SLIDER

BAHAYA JERING : Berhati-hati Kepada Pengemar Jering Sebagai Ulam-Ulaman

30 Apr 2024


Kes ini berlaku ketika saya baru melaporkan diri ke hospital daerah. Ketika itu saya sedang bertugas on-call di Jabatan Kecemasan. Jam menunjukkan pukul 3 pagi, apabila seorang lelaki disorong masuk menggunakan kerusi roda. 

"Aduh...doktor, tolong..sakitnya.." rintih pemuda tersebut sambil memegang perutnya.Apabila diangkat ke stretcher, beliau baring dalam keadaan mengerekot. Beliau dalam kesakitan yang sangat.Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat segera mendapatkan lelaki berkenaan, memasang jarum branulla di tangannya. Manakala saya, segera bertanyakan apa yang terjadi. 

"Senak perut, doktor. Tiba-tiba sahaja sejak pukul 12 malam tadi. Rasa nak kencing, tapi tak boleh kencing!" Sebaik sahaja lelaki tersebut bercakap, saya segera mengesyaki sesuati. Bau yang terbit dari mulutnya, adalah sejenis bau yang cukup hancing dan tajam. Saya segera memulakan pemeriksaan. Apabila saya memeriksa bahagian pundi kencing beliau, ianya tidaklah terlalu cekang atau besar. Saya meminta Penolong Pegawai Perubatan untuk memasukkan tiub kencing, sedang saya meneruskan pemeriksaan. 

Sebaik sahaja tiub kencing dimasukkan, air kencing bercampur darah keluar. Namun jumlahnya sedikit sahaja. Lelaki tersebut masih dalam kesakitan, lalu saya meminta agar ubat penahan sakit, IV Tramadol segera diberikan. Dalam tempoh beberapa minit, kesakitan lelaki tersebut pun berkurangan. Sampel darah diambil, dan lelaki tersebut diletakkan di ruang pemerhatian. Saya meneruskan proses mendapatkan sejarah pesakit dengan bertanya kepadanya.“Encik, ada makan apa-apa pada malam tadi?” 

“Ya, doktor. Saya makan nasi bersama keluarga seperti biasa.” “Ada makanan yang dibeli dari luar? Atau ulam-ulaman?” saya bertanya lagi. “Makanan berlauk, tak ada pula. Cuma petang tadi memang saya ada ke pasar malam, membeli jering rebus untuk dijadikan ulam.” Ujar beliau. Jawapan beliau membuatkan hati saya terdetak. Sangkaan saya tepat, rupanya. Namun saya mahu tunggu keputusan ujian darah terlebih dahulu. 

Rawatan drip intravena segera diberikan. Lelaki tersebut tidak lagi dalam kesakitan, namun air kencingnya masih bercampur darah. Ultrasound buah pinggang dibuat, menunjukkan tiada batu karang meskipun kedua-dua buah pinggangnya sedikit bengkak. Hampir setengah jam kemudian, keputusan ujian darah sudah siap. Seperti yang dijangka, fungsi buah pinggangnya merosot secara mendadak. Bacaan creatinine nya mencecah 400, sedangkan paras normal bagi orang sihat biasanya tidak melebihi 100. 

“Encik, penyakit encik ini namanya Jering Nephropathy. Maksudnya, kegagalan buah pinggang yang disebabkan oleh pengambilan jering.” Bundar mata lelaki tersebut tatkala saya memaklumkan kepadanya penyakit yang beliau hidapi. “Dalam buah jering, ada sejenis bahan yang dinamakan djenkolic acid. Bahan ini, bersifat toksik kepada buah pinggang manusia. Adakalanya pesakit yang memakan jering terlalu banyak, terutamanya jering yang tidak direbus betul, akan mendapat masalah ini.” 

Saya meneruskan penerangan. Beliau mengangguk, tanda faham. “Sekarang, fungsi buah pinggang encik agak terjejas. Kita akan mulakan rawatan awal, iaitu IV Drip bagi memastikan buahpinggang encik terus berfungsi dan saki baki Djenkolic Acid dalam darah encik dapat keluar melalui air kencing. “Namun, kita akan terus pantau keadaan encik didalam wad. Sekiranya dengan rawatan yang kita berikan ini pun fungsi buah pinggang encik tidak bertambah baik, atau bertambah lebih buruk, encik mungkin terpaksa dirujuk ke hospital besar. Kita khuatir encik mungkin memerlukan prosedur pembedahan atau dialisis untuk menyelamatkan fungsi buah pinggang.” 

Penjelasan panjang lebar saya membuatkan pesakit tersebut termenung. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, lelaki tersebut bersetuju dimasukkan ke wad untuk tujuan rawatan dan pemantauan. Ini adalah kali keempat saya menjumpai kes Jering Nephropathy. Tiga kali sebelumnya, adalah ketika saya menjalani latihan siswazah di hospital besar. Kes jering nephropathy, atau djenkolism, tidak banyak terdapat didalam buku-buku teks perubatan. Ini kerana kejadian ini jarang berlaku (low incidence), dan hanya berlaku di kawasan Asia Tenggara. Agaknya disebabkan adat dan budaya penduduk kita yang biasa menjadikan jering sebagai makanan ulaman. 

Namun, penyakit jering nephropathy ini, selain menyebabkan kesakitan yang teruk ia juga boleh membahayakan nyawa. Menurut sebuah literature review oleh Bunawan et al (2014), daripada 96 kes Jering Nephropathy yang dilaporkan oleh jurnal-jurnal perubatan, empat daripadanya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang. Majoriti pesakit akan sembuh dengan rawatan hidrasi IV Drip, namun terdapat kes yang mana memerlukan rawatan pembedahan. Dalam sebuah laporan kes oleh Wong JS et al (2007) di Hospital Umum Sarawak, pesakit terpaksa melalui sebuah prosedur “stenting” ke kedua-dua buah pinggangnya. 

Apabila “stent” dimasukkan, didapati terdapat bahan berupa jeli berwarna seperti sos menyumbat salur ureter pesakit. Hanya setelah stent dimasukkan, barulah pesakit dapat kencing semula dan fungsi buah pinggang pesakit bertambah pulih. Sebenarnya sebelum kes Jering Nephropathy dilaporkan didalam jurnal-jurnal perubatan, orang-orang tua kita sudah lama mengenalpasti penyakit ini yang disebut sebagai “terkepit jering”. Ini kerana berdasarkan pemerhatian mereka, terdapat individu yang sakit bagaikan dikepit setelah memakan jering. Dari situlah lahirnya petua orang tua-tua, bahawa jering perlu direbus sehingga berjam-jam lamanya sebelum dimakan. Ada yang menasihatkan untuk direbus dengan pelbagai bahan seperti daun kunyit, akar pokok kelapa, bahkan abu dapur, paku dan rantai basikal! 

Keberkesanan dan keselamatan bahan-bahan yang dicampurkan ini agak sedikit meragukan, namun kita memahami rasionalnya adalah untuk menyahneutralkan djenkolic acid yang terdapat dalam biji jering tersebut.  

Apapun, nasihat dan saranan saya kepada mereka yang gemar memakan jering, 

1. Elakkan dari memilih jering yang tua, kerana jering yang tua berkemungkinan mengandungi kepekatan djenkolic acid yang lebih tinggi. 

2. Elakkan dari memakan jering yang mentah. 

3. Elakkan memakan jering dalam kuantiti yang besar. 

4. Pesakit yang mengalami masalah buah pinggang kronik, tidak dibenarkan memakan jering. 

5. Banyakkan meminum air setelah memakan jering. 

6. Jika berlaku sakit perut atau kencing berdarah, dapatkan rawatan di hospital segera. 

****
“Ha, encik, apa khabar hari ini?
Saya menyapa lelaki berkenaan yang sedang berehat. Hari tersebut adalah hari keempat beliau di wad. Alhamdulillah, paras creatinine beliau sudah turun ke normal, menandakan buah pinggang beliau telah bertambah baik. Beliau juga sudah tidak perlu memakai beg kencing dan air kencingnya juga sudah tidak bercampur darah. 

“Alhamdulillah, bertambah baik! Terima kasih banyak-banyak, doktor.” jawab beliau kesengihan. 

“Nak makan lagi jering lepas ni, encik?” saya cuba bergurau. Beliau tertawa sambil berkata, 

“Eh mestilah doktor, kalau dah minat, ulam jering cicah cabai tak boleh tinggal!” 

Lantas kami sama-sama ketawa. 

Dr. Mohd Syamirulah Rahim,
Pegawai Perubatan
http://facebook.com/dr.syamirul
Artikel ini diterbitkan di Majalah iSihat Ogos 2017

Kredit : Fb My News Viral 



Derita Ibu Dan Anak Apabila Ayah Kahwin Empat !!

29 Apr 2024


“Bukan niat untuk memburuk-burukkan ayah kandung tetapi saya mahu masyarakat juga tahu bagaimana penderitaan yang ditanggung anak-anak yang menjadi mangsa tidak bertanggungjawab lelaki bernama ayah.

“Walaupun saya belum mendirikan rumahtangga, namun perasaan sedih dan simpati terhadap apa yang berlaku kepada ibu memberi satu kesan yang mendalam kepada saya.

“Saya selalu menangis apabila membaca kisah yang berkaitan pengorbanan isteri dan ibu kerana ia sama dengan apa yang dilalui ibu saya. Hati mana yang tidak tersiksa apabila pengorbanan selama bergelar isteri musnah dalam sekelip mata bak kata pepatah, `kerana hujan sehari, hilang kemarau setahun.

“Saya tidak minta simpati tetapi mahu berkongsi masalah ini dengan orang lain untuk dijadikan iktibar dan pedoman. Saya yakin cara ini akan menjadikan saya lebih tenang dan tabah menghadapi hari depan.

“Saya merupakan seorang anak kepada seorang ibu yang selalu ditinggalkan suami. Diringkaskan cerita, ayah saya berkahwin lebih dari satu, lebih suka saya katakan bahawa ayah saya berkahwin empat.

“Ibu saya adalah isteri yang paling tua, namun tidak sekali pun saya melihat ibu bertindak menghalang ayah berkahwin lagi.

“Dari kecil kami adik beradik tidak dibesarkan dari pandangan seorang ayah. Kami hidup sendiri bersama ibu. Ayah ada atau tidak bukan masalah besar pada kami. Malah sehinggakan apabila ayah berada di rumah lebih dari sehari, kami akan merasa tidak selesa, serba salah dan rimas.

“Rutin hidup ayah juga kami tidak pernah ambil tahu. Kami hanya berjumpa ayah tiga bulan sekali, itu pun jika dia balik. Hari-hari lain dia menghabiskan masa di rumah isteri-isteri mudanya yang mana kami juga tidak pernah mahu ambil tahu.

“Ibu sudah lali dengan perangai ayah. Seperti kami, ibu juga malas hendak ambil tahu apa yang dibuat oleh ayah, sakit pening, makan minumnya termasuk di mana dia berada. Yang ibu pentingkan bekerja mencari duit untuk membesar dan memberi pendidikan kepada kami anak-anaknya.

“Ibu berkorban hati, perasaan, masa dan kudrat untuk menjadikan kami anak-anaknya `manusia’ kerana dia tidak punya sesiapa di dunia ini melainkan kami.

“Sebagai anak yang paling hampir dengannya, saya tahu hati dan perasaan ibu. Sekiranya ayah saya balik ataupun tidak, kami tidak ambil pusing. Kata ibu lagi, dia tidak mahu kesenangan dunia semata-mata, tetapi mahu kesenangan di akhirat juga. Biarlah ayah dengan dunianya, jika itu yang dia pilih.

“Sebagai anak, saya, abang dan adik-adik kecewa dengan sikap ayah dan sedih dengan nasib ibu, tapi kami tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya mampu berdoa agar ibu sentiasa tabah dan sihat serta bahagia dalam kehidupannya di dunia dan akhirat. Yang penting kami anak-anak sentiasa ada di sisinya sepanjang masa.

“Kepada abang dan adik-adik, saya katakan kita kena terima semua ujian Tuhan ini dengan tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Yang penting dengan cara kita.

“Telah hampir 28 tahun ibu berkahwin dengan ayah. Namun saya tidak pernah nampak ayah berubah walaupun usianya telah menjangkau 60 tahun. Hanya Allah sahaja yang tahu apa perasaan saya. Juga perasaan dan derita yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh itu.

“Pun begitu saya bangga mempunyai seorang ibu yang tabah, cekal dan punya rasa kasih sayang yang cukup tinggi terhadap anak-anaknya. Apa yang ingin saya katakan kepada ibu, terima kasih atas segala-galanya.

“Derita ibu, derita kami juga! Bahagia ibu, bahagialah kami! Semoga kebahagiaan yang tidak seberapa ini kekal menjadi milik kita bersama,tambah Lina menutup cerita dengan suara tersekat-sekat.

Jauh di hujung talian saya mendengar esakan Lina yang semakin meninggi. Sebelum kami terputus terus, saya sempat tinggalkan pesan, jaga ibu, jaga diri dan kuatkan kasih sayang antara adik beradik. Insya-Allah Tuhan akan melindungi anda semua sehingga ke penghujung nyawa.

Selepas berkata-kata, saya termenung panjang sebelum meletak gagang di tempatnya. Sayu, hiba dan sebak menerpa dengan tiba-tiba.

Di mata saya terbayang macam-macam perkara yang menyayat hati antaranya kisah sedih yang menimpa isteri dan anak-anak yang ditinggalkan lelaki yang hanya tahu memuaskan nafsu tetapi kemudian membiarkan zuriat terkapai-kapai mencari kehidupan sendiri.

Kepada semua kaum Adam terutama yang telah menambah `cawangan,’ fikir-fikirkanlah.., berlaku adil terhadap semua perkara apabila mengambil keputusan untuk berpoligami. Tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak hendaklah diutamakan. Ingatlah, di dunia anda mungkin selamat tetapi di akhirat ada mahkamah agung yang menanti.

Apa pun saya bangga dan kagum dengan kecekalan hati Lina mengatasi masalah keluarganya. Pada saya, Lina anak yang baik dan bertanggungjawab. Semoga baktinya kepada ibunya akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t

Kepada para remaja sekelian contohilah sikap murni Lina. Jadilah anak solehah untuk terus menikmati kebahagiaan. Ingat dan insaflah bahawa, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Mengundur diri, salam kasih dan pesanan telus saya buat Lina dan ibunya, juga pembaca budiman. Jangan biar kesedihan menguasai diri. Keluarlah daripada kesedihan untuk bergembira dan menghargai hidup yang dipinjamkan oleh Allah Taala ini.

Menutup kata, jadilah seperti kupu-kupu, terbang bebas ke mana sahaja. Ringan perawakan, indah dipandang, terbang dari satu bunga ke satu bunga, dari satu tangkai ke satu tangkai, dari satu taman ke satu taman. Dalam kepayahan ada madu yang disentuh. Begitu juga manusia! Di sebalik sengsara masih ada bahagia - realitinya bukan hidup namanya jika tidak ada bahagia dan derita.

KWSP Lancar Akaun Ketiga Akaun Fleksibel, Boleh Keluar Simpanan Ini, Bila-Bila Masa Diperlukan

28 Apr 2024


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan dipecahkan kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. 

(1) Akaun Persaraan(Akaun 1) untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan

(2) Akaun Sejahtera(Akaun 2) untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan

(3) Akaun Fleksibel(Akaun 3) sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Simpanan dalam Akaun Fleksibel itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan akaun Fleksibel yang mana membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50. Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. 



Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut iaitu : 

(i) 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan 

(ii) 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera  

(iii) 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel

Pada tarikh kuat kuasa struktur akaun baharu iaitu 11 Mei 2024, Akaun Fleksibel ahli akan bermula dengan baki sifar. Bagaimanapun, ahli diberikan pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan yang ada dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini akaun 2) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.

Tempoh bagi ahli KWSP yang ingin membuat pindahan tersebut bermula pada 11 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024. Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel sebanyak satu kali saja bermula daripada tarikh kuat kuasa sehingga 31 Ogos 2024, di mana selepas ini pilihan ini tidak boleh dibatalkan.

Tujuan diberikan pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu. 

Bagaimanapun, sekiranya ahli tidak mahu membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan di Akaun Fleksible, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.




Untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) , ia adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli. Kaedah pindahan adalah mengikut dua pecahan iaitu :

(A) Baki Akaun Sejahtera ahli mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas 
(i)   10 per 30 daripada baki dalam itu akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel   
(ii)   5 per 30 dipindahkan ke Akaun Persaraan
(iii) 15 per 30 akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera

(B) Baki Akaun Sejahtera ahli adalah kurang dari RM3,000
(i)   Baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
(ii)  Baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan  ke Akaun                     
               Fleksibel adalah RM1,000 sahaja , dan baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera
(iii) Tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan bagi simpanan dalam Akaun Sejahtera yang                   
               kurang dari RM3,000.




Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau 'Self-Service Terminal' yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk di www.kwsp.gov.my atau aplikasi KWSP i-Akaun.


Kredit Sumber : KWSP

Kredit Sumber : Berita Harian

Kredit Sumber : Sinar Harian



Soalan Lazim Penstrukturan Semula Akaun KWSP

1. Mengapakah KWSP melaksanakan penstrukturan semula akaun KWSP?
Penjelasan :
Penstrukturan semula akaun ini dibuat bertujuan untuk:
(i)  Meningkatkan kecukupan simpanan untuk menjamin pendapatan persaraan yang bermakna untuk ahli;
(ii) Mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang selaras dengan keperluan kitaran hidup dan jangka hayat ahli;
(iii)Membangunkan Skim KWSP yang relevan dengan perubahan lanskap pekerjaan, perubahan demograft dan keperluan ahli di masa kini dan masa hadapan; dan
(iv) Memenuhi keperluan kewangan jangka pendek yang boleh menjejaskan kesejahteraan semasa persaraan sekiranya tidak dipenuhi.


2. Adakah penstrukturan semula akaun KWSP yang baharu melibatkan semua ahli KWSP?
Penjelasan :
Penstrukturan semula akaun KWSP terpakai kepada semua Ahli KWSP termasuk bukan warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 55 tahun pada 11 Mei 2024.


3. Adakah Akaun 55 dan Akaun Emas masih wujud selepas penstrukturan semula akaun KWSP ini dilaksanakan?
Penjelasan :
Ya, bagi ahli yang telah mencapai umur 55 tahun, kesemua baki simpanan dalam ketiga-tiga akaun akan dipindahkan ke Akaun 55. Caruman baharu yang diterima mulai umur 55 tahun akan dikreditkan ke Akaun Emas.


4. Apakah yang akan berlaku sekiranya ahli tidak membuat pilihan pindahan amaun permulaan?
Penjelasan :
(i) Sekiranya ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki dalam Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel sedia ada akan kekal.
(ii) Manakala, caruman baharu akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Pengeluaran daripada akaun tersebut adalah tertakluk kepada terma dan syarat pengeluaran semasa.


5.Bilakah pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel akan diluluskan?
Penjelasan :
Pilihan pindahan amaun permulaan akan berkuat kuasa apabila tindakan pindahan ke Akaun Fleksibel dibuat dalam tempoh 3-5 hari.


6. Bagaimanakah kaedah permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?
Penjelasan :
Ahli boleh memohon Pengeluaran Akaun Fleksibel melalui saluran berikut:
(i) Secara online melalui KWSP i-Akaun; atau
(ii) Kunjungi mana-mana kaunter KWSP


7. Adakah ahli boleh membatalkan permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?
Penjelasan :
Permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel tidak boleh dibatalkan apabila permohonan telah diluluskan. Ahli disarankan untuk membuat keputusan yang tepat sebelum mengemukakan permohonan.


8. Apakah jenis-jenis pengeluaran yang dibenarkan selepas pelaksanaan penstrukturan semula akaun KWSP?
Penjelasan : 
Jenis-jenis pengeluaran yang dibenarkan adalah seperti berikut:
(A) Sebelum Umur 55 Tahun:
(i) Akaun Persaraan: Skim Pelaburan Ahli
(ii) Akaun Sejahtera: Pengeluaran Perumahan, Pendidikan, Kesihatan, Haji, 50 tahun dan Pelan Perlindungan Ahli (PPA
(iii) Akaun Fleksibel: Pengeluaran Akaun Fleksibel (baharu)
(iv) Kesemua Akaun: Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Meninggalkan Negara dan Pengeluaran Pekerja Berpencen
(v)Pengeluaran Melebihi RM1 Juta

(B) Selepas Umur 55 Tahun:
(i) Akaun 55: Pengeluaran 55 Tahun
(ii) Akaun Emas: Pengeluaran 60 Tahun
(iii) Kesemua Akaun: Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Kematian, Pengeluaran Meninggalkan Negara


9. Adakah ahli beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas Pengeluaran Akaun Fleksibel?
Penjelasan :
(i) Sekiranya Pengeluaran Akaun Fleksibel dibuat oleh ahli yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi atau yang terjejas sumber pendapatannya bagi menampung keperluan hidup asasi diri dan tanggungannya seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan, maka zakat tidak diwajibkan.
(ii) Selain daripada sebab-sebab di atas, Pengeluaran Akaun Fleksibel yang dibuat tertakluk kepada zakat pada kadar 2.5% tanpa perlu menunggu haul setahun, sekiranya mencapai nisab (setelah mengambil kira semua pendapatan dalam tempoh haul setahun).
(iii) Ahli beragama Islam dinasihatkan untuk merujuk pihak berkuasa zakat negeri masing-masing berhubung apa-apa perkara berkaitan zakat.


10. Adakah ahli beragama Islam diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel yang tidak dikeluarkan?
Penjelasan :
(i) Ya. Baki simpanan di dalam Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada zakat simpanan pada kadar 2.5% setiap tahun berdasarkan Haul sekiranya mencapai Nisab setelah diambil kira semua baki simpanan ahli yang lain.
(ii) lni adalah kerana simpanan di dalam Akaun Fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa telah memenuhi salah satu syarat wajib zakat iaitu pemilikan sempurna.
(iii) Ahli beragama Islam dinasihatkan untuk merujuk pihak berkuasa zakat negeri masing-masing berhubung apa-apa perkara berkaitan zakat.


Umur Dah Masuk 40 Tahun ? Hati-hati Dengan Ujian Yang Lebih Mencabar !

27 Apr 2024


"Berhati-hati di usia 40 tahun"


Umur 40 tahun ialah umur dimana kebanyakan kita mula diuji. Ujian boleh datang dari ibubapa (jatuh sakit, kematian), atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.

Memang bermula 40 tahun, Tuhan akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Tuhan selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.

Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarganya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.

Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Tuhan. Malah dikala orang lain semua bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, dia pula mencari masalah baru.

Usia 40 ini menjadi lebih menarik apabila al-Quran di dalam surah "al-Ahqaaf ayat 15" ada menyebut tentang itu. Allah berfirman yang bermaksud,

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu)."

Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun, masih memikirkan kereta Sportnya, tanaman Duriannya, ternakan kerbaunya, harta2nya, anak2 dan cucu2nya. Alangkah baiknya jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar Kuliah Agama, ibadat di Masjid, Umrah, Haji dan sebagainya.

Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala padahal kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta diluar, sedangkan rumahtangga yang halal dibiar berantakan.

Ada yang rasa macam masih sihat, walaupun sahabat2, sedara-mara ramai yg sudah meninggal, kadangkala tanpa disangka. Itu semua hanya menjadi bahan cerita "ehh, tak sangkaaa...muda lagi, sihat je nampak, boleh meninggal..."

Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih ralit dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.

Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.

Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang. 

Sehinggalah tiba saat roh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Tuhan.

Kita hidup di dunia, tidak lama.. Rasulullah, Sallallaahu alaihu wasallam, telah bersabda:

“Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut”. [HR. Ibnu Majah: 4236].

Kalau sekarang kita rasa 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama, SATU HARINYA = RIBUAN TAHUN…

Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal baik kita..

Oleh karena itu, lihatlah diri Anda, sudahkah dia mempersiapkannya…?!

Allah ta’ala berfirman (yang artinya):

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan LIHATLAH DIRI MASING-MASING apakah yang sudah ia PERSIAPKAN untuk KEHIDUPAN ESOKNYA”. [Al-Hasyr:18]

Mari kita dekatkan diri dgn Allah, rajin2 Solat Jemaah, tunaikan Zakat, Haji, Umrah, puasa dan sebagainya. Tunaikan yg Wajib dahulu, dan tingalkan larangan insyaAllah.

By:Miracle sidrah protection

Pernah Dengar 5 Kisah Seram 90-an Paling Popular & Seram? Sumpah Cerita Dulu-Dulu Takut Oii !

24 Apr 2024




Pernah tak dengar beberapa cerita seram yang popular pada tahun 90-an? Kali ini, nak kongsikan 5 kisah seram yang boleh buatkan kamu meremang bulu roma. Jom baca kisah seram di bawah.

#1 Proton Wira 

Pada suatu malam, sepasang suami isteri memandu pulang ke kampung untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan. Semuanya berjalan dengan lancar pada mulanya tetapi di tengah-tengah jalan ada sesuatu yang telah berlaku.

Proton Wira yang dinaiki mereka telah hilang kawalan dan tiba-tiba mati. Mereka terkandas di tepi dalam di tengah-tengah malam. Di sekeliling mereka hanyalah hutan dan bukit yang sunyi sepi. Si suami cuba hidupkan enjin kereta tetapi tidak berjaya. Mereka juga cuba menghubungi bantuan tetapi hasilnya tetap sama.

Foto – Iluminasi

Si suami keluar daripada kereta untuk mencari telefon kecemasan tetapi tidak disetujui si isteri kerana bimbang si suami akan dilanggar oleh kereta ketika berjalan dalam gelap. Si suami tetap keluar dan minta si isteri untuk kekal dalam kereta.

Setelah lama menunggu, si isteri dengar bunyi dentuman yang kuat di atas kereta dan bunyi yang aneh. Dia sangkakan haiwan liar dan tidak keluar untuk memeriksanya. Kemudian ada kereta yang lalu kawasan itu, perlahankan kelajuannya ketika menghampiri kereta mereka sebelum memecut laju secara tiba-tiba.

Si isteri tunggu lagi dan beberapa kereta lakukan perkara yang sama seperti kereta pertama yang menghampiri mereka. Dia mula jadi risau tentang bunyi pelik di atas keretanya dan tertanya-tanya di manakah suaminya.

Foto – SAYS

Kemudian, kereta polis menghampiri dan berhenti beberapa meter di belakang dan menggunakan pembesar suara meminta si isteri untuk keluar tinggalkan kereta perlahan-lahan. Si isteri lakukan seperti yang diarahkan. Ketika sudah sampai ke kereta polis, dia ternampak tubuh suaminya di atas kereta.

Yang paling menakutkan, ada entiti jahat yang memakan tubuh suaminya ketika dia berada di dalam kereta menunggu. Anggota polis terus membawa si isteri dengan segera dan cerita ini mula tersebar seluruh Malaysia.

#2 Hantu Janet Sarawak 

Kisah ini melibatkan jururawat Cina iaitu Janet yang bekerja di Hospital Umum Sarawak. Dia telah diculik dan dipercayai menjadi korban semah apabila Sarawak mula membina jambatan Satok.

Untuk elakkan pembinaan jambatan dilambatkan dan roh sekitarnya tidak tenang, pengorbanan manusia iaitu anak dara perlu dibuat. Kepala mereka akan dipenggal dan ditanam di tiang konkrit untuk kukuhkan jambatan.

Foto – Twitter

Kemudian pihak polis menemui badan Janeh tanpa kepala. Ibu bapa Janet yang sedih telah mengebumikan anak mereka dengan pakaian dan kasut berwarna merah. Mengikut kepercayaan Cina, wanita yang mati memakai pakaian serba merah, rohnya akan kembali untuk membalas dendam.

Kemudian, penampakan hantu Janet mula berlaku. Ada yang nampak seorang wanita berpakaian merah jalan kaki dengan payung pada waktu malam. Kemudian ada yang nampak, wanita berpakaian merah naik feri dan hilang.

#3 Volkswagen Kuning Karak 

Antara cerita yang popular apabila kereta Volkswagen kuning sering muncul di lebuhraya Karak. Bagi rakyat Malaysia, lebuhraya ini merupakan jalan yang paling berhantu kerana ia memiliki kadar kemalangan yang tertinggi.

Yang menyeramkan tentang kisah ini adalah ada beberapa pengguna jalan raya di lebuhraya Karak akan ternampak kereta ini. Kereta ini akan menghalang laluan mereka dengan kelajuan yang perlahan dan memaksa pemandu lain untuk memotongnya.

Foto – Orang Kata

Sebaik sahaja sudah potong, keadaan yang sama akan berulang-ulang kali berlaku. Selepas beberapa kali, pemandu akan sedar bahawa ianya adalah kereta yang sama. Yang paling menakutkan ialah tiada pemandu dalam kereta Volkswagen kuning itu!

Menurut khabar angin, antara salah satu cara untuk hentikan perkara itu adalah pemandu tidak perlu memotong kereta itu. Ada juga yang mengatakan bila pemandu memotong kereta itu, ia akan memecut dan hilang dalam kegelapan.

#4 Merman 

Gambar merman atau ikan duyung versi lelaki mula tersebar di laman sesawang seluruh Malaysia. Menurut khabar angin, merman ditangkap oleh seorang nelayan di pantai Teluk Bahang, Penang. Ada 6 jenis gambar makhluk ini yang diambil dari pelbagai sudut.

Foto – 40ana.blogspot

Merman ini kelihatan mirip seperti seorang lelaki dan mempunyai saiz badan hampir sebesar lelaki dewasa. Ada 2 sirip panjang seperti telinga besar di kepalanya. Kemudian, dia ada 2 lengan dan badan dilutupi dengan sirip dari kepala sehingga kaki.

Foto – 40ana.blogspot

Ada beberapa ‘penyiasat internet’ mendakwa gambar itu daripada jualan eBay di Florida. Tetapi lain pula pandangan ahli teori apabila mereka mengatakan ia hanyalah cubaan untuk tutup kisah ini dan sebenarnya ada banyak merman di laut Malaysia.

#5 DJ Radio & Pemanggil Misteri 

Paling menakutkan apabila seorang DJ radio Malaysia ketika itu menerima sebuah panggilan telefon untuk berkongsi tentang kisah hantu menerusi rancangan lewat malam.

DJ radio itu menerima telefon daripada seorang lelaki. Lelaki itu menceritakan dia sedang memandu di sebuah lebuhraya pada lewat malam bersama ibu bapa, isteri dan bayinya. Kesemua penumpang sedang tidur ketika itu membuatkan dia juga berasa mengantuk.

Foto – Facebook

Tiba-tiba dia ternampak lori datang dari arah bertentangan. Tetapi lori itu melepasinya seperti tiada apa. Perkara itu berulang-ulang kali berlaku. Kemudian, dia sedar lori tersebut berada di belakang keretanya dan seperti mengejarnya.

Tak mahu panik, dia cuba pecut dengan laju sehingga ke atas bukit dan nampak sebuah kereta bergerak di arah bertentangan. Dia mengelak sehingga hilang kawalan dan terbabas dalam jurang yang dalam. Dia juga beritahu DJ radio itu kemalang itu membunuh kesemua ahli keluarganya dan juga dia.

Foto – Facebook

DJ radio itu menyangkakan ianya adalah prank dan terus  ketawa. Keesokan harinya, dia melihat akhbar yang memaparkan kisah lelaki tersebut. Dia yang berasa terkejut terus mencari rakaman pita kisah lelaki itu tetapi apa yang dia dengar hanyalah bunyi sunyi sepi.

Baru baca sahaja dah rasa seram sampai meremang bulu roma. Cuba kamu bayangkan kamu mengalami kisah-kisah di atas, rasanya boleh tidur malam atau tak?

Kredit : murai.MY


Perlukah Memberi Anak-Anak Ubat Cacing

23 Apr 2024



Penulisan Dr Zubaidi kali ini akan memberitahu kepentingan memberikan ubat cacing pada kanak-kanak. Kadang kala ibu bapa ‘terlepas pandang’ mengenai hal ini. Jangkitan cacing adalah jangkitan parasit yang boleh hidup dalam darah, usus atau organ tubuh. 

Cacing akan masuk ke tubuh kanak-kanak apabila mereka termakan telur cacing yang berada dalam makanan.  Ini dilakukan secara tidak sengaja apabila mereka membeli makanan-makanan yang dimasak secara tidak sempurna di gerai-gerai. 

Telur cacing ini akan menetas di dalam usus kecil. Mereka membesar dengan mendapat zat pemakanan di usus ketika proses penghadaman. Cacing yang dewasa mengawan dan bunting akan bergerak ke usus besar dan rektum. Telur cacing ini akan dikeluarkan melalui najis. 

Kanak-kanak yang mengabaikan kebersihan tangan sebelum makan adalah golongan utama yang menjadi mangsa jangkitan parasit cacing. Selain itu cacing juga boleh memasuki tubuh melalui kulit kaki yang terdedah.

Terdapat pelbagai jenis cacing yang menjadikan tubuh kita sebagai tempat untuk mereka membesar dan membiak. Antaranya cacing cangkuk ,cacing gelang , cacing benang , cacing kerambit dan cacing pita . 

Oleh itu berhati-hatilah ketika memakan makanan yang dikhuatiri tidak dimasak dengan sempurna. Jika menggunakan tandas awam, pastikan kita membersihkan mangkuk tandas sebelum duduk di atasnya. 

Antara simptom-simptom yang disebabkan cacing dalam tubuh ialah pucat akibat (kekurangan darah merah), cepat rasa lemah dan letih, kurang selera makan, dan abdomen yang kembung. Adakalanya terdapat juga tanda-tanda kegatalan di kulit kaki dan lubang dubur. 

Cacing-cacing ini akan mengambil nutrien makanan yang diserap ketika kita makan dan menyebabkan tubuh mengalami kekurangan zat makanan. Inilah yang menyebabkan kanak-kanak akan menjadi cepat penat dan perkembangan fizikal mereka mudah terganggu. 

Selain itu jangkitan cacing yang kronik memberikan kesan yang merbahaya. Ini bermakna cacing telah berada di dalam tubuh bertahun-tahun tanpa disedari. Sebagai contoh, cacing pita boleh menyebabkan kerosakan pada otak, cacing kerambit boleh menyebabkan luka pada usus sementara cacing gelang boleh menyebabkan usus tersumbat, sembelit dan kembung abdomen. 

Soalan yang biasa ditanyakan kepada saya ialah berapa kerap kanak-kanak perlu diberikan ubat cacing. Tidak banyak doktor yang ingin menjawab soalan ini, malah pakar paediatrician juga seolah-olah merahsiakan ‘formula’ ini. Memberikan ubat cacing selalunya diberikan dalam jarak antara enam bulan hingga setahun sekali. 

Jarang sekali kanak-kanak mengalami kesan sampingan yang merbahaya dari ubat yang dimakan. Selalunya cacing mati yang dikeluarkan akan menyebabkan kulit kanak-kanak itu menjadi ruam dan mereka mengadu kegatalan.   

Deworming secara berkala juga akan membantu mengeluarkan cacing serta telurnya dari usus kanak-kanak yang dijangkiti. Saya mengambil satu contoh produk ubat cacing yang boleh dibeli dari farmasi. Vemizol, adalah ubat cacing berbentuk suspension cecair  yang mengandungi 200mg albendazole dalam setiap 5 ml. Dos yang diberikan bergantung kepada umur kanak-kanak itu. 

 Bagi kanak-kanak  antara 1-2 tahun, 5 ml diberikan sebagai dos tunggal. Sementara bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun   ke atas, 10ml diberikan sebagai dos tunggal. Namun jika kita dapati terdapat cacing pada najis di tandas, maka dos ubat cacing ini seelok-eloknya diteruskan selama tiga hari. 

Jika masih lagi terdapat banyak cacing dalam najis pada hari ke-empat atau terdapat bukti bahawa kanak-kanak itu dijangkiti parasit cacing yang kronik, bawalah anak berjumpa dengan pakar paediatrik. Pemeriksaan najis melalui mikroskop akan memberitahu jika kanak-kanak ini telah bebas dijangkiti parasit cacing. 

 Jika keluarga memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, elok setahun sekali binatang ini diperiksa oleh doktor haiwan. Ini kerana dalam kehidupan di bandar, cacing dapat disebarkan dengan mudah melalui haiwan peliharaan. Selain kanak-kanak, haiwan peliharaan ini juga harus diberikan ubat cacing. 

Di negara dunia ketiga, jangkitan parasit cacing memberikan masalah besar pada kanak-kanak. Ia memberikan kesan kepada mereka dari segi kehadiran ke sekolah. Laporan UNICEF membuktikan kanak-kanak yang diberikan ubat cacing mempunyai berat dan perkembangan fizikal yang sempurna berbandingan mereka yang tidak diberikan ubat cacing. 

Secara amnya memberikan kanak-kanak ubat cacing setiap enam bulan sudah memadai, terutama jika anda membela haiwan peliharaan atau mempunyai risiko-risiko yang saya nyatakan tadi. Jika tidak, memberikan anak-anak kita ubat cacing setahun sekali telah memadai. 

Wa allahu ‘alam. 

Susunan: Dr Zubaidi bin Hj Ahmad (200611) 


Kredit : Dr Zubaidi bin Hj Ahmad 


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.