SLIDER

Jangan Menangis Kalau Ditakdirkan Jadi Ibu Tunggal

21 Dec 2021

 



Kalau sesetengah wanita merasakan tanpa lelaki di sisi susah untuk meneruskan hidup, tetapi wanita yang saya namakan Aishah ini bukan sahaja menganggap apa yang menimpanya sebagai qadak dan qadar tetapi sebagai pengalaman yang berharga dan meletakkan diri seseorang individu itu lebih tinggi daripada sebelumnya.

Kata Aishah dalam sepucuk surat yang dihantarkan kepada penulis dan ketika dihubungi melalui telefon semasa beliau bercuti di kampungnya, pengalaman tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Sebaliknya pengalaman yang ditempuhi membuatkan seseorang itu lebih matang dan bersemangat waja.

Saya ingin menceritakan pengalaman saya agar dapat dikongsi bersama dalam melalui hidup yang mencabar ini.Sejak kecil, kepahitan hidup buat saya sudah menjadi perkara biasa, malah kini saya beranggapan bahawa tanpa kepahitan kita tidak akan tahu menilai kemanisannya. Kerana kita kenali apa itu manis setelah kita merasa dulu apa itu pahit.

Usia saya kini di awal tiga puluhan, seorang ibu tunggal yang kematian suami, arwah meninggal dunia lebih kurang lima tahun lalu kerana leukemia. Saya redha dengan dugaan Allah. Bagi saya semuanya kerana Dia sayangkan saya. Bukan senang untuk menerima cabaran sebegini berat kecuali insan yang dipilih-Nya saja. Dan saya beruntung kerana pilihan-Nya sebagai ibu tunggal dengan jutaan cabaran. Itulah kehendak Allah.

Saya berkahwin pada usia muda, ketika 21 tahun, anak dara tengah naik, tentu ramai peminat, tapi dalam ramai-ramai itu saya sukakan arwah suami saya. Kami sama-sama belajar di maktab. Selepas berkahwin, saya mengikutnya berpindah di KL. Di bandar raya ini saya belajar hidup yang penuh cabaran dan saya beruntung setelah empat tahun kahwin saya dikurniakan dua orang anak. Malangnya yang kecil sekali meninggal dunia ketika berusia lima bulan kerana penyakit jantung kronik.

Kematian anak lelaki saya bagaimanapun digantikan lagi setelah saya hamil kali keempat. Allah terus menguji kekuatan saya ketika anak lelaki saya berusia setahun, suami saya pergi menghadap-Nya. Ternyata Allah lebih sayangkannya. Saya menangis berminggu-minggu lamanya kerana kehilangan suami tempat saya bergantung.

Saya mengaku pada mulanya saya tidak berdaya walaupun untuk menyuap seulas nasi ke mulut. Berat badan saya turun mendadak, dunia saya rasa bukan tempat untuk saya lagi. Air mata sentiasa menitik setiap kali terkenangkan suami. Dan setiap kali anak menangis, setiap kali itulah air mata saya jatuh bercucuran. Saya tidak terdaya menempuh hidup tanpa suami dengan anak-anak yang masih kecil.

Entah macam mana satu malam, Tuhan memberikan kekuatan dalam diri saya, saya bangun dan terus berhenti menangis, saya lihat anak-anak tidurÊbergelimpangan, saya sedar saya telah mengabaikan mereka. Mereka juga kehilangan ayah, cuma mereka tidak pandai melahirkan dengan kata-kata.

Sejak malam itu saya kuatkan semangat, kebetulan waktu itu saya sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Adik-beradik suami saya menyarankan supaya saya berhenti belajar supaya dapat tumpukan perhatian kepada anak-anak. Tapi saya masih ingat pesanan arwah suami saya supaya terus belajar.

Menjadi ibu sekali gus membesarkan tiga orang anak yang masih kecil di samping belajar menuntut masa yang panjang. Bukan satu tugas mudah, tambahan pula saya tidak ada saudara-mara di KL untuk berbincang atau meminta bantuan. Sedangkan wang diperlukan untuk belajar, penjagaan anak, makan minum, susu, sewa rumah, tambang dan sebagainya. Saudara-mara tu biasalah, bila senang ramai yang nak tumpang, bila susah semua hilang. Itulah lumrah hidup.

Dalam kesulitan dan kepayahan saya teruskan pengajian, anak-anak sentiasa berpindah randah ke rumah jiran yang sudi menjaga mereka. Tetapi sebulan dua bolehlah tahan, lepas itu terdengar pula keluhan mereka yang mendakwa penat kerana menjaga anak-anak kita. Walaupun kita beri upah, tetapi bukan semuanya memuaskan mereka. Orang tua-tua pernah berkata, perkara yang kecil akan menjadi besar bagi mereka yang berjiwa kecil, tetapi isu atau perkara yang besar akan menjadi kecil bagi mereka yang berjiwa besar. Saya mahu jadi insan berjiwa besar dan maju walaupun tanpa suami.

Satu hari saya ambil pembantu rumah daripada sebuah agensi pekerja asing. Saya faham masalah pembantu rumah terutama bila anak-anak kita masih kecil dan kita keluar belajar. Tetapi saya berdoa kepada Allah agar diberikan seorang pembantu rumah yang boleh menggantikan tempat saya, jujur, setia dan yang paling penting menyayangi anak-anak yatim. Alhamdulillah Tuhan makbulkan doa saya, pembantu rumah saya sangat sayangkan anak-anak saya.

Bila masalah besar menguruskan anak-anak selesai barulah saya dapat tumpukan perhatian kepada pelajaran. Hati saya senang bila rumah dan anak-anak terurus dengan baik. Bila bab itu selesai tentu pembaca terfikir macam mana masalah wang. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu, saya memang tak berduit, tetapi rezeki saya tidak pernah putus.

Di tempat belajar cabaran saya hadapi ramai yang hendak menggoda, macam-macam kerenah. Tak cukup kertas kalau nak tulis. Saya pun tak tahu mengapa ramai sangat suami orang yang hendak menggoda saya dan mahu menjadikan saya isteri mereka. Sedangkan mereka sudah ada anak isteri.

Namun semuanya saya tolak dengan baik. Segala kesakitan dan kepedihan terpaksa saya harungi. Di sebalik tawa dan keramahan saya simpan jutaan keperitan hidup. Saya punya ramai kawan jadi tak hairanlah kalau ada ramai musuh membenci saya. Pelbagai cacian, umpat keji dan penghinaan saya terima. Kerana, kerana saya ibu tunggal!

Tapi saya buat tak kisah, saya ketepikan umpatan mereka. Dan bagi mereka yang bencikan saya, saya ingin nyatakan di sini, terima kasih atas kebencian kalian itu, kerana kebencian itulah api yang membakar semangat saya. Dan yang membanggakan dalam keperitan itu saya berjaya mendapat markah cemerlang dalam setiap semester.

Saya dapat ijazah kepujian kelas kedua tinggi, syukur. Tuhan sayangkan saya. Dalam kesakitan itu saya bina kekuatan, keyakinan dan semangat untuk anak-anak, pada mereka saya ingatkan biarlah masyarakat mencemuh, mencebik dan menghina, tetapi berusahalah dan buktikan bahawa kita boleh hidup berjaya lebih baik daripada mereka.

Memang saya tak nafikan ketika kita hidup keseorangan ramai yang rasa tidak senang hati, wanita bimbang untuk mendekati kita, takut suami mereka dilarikan, sementara lelaki pula menjadi semakin marah apabila lamaran mereka ditolak dan harapan mereka dimusnahkan. Perasaan marah ini menjadi racun kepada kita jika kita tidak pandai menguruskannya dengan baik.

Wanita sering bimbang kita ibu tunggal mengambil suami mereka, tetapi mereka lupa sebenarnya suami merekalah yang lebih dahulu datang membuat pelbagai lamaran dan tawaran, hanya wanita yang cepat gelap mata yang segera mencapainya bagaikan mereka yang sedang tenggelam di sungai yang deras.

Kini saya bersyukur dapat jawatan yang baik, dan sedang belajar lagi untuk dapatkan sarjana, mana tahu mungkin dapat sambung belajar ambil PhD pula. Bagi diri saya semua umpat keji masyarakat keliling dahulu telah memberi banyak pengajaran dalam hidup saya, sebab semuanya saya terima dengan fikiran terbuka sambil menyimpan satu hasrat untuk membuktikan kepada mereka bahawa mereka itu salah.

Sebenarnya ramai kalangan kita bersikap marahkan orang yang mengumpat kita, tetapi bagi saya perbuatan mereka itu memberi laluan kepada saya untuk berusaha dan bekerja keras lagi mencapai apa yang mereka dakwa saya tidak boleh capai. Sebagai contoh ketika anak-anak masih kecil jika saya ikut cakap mereka berhenti belajar, mungkin saya tidak jadi seperti sekarang, sebaliknya saya teruskan belajar, kerana saya tahu apa yang saya buat demi kebaikan sendiri. Saya tidak suka menyusahkan orang lain. Saya akan cari jalan untuk tidak susahkan mereka. Saya tetapkan semangat. Itulah resipi kejayaan saya di samping mengubati hati yang terluka.

Dan saya tidak pernah tunjukkan kepada mereka bahawa saya susah hati kepada semua umpatan mereka. Akhirnya mereka yang malu sendiri. Kepada anak-anak saya sentiasa berpesan jangan sesekali tewas dengan cabaran, umpatan dan kejian manusia. Sebaliknya berusahalah untuk mendapat apa yang dihajati dan jangan mengharapkan bantuan orang lain sebaliknya bantulah mereka yang memerlukan.

Setelah berusaha bersungguh-sungguh barulah berdoa kepada Allah, sesungguhnya Allah amat gemar mendengar tangisan hamba-Nya, merayu pada-Nya, sentiasa meminta pertolongan-Nya. Seinci kita mendekati-Nya beribu kaki Allah akan mendekati kita. "Dalam pada itu jangan lupa tanamkan sikap ikhlas dalam setiap perbuatan dan tutur kata, Allah akan sentiasa berada di sisimu. Kepada pembaca semua janganlah sesekali merasa diri kita sendirian tanpa sesiapa. Jangan hidup dalam keadaan putus asa dan meratapi nasib diri sendiri.

Sebenarnya apa yang Tuhan berikan kepada kita itu adalah sebenarnya yang terbaik untuk kita dan bersyukurlah di samping berusaha meningkatkan diri. Jangan sekali-kali menyesali qadak dan qadar yang telah ditetapkan Allah. Menangis, bersedih dan sentiasa bersusah hati tidak akan dapat menyelesaikan masalah selain daripada berusaha. Setelah yakin anda berbuat yang terbaik barulah berdoa kepada-Nya. Allah sentiasa mendengar dan mengetahui apa yang ada dalam sudut hati kita walaupun jauh di dasarnya. Siapakah yang memahami kita umat-Nya selain daripada Allah. 

Kerana itu ingatlah.

Kepada anak-anak pula sekiranya saya pergi cepat mengikut suami (ayah mereka) saya telah tinggalkan wasiat dan aset yang paling bernilai untuk mereka iaitu keazaman, harga diri dan pengalaman yang tidak dapat dibeli oleh orang lain. Kerana itu pandai-pandailah berusaha dan bawa diri demi masa depan.'' Demikian cerita Aishah sebagai panduan kita. 

Dan saya tidak perlu menulis panjang tentang pandangan beliau, kerana beliau telah bercakap, meluahkan isi hatinya sendiri berdasarkan pengalamannya yang lama itu. Cuma saya mohon renungkanlah dalam-dalam, jangan jadikan diri anda seperti kebanyakan wanita cuma menangis dan menyesal setelah segala-galanya telah hilang. 

Kredit : UtusanMalaysia


Berhati-hati Dengan Scammer Piramid Skim Cepat Kaya

17 Dec 2021

 


SEBUAH kereta sports Nissan Fairlady berhenti di hadapan restoran. Ia tidak diletak di dalam petak tetapi melintang. Bukannya tidak ada kosong, cuma ia sengaja dipamerkan sedemikian rupa. Keluar dua lelaki berusia awal 20-an. Berpakaian kemeja dan seluar hitam dengan tali leher berwarna kuning. Butang lengan dikancing rapi. Janggal sedikit kerana waktu sudah 1 pagi. Kau tidak mahukah kereta sports macam itu? Duit banyak, perempuan pun ramai hendak jadi teman, kata seorang tukang rekrut di meja sebelah kepada dua pemuda dalam suara yang lantang, tanpa mempedulikan penulis dan rakan-rakannya yang turut sama terkesima melihat aksi gaya, mutu dan keunggulan dua model tersebut. 

Mereka itu pemilik kereta atau car-jockey?,kata seorang teman dalam suara perlahan tetapi sudah cukup mencetuskan ketawa di meja kami. Itulah malam bersejarah, rupa-rupanya. Satu acara merekrut besar-besaran untuk satu skim jualan langsung (MLM) sedang berlangsung di sebuah restoran di Shah Alam dan menjadi lebih dramatik dengan aksi pemilik Nissan Fairlady itu. Ia mungkin satu lakonan, mungkin juga benar kereta itu dimiliki dengan sah oleh model MLM berkenaan. 

Mereka ini telah menjadikan restoran itu sebagai pusat merekrut. Calon-calon rekrut disuruh datang ke situ atau dibawa ke situ. Yang sudah menjadi ahli, hadir dalam pakaian serba hitam. Yang belum jadi ahli, kelihatan tekun (atau khayal) mendengar kempen dan propaganda. Ahli-ahli baju hitam ini bersalam pun ala-Hip Hop. Tangan digenggam dan badan dipeluk. Mereka jelas terhutang budi antara satu sama lain, mungkin saling memakmurkan diri masing-masing. Rata-rata mereka ini muda-muda belaka.

Beberapa bulan kemudiannya, kumpulan ini dibongkar oleh pihak berkuasa sebagai skim MLM piramid atau skim cepat kaya. Restoran tersebut kini kembali lengang walaupun beberapa watak dulu dilihat masih minum di situ, tetapi tidak lagi berpakaian serba hitam. Anda mungkin pernah dipelawa menyertai skim MLM seumpamanya. Seorang teman mengaku pernah menyertai hingga tiga skim MLM. 

Tiga-tiga wang mukanya hangus. Sampai tiga baru hendak insaf? Ada pula seorang kenalan kini renggang dengan temannya, gara-gara hangus beratus ribu dalam skim cepat kaya seumpamanya. Penulis sendiri pernah dipelawa, malah diperdaya kononnya untuk mengadakan temuramah. Rupa-rupanya kena duduk dengar ceramah MLM. Tidak mengapa, orang itu sendiri sedar kesilapannya dan tidak lagi berani tunjuk muka.

Oleh kerana pengalaman sebegini, perniagaan MLM lebih banyak mendatangkan persepsi negatif pada kebanyakan kita. Namun, kita harus terbuka minda yakni memang wujud syarikat MLM yang sahih dan fokus terhadap penjualan produk atau perkhidmatan, malah memiliki banyak produk serta sering dipertingkatkan menerusi inovasi atau penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Industri MLM ini turut diiktiraf oleh kerajaan sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara. Jumlah dagangan dalam MLM dijangka mencecah RM10 bilion pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-10, setelah tahun lalu mencatat RM5 bilion. 

MLM yang tidak baik ialah yang memfokuskan semata-mata kepada pelantikan ahli baru yang diistilahkan sebagai downline. Calon-calon dijanjikan dengan pelbagai tahap komisen lumayan jika dapat melantik tiga orang, kemudian bantu tiga orang itu untuk dapatkan tiga orang lain dengan anda di atas. Produk? Tidak mengapa. Itu soal kedua. Lagi pun, siapalah berminat hendak menjual produk seperti kopi 50 dalam satuminyak lintah penambah nikmat dan lain-lain, yang kelakar bunyinya dan mendatangkan rasa segan pula hendak menjualnya.

Mengawal selia

Dalam konteks ini, kerajaan dilihat proaktif dalam mengawal selia industri yang popular ini daripada terus menerus disalah guna menjadi skim piramid cepat kaya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal membentangkan pindaan Akta Jualan Langsung 1993 pada sidang Parlimen sekarang. Harap sempat dan tidak dihambat dek isu politik yang hanya menguntungkan individu tertentu, bukan rakyat jelata. 

Fenomena MLM piramid cepat kaya ini bukan eksklusif di Malaysia semata-mata. Ia bukan dicipta oleh Pak Man Telo, walaupun namanya akan selama-lamanya dikaitkan dengan skim itu. Sebaliknya ia adalah fenomena global. Malah di Amerika Syarikat, skim piramid diistilahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti & Bursa (SEC) sebagai skim Ponzi.

Skim Ponzi diambil dari nama Charles Ponzi yang menipu ribuan penduduk New England supaya melabur dalam skim spekulasi setem pos pada 1920-an. Ketika itu, kadar faedah tahunan bank adalah sebanyak 5 peratus. Ponzi menjanjikan para pelabur bahawa dia boleh menyediakan pulangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh hanya 90 hari. Pada awalnya, Ponzi membeli kupon pos antarabangsa bagi mengabui mata orang ramai untuk mempercayai skimnya itu. Dengan dana baru diperolehi dari pelabur baru, ia digunakan bagi membayar pelabur awalnya. 

Ponzi menerima publisiti tambahan bila berita keuntungan itu tersebar. Pelabur pertama tadi menggandakan pelaburannya. Kesudahannya sama seperti kes Pak Man Telo. Tidaklah diketahui jika Pak Man Telo ada mengkaji formula Ponzi berkenaan semasa hayatnya.

Namun apa yang nyata, walaupun kes itu sudah berlaku 80 tahun dulu (30 tahun di Malaysia), masih ramai yang terpedaya. Semuanya gara-gara mahu cari jalan pintas ke arah kesenangan dan kekayaaan. Duit banyak tetapi dungu. Mana ada perniagaan di dunia ini yang menjamin pulangan luar biasa sebegitu besar dalam tempoh singkat. (Jual dadah atau perempuan bukan perdagangan sah atau halal. Kedunguan orang mahu kaya cepat dengan cara singkat itu pun bukan eksklusif di Malaysia. Di AS pada tahun lalu, SEC memfailkan 60 tindakan perundangan membabitkan skim Ponzi atau yang berbentuk pembayaran Ponzi, termasuk mendakwa Robert Allen Stanford yang dituduh mengendalikan skim Ponzi bernilai AS$8 bilion serta Bernard L. Madoff yang kini menjalani hukuman penjara 150 tahun setelah didapati bersalah atas tuduhan yang serupa.

Skim piramid cepat kaya ini ada pelbagai. Sang penipu akan terus mengambil kesempatan atas kedunguan dan ketamakan orang dengan mencipta pelbagai nama baru serta atas bermacam platform perniagaan, seperti MLM ini. Jika anda ditawarkan skim MLM, siasatlah dulu dengan pihak berkuasa mengenai kesahihannya. Paling mudah ialah dengan menolak selamba bila tukang rekrut menekankan soal downline berbanding jualan produk atau muncul kereta sports diletak melintang di hadapan anda.

Kredit : UtusanMalaysia

AWAS! Anak Juga Boleh Mengalami STRESS

13 Dec 2021




Jangan fikir orang dewasa sahaja boleh mengalami stres atau tekanan, anak juga boleh mengalami stres. Ini adalah hakikat yang perlu diambil berat terutama ibu bapa.

Perkara ini antara yang ditekankan Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ketika bercakap mengenai permasalahan remaja.

Menurut beliau, stres wujud apabila sumber permintaan sekeliling melebihi keupayaan yang ada pada diri sendiri. Beliau memberi contoh aspek pendidikan, di mana ibu bapa meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap pencapaian akademik anak masing-masing.

"Memang ada ibu bapa yang berkemampuan sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi memastikan anak mereka cemerlang tetapi keadaan ini akan menekan jiwa anak. "Kasihan melihat anak yang dipaksa belajar bukan untuk memenuhi cita-cita mereka tetapi untuk memenuhi hasrat ibu bapa," kata Sarada.
 
PERANAN IBU BAPA

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya melihat dahulu sama ada mereka telah memainkan peranan yang sebaiknya dalam membantu merealisasikan kecemerlangan itu sebelum meletakkan tekanan ke atas anak. Ini termasuk menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan serta tempat belajar.

Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak dapat belajar dengan selesa di samping ibu bapa sendiri mengikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah. Menurut Sarada, anak mula rasa tertekan sekiranya mereka merasa mustahil untuk mencapai kejayaan yang tinggi hingga akan berputus asa, kecewa dan murung setelah gagal mencapai impian ibu bapa. 

"Keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa mula marah setiap kali anak gagal mendapatkan markah yang baik," tambahnya. Beliau berkata, dalam hal ini, perkara yang penting ialah meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak. "Ini adalah perkara yang amat penting dalam proses membimbing anak dengan sempurna. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak tentang sasaran itu dan bagaimana mereka boleh membantu. "Cara ini yang terbaik kerana anak akan merasa sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa," Sarada memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut di sini baru-baru ini.

TAMBAH STRES 

Anak termasuk remaja juga boleh menjadi bertambah stres sekiranya mereka sering melihat ibu bapa bertelagah. Secara tidak langsung, emosi anak akan menjadi amat tertekan, tambahan jika menduduki peperiksaan. Anak yang terbeban dengan keadaan yang penuh dengan konflik itu tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan peperiksaan. 

"Mereka mungkin berkongsi masalah dengan rakan yang kemudian memberi sesuatu untuk mententeramkan perasaan mereka. "Kebetulan ia bukan panadol tetapi bahan yang boleh mengkhayalkan di mana akhirnya mereka boleh terjerumus melakukan perkara-perkara di luar jangkaan. Inilah antara kesan jika keluarga sering berkonflik secara berpanjangan tanpa mencari sebarang jalan penyelesaian," jelas Sarada.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada anak yang akan lari dari rumah kerana terlalu tertekan dengan konflik ibu ayah dan isu tersendiri yang tidak dapat dikongsi dengan ibu bapa.

"Mungkin mereka mempunyai teman lelaki dan termakan pujukan. Kerana terlalu percayakan teman lelaki untuk menjaga diri mereka, akhirnya mereka melakukan perkara yang boleh merosakkan diri mereka. "Jadi, bukankah semuanya ini bermula dari rumah," kata Sarada.

JAGA EMOSI 

Beliau lalu menyarankan pasangan yang mahu bertengkar supaya tidak melakukannya di depan anak. Anak akan hilang kepercayaan terhadap ibu bapa jika sering menyaksikan mereka bergaduh. Bila anak itu berkahwin, mereka mungkin menggunakan cara penyelesaian yang sama iaitu bergaduh untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya, terutama sekali apabila mereka melihat ibu mereka didera ayah secara fizikal atau emosi.

Sekiranya anak mereka adalah lelaki dan kemudian beristeri, mereka mungkin turut melakukan kekerasan ke atas isteri mereka seperti yang dilakukan oleh ayahnya. "Jadi, anak akan belajar kemahiran menyelesaikan masalah melalui apa yang dilihat dalam kehidupan persekitaran keluarganya. "Oleh yang demikian, ibu bapa perlu lebih prihatin dan menjadi model contoh dalam keluarga.

"Jangan terlalu beremosi di depan anak. Kalau perlu juga bertengkar lakukan di bilik tidur. Beritahu dulu anak yang emak dan ayah mahu berbincang perkara yang agak serius. "Beritahu juga, walaupun bergaduh, ibu dan ayah tetap sayang kamu," katanya, sambil menjelaskan kata-kata positif dapat mengukuhkan ikatan keluarga.

"Tolonglah jaga emosi anak," Sarada berpesan lagi. Beliau berkata, menjadi remaja adalah tempoh yang kritikal di mana mereka mudah dipengaruhi terutama oleh rakan sebaya. "Sebab itulah remaja selalu digalakkan berkongsi sebarang isu atau emosi mereka dengan orang yang dipercayai, kalau tidak dengan keluarga, dengan kaunselor," katanya.

ANAK KECIL

Dalam soal stres dan anak kecil, Sarada berkata, mereka boleh mengalami tekanan jika pergerakan mereka terlalu dikawal atau disekat.

Anak kecil, katanya perlu dibenarkan bermain kerana ia juga satu bahantara pendidikan dan terapi terbaik untuk menangani stres. "Malangnya apa yang berlaku sekarang, ada segelintir ibu bapa menganggap rumah seperti muzium, semuanya mesti teratur dan kemas, tidak boleh bersepah sedikit. "Bermain juga penting untuk membina proses pemahaman, pembelajaran, pembinaan kognitif dan kendiri kanak-kanak," tambahnya.

Sarada turut menyentuh hakikat, semakin ramai ibu bapa menghantar anak ke taska atau tadika seawal usia tiga tahun.
Bermain, bagi kebanyakan anak hanyalah apabila mereka berada di premis berkenaan dan bila balik ke rumah mereka dikerah buat kerja rumah dan sering dilarang bermain. "Ingat semasa waktu alam kanak-kanak kita, ibu ayah lepaskan kita bermain dan lihat bagaimana ia membantu perkembangan diri dan personaliti kita," katanya.

Sarada juga menegur sikap sesetengah ibu bapa yang lebih gemar membelikan pelbagai gajet permainan elektronik daripada membenarkan anak bermain sesama anak ataupun kawan sebaya.

"Tidak ada ruang untuk berinteraksi serta komunikasi yang efektif. Ini kurang menyeronokkan. "Anak juga kurang masa yang kualiti bersama emak dan ayah," kata Sarada yang juga kaunselor berdaftar.

BERI MASA

Sarada turut memberi senario anak yang merasa tertekan kerana kurang perhatian ibu bapa. Sudahlah waktu siang mereka dihantar ke taska atau tadika, sekembali dari sekolah, dijaga pula pembantu rumah. Hakikatnya, sesetengah ibu bapa yang bekerja memang mempunyai masa yang begitu terhad dengan anak. Ada yang sekadar bertanya kerja sekolah dan kemudian menyuruh anak masuk tidur setelah selesai kerja sekolah.

Kasih sayang ibu bapa yang begini adalah seperti mengguna kad Touch & Go. Sekejap sangat masa yang diluangkan. Itu pun mungkin pada hujung minggu, jika tidak sibuk melayari internet atau menonton televisyen atau video.

Rutin kehidupan yang seperti ini hanya akan merenggangkan hubungan kekeluargaan sehingga menjadikan anak merasa tersisih dan tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa mereka.

Keadaan yang sedemikian sudah tentunya akan mendorong anak keluar rumah dan menghabiskan masa bersama kawan. Ibu bapa berperanan memberikan anak mereka sebanyak mungkin sokongan dan juga kasih sayang supaya anak merasa lebih senang dan selesa berada di rumah.

Seperti kata Sarada, hubungan erat yang sedemikian membuatkan anak sering merasakan rindu kepada ibu dan ayah.

"Kenapa? Sebab mereka ini bukan sahaja menyayangi anak tetapi menghormatinya sebagai seorang individu. "Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah makan bersama-sama terutama malam. Cuba mulakan sebarang perbualan, contoh perkara yang digemari oleh anak. Bantu mereka buat kerja sekolah atau melihat buku kerja dan latihan mereka.

"Jika tidak, cukup sekadar menunjukkan minat pada apa yang mereka belajar. Ibu bapa juga boleh menghadiri semua acara sukan atau aktiviti anak. Bagi sokongan dan galakan," katanya.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh sama-sama bermain permainan kegemaran anak seperti catur, scrabble atau uno di samping menonton rancangan televisyen kegemaran mereka bagi mengekalkan hubungan mesra.

SIAPKAN DIRI

Belum bersedia dan tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa. Faktor ini ada kesannya kepada cara seseorang ibu atau ayah mendidik anak atau melaksanakan tanggungjawab keibu bapaan. Demikian pandangan Katherine Loo Saw Moay, seorang lagi Pegawai Psikologi LPPKN dalam wawancara dengan Bernama.

Menurut beliau, ada ibu merasa tertekan apabila mendengar suara anak menangis kerana emosinya tidak bersedia untuk menjadi seorang ibu ditambah tidak mendapat sokongan suami.

"Ada juga isteri yang murung selepas melahirkan anak tetapi suami tidak mengendahkan," jelas Katherine, juga kaunselor berdaftar.
Sehubungan itu, pasangan yang ingin berkahwin perlu tahu peranan dan tanggungjawab sebagai isteri dan suami sebelum meneruskan hajat mereka.

Bagi Katherine, konflik berlaku dalam mana-mana keluarga, yang penting cara mengendalikan konflik.

"Masing-masing berbeza dari segi latar belakang. Masing-masing ada cara sendiri dan memanglah kita selesa dengan cara kita tetapi selepas berkahwin, kena cari cara kita, cara bersama.

"Tolak ansur itu amat penting. Suami atau isteri perlu buat perubahan apabila sudah berkahwin. Banyakkan berbincang dan berkomunikasi," jelas Katherine.


Kredit. Mstar.Com



Air Asam Super Sedap To The Moon

10 Dec 2021



Hi,  atas permintaan sahabat-sahabat , okay hari ni Admin nak share air asam super sedap. Ini cara Adminlah. Mungkin ada cara lain yang lagi sedap, tapi boleh je nak  cuba, pelbagaikan skill kan :)

Air asam ini sedap dimakan dengan daging,ayam,ikan,sotong bakar. Kalau makan dengan nasi panas-panas memang bertambah-tambah lah . Sangat sedap, pekat dan menyelerakan.

Ok jom kita tengok macam-mana Admin buat. Selamat mencuba, semoga hasilnya memuaskan hati ya.

 

A. Bahan Yang Dikisar Kasar :

3-4 ulas bawang merah kecil

6 tangkai cili padi merah dan hijau

2 tangkai cili besar merah ambik saiz besar

Belacan saiz ibu jari- bakar dulu atas api

1 1/2  cawan air

 

B. Bahan Perasa :

1 sudu kecil perahan air limau nipis

2 sudu besar asam jawa adabi yang tak ada biji tu

1 sudu kecil garam secukup rasa

1 sudu kecil perasa secukup rasa maggie

1 sudu besar Brown Sugar 

1 sudu besar sos  cili Maggie

1 sudu besar kicap lemak manis Jalen (warna oren)

 

C. Bahan Yang Di Potong Dadu Atau Mayang :

2 tangkai cili besar hijau ambik saiz besar

2 biji bawang besar saiz besar ya

2 biji tomato saiz besar

 

Cara Membuatnya :

1. Kisar Bahan A . Kisar Kasar. Jangan halus sangat. Letak dalam periuk . 

2.Masukkan semua Bahan B ke dalam periuk tersebut. Kacau sebati menggunakan senduk. Nak ramas pakai tangan pun boleh. Lagi sedap. Tapi, tangan tu  kenalah basuh bersih-bersih dulu ya. Kemudian, panaskan atas dapur sekejap dalam 5 minit je.

3. Kemudian angkat , dan masukkan Bahan C. Kacau dan rasa dulu. Cuba adjust garam, gula untuk seimbangkan rasa manis, masin, masam dan pedas. Mesti rasa pekat dan juicy.

4. Sedia untuk dihidangkan

 

Good Luck Semua 

 

 Admin


Doa Orang Yang Teraniaya Makbul Dan Tiada Hijab, Takutlah Balasan Allah

9 Dec 2021

 




Kita mesti sering tertanya mengapakah doa orang-orang yang dizalimi makbul dan tiada hijabnya? Ini kerana ianya satu bentuk pertolongan Allah kepada hamba-Nya yang teraniaya dan padanya hanya Allah akan menjadi penolong baginya, cepat atau lambat ia pasti akan dimakbulkan. Lagi-lagi orang yang teraniaya dan dizalimi sedang  mengalami kesusahan dan kesedihan hatinya akan sentiasa berdoa berulang-kali memohon pertolongan yang Maha Esa. Pada saat ini  doa dipanjatkan dengan penuh keikhlasan, meruntun, merayu dan khusyuk dalam hati sepenuhnya. Sebab itulah doa orang teraniaya sangat mustajab. 


PESANAN BUAT YANG MENZALIMI

Jadi, janganlah sesekali kita ada niat untuk menzalimi orang lain. Ada perkara yang perlu kita risau akan menimpa ke atas diri kita sekiranya kita menzalimi orang lain yakni termakbul doa orang yang kita aniaya, fitnah dan zaliminya. Ini kerana doa mereka tiada hijab dan akan terus dimakbulkan oleh Allah SWT.

Zalim atau aniaya, dengan apapun tujuan sekalipun amat dilarang di dalam Islam. Malah Allah swt telah berfirman akan menempatkan perbuatan tersebut (zalim) ke dalam dosa besar yang akan mendapat balasan pedih di kekalnya akhirat. Firman Allah yang berbunyi,

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Sesungguhnya dosa besar itu atas orang-orang yang telah berbuat zalim kepada manusia dan telah melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka akan mendapat azab yang pedih”. (QS. Asy-Syura :42)

Oleh itu, sepanjang perjalanan hidup kita janganlah kita terdetik untuk menganiaya orang lain. Allah SWT  mengharamkan hambaNya melakukan kezaliman. Dalam satu hadis qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai hamba-hamba Aku, sesungguhnya Aku mengharamkan melakukan kezaliman.” 

Dalam Surah an-Nisaa’, ayat 148 , bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

PESANAN BUAT YANG DIZALIMI

Apabila kita dizalimi dan dianiaya, kita ada dua pilihan iaitu kita berdoa supaya si penganiaya mendapat pembalasan dalam bentuk kecelakaan yang berat atau kita berdoa pada Allah agar diberikan petunjuk jalan keluar dari masalah dan musibah yang telah menimpa kita. Biasanya pilihan kedua adalah yang lebih afdhal kerana Allah telah mengajar hambaNya supaya Redha dan Sabar dan berterusan meminta tolong dari Allah agar dikeluarkan dari permasalahan ini dengan mengambil tindakan yang sewajarnya. Bukan mengikut emosi.

Kebergantungan kepada Allah yang mencipta kita dan si penganiaya, berdoalah supaya kita dipermudahkan segala urusan , diberikan petunjuk apa yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan permasalahan yang menimpa. Biar Allah sahaja yang membalas segala perbuatan mereka kerana Allah Maha Mendengar , Adil dan Saksama. Cukup Allah untuk segalanya. Amalkan doa ini dan berserah kepadaNya.


Admin

Selagi Kita Membandingkan Hidup Kita Dengan Hidup Orang Lain, Kita Akan Terlepas Kebahagiaan Kita Sendiri

6 Dec 2021

 

Perkara yang paling sukar dan pelik dalam hidup adalah mencari kebahagiaan dengan membandingkan kebahagiaan orang lain sebagai kayu ukuran.

Telah menjadi lumrah manusia dizaman sekarang sentiasa membandingkan hidup kita dengan orang lain, lebih-lebih lagi di zaman media sosial yang tengah rancak.
Perbuatan yang pelik tapi sukar dielak.
Sikap dan perbuatan ini akhirnya akan memakan diri sendiri ,yang mana emosi  akan terganggu tatkala melihat kebahagiaan orang lain. Hati mula berbisik rasa tidak adil dan mula mempersoalkan apa yang anda belum miliki, dan perasaan sedih akan mula menguasai diri. Sedangkan tanpa sedar anda sebenarnya telah mempunyai kehidupan yang sangat sempurna.
Biasanya anda akan ternampak mengapa bunga ditaman orang lain lebih berwarna berbanding bunga di taman sendiri. 
Kita Takkan Bahagia Selagi..
Selagi kita silap membuat perbandingan. Kita sering membandingkan keadaan kita yang terburuk pada masa itu, dengan keadaan orang luar yang kita anggap terbaik pada pandangan kita pada masa itu.  Kita hanya melihat pada kelebihannya sahaja tanpa kita mengetahui kekurangan yang dihadapi disebaliknya.
Pernah tak hati anda berbisik :
Kenapa orang lain lebih cantik? Kenapa orang cantik sentiasa mendapat perhatian dalam berkawan berbanding yang kurang rupawan?
Kenapa orang lain cepat bertemu jodoh berbanding anda yang masih menunggu jodoh?
Kenapa suami/isteri orang lain sangat baik dan penyayang, tetapi pasangan anda seorang yang panas baran dan kasar?
Kenapa orang lain bijak dalam pelajaran sedangkaan kita sukar untuk belajar?
Dan banyak lagi situasi lain dan anda akan mula berasa sakit hati dan merasa dunia ini tidak adil.
Jangan Terpedaya
Sebenarnya, kebanyakan perkara yang kita nampak dari luaran kadangkala kita tidak tahu bagaimana perit mereka lalui untuk mencapainya. Perbandingan akan meletakkan fokus anda kepada orang yang salah. Anda terlalu fokus kepada kehidupan orang lain, bukannya fokus terhadap hidup anda sendiri. Kita sentiasa terlupa bahawa setiap orang mempunyai jalan kehidupan tersendiri dan cara tersendiri untuk melaluinya. Allah telah menetapkan garis masa yang berbeza pada setiap hambaNya. Allah akan mengurniakan  kebahagiaan yang selayaknya kepada setiap hambaNya dengan cara berbeza. Jadi bagaimana anda ingin mencapai kebahagiaan jika anda cemburu dengan kehidupan orang lain yang Allah telah tetapkan pada setiap hambaNya
Fokus Perjalanan Hidup Sendiri
Oleh itu, kita perlu hanya fokuskan terhadap perjalanan hidup kita sendiri. Hidup bukanlah pentas perlumbaan tetapi adalah perjalanan menuju yang kekal. Hanya kita yang dapat menentukan kebahagiaan kita sendiri.
Adalah lebih afdhal, kita memperbaiki kehidupan kita ke arah yang lebih baik  berbanding masa dahulu. Apa yang kita perlu perbaiki dan tingkatkan untuk mencapai matlamat hidup kita. Setiap hari, perjalanan hidup adalah satu  proses pembelajaran dan pengalaman untuk kita jadi lebih matang. Kehidupan akan datang akan lebih mencabar. Belajar dari kesilapan, kembangkan perjalanan dengan penuh ikhlas dan niat yang baik . Insyaallah kebahagiaan akan hadir dengan sendirinya dan kita akan jadi lebih bersyukur.
Its OK not TO BE OKAY
Semua orang tidak sempurna. Dalam kelebihan ada kekurangan. Cuma kita terlampau fokus pada kelebihan orang lain dan kekurangan sendiri. Sedangkan tanpa sedar apa yang kita rasa kurang dalam diri kita itu boleh  menjadi impian orang lain diluar sana. 
Dunia terbalik. Jadi jangan terperangkap. Hargai apa yang kita miliki. Tidak ada orang yang sempurna . Belajar menerima. ITs OK.

Istimewa Dari Allah
“janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu oarng orang yang beriman”. [ surah ali-imran ayat 139 ]
Akan tiba satu masa nanti kita akan tersenyum memikirkan kembali hikmah yang Allah tunjukkan. Kita semua istimewa dipandanganNya. 

Admin


APA HUKUM MENJADIKAN CRYPTOCURRENCY/MATAWANGKRIPTO SEBAGAI MAS KAHWIN?

4 Dec 2021

Apa Itu CryptoCurrency. Click


Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu pertanyaan. Adakah boleh kita menggunakan duit Crypto Coins sebagai mas kahwin? Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Di Malaysia, Crypto Coins atau disebut sebagai matawang kripto masih belum dianggap sebagai medium pertukaran yang sah sepertimana duit ringgit (RM) kerana Bank Negara Malaysia (BNM) masih belum mengiktirafnya. Walau bagaimanapun, dalam konteks semasa Malaysia wang kripto dianggap sebagai barang komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan sebagai aset. Bertitik tolak daripada konsep ini, maka seseorang boleh menjadikan matawang kripto sebagai mas kahwin dan hukumnya sah.

 

Huraian Jawapan

Mas kahwin atau mahar merupakan suatu pemberian yang wajib pihak suami tunaikan kepada pihak isteri. Dalam istilah fiqh, mahar membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya.

(Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/109-110)

Seterusnya, tiada had yang tertentu bagi sesebuah mahar sama ada had terendah mahupun had maksimum. Sebaliknya,semua benda yang bernilai dan mempunyai nilai untuk dijual ataupun dijadikan sewaan boleh dijadikan mahar sama ada berbentuk ‘ain (barang tersebut), hutang ataupun manfaat. Begitu juga dari segi kuantiti sedikit atau banyak sama ada sebuah kereta, wang tunai 10000 Dirham ataupun sebuah rumah. Bahkan mahar juga boleh diberikan dalam bentuk mengajarkan sesuatu ilmu seperti ilmu Al-Quran kepada isteri.

(Rujuk: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/113)

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ

Maksudnya“Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu.”

                                                                                                              Surah al-Nisa’ (24)

Ayat ini hanya menyebut harta (المال) secara umum tanpa menetapkan bentuk atau kadar harta secara spesifik. Begitu juga, panduan Rasulullah SAW melalui hadisnya:

أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Berikanlah kepada perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741)

Dalam sebuah hadis Amir bin Rabi’ah RA memperihalkan pendirian sebegini dengan lebih jelas, hadisnya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ. قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ

Maksudnya“Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwin sepasang selipar. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu reda mendapat sepasang selipar sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1113)

Berkenaan kedudukan wang kripto, kenyataan pertama Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan Bitcoin dikeluarkan pada 2 Januari 2014 di laman web rasmi mereka. Dalam kenyataan ringkas tersebut, BNM menegaskan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf sebagai satu mata wang rasmi (legal tender) di Malaysia dan BNM juga tidak mengawal selia operasi Bitcoin lantas orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dengan risiko yang muncul daripada penggunaan mata wang digital seumpamanya.

Namun begitu, walaupun wang kripto masih belum dianggap mata wang yang sah seperti Ringgit Malaysia (RM) dan lain-lain, ia tetap dianggap sebagai suatu barang komoditi yang boleh diperdagangkan dan dijadikan sebagai aset pelaburan.Bertitik tolak daripada konsep ini, maka wang kripto sah dijadikan sebagai salah satu bentuk mahar kerana dianggap sebagai suatu barangan yang bernilai sama seperti barang-barang yang lain.

Wallahu a’lam.


Kredit : muftiwp

 


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.