SLIDER

Dianiaya Rakan Sebagai Penjamin

6 Jun 2017


 
SOALAN:
Saya ada membuat pinjaman peribadi secara cross guarantor dengan sebuah bank bersama seorang kawan kira-kira 13 tahun lalu. Pinjaman saya secara potongan gaji selesai dalam tempoh yang ditetapkan. Sahabat berkenaan hanya membayar tiga kali sahaja sebelum berhenti kerja dan ghaib sehingga kini.

Kes ini kemudian dibawa ke mahkamah. Saya terpaksa mengadap hakim tanpa kehadiran peminjam. Beberapa tahun lalu, pihak bank mencadangkan saya membuat pinjaman untuk menyelesaikan hutang tertunggak berkenaan ataupun memotong gaji saya setiap bulan. 

Cadangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana bajet saya tidak mengizinkan. Saya faham, mengikut hukum syarak saya perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman tersebut yang berjumlah hampir RM10,000. 

Nama saya telah disenaraihitamkan hampir tujuh tahun hingga kini.
Baru-baru ini, saya membuat pinjaman dengan bank berkenaan sekali gus menyelesaikan hutang tertunggak tersebut. Tanggungjawab saya selesai. Nama saya dan kawan bermasalah itu kini bersih.

Mengikut adat, kawan saya itu kini berhutang dengan saya. Apa pandangan ustaz mengenai kes ini secara umum?

JAWAPAN:
Ya, secara umumnya masalah yang saudara hadapi ialah cabaran hidup, kesabaran dalam berkawan, ketabahan dalam menghadapi muflis dan sebagainya yang saya fakir pasti telah mengganggu keharmonian perjalanan kehidupan saudara. 

Namun, insiden ini pasti akan mematangkan lagi saudara dalam melalui kehidupan seharian supaya lebih berhati-hati dalam menghulurkan bantuan kepada orang lain. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Seorang mukmin tidak akan memasuki lubang biawak padang pasir kali kedua. (riwayat Muslim, kitab: al-Zuhd wa Raqaiq, no:5317). Dalam riwayat yang lain bermaksud: "Seorang mukmin tidak digigit ular dua kali dari satu lubang".

Maksud hadis ini Rasulullah berpesan bahawa seorang mukmin tidak akan tertipu bagi kali yang kedua. Kalau masih tertipu maksudnya orang itu tidak sempurna imannya. Dalam kaedah fiqh ada menyebut bahawa seseorang itu tidak akan mengundang suatu yang mudarat dan tidak mendedahkan diri kepada kemudaratan. Cukuplah apa yang saudara alami, jangan sampai tertipu bagi kali yang berikutnya. 

Betullah tindakan saudara membuat pinjaman untuk melangsaikan hutang tersebut. Kawan saudara yang berhutang itu harus bertanggungjawab, dalam Islam perbuatan dia haram, kerana mengkhianati persahabatan dan menghumban kawan dalam masalah dan dia melepaskan diri dari masalah tersebut. 

Perbuatan saudara melangsaikan hutang itu bermaksud saudara membayar duit kawan sebagai menunaikan tanggungjawab dan arahan kontrak akad. Saudara sanggup menjamin kawan kerana percaya bahawa dia akan melangsaikannya dan tidak akan mendatangkan masalah dan bebanan kepada saudara. Tetapi bak kata pepatah "seperti melepaskan anjing yang tersepit". 

Biarpun saudara telah melangsaikan hutang yang dituntut oleh pihak bank kepada saudara selaku penjamin, kini kawan saudara berhutang dengan saudara. Mungkin dari sudut Islam ada perbahasan dari kalangan ulama.

Namun demikian, dari sudut akhlak dia tetap salah dan berdosa. Selagi mana dia tidak meminta halal dan memohon kemaafan dia tetap bersalah.

SOALAN 2
Sekiranya beliau gagal menjelaskan hutang ini, apa tindakan yang perlu saya buat? 

JAWAPAN:
Dari sudut undang-undang saya kurang pasti, tetapi peruntukkan penjamin jelas bahawa pinjaman yang dibuat oleh kawan saudara itu adalah tanggungjawab bersama dari sudut undang-undang. 

Sekiranya saudara tahu tempat tinggalnya, saudara berjumpa dan meminta dia melangsaikan hutang dia kepada saudara. Namun ada satu lagi pilihan iaitu saudara halalkan hutang tersebut. 

SOALAN 3
Jika saya tidak menghalalkannya di dunia dan akhirat, apakah saya dikira berdosa? 

JAWAPAN:
Saudara tidak berdosa kerana telah dianiaya oleh rakan sendiri atau dizalimi. Namun sekiranya saudara ingin memaafkan atau bersikap reda atas segala yang berlaku itu adalah lebih baik. 

SOALAN 4
Adakah ini semua takdir atau ujian atau kaffarah yang ditentukan kepada saya? 

JAWAPAN:
Sesungguhnya setiap apa jua masalah yang berlaku ia adalah merupakan ujian atau dugaan yang ditimpakan oleh Allah kepada hambanya di dunia seperti mana dalam firman Allah SWT: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". (al-Baqarah : 155). 

Apa yang berlaku dalam kehidupan kita adalah takdir daripada Allah. Dalam masalah saudara Allah uji saudara dengan harta dan kawan. 

SOALAN 5
Berdosakah saya (dahulu) memaki hamun kawan berkenaan di atas perbuatannya? 

JAWAPAN:
Sebagai seorang manusia biasa marah itu suatu yang biasa. Tiada seorang pun yang tiada perasaan marah, cuma marah ini mesti bertempat, tidak boleh sembarang marah. Kalau ditanya yang mana baik marah atau sabar? Pastilah jawapannya sabar, kerana orang yang bersabar atas dugaan lebih baik dari orang yang tidak bersabar. 

Saya faham keadaan saudara yang cukup terhimpit dalam hutang. Nasihat saya beristighfar dan mohonlah keampunan dari Allah SWT atas keterlanjuran lisan saudara. 

SOALAN 6
Berdosakah saya menceritakan masalah ini dan sikap sahabat ini kepada kawan-kawan yang lain? 

JAWAPAN:
Tidak salah saudara bercerita dengan kawan-kawan lain sebagai satu pengalaman. Ini supaya yang lain lebih berhati-hati sama ada dalam masalah menjamin atau individu yang melarikan diri dari tanggungjawab dengan mengenakan kawan yang menjamin.

Kredit : UtusanMalaysia



 

Malang Yang Berbau & Cara Tukar Tayar Kereta Perempuan Wajib Belajar


ASSALAMUALAIKUM...

"AISH!!! Babah memang nak pergi tukar tayar tadi, tapi pasal nak ambil cek dengan client tu babah ingat nak buat esok.. ishhh!" Tergambar kesal yang tak sudah di wajah ER. Saya sendiri memang tersangat sedih bila ditimpa musibah di saat semua orang mungkin sedang bersiap-siap menyediakan juadah berbuka. Tengok jam lebih kurang 6.40 petang. Sepatutnya ketika ini kami dah berada di rumah tapi kini tersadai di tepi jalan betul-betul berhadapan dengan tapak projek Pulai Hijauan. Mujur ada satu kawasan lapang di pinggir jalan tu, kalau tidak seram juga takut disambar lori yang laju membelah jalanraya.


Sebenarnya ada beberapa kemujuran semalam ketika tayar kereta hadapan sebelah kanan kami pecah semasa kami dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil Yaya pulang dari sekolah agama.


  • Kami melalui jalan belakang/ highway GP yang agak lengang. Tak boleh dibayangkan jika kejadian berlaku di Jalan Skudai yang sesak ditambah pula biasanya ER akan memandu di lorong paling kanan.
  • Lori bersaiz sederhana yang terletak selang satu kereta di hadapan kami tiba-tiba memperlahankan kenderaan sedangkan sebelumnya agak laju yang mengekornya tentulah laju juga. Yang peliknya kenapa tiba-tiba lori tu perlahan sedangkan tiada apa yang menghalang di depan. Mungkinkah dia telah terpandang di cermin sisinya yang tayar kereta kami mengempis kerana ketika itu kami sedang berada di selekoh dan cuba memberi satu isyarat kepada kami? Masa inilah ER merasa keadaan kereta/ stereng tidak begitu stabil.
  • Saya baru sahaja belajar/ tengok orang tukar tayar depan bijik mata.. hehehe.

Kalau nak diikutkan gemuruh saya memang berdarah gemuruh yang telah saya akui dalam entry yang lalu. Tapi jika diukur meter tenang, saya lebih cool dalam menghadapi situasi cemas berbanding ER. Tengok pun tahu memang jenis yang suka nak marah bila ditimpa masalah, kan. Saya tahu tayar simpanan memang ada di bonet. Yang saya musykil ialah alatan untuk menukar tayar tu sebab saya tak pernah nampak dalam bonet kereta. Huhu. Saya tanya ER, dia kata... "Mana ada," dengan nada sedih.Dia hilang ingatan sekejap rupanya. 

ER tekan-tekan telefon untuk telefon Gary, mekanik kereta kami. Saya alihkan barang-barang dari bonet kereta terus hulur pada Yaya (Kami guna MPV jadi bonetnya bersambung terus dengan tempat duduk penumpang). Bonet dah 'clear' saya selak ruang tayar nampak satu beg mengandungi wheel brace di atas tayar simpanan. Saya tunjuk dengan ER, ER angguk-angguk, lega barangkali.

"Okey, takpeee.. i cuba tukar tayar guna tayar spare ini sendiri dulu nanti i datang sanalah bawa pelan-pelan," terdengar ER bercakap-cakap di telefon.

Maka tertonggeng-tonggenglah ER memulas jek meninggikan badan kereta. Agaknya dah sedia lahir berdarah Tun Teja, saya memang tak boleh senang duduk tengok saja. Berkali-kali saya menawarkan pertolongan tapi ER macam susah jer nak bagi, tak percaya ke??? Agaknya bila dah penat tertonggeng-tonggeng tu, barulah ER hulur besi jek untuk nak naikkan jek tu sementara dia pulak pulas nut skru tayar yang kempis. Dekat situ dia dah keliru nak putar arah mana. ER ni jenis lelaki pejabat dan saya pula teknikal.. beza gila kan.. hehe. Saya tunjuk ER arah yang betul untuk buka nut. ER memang selalu keliru bab skru dan nut ni.

Bila dah saling kerjasama, seorang naik/ turun jek, seorang buka/ tukar tayar maka segala-galanya terus jadi mudah. Dalam masa tak sampai setengah jam kami siap tukar tayar tu. Alhamdulillah. Terus ER boleh buat lawak raya ni nak balik Kuala Ketil sebab sekejap lagi terus pergi bengkel dan tukar tayar kereta baru.. huhu.

Maka buat pertama kalinya tahun ini kami bertiga beranak berbuka dalam kereta. Adushhhh! Sayu jer rasa hati masa kunyah burger Malaysia yang beli di BBU. Air pun tak ada dalam kereta rasa macam nak tersengkang jer kat tekak. Saya sempat juga bagi tazkirah dekat anak bapak dua orang ni. 'Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Allah tarik satu nikmat sebab Dia nak bagi nikmat yang lain. Allah akan menduga hamba-Nya setakat yang kita mampu. Allahkan suka menduga hamba-Nya yang beriman.....' ya.. gitewlah konon-kononnya perasan macam baik sangat bila diuji dengan ujian yang sedikit sedangkan ada orang lain yang menempuh musibah yang lebih besar.Wallahualam.

Jom belajar cara tukar tayar kereta, wajib tahu ni tau ;-)))

1. Pancitkan tayar kereta... eh! Jangan!!! Tak pancit pun boleh tukar.. jom main tukar-tukar.. hehe.. Pastikan anda meletak kenderaan/ berada di atas jalan yang keras dan rata.

2. Buka bonet, tengok ada jek tak? Orang putih kata 'jack'. Ada? Okey, bawa keluar. Jek ni percuma (percuma ke) dengan pembelian sebijik kereta ok, kalau tak ada hantar report ke tribunal pengguna. Rupa jek??? Tengok bawah. Letak di bawah kereta kira-kira dua tiga jengkal dengan tayar yang nak tukar. Jangan naikkan dulu ya sebab nanti kalau longgarkan skru, tayar pun main pusing-pusing macam WANG BESAR! WANG BESAR!

gambar pinjam wikipedia

3. Ada WHEEL BRACE tak? Atau orang Melayu kata pembuka (nut) tayar. Pun percuma dengan pembelian kereta. Mesti ada, kalau tak ada beli, pastikan ada satu dalam kereta. Ada macam-macam rope, tengok SINI.
gambar pinjam wikipedia

4. Sekarang longgarkan nut -nut skru pada tayar kereta anda yang pancit dengan menggunakan wheel brace. Cara longgarkan dengan memusingnya mengikut arah lawan jam. Dah buka semua nut, nut jangan buang, jangan lempar merata-rata. Letak tepi, jangan letak bawah kereta nanti susah nak cari ;p.

5. Okey, sekarang masa untuk menggunakan tenaga Tun Fatimah anda untuk naikkan jek. Kalau tak kuat, minum dulu air Kacip Fatimah OK. Naikkanlah anggaran anda boleh tarik keluar tayar kereta anda dan masukkan tayar yang baru. Jangan naik tinggi-tinggi pulak, cukuplah boleh keluar dan boleh masuk tayar tu semula.

6. Pasang semula nut, kalau ada empat pasanglah empat-empat. Kalau ada lima jangan tinggalkan salah satu, semua mesti pasang. Turunkan sedikit jek untuk ketatkan tayar kereta, arahnya ikut jamlah ya. Yang akhir-akhir tu dengan membiarkan wheel brace masih berada di nut/ skru tayar, anda pijaklah wheel brace tu untuk mengetatkan nut/ skru supaya lebih yakin kekejapan nut/ skru apabila memandu. Jangan lupa ketatkan ke-empat-empat nut/ skru dengan gaya yang macho.

7. Haaa.. kalau yang anda tukar tadi memang betul tayar pancit, janganlah bertangguh-tangguh untuk menukar tayar yang baru demi keselamatan anda dan keluarga anda.

8. Amaran : Jika anda berada di bahu jalan, jangan lupa letakkan tanda amaran, okey.

Kredit : sariyusa



Ini cerita KURUS gua....

5 Jun 2017


Segmen “Kisah Kejayaan” kali ini akan membawa para pembaca sekalian untuk melihat kisah kejayaan seseorang dari sudut yang berbeza dari apa yang kita pernah baca dalam blog ini. Pengirim cerita ini meminta saya untuk merahsiakan nama beliau, namun siapa yang kenal tu, kira nasiblah… selamat membaca.
Sebelum terlupa, tahniah kepada si pengirim, kekalkan momentum anda ke arah gaya hidup mantap!

Fatty Fatty Boom Boom Cak!

Konon-kononnya ini adalah kisah sukses aku.
“Aku” ni siapa tanya kau? *buat muka poyo sambil hirup teh yang bau macam bunga*. Biar aku cerita.

Aku sememangnya sudah obes dari kecil. Sampailah aku jadi kanak2 sekolah, Kemudian jadi remaja dan baru2 sahaja lagi aku hadap pada zaman dewasa aku. Secara genetiknya aku datang daripada ibu bapa dan keturunan kaum yang boleh tahan debab, katik pulak tu.

Alahai nasib.

Walau begitu, langsung tak halang aku untuk aku kelihatan super kacak *angkat kening*, pakai baju macam superstar, berlagak konfiden macam artis, tak malu berjumpa orang, tak ada efek pada intelektual aku, lagi langsung tak ada efek pada kebolehan aku untuk menari, menyanyi dan bermain muzik, oh dan lagi satu, bersukan – tapi biasalah malas sikit.

Banyak kali juga aku cuba kuruskan badan. Aku rasa sebab macam ni. Aku rasa diri aku cukup hensem. Tapi kadang2 tu ada rasa benci juga. Jadi perasaan nak cuba kuruskan badan ikut mood sebenarnya.

Tak kurang banyak juga cara kuruskan badan aku dah cuba. Diet yang tak ada asas. Makan sikit, tapi masih makan makanan tinggi lemak, gula, karbohidrat, kalori. Berat aku jadi naik turun macam yoyo. Bosan sungguh.

Buat aktiviti kardio sampai lembik lutut. Kalau dah awal2 pun paksa diri buat banyak terus, memanglah tak ada semangat lepas tu. Nak hadap pun kena paksa. Lepas tu lama2 hilang motivasi. Tambah pula aku yang perangai hot2 chicken shit ni (baca: hangat2 tahi ayam)

Habis duit masuk gym yang super mahal, tapi bodoh tak reti nak guna alat yang ada dan ada penyakit mim alif lam sin (baca: malas). Campur tak ada asas diet. Rugi betul *kesat air mata*

Oh, dan dasar melayu. Nak berjaya cepat. Lemak dah ternak berpuluh tahun tapi nak jadi kurus macam model dalam masa sekelip mata. Jadi habiskan duit beli produk2 kurus yang entah apa2.

Keluarga aku pun kebetulan mampu. Pernah habis aku syak berpuluh ribu untuk hantar aku masuk pusat kuruskan badan. Ada lah aku sempat merasa dua tiga tempat.

Semua pun hampeh.

Nah tisu kalau cerita aku sama macam kau. Kesat hingus tu. Geli sangat.

Aku Mahu Muat itu Baju!

Bulan September 2012, di tempat aku belajar ada anjurkan Karnival Malaysia setiap tahun. Ada persembahan dan jual makanan2 negara. Aku belajar di benua lain, jadi benda macam ni heaven woi.

Cerita dia aku masuk persembahan. Macam tahun2 sebelum tu pun.
Tapi tahun tu aku tak beli baju raya baru. Baju yang ada stok 2011. Masa tu aku kurus sikit mungkin. Kan dah kata berat aku macam yoyo. Tahun 2012, aku tak muat pun baju2 aku.

Sendat gila.

Pakai baju/seluar cegah boroi pun tak dapat nak tolong. Perut comel aku kedepan. Nak beli baru, dekat negara omputes tak jual baju raya. Nak suruh mak pos, membazir dan berjanggut tunggu nak sampai. Nak pinjam orang lain punya baju, tak ada langsung manusia melayu kat situ yang sama saiz dengan aku ada baju yang aku perlu untuk buat persembahan.

Saspen kan?

Ni lah pengenalan aku pada Diet Atkins waktu tu. Aku sangat terdesak sampai sanggup cuba apa2. Aku perlu muat dalam baju aku.

Aku teringat dulu, owner Kelab Diet Atkins Malaysia (https://www.facebook.com/groups/atkinsmalaysia/) masa awal2 cuba Atkins ada ajak aku cuba sekali.

Masa tu dia masih belum taff dan kacak macam sekarang dan suka berblog. Aku masih ingat aku cari komen dia yang dia tulis pada blog aku. Cuba cari link untuk ke blog dia dan mungkin dari situ ada harapan kalau aku sedut tips dari dia.

Hebat. Dalam masa 2 minggu, aku masih gemuk. Tapi perut kedepan aku dah gostan kebelakang sikit. Ewah! Boleh pakai baju raya!

Aku berhenti buat Diet Atkins (DA) lepas habis buat persembahan. Aku dah kata aku cukup kacak. Tak payah nak kurus sangat.

Aja Aja Fighting!

Aku ada cyst pada bahagian vital untuk aku buat anak. Dah tahu lama pun. Tapi aku fikir tak menjejaskan apa pun. Jadi aku langsung tak hairan.

Lagipun belum nak kahwin. Chillex lah beb. Ubatnya kena bedah sahaja. Kalau kurus sikit bolehlah cuba kurangkan simptom yang ada dengan masalah ni. Cinta hati aku suruh aku cuba kurus juga. Kesian katanya. Nanti sakit.

Aku ego. Marah dia pula. Aku tuduh dan kata dia sebenarnya malu aku gemuk. Iolls Butthurt sangat uolls. Tapi sebab sayang, aku cubalah DA semula. Tapi tak hardcore mana. Sampai lah cuti musim panas 2012/2013, aku pulang ke tanah air. Turun sahaja dari kapal terbang, badan aku sangat kembang. Macam di pam2. Water retention melampau. Kalau kau tekan kaki aku yang mengembang macam gajah tu, dia jadi macam lopak (pitted oedema)

Scary gila. Sumpah.

Aku turun naik hospital lepas tu. Dari jumpa doktor biasa (baca: GP), aku di hantar pada doktor pakar itu, doktor pakar ini, kemudian doktor endokrin lagi. Darah aku yang berdaulat ni kena sedut bertiub2 setiap hari untuk di test. Vampire betul.

Semenjak dari tu, aku bertekad. Kena cuba kurus juga. Seksa wo. Kesian darah aku kena curik. Kesian kaki aku macam gajah. Kesian aku susah nak buat baby nanti.

Cinta hati aku super awesome. Bagi aku semangat. Sebab dia hot juga aku rasa. Jadi motivasi nak sama2 hot tu kuat la sikit. Kehkehkeh.

Sekarang…

Selepas berjuta2 kali tolak nasi *sebelum kau bash aku, baca dulu apa itu DA*, aku sekarang lebih ringan. Belum boleh nak dipacak lambung, tapi dekat lah sikit dengan cita2 tu. Haha. Simptom sakit aku dah makin berkurang. Sekali sekala tu ada lah juga kena attack. Tak sekerap dulu.

Kacak? Level Over 9000!
Nasihat Aku?

Biarlah ada ilmu sebelum buat sesuatu. Perbuatan yang tak ada ilmu dan dasar sangat bodoh, sia2 dan buang masa. Walau apa pun cara kau pilih untuk kurus. Boleh aplikasi juga dalam kehidupan seharian lain.

Biar betul motivasi. Kena set juga goal. Macam aku tampal besar2 di meja study. “Azam tahun 2013. Nak jadik hot gilos.” Setiap kali aku rasa nak kelaut sekejap, aku tengok tu dan insaf semula. Cinta hati aku juga motivasi aku. Kau cuba lah cari cinta hati juga. Tak perlu boipreng gepreng. Ibu bapak ke. Jiran sebelah rumah ke. Kalau kau tak tahu malu, boleh la motivasi kau ni Faizal Tahir ke. Emma Maembong ke. Wondergirls ke. Eh?Oh, Bila dah lain sikit ni, sumpah I tell you. Culture shock sikit lah awal2 tu.

Aku nak nasihatkan semua yang dah kurus hot tu jangan nak pentingkan luaran sangat. Obses sangat tengok luar kita cantik. Dalaman pun mesti baik ma. Mohon jangan jadi kosong sangat boleh tak?

p/s: Aku ada cerita yang aku perempuan? Hihi! *Kenyit mata*
Saya tak kasar pun sebenarnya. Poyo tu sikit2 ada lah. *gelak comel*. Saya gurau je. Jangan marahkan saya ya?

Umur: 24 (2013)
Tinggi: 154cm
Terberat: 98kg (Awal Januari 2012)
Berat Terkini: 65kg (Pertengahan Ogos 2013)
Saiz Dulu: XXXL / 56 / AUS 20
Saiz Sekarang: M/ 38 / AUS 12

Kredit : sususejat


 

Dicerai Lepas 3 Hari Nikah Tanpa Sebab, Kemudian Di Saman Pula Oleh Bekas Suami



Saya seorang pegawai di sebuah bank, berkelulusan universiti dan berusia 32 tahun. Selepas tamat belajar dan mendapat kerja, saya ditunangkan dengan seorang lelaki atas kehendak keluarga. Saya akur dengan kehendak ibu bapa saya, sebab saya tahu, mereka tentu akan mencari calon suami yang terbaik untuk saya, sebab saya tidak mempunyai teman lelaki.

Tunang saya seorang pegawai kerajaan, juga lulusan universiti, anak sulung dalam adik beradik seramai empat orang. Ibu dan ayahnya, rakan lama ibu bapa saya. Saya dimaklumkan dia telah melihat gambar saya sebelum kami ditunangkan dan tidak membantah permintaan ayah dan ibunya. Pada hari pertunangan, kami diperkenalkan dan itulah kali pertama saya melihat dia. Orangnya kacak, tinggi dan saya rasa dia menjadi idaman ramai wanita. Dia juga nampak baik, peramah dan sentiasa tersenyum melihat saya. Jauh dalam hati saya berkata, memang dia jodoh terbaik Allah hantarkan untuk saya.

Kami bertunang tidak lama, hanya tiga bulan. Dalam tempoh itu, kami tidak berjumpa, semua urusan dibuat oleh ibu bapa kami. Sampaikan barang hantaran juga mereka yang uruskan atas permintaan saya. Genap tiga bulan, kami disatukan. Majlis sangat meriah, maklumlah, kedua-duanya anak sulung, tentunya majlis meriah dengan kehadiran kawan-kawan dan sahabat andai serta keluarga jauh dan dekat.

Saat kami diijabkabulkan, air mata saya menitis. Saya sangat terharu dan sebak setelah dia dengan sekali lafaz sah menjadi suami saya. Inilah saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh seorang wanita. Masa untuk mengabdikan diri kepada suami dengan penuh rasa tanggungjawab dan dengan harapan, bahagia yang dibina akan kekal sampai ke akhir hayat.

Bagaimanapun, bahagia yang saya harapkan tidak nampak cahayanya apabila suami terus menghilangkan diri selepas tiga hari kami bergelar suami isteri. Dia tinggalkan saya tanpa pesan, tanpa sepatah kata. Saya terkapai-kapai tidak tahu apa salah saya sampai dia sanggup buat saya macam itu. Saya langsung tidak disentuh. Pada mulanya saya faham mungkin dia penat, lagipun selepas majlis, kami tinggal di rumah ibu bapa saya. Malangnya pada hari ketiga semasa saya sedang berkemas di dapur dengan mak dan adik-adik, dia keluar rumah tanpa memberitau saya.

Sedar-sedar dia sudah tidak ada di dalam bilik. Sebelah petangnya, mentua saya datang. Kecoh dia bercerita. Saya hanya mendiamkan diri. Mak dan bapa saya yang melayan mentua bercerita. Saya melihat mak saya menangis. Kemudian adik-adik. Saya masih tidak tahu sebabnya sehinggalah bapa memanggil saya ke ruang tamu dan menyuruh saya duduk. Saya duduk di hadapan pelamin yang belum dibuka. Dengar apa yang mentua kamu hendak beritahu, kata bapa.

Ketika bapa berkata-kata, saya merasa dunia berpusing ligat dan suasana gelap gelita. Saya tidak nampak apa-apa lagi di hadapan saya. Setelah sedar, saya tidak melihat kelibat mentua saya lagi, yang ada mak, bapa dan adik-adik saya yang kesemuanya menangis. Saya juga menangis. Tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan saya ketika itu. Yang saya dengar, saya telah diceraikan oleh suami. Maknya sendiri yang bagi tahu saya di hadapan ibu bapa dan keluarga saya.

Bapa sangat marah tapi me­ngawal kemarahannya itu. Sepupu dan bapa saudara saya mula datang ke rumah. Kalau kelmarin mereka datang dengan wajah gembira, tetapi kali ini semua nampaknya sangat marah. Bapa saudara dan sepupu saya pergi ke rumah suami untuk mendengar sendiri dari mulut dia yang telah menceraikan saya. Nak tahu apa dia kata, kita jumpa di mahkamah! Saya sudah ceraikan dia. Betapa biadapnya dia kepada keluarga saya. Nampak sahaja belajar tinggi tetapi kurang ajar. Itulah yang keluarga saya kata. Mereka sangat marah.

Akan tetapi tidak ada gunanya lagi. Sebab saya telah diceraikan. Yang saya tidak faham, bekas suami membawa pula kes itu ke mahkamah dan menuntut saya membayar ganti rugi. Dia yang ceraikan saya, dia pula yang minta ganti rugi. Sepatutnya saya yang buat saman malu. Ini terbalik pula. Enam tahun kes itu berlarutan. Penat saya naik turun mahkamah dengan mak dan bapa saya. Buang masa, membazir duit dengan perkara yang tidak kami tahu sebabnya. Ibu dan bapanya langsung tidak menasihatkan anaknya, sebaliknya menyokong tindakan anaknya menyaman saya dan keluarga.

Saya tanggung malu dengan keluarga, jiran, saudara mara dan kawan-kawan kerana dia. Saya minta tukar kerja di tempat lain kerana tidak mahu diganggu. Semuanya saya yang tanggung. Sudahnya saya yang disaman. Saya terima ini semua dengan reda. Alhamdulillah kes ini telah selesai dua bulan lalu. Saya terpaksa bayar RM10,000 kepada bekas suami di atas kesalahan yang saya tidak tahu apa. Saya pelik kenapa mahkamah begitu ambil mudah kes penganiayaan ke atas isteri seperti saya. Patutnya siasat sampai ke akar umbi, apa puncanya. Bukan main dengar sebelah pihak sahaja. 

Saya bersyukur kerana semuanya telah selesai. Walaupun saya telah menerima hukuman dunia yang diputuskan manusia, saya yakin hukuman di akhirat untuk dia yang menganiaya saya tetap ada. Allah tahu siapa benar dan siapa salah. Saya mendoakan supaya satu hari nanti dia dan keluarganya akan sedar kesilapan mereka dan bertaubat. Saya pula akan teruskan hidup saya. Pintu hati saya sudah tertutup rapat untuk lelaki. Saya serik. Bukan tidak percaya jodoh, tetapi pengalaman ini sangat sakit dan saya tidak pasti bila kesakitan itu akan hilang. Semoga Allah bagi saya kekuatan dan semangat untuk terus muhasabah diri dan menjadi wanita solehah di dunia dan akhirat,”demikian Syifa menutup ceritanya.

Sedihkan cerita Syifa? Semoga Allah makbulkan doa Syifa. Apa pun saya kagum dengan semangat dan kesabaran Syifa menangani masalah ini. Tidak siapa tahu apa yang dia rasa.

Kisah ini baik dijadikan teladan oleh kaum lelaki, khasnya mereka yang mendapat jodoh yang diatur oleh ibu bapa. Niat ibu bapa baik tetapi anak-anak juga perlu fikirkan yang terbaik untuk mereka. Jangan kerana hendak menjaga hati ibu bapa, terima sahaja pilihan mereka. Ambil masa untuk mengenali bakal isteri, jangan terus terima. Jangan buat aniaya anak dara orang.

Menamatkan catatan, pesanan saya, sekiranya tidak dapat menggembirakan hati orang, cukuplah hanya tersenyum, bukan membuatkan orang itu terus berduka.

Salam.

Kredit : UtusanMalaysia


 

4 Tahun Menyulam Cinta, Facebook Bukti Si Dia Bermain Kayu Tiga



Saya perkenalkan diri saya sebagai Shila (bukan nama sebenar).Berusia 29 tahun, eksekutif sebuah bank dan lulusan universiti luar negara. Saya anak kedua dalam adik beradik seramai lima orang, tiga perempuan dan dua lelaki. Abang sulung telah berkahwin dan mempunyai sepasang cahayamata. Adik-adik masih menuntut di kolej. Ayah pesara kerajaan dan ibu, suri rumah sepenuh masa.

Semasa di universiti, saya berkenalan dengan seorang lelaki, Mirza (bukan nama sebenar). Kami berkawan, menjadi rapat dan akhirnya jatuh cinta. Biasa bagi pasangan kekasih untuk berjanji sehidup semati apabila telah bekerja. Begitu juga dengan kami. Saya dan Mirza juga ingin hidup bersama secara sah. Dan hajat itu akan kami tunaikan setelah masing-masing bekerja. Alhamdulillah, habis belajar kami mendapat tawaran kerja. Murah rezeki kami, dan tentunya jodoh kami juga akan sampai, itulah doa saya setiap hari.

Saya mula himpun duit untuk kahwin. Hubungan kami macam biasa, keluarga kedua-dua pihak juga sudah maklum akan hajat kami. Ada kelapangan Mirza datang ke rumah. Bagitu juga saya, tetapi tidaklah selalu ke rumahnya. Setelah dua tahun bekerja, saya bertanya Mirza tentang hubungan kami. Sampai bila saya harus tunggu sedangkan kami telah bekerja. Jawabnya, dia belum bersedia dan tidak cukup duit. Dia minta saya bersabar.

Saya faham dan bagi masa setahun lagi. Sampai tempoh setahun, saya masih tidak nampak jalan ke arah itu, bila diajukan soalan, jawapannya tetap sama. Saya pelik, ke mana pergi duit gajinya semua? Bila sesak duit, dia cari saya. Sebagai kekasih, tentu saya akan tolong, sebab sayang. Keadaan makin tidak nampak cahayanya apabila masuk tahun keempat. Mirza masih gagal memenuhi kata-katanya. Dia buat selamba sahaja bila saya tanya tentang janjinya untuk melamar saya.

Sejak itu, saya tidak bertanya lagi. Dia tetap datang ke rumah, macam biasa walaupun saya mula dingin terhadapnya. Ayah dan mak selalu tanya, tapi saya diamkan diri. Saya beritahu, Mirza tak cukup duit lagi. Dia belum bersedia. Akhirnya mak dan ayah terus diam. Dan Mirza macam tidak bersalah, terus datang ke rumah saya walaupun saya sudah mula bosan dan letih dengan gelagatnya. Allah Maha Kaya, Dia tahu apa yang terbaik untuk saya. Oleh kerana tidak tahan dengan sikapnya dan malas lagi hendak menunggu, saya minta hubungan kami diputuskan. Dia tidak kata setuju dan tidak pula kata tidak.

Tetapi sebagai perempuan, saya anggap sudah putus. Saya mula jemu untuk berjumpa dengan dia. Tidak sampai tiga minggu hubungan kami putus, seorang kawan menelefon saya dan memaklumkan Mirza sudah berkahwin. Kata kawan saya itu, gambar persandingannya ada dalam FB (Facebook). Kawan-kawan sama universiti yang tahu hubungan kami mengirim mesej dan WhatsApp memaklumkan pernikahan Mirza. Saya tidak melatah. Saya tidak tahu apa nak kata, sama ada hendak menangis atau tidak.

Setelah melihat FB dan membelek-belek WhatsApp dan mesej yang dikirim kawan-kawan, memang sah Mirza sudah berkahwin. Tidak salah lagi. Dia nampak ceria, bahagia dengan isterinya. Langsung tidak ada perasaan bersalah. Pada hal dia tahu saya, kawan-kawan dan keluarga saya akan melihat gambar persandingannya itu. Saya tidak menangis, sebab kalau menangis air mata darah sekalipun, semuanya sudah terjadi. Dia sudah jadi suami orang. Dia mungkir janji.

Dia lelaki tidak berhati perut. Dia biarkan saya tunggu selama empat tahun, tetapi akhirnya dia bernikah dengan orang lain. Maknanya semasa masih bersama saya, dia sudah bermain kayu tiga dengan perempuan lain tanpa pengetahuan saya. Tergamak dia hancurkan harapan saya, kecewakan orang tua saya serta musnahkan janji kami untuk hidup bersama. Empat tahun saya dipermainkan lelaki ini. 

Tetapi saya reda, sebab saya sudah nampak pengakhirannya untuk kami dengan sikap Mirza yang tidak ikhlas dalam perhubungan kami. Mak dan ayah terdiam apabila saya maklumkan Mirza sudah bernikah. Mak menangis kerana kasihankan saya yang sangat setia dengan Mirza dan menolak pinangan orang lain. Ayah juga marah. Saya sangat sedih kerana Mirza telah menggunakan kebaikan saya dan keluarga untuk kepentingan dirinya sebelum ini. Saya tidak akan jadi bodoh untuk menangis dan meratapi nasib saya. Saya bersyukur kerana Allah tunjukkan warna sebenar lelaki yang pernah saya cintai ini. 

Saya doakan dia bahagia.

Saya berpegang kepada kata-kata mak, Allah akan hadiahkan saya lelaki yang lebih baik daripada Mirza, doa selalu kata mak. Mintalah kepada Allah, insya-Allah Dia akan makbulkan. Semoga Allah bagi kekuatan kepada saya untuk terus bangkit dan melupakan apa yang telah berlaku.

Kredit : UtusanMalaysia



Ibu Ayah, Kalaulah Saya Dapat Berbicara, Dengarkan Luahan Saya Ini


Assalamualaikum korang ;)

Dalam banyak-banyak sperma yang berebut masuk dalam ibu saya, saya telah terpilih untuk di berikan nyawa.

sungguh tiada perkataan lain yang mampu saya ungkap melainkan, "saya sungguh gembira..."
9 bulan lagi saya akan dapat melihat dunia.

oh, dari kata-kata yang kedengaran, dunia itu indah, dunia itu cantik, dunia itu sungguh meriah dengan sorak-sorak manusia.
sungguh 9 bulan amat lah lama bagi saya.

tapi takper la penantian yang panjang bakal memberi kan saya satu kenikmatan kelak.
saya percaya itu.
hari nih saya rasa ibu baru perasan saya telah wujud dalam perotnya.
saya dengar doktor bagi tahu ibu tadi.
semalam ibu sakit perot.

ingin sekali saya jeritkan pada ibu, "maaf ibu, sebab saya ibu terpaksa sakit perot segala..."
tapi apa kan daya mulut saya belom terbentuk sempurna.
tapi kan saya sungguh pelik.
kenapa bila ibu keluar dari bilik doktor wajah ibu murung?
tadi saya lihat ada ibu lain yang masuk, saya lihat dia tersenyum gembira bila tau dia punya bayi dalam perut.
oh saya faham, mungkin ibu masih sakit perot agaknya...
malam nih ibu tidor lewat.

ibu tunggu ayah barangkali.
mesti ibu nak bagi tau ayah pasal saya kan?
sebab ibu duduk di taman permainan berhampiran rumah kita di waktu malam.
ibu..... saya sejuklah.
tapi saya tau sebentar lagi saya bakal di cium oleh ayah.
takper, saya rela bersejuk.
sampai pukul 2 pagi baru ayah datang.
dah banyak kali ibu kena ngorat dengan mat-mat rempit.
kelakar lah dorang nih, ibu saya dah kawin la weh, dah ada saya dah dalam perot, mana boleh ngorat.

tapi saya paham, ibu saya kan cantik, macam saya jugak lah.
bila ayah sampai, muka ibu cuak-cuak, tapi saya tau ibu saja berlakon muka cuak, ibu kan nak buat seprise.
romantiknya ibu ayah saya!!mesti saya akan di sayangi bila keluar nanti.

tapi tadi saya terberangan, saya tak dengar apa ibu dengan ayah sembang.
cuma tiba-tiba saya rasa ayah tepuk perot ibu.
bergegar saya dalam perot ibu.
apa nih ayah, saya sakit lah.
belai lah saya, saya teringin di cium oleh ayah.
saya dengar ibu dan ayah bercakap kuat.
tapi laju sangat butir bicara nya, macam mana saya nak paham....
then tiba-tiba saya rasa ibu jatuh terbaring.

ayah tolak.
aik takkan dorang nak beromantik kat sini kot?
ganasnya ibu ayah saya.
tiba-tiba ayah pijak perot ibu.
adoi sakitnya saya!

ayah pijak kuat, ayah tendang-tendang, saya dengar ibu menangis dan cakap, "baby, sayang bayi nih abang, jangan buat macam nih. jom lah kita kawin..."
ayah tendang dan teros tendang, sampai saya rasa dunia saya gelap.
yer la saya pening di sepak terajang.
tapi kenapa ayah buat saya macam nih?
kenapa ibu dengan ayah belom kawin lagik?
kenapa...................

lepas dari hari tuh saya tak penah jumpa ayah lagi.
ibu pulak dah tak duduk dengan atok dan nenek.
ibu duduk dengan kawan dia.
aunty mira kot nama dia.
saya tak suka lah aunty tuh, hari-hari suruh ibu minum air nenas.
saya sakit tau bila ibu minum air nenas?
tapi... ibu sayang saya.

jarang sangat lah ibu minum selalu dia buang dalam sinki bila aunty tuh dah pergi kerja.
tapi saya pelik lah, ibu hari-hari menangis.
pegang fon, tekan-tekan, sms kot, then menangis.
saya tak paham lah kenapa.
kenapa yer korang?

makin lama, saya makin besar.
ibu dah tak penah keluar rumah.
yer la saya kan berat, kesian ibu angkat saya berat-berat.
jadi ibu hanya duduk dalam rumah, masak sikit-sikit, tengok tv, menangis dan tidor.
saya pelik lah dengan ibu tak penah berenti menangis.
mungkin saya berat sangat kot, maaf ibu!

nanti saya dah besar saya jaga ibu balik, saya janji ibu..
oh saya terlupa nak cerita, hari tuh ayah saya datang.
dia tengok ibu.
dia cakap nanti dah bersalin bagi tau dia.
ohh rupanya ayah sayang saya, tapi mesti ayah kerja jauh.
mungkin hari tuh ayah penat lalu tersepak ibu.
sukanya saya.

saya ingat ayah benci saya tadi.
ayah nih pandai bergurau lah.
tapi ayah tak duduk lama pun.
ayah cuma masuk, minum air oren ibu bagi, dan pergi.
ayah tak pegang pon saya.
mungkin ayah nak pegang saya secara life kot.
tak seronok lah pegang beralas perot. hehehe.
dan akhirnya, satu hari tuh saya dah tak sabar sangat.
saya rasa saya dah cukup lama duduk dalam perot ibu.
saya rasa saya nak keluar.
saya dah hint ibu banyak kali dah.

saya tolak-tolak ibu, tapi kenapa ibu masih baring atas katil?
kenapa ibu tak pergi hospital pon?
IBU, SAYA NAK KELUAR NIH.....
ibu mengerang dan meneran kuat.

saya nampak aunty mira duduk tepi katil dan biar ibu teros meneran dan keluarkan saya.
aunty mira kol ayah kot, sebab saya dengar, "lekas lah datang, awek kau dah bersalin nih..."
dan perlahan-lahan saya pon terkeluar.
kesian ibu, banyak nya darah keluar, mesti ibu sakit kan?
maaf ibu terlahir saja saya, saya dah banyak susah kan ibu.
saya janji ibu lepas nih saya akan jadi anak yang baik.

itu janji saya pada ibu.... dan ayah.
aunty mira letakkan saya dalam kain batik.
ape la aunty nih mandi kan la saya.
tak seronok lah ada darah-darah nih.
karang ayah nak datang, nak pelok, nak cium saya.
ibu dah la tengah terbaring sakit.
wah indah nya dunia.

ada kipas, ada lampu, ada langsir bunga-bunga.
akhirnya saya terkeluar juga.
nanti saya dah pandai jalan saya nak terokai dunia, saya nak tengok puas-puas.
tiba-tiba ayah datang.
ibu cakap, "abang, itu anak kita abang..."

ibu tersenyum dalam sakit.
ayah angkat saya laju-laju.
rakusnya ayah nih, tau lah tak penah jumpa saya. hehehe.
ayah bawak saya keluar rumah.

ayah bawak saya naik motor, letak saya dalam raga, lajunya ayah bawak.
AYAH SAYA SEJUKLAH! PAKAI KAN LAH SAYA BAJU.
dan dalam pekat malam, saya nampak lampu-lampu dunia, saya nampak kereta, motor.
tapi ruang yang terbuka cuma kecil.

ayah tutup saya dengan beg kerjanya.
sayang jugak ayah pada saya, mungkin takot saya kesejukan.
saya kira ayah rushing-rushing nih mesti nak bawak saya jumpa atok.

tak sabarnya di pelok, di cium....
dan ayah berenti di satu rumah flat.
mungkin nenek dan atok saya duduk sini.
ayah bawak saya naik atas, guna tangga.

kenapa tak guna lif ayah? saya kan berat kesian ayah.
nanti saya balas jasa ayah yer.
sampai tingkat atas sekali, ayah berdiri tepi tangga.
sunyi tempat tu.
mungkin ayah nak azan kan saya, romantik lah azan pon tempat sunyi.
ayah ni kan......
ayah balut saya betol-betol guna kain batik aunty mira tadi.
ayah ikat semua sekali.
sampai saya tak punya ruang bernafas.

AYAH, BERI SAYA RUANG UDARA, NANTI SAYA MATI LAH AYAH.
SAYA BELOM BALAS JASA IBU DAN AYAH LAGI.
SAYA BELOM UCAP TERIMA KASIH PADA IBU LAGI.
SAYA BELOM JUMPA ATOK NENEK SAYA LAGI.
SAYA BELOM PUAS LIHAT DUNIA LAGI.
AYAH...................

dan saya rasa saya tercampak jauh.
berlegar-legar sebentar sebelum teros jatuh mencium tanah.
sempat saya lihat kereta, anjing, tong sampah, motor, lampu oren, pokok.
dan sampai ke tanah.............

mungkin saya di takdirkan untuk hidop hanya setakat ini.
tepat jam 3 pagi saya menghembuskan nafas terakhir saya, di tepi tong sampah, dihurung anjing.
kepala saya pecah, badan saya juga hampir lunyai.

OH AYAH KU.......

TAPI.............
APA SALAH SAYA?
KENAPA INI NASIB SAYA?
AYAH TAU BUKAN BERTAPA TERINGIN SAYA HIODP MELIHAT DUNIA?
BERTAPA INGIN SAYA HIDOP MEMBALAS JASA?
BERTAPA TERINGIN SAYA BERLARI KE PELOSOK DUNIA?

BERTAPA TERINGIN SAYA PANDANG WAJAH IBU, AYAH, DAN RAKAN-RAKAN SAMBIL HIDOP BAHAGIA?
AYAH....... SUNGGUH KALAU SAYA TAHU INI NASIB SAYA, SEDARI DALAM PEROT SAYA TELAN RACUN!
SEKURANG-KURANGNYA SAYA TAK MATI DI SISI ANJING.

SAYA TAK SAKIT DI BALING SEPERTI SAMPAH.
SAYA TAK JIJIK DAN HINA SEPRTI SAYA KETIKA INI.
MUNGKIN, TANGGAPAN SAYA TERHADAP DUNIA SALAH SAMA SEKALI.
JIKA DI BERI RUANG UNTUK HIDOP SEKALI LAGI, TIDAK MUNGKIN SAYA KEMBALI.
AYAH............. IBU........... SEMOGA KALIAN INSAFLAH DI DUNIA SANA.
KITA KINI DI DUNIA BERBEZA...

Kredit: FB AISHA INANI


 

Kisah Cinta Antara Dua Darjat Moden

Aku nak cerita tentang kisah hidup abang aku. Tak sangka kisah Cinderella moden berlaku dalam keluarga aku. Abang long aku dah kahwin dan keluarga aku alhamdulillah boleh dikatakan hidup senang. Kami ini keturunan Syed dan Sharifah. Dan atas alasan keturunanlah mak aku tak boleh terima kakak ipar iaitu isteri abang long.

Mak aku menentang keras semasa abang long suarakan hasrat nak menikah dengan kakak ipar. Mak aku kata kalau nak menikah juga boleh, tapi cari yang sama taraf sebab malu kalau sedara mara tahu kahwin dengan orang-orang biasa saja. Menurutnya lagi, abang long cuba juga untuk memujuk ibunya namun ia tidak berhasil kerana si ibu tetap tidak mengizinkan. Lalu abangnya memutuskan hubungan dengan wanita tersebut.

Pun begitu selepas empat tahun berlalu, abangnya masih tidak bernikah dan tidak mempunyai mana-mana kekasih. Akhirnya, siibu terpaksa akur untuk menerima wanita yang dicintai abangnya sebagai menantu. Mak aku cakap tak apalah kalau abang long nak menikah juga dengan budak kampung tu. Menikahlah. Tapi kena duduk sekali kepas kahwin.

Semuanya nampak indah pada mulanya sehinggalah abang long terpaksa bekerja on call kerana dia seorang doktor.Pada ketika itu mereka baru sahaja berkahwin selama tiga minggu. Aku tengah tengok TV. Sekali aku dengar mak aku bising-bising ketuk pintu bilik abang aku. Logiklah masa tu dah nak tidurkan, memanglah kakak ipar sudah masuk bilik lepas dia kemas-kemas dapur.

Ibunya dalam nada marah membentak,

Kau ingat kau tuan puteri dalam rumah aku nak senang lena? Kau pergi kemas dekat luar, lap perabot semua. Menyedari apa yang sedang berlaku, dia terus mendapatkan ibu dan kakak iparnya untuk cuba menenangkan keadaan. Apabila dia cuba mempertahankan kakak iparnya, dia pula dimarahi si ibu. 

Lepas itu, aku terus telefon abang cakap kakak ipar kena buat kerja waktu malam-malam macam ini. Abang aku terus emergency balik rumah, tapi masa abang aku sampai, mak aku terus suruh kakak ipar masuk bilik. Jangan keluar. Mak aku cakap, dia saja minta tolong kakak ipar kemas-kemas rumah. Bukan berat pun setakat lap-lap perabot dan sapu-sapu debu.

Walaupun telah diberi nasihat kepada abang long dan isteri, kakak iparnya tetap tidak mahu berpindah kerana takut ibu mertua akan lebih membencinya. Malah ibunya terlalu bencikan si kakak ipar sehingga dia tidak mahu cucu daripada perempuan itu. Masa kakak ipar hamil, mak paksa kakak ipar buat kerja rumah dari mop lantai, jemur baju dan memasak. Apatah lagi masa itu dia alahan, kemuncaknya kakak ipar keguguran.

Disebabkan hal itu, abangnya mengambil keputusan untuk terus berpindah dari rumah tersebut. Mereka juga kini sudah lima tahun tinggal berasingan dari si ibu. Malah dia sendiri juga pernah mendengar kata-kata kejam dari mulut ibunya kepada kakak ipar, Aku takkan bagi kau mengandung anak Fikri. Kau tak layak dengan anak aku.

Walaupun begitu, dia yakin ibunya tidaklah sejahat yang disangka. Kemungkinan ibunya bersikap begitu hanya kerana ingin menjaga status dan darjatnya. Sungguhpun sehingga kini kakak ipar cuba untuk berbuat baik terhadap ibunya, wanita itu tetap tidak dilayan. Kalau abang long datang, mak beriya-iya borak dengan abang saja dan main-main dengan anak abang long. Tapi dengan kakak ipar mak pandang pun tak nak.

Dia juga dari awal lagi sudah diingatkan untuk memilih pasangan yang setaraf kerana takut memilih orang biasa. Malah ibunya juga sudah memperkenalkannya dengan anak kepada kawan ibunya yang setaraf dengan status mereka. Kini, dia hanya mampu berdoa semoga ibunya berubah dan berbaik dengan kakak iparnya nanti. 

Sabarlah kak, InsyaAllah semoga satu hari mak akan terbuka hati menerima kakak.

Kredit : Fb KisahRumahTangga


 

Jangan MALU Jika Anak Ada Masalah Pembelajaran

4 Jun 2017


Jangan MALU jika anak ada masalah pembelajaran.

Aku guru tahun 1. Menjadi guru tahun 1 dah masuk 12 tahun pun. Maka banyak kisah yang aku lalui bersama budak-budak. Antaranya bersama murid yang mempunyai masalah pembelajaran. Murid yang sangat perlahan dan 'slow' dalam belajar. Susah ingat sesuatu nombor dan perkataan. Tidak boleh mengikuti pelajaran seperti rakan mereka yang lain.

Maka pernah aku syorkan pada ibubapa mereka supaya bawa murid ini jalani ujian doktor untuk pengesahan. Jika disahkan mereka ada masalah pembelajaran, aku minta ibubapa pindahkan anak mereka ke kelas pendidikan khas.

Di sini bermula masalah. Ibubapa pantang betul mendengar KELAS PENDIDIKAN KHAS. Respon mereka biasanya berbunyi, " Cikgu. Anak saya normal. Bukan cacat. Bukan syndrome down!" Keras memarahi kami para guru. Tidak mahu mengakui, kerana mereka malu. Malu anak mereka berada di kelas pendidilam khas. Kononnya hanya untuk murid cacat.

Ibubapa.

Kau dengar sini aku nak cakap sikit. Kau buang persepsi lapok dan mitos itu. Kelas pendidikan khas bukan hanya untuk murid cacat. Ingat tu!


Ibubapa.

Kau dengar sini. Jangan sesekali malu untuk bawa anak buat pemeriksaan doktor jika mereka amat 'slow' dalam pelajaran. JANGAN MALU.


Ibubapa.

Kau dengar sini. Kelas pendidikan khas ini, diperuntukkan seorang guru untuk ajar 7 orang. Satu nisbah tujuh tahu tak? Apa maknanya?


Maknanya anak kau diberi perhatian lebih. Sedangkan aliran perdana biasa guru terpaksa ajar sekelas hingga 40 orang. Mana mungkin guru mampu nak tumpu perhatian pada anak kau seorang. Guru perlu mengajar secara kelas, bukan secara individu. Itu aliran perdana. Kalau kelas pendidikan khas, tumpuan individu dapat cikgu mereka bagi. Anak kau cepat faham dan pandai.

Bila mereka dah laju, guru pendidikan khas akan masukkan mereka ke kelas aliran perdana semua. Kan bagus tu.Malah ada murid inklusif (murid asal dari kelas pendidikan khas dan diterap ke aliran perdana) mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Lebih cemerlang dari rakan mereka yang tidak pernah masuk kelas pendidikan khas. Padahal mereka asalnya murid bermasalah pembelajaran.

Dahulu pernah aku minta seorang ibu membawa anak untuk pemeriksaan doktor. Aku kesan anak dia ada masalah pembelajaran. Tapi si ibu menafikan. Dia berkeras hendak masukkan anaknya kat aliran perdana.

Berkali-kali dipujuk, tidak diendah. Makanya anaknya tertinggal. Jauh tertinggal dibelakang berbanding rakan yang lain. Masuk darjah 3, abjad A,B,C pun masih tertukar lagi. Akhirnya dia akur. Itu pun sangat terlewat bagi aku. Anak dia dimasukkan ke kelas pendidikan khas pada tahun 4. Sayang sungguh. 

Ada murid masalah pembelajaran yang dimasukkan ke kelas pendidikan khas sejak tahun 1. Tahun 3 guru pendidikan khas hantar dia ke aliran perdana. Murid itu dah laju, murid itu dah boleh mengikuti pembelajaran bersama rakan mereka yang lain. Alangkah bagusnya tindakan ibubapa murid itu.

Hak murid itu tidak dinafi. Malah, anak dia mendapat tumpuan lebih. Dapat juga pelajari pelbagai kemahiran. Ada kurikulum khas yang digubal untuk murid bermasalah pembelajaran. Janganlah risau. Yang penting, janganlah MALU anak belajar di kelas pendidikan khas.

Jika dapati anak kita sangat slow dalam belajar, cubalah kau 'google' ciri-ciri kanak-kanak masalah pembelajaran. Aku nak tulis kat sini pun panjang sangat. Kau cari la sendiri.

Kalau banyak ciri-ciri itu ada pada anak kita, bawalah jumpa doktor untuk dapatkan surat pengesahan. Seterusnya masukkan mereka ke kelas pendidikan khas dengan gembira.

Ya, bergembiralah kalian kerana anak kalian mendapat tumpuan istimewa dari guru yang terlatih. Seorang guru hanya untuk 7 murid. Istimewa sungguh tu.

Ubah persepsi, pedulikan kata orang. Asalkan anak kita mendapat yang terbaik!
=============
* Artikel ini ditulis oleh Cikgu Fadli, penulis buku bestseller, 'Cikgu Kelas Sebelah'.
* Jangan kerana malu, anak kita buntu.


Kredit : Fb TcherCollection - TC 


 
Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.