SLIDER

Ayah DiGoda Jiran, Selepas Kematian Ibu

10 Jun 2017


Saya anak sulung daripada tiga orang adik beradik, dua perempuan dan seorang lelaki. Dua adik saya masih belajar. Ibu saya telah kembali ke rahmatullah setahun lalu akibat kanser rahim. Walaupun sedih dengan pemergiannya, saya terpaksa reda dan memikul tanggungjawab untuk menjaga adik-adik yang berusia 15 dan 19 tahun.

Saya sudah bekerja, jadi tidak ada masalah untuk uruskan rumah dan perbelanjaan adik-adik walaupun ayah memberi wang yang mencukupi untuk kami tiga beradik. Ayah saya seorang pegawai di sebuah bank berusia lewat 50-an, seorang yang kacak dan sentiasa menjaga penampilan. Dalam usia begitu, ayah masih ada peminat baik di tempat kerja atau di luar. 

Kami tiga beradik menerima kematian ibu dengan lapang dada dan berusaha untuk tidak menyusahkan ayah. Saya tahu ayah rindukan ibu tetapi dia tidak menunjukkannya kepada kami kerana mungkin tidak mahu kami sedih. Nenek sebelah ibu dan ayah telah berusaha untuk mencari jodoh untuk ayah. Tetapi ayah menolak dengan baik dan mengatakan ibu baru pergi. Nenek sangat berharap ayah kahwin lain supaya makan minum ayah terjaga walaupun saya ada.

Kata nenek, lebih senang ada isteri daripada bergantung kepada saya yang satu hari nanti akan berkahwin dan meninggalkan ayah dan adik-adik walaupun setakat ini, saya belum nampak ayah ada cita-cita ke arah itu. Saya tidak ada masalah jika ayah ingin berkahwin lagi tetapi biarlah dengan wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah serta serasi dengan kami tiga beradik. Itu yang penting, bukan berkahwin dengan ayah kerana ayah semata- mata.

Apa yang menjadi masalah sekarang, ayah melayan seorang wanita yang juga jiran kami di sebelah rumah. Sejak ibu meninggal, wanita ini yang saya panggil Cik Ina (bukan nama sebenar) semakin berani menegur ayah secara terbuka. Malah dia juga bersusah payah memasak lauk dan kuih-muih untuk kami anak beranak pada hujung minggu walaupun kami tak minta. Saya mula nampak perubahannya apabila dia selalu bertanyakan ayah kepada adik bongsu saya.

Saya mula bimbang, takut kalau-kalau dia masukkan apa-apa yang tidak baik dalam makanan yang diberinya kepada kami, terutama ayah tetapi saya tidak berani hendak beritahu ayah. Saya tidak mahu mempercayai perkara itu kerana tidak mahu dianggap syirik tetapi tingkah laku ayah semakin hari semakin berubah. Dia juga melayan Cik Ina walaupun sebelum ini ayah jarang berbual dengan perempuan lain terutama semasa ibu masih ada.

Kalau dahulu, ayah jarang berada di luar rumah, sekarang ayah banyak menghabiskan masanya membasuh kereta dan membersihkan halaman. Saya juga pelik dengan perubahan ayah. “Setiap kali ayah keluar, Cik Ina pun keluar. Kadang-kadang dia buat-buat nak angkat pakaian di jemuran, ada ketikanya nak siram pokok bunga dan macam-macam lagi yang dia buat semata-mata untuk menarik perhatian ayah.

Ayah pula kalau kami ada, buat tak pandang Cik Ina tetapi kalau kami terlepas pandang, bukan main mesra lagi mereka. Saya perasan akan tingkah laku mereka berdua dan mengagak tentu ada rahsia di sebaliknya. Malam hari pula, ayah sudah mula bergayut di telefon, kalau saya tanya katanya klien. Kalau tanya lagi, ayah cepat-cepat masuk ke bilik dan tutup pintu. Tingkah laku ayah menyebabkan saya semakin percaya yang ayah dan Cik Ina ada hubungan.

Saya bukan tidak suka kepada Cik Ina tetapi saya rasa ayah tidak sesuai dengan dia sebab dia bukan wanita yang sesuai untuk ayah, lagipun kami tidak serasi dengannya. Pada saya, Cik Ina tidak layak menggantikan tempat ibu. “Saya pernah bercerita dengan nenek sebelah ayah tentang perkara ini dan nenek juga tidak setuju. Kata nenek, dia akan carikan calon isteri untuk ayah jika itu yang ayah mahukan. Tetapi ayah tidak boleh cari sendiri sebab nenek hanya akan cari wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah dan kami tiga beradik.

Sekali lagi saya tegaskan, saya bukan tidak suka dengan Cik Ina tetapi pada saya, dia bukan wanita yang layak dijadikan isteri oleh seorang duda beranak tiga seperti ayah sebab kami sudah dewasa. Cara penampilan, tutur kata dan pakaian Cik Ina juga saya tidak suka. Ayah lebih layak mendapatkan seorang wanita yang tertib, lemah lembut dan berpakaian sopan seperti arwah ibu. Dan saya tidak sanggup melihat ayah hidup di samping seorang wanita yang langsung tidak ada ciri-ciri arwah ibu kami.

Saya telah memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan saya akan berterus terang dengan ayah tentang perkara ini. Saya tidak akan membantah jika ayah ingin berkahwin lagi tetapi bukan dengan Cik Ina. Sekarang ini, saya semakin meluat dengan gelagat Cik Ina yang semakin melampau. Dia juga sudah berani datang ke rumah jika ayah ada. Alasannya nak hantar kuih la, lauk la, pada hal saya tahu tujuannya hanya untuk berjumpa dan bersembang dengan ayah.

Adik-adik saya pula akan lari masuk ke bilik apabila Cik Ina datang, tinggal saya melayan dia. Takkan saya nak tinggalkan dia dengan ayah pula di ruang tamu, tentu tidak maniskan? Saya jadi buntu dan tidak tahu bagaimana hendak mengatasi ma­salah ini. Tapi saya telah nekad akan berterus terang dengan ayah mengenai perkara ini. Biar ayah tahu yang kami tidak suka ayah berbaik-baik dengan Cik Ina.

Saya sangat berharap ayah faham akan situasi ini dan tidak menyifatkan saya cuba mengajarnya. Sebagai anak sulung, saya juga mahu tengok ayah bahagia setelah ketiadaan ibu. Tetapi saya juga berhak memilih siapa wanita yang bakal menggantikan tempat ibu supaya ayah terus bahagia.

Saya akan berbincang mengenai perkara ini dengan kedua-dua nenek dan semoga ada jalan penyelesaiannya nanti. Biarlah nenek pujuk ayah, asalkan ayah tidak tersilap pilih. Saya berdoa supaya ayah ditemukan jodoh dengan wanita yang baik dan dapat menjaga ayah dan kami dengan kasih sayang dan perhatian tidak berbelah bahagi. Bagaimanapun, saya juga percaya pada Qada dan Qadar, kita hanya merancang, penentunya te­tap di tangan Allah. Semoga Allah pelihara saya dan keluarga serta temukan jodoh yang baik-baik untuk ayah.

Kredit : UtusanMalaysia


 

Sihir Dan Santau ! Ketahui 9 Amalan Hindar Sihir




Kalau cakap pasal berniaga, orang kita tak lari dari Sihir dan lain2 ni, ada yg hanya agak2 je.. Klu risau ttg sihir ni, blh amalkan 9 Amalan Hindar Sihir Dan Gangguan Syaitan.. InshaAllah mujarab.

1. Makan Tamar ‘Ajwah dan Tamar Madinah.
Amalkan memakan tamar (kurma) ‘ajwah dan jika boleh makan bersama tamar madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendaptkan kedia-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

“Barang siapa yang memakan tujuh biji tamar’ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu”. (Hadis Riwayat Al Bukhari)

2. Berwuduk Sebelum tidur
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada meraka. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu, Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan anda bersamanya” . Malaikat tersebut tidak akan pernah terlali walaupun sedetik untuk mengucapkan doa:

“Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci” (Hadis Riwayat AT Tabraabiy Dengan Sanad Yang Baik)

3. Mengambil berat tentang solat berjemaah.
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. bersikap sambil lewa terhadap solat berjamaah akan menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain. Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasululllah saw telah bersabda maksudnya: 

“Mana-mana kampung mahupun kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan” Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah, sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya. (Hadis Riwayat Abu Daud Dengan Sanad)

4. Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagarkan diri dari Sihir.
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya. SIfat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu. Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tidak ubah seperti bumi yang ketandusan akabibat kesan tindak balas hasil perlakukan syaitan tersebut.

5. Membaca doa perlindungan apabila masuk didalam tandas.
Tandas adalah tempat ktor dan merupakan rumah bagi syaitan, Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuku tandas. Baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata: Ertinya:

“Dengan nama Allah. Ya ALlah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan” (Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim). Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan dan betina

6. Memagar isteri selepas selesai akad nikah
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kenannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepadaMU kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya, dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yeng telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya: (Hadis Riwayat Abu daud dan Menurut Al Albaaniy Sanadnya Baik)

7. Amalakan membaca ayat Kursi selepas solat, setiap pagi dan petang dan sebelum tidur.
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Jika kamu hendak tidur, bacalah ayat kursi sampai selesai satu ayat. Maka akan ada penjaga dari Allah untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari 2311)

8. Amalkan membaca zikir waktu pagi dan petang.
Dari Uthman bin Affan r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda ; “Tidaklah seorang hamba setiap pagi dan petang membaca; ‘ Bismillahillazi layadurrumaasmihi saiun filardi wallafis samai wahuwas samiul alim’ 

(maksudnya : Dengan nama Allah, yang dengan nama-Nya tidak ada mudharat sedikit pun baik di bumi dan di langit, dan Ia Maha Melihat dan Maha Mengetahui.) kecuali bahawa tidak ada sesuatu yang membahayakannya.”  (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tarmizi)

{Zikir ini di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang}

Di dalam hadis yang lain, dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa menjelang petang membaca , ‘A’uzubikalimatilla hittaamaati min syarrimaahalaq’ (maksudnya : Aku berlindung pada kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk-Nya) 3 kali maka tidak akan membahayakan baginya racun yang ada pada malam itu.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya)

{Zikir ini di baca 3 kali pada waktu pagi dan petang}


9. Amalkan zikir-zikir di dalam kitab zikir al-Matsurat di dalamnya mengandungi doa-doa untuk di jauhi daripada sihir dan gangguan jin kafir dan syaitan.

SENARAI BACAAN AYAT-AYAT PENAWAR UNTUK PENYAKIT RACUN SANTAU:
(Sebaiknya pergi berjumpa guru /perawat dahulu sebelum melakukan amalan ini)

A. Amalan Minggu Pertama dan Kedua:
1. Surah Asy-Syu'araa' ayat 95 hingga 118, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Fussilat ayat 25 hingga 38, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

B. Amalan minggu ketiga dan keempat:
1. Surah Al-Israa' ayat 79 hingga 94, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Taha ayat 60 hingga 70, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

C. Amalan minggu kelima dan keenam:
1. Surah Al-Qasas ayat 51 hingga 59, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Ar-Ra'd ayat 30 hingga 34, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

Kredit : viralohviral


Berkahwin Dengan Lelaki Bukan Pilihan Papa, Dibuang Keluarga


Tujuan saya berkongsi kisah sedih ini bukanlah ingin menarik simpati sesiapa tetapi saya mengharapkan ada jalan penyelesaian bagi masalah yang saya hadapi. Jujurnya, saya tidak kuat untuk terus hidup dibuang keluarga kerana saya merindukan mama dan papa. Tetapi inilah realiti kehidupan yang harus saya rasai.

Sebenarnya, saya dilahirkan dalam keluarga berada. Sejak kecil saya tidak pernah belajar erti susah sebaliknya segala kemahuan saya dituruti mama dan papa. Alhamdulillah, saya cemerlang dalam akademik dan berjaya keluar negara sebaik tamat SPM. Beberapa tahun hidup di rantau orang, biarpun ada masanya sunyi dan rindu kepada keluarga tetapi saya tahankan hati, kuatkan jiwa demi untuk segulung ijazah. Saya tahu mama dan papa menunggu saya dengan ijazah kerana saya anak pertama dalam keluarga.

Setahun sekali, baru keluarga datang ziarah dan sayalah orang paling gembira ketika itu kerana dapat melepaskan rindu yang bertamu. Enam tahun di rantau orang, saya akhirnya berjaya memperoleh ijazah.


Alhamdulillah, pekerjaan di sebuah syarikat korporat membuatkan kehidupan saya agak selesa. Papa memang punya sebuah syarikat tetapi saya yang menolak bekerja dengannya atas alasan ingin berdikari. Jika diukur secara fizikalnya, saya memang tiada sebarang cacat celanya. Kata orang ada duit, ada pekerjaan yang bagus tetapi satu kekurangan itu saya tiada cinta sedangkan usia terus berlalu.


Sesekala bila tengok kawan-kawan bahagia dengan kekasih, saya sedih di dalam hati. Saya terus tonjolkan sikap ‘happy go lucky’ di hadapan mereka dan mengucapkan tahniah bila mereka naik pelamin. Hinggalah tujuh tahun lalu, saya mengenali seorang lelaki yang mana kerana dirinya, saya dibuang keluarga.

Terus terang saya katakan, dia lelaki yang berjaya membuat hati saya cair. Jadi lemah jiwa raga jika tidak menemuinya. Sikapnya yang berbudi bahasa, penuh kesantunan, penuh kasih sayang malah saya rasakan dia pelengkap jiwa.


Bersamanya, saya rasa sangat bahagia malah bersamanya juga baru saya memahami apa itu kasih sayang yang didambakan pasangan berkasih. Dia yang juga suami saya kini, kami bertemu ketika dia datang ke pejabat saya dalam satu urusan kerja. Dia hanyalah penurut pegawainya kerana ketika itu dia baru saja bekerja. Jadi tugasnya hanyalah sebagai pembantu sahaja. Pertama kali memandangnya, hati saya bergetar. Dia punya aura bila didekati malah selepas selesai pertemuan, saya yang meminta kad dan nombor telefonnya dahulu. Kata orang, tidak salah untuk saya memulakan dahulu. Ternyata, pilihan saya tepat kerana dia memenuhi ciri-ciri lelaki yang saya cari.


Saya sangka episod cinta saya mudah tetapi saya tersilap. Ketika suami (kekasih ketika itu) diperkenalkan kepada keluarga, papa orang yang paling banyak menyoal. Berasal dari mana, kerja apa malah pelbagai pertanyaan lain lancar dari mulut papa. Sejak dia balik, papa menyoal saya dengan pelbagai soalan.

Pendek cerita, demi cinta, saya nikah lari ke sempadan dan itu menambah benci di hati papa. Dia membuang saya kerana katanya saya anak tidak sedar dek untung. Bagi saya, kalau status jadi ukuran, itu masalah papa dan bukan masalah saya kerana saya hanya mencari lelaki yang mencintai saya dengan sepenuh jiwa raganya.


Jujurnya saya bahagia hingga kini dengan suami. Saya pernah keguguran malah pernah sekali melahirkan tetapi anak saya meninggal akibat kompilasi jantung. Saya redha dengan semua ujian takdir. Suami masih baik dan melayan saya dengan baik biarpun rumah tangga kami tidak diserikan dengan anak.



Saya bersyukur tetapi masa yang sama, saya merindui keluarga. Kenapa papa menetapkan aturan kehidupan demi statusnya. Adakah salah untuk kita memilih orang yang bukan sekufu sedangkan di mata Allah itu tiada bezanya.


Ada sesekali saya mencuri telefon kepada mama dan dia melayan dengan baik. Cuma saya yang tiada kekuatan untuk bertemunya lagi di rumah yang pernah saya diami ketika kecil.


Adakah salah cara saya ini? Apa cara terbaik untuk saya memujuk hati papa mengenai perkahwinan ini. Saya rasa sudah terlalu lama ia berlalu dan adakah hati papa masih keras seperti dahulu. Saya sentiasa kuatkan semangat untuk menempuh sebuah kehidupan dengan iringan doa dari keluarga. Apa yang harus saya lakukan? Saya kini hanya mampu menumpang kasih mentua yang sangat baik hati. Apa yang harus saya lakukan dalam hidup ini?  Bantulah saya!

Kredit : Karangkraf 



Rugi Hidup Kalau Bercinta Dengan Suami Orang


 
Menurut Izah, hatinya mula terbuka untuk menulis setelah membaca kisah Puan Enson yang menasihatkan agar gadis-gadis tidak tertipu dengan lelaki yang mengaku bujang dan cerita Azie yang mendakwa rela menerima laki orang sebagai suami.Dalam suratnya yang panjang lebar Izah menasihatkan kaum wanita bahawa mahu tak mahu para isteri hari ini patut menerima hakikat bahawa zaman sekarang sudah terjadi trend ramai gadis berkasih dengan suami orang. 

Sebenarnya bukan saya seorang pernah mengalaminya, tetapi ramai kawan saya turut mengalami kehidupan yang serupa. Kepada kaum wanita yang merasa diri mereka terancam pasti akan mengeji gadis-gadis sekarang dengan pelbagai tuduhan. Pandangan saya ini bagaimanapun bukanlah bertujuan untuk menyebelahi atau menyalahkan mana-mana pihak, cuma sekadar untuk dijadikan renungan demi kebaikan semua pihak. 

Saya sebenarnya tidak pernah bermimpi untuk terjebak dalam rumah tangga orang. Dulu saya pernah bercinta tetapi terputus di tengah jalan. Bertahun-tahun lamanya saya hidup tanpa memikirkan lelaki apatah lagi dengan kehidupan dan kedudukan kewangan saya yang stabil, jadi saya tak perlu fikir pasal lelaki. 

Tetapi bak kata pepatah, kita boleh merancang, Tuhan yang menentukan. Demikianlah dengan saya, akhirnya saya bertemu dengan seorang lelaki lagi, kami terus berkenalan dan terus jatuh cinta. Berbulan-bulan lamanya hidup kami macam anak-anak muda ke sana ke mari berdua, semuanya sungguh bebas, sebab memikirkan kami tak mungkin menghadapi masalah, sebab si lelaki mendakwa hidupnya tidak bahagia lagi. 

Malangnya rahsianya pecah juga. Mereka berperang suami isteri dan tamatlah hubungan kami. Tetapi saya selalu bertanya apa tidak kenanya dengan hubungan mereka suami isteri. Jawapan mereka sama dengan jawapan pasangan kawan-kawan saya yang lain, sudah tidak ada kemesraan lagi. Ada dua tiga orang lagi kawan saya yang kahwin dua juga mendakwa berbuat demikian atas alasan yang sama. 

Ada juga yang merasakan diri mereka sudah tidak dihormati oleh isteri kerana isterinya berjawatan lebih tinggi dan macam-macam lagi tuduhan negatif. Dan saya sedar saya memang tidak berpengalaman dalam berumah tangga jadi tidak layak untuk menasihati para isteri yang sudah berpengalaman lebih 10 atau 20 tahun. Cuma satu saja yang saya ingin katakan, hargailah suami anda dan sayangilah dia sebelum dia berpindah kasih kepada orang lain. 

Tetapi kalau memang benar suami anda dasar buaya, apa nak buat, takkan nak minta cerai. Lainlah kalau dah tak tahan sangat. Jika tidak layanlah sebaiknya. Cuba fikirkan alangkah ruginya kalau hari-hari bertentang mata, tidur sekatil tetapi hati suami kita merindukan orang lain. Suami di depan mata tidak merasai kehadiran kita kerana hati, perasaan dan jiwa raganya ada pada orang lain. 

Sebenarnya suami anda ada kelebihannya cuma anda sahaja yang tak tahu, tetapi kelebihan itu dapat dilihat oleh gadis-gadis lain. Maka itulah sebabnya suami anda boleh memberikan perhatian kepada mereka, dan perhatian itu dibalas oleh gadis tersebut. Sedangkan bila suami anda balik ke rumah, perhatian yang diberikan kepada anda, anda tolak ke tepi, anda buat sibuk dengan hal-hal lain dengan anda dan kerja rumah, jadi suami merasakan dirinya tidak diperhatikan. 

Kalau anda tuduh gadis-gadis sekarang miang, murah sangat, setakat manalah mereka boleh bagi perhatian kepada suami anda? Sebab semua kelebihan ada dalam diri anda sebab itu anda jadi isterinya, cuma anda tidak pandai mengambil kesempatan dan kesempatan itu digunakan oleh gadis lain. Anda tidak menilai suami anda sebaiknya. 

Anda merasa diri dah selamat bila dah kahwin, tak perlu layan suami lagi, tetapi anda mesti ingat kesempatan inilah yang biasanya diambil oleh suami untuk menyenangkan diri mereka. Dan bila suami sudah berada dalam genggaman orang lain barulah anda menangis. Itu tandanya anda masih memerlukan suami. Oleh kerana itu bertindaklah sebelum suami anda beralih kasih kepada orang lain. 

Kepada gadis-gadis pula ikut nasihat saya, kalau ada pilihan lain jangan biarkan hidup terbelenggu dengan suami orang. Kerana banyak pahit daripada manisnya, benar anda akan dilayan dengan baik dan kepada yang berduit anda dijadikan tuan puteri, tapi ingat bila dah pecah tembelang, isterinya mula pasang rantai. Waktu itu baru anda terasa hidup dah kacau bilau. Itulah yang terjadi kepada saya. Dan kerana itulah saya rasa bahawa diri saya ini hanyalah sebuah persinggahan sementara. 

Saya terasa diri bagaikan tidak dihargai lagi, bila suka kita disanjung, bila dah jemu kita dibuat macam sampah. Sepinya hati hanya Tuhan yang tahu. Mulalah terkenangkan yang manis-manis berminggu-minggu lamanya hati terasa begitu hancur. Lama-kelamaan barulah saya dapat terima hakikat bahawa kasih sayang tidak boleh dipaksa-paksa, kalau orang dah tak suka cantik macam ratu pun akan ditinggalkan apatah lagi yang tak cantik. 

Saya selalu memujuk diri bahawa apa yang terjadi ini adalah yang terbaik untuk saya, paling tidak saya tak jadi macam seorang dua kawan saya yang lain yang hidupnya dalam gantung tak bertali, bercinta dengan suami orang bertahun-tahun tak berkesudahan. Pada saya itu adalah satu perbuatan yang bodoh. Mereka menghabiskan masa muda begitu sahaja sedangkan masih ramai lelaki bujang yang sudi berkawan dengannya. 

Malangnya sudah menjadi lumrah hidup kebanyakan wanita kalau bercinta setia selamanya, kadang-kadang saya kasihankan nasib mereka. Mungkin terlintas di fikiran mereka nak cari yang lain, tetapi mereka takut menghadapi perpisahan.ÊMemang perpisahan itu amat menyedihkan dan begitu perit. Namun perit itu hanya sekali sedangkan kalau anda tunggu anda terseksa selamanya. Pada saya bercinta dengan suami orang macam sebuah penantian yang tidak pasti. 

Cuba bayangkan betapa ruginya hidup anda mencintai suami orang sedangkan hatinya sentiasa kasih kepada keluarga dan anak-anaknya. Di rumah dia dilayan oleh isteri, di luar anda jadi penghiburnya. Anda diusung ke hulu ke hilir. Cukup masa, dia akan pulang ke syurganya, anda pulang ke sarang kesunyian. Dia mendakwa konon mencintai anda, kalau benar mengapa tak berani menjadikan anda isteri yang sah. Cinta bukan sekadar melahirkan kata-kata dan mengambil berat atas diri kita semata-mata. 

Sebaliknya cinta adalah sebuah pengakuan yang diikat dengan komitmen yang bersungguh-sungguh. Dan tanggungjawab bukan setakat dilahirkan dengan kata-kata tetapi dengan perbuatan. Sebab itu semua orang boleh melahirkan rasa cintanya sebab ia cuma dilahirkan di mulut sahaja dan tidak daripada kesungguhan hati yang penuh tanggungjawab. 

Oleh kerana itu satu petua untuk anda ikuti supaya tidak terbelenggu dengan cinta yang mungkin boleh membawa anda hidup lebih sengsara, bagilah tempoh sehingga bila cinta itu boleh ditunaikan oleh orang yang meluahkan cinta tadi. Jika cinta sahaja yang sentiasa diulang-ulang tetapi dia tidak mahu mengotakannya atau sengaja melewat-lewatkannya baik ditinggalkan sahaja, supaya anda tidak membuang lebih banyak masa. Orang seperti itu tidak boleh dipercayai kerana dia tidak mahu pikul tanggungjawab bila sudah berkahwin nanti. Ingatlah, perkahwinan itu adalah satu tanggungjawab dan amanah Allah. 

Sebenarnya dunia ini terlalu luas, bahagia ada di mana-mana jadi terpulanglah kepada kita untuk mencarinya. Hidup ini terlalu singkat, masa yang ditinggalkan tak akan kembali lagi, jadi usahlah persiakan waktu yang ada. Saya akui memang sukar untuk mencari pengganti cinta yang hilang, apatah lagi kalau sudah terlalu lama mengabdikan diri kepada kekasih. 

Satu lagi tabiat buruk gadis-gadis yang digantung tak bertali ini ialah suka membandingkan kekasihnya dengan lelaki lain. Sudah pastilah lain, sebab kekasih anda sudah lama dikenali, sementara yang baru belum dikenali. Kerana sikap inilah membuatkan mereka tidak berani melangkah meninggalkan kekasih lamanya hingga ada yang sanggup menunggu sampai lanjut usia. 

Cubalah beri peluang untuk diri kita sendiri membuat pilihan dengan hati dan mata terbuka, jangan lagi mendengar gula-gula dan janji manis kekasih anda yang juga takut ditinggalkan itu. Sebenarnya dia juga inginkan kesenangan, keselesaan, kemanisan dan syurga daripada dua orang wanita untuk kesenangan dirinya sendiri. Dia tidak berani bertanggungjawab kerana bimbang hidupnya tidak akan selesa. Jadi dia sanggup korbankan anda untuk dirinya sendiri. 

Saya juga pernah bercinta, waktu itu kekasih saya itulah sahaja yang terhebat hinggalah saya dikecewakan, selepas itu saya rasa mungkin tidak ada lelaki lain yang dapat mengisi kekosongan hidup saya. Tetapi bila bertemu lelaki lain saya rasa seperti jatuh cinta semula, cinta pandang pertama untuk lelaki kedua. 

Percayalah masih ramai lagi lelaki istimewa yang ada di dunia ini, berilah peluang untuk mereka mencintai dan dicintai. Jika tidak terjumpa pun, jangan jadikan itu masalah yang besar. Hidup mesti diteruskan. Cuba bina kehidupan sendiri walaupun berdikari dengan sebaik-baiknya, sekurang-kurangnya kita tidak tertipu dengan kehidupan yang berpura-pura. 

Bercinta dengan suami orang untuk sampai bila? Sampai hatinya terbuka nak kahwin dengan anda, atau selepas isterinya izinkan, atau sampai anak-anaknya besar? Jelas di sini lelaki seperti itu cuma mementingkan dirinya sendiri. Bagi suami orang buruk macam mana pun isterinya, dia sudah ada sarang dan syurganya sendiri, sedangkan anda tidak punya apa-apa. Janganlah merugikan diri sendiri kerana ada gadis yang takut keluar rumah kerana tak dizinkan kekasihnya, ada yang tak berani ke luar negara untuk melancong sebab kekasihnya larang. 

Apakah lelaki seperti ini patut anda taati? Oleh kerana itu buatlah keputusan sebaik mungkin dan hadapi kenyataan hidup jika sudah ditakdirkan anda tidak dapat berkahwin dengannya. Terima hakikat dengan fikiran terbuka, bukan kerana desakan dan ketakutan.'' Demikian cerita Izan panjang lebar menasihati golongan gadis sepertinya supaya tidak mudah terpedaya dengan pujukan lelaki. 

Tidak dinafikan ada gadis-gadis yang sanggup merana semata-mata kerana janji setianya menunggu kekasih walaupun mereka telah ditinggalkan. Sebaik-baiknya terimalah keadaan dengan fikiran terbuka kerana hidup perlu diteruskan. 

Kredit : UtusanMalaysia



Wanita Jangan Ambil Mudah, Peka Tanda-Tanda Rahim Jatuh

9 Jun 2017


 
JATUH organ peranakan (JOP) adalah satu perkara yang biasa berlaku di kalangan kaum wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada mereka yang pernah melahirkan anak akan mengalaminya di kemudian hari.Namun begitu ramai yang enggan berjumpa doktor atas alasan malu, ditambah dengan keadaan JOP itu sendiri yang tidak mengganggu kehidupan hariannya. 

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Kampung Baru Medical Centre (KBMC), Kuala Lumpur, Dr. Rosilawati Abd. Ghani berkata, JOP berlaku dalam keadaan di mana ligamen dan otot-otot di pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh lagi menampung organ pada bahagian itu.‘‘Apabila ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing akan menonjol ke dinding faraj dan usus besar menonjol arah belakang faraj.

“Walaupun tidak sampai mengancam nyawa tetapi ia mendatangkan ketidakselesaan dan penderitaan emosi. Kadang- kadang seseorang itu boleh mendapat lebih dari sejenis JOP,’’ katanya.

Jenis-jenis JOP

Bahagian atas/bumbung faraj
Sekiranya bahagian atas yang terlibat, maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed). 

* Gred 1: Rahim terturun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tidak menyedarinya. Selalunya keadaan ini hanya diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear

* Gred 2: Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj

* Gred 3: Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar dari faraj.
Bahagian hadapan

Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj (sistosele). Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan.Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa terjadi di kalangan wanita.

Bahagian belakang faraj

“Sebahagian dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Keadaan ini dipanggil enterosele. “Jika rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur. Ini dipanggil rektosele,’’ terang Dr. Rosilawati.

Kemungkinan besar, kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak didiagnosis, boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit lebih-lebih lagi selepas pembedahan.

Menurutnya, ada lagi satu keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah.“Ini mungkin mengambil masa untuk berlaku setelah sokongan oleh otot-otot keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah. 

“Ia terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan oleh JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid,’’ ujar beliau. 

Punca-punca JOP 

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah, antaranya kehamilan dan bersalin; usia dan menopaus; obesiti; ketumbuhan seperti fibroid yang besar dan; batuk atau sembelit kronik.

Lain-lain termasuklah mengangkat bebanan yang berat; keturunan seperti Sindrom Marfan dan etnik; menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan; kerosakan atau kecederaan pada saraf tunjang.

Simptom dan diagnosis

Wanita yang mengalami masalah JOP yang sedikit, kata Dr. Rosilawati, ada kalanya tidak berasa sebarang simptom atau ketidakselesaan.“Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas. 

“Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis.’’
Jatuh organ rahim pula menyebabkan wanita berasa ada benda berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana rahim jatuh keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.

Pencegahan

* Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera 

* Melakukan senaman pelvik adalah amat penting walaupun di zaman bujang lagi. Ia menguatkan otot-otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan pascasurgeri, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang

* Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elakkan dari meneran di bilik air lebih 15 minit. Puas atau tidak, sila keluar dari bilik air

* Memakai girdle/sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat

* Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik

* Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.

Rawatan
Dr. Rosilawati berkata, sekiranya JOP masih di peringkat awal, pesakit akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk mengajar teknik senaman pelvik. 

‘‘Selain itu, pesari faraj iaitu alat berupa gelang/donut yang terdapat dalam beberapa saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim dari jatuh. 

“Ia boleh digunakan oleh wanita dari segala peringkat usia reproduktif atau yang menopaus, yang tidak boleh atau tidak memilih cara pembedahan,’’ jelasnya. 

Mengulas lanjut, ini mungkin disebabkan wanita itu muda dan masih mahu mengandung dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tidak sihat untuk menjalani pembedahan. 

Cuma, ia perlu diganti setiap tiga atau empat bulan dan pesakit hendaklah berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya.

Secara amnya, setiap rawatan individu adalah bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis JOP, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya terhadap kehidupan wanita itu.

Rawatan pembedahan

Merupakan pilihan terakhir setelah segalanya dilakukan. Anterior repair-colporrhaphy adalah pembedahan yang dilakukan dari bahagian hadapan faraj tanpa melibatkan insisi/belah di bahagian abdomen/perut. 

Dr. Rosilawati memberitahu: “Ia digunakan untuk membetulkan pundi kencing yang sudah jatuh. Selalunya bius sepenuhnya atau bius separuh digunakan. 

“Komplikasi yang mungkin berlaku (tetapi jarang) adalah sakit ketika melakukan hubungan kelamin, pundi kencing yang terlalu sensitif ataupun sukar membuang air kecil.’’

Begitu juga dengan posterior repair yang melibatkan pembedahan dari belakang faraj dengan komplikasi yang lebih kurang sama dengan anterior repair. Selain itu, terdapat teknik baru menggunakan pita khas tetapi agak mahal.

“Rawatan pembedahan untuk rahim yang jatuh adalah dengan cara mengeluarkan rahim dari faraj dipanggil histerektomi faraj. 

“Selalu juga, ketiga-tiga prosedur tersebut dilakukan serentak kerana JOP melibatkan bahagian hadapan, belakang dan rahim sekali gus,’’ katanya sambil menambah, salah satu komplikasi yang boleh berlaku adalah vault prolapse yang mana pembedahan untuk mengatasi masalah ini lebih merumitkan. 

Pascapembedahan

Kebiasaannya, mereka yang pernah mengalami pembedahan melalui faraj akan melalui prosedur pembedahan yang singkat, kurang memerlukan ubat tahan sakit, mengalami pemulihan cepat dan memulakan hidup seperti biasa.

Walaupun begitu, histerektomi mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Hubungan seks boleh dimulakan kembali enam minggu lepas pembedahan. Usah risau, ia tidak akan mengganggu kehidupan seks normal.

“Yang penting, janganlah malu untuk berjumpa doktor dan menceritakan tentang segala masalah alat sulit yang dihidapi,’’ pesan Dr. Rosilawati. Lakukan pemeriksaan tahunan dan pap smear sebagaimana jadual yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kesimpulannya, rawatan dalam bentuk pembedahan atau bukan banyak bergantung kepada wanita itu sendiri, keseriusan masalahnya serta aspirasi masa depan reproduktif dan seksualnya.

Kredit : UtusanMalaysia



Isteri DiCeraikan Kerana Gemuk Dan Hodoh, Jawapan Sentap Sang Isteri



Ditinggalkan suami adalah sesuatu yang amat menyakitkan hati dan perasaan, lebih-lebih apabila janda yang ditinggalkan suami kerana selekeh dan tidak pandai melawa. Baca kisah ini:Kalau janda yang cantik-cantik, mesti orang mengata, “Masa ada suami selekeh, dah jadi janda baru pandai nak melawa. Laki dah lari baru terhegeh-hegeh cari gincu,” Saya nak kongsi satu cerita client lama saya atas izin.

1. During hearing case (anak dia). Saya kagum sangat, usia dah hampir separuh abad tetapi body macam anak dara, bergaya, kulit mulis tegang. Setiap kali hadir ke mahkamah, bekas suami pun tak pernah tak datang. Awalnya, saya tidak pernah menyangka yang mereka sudah bercerai sebab bekas suami nampak sangat ambil berat mengenainya.

2. Saya perasan kakak ini selalu saja macam nak marah, buat tak tahu dan tak layan bekas suami dia (masa itu tak tahu pun yang mereka sudah bercerai). Tetapi bila akak ini tengok reaksi saya yang macam tertanya-tanya, kemudian dia pun jelas kan. “Puan Nurul, jangan salah sangka. Akak dah lama bercerai,”

3. Alangkah terkejutnya saya. Betapa bagusnya bekas suami dia sampai tak pernah tak datang tengok kes anak dia. “Dah gila talak, nak buat macam mana? Biar dia rasa,”

4. Saya selalu puji yang aakak ini cantik, bergaya, lembut orangnya. Tetapi kenapa bercerai? The next hearing date, selepas habis kes, kami pun turun ke kafe. Bersembang-sembang sampailah ke bab peribadi. Dia bawa keluar satu gambar lama dari dalam begnya. Terkejut saya melihat gambar dia dan bekas suaminya. Hitam, gemuk, tak make up langsung, berkain batik, selekeh, sementara itu lelaki yang berdiri di sebelahnya kelihatan agak kacak.

6. 15 tahun, dia abadikan diri dengan suami. Kerjaya sebagai jururawat terpaksa dilupakan kerana suami mengarahkannya berhenti, duduk rumah dan jaga anak. Duit tak diberi, suami beri cukup-cukup makan. Tak ada lebih langsung untuk beli baju baru, alat solek atau untuk keluar berjalan-jalan.

Duduk di rumah saja menjaga anak. Suami pula sesuka hati keluar dengan kawan-kawannya. Dia hanya mampu menahan sabar. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 4 orang anak. Setiap seorang umurnya selang setahun. Letihnya? Tuhan saja yang tahu.

7. Suami mula berubah bila dia menjadi gemuk. Bukan sengaja tetapi tiap-tiap tahun beranak, tak sempat nak kurus, dah diusik. Nak keluar joging, tak ada orang nak tinggal jaga anak. Nak beli ubat kurus, jamu semua bagai, duit tak ada. Nak melawa pun duit tak ada. 

8. Suami pula elok saja beli barang baru, baju baru tetapi tak buat balik untuk isteri. Selepas suami naik pangkat, mulalah menghina isteri. “Awak duduk rumah, selekeh tak macam orang office saya,” bentaknya. Suami mula membandingkan dia, hina tubuh badan dia dan sampai satu masa, berbulan-bulan dia tidak disentuh oleh suami.

9. Nekad mahu mengoda suaminya semula, selepas melahirkan anak yang keempat, dia belajar menjahit. Bawa keempat-empat anaknya ke balai raya pergi belajar menjahit. Suami nak tolong? Haram! Mengutuk adalah. Selepas belajar menjahit, dia pula ambil upah menjahit. Adalah duit sikit, bolehlah beli baju baru sehelai dua.

10. Dalam usaha nak memikat semula hati suami, kantoi pula suaminya berkahwin dengan perempuan lain di Thailand. Sedih tak terkata, terasa begitu hina dibuatnya. Sudahlah nafkah kahwin culas, bukan kaya pun, nak beli baju kata tak ada duit tapi boleh kahwin lagi seorang. Isteri baru bekerja satu pejabat dengannya. Anak dara, cantik dan bergaya. 

11. Dia redha dan cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinannya walaupun selepas itu suaminya sudah jarang pulang ke rumah. Paling teruk bila madu dapat anak seorang. Nafkah langsung tidak diberi. Dia terpaksa bekerja mengambil upah menjahit bagi menyara anak-anak. Balik saja ke rumah, suami akan banding bezakan dengan madu yang cantik, pandai jaga badan dan pandai segala serbi.

12. Sejak ada isteri baru, suami sudah pandai naik tangan. Kadang-kadang suami bermalam di rumah dia, isteri baru datang, suruh balik ke rumahnya. Suami akan balik dan tinggalkan dia seorang diri. 10 tahun dimadukan dan itulah tempoh dia menghadap perkara seperti ini.

13. Hari sebelum dia diceraikan, mereka bergaduh tentang nafkah kewangan dan juga nafkah batin yang sudah lama suami tidak tunaikan. Bila gaduh, ada tengking menengking dan dia tidak tahan lalu meminta diceraikan. Masa itulah suami dia menghina.

“Kalaulah lembu dengan aku, lagi sanggup tidur dengan lembu!”
Selepas suami berkata seperti itu, Allah hadirkan perasaan benci yang teramat sangat pada dia, sampai dia sudah tidak tahan lagi lalu meminta diceraikan pada masa itu juga.

14. Suami dengan mudah menceraikan dia. Selepas diceraikan, suami siap cakap, “Aku nak tengok sejauh mana kau boleh pergi tanpa aku! Kalau nak aku rujuk balik, jangan lupa datang ke rumah madu kau sebelum tampat tempoh iddah. Selepas dah tamat, aku tak kuasa dah nak melayan rujuk dengan kau!”

15. Terasa terhina, dia tidak menoleh ke belakang lagi. Angkat kaki dan balik ke kampung membina hidup baru. Buka kedai jahit dan sekarang sudah ada ramai kakitangan. Rezeki semakin banyak, duit banyak dan hidup bertambah tenang dan senang.

16. Selepas kehidupannya agak kaya, madu pula tidak berpuas hati. Dipaksa juga bekas suami buat bisnes, buat loan, buat bisnes kedai makan dan akhirnya lingkup. Sekarang, menanggung hutang dengan bank. Dari memiliki kereta Harrier, sekarang sudah downgrade ke Perodua Viva. Sekejap saja Allah nak tarik.

17. Selepas tiada suami yang bergaya, melawa sebab tak ada siapa nak tanggung, ada duit sendiri, masa ada suami macam mayat hidup, tiap-tiap tahun beranak. Yang jaganya dia seorang, duit tak ada, suami nak belikan make up dan baju? Haram! Kahwin lain adalah.

18. Sekarang dia sudah kurus dan cantik. Duit banyak, giliran madu pula hidup susah main dengan anak-anak kecil. Madu yang dulunya kurus sekarang sudah gemuk. Tambah pakej lagi bila madu dia ini pandai menjawab. Kalau tak kena, habis pinggan mangkuk dilempar.

19. Semasa saya menguruskan kes kakak ini, hampir 3 tahun bekas suami cuba merujuk kembali dengannya. Caring dan terlampau baik. Tetapi kakak ini, buat tak tahu dan tak nak melayan. Suami dia, tunggu depan pintu, tunggu di tangga rumah, di mana-mana nampak saja bekas suami macam orang tak betul, gila talak.

20. Sempat lagi kakak ini bergurau.
“Kakak ni termasuk dalam salah seorang janda yang tiada suami baru pandai nak melawa. Orang asyik mengata kita tak pandai nak jaga suami, suami lari baru nak bergaya. Tetapi orang tak tahu kita jadi mayat hidup sebab ada suami yang tak guna.

“Miskin tetapi ada nafsu dan citarasa tinggi tetapi tak menyumbang apa-apa kecuali air mani buat kita beranak setiap tahun. Selepas itu bukannya nak berterima kasih, tetapi dijadikan modal pula untuk menghina isteri. Baik hidup sendiri, ada duit sendiri dan tak payah menanggung biawak di rumah.

“Dah ada yang baru, yang lama dibuang. Sekejap saja huru hara hidup. Biarkan dia rasa,” katanya membuatkan saya tergelak. Semoga menjadi teladan buat semua. Terkesan pada kata-katanya itu. Miskin tetapi nafsu dan cita rasa tinggi tetapi tidak menyumbang apa-apa. Semoga suami kita, anak-anak kita, saudara lelaki kita menjadi suami yang bertanggungjawab dan baik pada isterinya.

Sumber: Nurulbadiah Lai
Kredit :  aliffchannel



Meluah Itu Fitrah Wanita, Tapi Jangan Sampai Suami Rasa Macam Ini...


Tak berkenan perangai suami sikit, terus tepek di media sosial. Tak sebulu dengan keluarga mentua, terus meluah di group Whatsapp. Eh, betul ke cara itu yang patut kaum wanita guna?

Apa pandangan orang dan betul ke masalah yang anda lalui itu akan selesai? Sebenarnya anda boleh dapat jawapannya dalam perkongsian daripada saudari El Ameerah ini dan harap boleh muhasabah diri...

Tempoh 1-5 tahun pertama marriage adalah yang paling mencabar. Saya rasa ini adalah tempoh adaptation. As woman, kita kadang-kadang tersasar dalam mengawal emosi, kata-kata dan perbuatan.
Dalam tempoh ini juga kita rasa macam-macam dugaan datang. Macam-macam benda yang suami tak faham tentang kita. Macam-macam benda yang kita tak suka tapi suami buat.

Nak lalui fasa mecabar ini tak mudah langsung. Kuncinya adalah suami sentiasa layak dihormati sekalipun beliau memang terang-terang salah. Dalam keadaan dua-dua tengah emosi, tengah serabut, marah towards each other, saya cadangkan isteri-isteri cool down dengan cara mengadu pada Allah.

Mengadu itu ialah macam cakap dengan bff kita. Kita cerita pada Allah a-z. Sambil bercucuran air mata. Apa yang berlaku, apa yang kita rasa, apa expectation kita. Kalau ada soalan-soalan, tanya pada Allah. Borak dengan Allah adalah borak yang paling berkesan untuk menyembuhkan hati yang terluka.

Setiap kali kita luah pada Allah, anda akan rasa satu kekuatan yang sangat luar biasa. Curahan hati pada Allah adalah cara untuk menghormati suami yang paling utama untuk dilakukan. Kerana fitrah wanita adalah nak meluah, nak kongsi, nak lepaskan apa terbuku dalam hati.

Kalau kita tak luah pada Allah, kita akan mula luah pada jalan yang salah. Sebab itu kita tengok ramai isteri-isteri suka cerita pasal salah laku suami di whatsapp group, dengan kawan-kawan sepejabat, share di facebook, luah di page-page rumah tangga.Akhirnya, kita akan sedar bahawa tiada sorang pun manusia yang dengar masalah kita itu dapat tolong ubah suami kita.

Kerana yang mengubah suami kita adalah Allah. Jadi selayaknya kita mengadu pada Allah semata-mata. Kita mengadu pada Allah, suami akan rasa tenang dan cuba untuk berubah. Paling magic, suami akan akui kesalahan dan mintak maaf.

Kalau mengadu pada orang sekeliling, suami pasti marah sebab rasa diaibkan, rasa dikhianati dan makin menjauh.Jadi, pilihan di tangan kita. Nak hormat suami, elak buka aib suami. Suami tak suka. Allah pun tak suka.

Kredit : Fb  El Ameerah
              MingguanWanita




Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.