SLIDER

Sepanjang Aku Jadi Driver Uber, Inilah Pengalaman Yang Paling Manis

4 Aug 2017


Sesuatu aku nak kongsi dengan rakan-rakan driver semua. Sejak dari awal tahun lalu aku jadi driver, belum pernah sekali pun aku ada masalah dengan mana-mana rider (pelanggan). Maki hamun, jauh sekali. Mengeluh kerana tambang rendah pun hanya berbisik dalam hati sahaja.


Belum pernah lagi aku post di sini tentang apa-apa isu panas. Tetapi kali ini, tergerak hati nak cerita kisah pada Khamis minggu lalu.

Aku dapat rider perempuan Cina tua, bertongkat, dari The Intermark ke Alpha Angle Wangsa Maju. Sampai di destinasi, rider tanya sama ada aku boleh menunggu dia membeli barang dapur di Jusco?

Aku berfikir seketika, dengan jalan sesak di luar sana, aku kata aku boleh tunggu, tiada masalah. Bila dia tahu aku sanggup tunggu, dia meminta aku menemani dia beli barang dapur. Sebabnya dia bertongkat, nak bawa troli agak payah. Kira macam kuli jugalah aku dibuatnya. Tetapi, siapa kisah? Bukan orang tahu pun aku siapa.

Jadi aku temankanlah dia. Apa yang menariknya ialah, dalam ketika dia mengambil barang-barang yang mahu dibeli, dia menawarkan aku ambil sekali barang-barang keperluan aku sendiri terutamanya barang-barang rumah.

Pada mulanya aku menolak, tetapi bila dia paksa aku siap ketuk-ketuk kaki aku dengan tongkat dia, akhirnya aku terpaksa jua mengalah. Aku ambillah juga, banyak tak banyak jugalah. Tetapi cukuplah barang-barang dapur untuk aku sekeluarga.

Beras, ayam, susu, makanan kucing, tisu, maggi bagai. Total semua untuk barang aku sahaja RM213. Manakala barang-barang dia pula RM300.

Alhamdulillah, bagi aku ini rezeki Allah nak bagi.

Kata perempuan tua itu, dia belanja sebab aku sudi membantu dan tidak berkira dengan dia. Seriously, selama aku buat job as a driver ini, tak pernah terfikir aku akan berhadapan dengan pengalaman-pengalaman seperti ini. Ini adalah pengalaman manis buat aku.

Dan buat rakan-rakan semua, layanilah rider anda dengan baik. Seteruk-teruk rider kita dapat hari ini, inshaAllah ada rider yang paling bagus yang Allah bagi untuk kita nanti.

Prank

3 Aug 2017


Assalamualaikum.
Semua tahu apa tu prank. Dan aku percaya majoriti pernah prank orang dan pernah kena prank. Mula mula memang seronok kenakan orang tapi bila kita yang kena, berapi juga hati ni kan.. hehe
Aku dulu pun suka prank orang. Bukan dahsyat2 punya, ala biasa biasa je (aku rasalah). Takat telur campur kopi campur nila dan ect, lepas tu curah pada kawan masa birthday dia. Ada yang lain pula, sorokkan barang2 keperluan harian dia (masa asrama dulu) lepas tu pulangkan balik sebagai hadiah hari lahir dia. Seronok tu memang seronok. Kitorang gelakkan dia ramai2. Orang yang terkena pun ikut gelak sekali. Wah, macam suka betul lah time tu. Tapi masa birthday aku, rupa rupanya aku kena lagi teruk. Baju sekolah lesap, beg sekolah dekat bilik lain. Menggagau aku cari macam orang gila. Kawan2 aku siap acah2 tulis surat cinta untuk aku. Konon2 dari secret admirer. Peh, berbunga bunga sekejap hati ni. Hahaha..
Bila terbongkar semua tu, masa tu berapi api aku bila tahu tu semua prank. Beriya aku ingat ada orang dengki dekat aku + ada yang syok ke (hati kemain kembang baca surat cinta tu). Aku putus kawan selama seminggu (acah2 sangat putus kawan). Dalam masa seminggu tu, aku tersedar dan terfikir. Macam ni rupanya rasa di prank oleh orang lain. Sakit hatinya, malunya, marahnya, segala macam rasa aku dapat waktu tu. Dari luar memang nampak gelak2 suka2 tapi dalam hati tu Allah je lah yang tahu. Lepas kes aku kena prank, aku terus insaf. Tak main2 kenakan orang dah. Sebab aku dah rasa dipermain mainkan.
Bila makin lama makin besar, aku tengok prank tu dah jadi benda harian dalam hidup kita. Contohnya, ada rancangan prank dalam tandas. Main tukar2 sign lelaki perempuan (cerita ni dalam Malaysia tau, bukan overseas). Aku tengok ada mak dan anak dia masuk tandas. Si anaknya dah buka seluar dah pun. Itu budak yang kena. Buatnya ada yang pakai tudung tu masuk tandas je buka tudung terus (niat nak betulkan tudung), tak ke naya dah tayang aurat orang. Mana pula yang nak betulkan spentot yang tersedot ke, dah macam2 gaya pula jadinya. Tiba2 keluar kamera, tunjuk dah kena prank. Mak oi, malu wei.
Ada juga aku terjumpa si A post maklumat peribadi si B dekat sebuah confession. Seolah olah macam si B mencari jodoh sedangkan si A ni prank si B. Siap post gambar bagai. Orang2 yang komen galak tag kawan2 masing2. Gelak2 acah nak berkenalan. Tapi yang kena prank tu, apa yang dia hadap agaknya. Oii, kalau aku yang kena, malu abang akak oii. Mana nak sorok muka tu..
Aku pernah buka video apa entah. Nampak macam tak ada apa2 tapi suara background dia. Astaghfirullah. Suara orang mengerang ehem ehem. Aduhh, depan atuk nenek mak cik pak cik sedara bagai pula. Malu kepalang tak terkata, macam aku ni kaki porno pula.
Kalau panggilan2 prank ni, memang aku tak minat. Dia punya panggilan tu boleh buat gaduh tau. Kalau takat biasa2 okaylah. Layan lah juga pagi pagi tu. Tapi kalau sampai kacau tunang orang, cakap nak berkenalanlah. Ada yang kata ada hubungan sulit (berzina) dengan suami/isteri orang tu lah. Kata tak dapat kerja lah, direject permohonan bagai. Ini memang menyumbang sumpahan tujuh keturunan. Hal serius kehidupan, hukum hakam islam jangan buat main tau.
Yang ni pun menyirap. Ada sekali aku tengok kekonon ada dompet jatuh dan siapa2 yang lalu dkat situ, pihak tv ni tuduh orang itu sebagai pemilik dompet tu. Kalau dompet kosong, takpe lah wei. Ini dalam dompet tu acah ada dadah. DADAH tau… Dadah bukannya duit ke mainan ke tepung gandum ke. Azab tau kalau kena tuduh ada dadah. Orang tengok memang gelak2, ye lah prank kan. Tapi cuba bayangkan kalau orang yg kena prank tu ada hal emergency. Ada urusan bank ke, mak atau ayah nazak dekat hospital ke apa ke. Buatnya apa2 berlaku, menyesal seumur hidup orang tu. Kalau kau yang kena pula, agak2 apa rasanya?
Some says ‘Prank is a joke’. Tapi kalau melibatkan maruah orang tu, adakah masih dikira joke? Berbaloikah kita menjatuhkan air muka orang? Dah tak ada common sense ke kita semua ni? Kalau kau yang kena, marah ke suka?

Diam ke melenting?

Tiada siapa yang suka dia dipermainkan. Lagi2 zaman sekarang semua benda di hujung jari, macam2 orang boleh buat untuk prank orang lain. Cukup2 lah prank ni semua. Prank dan joke tak sama. Joke kita sama2 gelak ketawa, suka sama suka tapi prank? Sebelah pihak merana tau!
Apa apa pun, kita bercakap apa pun kena beringat. Nak bergurau melawak boleh, tiada yang halang. Lagi bagusnya sebenarnya sebab akan menghiburkan orang dan kita pun x stress. Tapi tu bukan tiket untuk kita prank orang lain. Ada banyak cara bergurau. Korang pandai2 lah cari hadis hadis bagaimana Rasulullah S.A.W. bergurau. Kalau bagi panjang2, takut x baca pula ye. Ini pun dah panjang, entah korang baca ke idok.
Akhir kata, berkata kata biar berpada pada. Jangan sampai usik jiwa raga, nanti naya. Kalau dah tak ada apa nak cakap atau nak buat, duk diam men pesbuk. Settle tak kacau orang. Okay?
– Kak Da

Krim Kilo . Tak Sangka Bertahun-tahun Wanita Ditipu Dengan Produk Kecantikan Tak Bermutu

2 Aug 2017


Sekarang ni antara isu yang sedang tular adalah kes skincare yang dulunya gah tapi dah terbukti mengandungi bahan-bahan yang bahaya dan merosakkan kulit. Saya yakin, ramai yang sedia maklum dengan kewujudan skincare rebrand (penjenamaan semula) dan krim kilo, tapi berdasarkan komen-komen di kebanyakkan pos yang tular di media sosial sekarang, nampaknya masih ramai juga yang tidak terdedah dengan hal ini.
Apa itu Krim Kilo?
Krim Kilo ni rakan-rakan, adalah krim-krim kecantikan yang dihasilkan di negara jiran, dan jual secara kilo, timbang kati, untuk dibeli oleh golongan yang ingin jadi jutawan skincare dalam masa yang singkat. Rakan-rakan boleh buat carian #krimkilo di instagram, dan ribuan gambar akan muncul. Boleh lah kamu semua saksikan sendiri rupa krim-krim tersebut yang dijual dalam tub plastik, ikat jerut macam tu sahaja tanpa sebarang perlindungan. Boleh tengok sendiri juga kepelbagaian warna krim-krim tersebut. Merah jambu, hijau, jingga, semua ada. Pencuci muka papaya? Ya, boleh beli kilo-kilo juga. Jual dalam botol besar sahaja. Sabun? Hah, pilih la nak warna apa, siap tabur serbuk kilat-kilat lagi.
  1. Kebanyakan founder skincare akan kata, “produk kami diformulasi oleh pakar” atau seangkatan dengannya. Tapi kalau betul diformulasi secara bertauliah, di mana kilangnya? Di mana makmalnya? Memang la tak berani letak alamat kilang dan sebagainya, sebab memang tak ada pun. Duduk bersila di ruang tamu, cedok krim entah lah dengan utensil apa, masukkan dalam bekas (yang boleh dibeli secara borong di atas talian), lekat sticker, siap! Satu kilo krim dibeli dengan harga RM500 (ada pelbagai harga. Foundation selalunya lebih mahal), tapi repack semula dalam bekas 5gm, boleh dapat 200 bekas. Satu bekas jual RM28, dapat RM5600. Ya, untung sehingga RM5100, baru untuk satu jenis krim. Kalau jual sebekas tu RM35, kan dah beribu-riban keuntungan? Kalau jual satu set? Krim siang, krim malam, pencuci muka, sabun sebiji, memang la kau jutawan dah. Sekarang dah faham kan kenapa orang sanggup beli krim kilo dan pasarkan di Malaysia?
  2. Dah banyak kali kan kita baca berita pasal local skincare yang bila kita berhenti pakai, tiba-tiba jerawat naik penuh muka. Banyak kali jugak terbukti ada bahan merbahaya seperti mercury dan sebagainya. Kenapa nak pakai lagi?
  3. Pengasas produk rebrand sangat gemar mempromosi produk mereka sebagai “100% natural”. Tapi kalau dah warna sampai jingga terang benderang tu, natural apa nya lagi? Asal ada bendasing, mana boleh kata “natural”. Berdosa menipu pelanggan.
  4. Sabun natural? Sabun, jika dibuat menggunakan “fragrance oil”, memang tidak natural ya. Tapi kesemua sabun krim kilo menggunakan fragrance oil, kerana fragrance lebih murah. Sebotol RM5 boleh buat 100 biji sabun. So berapa sen sangatlah harga sebiji sabun yang korang beli dgn harga RM10 (ada juga yang jual dengan harga RM50 ya Allah) tu. Sabun natural, dibuat menggunakan essential oil, yang harganya boleh mencecah RM80 sebotol. Sebab tu sabun natural mahal ya. Itu harga kualiti dan keselamatan.
  5. Cara pengasas handle produk pun tidak terjamin. Kalau dibuat di kilang pun kadang-kadang masih diragui, apatah lagi yang dicedok menggunakan sudu sahaja di rumah, kan lebih ngeri?
  6. Tarikh luput produk pula bagaimana? Produk skincare yang berjenama selalunya tarikh luput dikira 12 atau 18 bulan dari hari penutup dibuka. Tapi kalau produk krim kilo? Tarikh pengasah bukak plastik kah? Bukak tutup bukak tutup beg plastik tu nak cedok krim (ya lah, tak ada kilang atau makmal), tarikh mana ya yang para pengguna patut ikut?
  1. Ada pengasas yang sentap. Katanya pengguna berkira, pengguna tak mahu support produk tempatan yang tiada nombor KKM. Kepada pengasas sekalian, selipar kalau putus, kita boleh beli baru. Tapi muka ada satu saja. Kalau rosak, siapa nak ganti? Sebab tu semua orang berhati-hati dan berkira dan beli produk yang tiada kelulusan.
  2. Jangan ingat skincare sahaja dijual secara timbang kati. Kosmetik juga ya. Nama pun entah apa2. Hanya produk rebrand boleh buat perkara macam ni. Jenama dan syarikat yang betul-betul wujud akan ada orang yang betulkan nama yang dipilih sebelum dipasarkan.
  3. “Kalau ada KKM, boleh percaya la kan?” Saya nasihatkan, jangan pernah henti berhati-hati. Sebab semua krim yang tiba-tiba terbukti ada mercury, satu ketika dulu ada KKM juga. Beli lah jenama yang memang dikenali dan terbukti selamat.
  4. Krim kilo, juga dikenali sebagai local skincare (bukan semua ya) memang berleluasa di Malaysia. Cara nak kenal? Selalunya ada krim siang, krim malam, sabun sebiji, kadang-kadang tambah serum, facial cleanser, dan semuanya berwarna-warni. Mohon hati-hati ya, di negara lain tak ada krim siang malam ni. Nama brand pun, tak terbanding dengan jenama yang dah kukuh. Kalau dah ada brand dengan nama yang diyakini stabilnya, kenapa nak beli yang nama pun nampak sangat sambil-sambil tidur ja pilih? Siap salah tatabahasa lagi.
  5. Nak sokong produk tempatan? Beli lah yang memang selamat, yang dijual di farmasi dan drugstore (watsons, guardian). Ada sebab kenapa krim kilo tak dapat dipasarkan di farmasi atau drugstore. Farmasi dan drugstore tentu ada piawaian tersendiri dan tak mungkin memasarkan produk sebarangan yang bahaya.
Jadilah pengguna yang bijak. Dah terlampau banyak kes salah pakai skincare. Beli lah yang dijual di farmasi dan drugstore, dijamin selamat. Bukanlah tujuan saya untuk menutup periuk nasi para pengasas skincare krim kilo, tapi hanya ingin membantu rakan-rakan supaya tidak terjebak dengan produk-produk yang membahayakan kulit dan kesihatan.
Terima kasih.
SUMBER : Kek Keju

Saat-saat Yang Dinantikan Oleh Seorang Surirumah

1 Aug 2017


Bila suami dapat gaji, benda yang paling best ialah pergi supermarket beli barang dapur. Walau cuma pergi Tesco ke Econsave, tapi itulah.. rasa syok sungguh.

Sebab kadang dalam seminggu, terutamanya suami kerja lebih masa memang tak ada peluang keluar rumah. Itulah realiti seorang wanita yang menjadi suri di rumah. Jadi bila suami ajak keluar beli barang, dia punya feeling, yeay bestnya macam nak melompat bintang 3x. Sebab dapat rasa fresh air (fresh la sangat), cuci-cuci mata, & ada orang boleh tolong tengok-tengokkan anak-anak juga (beza dengan outing sendiri dengan anak-anak).

Jangan tak percaya, ramai je mak-mak yang tak berani nak drive keluar sendiri dengan anak-anak. Macam nak keluar, tapi nanti tak jadi bila mengenangkan kegetiran yang mungkin terjadi. Huuu... sayalah antara orangnya tu. Hihi.

Kadang kalau seharian anak-anak asyik mengamuk, sampai kita sendiri muka pun da takleh nak senyum, suami balik saya terus request kat dia, nak keluar satgi. Dia tanya nak pergi mana? Pergi guardian. Nak beli apa? Nak beli shampu. Lepas tu muka suami saya macam; "Eh bukan kat kedai runcit depan rumah pun ada shampu?" 😅 Tapi syukurlah dia tetap ikut je tanpa banyak soal. Haha.

Sebenarnya mungkin ramai suami tak tahu, ramai isteri (especially stay home mother) bila dapat keluar pergi watson sekadar dapat try tester perfume, pergi cuci mata kat Tesco tengok nonstick pan atau ke indexliving tengok decoration ruangan rumah, walau tak beli pun dah rasa happy sangat dah. Serius. Aktiviti window shopping ni ibarat terapi untuk mengurangkan stress & menceriakan emosi.
.
Pernah sekali kami pergi beli barang di Econsave, saya berpisah dengan suami cari barang, ternampak seorang wanita yang juga sedang pilih-pilih barang, tup tup kena tengking dengan suaminya yang tiba-tiba muncul.

"Puas cari kat sini rupanya... Belek apa lagi tu! Menghabiskan duit je tahu. Dah jom balik lah!" Lepas marah terus dia berpaling pergi.

Air muka isteri yang ceria tadi tu terus berubah. Saya pun tiba-tiba serbasalah untuk respon bagaimana sebab saya sedar isteri itu rasa malu & nampak seperti sudah mahu menangis. Terus dia beredar.

Sedihnyalah... kadang hanya sebab isteri duduk di rumah, ada jenis suami yang sewenangnya pandang rendah pada isteri. Anggap isteri duduk rumah rehat-rehat, makan & tercongok depan tv saja agaknya. Bila isteri minta apa-apa dianggap menyusahkan & menghabiskan duit. Allah..

Ketika Mu’awiyah bin Haidah RA bertanya kepada Rasulullah SAW; “Wahai Rasulullah, apa hak isteri terhadap suaminya?”

Baginda menjawab,

“Engkau beri makan isterimu bila engkau makan & engkau beri pakaian bila engkau berpakaian. Jangan engkau pukul wajahnya, jangan engkau jelekkan (mencerca, mencela) & jangan engkau boikot kecuali di dalam rumah.” (HR. Abu Dawud & Ibnu Majah)


Maka hendaklah para suami sedar bahawa apa yang dia nafkahkan kepada isteri & anak-anaknya tidaklah bernilai sia-sia di sisi Allah.

Hargailah para isteri, isteri bukan beban. Bahkan jika suami berbuat baik kepada isteri, isteri senang hati sentiasa mendoakan. Doa tulus itulah magnet rezeki buat kalian.

Alhamdulillah 'ala kulli nikmah. 



Cantik Itu Membunuh. Awas !! Pesanan Untuk Yang Obses

28 Jul 2017


Aku rasa terpanggil untuk berkongsi pendapat tentang satu isu khususnya buat kaum hawa (namun jugak telah menular kepada kaum lelaki), terhadap satu lagi kegilaan dan ketaksuban masa kini, iaitu kecantikkan yang diistilahkan sebagai “beauty hunter”.

Aku merupakan seorang pelajar perubatan di sebuah ipta yang sedang menunggu penempatan di hospital tanah air. Dan sepanjang aku menjadi pelajar, pelbagai jenis manusia aku temui dengan pelbagai jalan cerita dan latar belakang hidup mereka.

Sebelum lebih lanjut, tahukah anda penyakit nombor satu di Malaysia adalah sakit jantung (yang berkaitan dengan permakanan dan gaya hidup kita) manakala kanser kini berada di tangga nombor dua?

Dan terutamanya untuk para wanita, lima kanser utama yang membunuh pada waktu ini adalah kanser payu dara (nombor satu) ,disamping kanser kolon (usus),serviks , ovari dan paru-paru. Malah melihat kepada kepesatan penyakit-penyakit kanser, menjelang tahun 2020 dijangkakan kanser akan menjadi pembunuh nombor satu di dunia.

Kesedaran masyarakat kita terhadap bahaya kanser masih rendah, dan kerana itu kita dibanjiri dengan pelbagai kegilaan-kegilaan hipster seperti food hunter, kecantikkan dan sebagainya. Secara ringkas disini, kanser terjadi apabila berlaku pertumbuhan sel abnormal yang tidak terkawal di dalam tubuh badan manusia. Jadi apa sahaja yang boleh menyebabkan sel badan membesar atau membahagi secara tidak normal berpotensi untuk mengakibatkan kanser seperti pendedahan terhadap bahan-bahan kimia atau toksik, radiasi, dan faktor keturunan atau genetik manusia.

Confesion aku ini bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak atau nak cantas rezeki atau bisnes siapa-siapa. Tapi aku rasa perlu untuk kita ambil masa sedikit dan merenung sejenak apa yang telah kita lakukan pada tubuh badan kita yang merupakan amanah dari tuhan, agar kita sedar sebelum terlambat dan tidak meletakkan diri kita dalam kecelakaan.

Dalam kehidupan harian kita, kita tidak boleh lari dari terdedah kepada bahan-bahan kimia, dari segi permakanan dek kerana kekangan waktu, kita banyak mengambil makanan diluar dan juga makanan berproses disamping fast food. Jadi perkara itu sudah menjadi normal dalam masyarakat, tapi kegilaan kita tidak berhenti disitu apabila ditambahkan pulak dengan penggunaan bahan-bahan kimia yang lain seperti produk-produk kecantikkan yang meningkatkan lagi kandungan bahan-bahan kimia yang sedia ada dalam tubuh badan kita.

Aku ingin kongsikan sendiri bagaimana aku berdepan dengan pesakit-pesakit kanser yang menderita kerana obsesisi ‘nak cantik’ ini. Ketika aku menjadi pelajar dulu, ramai pesakit wanita yang aku temui diwad wanita menghidap kanser. Sehinggakan pernah ada minggu-minggu dimana katil-katil hospital memang penuh gila dengan pesakit kanser.

Berdasarkan pemerhatian aku terhadap pesakit kanser ini, mereka mempunyai hampir satu persamaan yang jelas, nyata, terang lagi bersuluh, iaitu penggamalan produk-produk kecantikkan tidak kira ianya ubat-ubat tradisional (yang sudah bercampur bahan kimia) atau produk-produk kecantikkan yang berlambak di pasaran. Tidak terhad hanya kepada produk mencantik dan mencerahkan wajah, ia merangkumi jugak supplement-supplement kesihatan, produk kosmetik,produk penegang payudara, pil-pil kurus, dan produk kesihatan dalaman, harian dan pencuci wanita.

Aku masih ingat, pertemuan aku dengan seorang wanita, dalam lingkungan umur 50 an, ketika aku menemubual (dalam istilah perubatan dipanggil history taking). Mak cik ni aku namakan mak cik A, menyambut kedatangan aku dengan senyuman yang tak lekang dibibir. Tak tergambar langsung kesedihan atau perderitaan yang dia tanggung. Mak cik A ini disahkan menghidap kanser ovari tapi aku tak ingat tahap berapa, yang pasti badan dia kurus, dan muka sedikit cengkung. 

Dia menceritakan bagaimana dia mula-mula sedar tentang masalah itu. Katanya selepas dia bersama dengan suami, dia mengalami kesakitan dan pendarahan pada bahagian sulit. Setelah menjalani pemeriksaan di hospital dia disahkan menghidap kanser ovari.

Perbualan itu semakin jauh dan serius dengan aku menanyakan amalan dan gaya hidup mak cik A, merangkumi sejarah keluarga jika ada dalam keluarganya jugak menghidap kanser, permakanan dan produk-produk kesihatan sampingan yang dia ambil. Tiada sejarah kanser dalam keluarganya, tidak merokok juga mengamalkan permakanan sihat kecuali satu benda yang dia tekankan semasa temubual itu, adalah gaya hidup dia sejak dari zaman anak dara,

iaitu pengamalan pelbagai produk-produk kecantikkan seperti jamu, dan segala macam produk kt pasaran demi memenuhi kehendak suaminya dan dirinya untuk sentiasa kelihatan cantik, menarik dan tertarik . Malah walaupun sudah lanjut usia, dia masih mngamalkan tabiat itu kerana sekarang produk yang ada sudah pelbagai jenis dengan aneka pilihan juadah yang lebih banyak berbanding zaman dia muda-muda dulu.

Sebelum aku meminta diri, mak cik A menyampaikan satu pesanan yang masih aku ingat sampai sekarang. Kata mak cik A,”Anak, tolong pesan pada semua orang, pada kawan-kawan dan ahli keluarga, jangan amalkan makan produk-produk macam ni, sebelum dapat kanser macam mak cik” kata-kata itu diakhirinya dengan senyuman. Jadi aku menganggap confession ini adalah salah satu amanah dan pesanan terakhir dari mak cik A buat kaum hawa sekalian.

Seorang lagi pesakit, masih muda, dalam lingkungan 35-40 an, aku gelarkan dia kak B. Kak B ni disahkan menghidap kanser payudara. Ketika ditemui, dia sudah menjalani pembuangan payudara. Katanya dia menyedari ada ketulan namun membiarkan kerana takut ke hospital sehingga ia menjadi sedikit bernanah dan membusuk. Apabila ditanya lebih lanjut, dia mngatakan mengamalkan ubat-ubat sapuan dan jugak suntikan menegang dan membesarkan payudara bagi kepuasan si suami yang mahukan dia memiliki payudara yang besar, pejal dan mantop. 

Menurutnya lagi, si suami kini menyesal beribu sesalan kerana meminta hal tersebut namun semuanya sudah tidak berguna lagi . Dia menceritakan kepada aku dengan mengharapkan kisah dia ini menjadi pengajaran buat kaum wanita diluar disana yang obses terhadap kecantikkan agar berhenti merosakkan diri anda demi memenuhi nafsu suami atau nafsu diri sendiri.

Ramai diantara kita yang salah faham dengan menganggap produk-produk yang digunakan dipasaran selamat kerana telah mendapat kelulusan KKM. Namun ‘selamat’ dan ‘lulus’ yang dimaksudkan itu bukanlah bermakna bahan-bahan itu tidak mendatangkan kesan jangka panjang yang bahaya kepada tubuh badan kita. Sebaliknya kandungan ‘racun’ itu masih terkawal dan dibenarkan penggunaannya. Tapi jika diamalkan secara berterusan dalam jangka masa yang lama, bahan-bahan kimia itu berpotensi menganggu keseimbangan hormon dan menyebabkan mutasi kepada sel tubuh badan yang membawa kepada barah atau kanser.

Beringatlah para wanita, kanser bukan penyakit biasa. Penderita akan menderita secara perlahan-lahan sebelum malaikat izrail datang memanggil. Aku sendiri tidak sanggup melihat keadaan pesakit-pesakit kanser bertarung nyawa sehingga aku berharap dijauhkan diuji sedemikian rupa. Kebanyakkan pesakit ini akan berakhir dengan kematian kerana kebanyakkan kanser dikesan agak lambat sehingga mencapai stage atau peringkat yang telah kronik. Berhentilah dimomokkan dengan kecantikkan dikaca tv sebelum terlambat. Keseronokkan anda sekarang adalah penderitaan anda akan datang. Obsesi anda terhadap kecantikkan akan membunuh anda jauh lebih awal.

Bukan tidak boleh cantik, tapi bersederhanalah. Jika anda ingin juga menggunakan produk kecantikkan, kurangkanlah dan cukuplah sekadar penggunaan luaran saja seperti pencuci muka. Berhentilah mengambil produk-produk pil, serbuk atau apa saja dipasaran kerana ia meningkatkan kandungan kimia dalam badan anda. Benar, kesan bahan-bahan ini terhadap individu adalah berbeza. Namun banyak bukti yang menunjukkan bahawa bahan kimia tertentu ini boleh menyumbang kepada kanser ini terjadi.

Kembalilah kepada penggunaan bahan-bahan semula jadi dan jugak petua-petua tradisional orang-orang dulu yang jauh lebih selamat dan berkesan daripada produk-produk sekarang. Amalkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan antioksidan semula jadi yang bukan sahaja melambatkan proses penuaaan malah ia menggalakkan pertumbuhan sel-sel baru disamping menyingkirkan sel-sel rosak yang mengalakkan pertumbuhan kanser.

Pesanlah kepada keluarga dan orang tersayang anda, sampaikan maklumat kepada mereka tentang bahayanya bahan-bahan kimia ini terhadap kesihatan mereka. Ibu aku sendiri satu ketika dulu berada dalam kategori obses kepada kecantikkan. Macam-macam produk yang di”claim” sebagai produk kesihatan dia ambil. Tapi Alhamdulillah dia diberikan kesedaran lebih awal sebelum terlambat dan mak aku kini dah berhenti menggamalkan gaya hidup seperti itu.

Dan pesanan aku untuk kaum lelaki, terutamanya para suami. Jika anda sayangkan isteri anda, hentikanlah jugak kegilaan anda mengejar kecantikkan daripada para isteri. Kebanyakkan pesakit wanita yang aku jumpa, ramai mengatakan terpaksa mengamalkan pengambilan produk-produk kecantikkan ini kerana si suami mahukan mereka cantik ,muda dan ‘ketat’ seperti mereka mula-mula kahwin dulu. malah ada yang jika tidak ambil, suami mengugut akan kahwin lain, diceraikan, diabai dan sebagainya. Sayangilah isteri anda seadanya kerana mereka adalah ketua bidadari anda disyurga nanti. Kepuasan anda nanti akan menjadi barah dan kanser buat para isteri.

Sekian,terima kasih.
– Z

Coretan Mengenai Silibus Persekolahan Anak-Anak Di Luar Kemampuan Usia




SEJAK akhir-akhir ini timbul perbincangan mengenai hala tuju pendidikan anak kita. Sekali- kali saya tidak bermaksud untuk mengkritik, kerana saya mempunyai ramai sahabat-sahabat dari kalangan guru, dan saya amat menyanjungi tugasan mereka dalam mendidik anak-anak kita, sebagaimana saya amat menyanjungi guru-guru saya yang mengajar berbagai konsep dari mula membaca, mengira sehingga ke peringkat lebih tinggi. Cuma saya berharap diberi peluang untuk memberi sedikit maklum balas tentang silibus anak -anak, dari kacamata seorang ibu dan ahli masyarakat.

Saya melihat baru-baru ini anak saya di tingkatan 1 telah pun didedahkan dengan sistem reproduksi. Dia tidak dapat menjawab dengan baik. Saya masih ingat, 2 atau 3 tahun yang lepas si abang belajar topik ini ketika di tingkatan 3, dan ada soalan percubaan PT3 telahpun bertanyakan pelajar tentang konsep perancang keluarga menggunakan senario pesakit yang mempunyai sista ovari (ovarian cyst).

Saya melihat buku sains tingkatan 1 anak saya, dan penerangan tentang sistem reproduksi amat ringkas, menyebabkan sukar bagi anak seusia 13 tahun memahami apa yang berlaku dalam kitaran haid seorang wanita.

Sebagai pensyarah fisiologi perubatan, saya memang faham tentang topik ini. Namun, para pelajar perubatan yang saya ajar, memerlukan lebih dari sekadar kuliah. Mereka ada sesi tutorial dan diperkayakan dengan sesi diseksi/bedah mayat bagi melihat organ reproduksi dan diambil pula tisu rahim untuk dilihat di bawah mikroskop. Baru mereka dapat memahami dan menggambarkan kitaran haid secara penuh dan kaitannya dengan hormon.

Saya faham tanggung jawab ibubapa harus turut membantu anak-anak dalam pencapaian akademik mereka. Maka bagi anak saya yang tingkatan 1, saya dapat menerangkan secara ringkas di mana kesalahan beliau, walaupun melihat matanya yang terkebil-kebil, dia belum memahami lagi apa yang sebenarnya membentuk dinding rahim, apa itu proses ovulasi dan lain-lain.

Saya terfikirkan ibu yang bukan dari latar belakang sains atau perubatan, keluarga yang tiada akses internet, bagaimana mereka dapat membantu anak-anak mereka?

Sewaktu soalan percubaan PT3 mengenai perancang keluarga keluar 2-3 tahun dulu, sahabat saya yang merupakan doktor pakar perbidanan dan sakit puan, menyatakan hanya anak beliau yang mendapat markah penuh. Sahabat saya ini mengendalikan klinik kesuburan dan perancang keluarga.

Soalan peperiksaan penggal sains bagi si adik ketika beliau didalam darjah empat adalah tentang “perubahan kadar pernafasan, ketika inhalasi (menyedut udara)”. Saya memang terkejut.

Pertamanya soalan itu salah, kerana menarik nafas dalam dan kadar pernafasan adalah variabel/pembolehubah yang sama. Yang sebetulnya ialah kadar denyut nadi yang berubah apabila seseorang menarik nafas dalam. Dan konsep ini amat sukar difahami hatta oleh pelajar perubatan sekalipun kerana ia melibatkan pemahaman tentang banyak lagi sistem sirkulasi (venous return, end diastolic volume etc) dan pernafasan (intrathoracic, intrapleural, transpulmonary pressure), sehingga mereka memerlukan 3 jam praktikal bagi menguji dan memahami konsep perubahan ini.

Bagi budak berusia 10 tahun, bagaimana menerangkan konsep ini selain menghafal sahajalah? Soalan adalah berbentuk pilihan objektif.

Lantas saya titipkan nota pada guru beliau menerangkan bagaimana soalan itu salah. Sekembalinya anak saya dari sekolah, saya tanyakan tentang nota saya, katanya hanya jawapan beliau dibetulkan. Saya rasa saya faham dilema guru anak saya dan saya tidak ingin “pressure” mereka. Saya berharap teguran saya sampai ke pihak panitia.

Saya juga masih belajar tentang Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) atau Higher Order Thinking Skill (HOTS), dan meraikan konsep ini kerana kita tidak mahu rote-learning atau pelajar yang hanya memuntahkan hafalan pelajaran mereka. Namun saya berpendapat KBAT bukan bermaksud konten/kandungan pelajaran yang lebih tinggi dari usia pelajar, tetapi bagaimana pelajar berupaya mengaplikasikan apa yang mereka belajar dengan masalah semasa, sesuai dengan usia mereka.

Apabila konten yang diberikan lebih tinggi, maka teepaksa ibubapa mendapatkan bantuan tambahan seperti tuisyen. Kerana itu ramai yang masih memerlukan kaedah latihtubi seperti diamalkan KUMON bagi subjek seperti matematik dan bahasa. Bagi keluarga yang mampu, bolehlah. Bagaimana dengan mereka dari keluarga yang berpendapatan rendah?

Di Kulliyyah Perubatan UIA dahulu, terdapat posting kesihatan masyarakat di Ulu Tembeling. Saya pernah, sewaktu menunggu bot penambang dari Kuala Tahan, berbual dengan seorang ibu dari Kampung Bantal. Beliau memindahkan anaknya ke sekolah kebangsaan di Kuala Tahan, sedangkan ada sekolah Ulu Tembeling di Kampung Bantal tersebut. Anaknya yang darjah 1, terpaksa duduk di asrama kerana jarak Kg Bantal ke Kuala Tahan melalui bot adalah 3 jam. Tak rindukah pada anak, tanya saya, kecil-kecil lagi duduk di asrama. Sedih dan rindu katanya, tapi sekolah di Kg Bantal ketika itu, kekurangan guru. Di Kuala Tahan, guru – guru mencukupi. Saya sendiri tak pandai nak ajar anak saya doktor, katanya.

Begitulah pengorbanan ibu ayah bagi membantu anak2 mereka mendapat yang terbaik. Justeru itu, apabila silibus kita direka dengan suatu bentuk yang memerlukan ibubapa turut sedikit sebanyak harus mempunyai latar belakang sains, matematik, english, physic, chemistry agar dapat membantu anak2, atau terpaksa mengeluarkan wang tambahan bagi menghantar anak2 ke kelas tuisyen, saya sentiasa terfikir ibubapa yang kurang berkemampuan, yang bertungkus lumus mencari sesuap nasi, pelajar-pelajar yang “average” yang asas mereka masih belum mantap. Mungkinkah minat mereka terkubur kerana sukarnya mengikuti silibus yang ‘skew/ condong kepada pelajar2 bijak?

Saya berharap pihak kementerian pelajaran dapat mengambil coretan saya ini sebagai maklum balas yang positif dari seorang ibu yang melihat perkembangan dan respon berbeza anak-anaknya melalui perubahan silibus, dan sedikit pedagogi pendidikan sains/biologi perubatan.


RUJUKAN – Gambar di atas adalah soalan sains tingkatan 1
– Gambar di bawah adalah soalan sains darjah 4, yang pada hemat saya mempunyai lebih dari 1 jawapan betul kerana perkumuhan dalam badan manusia bukan sahaja usus, bahkan oleh buah pinggang, hati dan kulit.


TAMBAHAN NOTA GAMBAR KE 2:
Terima kasih kepada yang memberi pandangan terutama guru- guru. Seperti yang saya katakan dalam posting asal, saya memahami tugasan guru dan keperluan mereka mematuhi silibus, justeru itu tulisan saya adalah lebih ditujukan kepada penggubal silibus. Saya juga hanya menumpukan kepada beberapa permasalahan melibatkan soalan2 berunsur perubatan dan kesihatan (selain dari 1 contoh soalan matematik).

Dalam soalan perkumuhan di atas, saya kurang faham kenapa diasingkan perkumuhan dari penyahtinjaan. Perkumuhan (excretion) adalah terma payung meliputi:

Perkumuhan oleh buah pinggang : pembuangan air kencing (urination) Perkumuhan oleh usus : penyahtinjaan (defeacation)  Perkumuhan oleh kulit : perpeluhan (sweating) Perkumuhan oleh hati: detoksifikasi

Oleh kerana itu, pemisahan perkataan perkumuhan dan penyahtinjaan tidak berapa tepat kerana penyahtinjaan adalah satu proses dibawah perkumuhan.

Sebab itu maklum balas ini adalah untuk penggubal, bukannya guru2 yang berdedikasi dan mengikut silibus yang diberikan.

Keduanya, bagi anak2 semuda 10 tahun, ada baiknya penekanan diberikan kepada PROSES perkumuhan, dibandingkan dengan terus memastikan mereka menghafal penyakit2 dibawah 2 kategori tersebut seperti yang ditanya dalam soalan.

Ini hanyalah maklumbalas. Saya menerima penerangan guru – guru dengan besar hati. Terima kasih.

-Gambar ketiga adalah soalan matematik darjah 4 anak kepada sahabat saya, yang kesalahannya hanyalah kerana sususan nombor kumpulan dan bilangan kumpulan yang salah, walaupun jawapannya betul.


Semoga kita semua dapat berbincang dengan berhemah dan mencari penyelesaian terbaik insya Allah demi generasi anak-anak kita.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar Timbalan Dekan dan Pensyarah Fisiologi USIM

Dilema Seorang Lelaki Kacak


Aku dilahirkan sebagai seorang lelaki yang cukup sifat malahan mempunyai banyak kelebihan berbanding lelaki lain... Ya!! Aku dilahirkan sebagai seorang lelaki kacak... bukan sekadar kacak malahan mempunyai kebijaksanaan yang ekstrem... . Ujian IQ aku menunjukkan aku seorang lelaki kacak yang mempunyai markah IQ sebanyak 160.

Berkulit sawo matang, berdada bidang, berketinggian yang sesuai dan berhidung agak mancung... Aku kelihatan agak garang dengan misai melintang,tetapi kerana sifat ceria semulajadiku, aku disenangi kawan danawek-awek tak kira yang cun atau tak cun. Semasa aku menunggu keputusan SPM, aku bekerja di kilang papan, kerja berat ini menyebabkan badan akumenjadi tough dan wings ototku menyerlah sekalipun aku pakai baju longgar.

Selepas tamat pengajian aku di sebuah universiti terkemuka dunia, aku bekerja yang agak glamer... Berkereta mewah,sekali pun milik agensiku, tapi sudah cukup untuk memikat hati gadis yang cantik dan tak cantik, malahan.. ramai lelaki tak hensem iri hati dengan kehebatan dan kekacakanku... Aku sering mengayakan imej ranggi,berkasut kulit ala koboi (siap ngan rantai tu), berjaket kulit hitam mengantikan kot, mengenakan neck tie berimejkan metallica, jam rantai tembaga, serta berkepala talipinggang yang lebih besar dari pelempang kebanyakkan awek yang aku kenali. Aku cukup agresif di pejabatku,sehinggakan pegawai atasanku jua dengki dan jaki terhadapku.

Kejakian mereka tidak hanya terhadap penampilan dan mutu kerja yang cemerlang sahaja. Aku sering digossipkan sebagai lelaki gigolo, jantan kabaret,lelaki jalang malahan, aku juga digossipkan sebagai lelaki gay bilamana aku tak melayan cinta beberapa awek... . Bila aku dilihat minum bersamaawek yang tak cun... aku dituduh gigolo dan pisau cukur... Jika aku keluar dengan awek cun pula, aku dituduh mengeksploitasikan kekacakanaku untuk memikat gadis jelita... Jika aku dilihat berhemah dan bersantun dengan wanita-wanita tua yang kebanyakkan bergelar datin,mereka menuduhku sedang memasarkan khidmat gigoloku... .

Awek cun merasakan aku terlalu hebat untuk mereka, awek tak cun pula mengatakan aku jual mahal... Suami-suami pula sering menjeling tajam bini-binimereka takut bini terpikat ngan aku... dan mak-mak bapak yang ada anakperempuan sering menyorokan anak mereka bila aku bertandang ke rumahmereka... takut anak mereka lari ikut aku... Yang ada anak-anak dara sunti pula menjerit-jerit suruh masuk ke rumah bila melihat akumemerhatikan anak-anak mereka bermain di laman... mungkin mereka takut aku seorang lelaki kacak yang gila seks ganas dan sadis seperti pembunuh nurin.

Oh dunia!!!! Salahkah aku menjadi lelaki kacakyang hebat.  Apa yang harus aku lakukan sekarang. Usiaku sedangmemanjat tangga ketuaan, umurku telah lama melepasi zaman remaja.. Tapi aku masih di sini... kekal sebagai lelaki kacak yang hebat... seorang diri... berkelana di rimba kehidupan nista dan fitnah dunia... .

(Resepi : Video) Original Lava Cheese Tarts

27 Jul 2017


Perghhh...meleleh air liur tengok Lava Cheese Tart ni. Ini baru gambar, belum lagi buat. Selalunya kita makan kek cheese lava kan, kali ni boleh lah buat Lava Cheese Tart . Bahan-bahannya simple dan boleh beli di kedai-kedai yang jual bahan-bahan pembuatan kek.

OK .Makan sejuk-sejuk ni lagilah menambah selera ... kalau nak buat bisness jual ni pun .. ajomm ..



RESEPI ORIGINAL LAVA CHEESE TARTS 😍😍

☄️ Cara buat tart shell atau kulit pastri luar tu.
Bahan-bahan :
Anchor UnSalted Butter 150 gram dan icing sugar 50 gram
Telur Gred A sebiji
Tepung serbaguna 300 gram dan sedikit garam.

Cara-cara :
Campurkan semua butter dan icing sugar di kacau rata. Tambahkan sebiji telur dan tinggalkan sehingga menjadi doh. 

Rehatkan doh selama 30 minit di dalam chiller dan masukk ke dalam loyang tarts mengikut saiz yang dikehendaki. 

Buat setebal 2mm dan bakar tart shells pada suhu 180C selama 13-15 minit. 

Cara buat campuran Lava Cheese (bahagian tengah)
Bahan-bahan :
Anchor Cream Cheese (dilembutkan) 250gram bersama Anchor Salted Butter 50gram
Anchor Whipping Cream 150g bersama Susu UHT 100gram
Perfect Italiano Parmesan Cheese 15gram
Gula 100gram
Tepung Kastard 15gram
Telur Grade A sebiji dan Esen Vanilla satu sudu kecil

Cara-cara :
Campurkan cream cheese, butter, whipping cream, susu, parmesan dan gula. 

Semua sekali mengunakan cara double boil dengan air panas pastikan semua sebati. 

Asingkan air tersebut dan masukkan tepung kastard, telur, esen vanilla. Gaul rata sehingga adunan menjadi pekat. 

Tinggalkan adunan di dalam peti sejuk beku selamat 2 jam sebelum di sapu dengan putih telur. 

Bakar pada 230C untuk 7-8 minit sehingga bahagian atas bertukar keperangan.

Dah siap pun resipi ORIGINAL LAVA CHEESE TART untuk yang mencuba resipi ini di rumah. Pastikan oven masing-masing tau, sebab masa membakar kadang-kadang bergantung pada oven di rumah kita jenis apa. 

kredit video : Seminit Resepi

Guna Ubat Sembur-Sembur, Ini 4 Nasihat Untuk Pesakit Kencing Manis Oleh Pakar Perubatan

26 Jul 2017


Guna ubat sembur-sembur untuk Kencing Manis, akibatnya kena beraya di Hospital!

52 tahun, bertahun Kencing Manis dan Darah Tinggi. Semua komplikasi sudah ada, tapi masih tidak pernah terkawal bacaan gula nya. Akhir sekali ke klinik bulan Ogos 2016, kerosakan buah pinggang kronik tahap 4; bacaan creatinine 309 umol/L (normal bawah 100).

Entah dengar "nasihat" siapa, beliau hilang dari radar. Tinggalkan keSEMUA insulin & ubat-ubat yang lain. Pastu ambil ubat sembur-sembur G***** yang berperisa epal.

Orang sibuk berhari raya (raya pertama), beliau sudah tak tahan. Kaki bengkak seminggu. Mana taknya, bacaan creatinine sudah sampai 1100 umol/L. Tidak sampai berapa bulan, buah pinggang rosak habis dan memerlukan rawatan Dialisis seumur hidup.

Kami menyarankan Dialisis secepat mungkin tetapi beliau berlengah. Tak mahu dulu katanya. MasyaAllah hendak tunggu apa lagi, kami pun tak tahu. Tup-tup dua hari kemudian, pada pukul 8 malam, tiba-tiba beliau tukar fikiran. Nak Dialisis, lepas itu minta nak buat SEKARANG juga.

Maaf ye Pakcik, kami semua manusia biasa. Walaupun kami senyum sentiasa, memang agak membara di dalam.

Elok saya berpesan di sini:
1. Tidak ada ubat sembur-sembur untuk Kencing Manis. MENIPU. Tidak ada apa yang diserap lidah yang boleh sampai ke organ pankreas untuk penghasilan insulin.

2. Mohon jangan cari jalan mudah untuk rawatan Kencing Manis. Ikut nasihat Doktor, jururawat, pegawai farmasi dsb. Kawalan mesti sampai tahap gula (puasa) 4.4 - 7.0 mmol/L dan HbA1C < 6.5% (CPG 2015). Jangan sekali-kali TINGGALKAN ubat. Mencari nahas namanya. Kalau teruk bacaannya, maaf, sekejap sahaja organ-organ dalaman anda akan rosak.

3. Kalau Doktor sarankan apa-apa ujian atau rawatan di hospital, ikut sahaja lah. Bayaran gaji kami sama sahaja, buat atau tidak. Kami buat semuanya untuk menyelamatkan nyawa anda.

4. Mohon pesakit-pesakit memahami tugas Doktor. Kalau malam-malam minta itu ini, mana mungkin! Seorang Doktor menjaga entah berapa ratus pesakit. Nak nak lepas Raya ini, hospital dah jadi macam rumah terbuka. Sakit berbulan, berminggu-minggu pun baru nak datang. Ramai yang dah teruk sangat, yang ini memang susah nak diselamatkan.

Ya betul, anda memang boleh membuat pilihan apa-apa yang anda mahu. Tapi fikir-fikirkan lah. Kalau anda sakit, siapa yang susah.


Pakar Perubatan & Buah Pinggang


Teringat peristiwa gambar di bawah pagi tadi. Kami berusaha untuk menyelamatkan pesakit berumur 30 tahun, anak comel nya baru berumur 4 tahun. Pesakit lain tapi tenat gara-gara Kencing Manis juga!



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.