 99%. Persoalannya di sini, apakah faktor yang menyebabkan kegagalan fungsi alat kontraseptif dalam rahim?

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.


Bukan Semua Wanita Berjaya Cegah Kehamilan Menggunakan IUD

Jika ingin dibandingkan dengan kaedah kontrasepsi yang lain, IUD merupakan satu alternatif yang mudah. Secara idealnya, tiada kesilapan daripada pihak pengguna memandangkan ia bukanlah seperti pil yang perlu diambil setiap hariBergantung kepada model IUD, pengguna berupaya untuk cegah kehamilan selama 5 tahun sebelum tamat tarikh luputnya. IUD merupakan salah satu daripada kaedah kawalan kehamilan sementara yang banyak disarankan kepada wanita yang ingin merancang kehamilanWalau bagaimanapun, menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit, model IUD yang berbeza mempunyai kadar kegagalan yang berlainan. IUD yang diperbuat daripada tembaga mempunyai kadar kegagalan setinggi 0.8% manakala IUD hormon, levonorgestrel mempunyai kadar kegagalan di antara 0.1% hingga 0.4%.

Mereka yang menggunakan kaedah ini berisiko untuk gagal cegah kehamilan terutamanya jika hubungan seksual dilakukan dalam tempoh 7 hari selepas pemasangan. IUD yang dipasang boleh beralih daripada kedudukan yang sepatutnya menyebabkan fungsinya terganggu. Walaupun keadaan tersebut dianggap jarang berlaku, namun menurut the American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG), risiko untuk alat kontraseptif dalam rahim itu beralih adalah di antara 2 hingga 10% dalam tempoh 1 tahun. Mereka yang menyusu badan atau baru lepas bersalin mempunyai risiko yang tinggi untuk alat kontraseptif dalam rahim mereka beralih. Ini meningkatkan kadar kegagalan langkah kontrasepsi untuk cegah kehamilan.

Antara gejala dan simptom yang boleh dialami oleh wanita yang mempunyai masalah ini adalah seperti berikut:

  • ~Benang IUD yang keluar dari faraj kelihatan pendek daripada biasa
  • ~Pendarahan yang banyak
  • ~Kram perut luar biasa
  • ~Lendiran faraj yang banyak

Gagal Cegah Kehamilan Sebabkan Kehamilan Biasa @ Luar Rahim

Bagi wanita yang mengalami kegagalan fungsi IUD, mereka berisiko untuk mendapat komplikasi kehamilan luar rahim. Keadaan ini berlaku apabila embrio yang sepatutnya ditanam pada dinding rahim berada di kawasan luar rahim seperti:

  • ~Tiub falopian
  • ~Ovari
  • ~Ruang abdomen
  • ~Serviks

Menurut ACOG, komplikasi akibat kegagalan alat kontraseptif dalam rahim untuk cegah kehamilan boleh menyebabkan simptom seperti berikut:

  • ~Sakit belakang pada bahagian bawah
  • ~Sakit abdomen atau pada bahagian pinggul
  • ~Pendarahan faraj tidak normal
  • ~Kram pada salah satu bahagian pinggul

Jika mereka yang mengalami keadaan ini tidak dirawat dengan kadar segera, simptom yang lebih serius boleh timbul. Antaranya adalah:

  • ~Sakit teruk pada bahagian abdomen atau pinggul
  • ~Kelesuan dan lemah badan
  • ~Pening kepala dan pengsan
  • ~Sakit pada bahagian bahu

Jika anda atau pasangan mempunyai simptom seperti yang dinyatakan, rawatan perlu diberikan dengan kadar segera. Mereka yang mengalami kehamilan luar rahim berisiko untuk mati akibat pendarahan dalaman.

Pilihan Bagi Yang Gagal Cegah Kehamilan

Jika anda mengalami simptom kehamilan, anda perlu membuat ujian kehamilan atau hadir ke klinik terdekat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Antara simptom yang menunjukkan anda gagal untuk cegah kehamilan:

  • ~Mabuk hamil (muntah dan loya)
  • ~Sakit pada bahagian payudara
  • ~Mengidam
  • ~Perubahan pada mood
  • ~Kelesuan
  • ~Tidak datang haid

Lebih penting lagi jika anda mengalami gejala yang menunjukkan anda mungkin hamil di luar rahim. Jika ragu, pergi ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan pengesahan. Jika anda mengalami komplikasi hamil luar rahim, prosedur pembedahan laparoskopik akan dilakukan bagi mengeluarkan janin pada kawasan bukan rahim.

Bagaimana pula jika kegagalan untuk cegah kehamilan menyebabkan wanita tersebut hamil biasa? Pilihan yang akan diberikan kepada pasangan suami isteri bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya adalah:

  • ~Usia kandungan
  • ~Kedudukan IUD
  • ~Akses kepada benang IUD
  • ~Permintaan daripada wanita itu sendiri

Sekiranya wanita tersebut membuat keputusan untuk meneruskan kehamilan, pemeriksaan akan dibuat. Jika benang IUD tidak kelihatan di luar faraj, doktor akan menggunakan mesin ultrasound bagi menentukan kedudukannya.

  • ~Jika IUD tidak kelihatan, ujian x-ray akan dibuat bagi mengesan kedudukan alat tersebut
  • ~Sekiranya IUD berada pada serviks, doktor akan menarik keluar IUD tersebut
  • ~Jika IUD berada di atas serviks, doktor akan menasihatkan perihal komplikasi dan risiko yang boleh dialami sekiranya kehamilan ingin diteruskan.

Konklusi

Penggunaan IUD untuk cegah kehamilan digalakkan terutamanya kepada ibu yang baru sahaja lepas bersalin.

Perkara ini penting bagi memastikan si ibu mempunyai ruang masa untuk menjaga bayi yang baru lahir sebelum cuba untuk hamil sekali lagi.

Jika anda ingin menggunakan IUD atau menghadapi masalah berkaitan dengan penggunaannya, hadirkan diri anda ke pusat kesihatan terdekat.

Kredit : Hello Doktor


Balas Budi ? Kawan Baik Tikam Belakang ? Duit ? Hutang ? Pinjam ? Akhirnya .... Sendiri Terduduk

17 Mar 2022


Kawan yang baik adalah kawan yang sanggup bagi kau pinjam duit dan tak kisah pun kau nak bayar balik atau tak. Seronok kan? Senang hidup kau wei! Baiknya kawan kau tu. 

Tapi secara automatik kaulah yang akan jadi kawan paling tak guna, tak guna, tak guna kat atas dunia ni. Suka betul ambil kesempatan atas kebaikan orang lain. 

Saya kongsikan 12 kisah orang ambil kesempatan kat orang lain. Gerammm baca. Kalau iman tak kuat, jangan baca ya. Nanti penuh maki-maki kat komen tu.
Haha!



#KISAH_1
#KAHWIN_PAKAI_DUIT_ORANG

Ini cerita buat personal loan untuk kahwin guna kawan punya nama. Akak kepada member saya terkena. Last-last lepas kahwin tak bayar. Si member ni pula tak pasal-pasal tiap-tiap bulan kena bayar hutang kawin diorang. Memang tak berkat lah kahwin kalau gitu gayanya. Sebab tu jangan mudah kesian atau percaya sangat dengan orang.


#KISAH_2
#KAWAN_BAIK_BUAT_TAIK

Paling bongok kau buat pinjaman peribadi untuk dia, kawan sejati kononnya. Sudahnya kau gaduh hutang di bank kau dia tak bayar. Kau bajet cun bagi dia duit konon nak pikat hati dia. Sudahnya now kau bayar hutang personal loan (PL) tu 10 tahun. Sadis Betul. 


Cerita daripada seorang rakan tadi yang mengadu tak boleh beli rumah dah banyak komitmen hutang. Salah satunya PL utk "kawan baik" yang berbaki lagi 5 tahun. Serious cannot brain. 


#KISAH_3
#MANGSA_MLM_ABANG

Husband saya pun kena. Abang-abang dia nak join MLM, 8 tahun dulu famous benda ni. Husband kerje gomen. Abang-abang dia minta guna nama dia buat personal loan dan janji bayar balik tiap-tiap bulan. 


Husband buat loan tanpa pengetahuan saya. Sebab abang-abang dia pesan jangan bagitau isteri. Tapi saya tahu jugak. Memang mengamuk la jugak kan. Tapi nak buat macam mana, bende dah jadi. 

Sekarang, bisnes entah ke mana. Pulangan entah ke mana. 1 sen pun tak pernah bayar balik kat husband saya. Sehingga sekarang Husband saya tanggung sorang-sorang hutang tu. Kesian dia dengan gaji yang tak seberapa. 

Yang abang-abang dia, siap boleh beli & tambah rumah kedua. Beli kereta baru. Motor besar dan bila kami tanya, jawapan dia senang je, tunggu lepas dia dapat pergi haji baru dia nak bayar. Ada ke patut. 

Hubungan husband dengan abang-abang dia sekarang? Memang renggang sangat. Saya dengan mereka, lagi lah tak bercakap. Perasaan sakit hati tu tak tau nak cakap. Sebab mereka, saya terpaksa bersusah bantu mencukupkan perbelanjaan rumah. 

Saya tak kisah jika bersusah atas sebab diri sendiri. Tapi terpaksa bersusah, disebabkan orang lain buat taik, hare betul rasenye.


#KISAH_4
#KURANG_ASAM_ENCIK_SAHARUDDIN

Macam ayah saya terkena. Dulu ayah dengan kawan dia buat PL dengan bank rakyat. Memasing jadi penjamin antara satu sama lain. Ayah bayar cantik smpai loan habis. Tup-tup bahagian kawan dia tu, tahun lepas bank call cakap kawan dia tu tak bayar. Dah tertunggak lama dan banyak. Pastu orangnya tak dapat dihubungi. Bila dah dapat cari, boleh pulak cakap tak mampu bayar. 


Sudahnya sebagai penjamin tak pasal-pasal ayah kena kuar duit RM16k bayar hutang dia. Sampai bila-bila takkan halal.Kurang asam sungguh Encik Saharuddin tu.


#KISAH_5
#MAK_NAK_KERETA_OVERSEA

Kawan adik saya kerja nurse swasta ambik Vokswagen sebab mak dia teringin pakai kerete obersea. Serius tak tau apa dalam kepala otak mak dia menyusahkan anak mcm tu. Haihh!


#KISAH_6
#PREBET_ASKAR_HONDA_CITY

Kawan saya prebet askar. Habis training belikan mak dia Honda City sebagai tanda dia dah berjaya. Gaji RM1,800 bayar kerete RM900. 


#KISAH_7
#MAK_BAIK_SANGAT

Ini yang saya takutkan. Alhamdulillah diberi rezeki kerja sebagai penjawat awam. Sebelum kerja lagi dah cakap awal-awal kat family termasuk mak, tak kan buat loan untuk nama orang lain. 


Sebab dah nampak apa yang berlaku dalam keluarga. Mak pesara. Mak saudara bongsu guna nama mak untuk beli kereta Vios. Dah habis bayar, tukar nama dia sendiri. 

Lepas tu mak saudara lain pulak guna nama mak beli kereta Bezza. Mak saudara ni jugak pakai nama mak untuk penjamin pinjaman.
Kakak pulak suruh mak buat pinjaman pencen. Semua atas bahu mak. Bila kereta mak saudara kemalangan, yang susahnya mak. Bila mak saudara lambat bayar kereta, orang bank call mak.  

Ini yang paling saya marah. Dah puas bebel cakap dengan mak, tak yah lah baik hati sangat kasi orang guna nama.  

Effect, baru-baru ni mak terdesak perlukan duit urgent. Nak pinjam bank dah tak boleh sebab terlalu banyak komitmen. Dah tak tahu macam mana nak nasihat lagi.


#KISAH_8
#PENJAMIN_BLACKLISTED
 
Teringat dekat kawan saya jadi penjamin kereta Myvi kawan dia. Last-last kawan dia tak bayar bawa lari kereta sampai sekarang tak nampak bayang. Tak pasal-pasal kawan saya terpaksa pinjam duit dan buat personal loan untuk clearkan nama dari blacklist. 

Setiap bulan terpaksa menanggung hutang benda yang dia tak pakai. Semoga Allah limpahkan rezeki yang banyak dan berkat buat kawan saya dan dipermudahkan segala urusannya.
Aamiin.


#KISAH_9
#ADIK_BIJAK
 
Adik ipar (lelaki) jadi penjamin loan kereta kawan. Lepastu kawan buat taik. Sekarang nama dia blacklisted. Haram nak beli rumah loan semua tak boleh.Mujur lah adik saya pompuan beli rumah masa belum kawen. Merasa lah menumpang rumah isteri.


#KISAH_10
#SURIRUMAH_BLACKLISTED
 
Saya salah seorang mangsa bagi pinjam nama buat personal loan pada ahli keluarga. Akhirnya bulanan tak mampu bayar. Bank kejar saya. Saya dahlah surirumah macam mane nak tolong bayar. Akhirnya nama blacklist masuk CCRIS. Sedih rasa hati. 


#KISAH_11
#UNCLE_CAMRY
 
Saya pun pernah kena black list sebab tolong guna nama saya ke uncle saya. Dia nak beli Toyota Camry. Dia bayar 6 bulan saja lepas tu dia terus senyap. 

Dia sembunyikan kereta tu. Lepas tu bank jumpa and bagitau ke saya. So saya lah yang kena bayar balance nya. 

Masa Camry tu kena tarik. Wife dia fikir saya yang suruh. So saya yang kena maki lagi. Hahah. And uncle tetap diam membisu. (Patut uncle tu yang perlu dimaki). Tu lah ceritanya. 

Moral of the story, siapa pun manusia yg nak pinjam nama kita. JANGAN BAGI 


#KISAH_12
#MANA_KAU_CIKGU_NORDIN
 
Kisah macam ni terjadi juga pada Ayah saya. Ex-jiran merangkap kawan mengajar satu sekolah, merangkap kawan baik (pada ketika itulah!). Swipe credit card Ayah sampai cecah limit. Kononnya waktu tu dia sedang susah dan perlukan duit bantuan kewangan sangat-sangat. 

Lepas tu dia menghilang. Beberapa tahun kemudian, ayah nak tukar kereta dan baru dapat tahu, hutang kredit kad tu tak pernah langsai malah bertambah-tambah interest! Jadinya nama dah masuk ccris, loan kereta tak lepas. 

Terpaksa pulak gali lubang untuk tutup hutang kredit kad tu. Jumlahnya beribu, of course lah kan. Sampai harini CIKGU NORDIN tu entah hilang ke mana satu family.
MANA KAU CIKGU NORDIN??
GANTI BALIK DUIT AYAH AKU!



Kau dah baca 12 kisah sedih ni, kalau lepas ni jadi kat diri sendiri juga, memang salah kaulah tak ambil pengajaran. Kawan makan kawan, abang tipu adik, pakcik buat taik. 


Hati-hatilah. Dunia ni memang penuh dengan manusia-manusia jahat yang suka ambil kesempatan atas kebaikan kita. Lagi-lagi kalau dorang nampak kita ni macam berduit. 

Sorok-soroklah duit tu ya.
Jangan semua nak tayang kat orang.
Haha! - HF


SHARE supaya orang ramai jadi BIJAK!



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.