SLIDER

Apakah Hukumnya Suami Terminum Susu Badan Isteri , Ketika Bersetubuh

23 Apr 2022

 


Soalan:  Apakah hukum seorang suami gemar menghisap payu dara isteri sambil terminum susunya sewaktu melakukan hubungan seks. Ini kerana suami amat gemar melakukan perbuatan tersebut dan si isteri juga menikmatinya. Pada masa yang sama, si isteri menyusukan anak perempuan berusia 10 bulan.


Jawapan: Persetubuhan antara seorang lelaki dan perempuan menjadi halal melalui pernikahan yang sah. Nikah yang sah menjadi portfolio untuk mengadakan persetubuhan. Islam menghalalkannya dengan nikah dan mengharamkannya bagi mereka yang tidak bernikah.


Melalui perkahwinan tertunailah segala keinginan seorang lelaki dan keinginan seorang wanita. Fitrah semulajadi manusia telah dilengkapkan dengan keinginan ini. Mereka yang hidup dengan menahan dan mengorbankan keinginan fitrah nafsunya berhadapan dengan pelbagai masalah di antaranya; psikologi yang terganggu, ketidakstabilan emosi, seterusnya membawa masalah dalam kehidupan seharian. 


Dalam hal ini, Islam memberi ruang untuk seseorang itu menikmati keinginan nafsunya dengan izin syarak. Namun sebagai hamba yang diciptakan untuk mematuhi perintah Allah maka cara dan etika dalam mengadakan hubungan suami isteri perlu dijaga. 

Ini kerana jimak juga dikira sebagai ibadat. Dalam surah al-Baqarah, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman. 

Dalam ayat ini Allah s.w.t. menggambarkan sebagai ladang atau kebun itu dengan tatacara yang beradab, walaupun ayat ini menyatakan datanglah kepada isteri-isteri kamu mengikut kamu suka. Mengikut al-Raghib al-Asfahani, makna kebun itu adalah tempat kamu menanam benih zuriat kamu. Al-Jauhariy menegaskan bahawa kebun dalam ayat ini adalah satu perumpamaan” manakala Ibn Abbas r.a. berpendapat: “siramlah tanaman kamu di mana ia boleh tumbuh”. 

Allah memberikan kebebasan bagi suami isteri untuk menikmati jimak sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut syarak. Maksudnya memenuhi kepuasan nafsu dengan tidak melampaui nilai dan adab. Namun begitu, Islam juga menggariskan batas-batas jimak tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika haid atau nifas, dilarang menjimak dubur isteri dan lain-lain. 

Mengenai persoalan terminum susu isteri ketika bersetubuh sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Harus menghisap payu dara isteri ketika berjimak, tetapi jika isteri dalam tempoh menyusukan anak adalah lebih baik tidak menghisapnya sampai terminum susu dari tubuh isteri. Ini kerana mungkin mulut si suami boleh membawa kuman dan anak yang menghisap susu itu boleh terdedah kepada sebarang jangkitan kuman. 

Perkara yang kedua ialah susu itu hak si anak dan bukan hak si suami. Walaupun dengan meminum susu si isteri tidak menjadikan lelaki itu bapa susuan. Sekiranya perbuatan suami itu membawa mudarat kepada bayi dengan jangkitan kuman atau susu berkurangan, maka hukumnya haram. 

Kredit : edyramanov

Kaum Hawa Carilah Harta Sendiri Sebagai Persiapan Diri, Jangan Salah Tafsir. Jangan Pandang Serong

22 Apr 2022



Kebahagiaan dan kemewahan adalah dua cara yang berbeza. Mungkin ada keluarga bahagia tapi hidup seadanya. Ada yang mewah tapi tak bahagia. Sebab itulah, dalam hidup keluarga, kena cari harta untuk kesenangan dan meneruskan kehidupan yang mendatang.

Namun, jangan ingat cari harta ini hanya pada seorang yang bergelar lelaki atau suami. Sementelah soerang isteri rumah hanya serahkan segalanya pada suami. Dengan kata lain bergantung harap padanya semata-mata. Kadang-kadang, kita tak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang.

Ditakdirkan berlaku perpisahan atau kematian pada pasangan, pada siapa yang kita harapkan. Sebabnya sebelum ini hanya suami saja yang menanggungnya. Bukan bermakna, semua isteri harus bekerja untuk cari harta sendiri. Sebenarnya ada cara lain yang boleh isteri lakukan atau mendapatkan harta sendiri, walaupun tidak bekerja.

Inilah yang dikatakan oleh Anie Alja dalam perkongsiannya. Bila sudah berkahwin, sebagai isteri jangan serahkan segalanya pada suami semata-mata. Cari harta sendiri untuk persiapan diri. Kita tak tahu jodoh kita dengan pasangan. Minta dijauhkan dari yang tidak diingini. 

 

Cari Harta Sendiri Sebagai Persiapan Diri

Semakin banyak terbaca nasihat minah-minah yang suruh perempuan cari harta sendiri sebelum kahwin. Poin paling bernas, kalau kena cerai, kita taklah jadi anjing kurap.

Ya, baca sekali tak salah. Bernas pun nasihat itu. Kita belajar tinggi-tinggi, harus ada kerjaya sendiri, ada harta sendiri. Suami tak boleh sentuh. Wah, gagah sangat bunyinya. Matang sangatlah buat perancangan. Sediakan payung gerai warna pelangi sebelum ‘berjudi’ dalam sebuah perkahwinan.

Dalam buku tulisan HAMKA berkenan perempuan, beliau kata hanya agama Islam memartabatkan kedudukan orang perempuan dalam masyarakat. Antaranya, kalau kita ada mak ayah mampu dan berharta.

Harta kita, bukan milik suami walaupun kita sah dimiliki atas lafaz akad. Kalau perempuan orang putih, bila berkahwin, habis semua harta tok nek mak pak, jadi harta suami. Sudahlah kena tukar nama bapa, ambik nama keluarga lelaki, harta benda pun sama, semua berpindah tangan.

Kita orang Islam, harta mak ayah tetap harta kita (perempuan) walaupun suami ‘mengecek’. Jangan bagilah. Harta kita cari, lagilah bukan milik suami kalau kita beli sebelum menikah dengan dia. Dan kita jangan bodoh buat pinjaman sebab sayang pada suami sampai tak beragak-agak. Masalah sekarang, selepas kahwin ada isteri yang terkena virus ‘ikut saja kata suami.

Tak boleh berfikir, hilang ingatan, buang kawan dan buang mak ayah, tukar nama ayah ke nama suami. Itu dah kenapa? Agama Islam tak suruh tukar nama ayah sendiri ke nama keluarga suami?

Kenapa buat?

 

Selepas itu, isteri buat persiapan takut-takut kena cerai oleh suami. Kalau kahwin dengan hujung-hujung akal akan ‘kena cerai’, selepas itu beriya-iya kumpul harta, baik jangan kahwin. Bahaya. The seed is already in you, it will grow. Bila dengan suami sendiri pun tak percaya, ‘dia akan ceraikan aku’, baik sorok beli rumah, beli emas, sorok itu dan sorok ini. Bayangkan bagaimana cara kalian bermuafakat dalam sebuah perkahwinan. Jangkaan kita itu akan SAMPAI, suatu hari nanti. Ya, lambat atau cepat saja sebab dalam hati sentiasa fikir keburukan suami dan risau akan kena cerai.

 

Buat Terbaik

Percaya pada pasangan, buat yang terbaik dan buat persiapan dalam mengurus harta. Betul, isteri wajib ada duit sendiri tapi tak semestinya kena kerja luar. Duit boleh datang dalam bentuk elaun/nafkah suami, tak salah pun. Bukan cari duit sebab takut kena cerai.

Buatlah bisnes pun, bukan sebab takut kena cerai. Buat wasiat, buat tabung kecemasan, tabung pelajaran anak-anak. Ambil insurans dan ambil MRTA, buka fail harta sepencarian. Banyak cara lain, selain menakutkan perempuan cari harta sebelum kahwin.

Sebelum kahwin perempuan cukup pandai belajar tinggi, beli harta, cari serba-serbi, lepas kahwin terus berubah tak boleh fikir.

Kenapa?

 

Kredit : Anie Alja

Kredit : MingguanWanita


 


Pandai-pandailah Nak Melepaskan Diri Dari Jerat Cinta Lelaki Tua

 



APABILA membaca e-mel yang dihantar oleh Ezora dan berbual dengan beliau di telefon pasal bercinta dengan orang tua membuatkan saya teringat kembali kepada e-mel yang pernah dihantar oleh Puan Fifi awal Februari yang lalu.Kata-kata atau pandangan Fifi begitu sinis dan amat tajam sindirannya. Namun yang pedih itu memang sakit, tetapi ia adalah ubat dan lebih merupakan ingatan kepada kaum wanita sejenisnya, ingatan beliau lebih kurang begini; ``kaum wanita kalau tak berilmu dan tidak beriman, maka jadilah mereka golongan yang amat bodoh dan akan hidup dalam kecelakaan. Dan hidup mereka lebih menderita hingga ke akhir hayat. 

``Sebagai contoh kalau bercinta dengan lelaki tua, memang payah nak diubati. Kalau dah tersangkut payah nak lepas. Kalau terlepas pun parutnya payah sembuh, dan anda akan tercap dengan pelbagai bekas penyakit seperti parut kudis, panau, kurap ataupun kayap.``Begitulah buruknya atau kesan yang ditinggalkan kalau anda menghambakan diri bercintai dengan lelaki tua. Melalui pengalaman saya sendiri saya pernah cuba diganggu oleh lelaki yang 12 tahun lebih tua daripada saya. Pelbagai cara saya berusaha untuk melepaskan diri. Memang payah tetapi saya bersyukur kerana terlepas juga akhirnya. 

``Saya tak nafikan ramai gadis yang gagal. Macam pengalaman yang saya lalui semakin saya cuba jauhkan daripada cengkamannya, semakin kuat saya dicekik. Tapi saya pula jadi wanita lebih kuat beriman dan lebih berilmu. Semakin digoda saya jadi lebih lekat di tikar sembahyang, ingat dosa dan pahala, di samping risiko buruk dan baiknya. Semua ini membuatkan saya menjadi semakin insaf tentang hidup ini.``Bayangkanlah betapa mewahnya hidup anda kalau menerima golongan tua ini jadi kekasih, anda akan sentiasa diumpan dengan kemewahan dan kesenangan. Dan inilah puncanya ramai gadis mengaku kalah apabila tidak terdaya menolak desakan demi desakan, serta lempahan kemewahan lelaki tua ini. 

``Tidak dinafikan ada juga kalangan wanita yang telah bersuami bertindak meninggalkan suami mereka, semata-mata bila suami sendiri tidak mampu menyediakan segala kemewahan itu. Ketika itu cuma iman yang tertanam di jiwa sahaja yang akan dapat mengatasi segala dugaan. Insya-Allah.``Apa yang menyelamatkan saya ketika bersua dengan keadaan itu ialah, saya bertanya diri sendiri apa ada pada kemewahan? Bukankah kehidupan yang abadi di akhirat kelak menjadi idaman setiap insan?``Bagi saya bila kita tak cukup iman dan ilmu di dada, maka mudahlah syaitan merasuk dan menghasut umat Islam menjadi pengikutnya. Bukankah syaitan telah bersumpah di hadapan Allah akan menyesatkan seberapa banyak umat Nabi Muhammad. 

Dan sedarlah wahai saudara sejenisku, indah bercinta hanya sementara, nikmat dunia takkan kekal selamanya.'' Demikian cerita Fifi tentang pengalamannya. Cerita Ezora pula begini, dia juga pernah jatuh cinta dengan suami orang. Bukan sekali tapi sudah tiga kali. Katanya tak tahulah apa nasibnya, setiap kali jatuh cinta, lelaki itu mengaku bujang, selepas diselidik barulah pecah tembelang dia dah kahwin.``Emak saya pernah mengingatkan sebelum datang bekerja di KL dahulu. Katanya, jangan kahwin suami orang, mula saja kita senang, akhirnya hidup kita sengsara. Emak tak banyak bagi contoh, tetapi dengan banyak membaca saya faham apa maksudnya. 

Ialah siapa tak tahu bila hidup bermadu, dan tak semua lelaki tersebut hidup senang, mereka cuma sanggup melabur beribu ringgit pada peringkat awal sahaja, tetapi bila dah dapat apa yang dihajati, dia akan tinggalkan kita.``Pengalaman pertama saya bercinta dengan lelaki berusia 30 tahun, fikir saya belum kahwin, rupa-rupanya ada dua orang anak, lelaki kedua juga ada dua orang anak, tapi baru berusia 28 tahun. Lelaki ketiga dah ada empat orang anak baru berusia 32 tahun. Siapa sangka mereka dah kahwin, masih muda lagi. Mereka tak puas hidup bujang, nak enjoy sendiri, lepas tu malas nak fikir tentang tanggungjawab di rumah, malas nak duduk rumah berselimut dengan anak-anak. Nak bebas! Free!

``Memang mereka tak banyak duit, tetapi mula-mula kenal cakap saja di mana nak keluar makan, semua ok, pasal hadiah tak usah nak cakaplah. Lepas setahun, baru kita nampak color mereka yang sebenarnya, bila rahsia dah terbongkar. Mulalah nak meminjam duit kita. Boleh belahlah kita nak bagi!``Setelah saya fikir dan kaji saya pun pelik mengapa orang dah berkahwin sahaja suka pada saya, yang bujang-bujang tak nampak batang hidung. Saya bukan memilih sangat, tetapi itulah kenyataannya, memang golongan lelaki yang seangkatan saya ini memang kurang sangat, boleh dikatakan kalaupun ada mereka tak berani nak dekat saya.

``Saya bukan bergaya mewah, cuma mereka mendakwa saya high taste. Sebenarnya tidak. Takkan saya nak tunjuk murah sangat, atau ketawa, tergelak dan tersenyum tak memasal macam orang tak cukup akal. Tetapi yang berani mendekati saya cuma suami orang. Mereka memang pandai jual temberang, menabur budi, memancing peluang.``Mereka tak segan silu menabur umpan mahal-mahal, asal hajat tercapai, bila kita dah berkawan lama barulah tahu siapa mereka. Lepas tu bila kita tinggalkan dia, mulalah mereka cap kita yang buruk-buruk, sebab itu kalau alang-alang semangat dan iman tak kuat kita tidak akan berani angkat kaki ucap selamat tinggal. 

``Tapi saya keras semangat, bila terbukti tak betul, saya tak bimbang ucap selamat tinggal, sebab saya tak rugi, yang melepas merekalah. Saya tak takut sebab saya selamat dan saya tahu jaga diri, saya tak rosak apa-apa.``Selepas tiga kali putus cinta, saya terperangkap dengan lelaki yang bukan sahaja manis mulut, tetapi jalankan taktik mengugut untuk mencapai matlamatnya.``Taktik ini saya rasa kaum wanita khususnya gadis-gadis mesti tahu dan mesti berani bertindak. Mula-mula taktik Zin, 50 tahun ini dia buat baik dengan saya dan bertanya, dia dapat tahu saya ini tengah frust sebab ditinggalkan kekasih. 

``Tapi saya nafikan saya kata, saya tinggalkan lelaki tersebut, namun dia tetap berkeras katanya tak ada wanita seberani saya, maklum zaman ini lebih ramai wanita tak kahwin berbanding lelaki. Lepas itu dia pun setuju dengan kata-kata saya setelah saya menerangkan sungguh-sungguh, ceritakan kegagalan saya bercinta.
``Tak lama lepas tu dia serkap jarang katanya, dia kenal kekasih saya terdahulu. Sebenarnya tidak. Tetapi oleh kerana saya masih mentah, saya pun mengakulah, benar dengan lelaki yang dia serkap jarang tu. Mulalah dia korek rahsia. Mulalah main cerita serkap jarang. Setelah berbual beberapa kali baru saya sedar dia ni main serkap. 

``Lepas tu dia berani hantar bunga pada saya, katanya itu hadiah kerana nak minta maaf sebab serkap jarang, tuduh saya sembarangan. Tetapi masih berkeras konon dia kenal kawan lama saya. Bila saya nafikan, sekali lagi dia hantar bunga ros. Hantar di pejabat tentulah ramai yang terkejut. Jadi elok-elok saya nak dapat peluang berkenalan dengan orang baru, dia sekat dengan buat serkap jarang dan menghantar bunga seperti itu.``Faham sajalah orang Melayu kita, walau setinggai mana pelajarannya, tetapi bila sampai bab hantar bunga ini mulalah otak jadi kelabu. Mula bercerita yang buruk-buruk. Lebih teruk lagi lepas hantar bunga Zin telefon pejabat saya tanya kawan pejabat nampak tak bunga yang di hantarnya. Lepas tu suruh teka siapa yang hantar bunga tu. 

``Dari situlah dia mula korek kisah hidup saya dan mula bertanya dah berapa kali saya putus cinta. Yang perempuan mulut tempayan di pejabat saya ni memang seronok sangat bercerita pasal memburukkan orang lain. Bila main teka-teka di telefon inilah banyak cerita saya di pejabat terbongkar tanpa saya sedari.``Semakin saya larang hantar bunga, setiap Isnin bunga baru terletak atas meja saya. Mungkin pada orang lain tak jadi hal, tapi saya malu. Lepas tu dah jadi hobinya telefon orang lain dulu sebelum bercakap dengan saya. Bila cerita seperti ini dah tersebar luas di pejabat tentulah tak ada lelaki berani dekati saya, apalagi nak berkawan. Mereka mula mendakwa saya memilih orang kaya. Zin benar-benar menghancurkan hidup saya. 

``Akhirnya yang tak ada pun jadi macam ada. Zin menjadi semakin berani menghantar lebih banyak hadiah, jadi macam mana orang tak percaya. Kalau alang-alang iman boleh hancur kita dibuatnya. Pasal ajak keluar makan malam ini memang dah jadi cerita biasa, Zin tak pernah bosan atau jemu mengajak keluar makan.``Oleh kerana saya sering melarang dia menghantar bunga, maka dia berjanji tidak akan hantar bunga lagi kalau saya keluar makan malam dengan dia, sekali pun jadilah. Saya pun patuhlah. Nak jadikan cerita dia bawa kawan-kawannya makan sama. Dan perkenalkan saya sebagai temannya. Mendidih darah saya, tapi apa nak kata, kita orang Melayu masih tak berani memalukan orang di khalayak. 

``Esoknya heboh cerita saya keluar makan malam dengan Zin. Puncanya daripada Zin sendiri, dia telefon kawan pejabat tanya saya dah datang atau belum konon nak tanya, sama ada saya nampak atau tidak telefon bimbitnya hilang selepas makan malam. Sebenarnya telefonnya tak hilang tapi dia sengaja nak bagi tahu saya keluar makan malam dengan dia. Sakitnya hati. Lepas tu kawan-kawan mulalah mengusik kita.``Akhirnya sebagai manusia saya jadi keliru, daripada dimalukan begitu, akhirnya saya mengaku kalah. Selalulah kami keluar makan malam, waktu itu saya dah nekad kalau dia nak ajak kahwin pun saya tak terdaya nak membantah. Hati saya jadi lebih lemah bila peribadi saya diperbodohkan seperti ini. 

``Tapi akhirnya saya bernasib baik juga bila keghairahan Zin memikat saya terbongkar kepada pengetahuan isterinya. Dan peristiwa inilah yang tak sedapnya, saya menjadi sasaran maki hamunnya, sedangkan Zin terlepas. Kerana tak tahan dihina saya perangkap Zin, pada hari yang ditetapkan Zin mengajak saya makan, di situlah baru isterinya sedar yang suaminya memang miang. Tapi saya tetap menjadi sasarannya.``Bagaimanapun nama saya sudah buruk digelar penggoda suami orang, nak runtuhkan masjid dan macam-macam gelaran lagi. Tetapi sedarkah mereka tidak sedikit pun tertanam dalam hati saya sejak awal lagi hendak merosakkan rumah tangga orang lain. Saya benar-benar menjadi mangsa manusia tak bertanggungjawab yang hendak merosakkan masa depan saya dengan mengadakan pelbagai fitnah. 

``Tapi macam biasalah siapa nak percaya cakap saya. Mulalah nama saya dikait-kaitkanÊ bercinta dengan suami orang terdahulunya. Kalau diikutkan hati mahu saya serang mereka balik, tetapi apa gunanya kalau memburukkan nama saja. Akhirnya saya berbincang dengan emak saya, keputusan diambil untuk bertukar kerja ke tempat lain di negeri saya sendiri. Untungnya saya kakitangan kerajaan, kalau tidak saya mati beragan.``Malangnya kini umur pun dah meningkat saya masih belum mendapat calon yang sesuai, selain daripada suami orang. Namun saya tak tahulah berapa lama saya boleh bertahan, saya cuma berdoa hati saya tidak berubah. Cuma satu permintaan saya jangan mudah mengecap wanita suka menggoda suami orang, sebenarnyalah, suami oranglah yang suka menggoda gadis-gadis dan kaum wanita.'' Demikian cerita Ezora. 

Jadi kalau ada kalangan isteri yang mengamuk suami mereka tersangkut dengan gadis lain, cuba lihat perangai suami anda. Jangan menyerang gadis itu melulu, siasat dulu. Sebab kalau tersilap, kerana sakit hati, ada gadis yang bersedia jadi madu anda, semata-mata kerana sakit hati. Balas dendam, sedangkan dia tak berminat.Pendek kata jangan puji suami anda melangit, dan memaki hamun gadis lain, siapa tahu suami anda yang memulakan langkah. Jadi siasat sebelum tangkap. - Maimunah.

Kredit : dcckmonaum@hotmail.com

Kredit : UtusanMalaysia


Sangat Tragik, Bermadu Dengan Madu Yang Bengis Dan Ganas

21 Apr 2022



SAYA sependapat dengan Lela dan Izani juga isteri-isteri pertama yang teraniaya. Saya tidak setuju dengan pendapat Zee tentang "Isteri pertama tak sedar diri". Sebenarnya wanita yang rampas suami oranglah yang paling kejam dan tak tau diuntung. ''Daripada pengalaman saya sejak bermadu dengan Fida, hidup saya bukan sahaja tidak tenteram malah terperangkap sama dengan dosa yang dilakukannya.'' Itu cerita Sofi ketika kami berbual panjang di telefon minggu lalu.


''Saya sudah berkahwin selama 22 tahun, tetapi tidak mempunyai anak. Saya ambil anak saudara suami untuk dijadikan anak angkat. Mana tahu ada rezeki dapat anak sendiri. Namun kami masih belum ada rezeki. Malangnya suami buat hal, dia kahwin di Siam. ''Suatu hari dia beritahu dah kahwin. Saya tanya bila? Di mana? Dengan siapa? Kenapa tak beritahu awal? Dia sergah saya balik. Kena minta izin ke? Bukan itu maksud saya tetapi mengapa nikah di Siam? Saya boleh pinangkan kalau betul-betul dia nak kahwin. Mengapa mesti sembunyi?

''Lebih mengecewakan, jika sebelum ini hidup kami aman damai, setelah bernikah dengan Fida, saya sering diganggu dengan panggilan telefon yang menyakitkan hati. Madu saya akan panggil suami segera balik setiap kali giliran saya. ''Dia tak izinkan suami jumpa anak angkat kami apa lagi berjumpa saya. Dia marah malah panggil saya lembu tua. Saya beritahu suami, dia nasihatkan berbuat baik. Saya ikut nasihat suami dan demi kebaikan bersama, saya minta dia kenalkan dengan Fida. Pada hari ditetapkan, saya pergi bersama suami dan ibu bapa mertua ke rumah Fida dengan tujuan nak berkenalan.

''Dua jam kami menunggu dia tak keluar jumpa kami. Puas suami saya pujuk. Pelik sungguh! Saya datang dengan niat berbaik, bukan nak serang dia. Akhirnya dia keluar juga. Saya lihat dia dah mengandung. Melihat rupanya, tak sangka dia orang yang sering maki hamun saya selama ini. Dia nampak tertib depan mertua saya. Langkahnya lemah longlai, suaranya lemah lembut. Saya tak boleh bayangkan macam mana orang lembut seperti ini bercakap kasar dan panggil saya lembu tua. ''Patutlah suami saya tak percaya apa yang saya ceritakan. Sebab bila bercakap depan suami, macam langit dengan bumi. 

''Katanya dia masih belum bekerja dan baru dapat ijazah kaunseling dari universiti, berumur 24 tahun, 17 tahun muda daripada suami saya. Apa yang mengejutkan, suami kata mereka baru dua bulan kahwin, tapi perutnya dah besar. Katanya dia dijangka bersalin Februari tahun depan. ''Bukan nak memuji, suami saya memang baik. Kami sering solat berjemaah dan saya tak fikir suami terlanjur kerana dia bukan lelaki rakus, tambahan mereka baru beberapa bulan berkenalan. 

''Nak dijadikan cerita, enam bulan nikah, dia selamat melahirkan seorang bayi seberat tiga kilogram. Dengan megah dan tanpa malu, dia menjaja cerita yang dia sudah ada anak, bukan macam saya 'lembu tua mandul'. Dalam geram, saya tanya dia semula; Baru nikah dah beranak. Anak siapa? Dia mengamuk mengadu pada suami suruh ceraikan saya. Hem! sudahlah suami kita dirampas. Dia suruh saya diceraikan dan berani panggil saya lembu tua. ''Saya beritahu suami bukan saya ganggu dia, tetapi Fida yang selalu telefon dan SMS ganggu saya. Kerana suami tak percaya, saya beri telefon saya pada suami biar dia sendiri dengar dan baca SMS Fida. Pernah saya tukar nombor telefon tetapi dia tahu semua, mungkin dia dapat daripada telefon suami. 

''Tak lama kemudian permohonannya jadi guru diterima dan dia perlu belajar semula. Jadi dia serahkan anak pada mertua suruh jaga. Pernah juga saya bawa anaknya ke rumah saya kerana jika suami kata itu anaknya, saya cuba sayangi anak itu. Apabila Fida dapat tahu, dia mengamuk marahkan saya. Kalau saya belikan pakaian untuk anaknya, dia bakar. Malah dia pernah ugut suami pilih anak atau saya. Jika sayangkan anak, ceraikan saya.''Oleh kerana dia sering ganggu saya, suami beri taklik ''jika dia ganggu saya lagi, maka tertalaklah dia dengan talak satu.'' Tapi Fida memang degil sanggup langgar taklik, maka tertalaklah dia dengan talak satu. Walaupun sudah bercerai, mertua masih jaga anaknya.

''Di samping itu, gangguan Fida terhadap saya tak pernah padam. Gelaran lembu tua mandul sudah jadi muzik merdu di telinga dan mulutnya.''Sebenarnya bukan saya tak berusaha dapat anak sendiri mengikut pelbagai cara, cuma belum ada rezeki. Malah saya pernah menjalani ujian IVF dengan bayaran RM15,000 di hospital swasta di KL beberapa tahun lalu. Doktor sahkan saya tak ada masalah cuma air mani suami kurang.

''Doktor nasihatkan suami buat beberapa kali ujian ICSI sebelum IVF dapat dilakukan kepada saya. Tetapi tak lama selepas itu, suami mengaku dia dah nikah. Saya masih tertanya-tanya siapa sebenarnya bermasalah, saya atau suami. Selama tiga tahun Fida jadi madu saya, dia tak beranak lagi sedangkan dia kata akan beranak tiap tahun untuk sakitkan hati saya. ''Dua tahun selepas bercerai secara taklik, Fida dan suami mahu nikah semula. Suami memohon kebenaran berpoligami di mahkamah syariah. Sebelum ke mahkamah, suami beri amaran jangan banyak soal. 

''Ketika hakim tanya pasal giliran, Fida lebih awal beritahu ketika cuti sekolah suami mesti bersamanya, waktu lain dengan saya. Saya akur. Tetapi itu semua janjinya depan hakim. Hakikatnya suami tak boleh bersama saya. Setiap kali balik, dia akan telefon dan ganggu suruh suami balik dengan pelbagai alasan. Si perampas nak berkuasa tak sedar diri setelah rampas suami orang!

''Tak cukup dengan ugutan, Fida sanggup paparkan gambar seksinya bersama suami dalam FB. Apakah tujuannya kalau tidak untuk sakitkan hati saya! Tapi saya tak kisah kerana yang malu bukan saya, dia sendiri sebagai pendidik yang langsung tak ada maruah. Perbuatannya itu juga hanya memalukan suami di mata teman sepejabatnya." Itu cerita Sofi tentang madunya yang pembengis.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kredit : UtusanMalaysia



Jiwa Terseksa Bila Jadi Menantu Bukan Pilihan

20 Apr 2022

 


“KATA orang tua-tua `jauh berjalan luas pandangan’ dan bila berjalan kita bertemu dengan ramai manusia dan mengenali pelbagai kerenah dan perangai mereka,aik dari segi agama, bahasa juga budaya. Malah dalam masyarakat sekeliling kita pun masih agak sukar untuk kita sendiri memahami  pelbagai perangai apa lagi loghat mereka apabila berbicara.“Namun apa yang ingin saya ceritakan bukan tentang masyarakat, tetapi lebih kepada kehidupan saya yang datang dari dua negeri berbeza budaya dan tutur kata. Contoh orang negeri utara bercakap agak sukar difahami oleh orang dari selatan, apa lagi jika dari pantai timur, mahupun Sabah dan Sarawak.’’ Itu cerita Hanijuwita ketika kami bertemu.

 

“Nak dijadikan cerita saya orang selatan berkahwin dengan orang pantai timur. Saya bukan sahaja tak faham budaya mereka, malah bahasa mereka yang teruk-teruk itu memang susah nak faham. Jadi bila sekali sekali ikut suami balik kampungnya saya jadi macam orang ulu, mendengar tetapi tak pernah faham apa juga perbualan mereka. “Lebih teruk lagi perangai mertua saya dan anak-anak gadisnya bila bercakap,macamkan berbisik, hinggakan saya tak terdengar apa yang mereka katakan.

 

Paling teruk kalau bercakap sama ada tengah marah atau bertanya seperti orang berbisik, bukan bercakap, langsung tak dengar, cuma mimik muka menunjukkan mereka tengah marah. Suara tak dengar. Saya bukan pekak, tetapi saya lihat adik-adik  ipar saya faham walaupun tak dengar suara ibunya. “Pernah juga saya cuba berbual dengan mertua saya, tetapi mertua saya tak mahu jawab, saya benar-benar tak faham, apa masalahnya, adakah kerana saya bersuara agak kuat sikit, atau dia tak faham bahasa, rasanya nada saya taklah kuat, mungkin mereka tak suka.

 

“Pernah juga saya cuba ubah nada percakapan saya, dia cuma pandang, tapi tak jawab juga. Akhirnya saya mengalah, memang saya tak boleh berbual dengan keluarga ini terutama mertua saya, jadi untuk memudahkan hubungan kami, saya hanya akan bercakap dengan adik ipar saya atau dengan suami Jay apabila saya ingin bertanyakan sesuatu, jika tak perlu baik saya diam.

 

“Paling saya hairan bila mereka berbual panjang anak beranak, dan saya dating duduk sama ingin mendengar perbualan dan memahami gaya bahasa mereka, biasanya mertua saya terus diam, Macamkan mereka sedang berbual sesuatu rahsia, bila saya hadir, maka perbualan itu terhenti begitu sahaja. “ Kalau sekali dua keadaan seperti itu saya mungkin boleh faham mereka tak ada modal nak berbual lagi. Tetapi kalau memanjang saya datang dan mereka berhenti berbual, tentu saya rasa hairan. Dan tak salah kalau saya katakan mereka bercakap perkara rahsia. Saya datang bukan nak dengar rahsia mereka, tetapi cuba memahami gaya bahawa mereka. Tak salah kan?

 

“Tetapi satu lagi perangai mertua saya suka panggil Jay keluar bilik dan mengajaknya pergi kedai atau ke rumah saudara mereka pada waktu malam, ini memang saya tak faham,.“Bayangkan sedang kami masuk bilik selepas jam 10 malam, lepas 20 minit kemudian adik Jay akan ketok pintu dan Jay akan beritahu saya, dia nak ke kedai beli tepong lah, gula dan endah apa apa barang lagi, ataupun Jay beritahu emaknya ajak ke rumah saudara sekejap. Alasannya esok saudaranya akan ke KL tak jumpa lagi. Soalnya kenapa tak pergi jumpa pada siang hari, kenapa tunggu sampai malam hari baru nak bertandang ke rumah orang. Ini saya tak faham. Dan mengapa tak mengajak saya ikut sama kalau ke rumah saudara mereka? “Pernah juga adiknya ajak makan di luar, kenapa malam baru keluar, mungkin kedai dah tutup. Tetapi mereka tetap keluar dan balik entah jam berapa saya pun tak tahu.

 

Apa yang pasti saya syak mereka berbual dan tak mahu saya dengar perbualan mereka. “Saya pernah `sound’ pada suami saya kalau nak keluar makan ajaklah saya sama, atau keluar lebih awal lagi, mengapa dah malam baru nak keluar. Pekan mereka bukan macam KL 24 jam ada kedai masih dibuka lagi. Dan manusia tak tidur. Tapi Jay kata apa salahnya dia bawa adiknya makan di luar sekali sekala. Kerana emaknya ada bersama menemani mereka. Dan Jay beri alasan, biarlah saya tidur sebab letih. “Kalau ajak Jay pergi pasar pun saya tak pernah diajak sama. Alasan Jay biar saya bantu adik siapkan benda benda nak masak.

 

Pada saya bukan susah sangat kalau setakat buang kulit bawang merah, bawang putih dan halia. Sedangkan untuk ke pasar Jay minta duit saya sebab duitnya dah habis. Sebenarnya saya teringin juga keluar ke pekan. Tapi tak dibenarkan.

 

“Saya mula terasa hati dengar sikap mertua saya ini ketika awal perkahwinan kami lagi, sebab apa yang saya masak dia tak sentuh, awalnya saya fikir mungkin tak ikut seleranya, tetapi kalau sepanjang tahun perangainya tak perubah, saya terasa pelik jugak “Terasa lebih pelik bila Jay tak mahu ikut saya balik kampung selepas setahun kami berkahwin, macam-macam Jay beri alasan. Setahun lepas kahwin saya hamil, mertua saya macam orang meroyan bila tahu saya mengandung. Kalau dating rumah saya dia tak senang duduk, kejap ajak Jay ke rumah anaknya di Serdang,

sekejap di PJ, tapi tak lama, lepas makan dia balik. “Di rumah saya mereka tak suka saya sediakan makan, mereka nak masak sendiri.

 

Tetapi masalahnya bila mereka memasak, ruang dapur saya berselerak macam kapal pecah. Dapur tempat masak berkecah tak dibersihkan, bahan masakan bersepah tak disimpan di tempat asalnya. Pinggan mangkuk lepas makan bertimbun dalam sinki tidak bercuci. Anak dara ada tapi mereka tak mahu tolong cuci pinggan. “Saya terpaksa bersihkan dapur sendiri. Saya dah lali dengan kerenah mereka setiap kali datang ke rumah kami.

 

Nak mengamuk mertua, terpaksalah telan dan simpan dalam hati. Hujung minggu mereka ke rumah anak menantu yang lain pulak. Jay hantarkan. Keluar pagi malam baru balik. Kadang mertua tidur semalam di rumah menantu biasanya tidak bermalam langsung.

“Saya pernah beberapa kali  ikut Jay ke rumah biras. Tetapi saya dapat tahu mertua saya tak berani ke dapur, semua makan minum disediakan di meja, mereka makan selepas itu duduk di ruang tamu

berbual atau berbaring bilik yang disediakan. Begitulah halnya bila waktu makan tengah hari atau malam, tak seorang pun ahli keluarga mertua membantu di dapur.“Saya fikir mungkin kerana menantu mereka ada pembantu rumah.

Bila saya tanya pada ipar mengapa mertua tak ke dapur. Ipar beritahu dia tak izinkan. Sebab mereka bukan membantu, sebaliknya lebih banyak buat sepah yang menyusahkan mereka berkemas. “Contoh lepas kisar cili, pengisarnya dibiarkan di lantai, ubi kendang bercampur bawang, di letak dalam bekas yang sama .

Begitu juga sayor terbiar atas meja dari pagi sampai petang. “Kata ipar ini lagi dulu dia pun tak ada pembantu, tapi selepas beranak pinak dia cari pembantu. Sejak itu kak tak benarkan mereka ke dapur lagi. Pernah mertua tak mahu makan sebab nak masak sendiri. Beliau tak pedulikan. Bila lapar nanti mereka akan makan juga.

 

“Nak ajak anaknya makan di luar anaknya pulak baru berhenti kerja, jadi mereka terpaksa diamkan diri. Kata kakak ipar lagi dia berterus terang dengan mertua menceritakan dia terpaksa berjimat sementara suaminya dapat kerja. Tak boleh makan luar lagi. terdiam mereka “Bila saya ceritakan masalah saya, kak ipar kata dia boleh ramal itulah perangai mertua kami. Sebab kami menantu bukan pilihan, mertua kami suka menantu senegeri dengan mereka. Satu Bahasa satu gaya hidup. Tapi saya bukan seperti

kakak ipar ini, dia berani terus terang. Dan dia tak peduli kalau mertua tak sukakan dia. “Masalah saya hingga dah beranak satu

pun masih takut bersuara, dan selalu membawa diri bila mereka berkumpul dan berbual anak beranak. Oleh kerana rumah menantu lain mertua saya tak berapa berkenan, maka rumah sayalah jadi

sarang mereka berkumpul dan bercerita. Nak ambil pembantu rumah saya tak mampu, jadi saya biarkan aja rumah bersepah ikut suka mereka.

“Saya kemas rumah setelah mereka balik. Jika tidak bilik jadi kubu saya bersama anak yang masih kecil, saya tak tahu sampai bila saya boleh jadi seperti ini. Namun saya senang hati saya tak perlu masak ketika mereka ada di rumah. Dan saya tidak akan keluar duit belanja pasar, biarlah Jay uruskan keluarganya sehingga dia sendiri jemu satu hari nanti. “Saya dapat rasakan ibu Jay memang tak sukakan saya dan sentiasa menghasut Jay supaya berkahwin dengan gadis

pilihannya dari negerinya sendiri. Dengan perangai mertua suka campur tangan dalam rumahangga anak menantu saya rasa tak hairanlah ramai ibu ibu muda hari ini bencikan mertua hingga membawa perceraian.’’ Itu cerita Mas  tentang perangai mertuanya, kerana itu dia amalkan falsafah duit dia hanya untuk

dirinya sendiri. Dia tidak mahu melabur wang untuk memikat hati mertuanya. Padanya itu satu pembaziran kerana kalau buat baik macam mana pun mertua etap tidak sukakan dirinya.

 

 Kredit : dcckmona


 

Mengadakan Hubungan Seks Dengan Ramai Pasangan, Risiko Bukan Sahaja HIV, Tapi Banyak Lagi!

 


Seks atau hubungan senggama adalah suatu perbuatan yang mendatangkan kenikmatan dan kepuasan nafsu syahwat bagi setiap individu.

Disebabkan itu, ia penting dalam kehidupan suami isteri bagi memastikan rumah tangga lebih indah dan bahagia.

Pun begitu, ini merupakan satu masalah besar pada zaman sekarang kerana seks kini sudah menjadi satu kebiasaan bagi pasangan yang belum berkahwin.

 

Ia akan menyebabkan satu lagi keadaan yang membimbangkan iaitu individu cenderung melakukan hubungan senggama bersama banyak pasangan.

Seperti mana yang kita tahu, ia memang berbahaya, berisiko dan berdosa bagi individu yang beragama Islam.

Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih mendalam lagi!

Hubungan Senggama Bersama Banyak Pasangan Itu Normal?

Hakikatnya, projek asmara bersama ramai pasangan memang sudah menjadi satu kebiasaan yang normal kini. Kebiasaan ini harus diperbetulkan dengan kadar segera kerana ia boleh mendatangkan pelbagai kemudaratan. Lebih-lebih lagi jika anda merupakan seorang yang beragama Islam kerana ia sudah tentu akan mendatangkan dosa besar dan kemerosotan kesihatan.

”Hubungan senggama bersama banyak pasangan adalah satu tabiat buruk yang sama dashyat dengan berjudi, minum arak, ambil dadah dan lain-lain kerana ia adalah perbuatan yang seronok hari ini namun sengsara esok hari”, kata Profesor Psikologi dari Eastern Connecticut State University di Amerika Syarikat, Deirdre Lee Fitzgerald.

Dalam pada itu, hubungan senggama bersama banyak pasangan mesti dielakkan tidak kira sama ada anda sudah atau belum berkahwin.

Kenapa? Ini kerana ia bukan setakat berisiko menyebarkan penyakit human immunodeficiency virus (HIV) malah banyak lagi kemudaratan yang lain. 


Apa Risiko Buat Hubungan Senggama Dengan Banyak Pasangan?

Mungkin ramai orang yang akan berbicara berkaitan dengan pandangan agama terhadap perkara mungkar ini namun ia sebenarnya lebih besar daripada itu.

Berikut merupakan kesan-kesannya:

#1. Penularan penyakit jangkitan kelamin (STD)

Ya, memang benar bahawa perbuatan mungkar ini boleh mengakibatkan penularan pelbagai penyakit jangkitan kelamin buat individu yang terlibat.


Seperti mana yang kita semua sudah tahu, ia boleh memindahkan virus HIV sekali gus menyebabkan penyakit AIDS yang masih tiada penawar sehingga kini.


Namun jangan terlalu fokus dengan satu penyakit sahaja, ada pelbagai lagi jenis STD yang berisiko tinggi untuk anda dapat jika mengamalkan kehidupan seks tidak selamat seperti:

  • Sifilis
  • Herpes
  • Gonorrhea
  • Chlamydia
  • Human Papillomavirus (HPV)

Bukan itu sahaja, kalian juga mungkin berisiko tinggi terkena wabak bertaraf pandemik seperti COVID-19 jika melakukan seks dengan banyak pasangan yang anda sendiri tidak berapa kenal latar belakang kesihatan mereka!

 

#2. Kehamilan luar jangkaan

Sedangkan jika sudah berkahwin dengan seorang pasangan pun perancangan keluarga masih diperlukan, apatah lagi jika belum berkahwin dan mempunyai ramai pasangan?

Ini sudah tentu akan mengakibatkan peningkatan risiko kehamilan luar jangkaan.


Jika anda sangka dengan menggunakan alat kontraseptif seperti kondom atau pil perancang sudah memadai, fikirkannya semula.

Masih terdapat peratusan di mana kaedah perancangan keluarga tidak efektif meskipun kebarangkaliannya adalah sangat kecil.

Kesannya, ia akan menyebabkan kehamilan dan kelahiran anak di luar pernikahan serta kekeliruan untuk mengenal pasti keturunan.


#3. Kesihatan mental terganggu

Adakah individu yang gemar melakukan hubungan senggama bersama banyak pasangan itu sihat secara fizikal dan mental? Tidak sama sekali!

Jika dinilai dari aspek mental, mereka yang mempunyai cara hidup seperti ini mungkin mempunyai tahap kesihatan mental yang kurang baik.

Pada mereka, cara hidup sebegini boleh meningkatkan status sosial dan berasakan diri lebih ‘moden’ berbanding individu lain yang dianggap ‘jumud’.

Hakikatnya, ia cuma akan mengakibatkan pelbagai masalah mental seperti kegelisahan, kemurungan dan lain-lain apabila sudah menyesal kelak. 


Setia Pada Pasangan Adalah Cara Hidup Yang Terbaik !

Konklusinya, berkahwinlah untuk kehidupan seksual yang lebih baik kerana ia sudah tentu membuat kalian menyalurkan nafsu syahwat ke arah yang lebih benar dan sihat.

Selain itu, setia pada pasangan adalah cara hidup yang terbaik!

Jangan hanya beranggapan pernikahan itu hanya sekadar untuk nafsu syahwat sahaja sebaliknya semai dan sulam rasa cinta kepada pasangan agar rumah tangga lebih harmoni.


Kredit : Hellodoktor


Responsive Advertisement

Komen Terkini

ONLINE

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Contact Form

Name

Email *

Message *

ARTIKEL LUAR

© mauKongsi apa hari ni ? • Theme by Maira G.