SLIDER

13 Cara Halau Tikus Dari Rumah Dengan Berkesan

6 Apr 2022


Rumah anda banyak tikus berkeliaran? Cuba praktikkan cara halau tikus dan perangkap tikus yang kami kongsikan di bawah supaya haiwan perosak ini tidak lagi datang ke rumah anda buat selama-lamanya!

Bayangkan jika anda bangun pagi dalam keadaan rumah dengan makanan yang berselerak, dengan najis tikus di merata tempat, arghh stressnya!

Sebut sahaja masalah mana-mana rumah tentang haiwan perosak, masalah tikus sudah semestinya antara yang paling popular dan paling menjengkelkan. Jangan bimbang, dalam artikel ini kami kongsikan tentang cara halau tikus agar rumah anda bukan sahaja bersih, tetapi selamat daripada sebarang penyakit.

Tanda tikus ada di rumah

Sebelum meneruskan lebih lanjut, anda perlu tahu tanda-tanda kehadiran tikus di rumah anda. Bagaimana caranya? Terdapat beberapa tanda dan kesan yang boleh diperhatikan di sekeliling kawasan dalam rumah iaitu:

  • Najis tikus seperti bentuk beras berwarna coklat gelap
  • Kesan gigitan pada plastik makanan, perabot kayu, wayar elektrik
  • Kesan kotoran pada dinding di sepanjang laluan haiwan perosak ini, disebabkan kotoran pada badan tikus yang bergesel dengan permukaan dinding
  • Bunyi cakaran dari atas siling pada waktu malam. Disebabkan tikus aktif pada waktu malam, bunyi cakaran akan didengari pada waktu ini
  • Kesan tapak kaki kecil. Bagi mengetahui laluan aktif yang dilalui tikus, taburkan tepung di sekeliling laluan yang disyaki menjadi laluan tikus. Kesan tapak kaki yang baru akan dapat dilihat pada keesokan paginya
  • Lubang dalam tanah. Tikus boleh membina lubang dalam tanah sebagai sarang, tempat simpanan mereka atau menjadi laluan tikus ke dalam rumah.
  • Sarang tikus. Tikus kebiasaannya akan membuat sarang di kawasan yang tersembunyi dengan menggunakan cebisan kertas atau kain. Dalam sarang tikus ini, biasanya anda akan menjumpai anak-anak tikus yang masih kecil dan sarang ini akan terletak berdekatan dengan sumber makanan seperti peti sejuk.

Tempat yang sering menjadi laluan tikus di rumah anda

Apabila anda sudah tahu tentang tanda kehadiran tikus di rumah, terdapat beberapa tempat yang perlu diperiksa kerana sering menjadi laluan tikus. Tidak kira luar atau dalam rumah, kesemua tempat ini perlu melalui pemeriksaan yang teliti agar tidak ada seekor tikus pun yang terlepas.

Kawasan di luar rumah:

  • Longkang- Pastikan longkang anda bertutup atau periksa sekiranya terdapat lubang tikus di kawasan longkang
  • Kawasan kebun- Perhatikan tanah di sekitar tanaman kebun, periksa sama ada terdapat lubang tikus atau tidak di dalam tanah
  • Garaj kereta- Pasti anda biasa dengar kereta yang rosak disebabkan wayar kereta digigit haiwan perosak ini kan? Perhatikan di sekitar kawasan garaj, atau kawasan berkayu kerana ia boleh menjadi laluan tikus.

Kawasan di dalam rumah:

  • Siling atau bumbung rumah- Tinjau keadaan siling rumah anda, jika ada kehadiran tikus, kawasan bumbung dan siling akan dipenuhi najis tikus dan sarangnya.
  • Dapur- Sumber makanan merupakan salah satu punca kenapa tikus masuk ke dalam rumah kita. Periksa di kawasan belakang peti sejuk yang tersembunyi.
  • Ruang membasuh pakaian- Ruang membasuh pakaian perlu dipastikan sentiasa kering. Paip yang bocor dan titisan air boleh menjadi sumber bekalan air buat haiwan perosak ini.

Jenis-jenis tikus

Tikus yang paling sering dijumpai di dalam rumah adalah Tikus Norway (Rattus norvegicus), Tikus Rumah (Rattus rattus), dan Mencit (Mus Musculus). Tetapi menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat beberapa jenis tikus yang terdapat di Malaysia seperti  Antaranya ialah:

  • Tikus rumah (Rattus rattus diardii)
  • Tikus Norway (Rattus norvergicus)
  • Tikus rumah kecil (Mus musculus)
  • Tikus sawah (Rattus argentiventer)
  • Tikus kayu (Rattus tiomanicus)
  • Tikus Burma (Rattus exculans).

Cara halau tikus dari rumah

Seterusnya, apabila kita sudah tahu di mana kawasan laluan tikus dan tanda-tandanya, makin mudah untuk kita aplikasikan cara yang berkesan untuk menghalau dan menghapuskan tikus ini. Berikut adalah cara-cara menghalau tikus yang boleh dipraktikkan di sekitar rumah anda.

1. Sekat sumber makanan, minuman, dan sarang tikus

Perkara pertama yang paling penting untuk menghalau tikus ialah menyekat tiga faktor utama tikus boleh hidup di dalam rumah anda iaitu makanan, minuman, dan sarangnya. Tidak ada gunanya jika anda mencuba pelbagai cara menghalau tikus, tanpa menitikberatkan perkara ini.

  • Sumber makanan boleh disekat dengan memastikan kawasan dapur, peti sejuk anda sentiasa diselenggara dan dibersihkan untuk memastikan tiada makanan yang terdedah, atau lubang tikus. Pastikan tong sampah yang berisi sisa makanan tertutup dan tidak dibiarkan terdedah
  • Sumber minuman pula boleh disekat dengan memastikan tiada saluran paip yang bocor yang menyebabkan air bertakung. Lopak kecil ini mungkin nampak remeh bagi anda, tetapi bagi tikus, ia sumber minuman mereka.
  • Sarang atau tempat berlindung. Rumah yang berselerak merupakan syurga bagi tikus untuk membiak kerana mereka mempunyai tempat untuk bersembunyi. Pastikan setiap rekahan, lubang serta celah-celah ruang di rumah anda dibaiki dan ditutup.

2. Perangkap tikus

Bagi cara ini, anda boleh menggunakan perangkap tikus yang boleh dibeli di kedai atau menggunakan kreativiti untuk membuat perangkap sendiri. Kebiasaannya, setiap perangkap akan diletakkan sedikit cebisan makanan sebagai umpan untuk menarik perhatian tikus.

Selain itu, gam tikus juga boleh digunakan sebagai cara halau tikus atas siling rumah anda. Jangan lupa untuk taburkan sedikit cebisan makanan sebagai umpan. Tikus akan melekat pada permukaan gam yang kuat dan tidak boleh melepaskan diri. Walaupun begitu, jangan biarkan perangkap tikus ini terlalu lama, kerana tikus akan mati dan bangkai tikus akan mengeluarkan bau yang sangat busuk.

3. Bela kucing

Bagi mereka yang sukakan kucing, ini mungkin masa yang baik untuk membela kucing. Si comel ini bukan sahaja boleh menjadi peneman anda di dalam rumah, tetapi boleh mengurangkan populasi tikus di rumah, kerana naluri semulajadinya untuk memburu mangsa.

Namun begitu, jangan biarkan si comel anda menjadikan tikus ini sebagai makanan mereka pula. Ini kerana, tikus boleh menyebabkan jangkitan cacing kepada usus atau toxoplasmosis  dan juga keracunan makanan sekiranya tikus itu memakan umpan yang mengandungi racun tikus. Oleh itu, kami sediakan alternatif semulajadi pula bagi cara seterusnya untuk menghalau tikus. Teruskan membaca!

4. Kulit durian

Bila musim durian setiap tahun, selain menikmati isi durian yang sangat lazat, kulit durian jangan dibuang tau! Anda boleh gunakan kulit durian sebagai salah satu cara halau tikus di rumah anda. Letakkan sahaja kulit durian di tempat yang sering menjadi laluan tikus. Insya-Allah, tikus tidak akan suka dengan bau durian dan kulit durian yang berduri.

5. Daun durian belanda

Ambil beberapa helai daun durian belanda dan gantung atau letakkan di tempat yang sering menjadi sarang atau laluan tikus. Biarkan selama beberapa hari dan ganti dengan daun yang baru jika sudah kering.

6. Daun pandan

Jika anda inginkan rumah yang berbau wangi dan pada masa yang sama dapat menghalau tikus, boleh sahaja gunakan daun pandan. Bau daun pandan yang wangi boleh digunakan untuk menghalau tikus.

Gantung serta letakkan beberapa helai daun pandan di lubang atau kawasan yang disyaki menjadi laluan tikus. Disebabkan daun pandan ini sangat mudah didapati di kawasan rumah di Malaysia, anda boleh berjimat, rumah berbau wangi, serta boleh menghalau tikus pada waktu yang sama!

7. Semburan serai wangi

Seterusnya, semburan serai wangi juga boleh digunakan untuk menghalau tikus. Apa yang menarik, pada zaman moden ini, semburan serai wangi ini mudah didapati dan dijual di kedai runcit atau pasar raya berdekatan dengan rumah anda. Caranya juga cukup mudah, hanya semburkan semburan ini di kawasan sarang tikus atau laluannya.

8. Serbuk lada hitam

Selain daripada alternatif bahan semulajadi, bahan dapur turut boleh digunakan sebagai salah satu ikhtiar atau cara untuk menghalau tikus. Gunakan sahaja serbuk lada hitam di dapur, dan taburkan di kawasan yang anda sering lihat menjadi laluan tikus.

Serbuk lada hitam ini boleh berfungsi dalam dua cara untuk menghalau tikus iaitu sebagai racun tikus semulajadi atau menghalau tikus. Lada hitam mengandungi sejenis bahan, iaitu piperine yang mampu membunuh tikus, jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Walaupun cara ini kurang berkesan berbanding racun kimia, ia merupakan satu alternatif yang berbaloi untuk dicuba.

Bau serbuk lada hitam juga boleh mendatangkan iritasi kepada tikus yang boleh membuatkan mereka menjauhi kawasan yang ditaburkan serbuk ini.

9. Limau purut

Tahukah anda, limau purut yang biasanya digunakan sebagai mandian untuk menghilangkan bau badan, ia juga boleh digunakan untuk menghalau tikus. Caranya, potong limau purut kepada dua bahagian dan letakkan sahaja di kawasan laluan tikus. Selain daripada buah limau purut, daun limau purut turut boleh digunakan dengan cara yang sama.

Cara ini merupakan salah satu petua menghalau tikus yang sering dikongsikan oleh atuk nenek kita.

10. Cuka

Cuka yang paling sesuai digunakan untuk menghalau tikus ialah cukai putih. Bagi menggunakan kaedah ini, anda memerlukan kapas dan juga cuka. Caranya adalah seperti berikut:

  • Mop dan bersihkan kawasan yang sering menjadi laluan tikus
  • Celup bebola kapas ke dalam cuka. Bagi mengelakkan iritasi pada tangan anda, gunakan sarung tangan
  • Letakkan bebola kapas yang dicelup cuka tadi di kawasan laluan atau sarang tikus
  • Sekiranya bebola kapas yang dicelup cuka telah kering, anda hanya perlu celupkan bebola kapas yang sama ke dalam cuka dan letakkan kembali di tempat asalnya.

11. Minyak pudina

Daun pudina atau minyak pudina bukan sahaja boleh digunakan sebagai wangian terapi di dalam rumah, tetapi juga sebagai penghalau tikus di kediaman anda. Selain bebas kimia, ia juga merupakan salah satu alternatif yang bagus jika anda mempunyai anak kecil di rumah.

Cara untuk menggunakan minyak pudina ini juga sangat mudah. Campurkan minyak pudina bersama dengan air dan semburkan di sekitar kawasan yang menjadi laluan tikus. Apa yang menarik, selain menghalau tikus, minyak pudina ini juga boleh digunakan untuk menghalau lipas.

12. Ubat gegat

Jika cara semulajadi masih tidak mendatangkan kesan, anda boleh beralih dengan menggunakan bahan kimia iaitu ubat gegat. Ubat gegat atau naphtalene hanya perlu diletakkan di tempat yang sering menjadi kawasan laluan atau sarang tikus.

Walaupun tikus tidak suka dengan bau yang dikeluarkan oleh ubat gegat ini, namun awas, ubat gegat ini turut mengandungi racun yang bukan sahaja berbahaya kepada tikus, tetapi juga anak kecil. Oleh kerana ubat gegat ini biasanya berwarna-warni, bentuknya sering disalahertikan sebagai gula-gula oleh kanak-kanak.

13. Servis kawalan serangga perosak

Jika semua cara di atas tidak mendatangkan sebarang hasil, mungkin ini masanya anda mendapatkan bantuan dengan khidmat profesional. Walaupun cara ini memerlukan sejumlah kos, tetapi ia sangat berbaloi untuk digunakan bagi mengelakkan masalah tikus ini menjadi lebih teruk dan menyebabkan kerugian harta benda yang lebih banyak.

Sebelum membuat keputusan memilih syarikat kawalan serangga yang sesuai, buat perbandingan harga dan ulasan dari beberapa syarikat dahulu sebelum memilih yang terbaik untuk bajet anda.

Masalah tikus di dalam rumah ini bukan sahaja menjengkelkan, malah boleh mendatangkan penyakit jika tidak dikendalikan dari awal. Semoga dengan perkongsian kali ini, anda dapat mengurangkan masalah tikus di rumah anda. Semoga berjaya!

Kredit : propertyguru


Busung 24 Bulan ! Jangan Terlewat Membuat Rawatan. Elak Kepercayaan Karut.

5 Apr 2022


Salam,

Suatu waktu dahulu, ketika perubatan moden tidak tercapai dek tangan kerana masalah infrastruktur, kewangan dan logistik, maka rawatan tradisional dipilih sebagai rawatan utama. Ia merangkumi rawatan herba dan akar kayu, petua, jampi serapah ataupun dengan bantuan jin.

Bomoh, pawang dan dukun menjadi pendukung utama di dalam kampung-kampung. Ada waktunya, pemimpin harus dengar cakap mereka dan pendapat mereka perlu dituruti kerana ilmu dan pengalaman mereka tentang kedukunan dan juga amalan firasat.

Namun kini, peranan mereka sudah semakin kurang. Ini kerana, perkhidmatan kesihatan sudah semakin meluas ke ceruk pendalaman. Jika tidak pun, rakyat boleh keluar mencari perkhidmatan perubatan moden walaupun terpaksa menelusi pelbagai rintangan di dalam perjalanan.

Pada waktu 2009 ini, kita mungkin sangka bahawa mereka yang duduk di kawasan pendalaman sahaja yang menolak rawatan moden dan hanya mahukan rawatan tradisional ini secara total.

Itu tidak benar.

2 minggu lepas, saya terjumpa dengan seorang wanita di dalam usia 40-an. Beliau datang dengan perut yang besar dan badan yang sangat kurus. Wajahnya cekung. Mungkin dia menyangka dengan memakai jubah labuh dan lengan yang panjang itu dapat menutup perutnya yang besar sseperti 9 bulan mengandung itu. Cumanya, perutnya bukan membusung 9 bulan tetapi 24 bulan!

Beliau secara terbuka memberitahu bahawa beliau didiagnosis menghidapi fibroid oleh pakar sakit puan 2 tahun lalu. Tetapi beliau buat tidak endah dan hanya mahu berubat secara tradisional. Sudah bermacam tempat dia telah pergi dan pelbagai rawatan tradisional dia telah terima namun "belum ada rezeki" lagi.

Saya terkejut apabila dia memberitahu bahawa dia bertugas di sebuah hospital universiti yang terkenal di Kuala Lumpur. Malah dia kata dia kenal pakar sakit puan si polan dan si polan (yang saya juga kenal) kerana pernah bekerja dengan mereka.

Saya tanya kenapa beliau tidak mahu menerima rawatan dari pakar sakit puan. Wanita berpendapat bahawa beliau lebih serasi dengan rawatan tradisional. Mungkin sedikit segan dengan pakar di tempat beliau bertugas. Tetapi beliau percaya bahawa rawatan tradisional itu boleh membantunya.

Rupa-rupanya beliau pergi ke hospital ini kerana beliau telah berjumpa dengan seorang "pakar" tradisional yang memberitahu bahawa perutnya penuh air. "Pakar" itu mahukan beliau menjalani ujian CT scan supaya air tersebut dapat dikenal pasti dan dibuang. Bagaimana cara ia akan dibuang saya tidak tahu. Mungkin melalui cara batin.

Saya memberitahunya, kalau ketumbuhan ini adalah fibroid, ia bukan lah sejenis air yang terkumpul tetapi sejenis ketumbuhan dari rahim. Kita tidak boleh buang air begitu sahaja sedangkan masalahnya ialah sejenis ketumbuhan berasal dari tisu. Ia perlu dibedah.

Sebelum ini pun banyak sudah cerita tentang fibroid yang banyak dibuang sehingga berkilo-kilo beratnya. Ia boleh dilakukan dan selamat. Asalkan ia bukan kanser.

Beliau tetap dengan pendiriannya untuk menerima rawatan tradisional walaupun beliau mengaku bahawa selama 2 tahun beliau menerima rawatan tersebut, tidak ada perubahan yang berlaku malah ketumbuhan semakin membesar. Dan beliau semakin kurus.

Apa yang boleh saya katakan. Saya berasa sedikit kesal tapi saya yakin itu adalah keputusannya dan kita sebagai perawat harus menghormati kehendak pesakit kita. Apatah lagi beliau tidak jahil dan faham akan penyakitnya.

Cuma mungkin saya boleh berkongsi cerita yang saya terbaca di dalam email.

Kisah seorang perempuan tua yang tinggal seorang diri ketika hujan lebat. Hujan tidak berhenti dan air mula semakin naik ke dalam rumah. Semakin lama semakin tinggi banjir itu sehingga beliau terpaksa naik ke atas meja.

Apabila skuad penyelamat tiba, dan mahu membawanya ke dalam bot beliau menolaknya. beliau berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Beliau pun terus berdoa.

Apabila air naik lagi, beliau terpaksa naik ke loteng. Skuad penyelamat pun tiba lagi untuk membawanya pergi. Beliau menolak dan berkata, pergilah, Tuhan akan menolong aku. Wanita itu terus berdoa dengan lebih kuat lagi.

Apabila air nak lagi, beliau naik ke atas atap. Pasukan penyelamat pun tiba lagi buat kali ketiga. Beliau dengan sikap degilnya berkata, pergilah. Tuhan pasti menyelamatkan aku.

Akhirnya wanita tua itu mati tenggelam.

Apabila dia menemui Tuhannya, Tuhan bertanya kepadanya, kenapa engkau membiarkan dirimu tenggelam?

Wanita itu menjawab, Aku menunggu pertolongan dari Mu Tuhan yang tidak kunjung sampai.

Tuhan menjawab, Bukankah aku telah membantumu dengan menghantar pasukan penyelamat ke rumah mu? Bukan sekali tetapi 3 kali!

(p.s. Cerita ini perlu dianggap sebagai sekadar cerita sahaja)

Kadang-kadang Allah memberi pertolongan melalui pelbagai cara. Ia di hadapan mata kita, tetapi kadangkala kita selalu terlepas pandang.

Perubatan Islam bukan hanya memakan herba-herba dan jampi sahaja. Ia juga merangkumi ilmu-ilmu yang baik, yang dijalankan secara teratur, penelitian melalui sistem empirikal dan macam-macam lagi. Malah, sekiranya terdapat unsur menyerah diri kepada kekuasaan Allah, menggunakan ubat-ubatan yang jelas tidak haram kecuali darurat, menggunakan pendekatan islam seperti adab dan sebagainya, Maka perubatan moden sekarang adalah perubatan Islam yang paling berkesan.

Wallahu A'lam.

Kredit : drazwan


 

Resepi Homemade Pretzels

4 Apr 2022



Pernah tak uolls masuk shopping mall, dari jauh dah bau roti wangiii dan menyelerakan ... Yesss..bau pretzel kan....kalau pergi mall tak beli pretzel rasa menyesal pulak bila balik rumah. Tapi tapi tapi ...harganya mahallah sikit bagi orang yang tak mampu. Lagi lagi kalau beli yang ada caramel sos tu. Mampu ambik bau je lah ...hihi :)

Okay, kalau gitu apakata try resepi Homemade Pretzels yang tak mengecewakan ni. Boleh bagi anak-anak dan seisi rumah makan-makan waktu petang sambal layan tv. 

Untuk hidangan berbuka puuasa atau lepas solat terawih pun sangat-sangat sesuai.... Sure tak cukup punya ... minta dibuatkan lagi adalah....ajomm...

Uolls nak pakai manual ke, nak pakai mixer ke, nak pakai TM6 ke, mana-mana pun OK, Jangan rasa rigid sangat, Yang penting rasa sedap dan happy cooking .. Bismillah...



RESEPI HOMEMADE PRETZELS

Bahan-Bahan

  • 2 cawan susu segar
  • 1 1/2 sudu besar yis
  • 6 sudu besar gula perang
  • 4 sudu besar mentega (lembut pada suhu bilik)
  • 4 1/2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu kecil garam halus
  • 1/3 cawan baking soda
  • 3 cawan air suam
  • 1/4 cawan garam kasar
  • 8 sudu besar mentega (dicairkan)


Cara-Cara

  1. Suamkan susu dengan microwave atau dapur gas lebih kurang 1 minit. (Jangan terlalu panas, biar boleh sentuh dengan jari)
  2. Masukkan yis dan kacau, biarkan lebih kurang 3 minit.
  3. Masukkan mentega dan gula.
  4. Masukkan tepung secawan demi secawan, dan tambahkan garam halus.
  5. Uli dengan mixer dan dough hook, atau dengan tangan lebih kurang 10 minit.
  6. Masukkan doh ke dalam mangkuk yang bergris dengan minyak. Tutup dan biarkan mengembang selama 1 jam.
  7. Apabila doh mengembang kepada dua kali ganda, tumbuk-tumbuk sedikit supaya udara yang terperangkap keluar.
  8. Preheat oven ke 230ºC.
  9. Bahagi doh kepada 12 bahagian. Uli supaya doh memanjang.
  10. Satukan baking soda dan air suam ke dalam bekas.
  11. Pintalkan doh kepada bentuk pretzel dan celup ke dalam bekas air baking soda. Letakkan ke dalam dulang beralas parchment paper.
  12. Renjis dengan garam kasar.
  13. Bakar lebih kurang 7 ke 10 minit atau sehingga keperangan.
  14. Celup ke dalam mentega cair semasa masih panas.
  15. Sedap dihidangkan dengan dipping sos: Sos Karamel, sos Coklat, serbuk kayu manis bergula, sos butterscotch, garlic cream cheese dan sebagainya.





Doktor Berkongsi Cara Mengenal Pasti & Membezakan Antara Daging Khinzir Dan Daging Kambing, Lembu

3 Apr 2022




Beberapa tahun yang lepas, satu kes yang amat mengejutkan orang ramai apabila dilaporkan tentang 4 kontena daging babi yang dipercayai telah bercampur dengan daging kambing yang bernilai RM2 Juta dengan anggaran seberat 120 tan telah dirampas.

Berita ini telah menyebabkan ramai pengguna terutamanya orang Islam sangat terkejut dan turut was-was untuk membuat pembelian daging kambing di pasaran ekoran kes berkenaan terbongkar.

Walau bagaimanapun, perkongsian seorang doktor bernama Taufiq Razif boleh dikatakan telah menyelamatkan kesangsian orang ramai apabila beliau berkongsi cara untuk membezakan atau mengenal pasti daging babi dan berbagai jenis-jenis daging lain.

Menurut Taufiq, maklumat ini disampaikan bukanlah bertujuan untuk menghina orang bukan Islam. Kita harus menghormati pilihan makanan mereka dan cuma kejahatan penyeludup yang mengelirukan orang Islam ini sampai bila-bila pun tidak boleh dimaafkan dan perlu dipantau ketat kerana sindiket penyeludup ini mengambil perkara ni secara remeh.

CARA BEZAKAN DAGING

1. Warna daging babi dikatakan lebih pucat daripada daging lembu atau kambing. Kepucatan daging babi ini kelihatan seperti atau seakan-akan daging ayam.

Namun, agak sukar untuk membezakannya memandangkan kadang-kadang sindiket penyeludup didapati merendam dan sebatikan dengan darah lembu terlebih dahulu sebelum diseludup.

2. Serat daging lembui lebih jelas dan tebal sedikit. Cuba perhatikan serat/urat daging yang terdapat di rumah kita. Adakah ianya jelas atau samar-samar?

3. Lemak pada daging babi pula lebih anjal dan sukar dilepaskan berbanding daging lembu. Cuma kadang-kadang ada saja beberapa bahagian lemak babi yang menyerupai lemak lembu.

4. Tekstur daging babi juga lembik dan mudah diregangkan. Anda disarankan menarik daging yang terdapat di rumah bagi memastikan adakah teksturnya lembik sedikit. Sekiranya teksturnya padat dan kaku insha Allah itu adalah daging lembu.

5. Anda dinasihatkan agar mencium daging terlebih dahulu sebelum dimasak. Jika daging bau hanyirnya berbeza dengan bau hanyir daging yang biasa dibeli, sila berhati-hati. Atau pun sila berhati-hati sekiranya anda terbeli daging yang dikatakan daging kambing tetapi tidak mempunyai aroma kambing.


Menurut Taufiq, maklumat ini disampaikan bukanlah bertujuan untuk menghina orang bukan Islam. Kita harus menghormati pilihan makanan mereka dan cuma kejahatan penyeludup yang mengelirukan orang Islam ini sampai bila-bila pun tidak boleh dimaafkan.

Katanya, sekiranya kita memakan daging khinzir itu sejenis cacing iaitu Taenia Solium yang terdapat di dalam daging tersebut akan masuk dan menjangkiti badan serta akan masuk ke dalam otak (neurocysticercosis).

Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika membuat pembelian daging walau di mana sahaja. Tips dan cara yang disampaikan oleh Taufiq sangat berguna dan harus dipraktikkan agar anak-anak dan keluarga kita terhindar dari termakan daging ini.

Esok Dah Puasa...Ini 5 Moment Lucu Yang Anda Boleh Relate Dalam Bulan Ramadan…

2 Apr 2022



Bulan Ramadan merupakan bulan suci yang dinantikan umat Islam seluruh dunia. Pada bulan inilah kita diajak untuk memperbanyak amal ibadat selain menahan lapar dan dahaga. Nak kejar keberkatan bulan yang mulia ni. Bukan senang, tahun depan belum tentu jumpa!

Tapi disebabkan bulan puasa ni hanya setahun sekali, selalu terjadi moment lucu sama ada anda terlupa sedang berpuasa atau tak tahan sangat nak berbuka puasa. Kami nak share 5 ragam yang anda boleh relate bila tibanya bulan Ramadan. 


1. TERLAJAK NAK SAHUR, SEDAR JE DAH AZAN SUBUH.

Disebabkan waktu bersahur adalah pada awal pagi, kami yakin anda mesti pernah terlajak tidur sampai tak bersahur. Lagi sedih kalau sedar masa tengah azan Subuh. Rasa sedih tu tak boleh nak cakap la.

Bagi anda yang dah biasa berpuasa, mungkin anda rasa takde hal pun kalau tak bersahur. Tapi kalau jenis yang berpuasa masa bulan Ramadan je, mesti rasa nak berguling tunggu waktu berbuka kan?  Nasiblaaa…


2. DAH PLANNING AWAL NAK BERBUKA APA

Baru pukul 10 pagi dah fikir nak masak ke beli je untuk berbuka. Hmmm.. Perangai apa ni? Mungkin setakat planning awal takpe lagi, tapi kalau sampai pengaruh orang untuk sama-sama usha makanan untuk berbuka puasa, sampai anda pon lapar.

Lagi menyakitkan hati kalau anda tengok makanan lepas tu mengadu lapar. Ni boleh bawak gaduh… Baik mengaku anda ada buat tak perangai macam ni?


3. HANTU BAZAR RAMADAN

Puasa dan bazar merupakan 2 perkara yang tak boleh dipisahkan. Setiap kali tibanya bulan puasa, bazar Ramadan lah yang paling dinantikan. Kat sinilah anda boleh jumpa kuih-muih tradisional, ayam bakar, ayam golek, nasi ayam penyek dan pelbagai jenis air kat satu tempat. Harga yang dijual pon berpatutan.

Alang-alang bulan puasa ni mengajar kita erti kesabaran dan menahan nafsu, anda jangan la membazir semasa berbelanja. Beli ala kadar je, sekadar kenyangkan perut jangan nak over lak ye..


4. ASYIK TENGOK JAM… MACAM BARU BELAJAR PUASA

Jangan ingat dah besar tak buat perangai. Makin tua la kadang-kadang perangai  berpuasa mengalahkan budak-budak. Asyik tengok jam je, sebab tak sabar nak tunggu waktu nak berbuka.

Paling parah bila tinggal sejam dua sebelum berbuka, asyik tanya pukul berapa. Lepas tu, gaya lapar macam sebulan tak makan. Siapa ada kawan macam ni? Anda memang perlukan kesabaran yang tinggi nak layan mereka.


5. PERANGAI BILA TEGUK AIR WAKTU BERBUKA, KALAU BOLEH SATU JAG NAK HABISKAN..

Lepas seharian berpuasa, waktu berbuka pastinya dinantikan semua. Dapat pula air manis dan berais, pastinya dapat memberikan rasa lega. Dapat pula minum air favourite memang layan laaa. Kalau boleh nak ada 5-6 jenis air depan mata sewaktu berbuka....Kemudian bersiap-sedialah senak perut dan nak makan nasi pun dah tak dapat masuk..




Kisah susuk Dan Satu Penyesalan

1 Apr 2022


Salam,

Saya ingin berkongsi dengan anda tentang pengalaman saya berjumpa pesakit yang memakai susuk. Mungkin artikel ini agak santai. Sesuai dengan fikiran saya yang serabut dua-tiga minggu ni kerana nak uruskan kuih raya.

Tuan-puan, kalau anda fikir susuk itu benda yang terlalu ajaib. Ia mungkin betul.

Tetapi pada pandangan seorang doktor marhaen seperti saya, ia tak ubah dari sejenis alat bendasing (foreign body) yang dimasukkan ke bawah kulit.

Niat seseorang yang memakai susuk itu, adalah urusan di antara dia dengan Allah. Yang pentingnya, ada yang ingin bertaubat dan datang untuk membuangnya.

Kisah pertama saya adalah ketika saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur dahulu.

Ketika itu seorang lelaki yang sudah berumur datang berjumpa pakar di klinik saya bertugas. Apabila diambil x-ray, maka nampaklah susuk-susuk yang melekat-lekat di sekeliling tengkoraknya.

Beliau sebenarnya ingin menunaikan haji dan berharap pakar tersebut dapat membuang susuk tersebut. Beliau dengan nada sedih dan akhirnya menangis teresak-esak kerana terasa sangat -sangat menyesal dengan keadaan itu.

Beliau telah berjumpa dengan dukun-dukun susuk dan ustaz-ustaz pakar untuk cuba membuangnya, namun ia tetap di situ dan masih kelihatan di dalam x-ray. Dukun yang memasukkan susuk tersebut telah pun meninggal dunia.

Beliau sendiri berharap susuk itu dapat dibuang sebelum beliau meninggal dunia.

Dia dalam keadaan susuk yang banyak dan berselirat itu, mustahil pakar bedah dapat membuangnya. Lagipun x-ray muka adalah gambar 2 dimensi. Oleh itu kedalaman yang sebenar, susuk tersebut terbenam di dalam kulit tidak dapat diukur. Ini merumitkan walau hanya ingin membuang hanya satu susuk sahaja. Ia boleh mengambil masa berjam-jam..!

Di dalam keadaan pesakit tersebut yang menangis, pakar menasihati agar berdoa kepada Allah dan mohon Allah ampunkan dosa. InsyaAllah Allah akan menerima taubat hambanya yang sedar dan insaf.

Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada pakcik itu selepas berjumpa dengan pakar. Saya doakan beliau selamat pulang daripada haji. Lagipun ini cerita 3 tahun dulu.

Cerita kedua kisah seorang lelaki Indonesia yang datang dengan sakit perut. Daripada ceritanya kemungkinan besar beliau mengalami batu karang.

Apabila x-ray buah pinggang dan pundi kencing diambil untuk mengesahkan batu karang, kelihatan susuk yang berselirat di kawasan abdomennya.

Apabila ditanya kepada saudara mara, seorang pun tidak mengetahui. Akhirnya pesakit sendiri mengaku bahawa meliau memakai susuk. Rahsia yang disimpan bertahun-tahun terbongkar apabila diambil x-ray.

Apapun susuk bukan menjadi masalah utamanya sekarang kerana beliau sedang sakit kerana batu karang di pundi kencingnya. Saya ada mengambil gambar x-ray nya tetapi tidak dapat memuatkannya di dalam blog ini... maaf lah.

Susuk adalah manifestasi seseorang yang tiada keyakinan diri. Mereka mempercayai bahawa dengan bantuan kuasa ghaib yang diposesi oleh susuk itu, maka impian dan tujuan seseorang itu akan tercapai. Pedulikan segala jenis amalan khurafat dan syirik asalkan apa yang dihajatnya itu termakbul.

Seseorang yang mempunyai keyakinan bahawa Allah adalah tempat memohon perlindungan dan memohon hajat tidak akan memakai susuk.

Sekiranya anda berhasrat memakai susuk, maka fikirlah implikasi yang akan berlaku sekiranya anda sudah tua dan susuk tersebut dibawa bersama mayat anda ke liang lahad.

Wallahu Alam.



Kredit : drazwan



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.