SLIDER

Di Pinang Bakal Madu

6 May 2017

Assalamualaikum admin,

Harap-harap kisah saya ni dapat dipaparkan. Saya Aina , umur dah nak masuk 24. Sekarang situasi saya , sedang confuse sebab kakak angkat saya, Kak Min meminang saya untuk jadikan saya madu dia, isteri kedua Abg Azhar. Mood sekarang tak tahu nak fikir apa-apa keputusan, hanya mampu luahkan di ruangan ini untuk melegakan perasaan yang sedang bercelaru. Saya tak ada konflik apa-apa pun dengan Kak Min dan Abg Azhar, cuma konflik dalam diri sendiri.

Saya mula kenal dengan Kak Min, sewaktu menjadi junior di universiti di Utara. Masa tu kami junior, ada program orientasi untuk pelajar-pelajar baru. Kak Min adalah senior kami, pelajar tahun akhir . Dia salah seorang ajk program tu. Tak tahulah macam mana kami tetiba boleh rapat. Bermula dari program tulah, Kak Min banyak membantu saya menjalani kehidupan sebagai pelajar di Universiti. Kak Min secara tak langsung bgtahu dah menganggap saya macam adik dia sendiri. Macam adik angkatlah. Saya pun ok je, sebab saya pun tak ada kakak. Dapatlah merasa macam mana ada seorang kakak. Sempatlah setahun , kami berkongsi suka duka kat Uni sebelum Kak Min tamat pengajian. Kak Min seorang yang lemah lembut, peramah dan cantik orangnya. Saya pula jenis yang gila-gila, happy-go-lucky.

Saya tahu, Kak Min dah ada teman lelaki masa di Uni, Abg Azhar tu lah. Tapi ambil jurusan lain. Kadang-kadang bila Kak Min nak keluar dating, Kak Min ajak saya sekali. Pergi teman makan-makan. So dari sini memang saya kenallah Abg Azhar ini. Mereka memang sepadan. Dan saya pun dah anggap macam abang sendiri. Selepas diorang graduate, tinggallah saya sorang kat sini dengan kawan-kawan. Tapi Kak Min tak pernah lupakan saya. Walaupun Kak Min dah bekerja di KL, dia sentiasa call bagi sokongan dan semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat tamat pengajian dengan segulung Ijazah. Kadang-kadang Kak Min hulur duit poket, walaupun saya tak minta pun. Katanya sebagai hadiah. Senang citer, kami tak adalah loss contact.

Lepas setahun kerja, Kak Min dan Abg Azhar berkahwin. Masa tu saya belajar lagi. Saya tumpang happy dengar diorang nak kahwin. Alhamdulillah dah jodoh diorang. Saya cuma mampu doakan diorang bahagia hingga akhir hayat. Tak lama lepas tu seingat saya , mereka dikurniakan sepasang anak kembar yang sangatlah comel. Abg Azhar tu memang ada genetik kembar, Mungkin diwarisi kepada anak merekalah. Sehinggalah saya dah graduate dari Uni, saya merancang untuk mencari kerja di Kuala Lumpur. Jadi urusan tempat tinggal saya di sana , Kak Min dan Abg Azhar yang banyak tolong. Mereka dah macam keluarga sendiri. Ibu dan ayah saya pun dah kenal diorang ni, dan dah anggap mereka macam anak sendiri dah pun. Saya cuma tumpang dua minggu di rumah Kak Min, kemudiannya saya berpindah ke rumah sewa selepas dah jumpa kawan sebilik. Kawan satu ofis juga.

Kami berhubungan macam biasa , kadang-kadang kami lama tak berjumpa, sebab masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kalau ada masa free sikit, Kak Min selalu juga ajak datang ke rumah dia, ada sesi makan-makan dan bermain dengan anak kembar diorang. Si kembar ni pun dah rapat juga dengan saya. Kak Min masak memang sedap. Sehingga ada satu tempoh tu , 3 bulan kami tak contact, rasa pelik pun ada. Tetiba Kak Min call ajak jumpa. Kat luar. Kami jumpa bertiga. Abg Azhar pun ada juga. Kak Min nampak kurang sihat. Kak Min pegang tangan saya, dia cakap die nak minta pertolongan saya. Saya ok je. Ya lah , bukan selalu saya dapat tolong Kak Min. Kak Min pun dah banyak tolong saya sehingga ke tahap sekarang. 

Kak Min cakap dengan lemah, dia nak pinang saya jadi isteri Abg Azhar. Saya tersentap . Sambil pandang Abg Azhar, saya tak tahu nak respon apa. Kak Min gengam kuat tangan saya , merayu minta tolong untuk saya bersetuju dengan cadangan dia. Demi anak-anak kembar diorang. Saya minta penjelasan Kak Min. Tapi Kak Min senyap, saya tak tahu nak ckp apa-apa , saya minta izin untuk balik. Hati saya macam tak tenang. Kat rumah , saya macam tak keruan. Entahlah, tak tahu nak fikir apa. Apa perasaan saya. Apa nak buat. Macam mana nak jumpa balik Kak Min dan Abg Azhar untuk dapatkan kepastian. Kak Min whatsapp saya , minta maaf. Saya minta beri saya masa untuk clearkan otak fikiran saya.

Bukan mudah untuk saya terima lamaran Kak Min. Walaupun saya tak ada teman istimewa, tapi untuk jadi isteri Abg Azhar, yang saya dah anggap macam abang sendiri, rasa macam memang peliklah. Janggal kot. Tetiba je jadi suami kita. Tak ada perasaan cinta dan sayang, hanya ada perasaan hormat sahaja. Saya personally jumpa Kak Min untuk penjelasan lanjut, Kak Min cuma cakap untuk jaga anak-anak dia bila dia tak ada nanti. Sebabnya anak-anak diorang memang rapat dan kenal dengan saya. Saya tak tahulah, saya tanya Kak Min juga dia ada sakit apa-apa ke. Tapi saya tak sanggup nak tanya soal hidup dan mati. Kak Min cuma senyum dan senyap. Lagipun Kak Min cakap dia dan Abg Azhar hanya percayakan saya kerana dah kenal luar dalam budi pekerti saya . Mereka dah sayangkan saya dan dah anggap saya macam keluarga diorang. Jadi, Kak Min tak kisah nak bermadu.

Okay, sekarang ni statusnya , saya tak tahu nak respons apa dengan Kak Min? Apa tindakan perlu saya buat? Apa jawapan saya? Macammana saya nak beritahu ibu dan ayah? Bagaimana hati dan perasaan saya sendiri? Apa yang saya rasa? Walaupun Kak Min dan Abg Azhar tu baik orangnya, dan saya banyak sangat terhutang budi dengan mereka, tapi takkanlah saya nak  hidup bermadu . Lagipun, saya naklah juga cari teman hidup saya sendiri. Teman hidup yang saya cintai. Jadi, macam mana saya nak tolak lamaran Kak Min ni? Kak Min dah banyak tolong saya sejak dari Universiti dulu lagi. Hati saya jadi serba salah, antara kemahuan jiwa saya sendiri dengan rayuan Kak Min yang minta pertolongan dari saya. Buntu saya buntu. Kalau-kalau ada pendapat korang, mcm mana ye kalau korang berada di tempat saya ni ....

-Gadis Buntu-

=========================================================================

Sayangkan Sahabat, Hampir Muflis

4 May 2017

As'kum admin, Terima kasih kerana sudi siarkan luahan saya.


Pernah tak korang ada masalah kena tipu kawan baik sebab tak bayar hutang ? Sebab duit, kawan pun boleh jadi lawan. Saya paling tak suka untuk membenci orang lain tanpa sebab. Tapi disebabkan masalah hutang ni, membuatkan hubungan kami yang dulunya akrab kini dah jadi suram. Cerita hutang saya ni, bukanlah si dia berhutang cash dengan saya. Tapi nama saya di ambil sebagai penjamin di atas dokumen pinjaman kereta yang dibuat oleh kawan baik. Biar saya namakan kawan saya ni "Si A". Niat saya cuma untuk membantu sahabat, tapi bila dah jadi kes macam ni, saya sendiri tak tahu macam mana nak berhadapan dengan Si A ni lagi.

Kami dulu kenal rapat  sewaktu di kolej lagi. Duduk satu rumah sewa, pergi kemana-mana pun mesti bersama. Sehinggalah kami graduate dan dah bekerja dengan kerjaya masing-masing. Bila dah bekerja pun, kami masih duduk satu rumah sewa. Macam biasalah, awal-awal kerja mesti kumpul duit, lepas tu nak beli kereta untuk memudahkan perjalanan ke ofis. Tapi Si A ni nak apply loan tak lepas sebab gaji tak layak. Pegawai bank minta dia cari seorang penjamin. Jadi Si A ni meluahkan hasrat dia kepada saya untuk jadi penjamin dia. Kalau dah duduk satu rumah, hari-hari Si A merayu minta pertolongan saya. Bukannya saya tak pernah nasihatkan dia supaya bersabar dulu, tapi kalau hati dah tak boleh tunggu lagi , saya berleter banyak mana pun, tak memberi kesan. Saya sedia maklum syarat-syarat seorang penjamin loan ni. Saya tahu, malah impact bila peminjam tak bayar, penjaminlah orang pertama yang dikejar oleh pihak bank.

Atas perbincangan dan budi bicara kami berdua, akhirnya saya bersetuju untuk tolong Si A jadi penjamin loan kereta dia ni. Dia berjanji yang dia takkan timbulkan masalah dan culas dalam urusan pembayaran bulanan loan tu. Jadi, dalam tempoh kami membujang ni, semua berjalan lancar dan ok. Loan kereta Si A tak ada masalah apa-apa tunggakan pun. Sehinggalah selepas kami berdua dah berkahwin dan membina keluarga masing-masing. Walaupun kami dah berpisah rumah, tapi kami still berhubung di antara satu sama-lain.

Lebih kurang 2 tahun usia perkahwinan , seingat sayalah, tiba-tiba dapat panggilan daripada pihak bank mengatakan loan kereta Si A dah lama tak bayar. Tertunggak 3 bulan. Jadi pihak bank minta saya untuk bayarkan amaun yang tertunggak tu. Saya ada berhubung dengan Si A, untuk discuss pasal loan yang tertunggak tu. Panjang lebar Si A ni bercerita. Dia cakap, dia tengah ada masalah kewangan. Nanti dia cuba bayarkan sikit-sikit. Saya pula jenis mudah kesiankan orang. Lagi-lagi kalau orang tu kawan baik. Saya ok je, janji dia bayarlah tunggakan tu.

Tapi tak seperti yang dijanjikan, bank banyak kali call. Tunggakan dah hampir 5 bulan. Saya call Si A banyak kali, tapi tak berangkat. Mungkin dia tahu saya nak tanya pasal loan kereta dia. Saya cuba call guna nombor lain. Si A jawab. Tapi penjelasan yang dia bagi seolah-olah macam nak marah saya balik sebab push dia untuk bayar tunggakan tu. Dia cakap dia tertekan dan stress, sebab saya asyik call je. Si A cakap , suruh saya ignore je call daripada pihak bank tu. Sampailah sekarang kalau saya call tak berangkat, tak berjawab. Saya cuba whatsapp ajak jumpa untuk settlekan masalah ni. Dia cuma jawab minta maaf dan minta di beri masa untuk selesaikan masalah dia. Sejak dari hari tu,  kami dah loss-contact, nombor phone pun dah bertukar. Bila saya pergi ke rumah dia, diorang semua dah berpindah, tak tahu pergi mana. Pernah satu hari saya terserempak dengan Si A di pusat beli-belah. Saya cuba nak menghampiri dia. Tapi Si A perasan yang saya ada kat situ, terus menghilangkan diri. Mungkin dia tak bersedia nak jelaskan pasal loan kereta dia tu.

Sekarang ni nama saya dah diblacklisted dalam ccris. Saya tak tahu apa akan jadi bila saya dah sampai tahap muflis. Bila dah dapat surat lawyer, saya cuma boleh tolong bayarkan jumlah tunggakan 2 bulan je, tapi untuk settlekan semua amaun tak mampulah dalam keadaan sekarang yang segala-galanya perlukan duit. Saya cuma terkilan sebab dah loss-contact dengan kawan baik saya ni gara-gara hutang loan kereta. Hubungan baik yang dah lama terjalin, lenyap sekelip mata. Ya betul, mungkin ini bukan dia mintak nak berlaku. Mungkin dia ada masalah-masalah yang sesiapa pun tak tahu. Tapi ini situasi dia. Pada situasi saya pula, perlu juga harapkan Si A untuk selesaikan masalah tunggakan ni. Baru selesai masalah hutang bank tersebut. Mungkin dah nasib kami. Bukan kami minta pun benda ni nak terjadi.

Kalau korang ada pengalaman jadi penjamin loan ni, sharelah kat sini . Mana tahu ada idea untuk saya dapat selesaikan masalah yang membelenggu . Saya pun berharap dapat contact balik kawan baik saya ni.

-Penjamin baik hati-

DiCemuh Dan DiPulau Keluarga Kerana Anak Lelaki Jadi Surirumah

2 May 2017



Mungkin ada antara pembaca yang pernah menghadapi situasi seperti Fazil(bukan nama sebenar), yang diceritakan dalam kisah dibawah. Apa pun admin sangat kagum dengan beliau , kerana memang jarang dengar suami menjadi surirumah dan isteri bekerja mencari nafkah keluarga. Apapun mari kita berlapang dada dan memandangnya secara positif. Mungkin ada perkara yang kita tak tahu mengapa mereka ambil keputusan sedemikian. Semoga Fazil dan sekeluarga banyakkan bersabar  dan dipermudahkan urusan dalam memujuk ibu dan keluarganya untuk terima keputusan beliau.

-Admin-

Kredit : UtusanMalaysia

Dipulau Ibu Kerana Jadi Suri Rumah

Saya berusia awal 30-an, berkahwin dengan seorang pegawai di sebuah syarikat swasta yang sangat sibuk dan berjawatan tinggi. Namanya, Shira (bukan nama sebenar). Kami dikurniakan tiga orang anak, seorang perempuan dan dua lelaki berusia antara dua hingga lapan tahun. Sebelum bernikah dengan Shira, saya bekerja di sebuah syarikat penerbitan selama 10 tahun dengan gaji yang tidak seberapa dan cukup-cukup makan. Alhamdulillah, saya ditemukan jodoh dengan seorang wanita yang ada kedudukan, berpelajaran dan berjawatan tinggi.

Perkahwinan kami merubah keadaan. Saya tidak lagi susah seperti dahulu. Makan minum dan perbelanjaan saya mencukupi setelah hidup bersama Shira. Dia menjaga saya dengan baik dan memberi perhatian 100 peratus terhadap saya. Sikapnya itu menjadikan saya semakin sayang kepadanya. Apabila Shira mengandungkan anak sulung kami, dia meminta saya berhenti kerja dan menjaga rumah tangga kami. Dia memberi saya gaji lebih daripada apa yang saya peroleh di tempat kerja saya. Demi rumah tangga dan anak yang bakal lahir, saya setuju dan yakin keputusan saya berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa adalah paling tepat. Lagipun gaji saya tidak seberapa berbanding dengan gaji Shira. Saya yakin dengan ganjaran yang dia janji akan berikan kepada saya sudah cukup untuk saya berbelanja. Saya juga yakin yang kami akan bahagia dengan cara kami.

Perancangan kami berjalan lancar. Shira mengotakan janjinya walaupun saya terpaksa buat semua kerja dalam rumah, memasak dan menjaga anak dan ke pasar membeli keperluan dapur. Saya bangun awal setiap hari untuk menyediakan sarapan Shira. Setelah dia ke pejabat, saya meneruskan tugas saya di rumah seperti isteri-isteri lain. Bezanya saya seorang suami. Tapi saya gembira dengan kehidupan ini. Shira tidak pernah membebankan saya dengan kerja rumah. Jika dia tidak bekerja dan tidak ada urusan di luar, pasti dia akan membantu saya di dapur, melakukan apa yang patut sambil melayan anak-anak kami. Dia seorang isteri yang sangat memahami walaupun di pejabat, dia ada ramai kakitangan. Di rumah, dia tetap menghormati saya sebagai suami. Tidak pernah dia menjerit atau memarahi saya. Sikapnya itu menyebabkan saya semakin sayang dan reda dengan jodoh kami. 

Di sebalik kebahagiaan yang saya nikmati bersama Shira, saya dipulau keluarga yang menyifatkan saya menjadi hamba isteri. Ibu bapa dan keluarga saya sangat marah apabila mendapat tahu saya berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga. Malah ibu saya kecewa dengan tindakan saya walaupun saya tidak pernah lupa mengirim wang kepadanya setiap bulan seperti mana sebelum ini. Wang yang saya hantar itu adalah duit gaji yang saya terima daripada Shira setiap bulan. Kata ibu, saya tidak ada maruah kerana membiarkan isteri mengatur hidup saya. Malah ibu tidak pernah datang ke rumah saya sejak saya berhenti kerja. Dia tidak sanggup melihat saya membuat semua kerja rumah. Membasuh berak kencing anak-anak kami ketika mereka masih kecil, memasak dan melipat kain.

Pernah ibu menangis bila melihat saya buat semua kerja rumah tetapi saya jelaskan kepadanya yang saya dengan ikhlas buat semua itu demi kebahagiaan rumah tangga saya, sedangkan kata ibu...,itu semua tanggungjawab isteri saya, Shira. Ibu sedih sebab Shira yang keluar mencari rezeki, sedangkan saya duduk di rumah mengambil alih tanggungjawabnya sebagai isteri. Biarpun saya telah jelaskan dengan baik kepada ibu, tetapi saya gagal menyakinkan ibu tentang niat baik saya. Akhirnya ibu merajuk dan tidak lagi mahu berkunjung ke rumah saya dan saya tidak lagi dapat bermanja dengan ibu. Jika saya sekeluarga balik ke rumah ibu, satu keluarga tidak melayan kami. Shira dan anak-anak tersinggung. Akhirnya, saya buat keputusan tidak balik ke rumah lagi.

Tapi saya tidak kesal dengan apa yang saya lalui sebab saya tahu, satu hari nanti ibu dan keluarga saya akan faham dan menerima kami semula. Setiap hari, saya berdoa dan tidak pernah putus asa. Shira juga sama seperti saya. Dia tidak kecil hati dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ini sebagai ujian Allah untuk kami. Pernah juga dia mencadangkan saya berniaga tetapi saya menolak kerana saya tahu saya tidak dapat melakukannya sebab tidak ada pengalaman bisnes. Saya selesa dengan apa yang saya buat sekarang. Tambahan pula Shira ada membeli kebun berhampiran bandar tempat tinggal kami. Hujung minggu, kami sekeluarga ke sana untuk berehat. Saya bercucuk tanam di situ untuk memenuhi masa lapang. Saya gembira kerana selain buat kerja rumah, saya ada tugas lain yang boleh menambah rezeki kami sekeluarga. Saya juga berharap satu hari nanti, keluarga saya akan membuka mata dengan kehidupan saya ini.

Walaupun sedih kerana keluarga tidak dapat menerima cara hidup saya yang luar biasa ini, saya yakin satu hari nanti, mereka akan menerima saya, Shira dan anak-anak kami. Saya akan tunggu saat itu tiba. Biarlah buat sementara ini, saya ikut keadaan. Lambat laun masanya akan tiba. Saya yakin dengan perancangan Allah. Saya harap saya boleh terus bersabar dengan apa yang berlaku. Di sebalik jiwa saya yang kacau ini, saya tidak pernah putus asa untuk memujuk ibu. Saya berdoa agar sekeras mana pun hati seorang ibu, satu hari dia akan lembut juga. Biarlah apa orang nak kata tentang rumah tangga saya, saya reda dengan segalanya. Saya bahagia dengan cara saya. Saya tahu pada masa ini, ramai suami yang tidak bekerja dan tinggal di rumah menjaga aak-anak dan mengurus rumah tangga.

Bukan jadi satu kesalahan pun dengan keadaan itu tetapi biasalah masyarakat kita, kepoh dan semua tidak manis di mata. Kalau kita sudah reda, orang lain peduli apa? Apa yang saya kongsi dengan anda adalah pengalaman saya. Tidak semua apa yang kita inginkan dapat kita peroleh. Ada yang dapat, ada yang tidak. Ada juga ketikanya Allah uji dengan ujian untuk melihat kesabaran kita seperti mana yang saya lalui. Saya harap saya akan mendapat kebahagiaan itu dalam masa terdekat. Itulah doa dan harapan saya
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sehingga Ke Tua, Tidak Disenangi Ibu Tiri

1 May 2017

BERCAKAP tentang ibu dan anak tiri, samalah seperti dialog popular arwah Ibrahim Pendek ‘‘mari kita lihat siapa yang kena!!’’, dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Itu cerita Hadzri dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon tentang pengalaman pahitnya beribu dan beradik tiri. Pengalaman pahit Sheryzahida minggu lalu membuat dia terkenang kisah lebih 35 tahun lalu. Walaupun umur saya kini 45 tahun tetapi kami senasib. Namun bukan semua ibu tiri jahat, malah ada ibu tiri yang didera anak-anak tiri. Dalam hal macam inilah jika anak-anak tiri cekap, ibu tiri yang terkena. Sebaliknya jika ibu tiri cekap, anak-anak tiri akan terkena dan hidup menderita. 

Dapat ibu tiri cekap" seperti saya adik beradik lalui, maka apa sahaja katanya akan benar di mata ayah. Kesusahan hidup bermula bila ibu diceraikan. Ketika itu saya baru berusia 5 tahun. Saya ada tiga orang kakak dan abang. ‘‘Oleh kerana ibu tak bekerja, maka dia terpaksa bawa kami ke rumah opah untuk dibesarkan. Waktu itu kami tak kisah ibu bercerai sebab kasihan ibu sering dimarah dan kena pukul. Kami suka ayah tak ada asalkan ibu tak terseksa. Tetapi kami tak tahu ada masalah lain lebih besar lagi. Kehadiran kami menambah beban hidup opah yang memang sedia susah. Opah menoreh getah, lepas itu ibu ambil alih untuk besarkan kami. Tetapi tak sampai dua tahun, ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Tinggallah kami dengan opah.

‘‘Cuba pembaca bayangkan nasib dan kehidupan kami ketika itu. Opah yang tua terpaksa menoreh getah untuk besarkan kami. Waktu itu kakak baru berusia 15 tahun, kakak kedua 13 tahun dan seorang abang berusia 10 tahun. ‘‘Apa yang menyedihkan kami, ayah tidak pernah ambil tahu tentang kehidupan kami adik beradik, walaupun jarak rumah ayah dengan rumah opah cuma enam kilometer saja. Ketika mula bersekolah, banyak benda yang tidak mampu opah sediakan. Saya dan abang pernah pinjam basikal kawan pergi jumpa ayah, harapan kami minta sedikit wang untuk beli buku dan pakaian sekolah, tetapi tak pernah berhasil. Ayah takut dengan isterinya, tak berani bersuara, tak seperti dengan ibu ayah suka tengking dan pukul.

‘‘Ketika itu ayah sudah ada anak baru, mula-mula seorang akhirnya bertambah empat. Sedihnya kami jarang dapat jumpa ayah. Kalau dapat jumpa pun, biasanya kami pulang tangan kosong. Ketika itu kami macam yatim piatu. ‘‘Kata opah dia tidak ada daya upaya membiayai persekolahan kami adik beradik. Untung kakak sulung dapat tamatkan pelajaran hingga tingkatan lima, sementara dua lagi kakak dan abang terpaksa berhenti sekolah, cari kerja. ‘‘Walaupun ayah-ayah saudara (anak-anak opah) ada hulurkan bantuan, hanya cukup untuk beli makanan sebab mereka pun bukan orang senang dan ada tanggungan, mereka bantu hingga kami dapat makan pun sudah cukup baik. Untuk belanja sekolah memang perit, sekolah jauh, nak naik bas perlukan duirt, mana nak cari.

‘‘Walaupun ayah kata dia tak ada duit, tetapi kami tanggungjawabnya. Susuh-susah hidup ayah mereka anak beranak boleh minum milo, sedangkan kami nak minum kopi manis pun susah, biasanya teh o kosong. Tunggu hingga ayah saudara hantar duit pada opah baru kami merasa kopi manis. ‘‘Pernah juga kami dapat duit dari ibu tiri seringgit dua, itu pun kadang-kadang. Agaknya dia suruh kami balik cepat kerana tak selesa tengok muka kami. Sebab kami kata nak tunggu sampai ayah balik. Tetapi apa yang boleh saya buat dengan duit sebanyak itu pada awal 80-an? Tambang bas ke rumah ayah pun sudah seringgit pergi balik.

‘‘Kakak kerja tak lama sebab kahwin dengan tentera. Tak lama lepas itu nenek meninggal dan saya terpaksa ikut kakak tinggal di rumahnya. Dua lagi kakak dan abang pun terpaksa berhenti sekolah, cari kerja untuk hidup. Dah nasib kami. ‘‘Boleh dikatakan saya bukan sahaja dibesarkan oleh kakak dan abang ipar, tetapi diberikan pelajaran hingga tingkatan lima. Agaknya kerana keikhlasan mereka tanggung saya anak yatim, kini hidup mereka cukup senang, suaminya dah berpangkat tinggi. ‘‘Bila kami adik-beradik nak kahwin, perkataan yang keluar dari mulut ibu tiri, biarlah mereka ada duit"...apa maksud cakapnya, pembaca fikirlah sendiri.

‘‘Setelah berkahwin dan ada anak, bila cuti atau hari raya, saya akan ke rumah ayah dan tinggal beberapa hari. Tujuannya hendak bermesra dengan ayah sebab ayah dah tua dekat 80 tahun. Tetapi anak-anak boleh bezakan layanan opah tiri. Kesimpulannya mereka sedar kehadiran mereka tidak disenangi. ‘‘Tidak mahu serabutkan fikiran, maka saya kurangkan balik kampung dan kalau balik pun untuk beberapa jam dan tak sanggup lagi bermalam di rumah ayah. ‘‘Saya cuba hubungi ayah, bercakap dengannya melalui telefon tapi biasanya tak dapat gara-gara ibu tiri. Alasannya telefon jauh, ayah tak boleh bergerak. Macam-macam lagi.

‘‘Moral ceritanya daripada pengalaman saya ini, ibu tiri tetap ibu tiri. Banyak kesan buruk pada anak-anak yang beribu tiri. Ada antara mereka jadi sangat sensitif, cepat kecil hati dan buruk sangka serta paling teruk jadi pendendam. ‘‘Kini setelah dewasa dan berkeluarga, saya amat menghargai sebuah keluarga bahagia. Saya berjanji akan memelihara dan menghargai keutuhan dan kebahagiaan keluarga supaya kekal abadi. ‘‘Hanya mereka yang senasib tahu betapa susah dan deritanya anak-anak yang beribu tiri. ‘‘Nasihat saya kepada ayah-ayah di luar sana, jika terpaksa berkahwin lagi kerana kematian isteri atau sebab-sebab lain, fikirkanlah nasib anak-anak terutama yang masih kecil.

Kepada anak-anak yang telah dewasa dan punya hidup sendiri, ditakdirkan ibu atau bapa telah meninggal dunia dan orang tua yang tinggal ingin berkahwin lagi, relakanlah. Sekurang-kurangnya ada yang membantu jika dia sakit pening dan jadi teman bersembang.’’ Itu cerita Hadzri tentang pengalaman beribu tiri.
Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Di Fitnah Saudara-Mara Di Laman Sosial

30 Apr 2017


Kepulangan Linda, 30, ke rumah nenek sebelah ibunya di sebuah perkampungan di utara Semenanjung bagi sambutan Syawal baru-baru ini, tidak semeriah sebagaimana diharapkan. Dia yang tidak mengetahui punca sebenar tindakan ramai dalam kalangan sepupu-sepupunya yang tidak mengindahkan malah dilihat seperti memulaukan dirinya amat tidak difahami. Dia yang balik beraya bersama keluarga, ibu dan ayahnya, sedikit berasa tersisih dengan layanan daripada sepupu-sepupu yang lain. “Keluarga nenek memang ramai. Ibu saya mempunyai 12 orang adik-beradik dan setiap keluarga mempunyai anak-anak yang ramai. Apabila sesekali balik berjumpa pasti meriah kerana setahun sekali bersua mesra apabila hari raya.

“Tetapi kepulangan saya baru-baru ini seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain yang jarak usia mereka tidak jauh beza dari saya,” jelas Linda ketika ditemui di majlis rumah terbuka baru-baru ini. Namun menurut Linda, bukan semua yang bersikap begitu, ada yang juga masih mesra dan saling bertegur sapa dan bertanyakan khabar apabila bersua di rumah nenek pada pagi Syawal. Linda yang kehairanan cuba mencari punca dan masalah sebenar apa yang menyebabkan sepupu-sepupu yang kebanyakannya perempuan enggan bercakap dengan dirinya, sedangkan sepatutnya, pada pagi raya seperti itu orang akan saling bersalaman bagi memohon ampun atas kekhilafan yang dilakukan.

Masih teringat di fikiran Linda bagaimana meriahnya dia dan sepupu-sepupu saling berlumba-lumba mencantikkan diri dengan memakai pakaian baru yang paling cantik di mata mereka. Selalunya, dia yang akan mendapat pujian daripada nenek dan datuknya kerana Linda memang dilahirkan dalam keluarga yang memiliki personaliti menawan. “Namun semua itu tidak pernah menjadi penghalang dan bagi saya kelebihan itu tidak pernah dijadikan ukuran kepada persahabatan saya dengan sepupu-sepupu lain,” katanya. Akhirnya, menurut Linda, tiga hari selepas balik ke kampung, apabila dia beraya ke rumah sepupunya yang paling muda, iaitu anak kepada ibu saudaranya paling bongsu, segalanya terbongkar. Itupun selepas Linda cuba mengorek kebenaran yang menjadikan dirinya seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain.

Setelah dikorek rahsia, barulah Linda mengetahui yang selama ini dia menjadi bahan cerita, kutukan dan sindiran beberapa sepupunya yang lain di dalam laman sosial seperti facebook, we chat dan whats app. “Aplikasi laman sosial seperti whats app menyediakan satu laman bagi perkumpulan atau group yang membolehkan mereka yang berada di dalam perkumpulan berkenaan boleh berbincang sesama mereka tanpa diketahui oleh insan luar yang tidak tersenarai dalam perkumpulan berkenaan. “Sepatutnya laman sosial seperti ini memberi banyak kebaikan kepada mereka yang berada di dalamnya seperti pengetahuan, mengeratkan perhubungan, memberi bantuan dan sebagainya, namun selalunya laman sosial seperti ini akan menjadi satu tempat untuk melepaskan geram, dendam, kutukan dan malahan fitnah kepada orang lain.

“Inilah yang terjadi kepada saya kerana saya sering menjadi fitnah kepada sepupu-sepupu lain dan saya sendiri tidak mengetahuinya kerana mereka mempunyai group whats app sendiri,” jelas Linda. Apa yang Linda tidak tahu sepanjang tahun lepas, Linda sentiasa menjadi bahan fitnah daripada tiga orang sepupu yang amat mencemburuinya selama ini. Bukan sahaja atas dasar kecantikan Linda, malah dia juga merupakan pegawai tertinggi di jabatan kerajaan, lulusan luar negara dan keluarganya kaya serta disenangi oleh datuk dan neneknya. Daripada risikan yang Linda lakukan, sepupunya yang muda itu telah menunjukkan laman sosial berkenaan dan pelbagai perbincangan yang telah mereka lakukan yang kebanyakannya memburuk-burukkan dirinya, yang semuanya berunsurkan fitnah.

Sepupunya yang paling muda dan yang paling baik dengannya itu mengakui hanya melihat sahaja lontaran perbincangan yang dimuat naik oleh sepupu-sepupu lain tetapi dia sendiri tidak masuk campur kerana mengetahui kebanyakannya adalah fitnah terhadap Linda. “Rasa marah, lucu, sedih dan sebagainya bercampur baur dalam perasaan apabila membaca perbincangan yang dilakukan dalam laman sosial berkenaan. Tetapi saya beranggapan, semua itu hanya satu perkara biasa yang dilontarkan oleh mereka yang tidak mengenali saya sepenuhnya. “Dari sekecil hingga sebesar ayat saya baca, satu perkara yang menyentuh hati ialah apabila mereka mengaitkan saya cantik tetapi dalam usia seperti itu masih belum mempunyai teman lelaki. Mereka bukannya tidak tahu jodoh dan ajal maut itu di tangan Tuhan. Siapalah kita yang menentukannya.

“Dari situ saya berasakan amatlah teruknya laman sosial ini sekiranya digunakan tanpa perkara yang jelas dan digunakan untuk memfitnah. Apa yang penting mereka berbincang di laman sosial mengenai diri mereka tetapi orang yang diperbincangkan itu tidak mengetahui apa-apa pun malah tidak mempunyai kuasa untuk membela diri. Apa-apa pun dalam hati, saya memaafkan mereka atas perbuatan yang dilakukan. “Mereka tidak tahu saya telah tahu apa yang mereka bincangkan mengenai diri saya, tetapi mulai dari hari itu saya mesti berhati-hati. Apa yang saya dapati, bukan hanya perihal saya yang mereka bincangkan, malah mereka juga akan turut membincangkan orang lain yang tidak disukai mereka di laman berkenaan,” katanya.

Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peritnya Seorang Penganggur

29 Apr 2017


Salam admin,

Terima kasih kerana menyediakan ruangan luahan sebegini. Saya seorang pemuda kini berusia 25 tahun. Anak nombor tiga dari 4 beradik. Satu-satunya anak lelaki harapan keluarga. Saya tamat pengajian dengan segulung ijazah dari universiti tempatan 3 tahun yang lepas. Jurusan yang saya ambil adalah jurusan yang sangat terpencil, mungkin disebabkan result spm saya tak berapa bagus, maka saya dimasukkan ke dalam jurusan ini, bukan jurusan yang saya minat. Tapi saya tak kisahlah, saya ambik juga jurusan ini memandangkan ibu saya sangat teringin melihat saya masuk ke universiti. Ibu saya seorang surirumah sejak kami kecil lagi. Ibulah yang banyak menguruskan kami adik-beradik sementara ayah sibuk bekerja sebagai askar. Kakak-kakak saya ada yang dah berkahwin jadi surirumah, sorang dah bekerja dan adik yang bongsu masih belajar di kolej. Ayah saya seorang pencen askar, namun ibu dan ayah berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam untuk menampung kehidupan mereka kerana wang pencen tak cukup. Kakak surirumah tak mampu bagi wang bulanan, kakak yang bekerja setakat RM300 sebulan dia hulurkan kerana gaji dia tak besar. Adik bongsu pula sedikit sebanyak perlukan wang tambahan selain duit pinjamam ptptn yang tak cukup tu.

Ayah pula, saya tak tahulah macam mana boleh berlaku hutang keliling pinggang. Masa ayah masih bekerja, ayah ada buat pinjaman peribadi dan juga pinjaman rumah. Belum lagi pinjaman kereta. Jadi ketiga-tiga loan ni perlu dibayar walaupun ayah dah pencen. Jadi wang pencen nak campur dengan duit yang kakak bagi tu, memang tak cukuplah nak menampung perbelanjaan rumah dan juga tambahan wang pengajian adik bongsu. Jujur hati saya sangat kesian dengan ibu ayah, patutnya bila dah masuk usia senja ni, mereka hanya berehat di rumah dan tumpukan kepada amal ibadat sahaja. Namun disebabkan tuntutan hutang yang banyak, mereka terpaksa bekerja walaupun dah tak ada daya dan kudrat.

Jadi dalam situasi begini, saya lah satu-satunya harapan diorang untuk meringankan bebanan mereka. Saya sendiri pun tak sabar nak tamatkan pengajian, sebab nak bekerja untuk tolong ibu ayah saya. Namun, saya tak tahulah kenapa saya selalu tak bernasib baik, dalam hal-hal pekerjaan ni. Sehingga sekarang, saya masih tidak mendapat sebarang pekerjaan dengan menggunakan segulung ijazah saya tu. Yang mana, saya begitu mengharapkan gaji bulanan yang sama level dengan ijazah. Harapan saya dengan gaji ijazah tu, dapatlah sedikit sebanyak tolong kedua ibu bapa saya. Saya memang berniat , sekiranya saya mendapat pekerjaan yang hebat gajinya, saya nak tolong bayar semua hutang-hutang ayah saya. Tapi sehingga kini pekerjaan yang saya angan-angankan tu tak sangkut satu pun. Dah berpuluh – puluh jawatan saya mohon dan temuduga yang saya hadir, namun tak ada yang berjaya pun. Saya tak tahulah mungkin saya tiada aura atau daya penarik kot. Saya sangat sedih dan juga terkilan.

Walaubagaimanapun, saya bukannya “penganggur terhormat”, seperti yang orang cakap – “duduk rumah goyang kaki je” . Atas rasa tanggungjawab, sambil-sambil saya memohon jawatan yang sesuai dengan ijazah saya tu, saya tak duduk berdiam diri. Saya mencuba pelbagai pekerjaan yang umum, walaupun gajinya lebih rendah. Tak apa, saya tak kisah pun, sekurang-kurangnya saya dapat sedikit wang untuk digunakan dan bagi sikit pada ibu ayah. Sepanjang 3 tahun menganggur, saya pernah bekerja di stesen minyak, pembantu restoran sebagai pembuat air, operator kilang, berniaga jual goreng pisang di tepi jalan, store keeper di shop mart, pembantu jualan di Aeon, driver lori dan banyak lagi. Semuanya kerja umum yang mana sedia maklum gajinya sebulan tak adalah banyak mana. Setakat RM1300 sebulan. Dan saya pun hanya mampu hulur kat ibu ayah dalam RM400 sahaja, lebih kurang sama jumlah macam kakak saya beri , itu pun lepas dah tolak keperluan-keperluan lain. Semua kerja-kerja di atas tu saya terpaksa bertukar-tukar untuk dapatkan gaji yang lebih tinggi. Walaupun ada perbezaan RM100 pun saya sanggup berhenti dan ambil kerja tu.

Apa pun saya bersyukur, Ibu dan ayah tak pernah beri tekanan dan memaksa saya. Mereka sangat faham situasi saya yang dah berusaha untuk dapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah saya. Mungkin belum rezeki saya . Mungkin ada hikmah di sebalik semua kesulitan. Saya bersyukur walaupun sukar untuk mendapat perkerjaan yang saya idamkan, tapi mudah mendapat pekerjaan lain walaupun lebih kecil gajinya. Cuma yang menjadi tekanan buat saya ialah mendengar segala tohmahan dan perlian orang sekeliling. Saudara-mara, jiran-jiran rumah selalu berborak dengan ibu ayah berkaitan dengan diri saya. Segala jenis umpatan saya dah dengar. Antara yang saya sangat sedih ialah bila mereka cakap pada ibu , sia-sia semua duit dan masa yang ibu ayah bagi untuk saya belajar sampai univesiti, tapi sampai sekarang tak dapat balas budi ibu bapa. Ada yang cakap, saya anak lelaki yang tak bertuah kerana susah mendapat bekerja. Ada yang cakap saya tak berusaha sungguh-sungguh cari kerja, nak enjoy je. Ada yang cakap saya cuba ambil kesempatan sebagai anak lelaki kesayangan untuk tak mahu bekerja, nak duduk rumah rileks je. Semua umpatan ni memang pedih nak dengar, tapi ibu ayah tetap tenang dan tak ambil pusing pun, sebab mereka je yang faham dan tahu susah payah saya.  Mereka sentiasa beri sokongan kepada saya tanpa berbelah-bahagi.

Saya berterima kasih pada ibu ayah kerana sentiasa memberi sokongan. Dan kalau ada pembaca –pembaca diluar sana sudi beri peluang kepada saya dengan tawaran pekerjaan yang sesuai , saya sangat-sangat berterima kasih di atas bantuan. Sebenarnya saya juga berasa malu, dan saya tak mahu dilabel sebagai anak lelaki yang gagal. Sebab tu sampai sekarang pun, saya tak ada terfikir dan tak mahu fikir pun pasal teman wanita dan berkahwin. Sedangkan keluarga sendiri saya tak mampu beri nafkah, inikan lagi nak menanggung urusan-urusan perkahwinan. Doakan saya dipermudahkan segala urusan ya!. Terima kasih.

-Peganggur budiman-


Nasib Si Ibu Tiri Moden

28 Apr 2017



Hmmm...dah nasib saya jadi ibu tiri. Apalah salah dan dosa saya, sehingga saya dilayan sebegini. Saya Rin, saya berkahwin dengan duda kematian isteri. Masa tu saya berumur 38 tahun, suami 45 tahun. Saya kahwin lewat. Kiranya masa berjumpa suami saya berstatus duda, saya terima dengan redha. Umur pun dah lanjut. Suami saya ada sorang anak perempuan yang sedang meningkat remaja . Kiranya saya ni jadi ibu tirilah kan. Selalunya kita dengar kat berita media, anak-anak didera ibu tiri. Status ibu tiri tu sendiri pun dah dianggap kejam dan jahat, macam dalam drama-drama tv. 

Tapi kes saya ni terbalik pulak. Saya yang didera oleh anak tiri saya adalah. Tapi bukan dera melibatkan fizikal. Cuma melibatkan penderaan emosi dan perasaan. Pada awal perkahwinan kami pun, anak tiri saya dah tak bersetuju dengan ayahnya untuk menjadikan saya isteri. Saya cuba mendekatkan diri saya dengan anak tiri, cuba mengambil hati dan cuba berkawan, namun usaha saya sia-sia, malah dibalas dengan muka yang masam mencuka dan mengeluh. Kalau bercakap dengan saya pun, dengan suara yang menengking dan meninggi, langsung tidak menghormati saya. Saya bersabar dan memujuk hati mungkin dia perlukan lebih masa untuk terima saya sebagai mak dia. 

Ada satu hari , saya dan suami sedang makan. Jadi saya jemputlah anak makan join sekali. Tapi dia hanya menjeling dan buat muka menyampah dengan saya. Saya biarkan aje. Biarkan hatinya cool dan tenang dahulu. Suami perasan anak kesayangannya memperlakukan saya sedemikian. Jadi sebagai ayah, die menegur sikap anak die supaya lebih menghormati saya sebagai ibu tiri. Namun dia buat-buat merajuk dan merungut dengan ayahnya. Bukan setakat merajuk, malah membaling sudu yang dipegangnya ke dalam pinggan. Bagi saya itu dah dikira biadab dan tak menghormati orang tua. Saya pujuk suami supaya biarkan hati anaknya sejuk dulu. Mungkin marahnya tengah meluap-luap selepas kena tegur di hadapan saya.

Hampir 2 tahun kami berkahwin, kami dikurniakan anak lelaki. Memandangkan suami tak ada anak lelaki, dan dah lama tak ada anak kecil, jadi suami sangat teruja dengan kehadiran anak kami. Setiap hari suami sentiasa melayan anak lelaki kami. Namun sejak kami ada anak ni, anak tiri saya semakin memberontak . Dia mula keluar malam dan kalau balik rumah pun terus masuk bilik tak mahu join kami berbual atau makan. Suami pernah ajak berbincang dengan anaknya. Saya ada terdengar di luar bilik, anak tiri menangis-nangis dan menjerit-jerit di depan ayahnya mengatakan bahawa dia tidak suka kehadiran saya di sisi ayahnya. Anak tiri beritahu ayahnya, sejak saya kahwin dengan suami, perhatian ayahnya semakin kurang terhadap die. Kalau dulu 24 jam ayahnya sentiasa berdamping dengan dia. 

Tak macam sekarang, sejak kami  berkahwin. Lagi-lagi bila dah ada adik baru. Perhatian suami terhadap dia dah terbahagi. Semakin kecewalah dia dengan ayahnya. Setiap kali kami bertembung, kalau masa tu saya bersama suami, kelihatan hati dia sangat membenci saya. Kami sentiasa memujuk dia, walau dengan apa cara sekalipun. Saya sendiri cuba membaca di internet, buku malah berjumpa kawan-kawan consultant untuk belajar cara bagaimana nak ambil perhatian anak remaja. Bagaimana nak memujuk hati dia. Namun sehingga sekarang kehadiran saya tetap tidak diterima. Malah, anak tiri ada beritahu suami kalau ayahnya sayangkan dia, anak tiri minta suami menceraikan saya dan tak mahu saya dan anak lelaki saya tinggal di rumah tu lagi. Dia tak nak berkongsi kasih sayang dengan kami.

Malangkah nasib saya ? Dia tak pernah fikir pun hati dan perasaan saya. Walaupun saya turut berkecil hati, terluka dan tersinggung dengan sikapnya, namun saya tak kisah sebab saya percaya hati dan perasaan seorang remaja mungkin lebih sensitif. Jadi saya hanya ada pilihan untuk terus bersabar dan bersabar dan juga terus berusaha memujuk hati anak tiri saya supaya menerima kami. 

Saya mahukan keluarga yang bahagia tanpa ada rasa kurang kasih sayang, Saya sendiri dah menganggap dia dah macam anak saya sendiri. Tolonglah pembaca , kalau ada cara-cara bagaimana lagi yang perlu saya usahakan untuk mengambil hati anak tiri saya.

-Ibu tiri moden-


Tips Dan Cara Atasi Kemurungan/Depression

27 Apr 2017


KEMURUNGAN –KENALI KEMURUNGAN DAN TIPS MENGATASI

Kemurungan (depression) adalah salah satu penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Ia melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, putus atau  putus harapan, hilang semangat untuk meneruskan kehidupan  yang bermakna dan gembira. Kehidupan dirasakan sunyi dan kosong. Kemurungan yang berlarutan boleh memberi implikasi yang buruk kepada individu. Selain dari terganggu  emosi, individu berkaitan juga akan terganggu fungsi fizikal dan interaksi sosialnya. Rawatan perubatan dan bantuan psikoterapi  dan kaunseling perlu diberi seawal mungkin kepada  mereka yang terlibat

Punca Kemurungan

- Mengalami  peristiwa trauma yang tidak dapat diterima oleh pesakit  Antaranya
  • kehilangan orang yang penting dalam kehidupan secara mendadak (meninggal dunia atau berpisah) dan pesakit tidak bersedia untuk menghadapi keadaan tersebut. Kebiasaannya mereka adalah orang yang amat dikasihi, disayangi atau dicintai
  • kehilangan maruah diri  tanpa kerelaan hati (mangsa perkosaan / sumbang mahram)

- Mengalami penyakit berat dan berpanjangan yang menyebabkan pesakit hilang keupayaan diri. Fungsi diri terbatas dan tidak boleh menjalankan peranan kehidupan yang sewajarnya (peranan sebagai isteri/suami/ahli keluarga)

- Mengalami masalah berat yang tidak mampu diatasi dan ia menjadi bebanan kehidupan (contoh : kegagalan dalam kerjaya/ kegagalan dalam rumahtangga)

- Bagi sebilangan wanita,  kedatangan haid, awal kehamilan, selepas melahirkan, dan  pre-monopous juga boleh menyebabkan kemurungan berlaku. Walaupun tidak serius tetapi jika berlaku sesuatu yang mengganggu emosi berlarutan,  individu ini lebih terdedah  kepada kemurungan.

Tanda-tanda Kemurungan
  • Kesedihan, kepiluan, kesepian (loneliness), jiwa kosong (emptiness) yang berpanjangan
  • Gangguan tidur, sukar tidur (imsonia) atau . berlebihan tidur
  • Cepat letih. lesu dan tidak bermaya /bertenaga
  • Gangguan selera makan, hilang selera atau makan berlebihan ( tanpa kenikmatan)
  • Amat sensitif , pendiam  dan suka mengasingkan diri
  • Perasaan pesimistik  Hilang semangat, putus asa/putus harapan
  • Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokkan
  • Rasa bersalah atau menyalahkan diri atas peristiwa buruk yang belaku.
  • "Rasa hidup tidak bermakna / lebih baik mati" (ini tidak semestinya bermaksud keinginan untuk bunuh diri, tetapi suka jika kematian berlaku pada diri. Ini menyebabkan pesakit tidak cenderung untuk mengurus diri dan dan membiarkan kesihatan dan keselamatan diri terganggu.   Pemikiran dan tindakan percubaan bunuh diri  boleh juga berlaku pada pesakit jika kemurungan berlarutan tanpa bantuan atau rawatan.
  • Rasa tidak tenteram dan mudah marah
  • Kurang daya tumpuan, sukar membuat keputusan
  • Terlalu bergantung kepada ubat-ubatan, alcohol atau dadah.
  • Simptom-simtom fizikal seperti sakit kepala, sakit belakang, sakit sendi dan gangguan penghazaman, loya serta semput) 

Tips Untuk Mengatasi
  • Dapatkan bantuan segera apabila sedar berlaku  salah satu simpton di atas. Jangan tunggu sehingga semua  simpton tersebut berlaku.  Keadaan mungkin akan lebih sukar untuk dipulihkan. Bertemu dengan pakar perubatan, psikoterapis , kaunselor atau orang-orang yang berkebolehan membantu
  • Sentiasa hargai, sayangi, dan jaga diri sendiri. Bantulah diri sebaik mungkin dengan  mendekatkan diri  kepada Allah, pasrahkan diri dan redha  dengan ketentuanNya.  Keredhaan dan keikhlasan itu adalah penawar. Allah akan memberi yang terbaik, selagi kita memohon kepadaNya. Akan ada hikmah disebalik sesuatu yang berlaku. Yakinkan diri kita.
  • Elakkan bersendirian. Berhubunglah dengan rakan taulan dan saudara-mara yang boleh kita harapkan.Jika harus bersendiri banyakkan ibadat dan mengingati Allah dengan berzikir
  • Jika terasa ingin menagis, menangislah untuk menghilangkan  sebak di dada. Menangis adalah fitrah manusia.  Apa yang perlu dielakkan adalah menangis dengan ratapan. Ratapan akan didengar  oleh perasaan kita. Ia boleh melemahkan perasaan.
  • Kuatkan semangat dengan mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kita kepada orang lain. Pada keluarga, rakan taulan, rakan sekerja, dan orang –orang lain yang memerlukan kita. Jika kita  terperangkap dengan kemurungan, ia akan memberi kesan kepada mereka.
  • Membaca buku-buku yang boleh membina semangat dan motivasi diri.
  • Jangan menyalahkan diri dan menghukum diri kerana kelemahan yang berlaku.
  • Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membuatkan anda rasa selesa dan tenang.
  • Tingkatkan kesihatan diri dengan mengambil makanan yang sihat dan teratur.
  • BELAJAR  SEDIKIT DEMI SEDIKIT UNTUK MENERIMA KEHILANGAN YANG BERLAKU DAN MULAKAN PENGHIDUPAN BARU.  YANG PERGI HANYALAH JASAD, TETAPI , CINTA DAN KASIH SAYANGNYA TETAP ADA DIHATI KITA, TEGUHKAN SEMANGAT DENGAN TERSEBUT. 
  • JIKA HILANG SESUATU YANG BERHARGA PADA DIRI, BINALAH YANG BARU, KERANA SEMUA ITU TERLETAK PADA DIRI SENDIRI.  ORANG YANG PALING PENTING UNTUK BERUSAHA MENGEMBALIKAN KEBAHAGIAN DAN KEHARMONIAN HIDUP KITA ADALAH KITA SENDIRI.

Kredit : WanitaHariIni
Oleh : HAJAH KAMALIAH ABU : Ketua Pegawai Psikologi , UiTM  ; 28 September 2011

Apa Itu Penyakit Jiwa "Social Climber"?

26 Apr 2017


Trend sekarang, ramai yang berpura-pura menjadi orang kaya, tayang barang-barang yang nampak gah dan mewah di media sosial. Namun disebalik semuanya, kehidupan mereka dari kalangan ini biasa-biasa sahaja. Tujuan utama adalah untuk meraih perhatian semua yang berada di media sosial agar statusnya nampak glamour dan hebat. Ini adalah salah satu penyakit 'kejiwaaan' di alaf baru. Sekiranya tidak ditangani dengan bijak, perkara ini akan terus melarat dan mereka ini akan terus hanyut dibuai khayalan dan imaginasi mereka sendiri, tanpa mereka sedar , mereka berpijak di alam realiti. Semuanya semata-mata ingin mendapatkan kepuasan apabila perkara yang ditayangkan mendapat pujian dan perhatian orang ramai. Artikel yang sangat bagus dikongsikan dari Mingguan Wanita. Mari kita cuba audit diri kita, adakah kita termasuk dalam golongan ini. Renung-renungkan.

-Admin-

Kredit : MingguanWanita

Oleh:Nadia Mohamad

Anda ada kawan yang sukanya hobi pamer barang-barang berharganya di media sosial? Saat beli handbag baru dia tunjuk, Hp baru terus tunjuk, sepatu baru tunjuk lagi, atau saat berada di suatu tempat mewah dia tunjuk juga. Makan di restoran mahal tunjuk, tengok wayang terbaru tunjuk, malah sampai ke toilet Mall pun dia tunjuk dengan memasukkan foto di depan cermin.

Lebih parahnya lagi, keadaan yang realitinya tidaklah sehebat dengan apa yang dia tunjuk di media sosial. Jika di media sosial ia mempamerkan barang mewah dan kehidupan glamour, namun kenyataannya dia bukanlah seorang yang kaya. Bahkan cenderung dari golongan menengah ke bawah.

Apa itu penyakit jiwa social climber?

Untuk golongan ini biasanya disebut dengan istilah Social Climber. Social climber pada dasarnya merupakan perilaku seseorang yang dilakukan untung 'menaikkan' status sosialnya. Ia sanggup buat macam-macam agar dapat tarik perhatian status sosial lebih tinggi dari status yang sebenarnya.

Biasanya orang yang mengidap perilaku social climber gaya hidupnya cenderung glamour dan selalu ingin terlihat mewah. Sebab dengan gaya hidup seperti itu, ia ingin menyatakan jika dia termasuk orang kaya, meskipun kondisi yang sebenarnya tidak seperti yang ia pamerkan di media sosial.

Sebenarnya tak ada yang salah jika ingin dianggap golongan seorang kaya, namun bagi para social climber, dia sanggup buat macam-macam demi tarik perhatian. Para social climber ingin nampak kaya dengan tidak melalui sebuah proses terlebih dahulu untuk benar-benar menjadi orang kaya. Malah boleh melakukan apa saja agar mendapatkan kelas sosial.

Biasanya golongan social climber akan merasa tidak senang duduk, tidak percaya diri, dan jadi takut tidak diterima di kalangannya apabila tidak tampil glamour. Akibatnya seboleh mungkin dengan berbagai cara ia lakukan agar tampil mewah.

Bahaya ke penyakit social climber?

Tentu! Social climber merupakan benih penyakit kejiwaan yang sangat berbahaya. Sekali lagi nak tegaskan, para social climber boleh melakukan apa saja agar hidupnya nampak memiliki status sosial yang tinggi dengan hal yang praktis dan tidak melalui proses.

Dari point tersebutlah para penderita social climber boleh melakukan hal-hal negatif sekalipun agar ia boleh tampil mewah. Misalnya, pegawai negeri golongan I mengimpikan hidup dengan rumah megah, keretamewah, barang-barang keseharian yang berharga puluhan sampai ratusan juta, tentu gaji dari menjadi PNS tidak boleh mencukupi, dan jalan pintasnya kemungkinan membuat pinjaman melampau dan mengambil hak orang!

Akibat para social climber yang nak nampak kaya namun tidak mahu melalui proses, mereka sanggup buat menipu untuk hidup mewah. Haa... ini yang jadi kes sanggup mencuri, berhutang dan akhirnya JERAT diri sendiri!

Nak jadi orang kaya memang tidak ada salahnya, namun harus melalui proses dan perjuangan (BERUSAHA) terlebih dahulu. Lagi pun andai kata wang berlimpah, bukankah dengan hidup sederhana akan lebih tenang?

Tampillah apa adanya, tidak perlu membohongi diri sendiri. Syukuri apa yang kamu miliki saat ini, sebab dengan bersyukur kita akan merasa cukup dan puas dengan apa yang ada di hidupmu selama ini.

Pakcik Dan Makcik Buang Nenek Yang Uzur

25 Apr 2017

Terima kasih admin kerana memaparkan kisah saya. Dan saya berharap kisah saya akan menjadi tauladan kepada pembaca di luar sana juga.

Ibu saya seorang ibu tunggal, selepas kematian ayah. Ibu merupakan anak bongsu daripada 3 beradik. Ibu ada sorang abang dan sorang kakak. Kiranya mereka ini adalah pakcik dan makcik sayalah. Masing – masing dah berkahwin, ada anak dan kehidupan sendiri. Saya adalah satu-satunya anak ibu berusia 20 tahun. Sepupu-sepupu saya lebih kurang sebaya umur saya juga. Kami masih ada sorang nenek (sebelah ibu). Namun keadaan nenek tersangat uzur, yang mana memerlukan penjagaan rapi dan perhatian daripada penjaga atau anak-anak. Yang menjadi masalah besar sekarang ialah, pakcik dan makcik saya enggan untuk menjaga nenek saya yang uzur tu. Mereka bulat-bulat menyerahkan nenek kepada ibu saya untuk dijaga, tanpa ada sebarang persetujuan.

Sebelum ini mereka ada membuat perbincangan, namun diakhirnya mereka mahu ibu saya yang menjaga nenek. Alasannya sebab ibu adalah ibu tunggal dan tiada komitmen terhadap keluarga. Sedangkan mereka katanya terlalu banyak komitmen kerjaya, rumahtangga dan tidak ada masa yang cukup untuk menjaga nenek. Saya sangat kesal, bila mereka memberi alasan mcm tu sedangkan, mereka juga tahu ibu saya juga bekerja untuk mencari nafkah untuk menyara kehidupan kami berdua. Ibu berniaga sendiri, menjual nasi lemak untuk menampung perbelanjaan rumah dan juga pengajian saya yang akan tamat lagi 2 tahun. Tambahan pula , ibu juga sudah tiada kudrat akibat penyakit jantung yang dihidapinya.

Ibu tidak kisah untuk menjaga nenek, yang tidak disukainya ialah apabila makcik dan pakcik saya langsung taknak ambil tahu akan hal nenek. Hanya menjenguk setahun sekali. Pakai, makan , kesihatan nenek langsung tak tanya khabar. Nak hulurkan duit untuk ringankan beban ibu , memang jauh sekalilah. Itu yang membuatkan saya rasa sangat geram. Seolah-olah mereka dah buang terus nenek dari kehidupan mereka. Mudah sangat mereka nak melepaskan tangan, sedangkan itulah emak yang melahirkan dan menjaga mereka sejak kecil. Saya rasa sangat malu dan kecewa atas perbuatan mereka.

Saya pun bukannya mengharapkan sangat pakcik dan makcik menjaga nenek sampai bila-bila pun, cukuplah dengan bergilir-gilir menjaganya. Sekurang-kurangnya ibu saya ada juga ruang masa untuk berehat memandangkan sakit jantungnya menyebabkan ibu tak boleh terlalu terbeban membuat kerja. Kadangkala saya tak sanggup tengok ibu kepenatan, saya ponteng kelas untuk membantu ibu menjual nasi lemak dan menjaga nenek di rumah. Saya pernah usulkan pada ibu, untuk berhenti belajar supaya saya dapat bekerja dan menjaga mereka berdua, tapi ibu tak setuju. Ibu minta saya tamatkan pengajian yang masih berbaki lagi 2 tahun.

Apabila saya cuba bangkitkan perkara ini, saya dikatakan tidak menghormati orang tua dan cuba nak menuduh mereka culas akan tanggungjawab mereka, padahal itu yang sebenarnya yang sedang terjadi. Mereka seperti alpa dan lupa akan tanggungjawab sebagai anak. Mereka dah buang jauh emak mereka sendiri. Mereka seperti anak tidak mengenang budi. Mereka menuduh ibu saya yang mengajar saya untuk bersikap sedemikian, sedangkan itu adalah perasaan hati saya yang memang saya nak luahkan selama ini. Saya berterus-terang kepada mereka akan situasi ibu sekarang. Tapi apa yang saya jelaskan dipandang sebelah mata je. Kata mereka, kalau dah tak mampu nak menjaga nenek, hantar je ke rumah kebajikan atau rumah orang-orang tua. Bila mereka dah cakap macam tu, nampak sangatlah mereka memang tak nak jaga nenek.

Macam mana lagi saya nak buat, untuk sedarkan mereka di atas perbuatan mereka yang sangat memalukan dan tidak bertanggungjawab, pada masa yang sama saya masih menghormati mereka sebagai pakcik dan makcik saya. Pembaca di luar sana , mungkin ada pendapat yang boleh dikongsikan.


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.