Di Fitnah Saudara-Mara Di Laman Sosial
30 Apr 2017
Kepulangan
Linda, 30, ke rumah nenek sebelah ibunya di sebuah perkampungan di utara
Semenanjung bagi sambutan Syawal baru-baru ini, tidak semeriah sebagaimana
diharapkan. Dia
yang tidak mengetahui punca sebenar tindakan ramai dalam kalangan
sepupu-sepupunya yang tidak mengindahkan malah dilihat seperti memulaukan
dirinya amat tidak difahami. Dia
yang balik beraya bersama keluarga, ibu dan ayahnya, sedikit berasa tersisih dengan
layanan daripada sepupu-sepupu yang lain. “Keluarga
nenek memang ramai. Ibu saya mempunyai 12 orang adik-beradik dan setiap
keluarga mempunyai anak-anak yang ramai. Apabila sesekali balik berjumpa pasti
meriah kerana setahun sekali bersua mesra apabila hari raya.
“Tetapi
kepulangan saya baru-baru ini seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu
lain yang jarak usia mereka tidak jauh beza dari saya,” jelas Linda ketika
ditemui di majlis rumah terbuka baru-baru ini. Namun
menurut Linda, bukan semua yang bersikap begitu, ada yang juga masih mesra dan
saling bertegur sapa dan bertanyakan khabar apabila bersua di rumah nenek pada
pagi Syawal. Linda
yang kehairanan cuba mencari punca dan masalah sebenar apa yang menyebabkan
sepupu-sepupu yang kebanyakannya perempuan enggan bercakap dengan dirinya,
sedangkan sepatutnya, pada pagi raya seperti itu orang akan saling bersalaman
bagi memohon ampun atas kekhilafan yang dilakukan.
Masih
teringat di fikiran Linda bagaimana meriahnya dia dan sepupu-sepupu saling berlumba-lumba
mencantikkan diri dengan memakai pakaian baru yang paling cantik di mata
mereka. Selalunya,
dia yang akan mendapat pujian daripada nenek dan datuknya kerana Linda memang
dilahirkan dalam keluarga yang memiliki personaliti menawan. “Namun
semua itu tidak pernah menjadi penghalang dan bagi saya kelebihan itu tidak
pernah dijadikan ukuran kepada persahabatan saya dengan sepupu-sepupu lain,”
katanya. Akhirnya,
menurut Linda, tiga hari selepas balik ke kampung, apabila dia beraya ke rumah
sepupunya yang paling muda, iaitu anak kepada ibu saudaranya paling bongsu,
segalanya terbongkar. Itupun
selepas Linda cuba mengorek kebenaran yang menjadikan dirinya seolah-olah tidak
diendahkan oleh sepupu-sepupu lain.
Setelah
dikorek rahsia, barulah Linda mengetahui yang selama ini dia menjadi bahan
cerita, kutukan dan sindiran beberapa sepupunya yang lain di dalam laman sosial
seperti facebook, we chat dan whats app. “Aplikasi
laman sosial seperti whats app menyediakan satu laman bagi perkumpulan atau
group yang membolehkan mereka yang berada di dalam perkumpulan berkenaan boleh
berbincang sesama mereka tanpa diketahui oleh insan luar yang tidak tersenarai
dalam perkumpulan berkenaan. “Sepatutnya
laman sosial seperti ini memberi banyak kebaikan kepada mereka yang berada di
dalamnya seperti pengetahuan, mengeratkan perhubungan, memberi bantuan dan
sebagainya, namun selalunya laman sosial seperti ini akan menjadi satu tempat
untuk melepaskan geram, dendam, kutukan dan malahan fitnah kepada orang lain.
“Inilah
yang terjadi kepada saya kerana saya sering menjadi fitnah kepada sepupu-sepupu
lain dan saya sendiri tidak mengetahuinya kerana mereka mempunyai group whats
app sendiri,” jelas Linda. Apa
yang Linda tidak tahu sepanjang tahun lepas, Linda sentiasa menjadi bahan fitnah
daripada tiga orang sepupu yang amat mencemburuinya selama ini. Bukan
sahaja atas dasar kecantikan Linda, malah dia juga merupakan pegawai tertinggi
di jabatan kerajaan, lulusan luar negara dan keluarganya kaya serta disenangi
oleh datuk dan neneknya. Daripada
risikan yang Linda lakukan, sepupunya yang muda itu telah menunjukkan laman
sosial berkenaan dan pelbagai perbincangan yang telah mereka lakukan yang
kebanyakannya memburuk-burukkan dirinya, yang semuanya berunsurkan fitnah.
Sepupunya
yang paling muda dan yang paling baik dengannya itu mengakui hanya melihat
sahaja lontaran perbincangan yang dimuat naik oleh sepupu-sepupu lain tetapi
dia sendiri tidak masuk campur kerana mengetahui kebanyakannya adalah fitnah
terhadap Linda. “Rasa
marah, lucu, sedih dan sebagainya bercampur baur dalam perasaan apabila membaca
perbincangan yang dilakukan dalam laman sosial berkenaan. Tetapi saya
beranggapan, semua itu hanya satu perkara biasa yang dilontarkan oleh mereka
yang tidak mengenali saya sepenuhnya. “Dari
sekecil hingga sebesar ayat saya baca, satu perkara yang menyentuh hati ialah
apabila mereka mengaitkan saya cantik tetapi dalam usia seperti itu masih belum
mempunyai teman lelaki. Mereka bukannya tidak tahu jodoh dan ajal maut itu di
tangan Tuhan. Siapalah kita yang menentukannya.
“Dari
situ saya berasakan amatlah teruknya laman sosial ini sekiranya digunakan tanpa
perkara yang jelas dan digunakan untuk memfitnah. Apa yang penting mereka
berbincang di laman sosial mengenai diri mereka tetapi orang yang diperbincangkan
itu tidak mengetahui apa-apa pun malah tidak mempunyai kuasa untuk membela
diri. Apa-apa
pun dalam hati, saya memaafkan mereka atas perbuatan yang dilakukan. “Mereka
tidak tahu saya telah tahu apa yang mereka bincangkan mengenai diri saya, tetapi
mulai dari hari itu saya mesti berhati-hati. Apa yang saya dapati, bukan hanya
perihal saya yang mereka bincangkan, malah mereka juga akan turut membincangkan
orang lain yang tidak disukai mereka di laman berkenaan,” katanya.
Kredit : UtusanMalaysia
© Utusan Melayu (M) Bhd