SLIDER

Ada Sebab Mengapa Bahaya Tidur Dengan Lampu Menyala, Jangan Pandang Remeh !

27 Dec 2021


Sudah berapa kali anda tidur dengan lampu terbuka, ataupun tertidur semasa menonton TV lewat malam, tidak pun menggunakan komputer sebelum tidur?

Salah satu faktor untuk mendapat tidur yang berkualiti dan mengekalkan biological clock anda adalah dengan tidur dalam tempat/keadaan yang gelap. Sekiranya anda terlalu banyak terdedah kepada cahaya semasa tidur, ia adalah amalan yang tidak sihat.

Terdedah kepada cahaya akan meransang saraf di mata ke otak yang mengawal hormon, suhu badan dan beberapa fungsi yang lain – ia memberikan kesan kepada bagaimana badan kita akan rehat dan bekerja.

Terlalu banyak cahaya, sebelum kita masuk tidur boleh mengganggu kualiti tidur anda. Bahkan, berdasarkan satu kajian, mendapati bahawa terlalu banyak terdedah kepada kitaran cahaya boleh menjejaskan kesihatan, termasuklah meningkatkan risiko kemurungan.

Pada siang hari, dapatkan cahaya yang mencukupi. Pada malam harinya pula, kurangkan pendedahan anda kepada cahaya. Buat rutin untuk tidur, agar dapat kurangkan terlelap di hadapan TV atau lupa untuk matikan lampu. Sebaiknya, anda berhenti daripada menggunakan sebarang peralatan elektronik seperti komputer, laptop, smartphone, tablet dan sebagainya 30-60 minit sebelum masuk tidur.

Peralatan elektronik tersebut mengeluarkan cahaya yang boleh mengganggu kualiti tidur kita. Dapatkan tidur yang berkualiti sangat penting untuk semua orang, terutama kanak-kanak, kerana ia memberikan impak yang nyata kepada proses pembesaran mereka.

Kenapa Tidak Boleh Tidur Dengan Lampu Terbuka? Perlu Tidur Dalam Gelap?

Bilik tidur zaman sekarang dipenuhi dengan lampu, agar ia kelihatan lebih cantik dan menawan. Apa yang tak kena dengan perkara ini adalah pendedahan kepada cahaya berlebihan (terutama semasa tidur) boleh menyebabkan kepada beberapa masalah kesihatan.

Untuk memahami pendedahan kronik cahaya (chronic exposure) pada waktu malam adalah tidak sihat, kita perlu lihat bagaimana manusia tidur sebelum datangnya teknologi lampu/elektronik.

Manusia sebelum ini terdedah kepada dua jenis cahaya sahaja – cahaya matahari pada waktu pagi dan siang. Manakala cahaya bulan dan api pada waktu malam. Dua jenis cahaya ini sahaja yang memainkan peranan untuk menstabilkan circadian rhythmicity.

Zaman sekarang, kita sudah ada artificial lightning at night (LAN), LED, AMOLED dan sebagainya – ia sangat berbeza dengan 2 jenis cahaya yang disebut tadi.

Sila lihat video dibawah, ia sangat membantu anda untuk faham akan masalah tidur dengan lampu terbuka ini:

Tutup Lampu Sebelum Tidur

Kajian mendapati bahawa tidur dengan lampu terbuka boleh mengurangkan kadar melatonin anda kepada 90 minit, berbanding anda tidur dalam gelap. Apa yang lagi teruk adalah penggunaan peralatan elektronik sebelum masuk tidur.

Kebanyakan peralatan elektronik seperti smartphone, tablet dan komputer menggunakan light-emitting-diode (LED) – jenis cahaya yang boleh mengatasi melatonin. Hal ini kerana melanopson – satu photopigment yang terdapat di dalam sel retina mata memainkan peranan kepada circadian rhythmicity – ia sangat sensitif kepada cahaya biru.

Kajian mendapati bahawa cahaya dari skrin komputer (terutama pada waktu malam) boleh mengurangkan kadar melatonin para pelajar. Pada masa yang sama, skrin tablet juga boleh mengatasi melatonin, lantas mengganggu anda tidur. 

Kaitan Cahaya dan Kanser?

Yang paling sedih adalah apabila gangguan tidur berlaku, ia boleh membawa kepada sesetengah kanser (jangan risau, ini kes paling berat). Namun, ia masih dalam peringkat kajian, kerana para pengkaji tidak mengetahui sebab utama, cuma mereka tahu tidur dengan lampu terbuka dan kanser ada perkaitannya.

Sebagai contoh, kajian yang dijalankan selama 10 tahun ke atas 1670 wanita yang terdedah kepada cahaya lampu sepanjang waktu mereka tidur mendapati bahawa mempunyai 22% risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payu dara – berbanding dengan yang tidur dalam gelap.

Para pengkaji menanggap bahawa perkara ini adalah disebabkan oleh gangguan hormon dan melatonin.

Perkara ini akan menjejaskan orang yang bekerja shift malam. Dalam kajian terkawal, mendapati bahawa jururawat yang bekerja pada shift malam mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payu dara berbanding dengan jururawat yang hanya bekerja pada waktu pejabat.

Lampu Biru, Kemurungan dan Imun

Terdedah kepada cahaya biru berlebihan terutama semasa tidur telah menyebabkan kemurungan ke atas tikus makmal – perubahan sikap yang ketara adalah mereka tidak lagi suka minum air gula sepertimana mereka suka dahulu.

Terdedah kepada cahaya semasa tidur juga boleh mengganggu sistem imun manusia. Biasanya orang yang tidur denga lampu terbuka akan senang rasa pening, loya dan muntah berbanding dengan orang yang tidur dalam gelap.

Hal ini kerana badan kita sebenarnya perlu keadaan yang gelap untuk mendapatkan rehat yang sepenuhnya. Sekiranya kita tidur dengan lampu terbuka, maka kita sudah mengganggu bagaimana badan kita sepatutnya berfungsi.

Lantas, mengganggu sistem imun daripada berfungsi dengan baik.

Ia Boleh Menyebabkan Penuaan Awal

Melatonin mempunyai kandungan antioksida, yang mana memainkan peranan yang penting dalam anti-penuaan. Kajian sudah konklusikan bahwa sekiranya kadar melatonin dalam badan kita terganggu, maka ia boleh menyebabkan kita kelihatan lebih tua – tidak awet muda lagi dah.

Ia Boleh Menyebabkan Masalah Berat Badan

Cahaya pada waktu malam juga boleh membawa kepada kenaikan berat badan, kerana ia akan mengubah jadual waktu makan anda. Tikus makmal yang terdedah kepada LAN, mengalami kenaikan berat badan – walaupun bersenam dan makan makanan yang sama dengan tikus makmal yang lain.

Kesimpulan

Secara ringkas, artikel ini menyarankan kita semua agar menutup semua lampu dan berhenti daripada terdedah kepada peralatan elektronik sebelum tidur.

Hal ini kerana tidur dengan lampu terbuka bukan sahaja boleh menjejaskan kitaran tidur kita, bahkan boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan pada masa hadapan.

Harap artikel ini membantu anda, sila kongsikan artikel ini kepada orang lain di media sosial, kerana masih ramai orang yang tidak peduli akan perkara remeh temeh ini.

Sekian~

Kredit : panduansaya



Sudah Hujung Tahun, Jangan Lupa Tunaikan Zakat Harta

26 Dec 2021



MASYARAKAT Islam kini berada pada penghujung tahun 2021. Sudah sampai masanya ibadah zakat diberi perhatian terutamanya bagi individu yang menjadikan bulan Disember sebagai tempoh penuh dalam pengiraan zakat mereka.

Menyoroti Rukun Islam keempat itu, zakat dikelaskan kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan harta. Zakat fitrah wajib ditunaikan oleh semua masyarakat Islam sebelum 1 Syawal setiap tahun.

Bagi zakat harta pula, ia diwajibkan kepada individu yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Antara lain adalah cukup haul (tahun), sempurna milik, cukup nisab (melepasi paras minimum) dan harta yang disifatkan al-nama (berkembang).

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis zakat harta. Ia termasuklah hasil perniagaan, pertanian dan ternakan, harta ma’adin (galian), harta rikaz (temuan atau karun), emas, perak serta mata wang, hasil pendapatan, wang simpanan, hasil pelaburan dan saham.

Berdasarkan historiografi, pensyariatan zakat sangat unik berbanding dengan ibadah-ibadah yang lain. Ini kerana kewajiban tersebut telah menggabungkan dua tanggungjawab iaitu terhadap ALLAH SWT dan juga manusia.

Justeru, maqasid (objektif) dan hikmah zakat terbahagi kepada dua iaitu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT berdasarkan ibadah mahdah (semata-mata) yang bersifat pengabdian.

Satu lagi ibadah yang termasuk dalam kategori sedekah wajib itu bermatlamat untuk memenuhi kehendak fakir dan miskin yang lebih dikenali sebagai ibadah maliyah (harta).

Hikmah pensyariatan

Sesungguhnya, perintah melaksanakan zakat terselit pelbagai maqasid dan hikmah bagi memastikan maslahah dipelihara dan mafsadah (kerosakan) dicegah daripada menimpa kehidupan manusia.

Antaranya seperti berikut:

i. Membentuk kepatuhan dan ketaatan manusia kepada ALLAH SWT.

Imam al-Ghazali berpandangan, objektif utama pensyariatan zakat adalah untuk membuktikan sepenuhnya kepatuhan, ketaatan, pengabdian diri dan keimanan kepada ALLAH SWT.

Masakan tidak, segala harta adalah hak milik mutlak ILAHI, manakala manusia hanyalah sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir harta di sekeliling dengan sebaiknya.

Sebagai bukti menzahirkan tanggungjawab tersebut, maka setiap insan diuji dengan kewajipan berzakat iaitu dengan mengeluarkan kadar tertentu daripada harta yang dikurniakan kepada mereka.

ii. Manifestasi kesyukuran seorang hamba.

Begitu besar imbalan bagi mereka yang berbuat demikian sehinggakan ALLAH SWT berjanji untuk menyuburkan harta dan menambah nikmat bagi orang yang bersyukur.

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu…” (Surah Ibrahim, ayat 7)

iii. Menghapus dan membersihkan diri seseorang daripada dosa.

ALLAH SWT berfirman: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya ENGKAU membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)…” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Seterusnya, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menegaskan bahawa perbuatan mengeluarkan harta bertujuan untuk pembersihan daripada dosa.

Baginda SAW bersabda: “Sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

iv. Memupuk jiwa menjadi pemurah, melatih diri menunaikan amanah dan menyampaikan hak orang lain.

Secara tidak langsung, ibadah zakat dapat menghiasi akhlak dengan sifat dermawan dan pemurah, selain membuang sifat kikir dan kedekut kerana fitrah manusia sangat sayangkan harta benda.

v. Mewujudkan kesatuan masyarakat dan jaminan sosial.

Amalan zakat menjadi medium yang berperanan secara langsung kepada asas jaminan sosial. Harta yang terkumpul akan disalurkan untuk tujuan kebajikan dan keredaan ALLAH SWT sebagaimana yang terangkum dalam konsep jaminan sosial.
Ia adalah satu bentuk perkongsian menerusi kaedah mengambil harta daripada golongan kaya dan berada untuk diberikan kepada kelompok miskin, melarat serta melata termasuk mereka yang memerlukan.

Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam.

vi. Mewujudkan suasana aman dan tenteram dalam kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara.

Perkara itu boleh digambarkan melalui ketiadaan kes jenayah, rompakan dan sebagainya sekiranya golongan yang memerlukan kewangan dibantu dengan wang zakat.

Demikianlah manfaat zakat yang diperincikan dalam Islam agar seluruh umat Islam termotivasi dan cakna untuk melaksanakan kewajiban tersebut.

Sinergi institusi-institusi zakat di Malaysia yang berperanan dan bertanggungjawab dalam menguruskan zakat perlu lebih efektif dengan menjalankan kempen kutipan zakat.

Pada masa sama, bersedia membantu dan memberi khidmat terbaik kepada seluruh masyarakat Islam.

Kredit :

***Dr Azri Bhari ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.

SInarIslam


Ketagihan Internet Sangat Bahaya, Perhatikan Apabila Ada Tanda-Tanda Ini ...

24 Dec 2021




Pengunaan media sosial di  internet masakini semakin trending di seluruh dunia. Kita sedia maklum, internet merupakan platform penyebaran maklumat yang sangat penting pada masa ini. Kita dapat lihat ramai menggunakan instagram, facebook, tiktok, telegram, whatsapp dan macam-macam lagi medium bagi menyalurkan dan berkongsi maklumat. Tapi tahukah anda terdapat segelintir kelompok yang menyalahgunakan kemudahan internet untuk melakukan perkara-perkara tidak baik. Disebabkan segala maklumat boleh dicapai dengan hujung  jari  sahaja, ramai orang terdedah kepada internet dalam jangka masa yang panjang dan berterusan, dan ini boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami ketagihan internet. 

Simpton-Simpton Anda Mengalami Ketagihan Internet 

Antara tanda-tanda paling ketara apabila anda sudah ketagihan internet ialah kualiti tidur anda telah terganggu. Tidur tidak cukup, tak sempurna kerana melayari internet akan menyebabkan tubuh terasa lenguh dan lemah ketika bangun pagi. Mata dan kepala juga terasa berat. Namun, apabila bangun, berdepan dengan komputer untuk beberapa ketika, mengantuk, lemah-lemah dan lenguh-lenguh hilang secara tiba-tiba.. haha, betul tak? ekeke 
 
Sedar atau tidak, ia adalah gejala ketagihan. Ketagihan Internet. Berikut adalah tanda-tanda bahawa anda kini sudah ketagih internet yang dipetik daripada Facebook. 

1. Online melebihi keperluan. Mata tertumpu ke monitor, tangan di keyboard. Tapi tak tahu nak tulis apa. 

2. Urusan harian tertangguh. Gelas dan pinggan yang belum dibasuh tersusun rapi di samping meja komputer. Bila nak guna baru basuh. Bukan basuh selepas guna. 

3. Mengutamakan keseronokan Internet berbanding bergembira dengan kawan-kawan. “Mana yang lebih seronok; berkumpul dengan kawan-kawan, pasang cerita, hidang air dan kacang, bergelak tawa bersama-sama, atau online?” Jawabnya, “Online.” 

4. Anda terima sesiapa sahaja dalam akaun Twitter, Facebook, MySpace, Friendster, Hi5, Yahoo Messenger dsb. Pada anda, jika anda ada 200 followers pada akaun Twitter anda, maka itu menandakan bahawa anda popular. Padahal seorang pun anda tak kenal! 

5. Keluarga dan kawan anda mula menegur jumlah penggunaan Internet anda. Pada mereka, ia membazir masa dan elektrik. Pada anda, mereka sedang cuba untuk ambil alih tempat duduk anda! 

6. Keputusan peperiksaan anda terjejas kerana pelajaran terabai. Anda kata ada sebab lain. Padahal semua orang tahu Internet adalah penyebabnya! 

7. Periksa e-mel sebelum mulakan sebarang kerja. Apabila ada e-mel yang perlu dibalas, anda akan mula melekat di meja komputer. Bila tengok jam, “Ah! Aku dah lewat!” 

8. Anda tidak produktif lagi kerana masa banyak terbuang di depan komputer. Bila disuakan dengan kerja, anda katakan bahawa anda sibuk. “Nak check e-mel lagi, nak update blog lagi, nak baca blog orang lagi, nak tengok wall kawan-kawan lagi.. Mana cukup masa!” 

9. Bila orang tanya, “Awak lama-lama kat Internet, awak buat apa?” Anda jawab, “Ada la..” Anda mula merahsiakan apa yang anda lakukan di Internet setiap hari. Anda bimbang orang akan lekehkan apa yang anda lakukan. “Kutuk Internet bererti kutuk aku!” 

10. Bila anda hadapi tekanan kerja atau belajar, anda berkata, “Indahnya jika ada Internet.” 

11. Anda tertunggu-tunggu bila agaknya anda boleh online lagi. “Bila la aku boleh online.” “Lama mana dah kamu tak online?” “Baru je tadi. Line tengah terputus sekarang ni.” 

12. Arahan: Cuba anda bayangkan dunia tanpa Internet. Reaksi: Tidaaaaaak! (sambil berguling-guling atas lantai). 

13. Anda terasa geram dan marah apabila ada orang ganggu anda online. Anda pamerkan tanda ‘Jangan Ganggu’ ketika anda online. Bila ada yang mendekati dengan wajah yang garang anda jengilkan mata sambil memberi isyarat supaya dia mematuhi tanda tersebut. 

14. Tidur terganggu kerana online. 

15. Apabila anda sendirian dan tidak lakukan apa-apa, anda bayangkan anda sedang online dan menikmati keasyikannya. 

16. Bila ada yang memanggil ketika anda online anda akan jawab, “Sekejap!” 

17. Anda cuba untuk kurangkan waktu online beberapa kali tetapi tidak berjaya. 

18. Bila orang tanya, “Berapa jam anda online setiap hari?” Anda akan buat-buat lupa. 

19. Anda memilih untuk online berbanding keluar bersiar-siar. “Buat apa keluar bersiar-siar bila saya boleh lakukan hal yang sama dengan Google Earth?” 

20. Anda terasa bosan dan tertekan apabila tidak boleh online dan perasaan itu hilang sebaik sahaja anda berada di depan komputer. “Bosaaaaan… [Internet yang terputus tiba-tiba tersambung kembali]” 

Jika anda ada mengalami simptom- simpton seperti di atas, memang sah anda sudah dijangkiti ketagihan internet.. haha, jadi cubalah mengawal penggunaan internet sedikit demi sedikit agar tidak terus menerus ketagih dengan internet..

Kredit : penabicara 


 

Setahun Sekali Datang Haid, Hidap PCOS - Wanita Ini Kongsi Pengalaman

23 Dec 2021






PCOS juga dikenali sebagai ‘Stein-Levanthal Syndrome’ ini disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon di dalam badan, di mana terdapat berlebihan hormon lelaki dan insulin di dalam pesakit. Ini boleh mengakibatkan kitaran haid yang tidak teratur disebabkan tiada ovulasi, haid yang berpanjangan dan banyak, kemandulan, obesiti, pengangguan metabolisme gula dan kolesterol. Jom kita baca pengalaman yang dikongsikan oleh wanita yang merupakan bekas pesakit PCOS ini untuk dijadikan panduan.


MY JOURNEY WITH PCOS #pcosfighter




Sempena setahun selepas buat Laparoscopic Surgery on Pcos, jom kita throwback sikit pengalaman saya. Cerita ni bermula seawal umur 14 tahun bila period datang dua bulan sekali. Dan semakin meningkat jarak kehadiran period tu. Sehingga pernah setahun, hanya sekali. TAHUN 2013, perubahan pada kulit semakin ketara, bulu roma di tangan semakin lebat, jerawat semakin subur di kulit, pikmentasi kulit semakin bertambah, period semakin lambat. Pernah 8bulan xdatang period. Pergi klinik reproduktif, masa tu doctor suspect pcos.


Ape itu PCOS?



Doctor suruh buat research sendiri. Supaya betul² faham maksudnya. Doktor kasi pil hormone (Yasmin/ Diane35) Dan doktor kasi refer letter ke Hospital. Tapi masa tu masih xtau kemudaratan nya.. TAK PERNAH refer hospital.

TAHUN 2015, semakin cakna tentang ketidakhadiran period, refer hospital swasta dengan pakar O&G, doctor scan, tak kelihatan lagi cyst nya dlm ovary. Cume ovary kelihatan bukan pada size normal. Doktor hanya suggest utk teruskan ambik pil hormone selama 3bulan berturut. Tujuannya adalah utk normalkan semula kelancaran period setiap bulan. Malangnya, selepas 3bulan bergantung dgn Yasmin, masuk bulan ke-4, period xdtg pula… mase tu mula rase stress dtg semula… fed-up dgn ubatan, dan hanya biarkan period xdtg lagi.

TAHUN 2016, Selepas kahwin tanpa refer O&g terus ambik Yasmin 1cycle dan terus anggap boleh pregnant, bila xpregnant, lagi stress. Bayangkan setiap hari check UPT (dan sehingga kini sy menjual UPT/OPK haaa promote sikit). Setiap bulan pergi klinik scan. Tapi semua tu hanya sia-sia. At last jumpe o&g semula, doctor bg cadangan utk ambik ubat induced bleeding (provera) dan makan pil rangsang telur (clomid).




Ujian bertimpa, semasa cycle pertama pengambilan Clomid, perkahwinan berakhir dengan penceraian (so xsempat experiment clomid tu). Stress semakin kuat, hormon semakin tak stabil, emosi semakin bercelaru. Period langsung xdatang selepas berpisah. Seminggu selepas bercerai, masuk hospital demam panas, blood pressure naik mendadak (hipertension) dgn bacaan 157/103.

TAHUN 2017, pasang azam dari keluarga dan orang sekeliling yg bnyak memberi moral n mental support, kumpul semula semangat, kutip sisa hati yg berkecai musnah. Pada awal bulan 7, buat check up di hospital akibat rase ade sakit di breast. Lepas doctor buat scanning, tiada ape yg asing dan doctor tnye history kesihatan, saya kata mmg dah xperiod 8bulan dan doctor minta terus refer pakar O&G.

Bila buat altrasound, mmg nampak ketulan asing dalam kedua belah ovary. Doctor terus buat procedure laparoscopic surgery utk ovary drilling. Dan itu adalah ikhtiar terakhir yg boleh dibuat. Seminggu lepas tu, hospital call utk operation. Alhamdulillah selepas 2 hari pembedahan dilakukan, period keluar. Dan itulah saat yg tidak dpt diperkatakan betapa bersyukurnya.



Sebab doktor kata, jika period turun selepas pembedahan, itu membawa maksud pembedahan itu berjaya, jika tidak, doktor akan bagi masa dalam 2bulan. Jika tidak berhasil, maksdnya pembedahan tu tidak berjaya utk membantu PCOS. Masa tu doktor hanye bekalkan ubat kencing manis (metformin) utk 3bulan.


LANGSUNG TAK JAGA PEMAKANAN

Memang diakui semasa dlm waktu perkahwinan, langsung tidak jaga pemakanan hampir setiap hari makan process food and junk food. Burger, nugget, sausage, fries, ayam goreng, chips, snacks adalah makanan harian sebabkan ikut selera suami. Tapi sebenarnye semua tu kesilapan besar sebab waktu tu la adalah rapid growth untuk cyst tu terbentuk. Jika tidak tersedar awal, mungkin boleh menyebabkan cancer. Nauzubillah!

Tengok gambar. Yang putih merening tu adalah ovary. Ovary yang tidak normal. Warna putih sebab dah dipenuhi cyst. Kalau scan ultrasound, haaa nampak biji biji hitam macam anggur. Ovary tu dipenuhi hormone testosterone yg membantutkan kematangan telur. Sebab tu x period. So doktor tebuk ovary utk release hormone testosterone tu.. Yg lain lelemaks tu ko jgn tnye hakak.




Dan hormone hormone tu adalah dari pemakanan yg tidak sihat. So jaga lah pemakanan… bertindak awal sebelum merana. So untuk wanita diluar sana. Sayangi ovary anda kerana ovary ni sangat penting sbb ia adalah kilang utama telur anda. Dan telur telur ini akan habis. Bayangkan, jika dah banyak telur yg rosak menjadi cyst, tinggal berapa lagi telur yg berbaki? Umur masih muda.

Jika anda mempunyai masalah period tidak stabil, segerakan lah jumpe pakar. Jangan malu dan tggu sehingga bertahun. Jangan anggap tidak period bermaksud anda mengandung! Itu adalah hormone. Hormone yg mengganggu kitaran haid.

Tips: nak makan apa-apa ubat atau supplement, refer doc pakar anda dulu. Sebab dosage berbeza bagi setiap pesakit. JANGAN IKUT APA KAWAN AWAK MAKAN. Pesanan saya “hargai lah setiap titis darah period anda, saya setahun hanya sekali beli pad dan itu TIDAK NORMAL“.

Kredit : Ernieadilah Zulk 
Kredit : siraplimau 



Jangan Menangis Kalau Ditakdirkan Jadi Ibu Tunggal

21 Dec 2021

 



Kalau sesetengah wanita merasakan tanpa lelaki di sisi susah untuk meneruskan hidup, tetapi wanita yang saya namakan Aishah ini bukan sahaja menganggap apa yang menimpanya sebagai qadak dan qadar tetapi sebagai pengalaman yang berharga dan meletakkan diri seseorang individu itu lebih tinggi daripada sebelumnya.

Kata Aishah dalam sepucuk surat yang dihantarkan kepada penulis dan ketika dihubungi melalui telefon semasa beliau bercuti di kampungnya, pengalaman tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Sebaliknya pengalaman yang ditempuhi membuatkan seseorang itu lebih matang dan bersemangat waja.

Saya ingin menceritakan pengalaman saya agar dapat dikongsi bersama dalam melalui hidup yang mencabar ini.Sejak kecil, kepahitan hidup buat saya sudah menjadi perkara biasa, malah kini saya beranggapan bahawa tanpa kepahitan kita tidak akan tahu menilai kemanisannya. Kerana kita kenali apa itu manis setelah kita merasa dulu apa itu pahit.

Usia saya kini di awal tiga puluhan, seorang ibu tunggal yang kematian suami, arwah meninggal dunia lebih kurang lima tahun lalu kerana leukemia. Saya redha dengan dugaan Allah. Bagi saya semuanya kerana Dia sayangkan saya. Bukan senang untuk menerima cabaran sebegini berat kecuali insan yang dipilih-Nya saja. Dan saya beruntung kerana pilihan-Nya sebagai ibu tunggal dengan jutaan cabaran. Itulah kehendak Allah.

Saya berkahwin pada usia muda, ketika 21 tahun, anak dara tengah naik, tentu ramai peminat, tapi dalam ramai-ramai itu saya sukakan arwah suami saya. Kami sama-sama belajar di maktab. Selepas berkahwin, saya mengikutnya berpindah di KL. Di bandar raya ini saya belajar hidup yang penuh cabaran dan saya beruntung setelah empat tahun kahwin saya dikurniakan dua orang anak. Malangnya yang kecil sekali meninggal dunia ketika berusia lima bulan kerana penyakit jantung kronik.

Kematian anak lelaki saya bagaimanapun digantikan lagi setelah saya hamil kali keempat. Allah terus menguji kekuatan saya ketika anak lelaki saya berusia setahun, suami saya pergi menghadap-Nya. Ternyata Allah lebih sayangkannya. Saya menangis berminggu-minggu lamanya kerana kehilangan suami tempat saya bergantung.

Saya mengaku pada mulanya saya tidak berdaya walaupun untuk menyuap seulas nasi ke mulut. Berat badan saya turun mendadak, dunia saya rasa bukan tempat untuk saya lagi. Air mata sentiasa menitik setiap kali terkenangkan suami. Dan setiap kali anak menangis, setiap kali itulah air mata saya jatuh bercucuran. Saya tidak terdaya menempuh hidup tanpa suami dengan anak-anak yang masih kecil.

Entah macam mana satu malam, Tuhan memberikan kekuatan dalam diri saya, saya bangun dan terus berhenti menangis, saya lihat anak-anak tidurÊbergelimpangan, saya sedar saya telah mengabaikan mereka. Mereka juga kehilangan ayah, cuma mereka tidak pandai melahirkan dengan kata-kata.

Sejak malam itu saya kuatkan semangat, kebetulan waktu itu saya sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Adik-beradik suami saya menyarankan supaya saya berhenti belajar supaya dapat tumpukan perhatian kepada anak-anak. Tapi saya masih ingat pesanan arwah suami saya supaya terus belajar.

Menjadi ibu sekali gus membesarkan tiga orang anak yang masih kecil di samping belajar menuntut masa yang panjang. Bukan satu tugas mudah, tambahan pula saya tidak ada saudara-mara di KL untuk berbincang atau meminta bantuan. Sedangkan wang diperlukan untuk belajar, penjagaan anak, makan minum, susu, sewa rumah, tambang dan sebagainya. Saudara-mara tu biasalah, bila senang ramai yang nak tumpang, bila susah semua hilang. Itulah lumrah hidup.

Dalam kesulitan dan kepayahan saya teruskan pengajian, anak-anak sentiasa berpindah randah ke rumah jiran yang sudi menjaga mereka. Tetapi sebulan dua bolehlah tahan, lepas itu terdengar pula keluhan mereka yang mendakwa penat kerana menjaga anak-anak kita. Walaupun kita beri upah, tetapi bukan semuanya memuaskan mereka. Orang tua-tua pernah berkata, perkara yang kecil akan menjadi besar bagi mereka yang berjiwa kecil, tetapi isu atau perkara yang besar akan menjadi kecil bagi mereka yang berjiwa besar. Saya mahu jadi insan berjiwa besar dan maju walaupun tanpa suami.

Satu hari saya ambil pembantu rumah daripada sebuah agensi pekerja asing. Saya faham masalah pembantu rumah terutama bila anak-anak kita masih kecil dan kita keluar belajar. Tetapi saya berdoa kepada Allah agar diberikan seorang pembantu rumah yang boleh menggantikan tempat saya, jujur, setia dan yang paling penting menyayangi anak-anak yatim. Alhamdulillah Tuhan makbulkan doa saya, pembantu rumah saya sangat sayangkan anak-anak saya.

Bila masalah besar menguruskan anak-anak selesai barulah saya dapat tumpukan perhatian kepada pelajaran. Hati saya senang bila rumah dan anak-anak terurus dengan baik. Bila bab itu selesai tentu pembaca terfikir macam mana masalah wang. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu, saya memang tak berduit, tetapi rezeki saya tidak pernah putus.

Di tempat belajar cabaran saya hadapi ramai yang hendak menggoda, macam-macam kerenah. Tak cukup kertas kalau nak tulis. Saya pun tak tahu mengapa ramai sangat suami orang yang hendak menggoda saya dan mahu menjadikan saya isteri mereka. Sedangkan mereka sudah ada anak isteri.

Namun semuanya saya tolak dengan baik. Segala kesakitan dan kepedihan terpaksa saya harungi. Di sebalik tawa dan keramahan saya simpan jutaan keperitan hidup. Saya punya ramai kawan jadi tak hairanlah kalau ada ramai musuh membenci saya. Pelbagai cacian, umpat keji dan penghinaan saya terima. Kerana, kerana saya ibu tunggal!

Tapi saya buat tak kisah, saya ketepikan umpatan mereka. Dan bagi mereka yang bencikan saya, saya ingin nyatakan di sini, terima kasih atas kebencian kalian itu, kerana kebencian itulah api yang membakar semangat saya. Dan yang membanggakan dalam keperitan itu saya berjaya mendapat markah cemerlang dalam setiap semester.

Saya dapat ijazah kepujian kelas kedua tinggi, syukur. Tuhan sayangkan saya. Dalam kesakitan itu saya bina kekuatan, keyakinan dan semangat untuk anak-anak, pada mereka saya ingatkan biarlah masyarakat mencemuh, mencebik dan menghina, tetapi berusahalah dan buktikan bahawa kita boleh hidup berjaya lebih baik daripada mereka.

Memang saya tak nafikan ketika kita hidup keseorangan ramai yang rasa tidak senang hati, wanita bimbang untuk mendekati kita, takut suami mereka dilarikan, sementara lelaki pula menjadi semakin marah apabila lamaran mereka ditolak dan harapan mereka dimusnahkan. Perasaan marah ini menjadi racun kepada kita jika kita tidak pandai menguruskannya dengan baik.

Wanita sering bimbang kita ibu tunggal mengambil suami mereka, tetapi mereka lupa sebenarnya suami merekalah yang lebih dahulu datang membuat pelbagai lamaran dan tawaran, hanya wanita yang cepat gelap mata yang segera mencapainya bagaikan mereka yang sedang tenggelam di sungai yang deras.

Kini saya bersyukur dapat jawatan yang baik, dan sedang belajar lagi untuk dapatkan sarjana, mana tahu mungkin dapat sambung belajar ambil PhD pula. Bagi diri saya semua umpat keji masyarakat keliling dahulu telah memberi banyak pengajaran dalam hidup saya, sebab semuanya saya terima dengan fikiran terbuka sambil menyimpan satu hasrat untuk membuktikan kepada mereka bahawa mereka itu salah.

Sebenarnya ramai kalangan kita bersikap marahkan orang yang mengumpat kita, tetapi bagi saya perbuatan mereka itu memberi laluan kepada saya untuk berusaha dan bekerja keras lagi mencapai apa yang mereka dakwa saya tidak boleh capai. Sebagai contoh ketika anak-anak masih kecil jika saya ikut cakap mereka berhenti belajar, mungkin saya tidak jadi seperti sekarang, sebaliknya saya teruskan belajar, kerana saya tahu apa yang saya buat demi kebaikan sendiri. Saya tidak suka menyusahkan orang lain. Saya akan cari jalan untuk tidak susahkan mereka. Saya tetapkan semangat. Itulah resipi kejayaan saya di samping mengubati hati yang terluka.

Dan saya tidak pernah tunjukkan kepada mereka bahawa saya susah hati kepada semua umpatan mereka. Akhirnya mereka yang malu sendiri. Kepada anak-anak saya sentiasa berpesan jangan sesekali tewas dengan cabaran, umpatan dan kejian manusia. Sebaliknya berusahalah untuk mendapat apa yang dihajati dan jangan mengharapkan bantuan orang lain sebaliknya bantulah mereka yang memerlukan.

Setelah berusaha bersungguh-sungguh barulah berdoa kepada Allah, sesungguhnya Allah amat gemar mendengar tangisan hamba-Nya, merayu pada-Nya, sentiasa meminta pertolongan-Nya. Seinci kita mendekati-Nya beribu kaki Allah akan mendekati kita. "Dalam pada itu jangan lupa tanamkan sikap ikhlas dalam setiap perbuatan dan tutur kata, Allah akan sentiasa berada di sisimu. Kepada pembaca semua janganlah sesekali merasa diri kita sendirian tanpa sesiapa. Jangan hidup dalam keadaan putus asa dan meratapi nasib diri sendiri.

Sebenarnya apa yang Tuhan berikan kepada kita itu adalah sebenarnya yang terbaik untuk kita dan bersyukurlah di samping berusaha meningkatkan diri. Jangan sekali-kali menyesali qadak dan qadar yang telah ditetapkan Allah. Menangis, bersedih dan sentiasa bersusah hati tidak akan dapat menyelesaikan masalah selain daripada berusaha. Setelah yakin anda berbuat yang terbaik barulah berdoa kepada-Nya. Allah sentiasa mendengar dan mengetahui apa yang ada dalam sudut hati kita walaupun jauh di dasarnya. Siapakah yang memahami kita umat-Nya selain daripada Allah. 

Kerana itu ingatlah.

Kepada anak-anak pula sekiranya saya pergi cepat mengikut suami (ayah mereka) saya telah tinggalkan wasiat dan aset yang paling bernilai untuk mereka iaitu keazaman, harga diri dan pengalaman yang tidak dapat dibeli oleh orang lain. Kerana itu pandai-pandailah berusaha dan bawa diri demi masa depan.'' Demikian cerita Aishah sebagai panduan kita. 

Dan saya tidak perlu menulis panjang tentang pandangan beliau, kerana beliau telah bercakap, meluahkan isi hatinya sendiri berdasarkan pengalamannya yang lama itu. Cuma saya mohon renungkanlah dalam-dalam, jangan jadikan diri anda seperti kebanyakan wanita cuma menangis dan menyesal setelah segala-galanya telah hilang. 

Kredit : UtusanMalaysia


Berhati-hati Dengan Scammer Piramid Skim Cepat Kaya

17 Dec 2021

 


SEBUAH kereta sports Nissan Fairlady berhenti di hadapan restoran. Ia tidak diletak di dalam petak tetapi melintang. Bukannya tidak ada kosong, cuma ia sengaja dipamerkan sedemikian rupa. Keluar dua lelaki berusia awal 20-an. Berpakaian kemeja dan seluar hitam dengan tali leher berwarna kuning. Butang lengan dikancing rapi. Janggal sedikit kerana waktu sudah 1 pagi. Kau tidak mahukah kereta sports macam itu? Duit banyak, perempuan pun ramai hendak jadi teman, kata seorang tukang rekrut di meja sebelah kepada dua pemuda dalam suara yang lantang, tanpa mempedulikan penulis dan rakan-rakannya yang turut sama terkesima melihat aksi gaya, mutu dan keunggulan dua model tersebut. 

Mereka itu pemilik kereta atau car-jockey?,kata seorang teman dalam suara perlahan tetapi sudah cukup mencetuskan ketawa di meja kami. Itulah malam bersejarah, rupa-rupanya. Satu acara merekrut besar-besaran untuk satu skim jualan langsung (MLM) sedang berlangsung di sebuah restoran di Shah Alam dan menjadi lebih dramatik dengan aksi pemilik Nissan Fairlady itu. Ia mungkin satu lakonan, mungkin juga benar kereta itu dimiliki dengan sah oleh model MLM berkenaan. 

Mereka ini telah menjadikan restoran itu sebagai pusat merekrut. Calon-calon rekrut disuruh datang ke situ atau dibawa ke situ. Yang sudah menjadi ahli, hadir dalam pakaian serba hitam. Yang belum jadi ahli, kelihatan tekun (atau khayal) mendengar kempen dan propaganda. Ahli-ahli baju hitam ini bersalam pun ala-Hip Hop. Tangan digenggam dan badan dipeluk. Mereka jelas terhutang budi antara satu sama lain, mungkin saling memakmurkan diri masing-masing. Rata-rata mereka ini muda-muda belaka.

Beberapa bulan kemudiannya, kumpulan ini dibongkar oleh pihak berkuasa sebagai skim MLM piramid atau skim cepat kaya. Restoran tersebut kini kembali lengang walaupun beberapa watak dulu dilihat masih minum di situ, tetapi tidak lagi berpakaian serba hitam. Anda mungkin pernah dipelawa menyertai skim MLM seumpamanya. Seorang teman mengaku pernah menyertai hingga tiga skim MLM. 

Tiga-tiga wang mukanya hangus. Sampai tiga baru hendak insaf? Ada pula seorang kenalan kini renggang dengan temannya, gara-gara hangus beratus ribu dalam skim cepat kaya seumpamanya. Penulis sendiri pernah dipelawa, malah diperdaya kononnya untuk mengadakan temuramah. Rupa-rupanya kena duduk dengar ceramah MLM. Tidak mengapa, orang itu sendiri sedar kesilapannya dan tidak lagi berani tunjuk muka.

Oleh kerana pengalaman sebegini, perniagaan MLM lebih banyak mendatangkan persepsi negatif pada kebanyakan kita. Namun, kita harus terbuka minda yakni memang wujud syarikat MLM yang sahih dan fokus terhadap penjualan produk atau perkhidmatan, malah memiliki banyak produk serta sering dipertingkatkan menerusi inovasi atau penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

Industri MLM ini turut diiktiraf oleh kerajaan sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara. Jumlah dagangan dalam MLM dijangka mencecah RM10 bilion pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-10, setelah tahun lalu mencatat RM5 bilion. 

MLM yang tidak baik ialah yang memfokuskan semata-mata kepada pelantikan ahli baru yang diistilahkan sebagai downline. Calon-calon dijanjikan dengan pelbagai tahap komisen lumayan jika dapat melantik tiga orang, kemudian bantu tiga orang itu untuk dapatkan tiga orang lain dengan anda di atas. Produk? Tidak mengapa. Itu soal kedua. Lagi pun, siapalah berminat hendak menjual produk seperti kopi 50 dalam satuminyak lintah penambah nikmat dan lain-lain, yang kelakar bunyinya dan mendatangkan rasa segan pula hendak menjualnya.

Mengawal selia

Dalam konteks ini, kerajaan dilihat proaktif dalam mengawal selia industri yang popular ini daripada terus menerus disalah guna menjadi skim piramid cepat kaya. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bakal membentangkan pindaan Akta Jualan Langsung 1993 pada sidang Parlimen sekarang. Harap sempat dan tidak dihambat dek isu politik yang hanya menguntungkan individu tertentu, bukan rakyat jelata. 

Fenomena MLM piramid cepat kaya ini bukan eksklusif di Malaysia semata-mata. Ia bukan dicipta oleh Pak Man Telo, walaupun namanya akan selama-lamanya dikaitkan dengan skim itu. Sebaliknya ia adalah fenomena global. Malah di Amerika Syarikat, skim piramid diistilahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti & Bursa (SEC) sebagai skim Ponzi.

Skim Ponzi diambil dari nama Charles Ponzi yang menipu ribuan penduduk New England supaya melabur dalam skim spekulasi setem pos pada 1920-an. Ketika itu, kadar faedah tahunan bank adalah sebanyak 5 peratus. Ponzi menjanjikan para pelabur bahawa dia boleh menyediakan pulangan sebanyak 50 peratus dalam tempoh hanya 90 hari. Pada awalnya, Ponzi membeli kupon pos antarabangsa bagi mengabui mata orang ramai untuk mempercayai skimnya itu. Dengan dana baru diperolehi dari pelabur baru, ia digunakan bagi membayar pelabur awalnya. 

Ponzi menerima publisiti tambahan bila berita keuntungan itu tersebar. Pelabur pertama tadi menggandakan pelaburannya. Kesudahannya sama seperti kes Pak Man Telo. Tidaklah diketahui jika Pak Man Telo ada mengkaji formula Ponzi berkenaan semasa hayatnya.

Namun apa yang nyata, walaupun kes itu sudah berlaku 80 tahun dulu (30 tahun di Malaysia), masih ramai yang terpedaya. Semuanya gara-gara mahu cari jalan pintas ke arah kesenangan dan kekayaaan. Duit banyak tetapi dungu. Mana ada perniagaan di dunia ini yang menjamin pulangan luar biasa sebegitu besar dalam tempoh singkat. (Jual dadah atau perempuan bukan perdagangan sah atau halal. Kedunguan orang mahu kaya cepat dengan cara singkat itu pun bukan eksklusif di Malaysia. Di AS pada tahun lalu, SEC memfailkan 60 tindakan perundangan membabitkan skim Ponzi atau yang berbentuk pembayaran Ponzi, termasuk mendakwa Robert Allen Stanford yang dituduh mengendalikan skim Ponzi bernilai AS$8 bilion serta Bernard L. Madoff yang kini menjalani hukuman penjara 150 tahun setelah didapati bersalah atas tuduhan yang serupa.

Skim piramid cepat kaya ini ada pelbagai. Sang penipu akan terus mengambil kesempatan atas kedunguan dan ketamakan orang dengan mencipta pelbagai nama baru serta atas bermacam platform perniagaan, seperti MLM ini. Jika anda ditawarkan skim MLM, siasatlah dulu dengan pihak berkuasa mengenai kesahihannya. Paling mudah ialah dengan menolak selamba bila tukang rekrut menekankan soal downline berbanding jualan produk atau muncul kereta sports diletak melintang di hadapan anda.

Kredit : UtusanMalaysia

AWAS! Anak Juga Boleh Mengalami STRESS

13 Dec 2021




Jangan fikir orang dewasa sahaja boleh mengalami stres atau tekanan, anak juga boleh mengalami stres. Ini adalah hakikat yang perlu diambil berat terutama ibu bapa.

Perkara ini antara yang ditekankan Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ketika bercakap mengenai permasalahan remaja.

Menurut beliau, stres wujud apabila sumber permintaan sekeliling melebihi keupayaan yang ada pada diri sendiri. Beliau memberi contoh aspek pendidikan, di mana ibu bapa meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap pencapaian akademik anak masing-masing.

"Memang ada ibu bapa yang berkemampuan sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi memastikan anak mereka cemerlang tetapi keadaan ini akan menekan jiwa anak. "Kasihan melihat anak yang dipaksa belajar bukan untuk memenuhi cita-cita mereka tetapi untuk memenuhi hasrat ibu bapa," kata Sarada.
 
PERANAN IBU BAPA

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya melihat dahulu sama ada mereka telah memainkan peranan yang sebaiknya dalam membantu merealisasikan kecemerlangan itu sebelum meletakkan tekanan ke atas anak. Ini termasuk menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan serta tempat belajar.

Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak dapat belajar dengan selesa di samping ibu bapa sendiri mengikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah. Menurut Sarada, anak mula rasa tertekan sekiranya mereka merasa mustahil untuk mencapai kejayaan yang tinggi hingga akan berputus asa, kecewa dan murung setelah gagal mencapai impian ibu bapa. 

"Keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa mula marah setiap kali anak gagal mendapatkan markah yang baik," tambahnya. Beliau berkata, dalam hal ini, perkara yang penting ialah meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak. "Ini adalah perkara yang amat penting dalam proses membimbing anak dengan sempurna. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak tentang sasaran itu dan bagaimana mereka boleh membantu. "Cara ini yang terbaik kerana anak akan merasa sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa," Sarada memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut di sini baru-baru ini.

TAMBAH STRES 

Anak termasuk remaja juga boleh menjadi bertambah stres sekiranya mereka sering melihat ibu bapa bertelagah. Secara tidak langsung, emosi anak akan menjadi amat tertekan, tambahan jika menduduki peperiksaan. Anak yang terbeban dengan keadaan yang penuh dengan konflik itu tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan peperiksaan. 

"Mereka mungkin berkongsi masalah dengan rakan yang kemudian memberi sesuatu untuk mententeramkan perasaan mereka. "Kebetulan ia bukan panadol tetapi bahan yang boleh mengkhayalkan di mana akhirnya mereka boleh terjerumus melakukan perkara-perkara di luar jangkaan. Inilah antara kesan jika keluarga sering berkonflik secara berpanjangan tanpa mencari sebarang jalan penyelesaian," jelas Sarada.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada anak yang akan lari dari rumah kerana terlalu tertekan dengan konflik ibu ayah dan isu tersendiri yang tidak dapat dikongsi dengan ibu bapa.

"Mungkin mereka mempunyai teman lelaki dan termakan pujukan. Kerana terlalu percayakan teman lelaki untuk menjaga diri mereka, akhirnya mereka melakukan perkara yang boleh merosakkan diri mereka. "Jadi, bukankah semuanya ini bermula dari rumah," kata Sarada.

JAGA EMOSI 

Beliau lalu menyarankan pasangan yang mahu bertengkar supaya tidak melakukannya di depan anak. Anak akan hilang kepercayaan terhadap ibu bapa jika sering menyaksikan mereka bergaduh. Bila anak itu berkahwin, mereka mungkin menggunakan cara penyelesaian yang sama iaitu bergaduh untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya, terutama sekali apabila mereka melihat ibu mereka didera ayah secara fizikal atau emosi.

Sekiranya anak mereka adalah lelaki dan kemudian beristeri, mereka mungkin turut melakukan kekerasan ke atas isteri mereka seperti yang dilakukan oleh ayahnya. "Jadi, anak akan belajar kemahiran menyelesaikan masalah melalui apa yang dilihat dalam kehidupan persekitaran keluarganya. "Oleh yang demikian, ibu bapa perlu lebih prihatin dan menjadi model contoh dalam keluarga.

"Jangan terlalu beremosi di depan anak. Kalau perlu juga bertengkar lakukan di bilik tidur. Beritahu dulu anak yang emak dan ayah mahu berbincang perkara yang agak serius. "Beritahu juga, walaupun bergaduh, ibu dan ayah tetap sayang kamu," katanya, sambil menjelaskan kata-kata positif dapat mengukuhkan ikatan keluarga.

"Tolonglah jaga emosi anak," Sarada berpesan lagi. Beliau berkata, menjadi remaja adalah tempoh yang kritikal di mana mereka mudah dipengaruhi terutama oleh rakan sebaya. "Sebab itulah remaja selalu digalakkan berkongsi sebarang isu atau emosi mereka dengan orang yang dipercayai, kalau tidak dengan keluarga, dengan kaunselor," katanya.

ANAK KECIL

Dalam soal stres dan anak kecil, Sarada berkata, mereka boleh mengalami tekanan jika pergerakan mereka terlalu dikawal atau disekat.

Anak kecil, katanya perlu dibenarkan bermain kerana ia juga satu bahantara pendidikan dan terapi terbaik untuk menangani stres. "Malangnya apa yang berlaku sekarang, ada segelintir ibu bapa menganggap rumah seperti muzium, semuanya mesti teratur dan kemas, tidak boleh bersepah sedikit. "Bermain juga penting untuk membina proses pemahaman, pembelajaran, pembinaan kognitif dan kendiri kanak-kanak," tambahnya.

Sarada turut menyentuh hakikat, semakin ramai ibu bapa menghantar anak ke taska atau tadika seawal usia tiga tahun.
Bermain, bagi kebanyakan anak hanyalah apabila mereka berada di premis berkenaan dan bila balik ke rumah mereka dikerah buat kerja rumah dan sering dilarang bermain. "Ingat semasa waktu alam kanak-kanak kita, ibu ayah lepaskan kita bermain dan lihat bagaimana ia membantu perkembangan diri dan personaliti kita," katanya.

Sarada juga menegur sikap sesetengah ibu bapa yang lebih gemar membelikan pelbagai gajet permainan elektronik daripada membenarkan anak bermain sesama anak ataupun kawan sebaya.

"Tidak ada ruang untuk berinteraksi serta komunikasi yang efektif. Ini kurang menyeronokkan. "Anak juga kurang masa yang kualiti bersama emak dan ayah," kata Sarada yang juga kaunselor berdaftar.

BERI MASA

Sarada turut memberi senario anak yang merasa tertekan kerana kurang perhatian ibu bapa. Sudahlah waktu siang mereka dihantar ke taska atau tadika, sekembali dari sekolah, dijaga pula pembantu rumah. Hakikatnya, sesetengah ibu bapa yang bekerja memang mempunyai masa yang begitu terhad dengan anak. Ada yang sekadar bertanya kerja sekolah dan kemudian menyuruh anak masuk tidur setelah selesai kerja sekolah.

Kasih sayang ibu bapa yang begini adalah seperti mengguna kad Touch & Go. Sekejap sangat masa yang diluangkan. Itu pun mungkin pada hujung minggu, jika tidak sibuk melayari internet atau menonton televisyen atau video.

Rutin kehidupan yang seperti ini hanya akan merenggangkan hubungan kekeluargaan sehingga menjadikan anak merasa tersisih dan tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa mereka.

Keadaan yang sedemikian sudah tentunya akan mendorong anak keluar rumah dan menghabiskan masa bersama kawan. Ibu bapa berperanan memberikan anak mereka sebanyak mungkin sokongan dan juga kasih sayang supaya anak merasa lebih senang dan selesa berada di rumah.

Seperti kata Sarada, hubungan erat yang sedemikian membuatkan anak sering merasakan rindu kepada ibu dan ayah.

"Kenapa? Sebab mereka ini bukan sahaja menyayangi anak tetapi menghormatinya sebagai seorang individu. "Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah makan bersama-sama terutama malam. Cuba mulakan sebarang perbualan, contoh perkara yang digemari oleh anak. Bantu mereka buat kerja sekolah atau melihat buku kerja dan latihan mereka.

"Jika tidak, cukup sekadar menunjukkan minat pada apa yang mereka belajar. Ibu bapa juga boleh menghadiri semua acara sukan atau aktiviti anak. Bagi sokongan dan galakan," katanya.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh sama-sama bermain permainan kegemaran anak seperti catur, scrabble atau uno di samping menonton rancangan televisyen kegemaran mereka bagi mengekalkan hubungan mesra.

SIAPKAN DIRI

Belum bersedia dan tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa. Faktor ini ada kesannya kepada cara seseorang ibu atau ayah mendidik anak atau melaksanakan tanggungjawab keibu bapaan. Demikian pandangan Katherine Loo Saw Moay, seorang lagi Pegawai Psikologi LPPKN dalam wawancara dengan Bernama.

Menurut beliau, ada ibu merasa tertekan apabila mendengar suara anak menangis kerana emosinya tidak bersedia untuk menjadi seorang ibu ditambah tidak mendapat sokongan suami.

"Ada juga isteri yang murung selepas melahirkan anak tetapi suami tidak mengendahkan," jelas Katherine, juga kaunselor berdaftar.
Sehubungan itu, pasangan yang ingin berkahwin perlu tahu peranan dan tanggungjawab sebagai isteri dan suami sebelum meneruskan hajat mereka.

Bagi Katherine, konflik berlaku dalam mana-mana keluarga, yang penting cara mengendalikan konflik.

"Masing-masing berbeza dari segi latar belakang. Masing-masing ada cara sendiri dan memanglah kita selesa dengan cara kita tetapi selepas berkahwin, kena cari cara kita, cara bersama.

"Tolak ansur itu amat penting. Suami atau isteri perlu buat perubahan apabila sudah berkahwin. Banyakkan berbincang dan berkomunikasi," jelas Katherine.


Kredit. Mstar.Com



Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.